Followers

Sunday, 27 March 2011

Separuh Hati Untukmu 1


DIA berlari laju menuruni tangga. “Aduh!” Dia mengaduh kesakitan apabila kakinya terpelecok di tangga yang diperbuat daripada kayu. Tanpa menghiraukan kakinya yang sakit, dia berjalan terjingkit-jingkit menuju ke dapur. “Mak... ooo... mak...” Apabila orang yang dicari tiada di dapur, dia berpusing menuju ke bilik emaknya yang terletak berhampiran dengan dapur. “Mak...” Langsir bilik diselak tapi emaknya tak ada juga. Dia mengerut dahi. Kaki menapak ke luar rumah. Manalah tahu kalau-kalau emaknya sedang memberi ayam dan itik kesayangan makan. Dia mengeluh perlahan apabila sekali lagi gagal menemui emaknya.
            “Manalah mak ni pergi?” Kaki dibawa menghala ke sofa lantas melabuhkan duduk. Dia mengurut-urut pergelangan kaki kanan yang terasa sakit. Tersungging senyuman lebar apabila melihat namanya tertera pada surat tawaran sambung belajar yang berada di tangannya. Sakit di kaki terasa hilang apabila membayangkan dia memakai jubah semasa hari konvokesyen dan bergambar bersama keluarga tersayang.
            “Ada apa panggil-panggil mak tadi, kakak?”
            Rania terkejut. Pecah terus anganannya. Dia menoleh ke belakang memandang Azizah yang penuh dengan pucuk ubi di tangan. Mungkin baru memetiknya di kebun kecil di belakang rumah. “Mak dari mana ni? Puas kakak cari. Kat dapur tak ada, kat bilik tak ada, kat luar tu pun tak ada. Sampai terkehel kaki kakak ni cari mak.”
            Azizah berlalu ke dapur. Pucuk ubi diletak atas meja makan lalu membasuh tangan di sinki. Kemudian dia berlalu ke biliknya mengambil minyak angin. “Mana kaki yang terkehel tu? Mak nak sapu minyak,” tanyanya sebaik saja berdiri di belakang sofa yang diduduki Rania.
            “Oh mak kau!” Rania melatah. Dia yang sedang leka memicit kaki terkejut apabila emaknya tiba-tiba bersuara.
            “Beranganlah tu sampai mak bersuara sikit pun boleh terkejut.”
            “Mana ada kakak berangan. Boyfriend pun tak ada, nak berangan apanya?” Rania menginjak ke tepi memberi ruang untuk emaknya duduk di sebelah. Setelah meletakkan kaki di atas paha emaknya, bermulalah sesi urut-mengurut. “Auuu!” Dia terjerit kecil apabila pergelangan kakinya dipicit kuat, ditambah pula dengan kepanasan minyak angin yang terasa meresap di kulit kakinya.
            “Tahanlah sikit. Tulah, turun tak betul lagi... macam mana kaki tak terkehel!” Azizah memang tahu sangat perangai anak sulungnya itu. Jika ada sesuatu yang ingin diberitahu pasti kelam-kabut mencarinya. “Ada apa kakak cari mak tadi?” Tangannya lincah mengurut pergelangan kaki Rania.
            Rania yang dari tadi mengerutkan muka menahan sakit mula tersenyum. Fikirannya mula teringat pada surat tawaran yang disorok di belakang badannya. Konon nak buat kejutanlah tu.
            “Ni kenapa tersengih-sengih ni? Dah macam kerang busuk mak tengok.” Azizah mengerut dahi. Lengan kirinya dinaikkan ke dahi mengelap peluh yang mula menunjukkan diri.
            Rania masih tetap tersengih menayang gigi. Sengaja mahu membuat emaknya tertanya-tanya.
Sekali lagi Azizah memicit kuat pergelangan kaki Rania.
