Followers

Saturday, 31 March 2012

Separuh Hati Untukmu 8


TANGAN Tan Sri Razman yang mahu dihayun ke pipi Anis terus terhenti apabila Puan Sri Anida memeluk gadis itu. Tangannya dijatuhkan. Pilu hatinya melihat isterinya mengusap perlahan pipi Anis.
            “Pipi anyah sakit ke? Kesian anyah. Jangan marah papa ya? Papa tak sengaja.” Pipi yang ditampar tadi Puan Sri Anida cium.
Air mata Anis tumpah lagi. Pipinya terasa dibius. Sekelip mata rasa sakit itu seakan-akan hilang.
“Jangan nangis, anyah... pipi anyah sakit ya?” Puan Sri Anida mengelap air mata Anis. Kemudian dia memandang suaminya. “Abang, jangan tampar anyah. Sakit pipi dia nanti. Merah dah pipi dia. Takut bengkak pulak nanti.”
            “Anyah tengok! Ibu yang anyah nak hantar ke rumah sakit jiwa nilah yang selamatkan anyah. Ibu yang anyah cakap gila ni tak sanggup tengok anyah rasa sakit. Dia sayang sangat kat anyah tau! Tak ada sedikit rasa terharu ke dalam hati anyah? Hah?”
            “Abang, janganlah tengking anyah lagi. Manda takut. Tengok tu, dia dah nangis.” Puan Sri Anida mencapai baju Amanda di atas lantai. “Manda jangan nangis ya? Papa dah tak marah anyah lagi. Kalau Manda nangis ibu pun rasa nak menangis. syhhh... jangan nangis, Manda.” Dia membelai baju itu tanpa menghiraukan air matanya yang mengalir.
            Sekali lagi hati Anis membengkak melihat tingkah-laku ibunya. Hatinya yang rasa terharu apabila ibunya mempertahankannya tadi terus bertukar membahang. “Eee... boleh jadi gilalah macam ni kalau hari-hari duduk satu rumah dengan orang gila! Stress tahu tak? Stress!!!” bentaknya pada Puan Sri Anida yang sudah tak mempedulikannya. Leka dengan baju di tangan.
            Panggg!!!
            Kali ini tamparan kedua papanya pantas mendarat ke pipinya. Terasa lebih perit daripada tadi.
            “Memang dasar anak kurang ajar! Sanggup anyah cakap ibu macam tu!”
            “Astaghfirullahalazim... Razman! Kenapa ni?”
            Tiga pasang mata memandang ke pintu masuk melihat Hajah Karimah dan Razlan yang terkejut melihat kejadian yang berlaku di ruang tamu itu.
            Anis berlari laju naik ke biliknya. Air matanya tak henti mengalir.
            Tan Sri Razman menarik nafas, meredakan rasa marah.  “Mummy cakap nak balik lusa?” tanyanya apabila Hajah Karimah sudah duduk di sofa di sebelah Razlan.
            “Mummy yang suruh Lan hantar hari ni. Tak sedap hati katanya,” jawab Razlan.
            Karimah menanggalkan tudung di kepala. “Patutlah mummy rasa tak sabar nak balik cepat, rupa-rupanya kamu anak-beranak bertengkar. Kenapa boleh jadi sampai macam ni, Man?” Dia memandang anaknya yang sedang mendudukkan Puan Sri Anida di sofa bertentangan. “Nida ni pulak kenapa nangis?”
            Tan Sri Razman mengeluh. “Anis nak hantar Nida ke hospital sakit jiwa.”
            Karimah dan Razlan terkejut.
            “Kenapa pulak Anis nak hantar Kak Nida ke hospital sakit jiwa, bang?” Razlan ingin tahu.
            Qhafi yang sedari tadi menjadi pendengar mula melangkah ke tangga. Ketika menaiki tangga, dia terdengar papanya bercerita tentang kehilangan ibunya tadi.
            Sampai di biliknya di tingkat tiga, dia tak jadi melangkah masuk. Kaki dibawa ke bilik Anis yang terletak di sebelah biliknya. Tombol dipulas, dia melangkah masuk. Dia lihat Anis sedang menangis sambil menekup muka ke bantal. Dia duduk di hujung katil. Tergeleng kepalanya melihat beg-beg kertas yang sudah tunggang-langgang di atas lantai. Ada yang isinya sudah terkeluar dari beg. Dia menoleh pula ke arah Anis yang masih tak menghiraukan kehadirannya.
