Followers

Thursday, 1 March 2012

Separuh Hati Untukmu 6


“YATI… Yati! Hei, pekak betullah perempuan ni!” marah Anis apabila Haryati, pembantu rumah papanya belum muncul. Dia membunyikan hon kereta sekuat hati.
            Haryati yang baru saja keluar dari tandas terkocoh-kocoh berlari mendapatkan anak majikannya apabila terdengar bunyi bising di laman rumah. “Ya, Anis? Kak Yati dalam tandas tadi.” Dia menarik nafas laju melepaskan lelah. Mana tak penat, dia berlari sambil membawa badannya yang besar.
            “Berapa kali aku dah ingatkan kau panggil aku Cik Anis? Apa kakak-kakak? Aku tak ada kakak tau!” Panas terasa muka Anis.
            “Ba... baik, Cik Anis. Ada apa Cik Anis panggil saya?” tanya Haryati takut-takut. Walaupun Qhafi dan Anis pasangan kembar, mereka mempunyai perangai yang berbeza. Qhafi seorang yang baik dan tak sombong manakala Anis pula suka menengking, berlagak dan kuku besi. Apa saja yang dia buat, semuanya serba tak kena di mata gadis itu. Amanda juga sama seperti Qhafi, lembut dan manja orangnya.
            “Pergi bukak pintu pagar tu, aku nak keluar!” Anis memakai tali pinggang keledar.
            “Tapi...  Cik Anis kan dah janji dengan Tan Sri dan Qhaf yang Cik Anis tak nak keluar sebab nak jaga Puan Sri hari ni?” Haryati cuba mengingatkan janji Anis kepada papa dan abangnya sebelum mereka keluar menghadiri mesyuarat tadi.
            “Kau tu siapa nak ingat-ingatkan aku ni? Suka hati akulah nak keluar ke tak! Kalau dah orang gaji tu buat cara orang gaji. Tak payah nak menyibuk hal aku! Dah, pergi bukak pintu pagar tu cepat!” Anis menjeling tajam lalu menutup kuat pintu kereta.
            Wajah Haryati berubah muram. Dia melangkah perlahan untuk membuka pintu pagar.
            “Cepatlah sikit jalan tu, terhegeh-hegeh! Aku dah lambat ni!”
Haryati berlari anak membuka pintu pagar apabila mendengar Anis memetir.
Sebaik saja pintu pagar dibuka, Anis mula memandu keluar keretanya. Sempat lagi dia menghadiahkan jelingan tajam pada Haryati yang berdiri di tepi pagar.
            Haryati berlalu ke dalam rumah tanpa mengunci semula pintu pagar. Dia melangkah ke dapur mencapai sampah yang sudah penuh. Kemudian dia melangkah ke luar pagar dan meletakkan sampah itu di tempat pembuangan sampah yang disediakan. Usai membuang sampah, dia membasuh tangan di pili air di sebelah pintu pagar. Hidungnya dikembang-kempiskan. Ada satu bau yang yang mengganggu deria baunya. “Bau apa ni?” Dia mengerut keningnya. Tiba-tiba matanya terbeliak. “Ya Allah, kek aku!” Dia kelam-kabut menutup pili air lalu berkejar ke dapur. Pintu pagar dibiarkan dulu. Kek di dalam ketuhar lebih penting.
“Ya Allah, macam mana aku boleh tersalah set time ni?” ujarnya sebaik saja mengeluarkan kek dari dalam ketuhar. “Dah tak boleh makan ni. Hangus sangat. Ni semua perut punya pasal. Kalau tak meragam masa aku tengah nak set time mesti tak hangus.” Haryati membebel sendirian. “Ah, buat lain jelah. Bahan-bahan pun ada lagi.” Dia mula mengeluarkan bahan-bahan untuk membuat kek. 
                                                           
