Followers

Thursday, 31 March 2011

Separuh Hati Untukmu 2

DATIN ROSNAH menutup surat khabar dan meletakkannya di atas meja kopi apabila terlihat kelibat Mak Pah menuruni tangga. Dia mengekori langkah Mak Pah yang menuju ke dapur sambil menatang dulang. “Kak Pah, Kif dah habiskan sarapan ke?”
            “Belum, Datin. Langsung tak berusik sarapan yang saya buat pagi tadi. Puas saya pujuk suruh makan tapi dimarahnya saya balik.” Mak Pah meletakkan dulang yang dibawa tadi di tepi sinki.
“Hai, apa nak jadilah dengan Kif ni...” keluh Datin Rosnah. “Tak apalah, Kak Pah sediakan lauk untuk makan tengah hari. Biar saya yang hantar kat atas.” Dia menuju ke kolam ikan koi di laman rumah. Balang yang berisi makanan ikan diambil lalu makanan ditaburkan ke dalam kolam. Hatinya tenang melihat ikan-ikan itu berlumba berebut makanan. Dia mendongak ke langit. Cuaca agak mendung. Pandangan dilempar ke kolam ikan semula. Leka dia melihat kelincahan ikan-ikan itu berenang. Sedar-sedar saja sudah satu jam dia bersidai di situ.
“Datin, makanan untuk Kif dah siap.” Muncul dengan dulang di tangan.
Datin Rosnah berpaling lantas mendapatkan Mak Pah yang berdiri di pintu. Dulang di tangan Mak Pah dicapai. “Terima kasih, Kak Pah...” Dia melangkah ke tangga untuk ke bilik anak bujangnya. Tombol  pintu dipulas. “Astaghfirullahalazim... kenapa bersepah sangat bilik Kif ni?” Dia beristighfar melihat bilik itu tak ubah seperti tongkang pecah. Beberapa biji bantal bersepah di sana sini, buku-buku serta majalah sudah terlontar di penjuru bilik dan langsir yang tak berikat menyebabkan bilik itu kelihatan gelap. Kembang kempis hidungnya apabila terbau sesuatu yang kurang enak.
Dia meletakkan dulang di atas meja lampu, kemudian berjalan ke arah bantal-bantal yang bersepah lalu mengutipnya. Dia mengutip pula buku serta majalah dan menyusunnya di rak yang memang sengaja diletakkan berhampiran dengan katil Thakif supaya mudah untuk lelaki itu membacanya. Selesai semuanya, dia mengambil tempat di sebelah Thakif yang berselubung di dalam selimut. “Kif berak ya? Jom mama mandikan.” Badan anaknya ditepuk perlahan.
Thakif masih lagi kaku di dalam selimut.
“Kif, bukaklah selimut tu. Tak lemas ke berselubung? Jom mama mandikan, dah dua hari Kif tak mandi. Dah bau semacam je bilik ni tau. Bukak selimut tu cepat,” pinta Datin Rosnah lagi apabila tiada reaksi daripada Thakif
“Kif tak nak.” Thakif bersuara dari dalam selimut.
“Tak boleh! Kif kena mandi jugak. Macam mana nak makan kalau badan kotor macam tu? Jom mandi!” Datin Rosnah menggoncang kuat badan anaknya. Kali ini dia terpaksa berkeras. Dia sudah penat asyik berlembut. Nak suruh mandi dan makan pun payah! Apa nak jadilah dengan anaknya ini.
Thakif menolak kasar selimut yang menutupi seluruh badannya. Wajahnya kelihatan bengis. “Mama ni tak faham bahasa ke? Kif kata tak nak tu tak naklah! Leave me alone! Get out from my room. Now!” herdiknya lantang. Jari telunjuk dihala ke pintu. Sudahlah dia sedang tertekan dengan keadaannya, mamanya pula asyik memaksa. Makin tertekan dibuatnya.
Terangkat sedikit bahu Datin Rosnah. Air matanya mengalir. Tak pernah walau sekali Thakif mengherdiknya. “Kif...” Lirih suaranya menyebut nama Thakif.
