Followers

Sunday, 10 June 2012

Separuh Hati Untukmu 12


QHAFI mundar mandir di depan buaian kayu di laman rumah. Tangan kiri dicekak ke pinggang manakala tangan kanan memegang telefon pintar. Penat mundar mandir, dia duduk di atas buaian. “Kenapa Deeba off handphone pulak ni? Tadi beria suruh aku call!” rungutnya. Siku kiri diletakkan di atas pemegang buaian lantas menongkat kepalanya.
            “Betul ke apa yang aku dengar tadi? Kenapa suara dia macam Manda? Hai, kalau handphone aku tak habis bateri tadi boleh aku bercakap lama sikit dengan dia. Siapa dia? Kenapa dia yang jawab telefon Deeba?” Dahi Qhafi sudah berkerut. Suara perempuan yang menjawab panggilannya petang tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Suara itu benar-benar mengingatkan dia pada Amanda. Nombor Adeeba didail semula. Dia mengeluh lega apabila sudah boleh menghubungi Adeeba. Dia menunggu sehingga panggilannya dijawab.
            “Aaa... assalamualaikum, Abang Qhaf...” Suara Adeeba kedengaran sedikit tergagap.
            “Waalaikumussalam. Kenapa abang call asyik off je handphone Deeba tu?” tanya Qhafi tanpa mengesyaki apa-apa.
            “Bateri habis tadi. Deeba terlupa nak on balik. Abang call ni kenapa?”
            Qhafi mengerut kening. “Petang tadi kan Deeba suruh abang call?
            “Ada ke? Deeba rasa macam tak ada je...
            “Ada... petang tadi Deeba ada hantar mesej kat abang. Deeba tulis abang, call Deeba kejap. SEKARANG TAU!” Qhafi membacakan semula mesej itu kepada Adeeba.
            “Laaa... Deeba nak hantar mesej tu kat Abang Kif sebenarnya. Tak sangka pulak terhantar kat Abang Qhaf. Hahaha...
            Bunyi ketawa Adeeba kedengaran janggal di telinga Qhafi. “Siapa yang angkat phone Deeba masa abang call petang tadi?” Kepala Qhafi sudah pening memikirkan suara itu.
            “Ooo, yang tu kawan Deeba. Deeba pergi toilet masa tu. Tu yang dia tolong jawabkan.” Laju Adeeba menjawab.
“Suara kawan Deeba tu macam suara arwah Manda.” Qhafi menggaru keningnya.
            “Ya ke sama? Maybe abang terlalu rindukan arwah Kak Manda kot sebab tu dengar suara kawan Deeba pun abang ingat arwah.”
            “Yalah kot.” Qhafi mengeluh perlahan. “Study okey ke Deeba?” Dia menukar soalan, tak mahu memikirkan lagi tentang suara itu.
            “Study okey je. Banyak assignment yang nak kena buat. Abang dah makan?”
            Qhafi menilik jam di pergelangan tangan. “Dah pukul 9 malam mestilah dah makan, Deeba oiii... okeylah Deeba, abang ada kerja nak kena siapkan ni. Dapat dengar suara Deeba lega sikit hati abang. Cuak jugak masa dapat mesej Deeba tadi. Ingatkan ada apa-apa berlaku kat Deeba.”
            “Abang Qhaf ni tak habis-habis dengan kerja... kerja... kerja... cubalah bawak berehat sikit. Tak payah bawak balik kerja office tu ke rumah. Bukannya lari pun kerja abang tu.” Adeeba sudah mula membebel.
            Qhafi tersenyum. “Memanglah kerja tu tak lari tapi Deeba pun tahu kan yang abang jenis yang tak suka tangguhkan kerja?”
            “Antara Deeba dengan kerja abang tu mana lagi penting?” Suara Adeeba kedengaran teruja ingin tahu.
            “Mestilah kerja lagi penting!” Selamba Qhafi menjawab. Buaian dibuai perlahan.
            “What? Kerja lagi penting dari Deeba? Deeba nak merajuklah macam ni! Buat assignment lagi bagus.”
            “Deeba, abang tak habis cakap lagi ni...” Pantas Qhafi menahan Adeeba yang mahu memutuskan talian.
            “Apa dia?” Suara Adeeba kedengaran acuh tak acuh.
            “Kerja abang tu memang penting tapi... Deeba tetap nombor dua terpenting di hati abang,” bisik Qhafi sedikit romantik.
            “Kenapa pulak Deeba nombor dua? Kerja abang nombor satulah?” Suara Adeeba kedengaran tak puas hati.
            “Bukan kerja tapi parents abang...” jawab Qhafi. “Tanpa papa dan ibu, abang takkan lahir ke dunia ni. Deeba tempat kedua terpenting dalam hati abang sebab Deeba bakal menjadi teman sehidup semati abang, bakal ibu kepada anak-anak abang dan bakal menantu kepada ibu dan papa abang. Insya-Allah...” sambungnya lagi.
            Adeeba diam. Mungkin terharu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Qhafi.
