Followers

Monday, 30 May 2011

Separuh Hati Untukmu 3


THAKIF mencapai telefon pintar yang terletak di atas meja lampu. Dia menyentuh satu per satu aksara sehingga menjadi tiga patah perkataan. 
                                                                                                                  
            Mama, Kif lapar...

Selesai menaip, dia menyentuh ikon hantar. Kemudian telefon pintar diletakkan semula di atas meja lampu. Sementara menanti orang yang ditunggu muncul, dia memejam mata, mengimbas semula kejadian yang menyebabkan dia menjadi begini...
            Thakif mengetuk pintu bilik pejabat Amanda. Apabila mendengar arahan masuk dari dalam, dia memulas tombol lalu mengambil tempat di depan gadis itu yang sedang khusyuk membuat kerja sampai tak ingat dunia.
Amanda mengangkat muka. “Eh, abang? Manda ingatkan Nani tadi. Apa abang buat kat sini?” Dia terkejut melihat Thakif yang berada di hadapannya, bukan setiausahanya seperti yang disangkanya tadi.
“Cuba tengok jam dah pukul berapa?” Thakif tenang memandang Amanda.
Amanda mengerling jam di pergelangan tangan kiri. Tepat pukul 1.30 petang. Dia menepuk dahinya. “Sorry... Manda terlupa sangat-sangat. Lama ke abang tunggu kat bawah tadi? Kenapa tak call? Boleh Manda turun bawah je tadi.” Dia terlupa janjinya untuk makan tengah hari bersama lelaki yang baru seminggu bergelar tunangnya.
“Adalah dalam tiga puluh minit abang tunggu kat bawah tu. Naik kematu punggung abang ni menunggu. Nak call, phone pulak tertinggal kat office. Terpaksalah abang menapak naik ke bilik Manda ni,” jelasnya sedikit geram. Tangannya diletakkan di atas meja lalu menongkat dagu.
Amanda tersenyum sambil menyebak rambut yang menghalang pandangannya ke belakang.
“Manda ni kalau dah buat kerja semua lupa. Workaholic betul! Sama je dengan Qhaf.” Thakif menyamakan perangai Amanda yang kuat bekerja itu dengan abang kandung gadis itu.
“Mana tak tumpahnya kuah sate kalau tak ke nasi himpit... betul tak?” jawab Amanda  sambil tersengih.
“Hmmm... betullah tu...” Thakif memerhatikan Amanda yang sedang mengemaskan meja yang dipenuhi kertas serta fail.
Usai mengemas meja, tangan Amanda mencapai beg tangan yang disimpan di dalam laci. “Okey, dah siap! Jom kita pergi lunch.” Dia sudah bangkit dari kerusi sambil tangannya menyeluk ke dalam beg tangan.
Thakif mendahului Amanda melangkah ke arah pintu bilik. Laju saja jalannya.
“Abang...”
Belum sempat Thakif memulas tombol, Amanda memanggilnya. Dia menoleh ke belakang.
“Kita naik kereta Manda jelah...” Amanda mengeluarkan arahan, bukan soalan. Dia menghulurkan kunci kereta kepada Thakif.
Thakif tak menyambutnya. Sebaliknya dia mengangkat kening meminta penjelasan.
“Setiap kali kita lunch sama, mesti naik kereta abang. Hari ni Manda nak kita naik kereta Manda,” ujar Amanda tegas.
Thakif pelik mendengar permintaan tunangnya. Kunci kereta yang Amanda hulurkan dipandang sepi. “Naik kereta abang jelah. Sama je naik  mana-mana kereta pun, kan? Kereta Manda tu lain kali je kita naik ya?” Lembut Thakif menolak.
Amanda sudah menarik muncung empat belas. “Abang pergilah lunch sorang-sorang... Manda dah kenyang!” Dia mengorak langkah menuju ke arah sofa lantas duduk dengan kasar sambil memeluk tubuh. Mukanya masam seperti asam kecut.
Sudah! Merajuklah pulak... Thakif menggaru kepalanya. Perlahan-lahan dia mendekati Amanda dan melabuhkan duduk di sebelah tunangnya. “Kenapa Manda sensitif sangat ni? Dah pandai merajuk pulak sejak akhir-akhir ni,” soalnya pelik.
Amanda memalingkan muka ke arah lain.
“Sayang, look at me please…” pinta Thakif. Dia memegang kedua-dua belah bahu Amanda mahu memusingkan tubuh gadis itu agar berhadapan dengannya.
Amanda tak mengendahkannya. Tangan Thakif yang mendarat di bahunya ditepis kasar. “Tak sukalah pegang-pegang! Kita ni cuma ada title tunang je ya? Bukannya suami isteri.”
