Followers

Thursday, 2 August 2012

Separuh Hati Untukmu13

 “ASSALAMUALAIKUM... mama, papa... Deeba ada bawak roommate datang.” Adeeba memberi salam sebaik saja membuka pintu rumah.
            Datin Rosnah dan Dato’ Azhar yang sedang menonton televisyen di ruang tamu bawah sudah tergamam melihat Rania yang tersenyum di sebelah Adeeba.
            Rania gelisah melihat reaksi kedua-dua orang tua Adeeba. Pandang macam nak makan orang pun ada. “Mama dengan papa Deeba macam tak suka akak datang je. Akak rasa baik akak balik dululah,” bisiknya perlahan ke telinga Adeeba.
            “Eh, taklah. Mama dengan papa Deeba okey. Dia orang cuma terkejut je tu.” Adeeba pantas memegang lengan kanan Rania. Dia takut segala rancangannya musnah jika gadis itu meninggalkan rumah itu.
            Rania mengerut dahi. “Kenapa pulak nak terkejut?”
            “Mama, papa... ni junior plus roommate Deeba, RANIA HAFIYA.” Adeeba mula memperkenalkan tanpa mempedulikan soalan Rania. Nama Rania ditekankan sedikit agar dapat menyedarkan papa dan mamanya yang masih lagi mempamerkan riak terkejut.
            “Eh, ajaklah kawan tu duduk,” kata Datin Rosnah sebaik saja hilang dari rasa terkejut.
            Adeeba menarik tangan Rania lantas menyalami tangan mama dan papanya.
            Rania turut menyalami tangan Datin Rosnah. Kemudian dia melabuhkan duduk di sebelah Adeeba yang sudah duduk di sofa berangkai dua.
            “Siapa nama tadi?” tanya Dato’ Azhar.
            “Rania...” jawab Rania sepatah.
            “Erm... Rania duduk dulu ya? Auntie nak ke dapur buat air.” Datin Rosnah bangkit. Sempat dia membuat isyarat mata pada Adeeba agar mengikutnya ke dapur.
            “Tak payah susah-susahlah, auntie...” tolak Rania. Dia tak mahu menyusahkan Datin Rosnah. Tambahan pula sekarang sudah malam.
            “Tak ada susah mana pun. Rania kan tetamu? Kenalah layan. Lagipun ni pertama kali Rania datang ke rumah kami.” Datin Rosnah tersenyum.
            “Kalau macam tu biar saya tolong auntie ya?” Rania mahu bangkit.
            Adeeba menahan tangan Rania. “Tak apa, kak. Biar Deeba je yang tolong mama. Akak duduk je.” Adeeba berlalu ke dapur bersama Datin Rosnah.
            Rania bermain dengan jarinya. Ditinggalkan sendirian di ruang tamu bersama Dato’ Azhar membuatkn dia membisu. Dia tak tahu apa yang ingin dibualkan.
            “Erm... uncle nak ke toilet kejap.” Dato’ Azhar bersuara. Melihat anggukan Rania, dia berlalu ke dapur mendapatkan Datin Rosnah dan Adeeba yang berdiri di tepi sinki. Sengaja dia memberi alasan hendak ke bilik air kerana mahu mendengar penjelasan anaknya. “Deeba, macam mana....”
            “Kak Ran ke, pa?” potong Adeeba. Dia dapat mengagak soalan Dato’ Azhar. Mamanya juga bertanyakan soalan yang sama sebentar tadi.
            Dato’ Azhar mengangguk kepala.
            “Deeba pun terkejut jugak masa pertama kali tengok muka Kak Ran. Sebijik sangat macam arwah Kak Manda tapi dia bukan arwah Kak Manda. Nak kata adik-beradik pun bukan sebab Abang Kif cakap adik-beradik arwah ada tiga orang je. Lagipun kat dalam dunia ni memang wujud tujuh wajah yang serupa tapi bukan dari darah daging sendiri kan?”
“Tapi kenapa Deeba bawak Rania ke sini? Kalau Abang Kif nampak nanti macam mana? Mesti dia fikir tu arwah Manda.” Datin Rosnah meluahkan kegusarannya. Nasib baiklah anak lelakinya itu sudah tidur.
            “Sebab nak bagi Abang Kif nampaklah Deeba bawak Kak Ran datang sini.” Adeeba tersengih nakal.