“AKU dengar Kif dah bertunang dengan adik kau. Betul ke?” tanya Maria sambil menyedut jus tembikainya. Kemudian dia memandang sekeliling Restoran San Francisco Steakhouse melihat pelbagai ragam pelanggan.
            “Siapa bagitau kau?” Soalan Maria tak dijawab, Anis mengutarakan soalan lain pula. Dia membenamkan garfu pada isi daging ayam lalu dibawa ke mulutnya. Lambat-lambat dia mengunyah. Seleranya tiba-tiba hilang.
            “Jenny pernah emel kat aku. Aku tak sangka Kif bakal jadi adik ipar kau. Masa aku, kau, Qhaf, Kif dengan Jenny belajar dulu, kita sangat rapat, kan? Pergi mana-mana pun mesti berlima. Habis je study, aku mohon Inspektor Polis dan ditugaskan ke Sabah. Kau orang pulak dengan kerjaya masing-masing sampai kita tak ada masa nak jumpa. Maklumlah aku jauh. Sekarang aku dah ditukarkan ke KL, bolehlah aku jumpa kau orang bila-bila masa je...” Maria tersenyum mengenang kisah lama.
            “Aku ingat Jenny bergurau bila dia kata Kif bertunang dengan Manda. Bila dia tunjukkan gambar dia orang bertunang, baru aku percaya. Yalah, mana aku nak percaya... setahu akulah, Kif tak pernah kenal Manda. Dia mana pernah datang rumah kau dulu. Kita yang datang rumah dia adalah. Lagi satu, cara Kif layan kau masa kat kampus dulu nampak macam dia ada hati pada kau. Tup-tup dia pilih adik kau pulak. Bila majlis nikah dia orang? Masa bertunang aku tak pergi tapi kali ni aku akan pastikan yang aku pergi.” Di dalam kepala Maria sudah terbayang nasi minyak dengan pelbagai jenis lauk. Uiii… kecur liur dibuatnya!
            Wajah Anis berubah muram.
            “Kau okey ke Anis?” Maria pelik melihat wajah Anis yang tiba-tiba bertukar. Takkan kecewa kot?
            “Manda dah dah hampir tiga bulan meninggal.” Serta merta air mata Anis berjuraian di pipinya.
            Maria tergamam. “Innalillahiwainnalillahirojiun... dia sakit apa? Kif pulak macam mana?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulutnya. Dia tak menyangka Amanda pergi begitu cepat. Kali pertama dia mengenali gadis itu semasa cuti pertengahan semester. Ketika itu dia menumpang di rumah Tan Sri Razman kerana papanya terpaksa menghadiri seminar. Dia yang malas mahu ikut, menumpang di rumah keluarga Anis sementara menunggu papa dan mamanya balik. Ketika itu dia baru berusia 19 tahun dan  Amanda pula bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia.
            “Sebenarnya, Kif dengan Manda terlibat dalam kemalangan. Manda meninggal di tempat kejadian, Kif pulak aku dengar dari Qhaf, dia lumpuh.” Anis mengesat air mata.
            “Sabarlah, Anis... setiap yang hidup pasti akan mati. Kita doakanlah agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.” Maria menepuk perlahan tangan Anis yang berada di badan gelas. “Aku rasa kan, mungkin ni petanda Kif memang jodoh kau.” Maria berkata penuh yakin. Bukan dia gembira di atas kematian Amanda tapi dia seperti dapat merasakan yang Thakif memang diciptakan untuk Anis. Sejak dulu lagi dia memang tahu Anis menaruh hati pada lelaki itu. Pernah juga dia menawarkan diri mahu menjadi orang tengah antara Thakif dan Anis tapi Anis menolak kerana mahu melakukannya sendiri. Tambahan pula layanan Thakif membuatkan dia dan Anis yakin yang lelaki itu mempunyai rasa yang sama seperti Anis.
            “Excuse me, cuba kau ulang balik ayat kau tadi. Aku kurang jelaslah.” Riak wajah dan suara Anis serta-merta berubah. Tiada lagi riak mendung.
            “Aku cakap, mungkin Kif tu jodoh kau.”
            “Pleaselah! Orang macam tu nak jadi suami aku? Eee... tak sanggup aku! Bukan menyenangkan, menyusahkan aku adalah!” Dia memotong kasar isi daging ayam sehingga menyebabkan bunyi dentingan di dalam pinggan.
            “Tapi bukan ke kau cint...”
“Itu dulu, sebelum dia cacat!” potong Anis pantas. Dia menghempaskan garfu dan pisau ke pinggan. Makin hilang selera makannya.
Maria terkejut. Dia memandang sekeliling. Semua pengunjung restoran memandang ke arah mereka. Dia memandang  wajah Anis yang nampak bengis.