            “Kerja pulak jatuh tempat ketiga sebab...” Qhafi berjeda seketika. “... kalau abang tak kerja bersungguh-sungguh macam mana nak sara isteri dan anak-anak abang nanti? Sekarang merajuk lagi ke?”
            “Tak merajuk dah... suka je...” Kedengaran serak sedikit suara Adeeba.
            “Hmmm... good... esok Deeba balik rumah ke?” Qhafi  memang tahu setiap hari Sabtu jika tiada kelas Adeeba pasti pulang ke rumah.
            “Esok kan Sabtu? Mestilah Deeba balik. Ahad bukannya ada kelas pun. Abang Qhaf nak datang rumah ke?”
            “Tak dapat kot nak datang. Sampaikan salam abang pada Kif, Aunty Ros dengan Uncle Har...
            “Okey...”
Suasana diam seketika. Hanya kedengaran bunyi hembusan nafas masing-masing.
“Abang Qhaf, Deeba nak minta maaf...” Adeeba bersuara.
            “Kenapa pulak nak minta maaf ni? Deeba ada buat salah kat abang ke?” soal Qhafi pelik.
            “Erm... Deeba cuma nak minta maaf je kalau-kalau Deeba pernah buat abang marah ke atau apa-apa jelah.
            “Deeba tak pernah buat abang marah pun. Tak payah nak minta maaflah.”
            “Abang cakaplah yang abang maafkan Deeba.”
            “Abang tak tahu apa salah Deeba macam mana abang nak cakap yang abang dah maafkan?” Qhafi menggaru kepalanya yang tak gatal. Sungguh dia tak faham dengan perangai Adeeba malam ini.
            “Deeba tak kira, Abang Qhaf kena cakap jugak yang Abang Qhaf maafkan Deeba!”
            “Yalah... yalah... abang maafkan segala kesalahan Deeba...” Qhafi mengalah.
            “Thanks, Abang Qhaf...”
            “Dahlah, pergi buat assignment. Kata tadi ada assignment nak kena buat, kan? Jangan tidur lewat sangat tau. Assalamualaikum.” Qhafi sudah mahu menamatkan perbualan.
            “Abang pun sama, jangan tidur lewat. Waalaikumussalam.”
            Sebaik saja mematikan talian, Qhafi merenung gambar Adeeba yang dijadikan wallpaper telefon pintarnya. Dia tersenyum sendirian. Dia sendiri tak menyangka yang dia akan menjalinkan hubungan istimewa dengan adik kawan baiknya sendiri. Sikap Adeeba yang ceria telah berjaya mengisi ruang hatinya yang sudah lama sepi.
            Dia ingat lagi ketika dia sedang bersedih semasa hari pemergian Amanda, Adeeba memberikan semangat kepadanya dan sentiasa berada di sisinya. Baginya, pemikiran Adeeba nampak lebih matang daripada umur walaupun kadangkala perangai gadis itu agak kebudak-budakan. Senyuman Qhafi mati apabila melihat kereta Anis memasuki garaj. Telefon pintarnya disimpan ke dalam poket lantas dia mendapatkan Anis yang baru keluar dari perut kereta.
“Kenapa tak masuk ofis lepas lunch tadi?” Serius nada suara Qhafi.
            Anis menoleh ke belakang. Keretanya dikunci. “Aku ada hal sikit tadi,” jawabnya malas. Dia melangkah mahu masuk ke dalam rumah.
“Hal apa yang penting sangat sampai tak attend meeting?” Qhafi sudah memeluk tubuh.
            Langkah Anis terhenti. Dia berpaling memandang Qhafi. “Kan aku dah suruh Zita take over tempat aku. Kecohlah kau ni, along. Papa tak bising, kau pulak yang over!” Dia menghadiahkan jelingan tajam pada Qhafi.
            “Sebab papa tak bisinglah aku kena tegur. Bagitahu aku hal apa yang penting sangat sampai kau tak masuk ofis?” desak Qhafi.
            “Aku keluar tengok wayang dengan Jenny! Dahlah, aku nak masuk dalam. Penat tau tak?” Anis berpusing kembali.
            Mencerun mata Qhafi mendengar alasan Anis. “Ooo, sebab nak tengok wayang kau tak attend meeting? Penting sangat ke tengok wayang tu daripada kerja? Kau tu HR Manager tau, tunjuklah contoh yang baik sikit. Nanti apa pulak kata staff lain. Mentang-mentang anak bos, boleh buat sesuka hati je.”
            “Siapa yang cakap macam tu? Zita ke Erni?” Anis sedikit berang. Habis disebut nama pekerja yang bekerja dibawahnya.
            “Belum ada lagi yang cakap macam tu. Aku cuma nak mengingatkan kau je. Walaupun kita anak bos, kita tetap kena patuh pada etika kerja. Kau kena ingat setiap kerja yang kita lakukan merupakan amanah Allah. Kalau kita buat sambil lewa maknanya kita tak tunaikan amanah Dia. Aku tak nak tengok lagi kau ponteng sesuka hati lagi lepas ni,” ujar Qhafi sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
            Anis mengetap bibir menahan geram. “Suka hati akulah. Sibuk je!

