Followers

Saturday, 28 April 2012

Separuh Hati Untukmu 10

PERLAHAN-LAHAN dia membuka mata apabila terasa mukanya basah. Dia mengerut dahi, pelik melihat dirinya dikerumuni orang. Bingkas dia bangun dan bersandar di kepala katil. Matanya bulat memandang Rania yang tersenyum memandangnya.
            “Oit, Deeba! Yang muka kau pucat macam nampak hantu tu kenapa?”
            Teguran Idayu, jiran bilik sebelah merangkap sahabatnya menyedarkan Adeeba yang sedari tadi merenung Rania. “Kenapa dengan aku?” Dia memandang Idayu yang berdiri di sisi Rania.
            “Adik pengsan kat depan pintu tadi,” jawab Rania lantas menghulurkan botol berisi air mineral yang digunakan untuk membasahkan muka Adeeba tadi.
            Terketar-ketar tangan Adeeba menyambut botol air itu. Perlahan-lahan dia meneguk namun matanya masih tak lepas daripada memandang wajah Rania.
            “Kau ni buat takut kita orang je tau! Nasib baik Kak Ran ada,” ujar Idayu lagi.
            “Kak Ran?” Adeeba sudah mengerut dahi. Matanya beralih memandang Idayu.
            “Ni yang kat depan kau ni Kak Ran la, roommate kau. Dia yang panggil kita orang kat bilik tadi. Kita orang terus kelam-kabut bila Kak Ran cakap ada orang pengsan. Ingatkan siapalah yang pengsan, rupa-rupanya kau.” Julaili pula bersuara.
            Rania menghulurkan tangan pada Adeeba. “Nama akak Rania Hafiya. Panggil Kak Ran je.” Dia tersenyum.
            Adeeba kembali merenung lama wajah Rania. Pelbagai persoalan bermain di kepalanya. Perlahan-lahan dia menyambut huluran tangan Rania. “Farah Adeeba Azhar.” Senyuman cuba diukir di bibirnya.
            “Pembetulan... Farah Adeeba Dato’ Azhar,” sampuk Idayu.
            Rania dan beberapa orang pelajar baharu yang turut berada di bilik itu mempamerkan riak terkejut. Mungkin tak menyangka Adeeba anak orang berada, memandangkan pakaian yang dipakai Adeeba tak menunjukkan gadis itu anak orang berada. Adeeba cukup ringkas dengan T-shirt hitam lengan panjang yang sedikit longgar, seluar jean putih dan selendang putih yang membaluti kepala.
            Adeeba menjeling tajam ke arah Idayu. “Dato’ tu just pangkat je, okey? Aku pun manusia biasa macam kau orang jugak. Yang kaya papa aku, bukan aku. Lagipun harta kekayaan bukannya boleh dibawak mati.” Adeeba mengingatkan Idayu sekali lagi. Dia memang tak suka menunjuk-nunjuk.
            Rania tersenyum. Dia suka dengan sikap rendah diri Adeeba.
            “Sorry...” Idayu tersengih malu. Bukan niatnya mahu bermegah mempunyai kawan daripada golongan berada tapi entah kenapa mulutnya gatal sangat mahu menyampuk.
            “Kau rehatlah dulu, kita orang nak balik bilik,” kata Julaili.
            Masing-masing mula meninggalkan bilik itu.
            “Kak Ran, Dira nak mandi kejap ya.” Adira melangkah meninggalkan bilik.