 “Dulu dia kacak dan nampak gagah tapi sekarang mesti dia nampak lemah, kan? Maklumlah dah jadi OKU... lagipun mana padan nak digandingkan dengan aku!” Angkuh sekali Anis bercakap. Di mindanya sudah membayangkan keadaan Thakif yang hanya terbaring dan tak mampu berbuat apa-apa.
            “Anis, tak baik kau cakap macam tu. Kalau kau dah tak ada perasaan pada Kif sekalipun, janganlah hina dia macam tu. Dia kan kawan baik kita? Sejak dari zaman belajar sampailah sekarang perangai kau masih tak berubah, kan? Masih lagi sombong dengan orang yang kurang dari kau. Dia orang tu pun manusia macam kita jugak, ada hati dan perasaan. Dia orang tak pernah minta jadi tak sempurna macam tu. Kau menghina dia orang seolah-olah kau menghina ciptaan Tuhan. Kau kena ingat, Allah tu Maha Berkuasa. Sekelip mata je Dia boleh tarik salah satu anggota badan kau. Masa tu menangis air mata darah pun dah tak berguna!” Maria sudah tak boleh bersabar dengan sikap Anis. Dulu dia masih boleh berdiam diri apabila Anis menghina Fazril, kawan satu kampus mereka yang tempang. Hanya kerana Fazril memberikan bunga, Anis mula melenting dan menghina lelaki itu. Hari ini dia rasa dia perlu bersuara.
Wajah Anis berubah merah. Hatinya terasa panas. “Stop it, Mar! Aku jumpa kau bukan nak dengar kau membebel! Kalau macam ni baik aku balik je! Buang masa aku je keluar! Ingatkan dapatlah lepas rindu tapi lain yang aku dapat!” Anis bersuara keras tapi perlahan. Dia mengangkat beg tangannya untuk beredar dari restoran itu.
            Maria menggosok wajahnya perlahan mencari ayat mahu memujuk Anis yang sudah marah. Kalau Anis bukan kawan baiknya, sudah lama dia biarkan saja gadis itu pergi.
            “Hei, relakslah kawan... aku baru je sampai. Kau nak pergi mana ni? Takkan marah aku lambat kot?” Jennifer yang baru muncul di restoran itu menahan Anis yang sudah mahu beredar.
            “Aku nak balik. Kau jelah shopping dengan Mar, aku dah tak ada mood!” Anis menolak tangan Jennifer yang berada di bahunya.
            “Alah... janganlah macam ni, tak bestlah... kau ikut kita orang sekali ya?” pujuk Jennifer.
            “Tak nak!” Dia sudah mula melangkah untuk ke pintu keluar.
            “I'm sorry” ucap Maria perlahan. Dalam hati dia berasa jengkel dengan sikap Anis. Dia terpaksa mengucapkan ayat itu untuk memujuk Anis kembali.
            Langkah Anis terhenti. Dia berpaling untuk mendengar sekali lagi ucapan itu.
            “I'm sorry... kau maafkan aku tak?” Maria mengukir senyum.
            Jennifer sudah menayang muka pelik, tak memahami drama apa yang dilakonkan oleh Maria dan Anis.
Anis merenung tajam ke wajah Maria. Sesaat... dua saat... tiga saat… sebuah senyuman mula terukir di bibirnya. “Jom kita pergi shopping!” ajaknya. Kemarahannya sudah hilang sebaik saja mendengar ungkapan maaf dari mulut Maria.
            “You all berdua ni kenapa? Hari ni bukannya hari raya sampai nak bermaaf-maafan,” soal Jennifer.
            “Tak ada apa-apalah, forget it. Kata nak shopping, kan? Jomlah.” Maria memanggil pelayan untuk menjelaskan bayaran. Baru saja ingin keluar dari restoran, telefon pintarnya berbunyi. Dia meminta izin untuk menjawab panggilan. “Helo...” Dia diam mendengar suara dihujung talian. “Baiklah, saya datang sekarang.” Dia mematikan talian. “Anis, Jenny… sorry sangat-sangat, aku tak dapat nak join kau orang. Aku kena balik balai sekarang.” Dia menyusun sepuluh jarinya lalu diangkat hingga ke paras dada.
            “Alah… ni first time kita jumpa balik. Kata cuti, kenapa kena kerja pulak?” Anis bersuara tak puas hati.
            “Aku kan polis? Bukan macam you all yang kerja ikut waktu pejabat. Lain kali kita keluar lagi ya?” pujuk Maria. Hujung tudungnya dipintal-pintal.
            “Tulah, siapa suruh jadi polis? Kan dah susah nak keluar dengan kita orang.” Jennifer merungut.
            Maria tersenyum. “Aku pergi dulu ya. Urgent ni.” Maria turun ke aras bawah kompleks membeli-belah Suria KLCC.
            Sebaik kelibat Maria hilang ditelan ribuan manusia, Anis dan Jennifer naik ke aras atas.
                                                                       
