Followers

Tuesday, 31 May 2011

Separuh Hati Untukmu 4


THAKIF berpaling apabila terasa kerusi rodanya ditarik ke belakang. Dia terkejut melihat papanya masih lagi belum tidur.
“Apa yang Kif cuba buat ni?!” marah Dato’ Azhar.
“Lepaskan Kif, pa! Kif nak mati! Dah tak ada gunanya Kif hidup lagi. Lepaskan Kif!” Thakif meronta. Dia cuba menggerakkan kerusi rodanya tapi tak boleh. Tenaga papanya lebih kuat daripadanya.
“Jangan jadi bodohlah, Thakif! Bunuh diri tak dapat selesaikan masalah. Dapat dosa adalah!”
“Kif, abang... kenapa ni? Kenapa Kif terjerit-jerit tengah malam ni?” soal Datin Rosnah keluar dari bilik tidur diikuti Adeeba yang sedang menenyeh mata.
“Kif ni! Dia nak bunuh diri. Dia cuba nak hempaskan diri kat tangga tu. Nasib baik abang tergerak nak ke dapur tadi. Kalau terlambat tadi abang pun tak tahu apa yang akan jadi,” terang Dato’ Azhar. Dia masih lagi tak melepaskan tangannya pada bahu Thakif dan pemegang kerusi roda.
Datin Rosnah terkejut. Dia menghampiri Thakif dan  menundukkan dirinya sedikit agar sama tinggi dengan ketinggian anak lelakinya yang berkerusi roda. “Kenapa Kif buat macam ni? Kif tak sayang mama ke? Tak sayang papa? Tak sayang adik? Bawak mengucap, Kif. Istighfar banyak-banyak. Ingat Tuhan…”
Dato’ Azhar melepaskan pegangannya lalu berdiri di depan Thakif sambil menyilang tangan ke dada.
“Kif dah tak percaya pada Tuhan lagi, ma! Sebab Dialah Manda tinggalkan Kif! Sebab Dia jugaklah Kif dah tak sempurna macam dulu! Kenapa Dia tak ambil nyawa Kif sekali? Kenapa Dia biarkan Kif hidup menderita macam ni? Kenapa?!” Thakif mempersoalkan ketidakadilan Allah SWT.
“Astaghfirullahalazim... Kif, kenapa cakap macam ni? Allah tak pernah nak menyusahkan umat-Nya. Dia hanya nak menguji kesabaran kita. Mungkin ini ujian untuk Kif. Kif bersabar ya? berdoa banyak-banyak pada Dia. Jangan cakap macam tu, tak baik,” pujuk Datin Rosnah.
“Tak! Kif dah tak percaya pada Dia lagi! Dia tak adil! Dia biarkan Kif hidup merana tanpa Manda. Setiap kali sembahyang, Kif selalu doa agar Kif dan Manda kekal hingga ke akhir hayat. Tapi Dia tak dengar pun doa Kif ni, ma... Dia rampas Manda dari Kif. Lebih baik Kif mati je daripada hidup menderita macam ni. Hidup Kif dah hancur, ma... hancur!”
Pang!!!
Thakif tergamam. “Sampai hati papa tampar Kif. Sampai hati papa!” Thakif memusingkan kerusi rodanya lalu digerakkan menuju ke biliknya. Pintu bilik dihempas kuat.
                                                           