            “Maksud Deeba? Papa tak fahamlah.” Dato’ Azhar sudah mengerut dahi.
            “Deeba nak Abang Kif bangkit balik lepas jumpa dengan Kak Ran. Lepas tu kita boleh suruh Kak Ran pujuk Abang Kif berubat. Abang Kif mesti dengar kata Kak Ran punya sebab muka Kak Ran kan seiras arwah Kak Manda?” Adeeba menceritakan rancangannya.
            “Rania tahu tak pasal plan Deeba ni?” Dato’ Azhar ingin tahu.
            Adeeba menggeleng.
            “Habis tu macam mana Rania boleh ikut Deeba datang ke sini?” Datin Rosnah pelik.
            “Tadi Deeba sakit perut, tu yang Kak Ran tolong drive kereta Deeba. Lepas tu Deeba pun ajaklah dia bermalam kat sini.”
            “Perut Deeba dah okey ke?” tanya Datin Rosnah risau.
            “Okey sikit.” Adeeba segan mahu memberitahu punca sakit perutnya di depan Dato’ Azhar. “Mama dengan papa tak kisah kan kalau Kak Ran tidur sini?”
“Mama tak kisah kalau dia nak tidur sini tapi yang mama risaukan, mama takut kalau-kalau di terasa diri dia dipergunakan je,” Datin Rosnah mempamerkan wajah risau.
            “Tapi apa yang Deeba buat ni untuk kebaikan Abang Kif jugak.” Adeeba menundukkan wajahnya.
            “Papa faham perasaan Deeba. Papa dengan mama pun nak tengok Abang Kif jadi macam dulu jugak tapi tindakan Deeba ni salah. Papa tak nak nanti Rania fikir Deeba tak ikhlas berkawan dengan dia.”
            Adeeba pantas mengangkat muka memandang papanya. “Deeba sedar yang Deeba ni terlalu pentingkan diri. Pertama kali tengok Kak Ran, Deeba dah anggap dia arwah Kak Manda. Muka dan suara dia mengingatkan Deeba pada Abang Kif. Masa tu yang ada dalam fikiran Deeba hanya nak Abang Kif sembuh je. Tapi Deeba memang ikhlas berkawan dengan dia.”
            “Okey, papa percaya Deeba ikhlas berkawan dengan dia tapi papa nak Deeba berterus-terang pasal plan Deeba tu pada Rania. Papa tak nak dia salah sangka pulak dengan Deeba.” Dato’ Azhar menepuk perlahan bahu Adeeba.
            “Deeba tak tahu macam mana nak bagitahu Kak Ran. Boleh tak kalau esok je Deeba bagitahu Kak Ran?” Adeeba memohon simpati. Dia mula terasa takut untuk berterus-terang. Dia takut Rania menolak untuk membantunya.
            “Tak boleh, sayang. Macam mana kalau Abang Kif dah ternampak Rania? Kalau Deeba cerita pasal Abang Kif kat Rania sekarang mesti dia dah cukup bersedia bila berdepan dengan Abang Kif. Deeba dengar cakap mama dan papa. Deeba bagitahu dekat Rania ya?” Datin Rosnah memujuk.
            Adeeba diam. Wajahnya kelihatan gelisah. Kedua-dua belah jarinya diletup-letupkan tanda dia memang gelisah.
            “Kalau Deeba berani ajak dia datang ke sini mesti Deeba pun berani nak berterus-terang kat dia. Baik berterus-terang sekarang sebelum berlaku perkara lain pulak,” pujuk Dato’ Azhar pula.
            “Baiklah, kejap lagi Deeba bagitahu.” Dengan berat hati Adeeba bersetuju.
            “Dato’, Datin, Deeba... buat apa kat dapur malam-malam ni?” tegur Mak Pah yang baru keluar dari biliknya yang berhampiran dapur.
            Datin Rosnah, Dato’ Azhar dan Adeeba berpaling ke belakang.
            “Eh, Kak Pah tak tidur lagi ke?” tanya Datin Rosnah tanpa menjawab pertanyaan Mak Pah.
            Adeeba melangkah mematikan api dapur apabila melihat cerek sudah mengeluarkan asap.
            “Saya dahaga. Tu yang ke dapur nak minum air. Datin, Dato’ dengan Deeba nak minum air ke? Biar saya je yang buat.” Mak Pah mula merapati majikannya.