TAN SRI RAZMAN baru saja pulang dari mesyuarat bersama Qhafi. Dia menaiki tangga untuk ke biliknya manakala Qhafi pula berehat sebentar di luar, duduk di atas buaian mengambil angin petang.
             Sebaik membuka pintu bilik, Tan Sri Razman pelik melihat isterinya tiada di atas katil. Dia cuba mencari di bilik mandi tapi kosong. Dia mula panik dan bergegas melangkah keluar dari bilik. “Yati… Yati…”
            “Ya, Tan Sri?” tanya Haryati sebaik saja dia sampai di depan tangga. Dia mendongak memandang wajah majikannya yang berdiri di tangga tingkat dua.
            “Nida mana? Kenapa dia tak ada dalam bilik?”
            “Hah, Puan Sri tak ada? Tadi saya tengok dia tidur...”
            “Cuba awak pergi tengok sendiri.” Jari telunjuk sudah dituding ke pintu bilik.
            Haryati terkocoh-kocoh menaiki tangga.
            “Kenapa, pa?” soal Qhafi yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah. Jeritan papanya tadi menggamit dirinya untuk masuk ke dalam.
            “Ibu tak ada dalam bilik. Yati cakap dia nampak ibu tidur tadi. Papa masuk je tengok bilik tu kosong.” Tan Sri Razman memicit kepalanya perlahan.
            Qhafi mendaki tangga sebaik saja Haryati muncul di sebelah Tan Sri Razman. “Macam mana, Kak Yati? Ada ibu kat dalam bilik?” Wajah panik Haryati dipandang.
            “Puan Sri tak ada dalam bilik. Tapi tadi memang Kak Yati nampak Puan Sri tengah tidur...”
            “Awak ada bukak pintu pagar tak tadi?” tanya Tan Sri Razman. Wajahnya serius bercampur risau. Mananya dia tak risau, doktor peribadinya telah mengesahkan Puan Sri Anida menghidap kemurungan buat kali kedua.
Menurut doktor Rohaniza, penyakit Puan Sri Anida kali ini mungkin lebih teruk dari dulu. Hanya Tan Sri Razman dan ibunya, Hajah Karimah saja yang mengetahui penyakit kemurungan yang pernah dihidapi Puan Sri Anida suatu masa dulu. Kematian Amanda secara mengejut telah memberikan tamparan yang besar kepada Puan Sri Anida. Seringkali Tan Sri Razman melihat isterinya menangis, meratapi pemergian Amanda. Kadangkala pakaian milik Amanda sering menemani tidurnya.
            “Yati!” sergah Tan Sri Razman apabila pembantu rumahnya itu hanya diam sedari tadi seperti takut-takut untuk bersuara.
            Terangkat sedikit bahu Haryati. “Ya, Tan Sri?” Dengan teragak-agak dia memandang wajah Tan Sri Razman yang kelihatan tegang.
            “Saya tanya, awak ada bukak pintu pagar tak tadi?” ulangnya sedikit tegas. Tambahan pula rumahnya memang tak ada mengupah pengawal keselamatan.
            “Ad... ada… ta… tadi Cik Anis nak keluar, dia suruh saya bukakkan pintu pagar. Lepas kereta Cik Anis keluar, saya masuk ke dapur nak ambil sampah. Lepas buang sampah saya tak terus tutup pagar sebab tangan saya kotor. Lepas tu saya lari masuk ke dapur sebab kek yang saya bakar dah berbau hangit. Lepas tu saya buat kek baru. Lepas dah bakar kek, baru saya tergerak nak tutup pagar,” cerita Haryati senafas. Takut punya pasal, habis tunggang-langgang ayatnya. “Ma… maafkan saya, Tan Sri. Saya tak sengaja.” Badannya sudah menggigil ketakutan menunggu bicara Tan Sri Razman seterusnya.
            Tan Sri Razman meraup wajahnya. “Anyah ke mana? Kan masing-masing ada remote, kenapa dia suruh awak bukak pagar tu? Saja je budak ni kan? Tadi kata tak nak keluar!” Panas hatinya mendengar cerita pembantu rumahnya.
            “Saya tak tahu, Tan Sri. Saya tak tanya pulak dia nak pergi mana tadi.”
            “Lepas awak tutup pintu pagar, awak ada tengok tak Nida kat bilik?” soal Tan Sri Razman lagi.
            Haryati menggelengkan kepalanya. “Saya terus ke belakang angkat baju.” Wajahnya ditundukkan.