“ABANG KIF, Abang Qhaf nak jumpa. Dia ada kat bawah.” Adeeba bersuara. 
            “Suruh dia balik, abang tak nak jumpa sesiapapun!” Thakif yang sedang mnghadap ke luar balkoni langsung tak menoleh ke arah Adeeba.
            “Tapi dia kan kawan baik abang? Tak baik buat macam tu. Masa kat hospital dulu ada  jugak keluarga arwah Kak Manda jenguk abang tapi masa tu abang belum sedarkan diri. Deeba panggil dia naik eh?” pujuk Adeeba lembut.
            Thakif memusingkan kerusi rodanya. Matanya tajam merenung Adeeba. “Kan abang dah kata abang tak...” Kata-katanya terhenti sebaik saja melihat kelibat Qhafi di muka pintu bilik.
            “Kenapa kau tak nak jumpa aku?” soal Qhafi
            “Aku tak nak jumpa kau, Qhaf. Tolong keluar dari bilik aku!” arah Thakif.
            Perlahan-lahan Adeeba meninggalkan bilik Thakif.
            “Cuba kau cerita kat aku kenapa kau tak nak jumpa aku? Apa salah aku pada kau?” Qhafi mengambil tempat di sofa. Matanya memandang tepat ke wajah Thakif yang sudah dipenuhi jambang.
            “Sebab aku dah cacat kau faham tak?! Aku dah cacat! Aku malu nak tunjukkan diri aku yang dah tak sempurna ni kat orang lain. Kau dah tahu sebabnya, kan? Please keluar dari bilik aku!” Thakif memusingkan kerusi rodanya membelakangi Qhafi.
            “Aku tahu bukan sebab cacat tapi sebab Manda, kan? Kau tak dapat nak terima kenyataan yang Manda dah meninggal, kan? Sebab tu kau nak seksa hidup kau macam ni. Berkurung dalam bilik, tak nak jumpa sesiapa. Sudahlah, Kif. Yang pergi tetap akan pergi.”
            Thakif memusingkan kerusi rodanya kembali menghadap Qhafi. “Kau tak faham perasaan aku, Qhaf! Dia pergi masa aku amat perlukan dia di sisi aku. Aku rasa kehilangan kau tahu tak? Kehilangan! Aku tak ada semangat nak hidup bila dia tak ada kat sisi aku. Aku rasa macam nak mati kau tahu tak? Nak mati!” Suaranya naik satu oktaf. Nafasnya turun naik.
            “Kau sedar tak apa yang kau cakap ni, Kif? Sepatutnya orang yang beragama Islam macam kita ni mesti redha dengan takdir-Nya. Dah tertulis kat sana sampai setakat ini je hayat Manda dan sampai setakat ini je jodoh kau dengan Manda! Kau harus terima, Kif.” Qhafi berjeda sebentar. “Kau silap kalau kau kata aku tak rasa kehilangan seperti yang kau rasa. Kau dah lupa ke Nuha Amanda, tunang kau tu adik aku? Dia adik kandung aku, Kif! Aku pun terasa kehilangan dia. Keluarga aku jugak turut bersedih pasal kematian dia tapi kami masih teruskan hidup macam biasa. Cuma ibu je belum dapat terima kenyataan. Jauh di sudut hati kami berharap satu hari nanti ibu akan reda dengan pemergian Manda. Aku harap kau jugak macam tu.”
            “Tapi aku tak boleh, Qhaf… aku tak boleh nak teruskan hidup tanpa Manda. Dialah segala-galanya bagi aku.” Air mata Thakif mula bertakung di kelopak mata.
            “Aku tahu kau boleh, Kif. Aku tahu kau boleh! Dulu kau tak pernah macam ni, kan? Kenapa kerana seorang perempuan kau jadi begini lemah? Mana Thakif Qarish yang aku kenal dulu? Mana Thakif Qarish yang selalu taat pada perintah-Nya? Kau kena ingat Tuhan, Kif. Ingat Tuhan!”
            Thakif menekupkan kedua-dua belah tangannya ke telinga. Dia tak mahu mendengar nasihat Qhafi. “Tolong tinggalkan aku sendirian. Aku tak nak dengar lagi apa-apa pun yang keluar dari mulut kau! Pergi dari sini, Qhaf. Pergi! Tolong jangan datang sini lagi!”
            “Terpulanglah pada kau kalau tak nak dengar nasihat aku. Tapi kau kena ingat, bukan kau je yang rasa kehilangan dan...” Qhafi berjeda. “… aku akan tetap jadi sahabat kau walaupun kau buang aku!” Dia melangkah keluar dari bilik.
            Thakif membuka mata. Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Sudah dua bulan kejadian itu berlalu namun dia masih tak dapat melupakannya. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Amanda di telinganya.

Manda saja nak abang tahu yang Manda sayang dan cinta sangat kat abang. Manalah tahu nanti abang dah takkan dapat dengar Manda sebut ayat keramat tu lagi.