“Kenapalah ibu selamatkan kau tadi? Kalau tak, tiga kali kau dapat hadiah daripada papa.” Sengaja Qhafi mahu membakar hati Anis. Dia masih geram dengan kata-kata Anis kepada ibu mereka tadi.
            Anis memalingkan muka lalu menghadiahkan jelingan tajam pada Qhafi.
            Qhafi membalas dengan senyuman sinis. “Heh! Ingat aku takutlah tu bila kau jeling tajam macam tu. Tulah, mulut tu tak ada insuran lagi. Kan dah dapat hadiah dari papa... sedap, kan? Ada rasa macam makan spaghetti aglio olio tak?” Dia senyum sinis.
            Anis bingkas bangun. Bantal dicapai lalu dibaling ke arah Qhafi. “Keluarlah!”
            Cekap saja tangan Qhafi menyambut bantal yang hampir mengena mukanya. Bibirnya masih lagi tersenyum sinis.
            Senyuman Qhafi makin membarakan hati Anis. “Kalau kau masuk bilik aku ni sekadar nak sakitkan hati aku, baik kau keluar.” Anis menolak badan Qhafi namun tenaga perempuannya langsung tak mampu untuk menggerakkan badan abangnya walau seinci. Dia bersandar di kepala katil sambil berpeluk tubuh. Wajahnya menyinga.
            “Kenapa kau cakap macam tu kat ibu?” Senyuman sinis di bibir Qhafi sudah hilang, digantikan dengan wajah yang serius.
            “Cakap apa?” Anis mengerutkan dahi. “Ooo... cakap yang Manda dah tak ada? Kan memang Manda dah tak ada? Nak buat apa menipu.” Bantal di tangan Qhafi direntap lalu diletakkan di ribanya.
            “Memanglah Manda dah tak ada tapi kalau kau cakap macam tu lagi teruk penyakit ibu nanti.”
            “Kau tengok ibu tu ada harapan nak sembuh ke? Aku tengok makin teruk adalah. Tengoklah tadi, ibu bercakap sorang-sorang. Baju pun dikatanya Manda.”
            “Baru hari ni kita tengok ibu bercakap sorang-sorang, kan? Selalunya ibu tak macam tu. Kalau dia rindukan Manda pun dia masuk bilik Manda, tengok gambar Manda dan peluk baju Manda.” Qhafi menarik nafas perlahan mengenang tingkah-laku Puan Sri Anida sejak kematian Amanda. “Kita memang tak boleh buat ibu lupakan Manda tapi kita sebagai orang yang paling dekat dengan ibu kena bagi ibu semangat. Kena bagi lebih perhatian kat ibu. Insya-Allah, lama-kelamaan ibu pasti pulih.” Wajahnya yang serius tadi telah bertukar tenang.
            “Bagi perhatian macam kau dengan papa buat tadi? Iyakan je yang Manda masih hidup? Iyakan je yang baju tu Manda? Heh! Sorrylah... aku takkan buat macam tu!” Anis senyum sinis.
            “Kau pernah dengar pasal keajaiban kasih sayang tak, Anyah?” Qhafi bersila di atas katil. Badannya dipusingkan menghadap Anis.
            Anis mengerutkan dahi.
            “Aku ada satu cerita nak kongsi dengan kau. Dulu aku pernah baca satu cerita pasal sorang kanak-kanak perempuan dari negara Timur Tengah yang selalu melawat mak dia yang masih tak sedarkan diri kat hospital. Nama budak tu Atiqah...”
            “So, apa kena-mengena cerita tu dengan aku?” Anis masih keliru dengan apa yang cuba Qhafi ceritakan.
            “Kau ni kan, aku tak habis cerita lagi kau dah potong! Dengarlah dulu,” rungut Qhafi.
“Yalah, cerita cepat.” Anis mengalah.
 “Atiqah ni anak yatim. Mak dia masuk hospital sebab kemalangan. Setiap kali datang hospital, Atiqah akan bawak sekuntum bunga berwarna merah dan selitkan kat celah rambut mak dia. Lepas tu, dia akan merayu-rayu suruh mak dia bangun dan bercakap dengan dia. Satu hari tu, doktor nak cabut mesin bantuan pernafasan mak dia sebab doktor rasa mak dia dah tak ada harapan untuk hidup. Memandangkan ada ramai lagi pesakit yang memerlukan katil. Tapi Atiqah ni halang. Dia marah kalau ada sesiapa yang berani nak cabut mesin tu. Dia yakin mak dia akan sembuh.” Qhafi berjeda cuba mengingati semula cerita yang pernah dia baca dulu.
“Lepas tu?” tanya Anis tak sabar.