Thakif mengeluh. Belakang tengkuknya digosok perlahan. “Okey, sorry... kita naik kereta kesayangan Manda tu.” Dia malas mahu memanjangkan rajuk si tunang, tambahan pula perutnya sudah berbunyi lagu keroncong.
Amanda terus berpusing sebaik mendengar kata putus Thakif. “Betul ni?”
Thakif menganggukkan kepala sambil melemparkan senyuman menawan. Senyuman yang boleh mencairkan hati mana-mana perempuan yang melihatnya, termasuklah Amanda.
Wajah Amanda bertukar ceria melihat anggukkan Thakif. Kunci kereta dihulurkan kembali kepada si tunang. “Kita lunch kat Legend’s Claypot Briyani House eh?”
“Baiklah, Tuan Puteri Nuha Amanda...” Kunci kereta di tangan Amanda disambar. Kemudian mereka berdua berjalan beriringan menuju ke lif. Punat lif Thakif tekan.
“Abang nak tahu tak macam mana Manda boleh tersangkut kat abang?”
“Nak…” Senyuman Thakif sudah melebar, tak sabar mahu mendengar apa yang bakal keluar dari mulut Amanda.
“Manda tersangkut kat abang sebab senyuman abang. Cair hati Manda ni bila tengok abang senyum tau! Berdebar-debar je cik hati ni.”
“Ish, ada pulak tengok senyuman. Kalau senyuman abang tak cantik Manda takkan tersangkut kat abang la?” Thakif sudah menyilang tangan ke dada. Matanya dikecilkan.
“Eh, bukan macam tu! Kalau senyuman abang tak cantik pun Manda tetap tersangkut kat abang sebab abang kan penyelamat Manda? Kalau abang tak sambut Manda dulu mesti Manda dah jatuh macam nangka busuk.”
Thakif tersenyum mengenangkan insiden Amanda yang jatuh dari tangga gara-gara dia tersepak kaki tangga yang sedang dipanjat oleh Amanda.
“Abang jangan nak senyum macam tu dengan perempuan lain eh?”
            Dahi Thakif berkerut. “Apesal pulak tak boleh? Takkan nak tayang muka masam je dua puluh empat jam?”
            “Nanti ada yang tergoda dengan abang, Manda yang kecewa.”
            “Hai, Manda ni! Itu pun nak jealous ke?”
            “Haruslah jealous, abang tu kan tunang Manda?”
            Thakif hanya menggeleng kepala.
Tiba-tiba pintu lif terbuka. Thakif dan Amanda berhenti bersembang. Mereka memberi laluan kepada orang yang ingin keluar dulu.
            “Kif, Manda... nak pergi mana ni?” tegur seorang gadis tinggi lampai yang keluar dari perut lif. Dia berdiri di depan Thakif dan Amanda.
            “Eh, anyah! Kami nak pergi lunch. Awalnya anyah masuk ofis?” Amanda memaniskan mukanya menjawab pertanyaan Anis, kakak kandungnya.
“Awal apanya? Dah nak dekat pukul 2 petang ni. You all berdua ni kenapa lambat sangat nak pergi lunch?
“Macam mana tak lambat, tunggu Manda siapkan kerja tadi,” bohong Thakif. Dia malas hendak memberitahu kelewatan mereka disebabkan Amanda yang tiba-tiba merajuk. Nanti tak pasal-pasal tunangnya muncung kembali. Bukan dia tak kenal dengan perangai Amanda. Anak bongsulah katakan.
“Manda ni... kerja tu kerja jugak, bila tiba waktu makan kena makan. Jaga sikit kesihatan tu. Awak tu tak lama lagi dah nak jadi raja sehari. Kalau sakit macam mana nak nikah?” Anis membebel.
“Okeylah, kami pergi dulu ya, Anis? Perut I dah berbunyi ni,” pinta Thakif apabila pintu lif sudah terbuka untuk kali kedua. Dia dan Amanda berlalu masuk ke dalam perut lif lalu menekan punat untuk ke tingkat bawah, tempat kereta Amanda diparkirkan.
            Sebaik Thakif memandu kereta, Amanda mengeluarkan telefon pintarnya. Dari ekor mata Thakif dapat melihat Amanda menyentuh-nyentuh skrin telefon, kemudian telefon pintar itu dihalakan ke depan muka. Buat video call ke? Tapi siapa yang Manda call? tanya hati Thakif.
“Ibu, Manda rindulah kat ibu. Rindu sangat-sangat...”
Thakif mengeluh lega mendengar nama yang keluar dari mulut Amanda.
            “Rindu apa pulak ni, Manda? Duduk satu rumah pun boleh rindu lagi ke? Selalu tak pernah pun telefon ibu bila Manda ada kat office?” kedengaran suara Puan Sri Anida.
            Thakif yang sedang memandu Toyota Vios milik Amanda hanya memasang telinga saja mendengar perbualan Amanda dan bakal emak mentuanya.
            “Hari ni tiba-tiba je Manda rasa rindu terlebih kat ibu. Teringin nak makan nasi briyani dengan kari kambing. Boleh tak ibu masakkan untuk Manda?” Suara Amanda kedengaran manja.
