Followers

Sunday, 18 March 2012

Separuh Hati Untukmu 7


 “IBU... Ibu...” Qhafi memanggil-manggil Puan Sri Anida di tengah-tengah taman permainan yang sunyi itu. Matanya diliarkan ke seluruh kawasan taman permainan yang hanya diterangi lampu jalan.
Menurut Halijah, pembantu rumah jirannya yang ditemui di tengah jalan tadi, Puan Sri Anida  berada di taman permaianan ini. Halijah yang ketika itu sedang mengawasi anak majikannya yang sedang bermain, hanya melihat saja Puan Sri Anida duduk di bangku sambil bercakap seorang diri. Sebaik mendengar kata-kata Halijah tadi, Qhafi segera memecut keretanya ke taman permainan.
“Ibu... ibu kat mana? Along datang ni. Jomlah kita balik.” Suasana taman permainan masih sunyi. Masih tiada sahutan ibunya. Dia duduk di atas buaian. Wajahnya ditekup, sedih kerana gagal menjumpai ibunya. Adakah ibunya sudah pergi jauh dari kawasan taman permainan ini? “Ibu...” Qhafi merintih.
Tiba-tiba dia mengangkat wajah apabila terdengar suara berbisik. Dia cuba menajamkan pendengaran dan memandang sekeliling taman untuk mengenal pasti arah datangnya suara yang seakan berbisik itu. Qhafi bangkit dari buaian. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah gelongsor yang berbentuk seperti terowong. Telinga didekatkan di badan gelongsor. “Ibu...” Dia memanggil.
Suara itu masih lagi berbisik, tak mempedulikan panggilan Qhafi.
Qhafi berjalan pula ke depan gelongsor dan menundukkan badannya untuk melihat wajah orang yang berbisik tadi namun dia hampa apabila tiada orang di situ. “Ibu...” Dia menegakkan badannya semula mencari arah tangga untuk naik ke atas gelongsor. Dia yakin suara orang berbisik itu ada di atas.
Sampai saja di tangga terakhir, dia ternampak kelibat seseorang yang sedang duduk di bahagian terowong gelongsor. “Ya Allah, kat sini rupanya ibu...” Dia mempercepatkan langkah mendapatkan orang itu. Akhirnya dia jumpa juga dengan apa yang dicari. Bahu Puan Sri Anida yang masih tak mempedulikan kehadirannya disentuh lembut.
Puan Sri Anida menoleh. “Ibu tengah bersembang dengan Manda ni. Along pergilah sana, jangan kacau Ibu,” halaunya. Dia mengalihkan wajahnya semula pada baju Amanda di tangannya.
Qhafi pelik mendengar kata-kata ibunya. Dia memanjangkan lehernya untuk melihat kalau-kalau ada orang lain yang duduk di sebelah ibunya. Dia menggaru kepala apabila melihat hanya ibunya saja di situ.
“Nanti untuk majlis bersanding Manda, ibu nak buat besar-besaran. Ibu nak buat kat hotel. Ibu nak jemput semua kawan-kawan ibu, biar dia orang tahu yang Manda ada lagi. Bukan dah mati macam yang dia orang cakapkan tu. Nanti kita tempah baju pengantin yang paaalinggg cantik ya, Manda?” Puan Sri Anida ketawa.
Kini terjawab sudah teka-teki di kepala Qhafi. Rupa-rupanya ibunya bercakap dengan baju Amanda yang berada di tangan. Perlahan-lahan dia cuba mengambil baju itu di tangan Puan Sri Anida.
“Hei, janganlah tarik adik! Sakit dia tau!” Puan Sri Anida menjegilkan matanya. Baju Amanda diambil kembali. “Tangan Manda sakit ya? Along ni jealous ibu manjakan Manda. Jangan kawan dengan along.” Dia memukul tangan Qhafi, kemudian dia membelai baju Amanda seolah-olah dia mengusap lengan Amanda yang sakit.