            Rania pula melangkah ke katilnya semula menyambung perbualan dengan Fazila di Yahoo Messenger yang terganggu disebabkan Adeeba yang tiba-tiba saja pengsan. Dia lihat Fazila masih berada di dalam talian. Tiba-tiba dia berasa ada mata yang merenungnya. Pantas dia memandang Adeeba. “Kenapa pandang akak macam tu? Ada sesuatu kat muka akak ke?” Rania memegang wajahnya.
            “Erk... tak ada apa-apa...” jawab Adeeba kalut. Pandangannya dilarikan pada selendangnya yang tersangkut di kepala katil dan beg pakaian yang terletak di sisi katil. Mungkin Kak Ran yang letak kot, tebak hatinya. Dia bangkit mendapatkan beg pakaiannya lalu mula mengemas. Baju-bajunya disangkut pada penyangkut baju dan diletakkan di dalam almari yang masih kosong.
            Selesai mengemas barang-barangnya, Adeeba duduk di atas katil, kembali merenung wajah Rania yang leka dengan komputer riba. Sesekali dia lihat Rania tersengih, berkerut dahi dan tersengih lagi. Memang mirip! Muka pun nampak lembut je macam Kak Manda tapi Kak Ran ni rambut panjang paras pinggang. Kak Manda pulak rambut paras bahu je. Macam mana boleh ada orang yang muka seiras dengan Kak Manda ni? Nak tanya ke tak nak? Nak tanya ke tak nak? Ah, tanya jelah! Manalah tahu Kak Ran ni ada kena-mengena dengan Kak Manda ke? Adeeba mula bersoal jawab di dalam hati.
Erk...” Baru saja Adeeba mahu membuka mulut, Adira melangkah masuk. Dia tak jadi mahu bertanya. Keluhan hampa dilepaskan. Ah, tanya Abang Kif jelah! Abang Kif mesti tahu punya, putusnya dalam hati.
“Hai, kita belum sempat berkenalan lagi, kan? Nama aku Adira. Kau tak kisah kan beraku-kau?” tanya Adira. Dia takut Adeeba tak selesa dengan kata ganti nama diri seperti itu. Dengan Idayu dan Julaili tadi pun dia membahasakan dirinya begitu. Dia melabuhkan duduk di atas katil Rania.
Rania pula sudah mahu menutup komputer ribanya setelah habis bersembang dengan Fazila.
“Tak kisah pun. Tak adalah formal sangat, kan? Kau dengan Kak Ran asal mana eh?” Alang-alang sedang dalam proses suai kenal, baik dia bertanya terus.
“Aku asal sini, Kak Ran pulak Teluk Intan,” jawab Adira.
Rania mengangguk mengiakan jawapan Adira. “Tahun ni tahun ke berapa Deeba kat sini?” tanyanya ramah.
“Tahun kedua, kak. Akak dengan Dira dah makan ke? Kalau belum jom kita makan sekali. Laparlah, dari tadi belum makan.” Adeeba memegang perutnya.
“Patutlah kau pengsan tadi, tak makan lagi rupanya. Aku pun lapar jugak ni.” Adira bangkit mahu mencapai tudungnya.
“Lain kali sebelum nak pergi mana-mana kena makan dulu tau. Nanti tak adalah pengsan lagi macam tadi.” Rania turut menyarungkan tudung di kepala.
Adeeba hanya tersengih walaupun bukan itu punca yang menyebabkan dia pengsan. Dia mencapai sikat lalu menyisir rambut panjangnya. Sambil menyikat rambut matanya turut menganalisa Rania. Satu lagi perbezaan antara Kak Ran dengan arwah Kak Manda, Kak Ran bertudung! bisik hatinya.