            Aik? Kejap lagikan nak makan nasi briyani? Kat rumah pun nak makan nasi briyani lagi? Tak jemu ke asyik makan nasi briyani je? gumam hati Thakif.
“Semalam kan dah makan nasi briyani dengan kari kambing? Tak puas-puas lagi ke?”
Thakif terkejut mendengar jawapan Puan Sri Anida tapi dia masih senyap memasang telinga.
            “Itu Kak Yati yang masak. Manda nak air tangan ibu. Boleh ya, bu? Takut tak sempat je nanti...” Amanda merengek lagi.
            “Tak sempat nak ke mana pulak?” Suara Puan Sri Anida kedengaran berbaur hairan.
            “Boleh ya, bu? Dah lama Manda tak merasa air tangan ibu. Kari kambing ibu sedap hingga menjilat pinggan!” Amanda mula membodek.
            “Tak malu, dah besar panjang pun nak merengek macam budak-budak. Jangan dilayan Manda ni, auntie. Asyik makan je kerjanya nanti pakai baju nikah pun tak muat!” Kali ini Thakif menyampuk. Dia menarik sedikit telefon pintar Amanda agar dia dapat  melihat wajah Puan Sri Anida. Kemudian dia memandang ke depan semula.
            “Dengkilah abang ni! Orang nak bermanja dengan ibu pun tak boleh.” Amanda menjeling manja pada Thakif.
            “Kif, berapa kali ibu pesan suruh panggil ibu? Kif kan dah nak jadi menantu ibu? Dari sekaranglah kena belajar panggil ibu.” Puan Sri Anida menegur.
            Thakif tersenyum malu. “Sorry, ibu... Kif terlupa.” Dia menjeling sekilas pada telefon pintar Amanda.
            “Padan muka!” ejek Amanda. Dia mengalih semula telefon pintar ke depan mukanya. “Boleh tak, ibu? Nasi briyani dengan kari kambing... buatlah untuk Manda eh?” rengek Amanda lagi.
            “Hmmm... yalah, nanti ibu masak banyak-banyak jangan Manda tak habis pulak ya?”
            “Terima kasih, bu... Manda sayang ibu. Sayang sangat-sangat... ibu, tunjuk sikit pipi ibu tu,” pinta Amanda lagi. Dia melekapkan bibirnya pada skrin telefon. “Muah!!! Ini ciuman Manda untuk ibu. Ingat sampai bila-bila tau! Bye, ibu... tunggu Manda tau!”
            “Yalah, balik cepat sikit petang ni.”
            Setelah mematikan talian, Amanda menyimpan telefon pintarnya ke dalam beg tangan. Suasana dalam kereta sunyi seketika. “Abang...” Dia bersuara setelah diam beberapa minit.
            “Hmmm?” Thakif menyahut. Dia menjeling sekilas ke wajah Amanda. “Tadi bukan main ceria cakap dengan ibu, kenapa sekarang mendung pulak?” tanyanya apabila melihat perubahan cuaca di wajah si tunang.
            “I love you, love you like crazy...
            Thakif mengerut dahi. Dia memandang Amanda sekilas. “Kenapa tiba-tiba je ni? Selalu nak kena paksa baru nak cakap ayat keramat tu.”
            “Manda saja nak abang tahu yang Manda sayang dan cinta sangat kat abang. Manalah tahu nanti abang dah takkan dapat dengar Manda sebut ayat keramat tu lagi.” Perlahan saja nada suara Amanda.
            “Tak apa, abang boleh rakam bila Manda lafazkan ayat keramat tu nanti. Tiap-tiap hari abang boleh dengar. Lepas tu bila dah ada anak, abang boleh bagi anak-anak kita dengar suara mummy dia yang pemalu sangat nak ucap ayat keramat tu. Nanti mesti anak kita cakap, shuwitnya mummy ni...” Thakif ketawa usai membuat suara comel. Namun gurauannya tak disambut Amanda.
            “Manda nak tanya abang sesuatu boleh?” Amanda bersuara sebaik saja ketawa Thakif reda.
            “Apa dia?” Mata masih tumpu pada jalan raya.
            “Kalau Manda dah tak ada dalam dunia ni abang sedih tak? Abang cari pengganti Manda tak?”
            Soalan Amanda bagaikan buah dart yang dibaling tepat ke dada Thakif. Dia memandang Amanda. “Apa yang sayang merepek ni? Abang tak sukalah sayang sebut-sebut pasal mati!” Dia tak senang. Mukanya serius. Pandangannya di hala ke depan memberi fokus pada jalan raya.
            “Abang, setiap manusia wajib fikir pasal mati. Kita tak tahu bila kita akan mati. Jangankan yang tua, yang muda pun akan mati jugak bila tiba masanya. Bila-bila masa je Allah boleh cabut nyawa kita. Kalau tak hari ni, esok. Kalau tak esok, lusa...”