AZFAREL termenung di balkoni ruang tamu atas. Wajah sedih Rania terbayang di ruang ingatan. Entah kenapa dia tak boleh lupakan wajah itu. Ketika di pejabat pun fokus dia lari. Jasadnya di pejabat tapi mindanya teringatkan gadis yang tak diketahui namanya.
 “Farel ni tak sihat ke? Kenapa termenung je ni?” Mazni sudah duduk di depan Azfarel.
            “Farel sihatlah mummy. Cuba rasa, tak panas pun, kan?” Tangan kanan Mazni dicapai lantas didemahkan ke dahi dan bawah dagunya.
            “Selalunya kalau orang termenung ni ada dua sebab. Kalau bukan sebab masalah kat tempat kerja mesti sebab tengah dilamun cinta!” Mazni mengecilkan matanya cuba melihat reaksi anak bujangnya.
            Azfarel tersenyum. Wajah Rania kembali terlayar di ruang mata. Mungkin dia sudah jatuh cinta pada Rania. Kalau tak, takkan dia berasa risau apabila melihat Rania sedih tadi.
            Melopong sedikit mulut Mazni apabila melihat Azfarel tidak menidakkan tekaannya. Wajahnya bertukar muram. “Baik Farel buang perasaan Farel tu. Tak baik, Farel. Berdosa!”
            Senyuman Azfarel mati. Dia tak jadi mahu menceritakan kejadian petang semalam kepada mummynya. “Kenapa pulak berdosa, mummy?” Dahinya dikerutkan.
            Mazni mengeluh. “Allah menciptakan perempuan untuk berpasangan dengan lelaki dan Allah melaknat orang yang berpasangan dengan kaum sejenis.”
            “Betullah apa yang mummy cakap tu. So, apa kena mengena hal ni dengan Farel?” Azfarel mengangkat keningnya pula.
            “Mummy nak menantu perempuan, Farel... bukan lelaki!” Mazni bersuara tegas.
            Membulat mata Azfarel. “Apa yang mummy merepek ni?”
            “Ramai kawan mummy cakap dia orang nampak Farel mesra sangat dengan lelaki tulah, lelaki nilah. Mummy tak sangka anak mummy macam ni!” Wajah Mazni sudah berubah sedih.
            “Sampai hati mummy tuduh Farel macam tu. Dia orang tu kawan Farel la, mummy. Dah ada isteri dengan anak pun. Mummy berdosa tau tuduh Farel melakukan apa yang Farel tak buat!”
“Astaghfirullahalazim... maafkan mummy ya, Farel?” Mazni mula rasa bersalah.
Mummy ni suka sangat percaya cakap orang daripada anak sendiri. Kawan-kawan mummy tu sengajalah nak buat cerita sebab Farel tolak anak dia orang.” Azfarel sudah berjauh hati.
Mummy bukannya tak percayakan Farel tapi setiap kali mummy suruh jumpa dengan anak kawan-kawan mummy, Farel tolak. Manalah mummy tak percayakan kata-kata dia orang tu? Lagipun kamu jarang balik ke rumah ni. Kalau tak dipanggil tak adanya nak nampak muka kamu kat sini.”
“Dah mummy tu asyik nak kenenkan Farel dengan anak kawan mummy je, malaslah nak balik,” bisiknya perlahan. Lebih kepada diri sendiri.
“Apa dia? Mummy tak dengarlah.”
“Tak ada apa-apalah, mummy. Farel nak mummy tahu yang Farel masih straight dan Farel masih tahu hukum agama. Cuma Farel belum bersedia nak menamatkan zaman bujang.” Azfarel menyandarkan badannya.
“Tak bersedia apa lagi, Farel? Umur kamu tu dah 31 tahun tau! Nak tunggu sampai bila?” Meninggi sedikit suara Mazni
Azfarel meraup wajahnya tanda sedikit tertekan.
Mummy nak Farel jumpa dengan anak Datin Sarimah ni.” Mazni menghulurkan sekeping gambar kepada Azfarel.
Dah mula dah! Dengan malas Azfarel menyambut gambar itu dan melihat sepintas lalu. “Farel tak berminatlah mummy.” Dia menolak gambar itu ke arah Mazni.
“Apa masalah Farel sebenarnya? Kenapa Farel ni dingin sangat dengan perempuan? Nak kata pernah kecewa, tak pernah pulak bercinta.” Mazni tak puas hati.
“Perempuan ni lecehlah mummy. Gedik! Suka merengek-rengek.” Wajah salah seorang anak kawan Mazni yang tergedik-gedik ketika temu janji pertama mereka mula terbayang.
“Maksud Farel, mummy pun samalah?” Mazni mula terasa.
Azfarel bangkit lalu memeluk Mazni dari belakang. Pipi Mazni dicium perlahan. “Mummy lain. Mummy lembut, penyayang, tak gedik dan yang paling penting... mummy pandai masak,” ujarnya manja.
Mazni tersenyum. “Farel ni manja sangatlah. Daripada Farel peluk mummy macam ni baik Farel peluk isteri.”
Wajah Azfarel berubah. Dia melepaskan pelukan lantas berlalu meninggalkan balkoni.
“Nak ke mana pulak tu?” tanya Mazni.
“Balik,” jawab Azfarel tanpa menoleh.
“Kata nak tidur sini?” Dahi Mazni sudah berkerut.
“Tak jadilah. Bosan bila asyik kena paksa jumpa anak kawan-kawan mummy.”

