Followers

Saturday, 14 April 2012

Separuh Hati Untukmu 9

DIA memusingkan badannya. Dia keliru. Di sekelilingnya dilitupi tumbuhan hijau. Suasana malam yang gelap itu hanya diterangi cahaya bulan. Dia seperti kenal tempat itu. “Bukan ke tempat ni yang...” Dia tak jadi menghabiskan ayatnya. Lantas kaki melangkah ke tempat di mana dia pernah menemui seorang gadis yang berpakaian serba putih yang duduk di atas buaian. Ternyata gadis berpakaian serba putih itu masih ada di situ. Perlahan-lahan dia menghampiri. Makin dekat dengan gadis itu makin laju degupan jantungnya.
            Tiba-tiba gadis itu berpaling.
            Terasa terhenti degupan jantung Thakif. Sukar untuk dia percaya. Dia terjelepok di sisi buaian. Mata masih tak lepas memandang wajah gadis itu. “Man... Manda?” Tersekat-sekat dia bersuara.
            Gadis itu tersenyum dan mengangguk.
            Air mata Thakif tumpah apabila melihat anggukan itu. “Abang rindu sangat kat Manda...” Dia mengesot sedikit merapati buaian yang diduduki Amanda.
            “Manda tahu, bang. Manda boleh nampak kat mata abang. Manda tahu abang menderita tapi Manda nak abang teruskan hidup. Manda nak abang cari pengganti Manda,” ujar Amanda lembut.
            Thakif menggeleng. “Tak ada sesiapapun yang boleh gantikan tempat Manda. Abang takkan cari orang lain. Kalau abang cari pengganti Manda seolah-olah abang mengkhianati Manda. Abang tak sanggup, Manda... abang tak sanggup nak buang Manda dari hati abang. Abang lebih rela hidup macam ni.” Sejuk matanya melihat Amanda bertudung.
            Amanda mengeluh. “Abang,... kalau abang cari pengganti Manda tak bermakna abang dah khianati dan buang Manda dari hati abang. Lagipun Manda memang nak abang cari pengganti. Walaupun kita tak ditakdirkan untuk hidup bersama, Manda bahagia dapat jadi tunang abang dan Manda bersyukur dapat kenal dengan abang.” Amanda tersenyum.
            Thakif menggeleng lagi. “Abang tak nak orang lain, abang cuma nak Manda sorang je.
            “Macam yang Manda cakap tadi, kita memang tak ditakdirkan untuk hidup bersama. Jodoh abang bukan dengan Manda tapi dengan orang lain yang mungkin lebih baik dari Manda. Bukaklah pintu hati abang. Jangan seksa diri abang kerana Manda. Berilah peluang kepada perempuan-perempuan kat luar sana untuk mengisi kekosongan di hati abang.”
            Sekali lagi Thakif menggeleng kepala. “Abang tak boleh, Manda. Pintu hati abang dah tertutup untuk mana-mana perempuan. Lagipun abang tak rasa yang abang akan jumpa dengan perempuan yang macam Manda.”
            “Allah tu Maha Berkuasa, bang. Bila Dia berkehendak, maka jadilah ia. Dia boleh bukak pintu hati abang bila abang jumpa dengan jodoh abang yang sebenar. Manda hanya nak tengok abang bahagia. Lagipun setiap manusia Allah ciptakan berpasangan. Manda yakin satu hari nanti abang pasti jumpa dengan pengganti Manda.”
            Thakif hanya diam. Kepalanya ditundukkan.
Amanda bangkit dari buaian lantas berjalan meninggalkan Thakif.
Thakif memanggung kepala. “Manda nak pergi mana?” Jantung Thakif sudah berdegup pantas.
            Amanda berpaling sambil melemparkan senyuman. Kemudian dia meneruskan langkah.
            “Manda, jangan pergi! Jangan tinggalkan abang, Manda!” Thakif mahu mengejar tapi kakinya terasa kaku. Berkali-kali dia memanggil nama Amanda namun gadis itu tetap tak berpaling. Dia hanya melihat dengan rasa kecewa. Air matanya kembali berjuraian.
            “Abang...”
            “Manda!!!” Thakif terjaga. Dia terpingga-pingga melihat keadaan sekelilingnya. Tiada lagi hutan, tiada lagi buaian dan sungai. Dia kini berada di biliknya.
            “Abang Kif mengingau ni...” Adeeba risau.
            “Astaghfirullahalazim...” Thakif meraup wajahnya yang sudah berpeluh. “Ada apa, Deeba?” tanyanya apabila dia sudah kembali tenang.
            “Tadi Deeba nak turun bawah. Lalu je depan bilik abang, Deeba dengar suara abang terjerit-jerit. Deeba pun masuklah. Tengok-tengok abang meracau-racau sebut nama arwah Kak Manda,” jelas Adeeba. “Abang mimpikan arwah ke?”
            “Dah pukul berapa sekarang?” Thakif tak menjawab soalan Adeeba.
            “6.50 pagi...”
            Terbuntang mata Thakif. “Kenapa tak kejutkan abang awal-awal?” Dia pantas menolak selimut. Tangannya dipanjangkan mahu mencapai kerusi roda.