“Ibu... jom kita balik, hari dah malam ni. Kat sini sejuk, nanti ibu demam pulak.” Qhafi cuba memujuk.
“Ibu tak nak balik. Ibu nak duduk sini dengan Manda. Kalau balik rumah nanti ibu kena makan ubat. Ibu tak suka makan ubat. Ibu bukan sakit pun!” Puan Sri Anida mengesot ke dalam sedikit, tak mahu mengikut Qhafi pulang ke rumah mereka.
Tiba-tiba guruh berdentum.
Qhafi memandang langit yang gelap tanpa cahaya bulan. Tangannya memegang lagi bahu ibunya. “Ibu, kita balik ya? Hari nak hujan. Kalau ibu basah nanti lagi susah. Manda kan sensitif dengan hujan? Kalau Manda demam nanti macam mana?”
“Manda nak balik ke?” Puan Sri Anida bertanya pada baju itu. “Jawablah, Manda... Manda nak balik rumah ke?” tanyanya lagi. “Jawablah, Manda... jawablah...” Dia menggoyangkan baju itu. Air matanya tumpah apabila Amanda tak mahu bercakap dengannya.
“Ibu, jangan macam ni. Kita balik dulu ya? Papa tengah tunggu ibu kat rumah...” Qhafi mengelap air mata yang tumpah di pipi ibunya.
“Ni semua kau punya pasal!” Puan Sri Anida menolak kasar badan Qhafi sehingga lelaki yang sedang bertinggung itu jatuh ke belakang.
Belakang badan dan kepala Qhafi terhantuk pada besi penghadang di situ. Wajahnya berkerut menahan sakit. Tangan kanannya menggosok perlahan belakang kepala.
“Kalau kau tak datang mesti Manda takkan membisu macam ni. Aku tak nak tengok muka kau! Pergi balik! Tinggalkan aku dengan Manda kat sini! Jangan cuba nak pisahkan kami lagi!” Mata Puan Sri Anida mencerun garang memandang anak sulungnya.
Qhafi bangkit menghampiri ibunya semula tanpa mempedulikan belakang badan yang terasa sengal. Yang penting baginya kini adalah memujuk ibunya pulang ke rumah. “Ibu ikut along balik ya?” Tangannya memegang lengan ibunya, cuba menarik Puan Sri Anida supaya keluar dari terowong itu.
Puan Sri Anida mengeraskan badannya. “Aku tak naklah. Aku nak tidur sini dengan Manda. Manda pun tak nak balik. Kalau aku balik, nanti tak dapat nak jalan-jalan dengan Manda lagi.” Dia menepis tangan Qhafi.
“Ibu kata nak pergi tempah baju pengantin untuk Manda, kan?”
Puan Sri Anida terdiam. Kemudian mengangguk laju.
“Kalau macam tu, jom kita balik. Kalau ibu dengan Manda tidur sini, nanti nak pergi butik dengan siapa?”
Puan Sri Anida diam lagi, memikirkan kata-kata Qhafi.
“Esok along bawak ibu dengan Manda pergi butik pengantin, tempah hotel dan ke mana je ibu nak pergi. Tapi ibu kena ikut along balik rumah dulu.” Qhafi mengumpan.
Bunyi guruh masih lagi berdentum namun hujan tak juga turun. Hanya angin saja yang bertiup sedikit.
Puan Sri Anida mula bangkit. Dia sudah terpedaya dengan pujukan Qhafi.
Qhafi tersenyum. Dia membelai rambut ibunya yang terlepas bebas dan mencium ubun-ubun kepala ibunya. Perlahan-lahan dia membawa Puan Sri Anida turun dari situ lalu melangkah ke tempat keretanya diparkirkan.
Tiba-tiba Puan Sri Anida berhenti. Dia memandang Qhafi.
Qhafi juga turut berhenti “Kenapa, ibu?” Lagi beberapa langkah saja mereka akan sampai ke kereta.