            “Tak apalah, saya boleh buat sendiri. Kak Pah tolong potong puding karamel kat dalam peti ais tu je.” Datin Rosnah menyambut cerek panas yang dihulurkan Adeeba. Setelah menuang air panas, dia memasukkan ucang teh strawberi ke dalam teko. “Deeba pergi susun cawan letak atas dulang, lepas tu bawak karamel tu ke depan. Kesian pulak tinggalkan Rania sorang-sorang kat depan tu,” arahnya.
            “Ada tetamu ke, Datin?” tanya Mak Pah yang sibuk memotong karamel.
            “Haah, kawan Deeba datang.” Datin Rosnah mengacau air teh O berperisa strawberi yang sudah diletak gula.
            “Kalau macam tu biar saya je yang bawak karamel ni ke depan. Deeba pergilah layan kawan,” kata Mak Pah.
            Adeeba yang sudah selesai menyusun cawan ke dalam dulang meninggalkan dapur.
            “Kak Pah, nanti kalau Kak Pah bawak karamel tu ke depan jangan terkejut pulak tau.” Tangan Datin Rosnah ligat mengacau air.
            “Kenapa, Datin? Ada yang tak kena ke dengan kawan Deeba tu? Kawan Deeba pakai baju tak cukup kain ke?” Mak Pah pelik.
            “Kawan Deeba tu okey, baik budaknya. Tapi muka dia jelah. Macam arwah Manda,” jawab Datin Rosnah perlahan.
            Terlopong Mak Pah mendengarnya. “Kalau macam tu saya hantar karamel ni ke depan dululah.” Dia pantas menghayun langkah ke ruang tamu, tak sabar mahu melihat dengan matanya sendiri. Sampai saja di ruang tamu, tak berkelip matanya melihat wajah yang ada di depannya. Dia meletakkan piring yang berisi karamel di meja kopi.
            Rania yang dari tadi memicit perlahan pergelangan kiri yang terasa sakit akibat terjatuh semalam mula menghulur tangan untuk bersalam dengan Mak Pah.
            “Anak ni kawan Deeba ya?” tanya Mak Pah setelah menyambut huluran tangan Rania.
            “Ya, mak cik. Saya kawan sekolej Deeba. Nama saya Rania,” jawab Rania lembut.
            “Tak payah panggil mak cik, panggil je Mak Pah. Nama Mak Pah, Sharifah Mariam. Mak Pah ni orang gaji kat sini,” ujar Mak Pah yang masih lagi berdiri di depan Rania.
            “Mak Pah dah lama kerja kat sini?” Dia menyoal untuk menghilangkan rasa bosan yang menjengah ketika dia duduk berseorangan di ruang tamu.
            “Dah lamalah jugak, sejak Kif...” kata-kata Mak Pah terhenti apabila Datin Rosnah dan Dato’ Azhar muncul semula di ruang tamu.
            “Jemput minum, Rania.” Datin Rosnah meletakkan cawan yang berisi air teh O strawberi di depan Rania.
            Rania mengangguk lantas mencapai cawan.
“Makanlah karamel tu. Mak Pah yang buat petang tadi,” pelawa Dato’ Azhar.
Perlahan-lahan Mak Pah melangkah mahu meninggalkan majikannya bersama tetamu.
“Kak Pah, mehlah minum sekali. Tadi kata dahaga, kan? Boleh sembang-sembang sekali dengan tetamu kita ni,” pelawa Datin Rosnah.
Mak Pah menghentikan langkahnya lantas berpusing kembali dan melabuhkan duduk di sofa. Dia mencapai cawan lantas menghirup air. Matanya tak lepas dari menatap wajah Rania. 
“Deeba mana?” tanya Datin Rosnah apabila tak nampak kelibat anaknya.
“Dia ke atas sekejap hantar beg,” jawab Rania. Sepotong karamel dicapai lalu dibawa ke mulut.
Setelah meletakkan beg sandang, Adeeba melangkah keluar dari biliknya. Langkahnya dibawa ke bilik Thakif yang terletak selang satu bilik dari biliknya. Pintu bilik dibuka, dia mengintai ke dalam. Dia lihat abangnya sedang nyenyak tidur di atas katil. Dia merapati katil lantas menarik selimut hingga ke paras dada lelaki itu. Dia tersenyum melihat wajah lelaki itu melalui lampu tidur yang tak ditutup. Wajah itu kelihatan tenang sekali.