“Kan abang selalu bangun sendiri?” Adeeba membantu Thakif. Setelah berjaya mendudukkan abangnya di kerusi roda, dia menyorong kerusi roda itu ke arah bilik mandi.

DARI satu siaran ke satu siaran Thakif tukar. Tangannya berhenti menekan remote apabila terpandang rancangan ceramah agama. Remote diletakkan di atas meja kopi.
            “Hari ini saya ingin berkongsi mengenai cinta kepada Allah SWT...”
            Tajuk ceramah yang Ustaz Firdaus ingin sampaikan benar-benar menarik minat Thakif. Dia terasa tajuk itu seperti ada kena-mengena dengan dirinya.
            “Apa makna cinta kepada Allah ya, saudara dan saudari? Apa dia?” Ustaz Firdaus yang berada di dalam televisyen itu diam sebentar. Mungkin memberi ruang kepada penonton untuk berfikir.
            “Makna cinta kepada Allah?” Thakif mula berfikir. “Erm... kita melakukan apa yang Dia suruh dengan seikhlas hati...” jawabnya perlahan.
            “Ia adalah perasaan apabila kita melakukan sesuatu untuk mendapat keredaan-Nya, untuk mendapat cinta-Nya, juga untuk mendapat rahmat-Nya supaya hidup kita berkat sentiasa,” sambung Ustaz Firdaus.
            Thakif mengangguk perlahan.
            “Saudara dan saudari... orang yang cinta kepada Allah ni sanggup melakukan sesuatu secara percuma sebab dia mahu perbuatannya itu mendapat perhatian Allah. Orang sebegini hanya berkasih sayang kerana Allah, bersahabat kerana Allah, berbakti kepada ibu bapa kerana Allah, belajar kerana Allah dan berniaga kerana Allah.”
            Thakif terkenangkan perbuatannya ketika dia masih tak reda dengan ketentuan-Nya. “Ya Allah, banyak sungguh dosa yang aku dah buat selama aku diuji ni. Aku salahkan Engkau kerana menjadikan keadaan aku begini, aku buat semua orang susah hati dengan keadaan aku, aku tengking mama sampai mama menitiskan air mata dan aku halau kawan baik aku sendiri. Kau ampunilah segala dosaku ya Allah...” Thakif meraup wajahnya.
            “Dia tidak melakukan semua itu kerana duit ya, saudara dan saudari? Tetapi untuk berbakti.” Ustaz Firdaus kembali bersuara.
            Thakif membuka semula tangannya yang menutupi muka tadi. Matanya merenung wajah Ustaz Firdaus di kaca televisyen.
            “Dia berbakti untuk orang sekeliling supaya Allah kasih kepadanya. Dia menjaga hubungan dengan Allah melalui yang fardhu, dia menjaga hubungannya dengan orang sekeliling melalui berbuat kebaikan selalu. Dia adalah seorang yang baik hati di dalam perbuatan, di dalam kata-kata dan di dalam fikirannya. Cinta kepada Allah bukan hanya duduk di masjid, banyak baca al-Quran, berzikir, berpuasa, menunaikan umrah, beriktikaf dan bersembahyang sunat ya, saudara dan saudari? Itu hanya luaran. Allah hanya akan pandang hati kita.” Ustaz Firdaus membawa jari telunjuknya ke dada.
            “Ini samalah seperti untuk mendapat perhatian daripada orang yang kita cinta. Apabila hati sudah suka pada seseorang, pasti anda sanggup berhabis untuk mendapat perhatiannya, kan? Anda bagi dia hadiah, berkirim salam, mengutus surat cinta, add dia kat Facebook, bertanya apa ID Twitter dia, bertanya apa nombor telefon dia supaya mudah untuk anda menghantar SMS padanya untuk menyatakan rasa cinta anda kepadanya... baiklah saudara dan saudari, kita berehat sebentar dan kembali selepas ini.”
            Televisyen mula menayangkan iklan. Thakif menongkat dagu terkenangkan pertemuan pertamanya dengan Amanda ketika dia datang ke rumah Tan Sri Razman buat pertama kali untuk membantu persiapan majlis ulang tahun perkahwinan Tan Sri Razman dan Puan Sri Anida.
Thakif memberhentikan kereta Audi Q7 berwarna merah di luar pagar. Dia mengeluarkan telefon pintar dari poket seluar jean. Nombor Qhafi didail. Lama dia menunggu namun panggilannya tak bersambut. Dia dail pula nombor Anis. “Helo, Anis... I dah sampai kat luar rumah you ni. Tadi I call Qhaf tapi tak berangkat pulak,” ujar Thakif sebaik saja panggilannya bersambut.