            Thakif pelik apabila Amanda tiba-tiba membuka topik mengenai kematian. Memang dia setuju dengan kata-kata Amanda tapi dia takut untuk memikirkan kematian gadis itu. Dia tak tahu bagaimana mahu meneruskan hidup di dunia ini tanpa orang yang dia sayang. Kalau boleh dia mahu sehidup semati dengan Amanda hingga ke hujung nyawanya. “Sudah, Manda! Abang tak nak dengar Manda cakap yang bukan-bukan lagi especially about mati!” tegas Thakif. Dia masih tak memandang Amanda.
            “Abang tak jawab pun soalan Manda…” Nada suaranya seperti merajuk.
            “Soalan apa lagi ni?” Thakif buat-buat tak faham.
            “Kalau Manda mati abang akan cari orang lain tak?” Amanda mengulangi soalannya.
            “Kan abang dah cakap tadi kita hentikan cerita merepek ni?” Thakif mengeluh. Tangan kanannya ditongkat ke dahi. Pening melayan kerenah Amanda yang dirasakan sangat pelik hari ini. “Masa tengah tunggu lif tadi bukan ke Manda tak bagi abang senyum kat perempuan lain? Ni apa kes suruh abang cari pengganti pulak? Tak faham betol abang dengan Manda ni.” Dia menggeleng.
            “Abang kena jawab sekarang jugak! Kalau tak Manda putuskan pertunangan kita!” Amanda tak mempedulikan kata-kata Thakif.
            Thakif pantas berpaling “Manda! Jangan sesekali sebut nak putus dengan abang. Manda tahu kan abang sangat cintakan Manda?” Dia memandang ke depan kembali. “Baiklah, abang jawab soalan Manda.” Nafas ditarik panjang. “Kalau ditakdirkan sayang dah tak ada kat dunia ni, abang akan terus membujang. Abang takkan cari yang lain sebab takkan ada orang yang sama macam sayang. Sayang ni satu dalam sejuta tau. Takkan ada sesiapapun yang boleh menggantikan tempat sayang dalam hati abang,” ucapnya senafas.
            “Manda terharu sangat dengar jawapan abang. Tapi Manda nak abang cari pengganti bila Manda dah tak ada nanti. Manda tak nak abang terus membujang dan Manda nak tengok abang bahagia bila Manda dah pergi.”
            Thakif memalingkan wajahnya ke sisi apabila mendengar esak tangis Amanda “Hei, kenapa sayang nangis ni? Abang janji yang kita akan sentiasa bersama dan tak ada apa-apa yang akan berlaku pada sayang. Abang akan sentiasa melindungi sayang hingga ke akhir hayat abang.” Dia menyeka air mata yang telah mencemari wajah tunangnya menggunakan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi mengawal stereng. Fokusnya kini pada Amanda yang masih lagi menangis. “Syhhh…  jangan nangis lagi. Dah macam badut abang tengok muka Manda ni. Mata merah, hidung merah.”
            Amanda tersenyum mendengar gurauan Thakif. “Abang ni dah berapa kali nak cakap yang Manda tak sukalah sentuh-sentuh Manda. Lapkan air mata ni pun dikira sentuh jugak tau!” Dia menolak tangan Thakif.
“Habis tu masa abang sambut Manda dari terjatuh tangga dulu Manda tak marah pun? Siap main tenung-tenung lagi.” Thakif sengih melihat wajah Amanda sudah merah.
“Itu tak apa sebab kemalangan.” Mata Amanda menjeling ke depan. Dan... “Abanggg!!!”
            Thakif pantas mengalihkan pandangan ke depan. Lampu isyarat di depannya sudah bertukar merah manakala kereta yang dipandunya sudah semakin hampir dengan garisan berhenti. Dia pantas menekan pedal brek untuk memberhentikan kereta namun kereta itu tak mahu berhenti. Sekali lagi dia menekan pedal brek tapi kereta itu tetap meluncur laju.
            “Kenapa ni, bang?” soal Amanda cemas.
            “Entahlah. Brek ni tak makan.” Peluh sudah memercik di dahi Thakif. Dia mulai cemas apabila kereta itu sudah melepasi garisan berhenti.
            “Ya Allah... apa kita nak buat sekarang ni, bang?” Air mata Amanda kembali mengalir.
Piiinnn!!!
Thakif dan Amanda menoleh ke kanan. Kelihatan sebuah lori dari arah bertentangan sedang membelok ke arah kanan. Thakif kaku. Tak mampu berbuat apa-apa mahupun menekan pedal minyak. Dia hanya mampu berserah.