            “Auuu!!!” jerit Rania kuat. “Mak ni... tahulah mak tu tukang urut kat kampung ni, cubalah urut perlahan sikit. Sakit tau kaki kakak ni!” Rania menarik tangan Azizah yang masih melekat di kakinya agar menghentikan urutan.
            “Dah kakak tu asyik tayang gigi je mana mak tak hot? hati hot, tangan pun hot jugak tau bila main dengan minyak angin ni. Kakak ingat ni iklan ubat gigi ke? Lihat gigi saya... putih, kan? Terima kasih, Colgate...” Azizah menayang giginya yang putih bersih.
“Hahaha...” Rania ketawa besar melihat lawak emaknya. Perlahan-lahan dia mengeluarkan tangan kanan yang disembunyikan di belakang badan lantas menghulurkan surat tawaran itu kepada emaknya.
            “Surat apa ni?” soal Azizah tanpa mengambil surat itu.
            “Mak baca jelah dulu.” Rania tersenyum.
            “Kejap, mak nak basuh tangan dulu.” Azizah ke dapur mencuci tangan. Setelah mengelap tangan sehingga kering, dia ke ruang tamu semula. Turun naik matanya membaca ayat yang tertulis di surat itu. Riak wajahnya berubah. Jantungnya berdegup pantas. Perasaan sedih mula menular di hati kecilnya namun dikawal. Kenapa mesti Kuala Lumpur? Perlahan-lahan dia memandang Rania sambil mempamerkan senyuman.
            Rania mengerut dahi apabila dapat merasakan senyuman emaknya seperti tak ikhlas. Nampak sangat senyuman plastik. “Kenapa mak macam tak gembira je?
            Senyuman Azizah mati. “Eh, mana ada! Mak gembira sangat bila kakak nak teruskan impian kakak. Memang dari dulu lagi kakak nak sambung belajar, kan? Tapi tak berkesempatan je. Lepas habis STPM, kakak terus kerja. Tolong mak dengan abah cari duit.” Dia cuba menutup rasa hatinya. Surat tawaran tadi diletakkan di atas meja kopi. Sekali lagi senyuman plastik dilemparkan.
            “Mak benarkan kakak pergi tak?” Tangan emaknya digenggam erat.
            Azizah terdiam lama. Tak tahu mahu memberikan jawapan apa. Dia takut Rania berubah hati apabila sudah berada di Kuala Lumpur nanti. Wajahnya ditundukkan.
            “Mak, kalau pasal benda tu yang buatkan mak susah hati, kakak rasa mak tak perlu risau sebab kakak tak akan pernah sama sekali nak cari dia. Orang dah tak nak buat apa nak terhegeh-hegehkan diri untuk cari dia!” Penuh emosi Rania berkata. Nafasnya turun naik menahan rasa sedih yang tiba-tiba hadir.
            Azizah mengangkat muka. Wajah Rania dipandang sayu.
Memang dulu Rania pernah mengatakan kepada kedua-dua ibu bapanya yang suatu hari nanti dia mahu mencari orang itu tapi kini dia telah mengubah fikiran. Dia tak mahu lagi mencari orang itu dan tak mahu tahu apa sebab dia diperlakukan sebegini. Dia sudah tawar hati! Air matanya mulai tumpah. Sudah lama dia tak menangis di depan emaknya tapi hari ini dia benar-benar tak dapat menahan kesedihan apabila mengenangkan perbuatan orang itu.
“Sampainya hati dia buat kakak macam ni, mak... sampainya hati dia. Apa salah kakak pada dia, mak? Apa salah kakak? Kakak tak akan maafkan dia! Dia jahat!” Tangisan Rania mula kedengaran.
            Azizah menarik Rania ke dalam pelukan. Tangannya mengurut perlahan belakang badan anak gadisnya itu. “Jangan macam ni, kakak... tak baik. Tak kira apa yang dia pernah buat, kakak kena maafkan dia. Mak tak nak kakak berdendam. Sedangkan nabi pun ampunkan umat, inikan pula kita manusia. Memaafkan adalah penawar yang mujarab. Kalau kita maafkan orang, hati kita takkan rasa sakit lagi. Dengar cakap mak ya?” Air matanya turut tumpah.