“Qhaf mungkin ada kat belakang rumah kot. I ada kat luar ni, beli barang sikit. You masuk jelah dalam rumah tu cari Qhaf. Tak pun you tanya je sesiapa yang ada kat ruang tamu tu, suruh dia panggilkan Qhaf,” saran Anis di hujung talian.
“Okeylah kalau macam tu. Bye, see you later...” Sebaik mematikan talian Thakif melangkah keluar dari perut kereta. Langkah kaki diatur ke pintu pagar rumah banglo tiga tingkat yang terkuak lebar. Dia lihat ada kanopi yang sedang dipasang. Terpandang saja pintu masuk yang terkuak lebar, dia mempercepatkan langkahnya. Tanpa disedari dia telah tersepak kaki tangga lipat yang elok terletak berhampiran dengan pintu masuk.
Arghhh!!!” jerit seorang gadis yang ketika itu berada di bahagian atas tangga lipat. Dia yang tak dapat menyeimbangkan badannya tiba-tiba saja terjatuh.
Sepantas kilat Thakif menyambut gadis itu dari tersungkur ke lantai. Kedua-duanya tergamam dan saling merenung. Jantung Thakif mula mengepam laju daripada biasa. Dia terasa seolah-olah berada di dunia lain. Hanya berdua dengan gadis itu. Aneh betul perasaannya ketika itu.
“Ehem-ehem...”
Dehaman itu mematikan drama tenung-menenung di antara Thakif dan gadis itu. Kedua-duanya berpaling ke arah orang yang berdeham tadi.
“Eh, Qhaf! Tadi aku call kenapa tak jawab?” tanya Thakif.
“Aku kat belakang tadi. Phone aku kat bilik. Kenapa tu?” soalnya sambil memuncungkan mulut ke arah gadis yang masih dikendong Thakif. Dia lihat wajah gadis itu turut merona merah dan sedang gelisah minta diturunkan namun Thakif masih tak melepaskan kendongan.
“Aku tersepak tangga tu masa nak masuk rumah kau tadi. Memang aku tak perasan ada tangga lipat kat situ. Lepas tu dia ni jatuh, aku sambutlah. Kalau tak sambut cedera pulak anak orang ni kang,” terang Thakif.
“Dahlah, jom masuk. Tolong aku kat belakang,” ajak Qhafi.
Thakif berjalan mendahului Qhafi.
“Kalau iya pun nak tolong aku buat kerja, lepaskanlah adik aku tu dulu. Takkan kau nak buat kerja sambil kendong dia kot?”
Langkah Thakif terhenti. Dia memandang tangannya. Dia lihat gadis itu meronta mahu dilepaskan. Gulp! Dia menelan liur. Macam mana aku boleh lupa ni! Perlahan-lahan dia menurunkan gadis itu. “Sorry...” ucapnya sambil tersengih malu.
Gadis itu hanya mengangguk lantas berjalan laju mahu masuk ke dalam rumah.
“Manda, ibu cari Manda tadi,” beritahu Qhafi apabila Amanda sudah sampai di pintu masuk.
Amanda berpaling memandang Qhafi lalu mengangguk.
“Adik kau ke tu?” tanya Thakif sebaik saja kelibat Amanda hilang dari pandangan. Matanya masih tak lekang dari memerhati ke dalam rumah.
“Haah. Kenapa?” Qhafi mengerut dahi.
“Bukan adik-beradik kau cuma dua orang je ke?” Thakif keliru. Dia memandang Qhafi.
“Tulah... dulu aku ajak datang rumah, ada je alasan! Adik-beradik aku tiga oranglah. Yang tadi tu yang bongsu, nama dia Nuha Amanda. Panggil Manda je.
“Ooo...” Mulut Thakif sudah membentuk huruf O. Dia tak menyangka Qhafi dan Anis mempunyai seorang adik perempuan. Tangannya yang menyambut Amanda daripada jatuh tadi dipandang. Tersungging senyuman di bibirnya. Wajah Amanda yang tersipu-sipu tadi benar-benar telah mencuri hatinya. Dia sedar dia telah jatuh cinta pandang pertama.
“Dah, jomlah masuk. Banyak yang nak kena buat.” Qhafi lagi mendahului Thakif.
“Okey, along... opss!” Thakif menekup mulutnya apabila menyedari dia telah tersasul. Dia tersengih memandang Qhafi yang memandangnya dengan riak terkejut.
            “Untuk apa anda sembahyang selain dari menunaikan suruhan-Nya? Untuk apa anda bersolat selain dari menunaikan kewajipan?”
            Suara Ustaz Firdaus di corong televisyen menyedarkan Thakif dari lamunannya. Dia kembali menumpukan perhatian pada televisyen.