Kini Thakif mulai sedar Amanda seperti mendapat alamat yang dia tak akan hidup lama di dunia ini. “Manda, abang rindukan sayang... rindu sangat-sangat,” rintihnya. Dia mencapai gambar Amanda di meja lampu. Gambar itu diusap perlahan lantas dibawa ke dadanya. Didakap erat gambar itu melepaskan rindu yang tak tertanggung.
THAKIF membuka mata apabila terdengar pintu biliknya terkuak. Wajah lembut Datin Rosnah dipandang.
“Kif nak mandi ke nak makan dulu?” soal Datin Rosnah sebaik saja sampai di depan katil Thakif.
            “Errmm... mandi dululah, ma...” Lembut suaranya. Dia melemparkan senyuman. Rasanya sudah agak lama dia tak tersenyum.
            Datin Rosnah meletakkan dulang di atas meja lampu, kemudian mengambil tuala di penyidai dan menolak kerusi roda ke arah katil Thakif. Dengan sekuat tenaga dia mengangkat badan Thakif lalu diletakkan di atas kerusi roda. Kemudian dia menyorong Thakif menuju ke bilik mandi. Dua Puluh minit kemudian, Thakif telah lengkap berpakaian. Datin Rosnah mahu mengangkat anaknya semula ke atas katil tapi lelaki itu menolak.
Thakif menolak sendiri kerusi rodanya ke arah sofa. Dia menggamit mamanya agar duduk di sofa.
            Memahami isyarat tangan anaknya, Datin Rosnah mengambil semula dulang yang ditinggalkan tadi lalu melangkah ke sofa. Dia melabuhkan duduk berhadapan dengan Thakif yang duduk di kerusi roda. “Kif nak suap sendiri ke nak mama suapkan?”
“Kif nak mama suapkan.”
            Sejuk hati Datin Rosnah mendengar suara manja Thakif. Dia tersenyum lalu mula mencedokkan lauk kangkung goreng belacan dan singgang udang ke dalam pinggan nasi. Kemudian dia menyuapkan ke mulut Thakif. Berselera sekali anaknya itu makan. Selesai makan, dia mengelap mulut Thakif dengan tisu. Kemudian dia bangun untuk beredar. Baru dua tapak dia berjalan, hujung bajunya terasa ditarik. Dia tak jadi melangkah lantas duduk kembali di sofa. Dulang pula diletakkan di sebelahnya.
            “Kenapa, Kif?” Pandangan lembut dilemparkan.
            Thakif menundukkan wajah.
            “Kif…” Datin Rosnah melabuhkan tangan kanannya di atas tangan Thakif.
            Perlahan-lahan Thakif memanggung kepala memandang tepat ke dalam mata mamanya.
            Terkejut Datin Rosnah melihat muka Thakif yang merah dengan mata berair. “Kenapa Kif nangis ni?” Dia mengesat air mata yang mula mencemari wajah Thakif.
            Thakif menggapai tangan mamanya yang berada di wajahnya lalu dibawa ke bibir. Dia mengucup lama tangan itu. “Ma... ma...” Tersekat-sekat dia bersuara.
            Datin Rosnah tenang menunggu bicara Thakif. Dia membiarkan tangannya digenggam. Dia pula yang terasa mahu menangis apabila melihat anaknya menangis.
            “Kif nak minta maaf. Selama ni Kif banyak buat silap dan banyak menyusahkan mama, papa dan Deeba. Kif janji, ma... Kif janji yang Kif takkan buat mama dan keluarga kita sedih lagi.” Thakif mengangkat tangan kanannya ke paras bahu.
            Lapang dada Datin Rosnah mendengar pengakuan anaknya itu.
            “Mama...”
            “Ya...”
            “Kif rindu sangat kat Manda. Apa yang perlu Kif buat, ma?”
            Datin Rosnah mengeluh perlahan. Dia tahu sehingga hari ini anak bujangnya masih tak dapat melupakan Amanda. “Mama tahu cinta pertama memang tak boleh dilupakan tapi satu je yang boleh Kif buat bila rindu kat arwah Manda.”
            “Apa dia, ma?” Thakif tak sabar. Anak matanya bersinar-sinar menunggu jawapan Datin Rosnah.
            Datin Rosnah terdiam sebentar. “Kif sembahyang dan banyakkan berdoa kepada Allah. Hanya melalui Dia je segala doa yang Kif panjatkan akan sampai kepada Manda. Kif sedekahkan juga bacaan Yasin untuk arwah. Dengan ini, rohnya akan tenang di sana dan rindu Kif pada dia juga akan terubat.” Dalam diam dia cuba menarik anaknya untuk kembali kepada Penciptanya.