            “Kita tengok kat CCTV dulu, pa...” cadang Qhafi.
Sebaik melihat anggukan Tan Sri Razman, mereka bertiga segera masuk ke bilik bacaan yang menempatkan alat pemerhati televisyen litar tertutup. Teliti mereka melihat rakaman video itu, tak mahu tertinggal walau satu pun.
            “Tu dia Puan Sri! Ya Allah, Puan Sri memang keluar!” jerit Haryati apabila melihat kelibat Puan Sri Anida sedang berjalan keluar dari pagar.
            Tan Sri Razman dan Qhafi serentak memandang wajah Haryati.
“Saya tahu. Saya tak rabun dan tak pekak lagi. Tak payah nak jerit-jerit,” ujar Tan Sri Razman sinis. Jeritan Haryati tadi membingitkan telinganya.
Haryati tunduk. Dia juga risaukan keadaan Puan Sri Anida yang kurang sihat itu merayau-rayau di luar. Dia takut akan disalahkan jika ada sesuatu yang buruk berlaku pada isteri majikannya. Kenapalah aku ni lalai sangat?
            Qhafi memandang papanya. “Along rasa baik along cari ibu kat luar. Manalah tahu ibu belum jauh lagi.”
            “Papa ikut along ya?” Tan Sri Razman menawarkan diri.
            “Tak apa, papa tunggu je kat rumah. Apa-apa hal along call.” Qhafi bergegas menuruni tangga mendapatkan keretanya.
Tan Sri Razman mengekori dari belakang manakala Haryati pula melangkah ke dapur dengan hati yang kacau.
            “Call papa tau nanti,” ujar Tan Sri Razman sebaik saja Qhafi masuk ke dalam perut kereta.
            Qhafi mengangguk kemudian dia mengundurkan keretanya ke belakang.
Sebaik saja kereta Qhafi meluncur keluar dari pekarangan rumah banglo tiga tingkat itu, Tan Sri Razman melangkah masuk ke dalam rumah. Dia mencapai ganggang telefon di ruang tamu lalu mendail nombor Anis. Dia menunggu beberapa saat sebelum panggilannya bersambut. “Helo, anyah kat mana ni?” Tangan kanan sudah dicekak ke pinggang.
            “Anyah tengah shopping dengan Jenny ni. Kenapa, pa?” soal Anis di hujung talian.
            “Kan papa suruh anyah jaga ibu? Kenapa anyah keluar jugak?!” marahTan Sri Razman. Hatinya panas dengan jawapan Anis.
            “Alah, papa ni... orang nak keluar pun tak boleh! Yati tu kan ada? Biarlah dia jaga ibu. Jangan nak makan gaji buta je!” Anis merungut.
            “Bukannya papa tak bagi anyah keluar tapi tunggulah kami balik rumah dulu. papa nak anyah balik rumah sekarang!”
            “Anyah belum puas shopping lagi ni. Banyak benda lagi yang anyah nak beli. Awal lagi nak balik pun. Malaslah nak balik, ibu bukannya normal lagi.”
            “Apa anyah cakap? Cuba ulang sekali lagi?!” suara Tan Sri Razman sudah naik satu oktaf.
            “Tak ada apa-apalah. Okeylah, pa... anyah nak sambung shopping ni. Bye, pa...
            “Anis Fatehah, papa belum habis cakap lagi… Anis!” jerit Tan Sri Razman. Dia menghempas ganggang telefon. Dia geram apabila Anis mematikan talian. Nafas ditarik untuk menghilangkan kemarahan yang bersarang di hati. Ganggang telefon diangkat semula. Nombor Anis didail lagi.
“Ada apa lagi ni, pa?” soal Anis di hujung talian dengan nada malas.
            “Papa nak anyah balik sekarang. Ibu dah hilang tahu tak?! Papa tak kira anyah tengah shopping ke apa... yang penting anyah kena balik. Titik!” Usai menghabiskan kata-katanya, Tan Sri Razman mematikan talian.
            Haryati di dapur sudah keresahan. Sekejap duduk, sekejap bangun dan sekejap mundar-mandir. Kek yang baru separuh diletakkan krim sebelum kepulangan Tan Sri Razman dan Qhafi tadi dibiarkan begitu saja. Dia sudah tiada hati mahu menyambung yang Puan Sri Anida kata teringin nak makan itu. “Harap-harap Puan Sri tak apa-apa. Harap-harap Qhaf dapat cari Puan Sri,” doanya.
                                                           