Arghhh!!!” jerit Thakif dan Amanda serentak apabila lori tersebut merempuh kereta Toyota Vios milik Amanda. Kereta itu bergolek-golek di atas jalan raya. Pandangan Thakif mulai gelap.

DIA membuka mata. Cahaya yang terang itu sangat menyakitkan mata. Dia memejam celikkan mata seketika. Apabila pandangannya sudah jelas, dia meliarkan mata melihat sekeliling bilik yang dihuninya. Semuanya serba putih. “Aku kat mana ni?” Matanya beralih pula ke pintu yang tiba-tiba saja terkuak. Muncul seorang gadis di balik pintu.
            “Abang Kif dah sedar?!” jerit gadis itu. Dia berjalan laju mendapatkan Thakif yang terlantar di atas katil. Dia melabuhkan duduk di kerusi di sisi katil. Tangan Thakif digenggam erat. Air matanya mula mengalir. “Syukur Alhamdulillah Abang Kif dah sedar. Kejap ya, Deeba nak call mama. Mama dengan papa tengah dinner kat kafe.” Adeeba menyeluk poket jeannya. Telefon pintar dikeluarkan lalu mendail nombor mamanya.
            “Helo, mama… Abang Kif dah sedar! Cepatlah mama naik.” Teruja dia memberitahu berita gembira itu. “Kejap lagi baru Deeba nak panggil doktor. Mama dengan papa naik cepat sikit tau!” Usai memutuskan talian, Adeeba melangkah keluar dari bilik yang serba putih itu.
            Thakif masih keliru memikirkan dirinya yang terbaring di bilik itu. Dia pasti itu bukan biliknya. Apabila mendengar Adeeba menyebut mahu memanggil doktor dan melihat tangannya yang berselirat dengan wayar, barulah dia sedar yang dia berada di hospital. Berkerut dahinya cuba mengingati semula apa yang telah terjadi. Wajahnya berubah apabila sudah mengingati kemalangan yang menimpanya dan Amanda.
            Matanya memandang kelibat Adeeba yang masuk semula di bilik itu. Dia cuba membuka mulut untuk bertanyakan perihal Amanda tapi terbantut apabila melihat doktor  turut masuk diikuti seorang jururawat.
 Doktor mula memeriksa denyutan nadi di pergelangan tangan, memeriksa kedua-dua belah mata dan denyutan jantung Thakif.
            Dalam masa yang sama, Dato’ Azhar dan Datin Rosnah melangkah masuk ke bilik. “Macam mana dengan keadaan anak saya, doktor?” soal Dato’ Azhar sebaik saja Doktor Badrul selesai memeriksa Thakif.
            “Alhamdulillah, keadaan Encik Thakif dah stabil. Tak ada apa yang perlu dirisaukan lagi,” jawab Doktor Badrul. Dia mencapai rekod perubatan Thakif dan mencatat sesuatu. “Saya minta diri dulu, Dato’, Datin. Kalau ada apa-apa tekan je butang merah tu.” Doktor Badrul dan jururawat berlalu keluar dari wad VIP itu.
            “Kif... akhirnya anak mama dah sedar. Dua minggu Kif tak sedarkan diri. Sedih hati mama tengok Kif terlantar kat atas katil ni.” Datin Rosnah sebaik mengambil tempat di sisi Thakif. Dia tersenyum sambil membelai lembut rambut Thakif.
            “Mama, Manda macam mana? Dia okey tak?” Tanpa bertangguh Thakif mengemukakan soalan yang ingin ditanya tadi.
            Senyuman Datin Rosnah hilang. Dia mengalihkan pandangan ke wajah suaminya.
            “Kif, papa harap Kif sabar...” Dato’ Azhar pula bersuara.