“Along tak tipu ibu, kan?”
Qhafi menggeleng. “Kan along dah janji, takkan nak tipu ibu pulak? Along pun nak tengok jugak Manda pakai baju pengantin. Mesti cantik macam ibu.” Qhafi membayangkan rupa Amanda di dalam persalinan baju pengantin. Memang arwah adiknya itu cantik. Wajah Amanda sangat mirip dengan ibunya.
Puan Sri Anida tersenyum. Dia meneruskan langkah semula.
Qhafi mengeluh lega apabila Puan Sri Anida sekali lagi terpedaya dengan pembohongannya.
“Manda, esok along nak bawak kita ke butik pengantin. Manda mesti tak sabar nak cuba baju pengantin, kan?” Puan Sri Anida bercakap lagi dengan baju di tangannya. “Nanti along call Kif ya? Ajak dia pergi sama,” pintanya ketika Qhafi mahu menutupkan pintu kereta untuknya.
Qhafi terpempan mendengar permintaan Puan Sri Anida. Kif dah tak macam dulu lagi, bu. Dia dah lumpuh. Manda pulak dah tak ada, rintihnya dalam hati. Kemudian dia tersenyum dan mengangguk. Pintu kereta ditutup lalu melangkah pula ke bahagian pemandu.

TAN SRI RAZMAN bergegas melangkah ke pintu apabila mendengar bunyi kereta memasuki pekarangan rumah. Wajahnya yang kelihatan risau sedari tadi terus berubah serius apabila melihat Anis keluar dari perut kereta. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket baju Melayu berwarna kuning air. Tajam matanya merenung Anis yang berjalan ke arahnya dengan tangan yang penuh dengan beg-beg kertas.
            Tanpa memberi salam selamba saja Anis masuk ke dalam rumah. Sedikit pun tak risau melihat wajah serius papanya. Dia melabuhkan duduk di sofa melepaskan lelah.
Tan Sri Razman sudah memusingkan badan memandang gelagat anak keduanya. Tangannya sudah disilangkan ke belakang badan.
            “Yati, ambilkan aku air!” jerit Anis. Dia meninjau isi beg kertas yang dibawanya tanpa menghiraukan pandangan tajam Tan Sri Razman.
            “Ini airnya, Anis.” Haryati meletakkan gelas berisi air oren di atas meja kopi.
            Tingkah Anis terhenti. Dia memandang Haryati tajam apabila mendengar Haryati tak memanggilnya cik.
            “Maaf, Cik Anis. Jemput minum. Kalau tak ada apa-apa lagi saya ke dapur dulu,” ujar Haryati apabila menyedari kesilapannya. Dia kemudiannya berpaling untuk melangkah ke dapur.
            “Bawak paper bags aku ni ke bilik.” Dia meneguk air oren untuk menghilangkan dahaga.
            Haryati berpatah kembali mahu mengambil beg-beg kertas milik Anis.
            “Letak balik paper bags tu, Yati.” Tan Sri Razman bersuara tegas.
            Haryati yang mahu melangkah terhenti terus pergerakkannya. Dia memandang wajah Anis dan Tan Sri Razman silih-berganti. Anis dengan muka masamnya manakala Tan Sri Razman pula dengan wajah serius. Perlahan-lahan dia meletakkan kembali beg-beg kertas itu di depan Anis.
            “Papa, biarlah dia angkat. Dia kan orang gaji dalam rumah ni? Takkan nak goyang kaki je tengok orang balik penat-penat!” protes Anis. Gelas di tangan diletakkan di atas meja. Dia memandang Haryati yang masih tercegat. “Angkat cepat!”
            Haryati membongkok lagi mahu mengangkat beg-beg kertas itu.
            “Jangan, Yati! Awak pergi ke dapur. Tu barang dia, biar dia yang angkat sendiri. Lagipun bukannya berat sangat paper bags tu.” Meninggi sedikit suara Tan Sri Razman. “Pandai beli, pandailah angkat bawak masuk bilik!”