            “Jawapannya, bersembahyanglah kerana anda mahu menambah rasa ketakwaan pada Allah supaya Allah sayang anda dan supaya anda menonjol di kalangan hamba-hamba-Nya yang lain. Rasa takwa adalah rasa apabila anda mahu melakukan sesuatu kerana mahu mendapat perhatian Allah. Bila sudah buat, anda akan rasa cukup berpuas hati. Bila anda tolong orang dengan niat mahu menambah rasa takwa, kesannya anda akan menolong sehabis baik, didorong oleh fikiran positif sebab anda mahu lihat orang yang anda tolong itu gembira menjalani kehidupannya. Anda berharap moga kegembiraan yang orang itu perolehi Allah lihat apa yang anda lakukan lantas melihat anda seorang yang layak untuk mendapat kasih sayang-Nya.”
            Thakif tekun mendengar. Kisahnya dengan Amanda dilupakan seketika.
            “Apa petanda kasih sayang Allah? Rezeki anda dimurahkan, hidup anda dibahagiakan, urusan anda dipermudahkan, masalah anda dikurangkan, pergaulan anda diperluaskan dan semuanya menjadi lancar saja. Saudara dan saudari, sebelum mengakhiri rancangan ini, ingin saya ingatkan... cinta sejati hanya layak untuk Maha Pencipta, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kasih itu hanya layak untuk ibu bapa dan selainnya. Sayang itulah ditujukan khas kepada pasangan sehidup semati kita,” ujar Ustaz Firdaus mengakhiri ceramahnya.
            Thakif menutup televisyen usai rancangan ceramah tadi. Dia merenung skrin televisyen yang sudah gelap. Jauh lamunannya mengingati mimpinya tadi. Dia sedar selama ini dia terlalu mengagungkan cintanya kepada Amanda sehingga mengabaikan suruhan-Nya.
            “Abang Kif...”
            Thakif memanggung kepala memandang Adeeba yang berdiri di sisinya sambil memegang dulang.
            “Jom makan... Deeba dah bawak sarapan ni.” Adeeba meletakkan dulang di atas meja kopi lalu dia melabuhkan duduk di sofa.
            Thakif memusingkan kerusi rodanya menghadap meja kopi. “Mama dengan papa tak breakfast sekali ke?” Dia menyambut pinggan berisi bihun goreng yang dihulur Adeeba.
            “Mama dengan papa breakfast kat bawah. Abang Kif nak breakfast kat bawah ke? Kalau nak nanti Deeba panggil papa suruh angkat abang bawak kat bawah.”
            “Tak payahlah, abang makan kat sini je.
            Adeeba meletakkan air teh O di depan Thakif. Mereka mula menjamah bihun goreng. Suasana ruang tamu atas sunyi seketika.
            “Deeba balik kolej bila?” Thakif memecahkan kesunyian.
            “Petang ni...” Adeeba mengeluh. “Pejam celik-pejam celik... sekejap je dah nak habis cuti. Esok dah start kelas. Tak puas rasanya nak lepak dengan abang kat rumah,” luah Adeeba. “Deeba happy sangat tengok abang dah berubah.” Dia tersenyum sambil menyudu bihun ke mulut.
            “Siapa hantar Deeba balik kolej nanti?”
            “Deeba balik sendiri je. Dulu masa abang sihat, abang yang selalu hantar dan jemput Deeba kat kat kolej bila tiba cuti, kan?” Adeeba memandang Thakif yang tunduk memandang pinggan.
            “Tapi sekarang abang dah tak boleh bergerak. Kaku je kat kerusi roda ni.” Thakif tersenyum. Matanya masih memandang pinggan di tangan.
            “Abang jangan cakap macam tu. Kan doktor pernah bagitahu yang kaki abang boleh sembuh? Berubatlah bang... bila abang dah sembuh, abang boleh hantar dan ambil Deeba macam dulu...” pancing Adeeba. Harap-harap hati Abang Kif lembut, doanya dalam hati.
            Thakif mencapai cawan. Air teh O yang sudah suam disisip perlahan. Kemudian dia meletakkan semula cawan di atas meja kopi. Wajah adiknya dipandang. “Abang tahu Deeba nak tengok abang boleh berjalan macam dulu tapi abang betul-betul belum bersedia. Macam mana kalau lepas berubat pun abang masih tak boleh bergerak?” Thakif meluahkan kegusarannya.
            “Abang, doktor sendiri dah sahkan yang abang ada peluang untuk sembuh. Lagipun teknologi perubatan sekarang ni dah canggih, bang. Macam-macam boleh dilakukan.”
            Thakif mengeluh. “Nantilah abang fikirkan.” Dia menyudu suapan terakhir. “Abang masuk bilik dululah,” ujar Thakif setelah selesai makan. Dia mula menggerakkan kerusi rodanya menuju ke bilik.
            Adeeba mengeluh. Benar kata mamanya. Abangnya memang susah untuk dipujuk.