“Tolonglah keluar, ma…” Thakif menolak sedikit tubuh Datin Rosnah. “Kif tak nak sesiapapun ganggu Kif. Biarlah Kif nak mati ke... apa ke... jangan sesiapapun peduli!” Dia kembali menyelubungi badannya ke dalam selimut.
Dengan hati yang terguris Datin Rosnah bangkit menuju ke pintu keluar.
“Mama!”
Baru separuh dia berjalan Thakif memanggilnya. Hati Datin Rosnah sudah berbunga-bunga. Perlahan-lahan dia menoleh.
“Tolong bawak dulang ni sekali, Kif tak nak makan!” Thakif menyelubung kembali tubuhnya ke dalam selimut.
Sekali lagi hati Datin Rosnah hancur. Dia menyangka Thakif berasa bersalah meninggikan suara kepadanya. Dia menuju ke meja yang diletakkan dulang tadi lalu mengangkatnya dan melangkah keluar dari bilik itu. Dulang diletakkan di atas meja di ruang tamu atas. Kedua-dua belah tapak tangannya dipekup ke muka dan dia menangis teresak-esak.
“Kenapa ni, Datin?” Mak Pah bergegas naik ke atas sebaik saja mendengar jeritan Thakif.
“Kif, Kak Pah... Kif...” Tersedu-sedan suara Datin Rosnah.
“Kenapa dengan Kif?”
“Dia... dia tengking saya, Kak Pah. Selama ni dia tak pernah pun tinggikan suara dia pada saya. Saya sedih, Kak Pah. Sedih sangat.” Datin Rosnah bercerita dengan suara yang tersekat-sekat.
“Sabarlah, Datin... dia tak sengaja tu. Dia kan sakit? Sabar ya?” Mak Pah memegang bahu Datin Rosnah.
Datin Rosnah melepaskan kedua-dua belah tangan yang menekup ke muka. Matanya memandang ke tangga yang kosong.
“Makanan saya dah siap hidangkan. Pergilah Datin makan, nanti sejuk tak sedap pulak.
Datin Rosnah menggeleng kepala. “Saya tak lapar. Kak Pah pergilah makan.” Hatinya masih terguris dengan perbuatan Thakif. Masih terngiang-ngiang tengkingan lelaki itu di telinganya.
“Janganlah macam tu, Datin. Kalau Datin sakit nanti macam mana? Siapa pulak yang nak jaga Kif?” Mak Pah menggunakan nama Thakif sebagai senjata.
            Lama Datin Rosnah merenung wajah Mak Pah. “Saya tak nak jatuh sakit. Jom, Kak Pah temankan saya makan.”

SUASANA banglo mewah  dua tingkat terasa sunyi petang itu. Sesunyi penghuninya yang dulunya penuh dengan gelak ketawa. Hujan yang tadinya turun dengan lebat bagaikan menangisi kesedihan tuan rumah mulai berhenti daripada menyimbahi bumi. Datin Rosnah yang sedang membelek album keluarga di biliknya membiarkan saja mutiara jernih yang mencemari pipi. Tangannya mengusap perlahan gambar Thakif yang tersenyum sambil melentokkan kepala di bahu kirinya yang sedang duduk di sofa. Dia rindukan senyuman anaknya itu. Hatinya rabak melihat anaknya yang asyik muram. Air mata pantas dikesat apabila terdengar bunyi enjin kereta suaminya memasuki pekarangan rumah. Album gambar disimpan  dan dia menuju ke bilik mandi untuk mencuci muka.
Dari dalam bilik mandi dia terdengar pintu bilik ditolak dari luar. Setelah menilik muka di cermin, dia melangkah keluar. Senyuman dilemparkan buat si suami dan dia melangkah mendapatkan suaminya yang duduk di sofa yang ditinggalkannya tadi. Tangan dihulur untuk bersalam.
Dato’ Azhar merenung tajam ke wajah si isteri. “Ros menangis ke tadi?”
“Tak adalah, bang... Ros baru je bangun tidur.” Datin Rosnah melabuhkan duduk di sebelah Dato’ Azhar.
“Jangan nak tipu... habis tu kenapa mata bengkak? Suara tu pulak sengau semacam je.” Dato’ Azhar curiga. Keningnya dikerutkan sambil tangan kanannya sibuk merungkai tali leher yang terasa merimaskan. Kemudian dia membuka tiga butang atas baju kemeja yang dipakainya. Butang di pergelangan tangan turut dibuka lalu disinsing hingga ke paras siku. Matanya masih tak beralih dari wajah Datin Rosnah.
“Betul, bang... mana ada Ros menangis. Tadi lama sangat tidur sebab tu mata jadi macam ni.”
“Abang bukannya budak-budak yang boleh ditipu. Abang kenal macam mana muka bangun tidur dengan muka baru lepas menangis. Bagitahu abang siapa yang buat Ros menangis?” Dato’ Azhar memusingkan badannya sedikit menghadap Datin Rosnah.
Datin Rosnah diam. Dia menundukkan kepala cuba menahan air mata yang bertakung di kelopak mata. Tak mahu air matanya tumpah di depan suaminya. Cukuplah tadi dia menangis. Dia perlu kuatkan semangat untuk menghadapi hari-hari mendatang yang mungkin akan lebih dahsyat dari hari ini.
“Kalau Ros tak nak cakap, abang pergi tanya Kak Pah jelah!” Dato’ Azhar bangkit.
“Abang!” Datin Rosnah memegang kejap pergelangan tangan suaminya.
Dato’ Azhar duduk semula. Dia merenung wajah isterinya yang sudah ditakungi air. Bila-bila masa saja empangan itu akan pecah. “Kif ke yang buat Ros menangis?”
Serta-merta empangan itu pecah. Sekali lagi bilik itu menjadi saksi air mata Datin Rosnah tumpah. Tumpah kerana seorang lelaki yang bernama Thakif Qarish.
“Kenapa ni, Ros? Apa yang Kif dah buat?”  Tangan kanan Dato’ Azhar menarik Datin Rosnah ke dadanya, memujuk supaya isterinya bertenang.
“Sampai bila dia nak jadi macam tu, bang? Sampai bila? Dah dua bulan berlalu tapi dia masih macam tu jugak.” Datin Rosnah teresak-esak di dada suaminya.
Dato’ Azhar mengeluh. “Kita kena bagi dia masa, Ros. Dia masih belum boleh terima kenyataan yang diri dia dah tak sempurna macam dulu. Tambah-tambah lagi dia dah kehilangan orang yang paling dia sayang. Kalau abang ada kat tempat dia mungkin abang akan jadi  macam Kif jugak. Bersedih... bersedih dan bersedih...”  Dia mengeluh lagi mengenangkan nasib anak bujangnya yang bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. “Kif buat apa sampai Ros menangis ni?” Dia pasti mesti ada sesuatu yang anak bujangnya itu buat sehingga isterinya menangis begitu teruk. Tidak seperti selalu, isterinya akan sentiasa bersabar dengan sikap Thakif.
Datin Rosnah mengangkat muka. Kejadian tengah hari tadi mula diceritakan...
Wajah Dato’ Azhar berubah merah mendengar cerita isterinya. Turun naik nafasnya menahan marah. “Kif ni memang dah melampau!” Dia bangkit, pintu bilik dibuka kasar.
            Datin Rosnah terpinga-pinga. “Abang nak ke mana pulak tu?”
             “Nak ajar sikit budak yang tak tahu hormat orang tua tu!” Keras suara Dato’ Azhar.
“Tak payahlah, bang... mungkin mood dia tak baik hari ni sebab tu dia tertinggikan suara. Lagipun dia tak sengaja tadi.” Jantung Datin Rosnah sudah berdebar memikirkan apa yang akan Dato’ Azhar buat pada Thakif.
            Dato’ Azhar memusing badan. “Mood tak baik awak kata? Takkan sebab mood tak baik je dia boleh menengking sesuka hati? Dia tak sedar ke siapa yang dia tengking tu? Awak tu mama kandung dia tau! Ibu yang mengandungkan dia selama sembilan bulan sepuluh hari. Kita tak pernah ajar dia bersikap kurang ajar macam tu!” Bahasa Dato’ Azhar sudah bertukar. Tiada lagi panggilan nama. “Kalau dibiarkan makin naik lemak pulak dia nanti! Hari ni ditengkingnya awak, esok lusa apa pulak yang dibuatnya nanti?!” Perbuatan Thakif benar-benar menaikkan darahnya. Nasib baik dia tak ada penyakit darah tinggi.
            “Sebab nilah Ros tak nak cerita kat abang. Abang tu cepat sangat naik darah. Biarkan jelah dia, bang. Abang kan baru je balik kerja? Penat pun tak hilang lagi. Kejap lagi dah nak masuk maghrib. Abang pergilah mandi dulu. Sejukkan hati yang panas tu dengan wuduk.”
            “Astaghfirullahalazim...” Dato’ Azhar beristighfar lalu duduk semula. Dia meraup wajahnya perlahan.
            “Deeba tak balik lagi ke, bang?” tanya Datin Rosnah apabila tak mendengar bunyi kereta anak perempuannya masuk ke pekarangan rumah. Setiap kali cuti semester, anak gadisnya akan bekerja di hotel mereka untuk mengisi masa terluang.
            “Tak. Esok baru dia balik. Kat hotel tu kurang pekerja malam ni, tu yang dia sukarela nak tolong tu.” Suara Dato’ Azhar sudah kendur. Dia bangun mencapai tuala di penyidai dan masuk ke bilik mandi. Kepalanya ligat memikirkan sesuatu.
                                                           
DATO AZHAR melangkah satu per satu anak tangga untuk ke bilik Thakif. Sengaja dia duduk di ruang tamu bawah menunggu sehingga Datin Rosnah masuk tidur supaya mudah untuk dia mengajar Thakif yang sewenang-wenangnya menengking orang yang sepatutnya dihormati. Dia  memulas tombol pintu bilik Thakif. Gelap. Tangan diraba mencari suis lampu yang terletak di tepi pintu bilik. Beberapa saat kemudian bilik itu diterangi cahaya lampu.
            Thakif yang sedang tidur memisat-misat matanya. “Siapa yang bukak lampu ni? Mak Pah, tutup balik lampu tu! Orang nak tidur pun susah!” rungutnya. Dia menyangka Mak Pah yang memasang lampu. Selimut ditarik menutupi seluruh tubuhnya.
            Dato’ Azhar mencapai tuala di penyidai lalu menuju ke katil Thakif. Selimut yang menyelubungi tubuh Thakif direntap lantas dia mengheret anak bujangnya itu.
            “Eh, apa ni?!” Thakif terkejut apabila terasa badannya ditarik. “Lepaskan Kif, pa!” jerit Thakif apabila sudah mengenalpasti siapa yang mengganggu tidurnya. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Keadaannya yang lumpuh separuh badan menyukarkan pergerakkannya.
            “Pa, Kif tak nak! Lepaskan Kif. Kif nak tidur...” Tangan Thakif terkapai-kapai berusaha untuk melepaskan diri.
            Dato’ Azhar tak mengendahkan jeritan Thakif. Dia tetap mengheret lelaki itu masuk ke bilik mandi.
Thakif menahan tangannya pada pintu masuk bilik mandi apabila separuh daripada badannya sudah berada di dalam bilik mandi.
            “Lepaskan tangan tu...” Perlahan Dato’ Azhar bersuara.
            “Tak nak! Kif tak nak mandi! Please, pa… Kif cuma nak tidur je.
            “Papa kata lepaskan tangan tu, kan?! Kenapa degil sangat ni, Thakif Qarish?!” Suara Dato’ Azhar sudah naik satu oktaf.