ADEEBA sudah bersiap untuk balik ke rumahnya. Dia pandang katil dua tingkat di depannya. Adira sudah selamat sampai ke rumah. Rania pula di bilik mandi. Dia membaringkan dirinya di atas katil sambil merenung siling. Berkerut dahinya memikirkan sesuatu.
            “Plan A dah gagal, aku kena fikirkan plan B pulak sekarang. Apa yang aku nak buat eh? Encik Idea, cepatlah datang...” Beberapa minit kemudian wajah Adeeba mula berkerut. Tiba-tiba saja perutnya berasa terlalu sakit. Dia meringkukkan badannya sambil tangan memegang perut. “Aduh, sakitnya!” Dia mengerang kesakitan.
            Ketika itu juga Rania melangkah masuk ke dalam bilik. “Kenapa ni, Deeba?” tanyanya yang sudah duduk di birai katil Adeeba.
            “Sakit perutlah, Kak Ran... sakit sangat ni.” Suaranya tertahan-tahan. Terasa seperti mahu mengalir air matanya.
            “Sakit perut kenapa?” Rania sudah cuak. Nak kata tersalah makan, aku tak ada pulak sakit perut.
            “Seng... senggugut...” Terputus-putus suaranya. Sebelum ini belum pernah dia mengalami senggugut yang teruk seperti ini ketika datang bulan. Urat perutnya terasa mahu putus. Memang sakit sangat.
            Rania melangkah ke almari mengambil minyak lantas menyapu ke perut gadis itu. “Deeba tak payah balik rumahlah hari ni ya?” ujar Rania apabila melihat Adeeba sudah memejamkan mata. Mungkin berasa lega sedikit apabila perutnya diurut begitu.
            “Tak boleh, kak. Deeba kena balik jugak,” jawabnya tanpa membuka mata. “Dah bagitahu kat mama tadi.”
            “Macam mana nak drive kalau perut sakit macam ni? Lagipun dah pukul 10 malam dah ni. Esok jelah Deeba balik ya?”
            “Tak nak... Deeba nak balik malam ni jugak! Tak apa, Deeba still boleh drive.” Adeeba berdegil. Dia bangkit perlahan-lahan lalu bersandar di kepala katil. Wajahnya dikerutkan lagi menahan sakit.
            “Boleh ke drive ni? Akak tengok Deeba macam tak ada tenaga je nak drive. Bahaya drive dalam keadaan tengah sakit macam ni.” Rania risau.
            “Boleh... Deeba boleh!” Adeeba cuba tersenyum.
            “Akak risaulah. Erm... biar akak jelah yang drive kereta Deeba,” tawar Rania.
            Membulat mata Adeeba. “Kak Ran pandai drive ke?”
            “Pandai. Akak ada lesen tau!” Rania meyakinkan Adeeba.
            “Kalau macam tu Kak Ran hantar Deeba sekaranglah!” Adeeba sudah bersedia mahu turun dari katil.
            “Akak pakai tudung kejap.” Rania menyimpan semula minyak ke dalam almari.
            Adeeba sudah tersengih. Ada hikmah rupanya aku senggugut hari ni. Tak payah susah-susah nak fikirkan plan B!
            “Meh sini kunci kereta.” Rania menghulurkan tangan.
            Dengan senang hati Adeeba menyerahkan kunci keretanya kepada Rania. “Thanks, Kak Ran. Nanti Deeba tunjukkan jalan ke rumah Deeba.”
            Rania tersenyum dan mengangguk. “Lepas dah hantar Deeba, akak nak minta izin bawak balik kereta ke kolej ya? Esok Deeba nak balik, akak jemput.”
            “No problemlah kak.” Adeeba tersenyum senang. Di dalam kepala sudah terencana rancangan seterusnya.
            17 minit perjalanan akhirnya kereta yang dipandu oleh Rania telah selamat sampai di hadapan sebuah banglo yang nampak mewah.
            “Jomlah masuk, kak,” pelawa Adeeba. Tali pinggang keledar sudah dibuka.
            “Tak apalah, akak dah nak balik ni.”
            “Kak Ran tidur jelah kat sini. Dah lewat ni. Esok kita balik kolej sama-sama,” pujuk Adeeba.
            “Tak apalah, Deeba.. nanti apa pulak kata famili Deeba. Lagipun belum pukul 12. Sempat lagi ni nak balik kolej,” tolak Rania lagi.
            “Mama dengan papa Deeba tak kisahlah kak. Jangan risau. Jomlah... lagipun kat kolej nanti akak kena tidur sorang-sorang,” pujuknya lagi.
            “Tak apa, akak dah biasa tidur sorang-sorang. Deeba pergilah masuk.”
            “Jomlah... ni first time akak datang rumah Deeba, kan? Jomlah, kak...” Adeeba memanjangkan tangannya mematikan enjin kereta lalu mencabut kunci.
            Membulat mata Rania melihatnya. “Okeylah, akak tidur sini,” Dia mengalah. “Kereta ni nak biarkan kat luar ni je ke?”
            “Kita bawak masuk dalamlah. Nah kunci.” Adeeba menyerahkan kunci kepada Rania semula lalu dia menekan alat kawalan jauh untuk membuka pintu pagar. Di dalam hati dia sudah bersorak apabila rancangannya untuk mengajak Rania tidur di rumahnya telah berjaya.