RANIA mencapai komputer riba lalu dibawa ke katil. Sudah seminggu dia berada di Universiti Malaya itu dan sudah seminggu dia berjauhan daripada keluarga. Bilik C207 yang dihuni itu sunyi. Teman sebiliknya, Adira yang muda empat tahun darinya sudah melepak di bilik sebelah. Ada juga Adira mengajak dia tadi tapi dia menolak. Petang-petang begini dia mahu bermalas-malasan di dalam bilik saja. Dia meniarap di atas katil dan menghidupkan komputer riba. Setelah menyambung talian internet, dia membuka Yahoo Messenger. Dia lihat Fazila berada di dalam talian. Segera dia menekan nama adiknya itu.
           
            Ran_Hafiya: BUZZ!!!
            Faziela1604: Waalaikumussalam...
           
            “Amboi, sempat lagi dia perli aku!” Rania mula menekan papan kekunci untuk membalas.

Ran_Hafiya: Perli nampak... 
Faziela1604: Opss! Terasa ke, kakak? Tulah, lain kali jangan main buzz-buzz orang je. Terkejut orang tau. Tengah syok-syok main game tiba-tiba je buzz orang.
Ran_Hafiya: Apa, main game? Dah baca buku ke belum ni? Tak ingat ke pesan kakak hari tu? Lepas baca buku baru boleh nak main ke nak apa ke...
Faziela1604: Sebab dah baca bukulah kak ngah main game... kakak ni dah duduk jauh pun masih tak hilang lagi sikap suka membebel dia ni eh?
Ran_Hafiya: Itu bukan bebel tapi nasihat. Kalau kakak tak suruh, kau orang pun leka je kan? Mak, abah dengan adik-adik sihat ke?
Faziela1604: Alhamdulillah semua sihat. Kakak nak tahu tak, kita orang semua rindu kat kakak tau. Rasa macam bertahun-tahun je tak jumpa kakak padahal baru seminggu.

            Rania tersenyum. Gambar keluarganya yang disimpan di bawah bantal diambil lalu direnung dengan penuh kerinduan. Dia mula menekan papan kekunci.

 Ran_Hafiya: Kakak pun rindu kat semua jugak. Mak masak apa? Rindulah kat masakan mak...
Faziela1604: Mak masak makanan kegemaran kakak. Nasi lemak pandan dengan sambal sotong kering.
Ran_Hafiya: Waaa... sedapnya! Lapar pulak perut ni.