            “Kenapa ni, pa?” Wajah mama, papa dan adiknya direnung meminta penjelasan.
            “Sebenarnya Manda... Manda dah tak ada...”
            Terberbuntang mata Thakif. “Papa tipu, kan? Tak mungkin Manda dah tak ada. Papa tipu kan, ma?” Dia meminta kepastian dari mulut mamanya pula.
            “Tak, Kif... papa tak tipu. Manda memang dah tak ada. Dia meninggal di tempat kejadian. Kereta yang Kif pandu meletup sebaik saja Kif dan Manda berjaya dikeluarkan. Hanya Kif je yang masih bernyawa,” terang Datin Rosnah.
            “Tak mungkin, ma... tak mungkin!!!” Thakif menjerit seperti orang histeria.
            “Sabarlah, Abang Kif. Mungkin Tuhan lebih sayangkan Kak Manda. Kita yang masih hidup kena teruskan hidup.” Adeeba pula bersuara.
            “Tak! Kif tak percaya! Manda tak boleh tinggalkan Kif! Kif nak jumpa dia, ma... Kif nak jumpa dia!” Thakif mula bangkit namun dia terasa seperti ada batu besar menghempap kakinya. Terasa berat sekali! Dia mencuba sekali lagi namun keadaan yang sama juga berlaku. Dia mula pelik. “Kenapa dengan kaki abang ni, Deeba? Kenapa abang langsung tak boleh bergerak ni?” Dia memandang Adeeba yang sudah pucat apabila disoal.
            “Cakap, Deeba! Kenapa dengan kaki abang?!” herdik Thakif apabila Adeeba langsung tak memberi jawapan.
            “Doktor cakap  Abang Kif lumpuh separuh badan.”
            Terpempan Thakif mendengar jawapan Adeeba. “Ya Allah… Deeba tipu abang, kan? Kaki abang tak lumpuh! Tak!” Dia menghentak-hentak tangannya pada palang katil. “Kaki aku tak lumpuh! Kaki aku tak lumpuh! Manda… sampai hati Manda tinggalkan abang…” Dia meraung sekuat hati.
            “Kif...” Datin Rosnah memegang kedua-dua belah tangan Thakif. Menitis air matanya melihat keadaan anak lelakinya.
Tanpa bertangguh, Adeeba terus menekan butang merah yang terletak di kepala katil.
            Beberapa minit kemudian Doktor Badrul dan seorang jururawat masuk ke bilik
“Kenapa ni, Dato’, Datin?” tanya Doktor Badrul.
            “Dia tak dapat terima kenyataan yang dia dah lumpuh, doktor...” jelas Dato’ Azhar yang sudah mengalirkan air mata.
            “Sabar, Encik Thakif. Tak baik macam ni. Kaki encik boleh dirawat, bukan selama-lamanya encik lumpuh.” Doktor Badrul cuba menenangkan Thakif sementara menanti jururawat menyediakan ubat penenang.
            “Mama, tolong Kif, ma... Kif tak nak lumpuh. Tak nak… kaki Kif ni kebas je kan, ma?” Thakif meminta kepastian dari Datin Rosnah. Dia langsung tak mahu mendengar kata-kata Doktor Badrul.
            Datin Rosnah menggeleng kepalanya. Dia memeluk Adeeba yang berada di sisinya.
            “Aku tak lumpuh! Semua orang tipu aku! Semua orang tipu! Tipu!” Thakif kembali meraung.
            “Jangan macam ni, Kif... istighfar banyak-banyak.” Dato’ Azhar memegang bahu Thakif.
            Doktor Badrul memegang tangan Thakif lalu menyuntik ubat penenang.
            “Mama, Kif tak lumpuh... Kif tak lumpuh... tak...” Suara Thakif semakin perlahan dan perlahan. Pandangannya mulai gelap.
                                                           