Sebaik saja pintu pagar terbuka, Rania menghidupkan enjin kereta dan mula memandu masuk.
~BERSAMBUNG~

Saturday, 2 June 2012

Separuh Hati Untukmu 11


DIA melangkah keluar dari MPH Mid Valley. Petang Jumaat itu ramai juga pengunjung yang datang. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia menyeluk poket jean dan mengeluarkan telefon bimbit. Dia lihat ada satu SMS diterima daripada Adeeba.

Kak Ran, kalau dah habis tengok buku datang kat Pizza Hut  tau. Deeba tunggu akak kat situ.

Dua bulan mengenali Adeeba menjadikan hubungan mereka semakin rapat bagaikan sudah bertahun-tahun kenal. Rania senang berkawan dengan gadis itu. Baru saja dia mahu membalas mesej, tiba-tiba bahunya dilanggar dengan kuat dari arah bertentangan. Rania yang tak bersedia apa-apa terus terjatuh. Telefon bimbitnya turut tercampak. Mujur dia sempat menahan tangan kirinya ke lantai. Kalau tak pasti belakang badannya akan terasa sengal. Alang-alang sudah jatuh begitu, dia terus duduk di lantai itu.
            Pengunjung yang lalu-lalang hanya memandang dengan pandangan terkejut dan ada juga yang tersenyum melihat Rania terjatuh begitu.
            “Cik tak apa-apa?” Lelaki yang melanggar Rania tadi bertinggung di depannya.
            Rania mengangkat kepalanya memandang lelaki itu. “Saya tak apa-apa, sikit je,” jawab Rania sambil tersenyum sedikit. Dahinya pula sedikit berkerut menahan sakit di tapak tangan kiri.
            “Erk... saya betul-betul minta maaf, cik. Saya tak sengaja. Saya nak cepat tadi.” Wajah lelaki itu kelihatan serba salah. “Tangan cik tak apa-apa ke? Jom saya bawak ke klinik,” pelawanya apabila dia melihat Rania mengibas perlahan tangan kirinya.
            “Eh, tak apa... sikit je ni. Saya pun salah jugak sebab jalan tak tengok depan tadi. Saya sibuk dengan handphone.” Sebut saja pasal telefon bimbit, Rania terus memandang tangan kanannya. Dia terkejut melihat telefon bimbitnya tiada di tangan. Dia meliarkan mata mencari telefon bimbitnya yang entah tercampak ke mana.
            “Cik cari apa?” tanya lelaki itu.
            “Handphone saya. Tadi ada kat tangan saya,” jawab Rania tanpa memandang wajah lelaki itu.  Dia mula gelisah.
Lelaki itu turut meliarkan mata cuba membantu Rania mencari telefon bimbit walaupun dia sendiri tak tahu telefon bimbit jenis apa yang dipakai oleh Rania.
Mata Rania mula bersinar apabila ternampak telefon bimbitnya berada agak jauh sedikit dari tempatnya jatuh. Mungkin telefon bimbitnya itu telah disepak oleh pengunjung yang lalu-lalang ketika dia terjatuh tadi. Tiba-tiba matanya terbuntang. Dia yang baru saja mahu bangun untuk mengambil kembali telefon bimbitnya terus terhenti apabila terpandang sepasang kasut tumit tinggi yang talinya berwarna merah jambu dan bahagian tumit yang runcing berwarna putih jernih seperti kaca yang baru saja keluar dari pintu restoran telah memijak telefon bimbitnya. Dan sekali lagi dia tergamam apabila pemilik kasut tumit tinggi itu menyepak telefon bimbitnya dengan kasar!
            Wajah Rania berubah merah. Turun-naik nafasnya menahan rasa sedih dan marah. Tanpa berlengah, dia bangkit mendapatkan telefon bimbitnya. Terasa mahu tumpah air matanya melihat hadiah pemberian abahnya ketika hari jadinya yang kedua puluh dua tahun telah retak. Dia meliarkan mata cuba mencari pemilik kasut tumit tinggi itu tapi pengunjung yang terlalu ramai menyukarkannya untuk mencari.
            “Erk... saya minta maaf. Kalau saya tak langgar cik tadi mesti handphone cik tak rosak,” ucap lelaki itu serba salah.
            Rania hanya diam. Dia kembali memandang telefon bimbitnya dengan pandangan yang sayu. Terasa bergenang air matanya.
            “Cik tunggu sini sekejap, nanti saya datang balik ya.” Lelaki itu melangkah beberapa tapak.
            Rania diam lagi. Tak mengangguk mahupun memandang wajah lelaki itu. Dia geram dengan pemilik kasut tumit tinggi itu. “Kalaupun handphone aku ni tak secanggih mana, perempuan tu tak patut sepak handphone aku sampai macam tu sekali!” gerutu Rania geram.
            Lelaki itu berpaling memandang Rania. “Tunggu tau, cik... jangan pergi mana-mana.” Dia berlalu ke aras atas meninggalkan Rania yang masih merenung telefon bimbit.
Sampai saja di kedai HTC, lelaki itu meneliti satu per satu telefon bimbit berjenama HTC yang dipamerkan.
“Ya, encik? Boleh saya bantu?” tanya seorang jurujual wanita berbangsa Cina.
“Saya nak cari handphone untuk diberikan kepada seseorang,” jawabnya laju.
“Encik nak handphone yang macam mana?  Kat sini ada HTC Dream, One X, Touch dan Touch Dual.” Jurujual itu mempromosikan telefon pintar yang ada.
Lelaki itu meletakkan jari telunjuknya ke dagu. Dia sukar untuk membuat pilihan. “Saya ambil One X jelah, miss.”
“Encik nak warna apa? Hitam ke putih?”
“Putih.”
“Tunggu sebentar ya, encik? Saya ambil kat dalam.” Jurujual itu mula melangkah.
“Cepat sikit ya, miss?”
Jurujual itu berpaling lalu mengangguk sedikit.
Setelah selesai membuat pembayaran, lelaki itu berjalan laju untuk ke tempat dia meninggalkan Rania tadi. “Eh, mana pulak dia pergi ni?” Berkerut dahinya apabila melihat Rania tiada di situ. Dia berjalan cuba mencari Rania. Baru beberapa langkah dia berjalan, telefon pintarnya berbunyi. Dia mengangkat tanpa melihat nama pemanggil.
            “Kau dah sampai ke belum? Lagi beberapa minit je meeting nak mula ni,” tanya suara di hujung talian.
            “Aku dah sampai. Ada dekat LG ni. Aku naik sekarang.” Lelaki itu mematikan talian. telefon pintar disimpan sambil matanya meliar lagi. Keluhan hampa dilepaskan apabila tidak menjumpai Rania.