            Haryati teragak-agak melangkah ke dapur.
            “Hesy, bencilah papa ni!” Anis menghentak kakinya. Beg-beg kertas itu diangkat dan dia mula melangkah menaiki tangga.
“Kenapa lambat balik? Papa suruh balik cepat tadi, kan?” Tan Sri Razman sudah berdiri di depan tangga.
            Anis yang baru menapak empat anak tangga berpaling. “Kan anyah dah balik ni. Bisinglah papa ni. Ibu tu bukannya budak kecik lagi, pandailah dia balik sendiri nanti!” Anis meneruskan langkahnya.
            Baru saja Tan Sri Razman ingin menyambung marahnya, kedengaran bunyi kereta memasuki garaj. Dia pantas bergerak ke pintu.
 Anis pula berpaling dan menunggu di tangga. Dia tak jadi mahu masuk ke bilik.
Haryati berdiri di balik dinding yang memisahkan dapur dan ruang tamu. Di dalam hati tak putus-putus dia berdoa agar Qhafi pulang bersama Puan Sri Anida.
“Along jumpa ibu kat mana?” tanya Tan Sri Razman sebaik saja Qhafi membawa Puan Sri Anida masuk ke dalam rumah.
Haryati sudah menarik nafas lega apabila melihat isteri majikannya selamat. Terus dia berlalu ke dapur, tak mahu mencuri dengar perbualan antara majikannya dan Qhafi. Dia mahu menyediakan makan malam.
            “Kat taman permainan. Itu pun Kak Lijah yang bagitahu dia nampak ibu tadi.” Qhafi mendudukkan ibunya di sofa berbentuk L. Kemudian dia duduk di sofa berhadapan dengan ibunya.
            Tan Sri Razman menghampiri Puan Sri Anida yang masih leka dengan baju Amanda. Dia melabuhkan duduk di sebelah kiri isterinya. Bahu isterinya dipegang. “Kenapa Nida keluar tak bagitahu Yati? Risau abang tau. Kalau jadi apa-apa kat Nida macam mana? Lain kali jangan buat macam ni lagi. Kalau nak keluar, cakap dengan Yati. Tak pun tunggu abang balik. Abang boleh bawak Nida jalan-jalan.”
            Puan Sri Anida mengangkat muka memandang suaminya. “Abang, esok along nak bawak Nida dengan Manda pergi butik pengantin tau. Manda cakap dia tak sabar nak cuba baju pengantin. Lepas tu kami nak tempah hotel untuk majlis persandingan, nak beli barang hantaran sekali.” Ceria wajahnya bercerita.
            Tan Sri Razman memandang Qhafi meminta penjelasan. Dahinya dikerutkan.
            “Tak habis-habis dengan Manda dia!” rengus Anis perlahan. Beg-beg kertas diletakkan di tangga dan dia berpeluk tubuh di situ.
            “Tadi ibu tak nak balik. Katanya nak tidur kat sana dengan Manda. Bila along janji nak bawak ibu pergi butik pengantin, baru ibu setuju nak ikut along balik rumah,” cerita Qhafi sambil memandang Puan Sri Anida yang sudah bermain semula dengan baju Amanda.
            “Nida, jom kita makan. Nida mesti lapar, kan?” ajak Tan Sri Razman.
            “Manda abang tak ajak ke? Kecik hati dia. Dia pun lapar jugak kan, Manda?” ujar Puan Sri Anida tanpa memandang wajah Tan Sri Razman.
            Tan Sri Razman tergamam. Dia memandang baju yang dikatakan Amanda. Nafas ditarik perlahan. “Manda... jom kita makan, sayang... dah lama kita tak makan sama.” Hatinya terasa sayu menyebut nama Amanda. Dia juga merindui anaknya itu.