 THAKIF  merenung dirinya yang berkerusi roda di cermin meja solek di biliknya. Sudah seminggu dia berada di rumah. Seminggu juga sikapnya berubah.
            “Hahaha... kau dah cacat, Thakif! Kau dah cacat!” Tiba-tiba ada suara halus muncul di ruang biliknya.
Thakif terkejut. Dia meliarkan pandangannya mencari-cari arah suara itu.“Siapa kau hah?! Kalau berani, tunjukkan muka kau!” jeritnya.
            “Kau nak tahu aku siapa? Aku ni suara hati kau! Lebih baik kau mati jelah, Thakif. Kau hidup pun hanya menyusahkan orang je!
            “Tak! Aku tak pernah menyusahkan orang! Ya, memang aku dah cacat tapi aku tak menyusahkan orang!” Dia membalas kembali kata-kata suara halus itu. Matanya tajam memerhati sekeliling bilik.
            “Tak menyusahkan orang kau kata? Kau tengok sendiri mama kau, papa kau dan adik kau! Bila kau dah cacat macam ni, mereka terpaksa jaga kau, kan? Daripada kau hidup macam ni hanya harapkan belas ihsan orang, lebih baik kau mati je! Tunang kau pun dah tak ada dalam dunia ni. Apa lagi yang kau tunggu? Kau tu dah tak sempurna! Kecacatan kau tu hanya akan memalukan keluarga kau je!” provok suara halus itu lagi.
            “Diam! Diam! Aku tak nak dengar lagi! Tak nak dengar! Tak nak!” Thakif menghumban barang-barang yang ada di atas meja solek ke lantai. Habis pecah botol-botol minyak wangi miliknya.
            “Lebih baik kau mati je, Thakif! Mati je!
            “Sudah! Aku tak nak dengar lagi!” Thakif menekupkan telinganya dengan kedua-dua belah tangan. Matanya dipejam serapat mungkin.
            “Abang Kif, kenapa ni?”
            Perlahan-lahan Thakif membuka tangan yang ditekup ke telinga lalu memanggung kepala memandang Adeeba yang berdiri di sisinya.
            “Kenapa bilik Abang Kif ni bersepah?” soal Adeeba pelik apabila melihat kaca bertaburan di lantai.
            “Deeba, abang ni menyusahkan keluarga kita ke?”
            “Tak adalah, bang. Abang Kif tak menyusahkan kami pun,” sangkal Adeeba.
            “Abang ni hanya membebankan keluarga kita je. Abang dah cacat, Deeba. Abang dah tak sempurna lagi! Abang ni memang betul-betul tak berguna! Tak berguna!” raungnya sambil menumbuk-numbuk kakinya yang kaku.
            “Jangan cakap macam tu, bang... kami semua sayangkan Abang. Abang Kif sabar ya? Deeba sayang abang sangat-sangat. Abang Kif la satu-satunya abang Deeba. Deeba sanggup buat apa je untuk tengok abang gembira semula.” Adeeba memeluk Thakif. Kedua-dua beradik itu mengalirkan air mata. Dia merenggangkan pelukan. Dia menolak kerusi roda Thakif menuju ke tepi katil. “Abang Kif tunggu kat sini dulu, Deeba nak bersihkan kaca-kaca tu.” Dia berlalu keluar dari bilik untuk mengambil vacum di dapur.
            Thakif mencapai gambarnya bersama Amanda yang berada di meja lampu. Air matanya kembali tumpah. Gambar itu diusap perlahan. “Kenapa cepat sangat sayang pergi? Kenapa sayang tinggalkan abang? Sayang dah janji nak sehidup semati dengan abang, kan? Sampai hati Dia ambil sayang dari sisi abang. Abang tak kuat, Manda... tak kuat! Macam mana abang nak teruskan hidup tanpa Manda?” rintihnya. Dia mengesat air matanya sebaik saja ternampak kelibat adiknya masuk ke bilik.
            “Deeba tak pergi kelas ke?”
            “Hari ni tak ada kelas. Malaslah Deeba nak melepak kat kolej tu sorang-sorang. Baik jaga abang kat rumah,” jawab Adeeba sambil mencucuk plug.
            “Papa dengan mama mana?” tanya Thakif apabila tak nampak kelibat Dato’ Azhar dan Datin Rosnah. Selalunya apabila mendengar dia menjerit, mereka akan bergegas mendapatkannya.
            “Papa pergi office, mama pulak ajak Mak Pah pergi beli barang dapur kat pasar raya.”
            Thakif merenung kembali gambar di tangannya. Sayang tunggu abang kat sana ya? bisik hatinya.
                                                           