THAKIF menggerakkan kerusi roda ke arah balkoni di biliknya. Dia baru saja selesai menyedekahkan al-Fatihah untuk arwah Amanda. Dia memandang ke langit malam yang dihiasi bintang dan bulan. Tenang hatinya ketika ini. Dia berpaling apabila mendengar telefon pintarnya berbunyi. Segera dia menolak kerusi rodanya kembali masuk ke dalam bilik.
            “Helo, Abang Kif...” Kedengaran suara Adeeba di hujung talian sebaik saja Thakif melekapkan telefon pintar ke telinga.
            “Aik? Baru beberapa jam kat kolej takkan dah rindu kat abang kot Deeba?” soal Thakif pelik.
            “Nak call abang sendiri pun tak boleh ke?”
            “Daripada call abang, baik call boyfriend, kan?” usik Thakif.
            “Boyfriend? Deeba mana ada boyfriend!” sanggah Adeeba.
            “Eleh... tak nak mengaku pulak! Ingat abang tak tahulah tu Deeba dengan Qhaf...” Thakif sengaja menggantung ayatnya. Dia tahu Adeeba faham maksudnya.
            “Erk... macam mana Abang Kif tahu? Abang Qhaf bagitahu eh?” Suara Adeeba kedengaran malu-malu.
            “Nak harapkan Qhaf tu sampai bila-bila pun abang takkan tahu kot. Nasib baiklah abang terdengar perbualan Deeba dengan Qhaf kat telefon hari tu. Siapa suruh Deeba tak tutup pintu, kan dah kantoi dengan abang... pandai Deeba dengan Qhaf simpan rahsia eh?”
            “Abang Kif tak marah ke?” Suara Adeeba kedengaran  takut-takut.
            “Nak marah buat apa?” Thakif sudah mengerut dahi.
            “Yalah, jarak umur Deeba dengan Abang Qhaf kan jauh sikit? Deeba 21, Abang Qhaf pulak sebaya dengan Abang Kif, 26...”
            “Alah, bukannya jauh sangat jarak umur Deeba dengan Qhaf tu. Lima tahun je kot. Lagipun apa ada pada umur? Abang tak kisah pun Deeba bercinta dengan Qhaf sebab abang kenal Qhaf. Dia lelaki yang baik.” Thakif tersenyum mengenangkan Qhafi yang diam-diam cuba bermain cinta dengan adiknya.
            “Terima kasih, Abang Kif. Tapi Deeba risaulah...”
            “Nak risau kenapa? Qhaf ada sakitkan hati Deeba ke?” Thakif tak rela jika adiknya disakiti.
            “Bukan... Abang Qhaf baik dengan Deeba,” sanggah Adeeba.
            “Habis tu apa yang tak kena?” Thakif menukar telefon pintar ke telinga kiri pula.
            “Abang Qhaf cakap Kak Maria dah ditukarkan ke KL...” Adeeba meluahkan kegusaran hatinya.
            “Laaa... Mar dah ada kat sini ke? Dah lama abang tak jumpa dia.” Suasana diam seketika. “Abang rasa abang tahu apa yang Deeba risaukan. Deeba risau Qhaf kembali pada Mar, kan?” serkap Thakif.
            Adeeba diam.
            “Pasal tu Deeba tak payah risau sebab Qhaf seorang yang setia. Dia berpisah dengan Mar dulu pun sebab Mar lebih pentingkan kerjaya. Tapi dia orang berpisah dengan cara baik, tak ada bermasam muka. Antara Qhaf dengan Mar just kawan je.
            “Terima kasih, bang sebab sudi dengar luahan Deeba.”
            “No hallah, Deeba.” Thakif tersenyum. “Sepatutnya dia yang jadi abang ipar abang tapi jodoh abang dah tak ada dengan arwah Manda. Sekarang dah terbalik pulak. Abang yang bakal jadi abang ipar dia. Hahaha...” Thakif ketawa.
            “Abang Kif, Deeba nak tanya sikit boleh?” Suara Adeeba kedengaran teragak-agak.
            “Tanya apa?”
            “Adik-beradik Abang Qhaf ada berapa orang?”
            “Takkan Deeba tak tahu kot? Kan famili Qhaf pernah datang rumah kita dulu?” Thakif mengepit telefon pintar di bahu lantas menggerakkan kerusi rodanya menuju ke balkoni semula.
            “Yang Deeba pernah tengok, tiga orang je. Abang Qhaf, Kak Anis dengan arwah Kak Manda...” jawab Adeeba. “Abang, Kak Manda tak ada adik atau kakak lain ke?”
            “Tak ada. Manda anak bongsu,” jawab Thakif tanpa mengesyaki apa-apa.
            “Abang Qhaf ada tak sepupu yang tinggal kat Perak?” tanya Adeeba lagi.
            Thakif memejam mata cuba mengingat. “Setahu abang, saudara-mara Qhaf semuanya tinggal kat KL,” jawabnya setelah pasti dengan ingatannya tentang keluarga kawan baiknya itu.
            “Abang ingat tak apa-apa tanda kat anggota badan arwah Kak Manda? Macam tahi lalat ke tanda lahir ke?” Adeeba masih tak puas menyoal.
            Thakif mengerut dahi. Dia mula pelik dengan soalan Adeeba yang agak berlainan. “Deeba ni okey ke tak? Abang dengan arwah Manda tu baru bertunang je bukan bernikah pun sampai tahu pasal tanda-tanda tu semua.”
            “Opss! Terlupa pulak Deeba. Sorry, Abang Kif...
            “Deeba ni nampak peliklah. Cuba terus terang dengan abang, apa halnya sampai tanya soalan macam tu?”
            “Erk... tak ada apa-apalah, bang... saja je tanya. Abang tak tidur lagi ke?” Dia mengubah soalan.
            “Tanya abang, Deeba pun tak tidur lagi. Dah nak pukul 11 malam ni, pergilah tidur. Esok ada kelas, kan?” Thakif memalingkan muka, mengintai jam yang tergantung pada dinding bilik.
            “Okeylah, Deeba nak pergi tidurlah ni. Selamat malam, Abang Kif. Assalamualaikum...”
            “Selamat malam, waalaikumussalam...” Thakif mematikan talian. “Macam-macam je Deeba ni. Soal mengalahkan polis!” Thakif tersengih.