Tiba-tiba saja perut Rania berbunyi. Sudah lama dia tak makan nasi lemak pandan buatan emaknya. Seperti sudah terhidu bau wangi nasi lemak yang berwarna hijau itu di rongga hidungnya. “Sabar, Ran... balik sana nanti boleh suruh mak masak!” Dia memujuk diri sendiri.

Faziela16o4: Kakak, achik dengan adik cakap dia  orang rindu nak dengar suara membebel kakak. Dia orang cakap lagi, sunyi je rumah ni bila tak ada kakak. Dia orang ada kat sebelah kak ngah ni haaa.
Ran_Hafiya: Heh... dulu bukan main muncung lagi mulut bila dengar kakak membebel. Kata kakak ni macam mak neneklah, apalah... sekarang baru tau sunyi eh? Cakap kat dia orang, balik sana nanti kakak membebel puas-puas kat dia orang.
Faziela1604: Dia orang cakap bolehhh sangat-sangat... nanti dia orang beli kapas bebanyak lepas tu sumbat kat telinga. Hahaha...
Ran_Hafiya: Cett! Kuasam punya adik!
Faziela1604: Kakak dah habis minggu haluansiswa eh?
Ran_Hafiya: Hmmm... dah habis. Penat sangat. Tak cukup tidur. Hari ni baru dapat rehat. Esok dah start kelas...
Faziela1604: Kakak nak tahu sesuatu tak?

Tiba-tiba Fazila sudah tak berada di dalam talian.
“Eh, kenapa pulak kak ngah off ni? Hesy, saja nak buat suspense!” rungut Rania. Dia mencapai telefon bimbit mahu menghubungi Fazila.

            Faziela1604: Sorry, kakak... line Internet ni buat hal tadi.

            Baru sahaja Rania mahu mendail nombor Fazila, adiknya itu sudah berada di dalam talian semula. Telefon bimbit diletakkan di atas bantal.

            Ran_Hafiya: It’s okay... sambunglah cerita tadi.
            Faziela1604: Tadi mak nangis...
            Ran_Hafiya: Kenapa mak nangis?
Faziela1604: Mak rindukan kakak la tu... mak cakap dia rasa tak sedap hati je hari ni.
Ran_Hafiya: Laaa... ingatkan apalah tadi. Buat takut kakak je kak ngah ni. Cakap kat mak, jangan risaukan kakak kat sini. Pandailah kakak jaga diri dan kakak takkan berubah. Kakak tetap kakak yang dulu.

            “Assalamualaikum...” Seorang gadis memberi salam dan melangkah masuk ke bilik yang dihuni Rania dan Adira.
            Rania yang sedang leka bersembang di alam maya bersama Fazila terhenti seketika daripada menekan papan kekunci komputer riba. Dia tahu hari ini pelajar senior mula balik ke kolej. Dan salah seorang senior akan menjadi teman sebiliknya dan Adira. Dia bangkit dari meniarap. “Waalaikumussalam...” Dia melemparkan senyuman kepada gadis itu.
            Gadis itu terlopong melihat Rania. Wajahnya berubah pucat.
            Rania pelik. Dia meraba wajahnya. Nak kata dia pakai bedak sejuk, tak adalah pula bedak sejuk bertepek di mukanya. Kenapa dengan dia ni? Tengok aku macam nampak hantu je!
            Bummm!!!

“Adik!!!” Rania kaget apabila gadis itu tiba-tiba saja rebah di depan pintu bilik.



~BERSAMBUNG~ 

5 comments:

  1. mesti "adik" tu Adeeebakan.... terkejut beruk nampak rupa Rania seiras Amanda..... betul tak cik WC....

    ReplyDelete
  2. best2.. nk lagi... mesti adeeba... suspen lah... hehehehehe...

    ReplyDelete
  3. Baru mula baca cerita ni... hihihi... best sangat... jalan cerita yang tersusun... siapa 'adik' tu? rasa macam Adeeba aje... hihihi... sambung lagi ya... terima kasih kak WC... ^__^

    ReplyDelete
  4. Aida Sherry, Dyanza n Afifah Yusof: tunggu bab 10 ek...

    ReplyDelete
  5. waiting for the next entry...

    ReplyDelete