            Puan Sri Anida memandang suaminya dengan pandangan tak puas hati. “Apa abang cakap ni? Bukan ke Manda hari-hari makan dengan kita? Apa pulak dah lama tak makan sama?”
            “Erk...” Lidah Tan Sri Razman kelu. Dia tahu dia telah tersalah cakap. Dia berfikir lagi untuk mencari ayat yang sesuai untuk membetulkan tanggapan isterinya. “Maksud abang, Manda asyik berkepit dengan Nida je sampai tak ada masa nak makan dengan abang, along dengan anyah. Kan, along?” Dia memandang Qhafi meminta sokongan.
            “Haah... bila ajak makan sama, asyik-asyik cakap nak makan dengan ibu kat atas.” Qhafi menambah.
Anis berang dengan jawapan papa dan abangnya. Dia turun dari tangga mendapatkan ibunya. Baju Amanda di tangan ibunya direntap kasar lalu dicampak ke lantai.
Puan Sri Anida, Tan Sri Razman dan Qhafi tergamam melihat tindakan Anis.
            “Manda!!!” Puan Sri Anida bangun mengutip baju Amanda dan berdiri kembali sambil membelai baju itu. “Manda sakit ke? Manda tak apa-apa, kan?” tanyanya pada baju itu.
            Anis cuba menarik kembali baju itu tapi ibunya masih tak mahu melepaskan. Pegangannya terlalu kejap.
            “Anyah!”
            Panggilan Tan Sri Razman tak diendahkan. Anis masih lagi menarik baju itu.
            “Jangan tarik, sakit adik tu. Lepaslah!”
            Anis melepaskan pegangan apabila mendengar kata-kata ibunya. Sakit hatinya melihat keadaan Puan Sri Anida begitu.
Puan Sri Anida yang tak bersedia, terundur ke belakang.
            “Ibu!” Qhafi bingkas menyambut Puan Sri Anida yang hampir jatuh.
            Anis tergamam sekejap. Sungguh dia tak sengaja mahu menjatuhkan ibunya.
Tan Sri Razman pula sudah berdiri. Bergerak-gerak rahangnya menahan marah. Dadanya berombak melihat perbuatan Anis namun dia cuba bersabar, mahu melihat sejauh mana perlakuan Anis.
“Ibu tak apa-apa?” Dia mendudukkan Puan Sri Anida di lantai.
            Puan Sri Anida tak menghiraukan pertanyaan Qhafi. Dia sibuk membelek baju di tangan.
            Anis mengeluh lega apabila melihat ibunya tak apa-apa. Mujur sempat disambut oleh kembarnya.
“Tak baik anyah buat adik macam tu. Adik sakit tahu tak?!”
Rasa lega di hati Anis sudah bertukar membara mendengar ibunya memarahinya. “Ibu kata tu adik anyah?” Dia menudingkan jari telunjuknya pada baju di tangan Puan Sri Anida. “Ibu sedar tak apa yang ibu pegang tu? Tu bajulah, bu. Bukan adik anyah!” ujarnya berang.
Puan Sri Anida menggeleng kepala. “Tak... ni bukan baju. Ni Manda!” Dia memandang Qhafi. “Along, ni Manda, kan? Bukan baju! Bukan baju!”
            “Ya, bu... ni Manda...” Qhafi mengusap bahu ibunya.
            Puan Sri Anida memandang Tan Sri Razman pula. “Abang, ni Manda! Manda hidup lagi, dia tak mati. Tak mati.” Beria-ia dia meyakinkan.
            Tan Sri Razman mengangguk. “Ya, Nida... anak kita hidup lagi. Dia tak tinggalkan kita. Dia sentiasa ada dengan Nida...” Tan Sri Razman menarik nafasnya perlahan. Perasaan sedihnya cuba ditahan.
Puan Sri Anida tersenyum mendengar jawapan suaminya. Baju Amanda dicium. “Manda anak ibu... ibu sayang Manda. Manda jangan tinggalkan ibu ya? Manda sakit kat mana? Nanti ibu sapu ubat.” Dia membelai baju itu.