RANIA sudah mahu melangkah keluar dari bilik untuk ke kelas. Baru saja dia mahu memulas tombol pintu, dia tersedar yang dia terlupa mengambil kad matrik yang diletakkan di atas katil tadi. Dia berpusing dan melangkah ke katil. “Eh, mana pulak kad matrik aku ni?” Dia pelik melihat kad matriknya tiada di atas katil. Rasanya tadi dia letak di situ.
Dia memandang Adeeba. “Deeba ada nam...” Dia tak jadi mahu bertanya apabila melihat kad matriknya ada di tangan Adeeba. Dia pelik melihat Adeeba yang sekejap memandang wajahnya, sekejap memandang kad matrik di tangan. “Ada dekat Deeba rupanya kad matrik akak tu. Ingatkan dah hilang tadi.” Rania mengeluh lega.
            Perlahan-lahan Adeeba menyerahkan kad matrik itu.
            “Terima kasih...” ucap Rania lalu melangkah keluar dari bilik.
            Adeeba hanya memandang kelibat Rania yang sudah melepasi pintu. Dahinya sudah berkerut. Betul ke apa yang aku baca tadi? “Mata aku tak tipu, kan? Kenapa nama ayah Kak Ran sama dengan nama Uncle Man? Rania Hafiya Razman. Nama tu yang aku tengok tadi. Tapi Abang Kif cakap arwah Kak Manda tak ada adik. Kakak pun cuma Kak Anis sorang je.” Pandangannya tertunak pada pintu yang tiba-tiba terkuak dari luar. Dia lihat Adira kelam-kabut masuk mencari sesuatu di meja belajar. “Kau cari apa?”
Handphone aku tertinggal.” Adira menunjukkan Lenovo S660 di tangannya. “Tak nak pergi kelas ke?” soalnya apabila melihat Adeeba masih duduk di atas katil.
            “Nak pergilah ni.” Adeeba mencapai beg sandang lalu disangkut pada bahu. “Jom pergi dengan aku sekali?” pelawanya.
            “Tak menyusahkan kau ke?” Adira seakan-akan tak percaya yang Adeeba sudi mempelawanya.
            “Nak menyusahkan apa pulak? Kak Ran mana? Ajaklah dia sekali.” Adeeba mula mengunci pintu bilik.
            Adira tersengih. “Kak Ran tengah tunggu aku kat bawah.”
            “Dira, kau pernah tengok ayah Kak Ran tak?” soal Adeeba ketika mereka sedang menuruni tangga.
            “Pak Cik Raz ke? Pernah... baik orangnya. Adik-adik dengan mak Kak Ran pun okey.”
            Adeeba senyap. Maknanya kebetulan jelah nama ayah Kak Ran sama dengan nama ayah arwah Kak Manda? Aku pulak yang fikir bukan-bukan. Dia tersenyum.
            “Yang kau tersenyum ni kenapa?” Adira mengerut dahi.
            Termati terus senyuman di bibir Adeeba. Dia tak menyangka Adira perasan. “Saja je buat senaman muka. Orang kata kalau hari-hari tersenyum boleh jadi awet muda tau. Kau trylah.
            “Hmmm... yalah tu. Entah-entah kau senyum teringat kat buah hati, saja tak nak mengaku,” ujar Adira, tak percaya dengan jawapan Adeeba.
            “Betullah....” Adeeba masih menafikan.
            “Dah jumpa handphone ke, Dira?” tanya Rania sebaik saja Adira dan Adeeba muncul di depannya.
            “Dah. Kak Ran, hari ni Deeba ajak naik kereta dia.” Adira menayang wajah ceria.
            Rania memandang wajah Adeeba meminta kepastian.
            “Jomlah, Kak Ran, Dira... nanti lambat pulak kita sampai kelas.” Adeeba mendahului Rania dan Adira melangkah ke tempat keretanya diparkirkan.
            Rania hanya mengikut saja. Rezeki jangan ditolak, detik hatinya.