            “Tak nak! Kif takkan lepaskan tangan!”
            Kedegilan Thakif menambahkan lagi rasa marah Dato’ Azhar. Dengan kasar tangan anak bujangnya direntap. Tidak dihiraukan jeritan lelaki itu.
            “Bang, macam suara Kif je tu.” Mak Pah memandang suaminya.
“Yalah. Apa hal pulak tu?” Suapan Pak Hashim terhenti. Dia mengamati suara jeritan itu.
            Mak Pah membasuh tangan. Dia tak sedap hati mendengar jeritan Thakif.
            “Eh, awak nak ke mana, Pah?” Pak Hashim pelik. Nasi di pinggan belum habis, isterinya sudah mahu bangun.
            “Nak pergi tengok Kif kat atas tu. Entah apa yang dia mengamukkan.”
            “Tak payahlah, Dato’ dengan Datin kan ada? Temankan abang makan lagi bagus.” Pak Hashim tak mahu isterinya masuk campur dalam hal keluarga Dato’ Azhar.
            “Abang makanlah sendiri ya? Pah naik atas dulu.” Mak Pah bergegas menaiki tangga.
            Menggeleng kepala Pak Hashim melihat isterinya. Suapannya disambung kembali.
            Mak Pah melangkah ke bilik mandi apabila terdengar suara di situ. Dia lihat majikannya sedang cuba menanggalkan baju Thakif.
            “Kak Pah, tolong tukarkan cadar tu,” arah Dato’ Azhar apabila melihat kelibat Mak Pah di pintu bilik mandi.
            Tanpa membuang masa, Mak Pah pantas melakukan arahan yang diberi. Pintu almari dibuka lalu mengeluarkan cadar yang bersih untuk menggantikan cadar yang sudah kotor.
            “Kak Pah, lepas ni tolong bawak makanan naik ke atas!” arah Dato’ Azhar lagi dari dalam bilik mandi yang sudah bertutup.
            “Baik, Dato’!” Mak Pah turut menguatkan suaranya. Selesai menukar cadar dan meletakkan pakaian bersih Thakif di atas katil, dia bergegas keluar dari bilik.
            Dato’ Azhar memakaikan Thakif pakaian sebaik selesai mandi. Rambut anaknya yang sudah panjang ke paras bahu dilap dengan tuala kecil. Kemudian bilik itu disembur dengan pewangi. Semerbak bau aroma Green Tea, Tiada lagi bau yang menyengatkan hidung.
            Thakif tak bersuara. Penat kerana banyak menjerit dan meronta tadi. Wajahnya masam apabila permintaannya tak diendahkan. Dia sakit hati. Tangannya juga sakit apabila direntap kasar oleh papanya tadi.
Mak Pah masuk sambil menatang dulang lalu memberikan kepada Dato’ Azhar.
“Terima kasih, Kak Pah. Kak Pah boleh keluar, Kif ni biar saya yang uruskan.” Dato’ Azhar melemparkan senyuman. Kemudian dia duduk di birai katil.
            “Baik, Dato’…” Perlahan-lahan Mak Pah melangkah keluar tapi kepala dijengukkan ke dalam mahu mengintai kedua-dua anak dan bapak itu.
            “Makan!” Dato’ Azhar mendekatkan sudu ke mulut Thakif. Wajahnya serius.
            “Papa tolong jangan paksa Kif. Tadi bolehlah papa paksa sebab Kif tak berdaya. Papa boleh keluar sekarang! Kif tak nak makan, tak ada selera. Tolong jangan ganggu Kif!” Thakif meninggikan suaranya. Dia membalas pandangan papanya yang sudah menyinga.
            “Kak Pah buat apa lagi kat depan pintu tu? Mengintai orang tak ada dalam skop kerja Kak Pah, kan?” tembak Dato’ Azhar tanpa memandang ke pintu. Dari ekor mata tadi dia nampak kelibat kepala Mak Pah.