“Lepas tu, sebab kesiankan Atiqah, doktor bagi masa seminggu je lagi. Cukup seminggu nanti doktor terpaksa cabut jugak mesin tu. Atiqah pulak merayu lagi kat mak dia suruh bukak mata. Akhirnya dengan izin Allah, tangan mak dia bergerak. Masa tu ramai doktor yang tak sangka dengan keajaiban tu. Kerana kasih sayang dan keikhlasan yang Atiqah tunjukkan, Allah memakbulkan doa dia. Tapi dia dapat hidup bahagia dengan mak dia sekejap je...
“Kenapa pulak sekejap? Mak dia meninggal ke?”
Qhafi menggeleng. “Bukan mak dia tapi Atiqah. Atiqah meninggal sebab serpihan peluru berpandu terkena kat otak dia.” Qhafi menamatkan ceritanya.
Wajah Anis kelihatan terkejut. Mungkin bersimpati dengan nasib kanak-kanak itu.
“Kau tak teringin ke nak tengok ibu sihat macam dulu?” Qhafi kembali ke topik asal.
            “Sebab nak tengok ibu sihat macam dululah aku nak hantar ibu ke hospital sakit jiwa. Kat sana ada doktor dengan nurse yang boleh tengok-tengokkan ibu sampai sembuh. Kalau kat rumah ni, asyik Manda... Manda... Manda je bila nak sembuh? Lagipun papa bukannya nak upah nurse untuk jaga ibu. Takkan nak tunggu sampai ibu main dengan pisau baru nak hantar ke hospital!” Anis merengus.
            “Haila... kembar aku ni tak faham rupanya apa yang aku cuba sampaikan! Ingatkan bila dah kongsi cerita ni kau sedarlah sikit macam mana kasih sayang seorang anak dapat menyembuhkan ibunya yang sakit.” Qhafi menggaru kepalanya yang tak gatal.
            “Chop... chop... sebut pasal kasih sayang kan, baru aku teringat sesuatu.” Anis mengangkat kedua-dua belah tangannya ke depan.
            “Apa dia?” Qhafi mengemam bibir.
            “Sejak kita kecik nenek yang jaga kita, kan? Ibu pulak sibuk dengan Manda. Ibu tak pernah pun pedulikan kita. Agaknya ibu memang tak sayang kat kita kot?” Anis terkenangkan zaman kanak-kanak mereka.
            “Aku tak rasa macam tu pun. Aku tengok okey je ibu layan kita. Tak ada lebih, tak ada kurang.” Qhafi mengerut dahi.
            “Kau memang... bukannya pandai tengok. Aku ingat lagi masa kat taman dulu, aku dengan Manda main buaian tapi ibu cuma buaikan Manda je. Aku pulak ibu biarkan terkontang-kanting buai sendiri. Masa tu aku rasa macam dianaktirikan je.” Wajah Anis muram.
            “Memanglah ibu buaikan Manda sebab masa tu Manda tak pandai buai sendiri. Lagi satu, bukan ke masa tu aku yang buaikan kau? Ke kau dah lupa?” Qhafi mengecilkan matanya.
            Anis merengus. “Masa kita dapat keputusan cemerlang dulu kenapa ibu tak peluk dan cium dahi kita macam yang ibu pernah buat kat Manda? Ibu memang pilih kasih, kan?” Dia masih lagi tak berpuas hati.
            “Masa kita bagitahu ibu pasal result kita, ibu kan ikut papa pergi outstation? Takkan kau nak suruh ibu peluk dan cium dahi kau dalam kat telefon kot?” Qhafi tersengih. Sempat lagi dia membuat lawak.
            “Tak kelakar, okey!” Sekali lagi Anis merengus.
            “Tak ada ibu yang tak sayangkan anak. Kalau ibu tak sayangkan kita, kenapa ibu lahirkan kita? Kalau ibu tak sayangkan kita, kenapa ibu jaga kita masa kita demam dulu? Kalau ibu tak sayangkan kita, ibu takkan jemput kita masa balik sekolah. Kalau ibu tak sayangkan kita, kenapa ibu selamatkan kau dari kena tampar dengan papa tadi? Ibu siap cium pipi kau, siap pujuk kau lagi walaupun kau kata ibu gila. Kalau ibu tak sayangkan kita...”
            “Ah, sudahlah dengak kalau kau tu! Yang penting aku tetap fikir ibu lebih sayangkan Manda!” potong Anis.
            Qhafi menggeleng kepala.
            Tok! Tok! Tok!
            Qhafi dan Anis membuang pandang ke arah pintu bilik yang diketuk.
            “Cik Anis... Cik Anis...” Kedengaran Haryati bersuara sambil mengetuk pintu.