BUKAK pintu pagar ni! Bukak!” Puan Sri Anida menjerit sambil menolak-nolak pintu pagar utama.
            Haryati yang baru saja masuk ke bilik Puan Sri Anida untuk memberi isteri majikannya itu makan ubat, sudah menggelabah apabila melihat isteri majikannya tiada di bilik. Sayup-sayup kedengaran suara orang menjerit. Dia berlari ke arah balkoni. Terkejut melihat isteri majikannya itu berada di luar. Dia meletakkan dulang berisi ubat di atas meja solek lantas menuruni tangga. Nasib baik aku dah tutup pintu pagar.
            “Puan Sri, kita masuk ya?” Haryati memegang lengan kanan Puan Sri Anida. Berkerut sedikit mukanya menahan panahan matahari yang terik.
            “Tak nak! Bukak pintu ni cepat! Manda tengah tunggu aku kat luar tu.” Dia menolak-nolak lagi pintu pagar utama. Di matanya sudah terbayang Amanda yang sedang tersenyum di luar pagar.
            “Tak boleh, Puan Sri... nanti Tan Sri marah saya. Panas ni, Puan Sri... kita masuk dalam ya?” Haryati masih cuba memujuk.
            “Manda, jangan pergi nak! Tunggu ibu, Manda! Jangan pergi!” jerit Puan Sri Anida apabila matanya seolah-olah melihat Amanda melambaikan tangan padanya.
            Haryati sudah tak tahu mahu berbuat apa. Tiba-tiba dia mendapat satu idea tapi dia tak pasti akan berjaya atau tak. “Erk... Puan Sri, tadi saya nampak Manda...”
            Puan Sri Anida berhenti menjerit. Dia berpaling memandang Haryati. “Awak nampak Manda kat mana, Yati?” Puan Sri Anida tak sabar mahu tahu.
            Haryati bungkam. Kesian dia melihat keadaan Puan Sri Anida ketika ini.
            Melihat Haryati masih diam, Puan Sri Anida menggoncang lengan pembantu rumahnya. “Awak nampak Manda kat mana?!”
            “Erk... sa... saya nam... nampak Manda kat bilik Puan Sri masa saya ke bilik nak bagi Puan Sri ubat.” Tergagap-gagap Haryati menjawab.
            “Betul ke, Yati?” Wajah Puan Sri Anida sudah bertukar ceria.
            “Betul, Puan Sri. Manda yang suruh saya bawak Puan Sri masuk dalam sebab cuaca kat luar ni panas. Dia takut Puan Sri jatuh sakit.”
            Sebaik saja mendengar jawapan Haryati, Puan Sri Anida pantas berlari masuk ke dalam rumah.
Haryati sudah mengeluh lega. Dia turut mengekori langkah Puan Sri Anida.
            “Manda...” panggil Puan Sri Anida sebaik saja sampai di biliknya. Dia melangkah ke balkoni pula. “Manda...” panggilnya lagi. Wajahnya yang ceria tadi mula mendung sedikit apabila masih tak menjumpai Amanda. Dia bergerak pula ke bilik mandi. “Manda dalam bilik mandi ya?” Dia menguak pintu bilik mandi. Dia lihat bilik mandi itu kosong. Dia berpaling memandang Haryati yang sudah gelisah.
            “Mana Manda? Awak kata Manda ada kat dalam bilik saya!” tanya Puan Sri Anida garang.
            “Erk...” Lidah Haryati kelu. Tiba-tiba matanya terpandang baju Amanda di atas katil. Dia teringat malam itu Puan Sri Anida ada mengatakan yang baju itu adalah Amanda. Dia melangkah mendapatkan baju itu. “Ni Manda, Puan Sri...” Dia menghulurkan baju itu kepada Puan Sri Anida.
            “Awak tipu saya ya? Awak ingat saya ni gila ke?” Herdik Puan Sri Anida. “Ini baju, bukan Manda!”
            Haryati terkejut mendengar tengkingan itu.