            Thakif menundukkan wajahnya. Dia malu pada mamanya. Dua bulan dulu dia pernah tak mempercayai Allah dan menyalahi Penciptanya itu. Tapi sekarang dia berasa benar-benar kerdil di sisi-Nya dan benar-benar telah insaf di atas keterlanjuran kata-katanya. “Tapi, ma… boleh ke Allah terima Kif kembali lepas macam-macam kata hinaan yang Kif lemparkan pada Dia?”
Datin Rosnah tersenyum. “Kif, Allah tak pernah menghukum umat-Nya. Dia sentiasa membuka pintu kemaafan untuk umat-Nya. Kalaupun dia menurunkan ujian, dia hanya ingin menguji kesabaran kita je. Mama yakin, pasti ada hikmah di sebalik ujian yang Dia turunkan buat keluarga kita. Kembalilah kepada Dia, Kif... Dia ambil Manda pun sebab Dia sayangkan Manda.”
Thakif menangis lagi. Hatinya tersentuh. Ampunkan aku, ya Allah... ampunkan aku. Aku benar-benar insaf sekarang. Dia meraup wajah berkali-kali. “Ma, Kif janji akan bertaubat. Terima kasih, mama... terima kasih sebab dah menyedarkan Kif.” Dia mengucup sekali lagi tangan mamanya.
Datin Rosnah turut mengalirkan air mata. Tapi kali ini air mata gembira. “Terima kasih, ya Allah. Selama dua bulan aku tunggu saat ini. Terima kasih kerana memakbulkan doaku. Terima kasih sebab pulangkan anakku.”
Thakif tersenyum dalam tangis mendengar doa mamanya.
Datin Rosnah mengesat air matanya. “Sekarang Kif ikut mama mengucap ya?”                 
Thakif mengangguk.
Ashhadu alla illaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah.
Thakif menarik nafas perlahan. “Ashhadu alla illaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah.” Tenang dia mengikut Datin Rosnah mengucap.
Mengalir sekali lagi air mata Datin Rosnah apabila mendengar Thakif mengucap. Akhirnya Thakif telah kembali. Kembali kepada Dia yang telah mencipta seluruh makhluk dan alam. Dia menarik Thakif ke dalam pelukan.
Tanpa disedari, Dato’ Azhar dan Adeeba turut menyaksikan drama air mata di antara ibu dan anak itu di sebalik pintu yang sedikit renggang. Kedua-duanya tersenyum. Perlahan-lahan Dato’ Azhar mengajak Adeeba beredar dari situ.
“Kif, kalau mama suruh buat sesuatu Kif akan ikut tak?” ujar Datin Rosnah sebaik saja merenggangkan pelukan.
“Apa dia, ma?”
“Dari dulu lagi mama nak bagitahu perkara ni tapi masa tu Kif masih tertekan dan mama terpaksa tangguhkan dulu.”
Thakif mengemam bibir. Dia sabar menanti bicara Datin Rosnah.
“Dr. Badrul ada bagitahu yang kaki Kif boleh dirawat, kan? Jadi, Mama nak Kif berubat...”
Thakif diam. “Mama dah tak sanggup nak bela Kif  yang dah cacat ni lagi ke?” Wajahnya tenang, tiada riak kemarahan. Dia nak berubah, sudah tak mahu merisaukan keluarganya lagi. Cukuplah dua bulan dia buat perangai.
Datin Rosnah terkejut mendengar pertanyaan anaknya. “Eh, bukan macam tu maksud mama. Mama cuma nak tengok satu-satunya anak lelaki mama berjalan semula macam dulu. Lagipun dulu Kif selalu cakap yang Kif dah tak sempurna lagi. Inilah masanya untuk Kif berjalan semula.” Dia membetulkan tanggapan negatif Thakif
 “Kif belum bersedia lagi nak berubat, ma... Kif harap mama faham dan tak memaksa Kif. Bagi Kif masa ya, ma?” Dia sebenarnya takut. Takut kalau selepas berubat kakinya masih tak boleh berjalan.
“Baiklah… kalau itu keputusan Kif, mama takkan memaksa. Mama harap satu hari nanti hati Kif akan terbuka untuk berubat.” Datin Rosnah mengusap rambut Thakif.
“Terima kasih, mama... terima kasih sebab memahami Kif.” Dia mencapai tangan mamanya lalu digenggam erat.
                                               