“Manda dah tak ada! Dia dah meninggal! Papa dengan along tipu ibu. Percayalah cakap anyah ni, bu. Manda memang dah tinggalkan kita!” Semakin tinggi suara Anis.
            “Tak!” Puan Sri Anida menggeleng kepalanya. “Ni Manda... Manda ada dengan ibu ni...” Dia menunjuk baju di tangannya.
            Anis bertinggung di depan Puan Sri Anida. Lengan ibunya dipegang kejap. “Sampai bila ibu nak jadi macam ni? Sampai bila ibu nak susahkan kami? Ibu ingat bila ibu jadi macam ni, Manda akan kembali ke? Dia takkan kembalilah, bu... terimalah kenyataan yang Manda dah tak ada!”
            “Tak! Manda hidup lagi. Dia tak mati!” Puan Sri Anida menepis tangan Anis. Baju itu dipeluk serat-eratnya. “Manda hidup lagi... Manda hidup lagi...” Air matanya mengalir perlahan.
            “Anyah, kenapa cakap macam tu kat ibu?” tegur Tan Sri Razman.
            Anis bangun menghadap Tan Sri Razman. “Betullah apa yang anyah cakap ni, pa. Ibu ni memang menyusahkan orang. Asyik orang nak kena ikut cakap dia je. Lepas tu kena jaga hati dia. Benda yang tak betul semua diiyakan. Kalau dah macam nilah teruknya penyakit ibu, anyah rasa baik hantar je ibu ke hospital sakit jiwa!”
            Panggg!!!
            Anis memegang pipinya yang terasa perit ditampar papanya. Air matanya bergenangan di tubir mata.
            Qhafi geram dengan kelancangan mulut kembarnya. Memang padan pun Anis mendapat penampar daripada papa mereka.
“Jaga sikit mulut anyah tu! Anyah cakap ibu ni menyusahkan orang? Cuba anyah ingat balik pernah ke anyah jaga ibu selama ni? Pernah ke anyah suapkan ibu makan? Pernah ke anyah cakap berlembut selama ibu sakit? Pernah ke?!” Lantang suara Tan Sri Razman.
            Anis diam. Air mata yang bertakung tadi jatuh membasahi pipi mulusnya. Air mata itu bukan kerana dia menyesal dengan perbuatannya tadi tapi kerana keperitan yang terasa di pipinya.
            “Tak pernah, kan? Bila papa suruh jaga ibu, anyah keluar rumah... lebih pentingkan kawan dari ibu. Masa ibu sihat, boleh pulak anyah nak bermanja-manja dengan ibu! Bila ibu sakit, anyah buat tak tahu je macam ibu ni bukan ibu kandung anyah. Jadi, anyah jangan pandai-pandai nak hantar ibu ke hospital sakit jiwa!”
            “Tapi, pa... takkan papa nak biarkan ibu terus macam ni? Cuba papa tengok ibu. Cakap sorang-sorang... baju Manda pun dikatakannya Manda. Bukan dah tahap sakit jiwa ke tu?” Dengan suara yang serak-serak dia membalas. Dia tak sanggup melihat ibunya terus berada di dalam dunia ciptaan sendiri.
            “Cukup! Papa tak nak dengar lagi anyah sebut pasal hospital sakit jiwa!” Jari telunjuknya sudah dihala ke wajah Anis.
            “Tapi, pa...”
            “Papa kata cukup, Anis Fatehah!” Tan Sri Razman sudah mengangkat tangan mahu menampar lagi wajah Anis.
            Anis memejam matanya rapat menunggu habuan dari tangan papanya sampai ke kulit mukanya.

            “Abang!!!”      

~BERSAMBUNG~

2 comments:

  1. lain beno perangai si anis nie...entah2 ank angkat kot....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perangai Anis ni memang lain sikit... thnks ek Y@t sudi bace...

      Delete