            Melihat Haryati masih diam, Puan Sri Anida mula menghayun langkah untuk keluar dari bilik.
            “Eh, Puan Sri nak pergi mana?” Pantas Haryati menghalang. Dia sudah berdiri di depan pintu bilik. Kedua-dua belah tangannya didepangkan.
            “Aku nak cari Manda. Tepilah!” Puan Sri Anida menepis tangan Haryati.
            “Tak boleh, Puan Sri. Nanti Tan Sri marah. Kita makan ubat dulu ya, Puan Sri?” Haryati memegang lengan Puan Sri Anida, mahu membawa wanita itu ke katil.
            “Lepaskan akulah! Aku tak nak makan ubat. Aku tak sakit!” Puan Sri Anida menepis tangan Haryati. Sebaik pegangan terlepas, dia cuba berlari namun Haryati lebih pantas memaut lengannya.
            “Kenapa ni, Yati?” tanya Hajah Karimah yang muncul di depan bilik Puan Sri Anida. Dia melangkah perlahan menghampiri Haryati dan menantunya. Umurnya yang semakin lanjut tak membolehkan dia berjalan pantas. Tongkat di tangan dipegang erat.
            “Puan Sri nak keluar lagi, puan.” Tangan Haryati masih memegang kejap lengan Puan Sri Anida yang masih belum berhenti meronta.
            “Lepaslah! Mummy, tolonglah suruh Yati lepaskan Nida. Manda tunggu Nida kat luar tu,” rayu Puan Sri Anida dengan muka berkerut-kerut.
            Hajah Karimah menyentuh lembut pipi Puan Sri Anida. “Nida makan ubat, lepas tu tidur ya?” Hajah Karimah cuba memujuk.
            Puan Sri Anida menggeleng kepala. “Nida tak nak makan ubat. Tolonglah, mummy... Manda tengah tunggu Nida.” Air matanya mula menitis.
            “Nida, dengar cakap mummy. Makan ubat dulu, lepas tu tidur. Petang karang along balik dari ofis, mummy suruh dia cari Manda ya?”
            Puan Sri Anida diam. Sayu matanya merenung wajah ibu mertuanya.
            “Yati, menantu saya dah makan nasi ke belum?” Haryati Karimah memandang Haryati.
            “Sudah, puan... tinggal nak makan ubat je,” jawab Haryati.
            “Bagi dia makan ubat,” arah Hajah Karimah.
            “Mari, Puan Sri...” Haryati membawa Puan Sri Anida ke katil. Kemudian dia melangkah pula ke meja solek mengambil dulang berisi ubat yang diletakkan di situ tadi. Ubat itu dihulur pada wanita itu.
            Perlahan-lahan Puan Sri Anida menyambut ubat itu lalu memasukkannya ke dalam mulut. Gelas berisi air yang turut dihulur Haryati disambut lalu meneguknya sedikit.
            Selesai memberi Puan Sri Anida ubat, Haryati membaringkan wanita itu. Perlahan-lahan dia meninggalkan bilik itu.
            “Tidurlah, Nida...” kata Hajah Karimah yang duduk di sisi katil.
            Puan Sri Anida memejamkan mata.
            Hajah Karimah mengelus rambut Puan Sri Anida. Maafkan mummy, Nida. Mummy ni bukan ibu mertua yang baik. Kalaulah mummy tak percaya dengan kata-kata si penipu tu mesti Nida takkan jadi teruk macam ni, bisik hati Hajah Karimah. Dia mengucup perlahan dahi Puan Sri Anida. Kemudian dia meninggalkan bilik itu.
            Sebaik saja Hajah Karimah menutup pintu bilik, Puan Sri Anida membuka matanya. Dia bangkit lalu membuka laci meja lampu. Kotak kecil yang diletakkan di hujung laci dibawa keluar. Penutup kotak itu dibuka. Terdapat beberapa biji pil di dalamnya. Dia membuka mulut mahu mengeluarkan pil yang dikemam di bawah lidah. Pil itu diletakkan di dalam kotak tadi.