  KAKINYA diangkat sedikit melihat pada tumit kasutnya. Dia mendengus keras. Mulutnya tak henti mengomel tak puas hati.
            “Apa lagi yang dirungutkan tu? Dari tadi kau tak habis-habis tayang muka ketat. Ni mesti pasal kes tadi, kan?” serkap Jennifer yang sudah berdiri di depan Anis. Tiket wayang yang baru saja diambil di kaunter simpanan tiket dikipas-kipasnya perlahan.
            “Memang pasal kes tadi pun. Nasib baiklah aku sempat paut lengan kau. Kalau aku jatuh tadi, memang aku cari tuan punya handphone buruk tu sampai dapat! Punyalah banyak tempat kat Mid Valley ni, kat situ jugak dia nak cicirkan handphone. Ikutkan hati tadi, nak je aku pijak-pijak handphone buruk tu sampai hancur!” Anis menghentak kakinya geram membayangkan telefon bimbit itu hancur dipijak.
            “Dah handphone tu nak tercicir kat situ nak buat macam mana? Kesian tuan punya handphone tu. Mesti dia sedih tengok handphone dia jadi macam tu.” Telefon bimbit yang telah retak akibat dipijak oleh Anis tadi terbayang di ruang mata Jennifer.
            “Dengan aku kau tak kesian ke? Aku ni mangsa tau. Daripada kau kesian kat tuan punya handphone buruk tu, baik kau kesian kat aku.” Anis merenung tajam wajah Jennifer.
            “Kau kan tak apa-apa? Sihat je aku tengok.” Jennifer memandang Anis dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.
            “Hello, Miss Jenny... aku hampir terjatuh tadi tau. HAMPIR!” Dia menekankan perkataan hampir.
            “Alah relakslah... tu pun nak marah-marah ke?” Menggeleng kepala Jennifer.
            “Mahunya aku tak marah? Belum pernah lagi berlaku dalam hidup aku yang aku hampir tersungkur disebabkan handphone buruk tu tau! Yang kau ni pulak nak kesiankan tuan punya handphone tu, siapa kawan kau yang sebenarnya? Aku ke tuan punya handphone buruk tu?” Anis sudah memeluk tubuh menanti jawapan Jennifer.
            “Mestilah kau kawan aku. Lupakan jelah pasal tu, buat hilang mood kau je nak tengok wayang. Tak payahlah nak masam-masamkan muka tu lagi, nampak buruklah.”
            Anis mengeluh perlahan. “Aku tak boleh nak lupalah. Rasa panas je hati aku ni bila ingat balik. Nasib baik aku pakai seluar. Buatnya aku pakai skirt dan aku terjatuh tadi, tak ke malu tu? Mana aku nak letak muka aku ni?” Jari telunjuknya ditudingkan ke mukanya.
             Minda Jennifer membayangkan Anis tersungkur seperti nangka busuk dengan wajah berkerut menahan sakit. Ketawa yang cuba ditahan terlepas sedikit.  
            “Yang kau ketawa ni kenapa?” Anis menjegilkan mata.
            “Mana ada aku ketawa, aku batuklah!” Jennifer berpura-pura berdeham. Konon-konon tekaknya terasa gatal. “Hesy, gatal betul tekak aku ni! Uhuk! Uhuk!” Dia berpura-pura batuk pula.
            Anis mengecilkan matanya. Sebelah kening diangkat ala-ala kening Ziana Zain. “Jangan nak tipu ya? Kau ingat aku ni tak pandai nak beza ke macam mana bunyi ketawa dengan batuk?”
            “Betullah. Eh, kau tak masuk ofis ni tak ada siapa-siapa marah ke?” Segera Jennifer menukar topik perbualan. Kalau dia tahu apa yang aku bayangkan, mesti dia hangin!
            “Siapa yang berani nak marah aku? Tu syarikat papa aku, suka hati akulah nak masuk ofis ke tak!” Anis menyebak rambutnya ke belakang. “Selalu kalau nak tengok wayang kau ajak aku tengok kat The Gardens. Hari ni kat Mid pulak.” Anis membetulkan tali beg tangannya yang hampir jatuh.
            “Saja nak tukar angin.” Jennifer memerhatikan orang ramai yang sedang beratur untuk membeli tiket. Nasib baik dia sudah menempah tiket wayang awal-awal. Kalau tak, terpaksalah dia beratur panjang. Dia menilik jam di pergelangan tangan. “Jom kita beli popcorn. Tak bestlah tengok wayang tanpa popcorn. Ada lagi 20 minit ni sebelum movie tu start.” Tangan Anis ditarik. 