“Deeba harap apa yang Deeba buat ni bakal merubah hidup abang,” bisiknya perlahan. “Tak sabarnya Deeba nak tunggu esok, nak kenalkan Abang Kif dengan Kak Ran. Agak-agak apa reaksi abang eh bila tengok Kak Ran nanti? Mesti terkejut macam mama dan papa tadi, kan?” Dia tersenyum. Lampu tidur dimatikan dan dia berlalu keluar dari bilik abangnya.
  “Famili Rania duduk mana?” Dato’ Azhar cuba menyelidik latar belakang Rania.
“Famili Kak Ran duduk kat Perak,” sampuk Adeeba yang baru turun. Dia melabuhkan duduk di sebelah Rania. Sepotong karamel diambil lalu disumbat ke mulut.
Rania turut tersenyum. “Haah, mak dengan abah saya ada kat Teluk Intan, Perak.” Dia mengiakan kata-kata Adeeba.
“Rania ada berapa orang adik-beradik?” tanya Dato’ Azhar lagi.
Rania tak sedap hati apabila soalan itu ditanya. Dia berasa gelisah. Dapat dirasakan tapak tangannya sedikit berpeluh. “Erk... empat orang, uncle...” jawabnya lambat-lambat. “Saya anak sulung.” Air teh O strawberi disisip lagi untuk mengurangkan gelojak perasaannya.
Datin Rosnah memandang Adeeba sambil mengisyaratkan agar Adeeba memberitahu tentang apa yang mereka bincangkan di dapur tadi.
Adeeba yang faham dengan isyarat mata mamanya mengeluh perlahan. Dia memandang Rania di sebelahnya. Mulutnya terasa berat mahu berterus-terang. “Tangan Kak Ran dah okey ke?” tanyanya yang baru mengingati tentang tangan Rania yang sakit.
“Dah okey dah,” bohong Rania. Dia mencapai sepotong karamel lagi.
“Kenapa dengan tangan Rania?” tanya Mak Pah yang sedari tadi diam.
“Saya terjatuh semalam. Sikit je, tak teruk pun.” Rania senyum.
“Dah pergi hospital ke?” Datin Rosnah mempamerkan wajah risau.
“Kak Ran ni tak nak, ma. Deeba nak bawak dia tolak. Dia kata sikit je,” jawab Adeeba tanpa sempat Rania menjawab.
“Betul ke dah okey? Takut ada urat terputus je,” kata Dato’ Azhar pula.
“Betul, uncle... lagipun saya drive tadi okey je,” bohong Rania lagi padahal dia menahan sakit di tangan ketika memandu tadi. Nasib baik kereta Adeeba jenis automatik.
Mak Pah merenung Rania. Bukan dia tak perasan Rania memicit pergelangan tangan kiri ketika dia mahu menghantar karamel tadi. Budak ni, dah sakit pun mahu sorok.
Datin Rosnah menjeling kembali wajah Adeeba.
Kali ini Adeeba buat-buat tak nampak jelingan mamanya. Dia berpura-pura menguap. “Deeba dah ngantuklah. Jom, Kak Ran... kita naik bilik.” Dia menarik tangan Rania. “Selamat malam, mama, papa, Mak Pah...”
“Saya naik dulu, uncle, auntie, Mak Pah,” ucap Rania pula.
“Abang tengoklah anak abang tu. Pandai nak mengelak!” ujar Datin Rosnah sedikit geram sebaik saja kelibat Adeeba dan Rania hilang dari pandangan.
“Dia nak bagitau kat bilik kot. Kat bilik kan privacy sikit?” teka Dato’ Azhar.. “Dahlah, abang pun dah mengantuk ni. Abang pun nak naik atas dululah.” Dia bangkit meninggalkan isterinya dan Mak Pah.
Datin Rosnah meletakkan cawan-cawan ke dalam dulang.
“Datin rasa betul ke tangan Rania tu dah tak sakit?” Mak Pah memulakan perbualan.
“Betullah kot. Tuan punya badan yang mengaku sendiri.”
“Tapi tadi saya ada nampak dia picit-picit tangan dia.”
Tangan Datin Rosnah yang memegang cawan milik Rania terhenti. Wajah Mak Pah dipandang. “Betul ke Kak Pah?”
“Betul, Datin... bila saya sampai je dia terus berhenti picit tangan.”
“Kejap lagi saya urutkan sikitlah tangan dia,” putus Datin Rosnah. Dia sudah mahu mengangkat dulang.
“Tak apa, Datin... biar saya je yang kemas. Datin pergilah tengokkan Rania tu.” Mak Pah mengambil dulang di tangan Datin Rosnah.