            “Masuk...” Anis memberi arahan.
            Pintu bilik dibuka. “Eh, Qhaf ada kat sini rupanya. Patutlah Kak Yati ketuk pintu bilik Qhaf tadi Qhaf tak bukak.” Haryati terkejut melihat Qhafi di dalam bilik Anis.
            “Kau ni nak cari along ke nak cari aku ni?” Wajah Anis masam.
            Qhafi menjeling Anis. Dia tak suka mendengar Anis berkata begitu pada orang yang lebih tua. Dia memandang semula Haryati yang sudah terkulat-kulat di pintu bilik. “Ada apa, Kak Yati?” tanyanya lembut.
            Anis mencebikkan bibirnya tanda meluat.
            “Tan Sri ajak Cik Anis dengan Qhaf turun makan...” Teragak-agak Haryati bersuara.
            “Kejap lagi kami turun ya, kak?” kata Qhafi.
            Haryati menutup semula pintu bilik.
            Qhafi bangkit mahu melangkah keluar.
            “Along, tunggu aku kejap. Aku nak basuh muka dulu, lepas tu kita turun sama-sama. Aku takutlah nak turun sorang-sorang. Takut nak tengok muka papa tu...” pinta Anis sambil buat muka kesian.
            “Tahu takut. Lain kali jangan buat lagi. Apa yang papa suruh tu ikut, jangan nak tunjuk keras kepala kau tu.” Qhafi kembali duduk.
            Anis masuk ke bilik air. Dia malas mahu melayan bebelan Qhafi. Setelah mengelap muka dengan tuala bersih, dia dan Qhafi melangkah keluar dari bilik. Langkah Anis terhenti di depan tangga apabila terpandang bilik yang terletak di bahagian kanan tangga yang berhampiran dengan bilik Amanda.
            Qhafi yang baru turun dua anak tangga berpaling apabila melihat Anis masih kaku di depan tangga. “Kau tengok apa lagi tu, anyah?” Dia turut memanjangkan lehernya membuang pandang ke arah bilik hujung.
            “Bilik hujung tu selalu berkunci, kan? Kenapa papa tak benarkan sesiapa masuk bilik tu eh? Tapi ibu boleh pulak masuk...” Anis meluahkan rasa peliknya.
            “Mana kau tau ibu pernah masuk bilik tu?” Dahi Qhafi sudah berkerut. Dia juga tak tahu mengapa papa mereka tak membenarkan dia dan adik-adiknya memasuki bilik itu. Tapi dia ikut saja arahan itu, malas mahu mengambil tahu sebabnya.
            “Aku pernah nampak ibu keluar dari bilik tu. Masa tu Manda hidup lagi. Bila aku tanya apa ibu buat kat bilik tu, ibu cakap ibu cari barang kat situ. Bila aku cakap nak masuk, ibu tak bagi. Ibu cakap tak ada apa-apa kat bilik tu, cuma ada barang-barang lama je,” cerita Anis. Mata masih tak lepas dari memandang bilik hujung.
            “Dah ibu kata macam tu, betullah tu. Dahlah tak payah nak peningkan kepala fikir pasal bilik tu. Jomlah kita turun. Dah lama kita kat atas ni.” Qhafi turun satu lagi anak tangga.
            “Tapi... aku ingat lagi mata ibu merah setiap kali keluar dari bilik tu.”
            Langkah Qhafi terhenti. Kenapa mata ibu merah? Ibu menangis ke? Dia berpaling semula memandang Anis. “Kau pernah masuk bilik tu ke?” Tiba-tiba saja dia berasa ingin tahu apa yang ada di dalam bilik tu dan apa yang menyebabkan ibu mereka menangis setiap kali masuk ke bilik itu.
            “Tak pernah. Aku nampak mata ibu merah pun masa aku terserempak dengan ibu masa nak turun tangga. Bila ibu dah turun, aku pergi kat bilik tu. Bila aku pulas tombol, berkunci pulak. Aku pernah jugak minta kunci bilik tu kat Yati tapi Yati cakap dia tak ada kunci bilik tu. Papa pun tak benarkan dia masuk bilik tu. Kalau minta kat ibu mesti ibu tak bagi punya.”
            “Dahlah, ibu tak menangis kot. Entah-entah mata ibu masuk habuk. Kan ibu kata bilik tu banyak barang lama. Mesti banyak habuk kat situ.” Qhafi meneruskan langkahnya menuruni tangga.

            “Agaknyalah kot...” Anis turut menyaingi langkah Qhafi.  



~BERSAMBUNG~

0 Pembakar Semangat:

Post a Comment