DIA membuka pintu biliknya. Kerusi rodanya digerakkan menuju ke tangga. Sebaik sampai di depan tangga, dia merenung tajam ke bawah.
            “Apa lagi yang kau tunggu, Thakif? Cepat lontarkan diri kau ke bawah!” Suara halus itu bergema lagi.
            “Maafkan Kif, mama... papa... Kif tak nak menyusahkan keluarga kita lagi. Manda, tunggu abang kat sana. Abang datang sekarang!” Dia menggerakkan kerusi rodanya ke belakang, dengan sekuat tenaga dia menggerakkan kerusi rodanya laju ke depan untuk menghumbankan dirinya ke bawah tangga.

~BERSAMBUNG~

8 comments:

  1. pehh tragisnya. dahsyat betul la ayat Thakif tu. Tapi kan ecah no offense ek bila org kata dah tak percaya Allah bukan kira dah murtad ke ?

    ReplyDelete
  2. thanks sbb bag tau, lama tunggu n3 ni..hehe...
    best tapi sedih la pula kisah Kif ni. rasanya, heroinnya nanti mesti seiras manda, kan? hehe..btw, keep it up!

    ReplyDelete
  3. Amanie Ashraff: X tersinggung pon.. Memang btol kata Am tu.. bile Thakif da cakap mcm tu dia dah dikira murtad melalui perkataan yg dia keluarkan.. Tp time tu dia tgh tertekan sgt.. Nti kte tunggu mcm mane dia kembali semula kpd Penciptanya ek.. Hehehe

    Okie a.a.a Witch: Hahaha rasenye la... tunggu je nnti ek..

    ReplyDelete
  4. huhu..sedh crita c thakif tuh..
    nak taw plak kisah dia terjumpa ngan heroinnya..mesti best kan..
    mesti terkejut beruk..

    ReplyDelete
  5. nice Ecah... :)
    waiting for next...

    ReplyDelete
  6. best lah baca...terexcited terus nak mengikuti..zannarohim@blogspot.com

    ReplyDelete
  7. bestla baca..citer ni byak kejutan ..cpt2 smbg tau

    ReplyDelete
  8. Alia: Thnks... WC akan sambung lepas siapkan cerpen..

    ReplyDelete