QHAFI meliarkan pandangannya ke kiri dan kanan mencari kelibat ibunya. Habis satu kawasan perumahan mewah itu dipusing namun Puan Sri Anida masih belum ditemui. “Ibu, mana ibu pergi ni?” Sebelah tangannya menggaru kening yang terasa gatal. Dia membuat keputusan mahu meronda sekali lagi kawasan perumahan itu. Kelihatan langit mulai gelap. Dia mula menghidupkan lampu keretanya untuk memudahkan lagi pencarian. Sedang dia leka memerhati jalan, telefon pintarnya menjerit minta diangkat. Dia melihat nama yang tertera sebelum memakai handfree.
            “Macam mana? Ada jumpa ibu?” soal Tan Sri Razman di hujung talian.
            “Belum lagilah, pa... satu taman perumahan ni along dah cari tapi tak jumpa pun ibu...”
            Kedengaran keluhan Tan Sri Razman. “Along dah cari betul-betul ke? Manalah tahu terlepas pandang ke?”
            “Dah, pa... semua tempat along perhatikan betul-betul. Papa dah call nenek?” tanya Qhafi apabila teringatkan Hajah Karimah yang tidur dirumah adik papanya.
            “Belum lagi. Papa rasa tak payah kot bagitahu nenek, takut nenek risau pulak. Tapi adik kamu yang bertuah tu ayah dah bagitau tadi.”
            “Ke mana pulak si anyah tu merayau, pa?” Mata Qhafi masih lagi memandang sekitar jalan.
            “Kamu nak tahu, boleh pulak dia sedap-sedap shopping dengan kawan. Bertuah punya anak! Tadi janji nak jaga ibu, tup-tup keluar pulak. Kawan yang dia pentingkan. Ibu sendiri dibiarkan begitu je!” Nada suara Tan Sri Razman berbaur kemarahan.
            “Papa tak suruh dia balik ke?”
            “Dah suruh tadi. Kalau tak sampai rumah jugak karang, tahulah macam mana papa nak mengajarnya. Okeylah, along... papa letak ganggang dulu. Kalau tak jumpa jugak along balik rumah. Lepas dua puluh empat jam baru kita ke balai buat report.
            “Baiklah, pa... assalamualaikum...”
            “Waalaikumussalam...” jawab Tan Sri Razman di hujung talian.

            Qhafi mencabut handfree di telinganya lalu meneruskan misi mencari Puan Sri Anida. Di pertengahan jalan dia memperlahankan kereta apabila melihat kelibat seorang wanita yang sedang berjalan. Matanya ditajamkan untuk mengecam susuk tubuh itu. Sesudah mengenal pasti, dia melajukan keretanya untuk mengejar wanita itu.

~BERSAMBUNG~

p/s: Dah lama rasanya WC tak sambung cerita ni... dah masuk 9 bulan kot. Sorry lambat sambung. Dengan penyakit M yang melanda plus tak ada idea, sebab tu cerita ni digantung tak bertali... Entah ada yang baca cerita ni ke x...

5 comments:

  1. WC dh lma 2gu ctew ni...
    btw cpt2 la smbng erkk

    ReplyDelete
  2. @Aida Nadia, thnks sudi tunggu cerita ni... WC akan cuba, Insya-Allah

    ReplyDelete
  3. plot cite yg menarik.....
    next n3 plzzzzzzz....

    ReplyDelete
  4. @Aida Sherry, WC tengah siapkan bab 7... tunggu ek...

    ReplyDelete
  5. best...xsabar nk tgu entry strusnya..cpat yer...=)

    ReplyDelete