            Mak Pah terkejut. “Erk... ya, Kak Pah turun.” Cepat-cepat Mak Pah turun. Malu apabila terkantoi dan diherdik.
            “Bukak mulut!” Dato’ Azhar menggoyangkan sudu di depan mulut Thakif.
            “Papa ni pekak ke apa? Kif kata tak nak makan, kan?!”
            Pinggan nasi diletak kasar di atas meja. Jari telunjuk dituding pada Thakif. “Kamu jangan nak kurang ajar dengan papa! Nak bagi makan pun susah. Tunjuk sangat keras kepala dia tu. Jangan ingat kamu sakit, kamu boleh tinggikan suara sesuka hati. Kamu tahu tak siapa yang kamu tengking tengah hari tadi? Mama kandung kamu sendiri tau! Berdosa seorang anak meninggikan suara pada mamanya sendiri. Lagi-lagi buat mama menangis. Tak cium bau syurga nanti. Syurga tu terletak di bawah telapak kaki ibu. kamu kena ingat tu!” Lahar kemarahan Dato’ Azhar sudah pecah. Nafasnya ditarik perlahan.
“Kamu ingat dengan buat perangai macam ni dapat undurkan balik apa yang berlaku ke? Lagi buatkan kamu menderita adalah! Kalau nak bersedih pun bukan begini caranya. Kamu kena ingat, kalau kamu rasa sedih, kami lagi rasa terseksa sebab kamu tu anak kami. Tak ada ibu bapa yang sanggup tengok anak dia macam ni. Berubahlah, Kif. Berubahlah sebelum mama mati sebab makan hati dengan sikap kamu.”
Air mata Thakif mengalir mengenangkan sikap kurang ajarnya terhadap Datin Rosnah tengah hari tadi. Dia tak tahu apa yang merasuknya. Dia benar-benar rasa bersalah. Wajah mamanya yang keruh mula bergentayangan di ruang mata. Maafkan Kif, ma... maafkan Kif…
            “Esok papa nak kamu minta maaf pada mama. Papa tak nak dengar lagi kamu kurang ajar dengan mama atau dengan sesiapapun! Sekarang makan nasi ni.” Dato’ Azhar mencapai pinggan dan mendekatkan  sudu ke mulut Thakif.
            Thakif mengesat air mata yang mengalir di pipi kemudian membuka mulutnya untuk menerima suapan daripada papanya. Nasi yang berada di mulutnya terasa seperti pasir namun dia menelannya juga.
             Setelah Thakif selesai makan, Dato’ Azhar bangkit mahu keluar dari bilik itu. Langkahnya terhenti apabila terasa anaknya memegang lengannya. Dia berpaling.
            “Kif minta maaf, pa... Kif pun tak tahu kenapa Kif jadi macam ni. Kif tak suka orang bersimpati dengan keadaan Kif. Kif tak nak dilayan macam orang sakit tapi bila Kif dah tak boleh nak uruskan diri sendiri macam dulu, Kif rasa tertekan sangat. Rasa macam Kif ni tak guna. Asyik nak menyusahkan orang.” Thakif menangis. Lengan papanya didekatkan ke mukanya.
            Dato’ Azhar duduk semula. Dia mengusap rambut anak bujangnya. “Sudahlah, papa maafkan. Papa tak marah kalau Kif rasa tertekan tapi papa tak suka Kif lepaskan rasa marah pada orang lain. Kif kena belajar...”
Thakif mengangkat muka memandang papanya.
“... belajar kawal perasaan tu...” sambung Dato’ Azhar. “Kif tidurlah, dah malam ni.” Dia membaringkan Thakif. Selimut ditarik hingga ke paras dada.

            Thakif memejamkan matanya. Air mata masih mengalir di hujung mata. Jiwanya sedikit tenang setelah meluahkan apa yang dia rasa tadi.

~BERSAMBUNG~

1 comment:

  1. sya bru jmpa blog ni....
    crita ni menarik jgak la...
    truskan..

    ReplyDelete