Selama ini ahli keluarganya menyangka dia menelan ubat itu. Suaminya tak pernah tahu dia menyimpan ubat di dalam kotak itu. Setelah menutup kotak itu dia menyimpannya semula di bahagian hujung laci meja lampu. Baju Amanda di sebelahnya dicapai lalu dipeluk erat. “Manda...” Lirih suaranya. Kemudian dia berbaring semula dan memejam mata bermimpikan anaknya.




~BERSAMBUNG~

11 comments:

  1. bess sgt2...keep it up writer..huhu

    ReplyDelete
  2. best la novel nya... wah lps ni ap akn trjadi yo.. truskan kak wc....

    ReplyDelete
  3. Best! tapi, sedih tengok mak arwah Manda... huhuhu... bila Kif nak jumpa Rania ni? tak sabar nak tahu apa jadi... hihihi... thanks kak Wc... ^^

    ReplyDelete
  4. hilang Manda, Rania penggntinyaa..
    dio org kembr ke?
    gaimna la prtemuan Kif dng Rania..
    cpt smbng..

    _ara-

    ReplyDelete
  5. @Dira, kite tunggu sambungannye ek...

    ReplyDelete
  6. @Afifah Yusof, a'a kesian kat mak Manda... tak lame je lagi Thakif akan jumpe Rania... same2 Ifa...

    ReplyDelete
  7. @Anonymous, Nak tau Manda dengan Rania ke tak, kte tunggu nanti...

    ReplyDelete
  8. What day isn't today?

    ReplyDelete
  9. bila nak sambung nie...excited nk taw seterusnya....good job writer...

    ReplyDelete
  10. @a!n SyA, sabar ek... hari tu busy beli buku kat bookfair sampai lupe nak smbung... thnks sudibaca...

    ReplyDelete