THAKIF memanjangkan tangan memetik suis lampu tidur. Dia mengerling jam di dinding. Pukul 3 pagi. Banglo dua tingkat itu sunyi. Dia memanjangkan lagi tangan untuk mencapai kerusi roda yang terletak agak jauh sedikit dari gapaiannya. Apabila sudah dapat mencapai pemegang kerusi roda, dia menarik menghampiri katil. Dia berusaha untuk bangun dengan memegang kuat pada pemegang kerusi roda.
Arghhh!!!” jeritnya. Nasibnya malang apabila dia terlupa mengunci brek kerusi roda sehingga menyebabkan dia tersungkur ke bawah katil.
Datin Rosnah membuka matanya. Suara jeritan itu membuatkan hatinya bimbang. Dato’ Azhar yang masih lena dikejutkan. “Bang... bangun, bang...” Dia menggoyang perlahan badan suaminya.
Hmmm...” sahut Dato’ Azhar tanpa membuka mata.
“Ros dengar macam suara Kif menjerit je tu...”
Mendengar kata-kata Datin Rosnah membuatkan rasa mengantuk Dato’ Azhar hilang. Dia bingkas bangun menuju ke bilik anak bujangnya diikuti Datin Rosnah dari belakang. “Kif?” panggil Dato’ Azhar sebaik saja pintu bilik Thakif dibuka.
Datin Rosnah sudah menggelabah apabila melihat katil Thakif kosong. Dia melangkah masuk ke bilik itu. “Astaghfirullahalazim...” Dia mengucap panjang apabila melihat Thakif yang sudah tersungkur di bawah katil.
Thakif masih cuba untuk bangkit namun gagal. Peluh sudah memercik di dahinya.
“Kif nak pergi mana ni? Kenapa tak panggil mama?” soal Datin Rosnah cemas.
“Kif nak buat solat taubat, ma. Kif tak nak menyusahkan mama. Tambah-tambah pulak sekarang ni dah tengah malam. Mesti mama dengan papa dah tidur.”
 Dato’ Azhar mengangkat badan Thakif lalu diletakkan di atas kerusi roda.
“Jom mama bawak Kif pergi ambil wuduk.” Datin Rosnah sudah memegang pemegang kerusi roda.
“Tak apalah, ma. Biar Kif pergi sendiri. Mama dengan papa pergilah tidur.” Thakif menolak kerusi rodanya menuju ke bilik mandi.
“Tapi, Kif...”
“Dahlah tu, Ros... biar Kif buat sendiri. Jom kita sambung tidur,” ajak Dato’ Azhar. Dia tahu yang Thakif mahu berdikari. Kalau terus didesak dia takut anaknya kembali tertekan.
“Papa...” panggil Thakif sebaik saja Dato’Azhar dan Datin Rosnah hampir melepasi pintu bilik.
Dato’ Azhar dan Datin Rosnah berpaling.
“Nanti tolong carikan ustaz untuk Kif ya?” Thakif mahu betul-betul bertaubat.
“Baiklah, nanti papa carikan,” janji Dato’ Azhar. Kemudian dia meneruskan langkahnya.
Selesai memberi salam, Thakif menadah kedua-dua belah tangannya untuk berdoa. “Ampunilah aku, ya Allah. Tuhan yang Maha Agung, tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Aku bertaubat kepada Engkau, ya Allah. Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau. Engkaulah yang menjadikan aku, sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah kulakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan aku mengaku segala dosaku. Ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosaku kecuali Engkau. Amin... amin... ya rabbal alamin...” Teresak-esak Thakif menangis.  Dia meraupkan tangannya ke muka.
            Kerusi roda dibawa menuju ke rak buku. Surah Yasin dicapai dan dibaca. Sayu suaranya mengalunkan bacaan Yasin.
            Di luar bilik, Datin Rosnah mengalirkan air mata apabila mendengar suara Thakif membaca surah Yasin. Dia bersyukur anaknya telah kembali ke pangkal jalan.
Dato’ Azhar mengusap perlahan bahu isterinya. Dia juga turut mengalirkan air mata kesyukuran.

~BERSAMBUNG~

p/s: Sorry kalau bahasa untuk bab ni terkasar sikit.

5 comments:

  1. bagus, thakif dah bertaubat.
    semoga pintu hati thakif akn terbuka untuk lepaskan kenangan lama pulak. :)

    kdg2 bila diuji, kita lupakan Allah. Tapi kita tak ingat, ujian tu sebenarnya sbg tanda Allah sayang pada kita. DIA masih memberikan hidayah dan taqwa dlm diri kita. (sekadar berkongsi)

    sambung lagi...

    ReplyDelete
  2. Umi Kalsom: Setuju dengan umi.. ^_^

    ReplyDelete
  3. harap Thakif lebih tabah..
    best!! sambung lagi kak.. ^_^

    ReplyDelete