            “Tapi, mak... kalau dia sayangkan kakak mesti dia takkan buat kakak macam ni. Hati kakak ni sakit, mak... sakit sangat! Rasa macam kena rempuh dengan jentolak je.” Rania mengeratkan pelukan, cuba mengumpul semula kekuatan yang sudah hilang.
            “Kakak jangan cakap macam tu. Kakak masih ada mak, abah dan adik-adik yang sayangkan kakak. Kami semua akan tetap ada di sisi kakak. Sudahlah, jangan fikir lagi pasal tu.” Azizah sambil mengusap rambut anaknya.
Beberapa minit mereka berkeadaan begitu sebelum Azizah menolak sedikit badan anaknya sehingga wajah mereka betul-betul berhadapan. Dia mengelap air mata yang masih lagi mengalir di pipi Rania dengan ibu jarinya. “Jangan menangis lagi. Lupakan je kisah lama tu. Pasal kakak nak sambung belajar tu nanti mak bagitahu abah.” Dia tak mahu Rania bersedih lagi. Cukuplah dia melihat anak sulungnya menangis suatu masa dahulu.
Rania mula mengukir senyuman. Wajahnya digosok perlahan dengan kedua-dua belah tangan menghilangkan sisa tangisan.
Azizah mengambil kembali surat tawaran lantas dihulurkan kepada Rania. “Simpan surat ni, mak nak pergi masak. Kejap  lagi adik-adik kamu balik.” Azizah berlalu ke dapur. Anak-anaknya yang lain masih di sekolah dan akan pulang pada pukul 1 tengah hari.
            “Kakak tolong mak masak eh?”
            “Tak apalah, kakak kan baru je balik kerja? Petang karang nak pergi kerja balik. Kakak rehat jelah kat bilik.”
            Rania berjalan terjingkit-jingkit menaiki tangga. Sampai saja di bilik, dia merebahkan dirinya di atas katil bersaiz queen. Sekeliling bilik yang dulunya dikongsi bersama dua orang adik perempuannya dipandang. Bilik itulah yang menjadi saksi kegembiraan, kesedihan dan kesusahan yang pernah dia alami. Dia gembira hidup bersama keluarganya sekarang. Keluarganya juga pernah hidup susah suatu masa dulu dan dia sedih apabila mengenangkan kisah hidupnya yang tak seperti orang lain.
Dia, Rania Hafiya yang mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke tangga universiti. Namun hidup keluarganya yang susah empat tahun dulu serta memikirkan adik-adik yang masih kecil dan pasti memerlukan wang yang banyak untuk persekolahan mereka telah membantutkan hasrat hatinya untuk meneruskan pengajian. Kini kehidupan keluarganya sudah berubah.
Abahnya telah mempunyai kolam ikan keli manakala emaknya pula selain mengambil upah menjahit, dia juga menjadi tukang urut di kampung. Rumah yang Rania duduki pula sudah sedikit besar berbanding dulu. Memandangkan adik-adiknya, Fazila sekarang sudah belajar di tingkatan empat, Hakimi di tingkatan tiga dan Maisarah pula sudah berada di tingkatan dua, dia mula memikirkan semula impiannya. Walaupun sudah empat tahun bekerja di kilang, semangat untuk menyambung pelajaran tak pernah luntur bahkan semakin membuak-buak di dalam hatinya.
“Dalam banyak-banyak universiti yang aku pilih, kat KL jugak yang aku dapat. Tapi ak apalah, mungkin rezeki aku kat KL.”
                       