ADEEBA melambaikan tangannya apabila ternampak kelibat Rania memasuki restoran makanan segera itu. “Eh, masa datang tadi aku tengok muka Kak Ran happy je... sekarang apesal muka muram macam orang baru lepas mati laki ni?” bisik Adeeba perlahan.
            Rania mengambil tempat di hadapan Adeeba. Telefon bimbitnya yang telah rosak itu dimasukkan ke dalam poket. Tangan kanannya memicit perlahan pergelangan tangan kiri yang terasa sengal di bawah meja. Wajahnya berkerut memikirkan tentang telefon bimbitnya. Kalau hantar kat kedai, boleh repair ke handphone aku tu eh? Tapi teruk benar retaknya. Handphone tu pulak model lama. Macam tak ada harapan je.
            Beberapa minit kemudian menu yang dipesan oleh Adeeba sampai di meja. Adeeba menuang air pepsi ke dalam dua biji gelas yang berisi ais batu. “Makanlah Kak Ran. Deeba order piza hawaiian chicken.” Adeeba meletakkan sepotong piza hawaiian chicken ke dalam pinggannya. Dia yang mahu menyuap potongan kecil piza ke dalam mulut terus terhenti apabila memandang Rania yang masih tak menyentuh makanan yang terhidang.
“Kak Ran...” Adeeba melambaikan tangan kanannya di depan muka Rania.
Rania tersentak. “Kenapa, Deeba?” tanyanya bingung. Pergelangan tangan kirinya masih lagi dipicit.
“Kenapa Kak Ran tak makan lagi? Tak suka makan piza ke? Kalau tak suka Deeba order yang lain.” Adeeba sudah mengangkat tangan mahu memanggil pelayan di restoran itu.
“Eh, tak payah!” Pantas Rania menahan. “Siapa kata akak tak suka makan piza? Akak sukalah.” Dia memandang piza di atas meja. Dia memotong piza lantas meletakkan ke dalam pinggannya. Kemudian dia menyeluk poket jean lalu meletkkan duit RM50 di depan Adeeba.
“Duit apa ni, Kak Ran?” tanya Adeeba tak faham.
“Duit untuk bayar makanan nilah.” Perlahan-lahan Rania memotong pizza dipinggannya. Tangan kirinya yang sakit cuba ditahan. 
“Tak payahlah, kak... biar Deeba je yang bayar.” Adeeba menolak duit itu ke arah Rania semula.
“Gunalah duit ni, Deeba. Biar akak pulak yang belanja. Asyik Deeba je yang belanja.” Rania menolak kembali duit itu ke arah Adeeba.
“Tak apa, kak... biar Deeba yang bayar. Lagipun Deeba yang ajak akak keluar, kan?” Sekali lagi duit itu ditolak ke arah Rania.
“Kalau Deeba tak ambil, akak tak nak keluar dengan Deeba lagi,” ugut Rania.
“Okey... okey... Deeba bayar guna duit akak.” Adeeba mengalah. “Kak Ran ni dah pandai mengugut pulak sekarang.” Adeeba tak puas hati.
Rania tersenyum. Demi menjaga hati Adeeba, dia memaksa dirinya mengunyah piza itu. Seleranya benar-benar telah mati apabila terkenangkan telefon bimbitnya.
“Kenapa Kak Ran nampak macam tak berselera je?
 Rania tak mendengar pertanyaan Adeeba. Wajah Razali ketika menghadiahkan telefon bimbit itu kepadanya mula terbayang di ruang matanya. Maafkan kak long, abah. Kak long tak jaga betul-betul handphone tu.
“Kak Ran...” Adeeba menyentuh tangan Rania.
 Sekali lagi Rania tersentak.
“Kak Ran ni ada masalah ke? Dari tadi lagi asyik termenung. Cuba cerita kat Deeba? Mana tahu Deeba boleh tolong ke...” Adeeba mempamerkan wajah risau.
“Akak tak ada apa-apalah. Akak okey je,” dalih Rania. Dia menyedut minuman di depannya.
“Betul ke tak ada apa-apa ni?” Adeeba mengecilkan matanya.
“Betul...” Rania mengangguk kepala cuba meyakinkan Adeeba.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa akak minum air Deeba?” Terjungkit sedikit kening Adeeba.
Rania tersedak. Dia memandang gelas yang diminum tadi. “Sorry, Deeba... akak tak perasan...” Wajah Rania kelihatan serba salah.
“Deeba tahu akak ada masalah. Ceritalah, kak... jangan pendam sorang-sorang,” pujuk Adeeba.
“Tadi akak accident...”
Terbuntang mata Adeeba. “Macam mana boleh accident? Ada sakit kat mana-mana ke?” tanyanya tak sabar.
Rania menceritakan kejadian dia berlanggar dengan seorang lelaki tadi. Telefon bimbitnya turut dikeluarkan.
“Lepas ni kita pergi klinik ya?” Mata Adeeba memandang tangan kiri Rania.
Rania menggeleng kepala. “Tak apa, sikit je ni. Nanti okeylah,” tolaknya. “Lepas habis makan Deeba teman akak cari handphone baru eh?”
“Kak Ran tak payah beli handphone barulah. Deeba ada handphone lebih. Nanti Deeba bagi akak pakai.” Sepotong piza thai seafood  Adeeba letakkan ke dalam pinggan.
“Eh, tak apa, Deeba. Biar akak beli handphone baru je. Lagipun hanphone sekarang murah je, kan? Akak bukannya nak beli yang canggih-canggih pun, setakat boleh call dengan message jadilah,” tolak Rania.
“Akak pakai jelah handphone Deeba. Handphone tu Deeba tak guna pun sejak pakai handphone baru. Duit akak tu akak simpan je. Lagipun nanti banyak nak pakai duit, kan?” Adeeba masih cuba memujuk.
“Akak seganlah, Deeba... Deeba ni baik sangat dengan akak. Akak takut tak terbalas budi je. Deeba tak payahlah susah-susah ya? Handphone Deeba tu Deeba simpan je. Manalah tahu nanti nak pakai tukar-tukar ke...” Rania berusaha menolak. 
“Tak payah nak segan-seganlah... kita kan kawan? Kawan kenalah tolong kawan. Hari ni hari akak, manalah tahu bila hari Deeba tiba, akak pulak tolong Deeba. Akak terima ya? Kalau akak tak nak terima, Deeba tak nak bercakap dengan akak lagi!” Giliran Adeeba pula mengugut.
“Deeba, janganlah macam ni.” Rania kurang senang apabila diugut begitu.
“Akak pilih antara dua. Pakai handphone Deeba atau Deeba tak akan bercakap dengan akak sampaiii bila-bila!” ujar Adeeba sedikit tegas. 
Rania mengeluh perlahan. Dia tiada pilihan lain. “Okeylah, akak terima. Puas hati?” tanya Rania sedikit geram.
Adeeba tersenyum lebar. Kepalanya diangguk laju. Sup cendawan mula dihirup perlahan. Tangan kirinya pula mengeluarkan Nokia Lumia lantas dibawa ke bawah meja. Sesekali matanya beralih pada wajah Rania dan pada mesej yang sedang ditaip.

Abang, call Deeba kejap... SEKARANG TAU!

            Selesai menaip, dia menghantar mesej itu. Kemudian dia meletakkan telefon pintarnya di atas meja. “Kak Ran, tolong jagakan handphone Deeba ni. Nak pergi toilet kejap. Sakit perutlah Kalau ada orang call akak angkat je tau.” Wajah Adeeba berkerut menahan sakit di perut.
            “Okey...” jawab Rania yang sedang mengunyah roti bawang putih.
            Adeeba melangkah keluar dari restoran makanan segera itu lantas menyorok di sebalik dinding. Kepalanya dikeluarkan sedikit untuk mengintai Rania yang duduk membelakanginya. Jarak yang tak berapa jauh antara tempat duduk Rania dengan tempat dia berdiri membolehkan dia mengintai gadis itu dengan jelas.
Sengaja dia mereka alasan untuk ke tandas padahal perutnya elok saja. Jam di tangan ditilik. “Lima... empat... tiga... dua... satu!” kiranya perlahan. Mata dialihkan pada telefon pintarnya pula. Dia mula tersenyum lebar apabila melihat telefon pintarnya mula bernyala. Pantas dia menarik kepalanya ke belakang apabila melihat Rania memusingkan kepala. Mungkin mahu melihat sama ada dia sudah mncul atau belum. Perlahan-lahan dia mengeluarkan kepalanya kembali. Dia mengeluh lega apabila Rania kembali memandang ke depan.
            “Jawablah phone tu, Kak Ran...” ujarnya perlahan apabila melihat Rania leka menghadap makanan. Adeeba mengeluh apabila telefon pintarnya berhenti bernyala. “Aduh, gagal rancangan aku!” keluhnya. Dia sudah bersedia mahu mendapatkan Rania. Baru tiga langkah dia berjalan, dia lihat telefon pintarnya kembali bernyala. Pantas dia berpatah kembali ke tempat dia bersembunyi tadi.
            “Nak angkat ke tak nak?” Rania sudah berkira-kira di dalam hati. “Ah, angkat jelah. Dua kali orang yang sama call, mesti ada hal penting.” Jarinya disentuh pada skrin lalu telefon itu dilekapkan ke telinga.
“Helo...” Kedengaran suara lelaki di hujung talian.
            Rania diam. Entah kenapa hatinya terasa berdebar apabila mendengar suara itu. Dia menarik nafas perlahan sebelum bersuara. “Helo...” Bergetar sedikit suaranya.
            Kali ini lelaki di hujung talian pula yang senyap. Yang kedengaran hanya hembusan nafas.
            “Helo...” Rania bersuara lagi. Ek eh... lelaki ni, aku dah bersuara dia diam pulak. Merdu sangat ke suara aku ni sampai dia terdiam? Dalam masa yang sama dia cuba meredakan debaran di dadanya.
            “Manda...” Lelaki itu kembali bersuara setelah beberapa saat terdiam.
            “Apa dia?” tanya Rania yang tak begitu mendengar apa yang dikatakan oleh lelaki itu.
            “Manda...” kata lelaki itu lagi. Kali ini kedengaran sedikit sebak suara itu.
            Rania mengerut dahi. “Sorry, encik... saya...”
 Tett... tett... tett...
Belum sempat Rania mahu menghabiskan ayatnya, talian telah terputus. Dia memandang telefon pintar itu, kemudian memegang dadanya. Masih lagi berdegup laju. Entah kenapa nama yang disebut oleh lelaki itu terasa dekat di hatinya walaupun dia tak kenal empunya nama itu.
            Adeeba melangkah mendapatkan Rania. Senyuman lebar di bibir pantas dimatikan. “Ada siapa-siapa call Deeba tak?” tanyanya sebaik saja duduk di hadapan Rania. Air pepsi disedut perlahan.
            “Ada... lelaki. Kalau tak salah akak, nama yang tertulis kat handphone tu Abang Qhaf,” jawab Rania.
            Terbatuk-batuk Adeeba mendengar nama yang disebut. “Be... betul ke Ab... Abang Qhaf yang call tadi, kak?” Tergagap-gagap Adeeba bertanya.
            Rania mengangguk. “Kenapa muka pucat ni? Sakit perut lagi ke?”
            Pertanyaan Rania tak dihiraukan. Adeeba pantas mencapai telefon pintarnya. Nama terakhir pada panggilan yang diterima dilihat. Memang benar, nama Abang Qhaf yang tertera. Kemudian dia membuka mesej yang dihantar tadi. Membulat matanya melihat nama penerima itu. Ya Allah! Macam mana aku boleh tersilap hantar ni? Aku nak hantar kat Abang Kif, bukan Abang Qhaf! Adeeba gelisah. Dia memandang Rania. “Orang yang call tadi ada kata apa-apa tak, kak?”
            “Tak ada pulak... tapi dia ada sebut satu nama...”
            “Nama siapa?” Jantung Adeeba sudah berdegup pantas. Janganlah nama tu yang Abang Qhaf sebut.
            “Manda. Akak belum habis cakap lagi talian dah terputus,” cerita Rania.

            Gulp! Adeeba menelan liur. Pantas telefon pintarnya dimatikan. 
~BERSAMBUNG~

p/s: Sorry lambat post coz busy bace novel yang beli masa bookfair hari tu... Sorry kalau n3 untuk bab ni macam boring sikit.