ADEEBA membuka pintu biliknya yang diketuk dari luar. “Eh, mama... masuklah.” Adeeba melapangkan bukaan pintu bilik.
            Datin Rosnah melangkah masuk lantas duduk di birai katil, di sebelah Rania yang sudah menukar baju kelawar lengan panjang milik Adeeba. “Auntie nak urut tangan Rania. Kata jatuh semalam, kan?” Dia membuka penutup minyak angin.
            “Eh, tak apalah, auntie... dah tak sakit pun.” Rania memegang tangan Datin Rosnah yang mahu menyelak lengan baju kelawar.
            “Mana boleh. Jatuh ni tak boleh buat main tau. Buatnya ada urat yang putus ke kamu jugak yang menanggung sakitnya.”
            Kerana tak mahu menghampakan Datin Rosnah, Rania mengangkat menyelak lengan baju kirinya.
            Datin Rosnah membelek tangan kiri Rania. “Dah bengkak sikit ni. Kalau tak cepat urut masuk angin pulak nanti.” Dia melumurkan minyak pada pergelangan tangan Rania dan mengurut perlahan.
            Rania mengetap bibir menahan sakit. Dahinya turut berkerut. Kalau di rumahnya pasti dia sudah menjerit meminta emaknya menghentikan urutan. Tapi sekarang dia di rumah orang, takkanlah dia nak menjerit tengah-tengah malam macam ni. Nanti ada pula yang kata terdengar suara pontianak menjerit! “Auuu!” Rania terjerit kecil apabila tak dapat menahan sakit.
            “Tahan sikit ya? Cuma terseliuh sikit je ni,” pujuk Datin Rosnah sambil mengurut dengan lebih kuat mahu membetulkan urat.
            Rania mencengkam cadar. Terasa mahu tumpah air matanya ketika ini.
            Adeeba yang sedari tadi memerhati, berasa kasihan melihat wajah Rania yang menahan sakit.
            “Okey, dah siap. Tidurlah. Insya-Allah nanti surutlah bengkak tu,” ujar Datin Rosnah sambil menutup botol minyak. Dia mula melangkah keluar dari bilik.
            “Terima kasih, auntie,” ucap Rania.
            Datin Rosnah tersenyum lantas menutup pintu bilik.
            Adeeba  menghampiri katil dan berbaring di sebelah Rania yang sudah berbaring. Selimut ditarik ke paras pinggang. “Sorry ya, Kak Ran... Deeba langsung tak ingat tangan akak sakit. Lepas tu suruh akak hantar Deeba balik pulak.” Dia memandang siling.
            “Tak ada apa-apalah. Kereta Deeba kan jenis automatik? Tak adalah rasa sakit sangat tangan akak masa drive tadi. Lagipun akak yang nak hantar Deeba balik tadi, kan? Lepas dah kena urut ni tangan akak rasa macam dah okey sikit. Dah tak rasa sakit macam tadi.” Rania cuba menghilangkan rasa bersalah Adeeba. Perlahan-lahan dia memejamkan matanya.
            “Kak Ran....” Meleret suara Adeeba.
            “Hmmm?” tanya Rania tanpa membuka mata.

            “Tak ada apa-apalah. Nite...” Adeeba masih belum bersedia untuk bercerita. Dia memadam lampu tidur di sebelahnya dan mula memejamkan mata. Esok masih ada.

~BERSAMBUNG~

2 comments:

  1. slam WC apkbr moga tetp exis ye,oya bl siap ne certe bab 16 seiras....cerpen mini lain ade ga...ratna tggu karya wc lainnya....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Ratna... WC sihat... Thnks sebab sudi mengikuti Seiras. Bab 16 belum siap lagi. Tinggal lagi sikit je... Cerpen baru pun belum siap lagi. Thanks lagi sekali sebab sudi baca karya WC...

      Delete