DIA melepak di pangkin setelah selesai makan dan membasuh pinggan mangkuk. Badan disandar pada batang pokok jambu air. Lutut dipeluk sambil memandang ke jalan raya.
“Hoi, kakak! Termenung je kerjanya!” sergah Fazila. Dia mengambil tempat di sebelah Rania.
            Rania tersentak. “Amboi, cantiknya bahasa! Anak dara sorang ni tak reti-reti nak bagi salam ke?” Dia mencubit pipi Fazila.
            “Ampun, kakak... ampun. Assalamualaikum. Okey, kak ngah dah bagi salam. Sila lepaskan pipi adikmu yang tak berapa nak gebu ni...” Tangan kanan Fazila memegang pergelangan tangan Rania yang berada di pipinya. Wajahnya sedikit berkerut menahan sakit.
            Rania terus melepaskan cubitan. “Waalaikumussalam. Wah, cantiknya pipi dia! Dah tak payah nak pakai blusher lepas ni. Hahaha...”
            Fazila menggosok pipinya perlahan sambil menjeling Rania tajam. “Huh! Ingat tak sakit ke? Tahulah orang tak putih macam kakak. Mata kecik, tinggi, cantik, hidung mancung. Tak macam kak ngah ni, kulit pun tak berapa nak putih, tak berapa nak tinggi, hidung pulak tak berapa nak naik.” Fazila menghuraikan perbezaan antara wajahnya dan Rania yang begitu ketara sekali.
“Hei, apa cakap macam tu? Manusia ni sama je di sisi Allah. Tak kira gelap ke putih ke... mata kecik ke... mata besar ke... semua Dia sayang. Dia tak pernah membeza-bezakan umat-Nya. Adik kak long ni pun cantik jugak. Manis, sopan santun je orangnya. Kalau tak takkan Hanif tu boleh suka kat kak ngah!” Rania menggosok bahu Fazila.
            Fazila tersenyum. “Kakak ni kenapa termenung je dari tadi? Makan pun macam tak berselera je kak ngah tengok.” Fazila mengubah topik. Malu pula apabila nama buah hatinya meniti di bibir kakaknya.
            “Kakak dapat tawaran sambung belajar...” Rania melepaskan tangannya pada bahu Fazila. Dia menyandar semula pada batang pokok.
            “Betul ke ni, kak?” Fazila sudah memusingkan badan menghadap Rania. Matanya yang sudah sedia besar dibesarkan lagi. Siapa yang tak teruja mendengar?
            Rania mengangguk sambil tersenyum sedikit.
            “Tahniah! Tapi kenapa muka kakak macam tak happy?” Fazila mengerut dahi.
            “Kak ngah rasa abah benarkan kak long sambung belajar tak?”
            “Eh, mestilah bagi! Takkanlah abah tak nak tengok anak dia berjaya...”
            Rania mencapai daun jambu yang gugur lalu mengoyak-ngoyakkannya. Lambat-lambat dia bersuara. “Tapi kakak tak yakin abah akan izinkan kakak pergi. Mesti abah pun sama macam mak, berat hati nak lepaskan kakak ke KL.” Rania meletak dagunya ke lutut.
            “Kenapa pulak abah dengan mak berat hati? Kakak kan nak pergi belajar? Bukan nak buat benda lain pun...”
            Rania menepuk dahi. Allah! Aku terlupa pulak adik-adik aku tak tahu apa-apa. “Tak ada apa-apalah. Jom masuk, hari macam nak hujan je tu.” Rania turun dari pangkin dan berjalan terjingkit-jingkit menuju ke pintu masuk.
            Fazila mendongak ke langit. “Cerah je, mana ada nak hujan.” Fazila memandang Rania yang berjalan meninggalkannya. “Kakak!”
            Rania menoleh ke belakang.
            “Kaki kakak tu dah kenapa? Asyik berjalan terjingkit-jingkit je.
            Rania memandang kakinya. “Terkehel masa nak turun tangga.” Usai menjawab, dia meneruskan langkahnya.
            Fazila mula turun dari pangkin menyaingi langkah kakaknya. Perlahan-lahan dia melompat ke belakang badan Rania.
“Hei, apa ni? Beratlah! Dah besar-besar pun nak bertenggek kat belakang orang ke? Turunlah!” ujar Rania geram.
            “Kakak bawaklah kak ngah masuk rumah... lagi sikit je nak sampai pintu rumah tu,” rengek Fazila manja.
            “Jangan nak mengada-ngada! Turun cepat, ingat badan awak tu ringan ke? Kakak kira sampai lima kalau tak turun jugak kakak cubit kak ngah!” ugutnya. “Satu... dua... tiga... empat... kak long nak cubit ni...” Lambat-lambat Rania mengira. Dia sudah mengangkat tangannya.
            Fazila masih tak mahu turun.
            “Empat setengah... tak nak turun jugak ya?”
            “Tak nak!” jawab Fazila sambil ketawa.
Rania mengeluh. Akhirnya dia terpaksa menggendong Fazila sampai ke pintu rumah dengan keadaan kakinya yang berjalan terjingkit-jingkit.

Fazila tersenyum kemenangan. 

~BERSAMBUNG~

p/s: Percubaan pertama membuat novel. Maaf sekiranya terdapat kekurangan dan sedikit membosankan...

4 comments: