Followers

Friday, 10 August 2012

Separuh Hati Untukmu 14

RANIA menyandar di kepala katil usai menunaikan solat subuh. Dia mandang Adeeba yang masih lena di sebelahnya. “Boringnya. Aku nak buat apa ni? Nak tidur, aku tak biasa tidur lepas subuh. Nak bukak tv, segan pulak aku nak sentuh barang orang. Nak jalan-jalan kat laman, kat luar gelap lagi,” ujarnya perlahan. “Erm... aku turun ke dapurlah. Manalah tahu Mak Pah dah ada kat dapur. Boleh aku tolong apa yang patut!”
            Dia mencapai tudung lalu menyarung ke kepala. Nokia C6 yang dipinjamkan oleh Adeeba turut dicapai. Perlahan-lahan dia membuka pintu bilik dan melangkah ke tangga dengan ditemani lampu di ruang tamu atas. Laju saja kakinya menapak ke bawah. Makin melebar senyumannya apabila melihat lampu dapur sudah terpasang. Kakinya dihala ke dapur. “Mak Pah masak apa?” tegurnya sambil menghampiri Mak Pah yang sedang menuang minyak ke dalam kuali.
            Mak Pah menoleh. “Eh, Rania. Mak Pah nak masak nasi goreng. Rania tak sambung tidur ke?”
            Rania menggeleng. “Saya tak biasa tidur lepas solat.” Dia membawa mangkuk yang berisi kacang panjang yang telah dipotong ke sinki.
            Mak Pah mematikan api dapur dan menghampiri Rania. “Tak apa, Rania... biar Mak Pah je yang basuh.” Dia merampas mangkuk di tangan Rania.
            Rania terkedu dengan tindakan wanita itu.
            “Mak Pah bukan tak bagi kamu tolong tapi kamu ni tetamu, tak manislah kalau biar tetamu buat kerja,” jelas Mak Pah. Takut Rania terasa hati.
            “Alah, Mak Pah... biarlah saya tolong. Lagipun saya boringlah duduk bilik. Tak tahu nak buat apa dah ni.” Rania tayang muka kesian.
            Mak Pah menggeleng. “Tak boleh. Tangan kiri kamu kan sakit? Nanti bertambah sakit pulak,” tegasnya.
            Rania memandang Mak Pah dengan pandangan pelik. “Macam mana Mak Pah tahu tangan kiri saya yang sakit?”
            Mak Pah senyum. “Semalam Mak Pah nampak kamu asyik dok picit je tangan kiri kamu tu. Lepas tu Mak Pah bagitau kat Datin. Tu yang Datin urut tangan kamu tu,” jelasnya.
“Ooo... saya ingat Mak Pah ni ahli nujum la tadi sampai tahu tangan kiri saya yang sakit.” Rania tersengih.
Mak Pah turut tersenyum. Dia meletakkan mangkuk di tangan ke sinki.
“Tangan saya dah okey sikit lepas urut semalam. Kalau setakat basuh sayur ni takkan sakit punyalah.” Rania memanjangkan tangan kanan mahu mencapai mangkuk.
“Jangan!” Mak Pah menampar perlahan tangan kanan Rania.
Rania tersentak. Serta-merta dia menarik kembali tangannya dan memandang wajah Mak Pah.
Mak Pah memegang tangan kiri Rania lantas menyinsing lengan t-shirt lengan panjang yang dipakai gadis itu ke atas dan dia mula membelek. “Tengok ni, bengkak tak surut lagi. Kena tuam dengan ais bagi bengkak tu surut. Dah, pergi naik atas. Biar Mak Pah je yang siapkan sarapan.” Dia menolak perlahan badan Rania agar keluar dari dapur.
Dengan langkah lemah, Rania keluar dari dapur dan menghala ke tangga. Sampai di tangga atas langkahnya terhenti. “Aku call mak jelah. Masa macam ni rasanya mak dah siap buat breakfast!” Dia memandang ruang tamu atas mahu mencari sudut untuk berbual dengan emaknya. Matanya terhenti pada pintu gelongsor balkoni. Dia melangkah ke arah itu dan membuka pintu gelongsor. Setelah duduk di kerusi, dia mengeluarkan telefon pintar lantas mendail nombor rumah.
“Assalamualaikum...” Kedengaran suara Azizah memberi salam.
“Waalaikumussalam, mak. Ni kakak.” Tiba-tiba rasa sebak mengundang di hati Rania.
“Kenapa kakak telefon pagi-pagi ni?” tanya Azizah pelik.
“Mak... handphone kakak dah rosak,” adu Rania manja.
“Macam mana boleh rosak?” Suara Azizah kedengaran sedikit terkejut.
“Hari Jumaat hari tu kakak jatuh.” Rania mula menceritakan kejadian dia berlanggar dengan seorang lelaki.
“Dah nak rosak kan, nak buat macam mana.” Azizah mengeluh perlahan.
“Tapi kakak sayang handphone tu...” Wajah Rania bertukar keruh.
“Kakak nak mak suruh abah belikan handphone baru ke?”
“Tak payahlah, mak... nanti kakak beli sendiri. Sementara ni kakak pinjam handphone kawan dulu. Dia yang suruh pakai sebab dia ada handphone lebih.” Rania melemparkan pandangan ke luar yang sudah sedikit terang.
“Yalah. Tapi jangan pakai lama sangat handphone kawan tu. Nanti rosak, payah pulak nak ganti,” pesan Azizah.
Yes, madam! Bila dah beli handphone baharu, kakak pulangkan balik handphone ni.” Rania tersenyum.
Thakif membuka pintu biliknya. Kerusi roda dihala ke ruang tamu. Dia yang ingin membuka suis televisyen terus terhenti apabila terdengar suara seseorang. Dia memasang telinga menajamkan pendengaran.
“Dah, mak. Mama kawan kakak yang urutkan semalam. Tapi masih ada rasa sakit lagilah.”
Jantung Thakif berdegup kencang. Dia kenal suara itu. Dia memusingkan kerusi roda mahu mencari arah suara itu.
“Lagi dua minggu kakak dah nak cuti mid sem. Tak sabarnya nak merasa air tangan mak. Nanti tak payahlah suruh abah ambil, kakak naik bas je...
Perlahan-lahan kerusi roda Thakif bawa mendekati balkoni yang pintu gelongsornya terbuka. Dalam jarak beberapa langkah dari balkoni, dia menghentikan kerusi rodanya. Matanya terbuntang apabila melihat wajah yang dirinduinya sedang tersenyum tanpa menyedari kehadirannya.
“Manda...” ujar Thakif perlahan. Dia cuba berdiri untuk mendapatkan ‘Manda’nya tapi dia jatuh tertiarap ke lantai. Matanya masih tak lepas memandang gadis yang di sangka Amanda. “Manda...” ujarnya lagi dengan kedua-dua belah tangannya diluruskan ke depan mahu merangkak tapi kakinya yang kaku tak mahu bergerak walau seinci.
Rania yang terdengar bunyi sesuatu terjatuh segera menoleh. Berkerut dahinya apabila melihat seseorang sedang tertiarap di lantai. “Okeylah, mak... kita jumpa lagi dua minggu eh? Assalamualaikum.” Dia mematikan talian dan melangkah masuk ke dalam rumah mendapatkan Thakif. “Awak tak apa-apa ke?” tanyanya sebaik saja berdiri di depan lelaki yang berambut panjang paras bahu dan berjambang.
Air mata Thakif tumpah apabila melihat wajah itu dengan lebih dekat. Cuma kali ini ‘Manda’nya bukan berpakaian serba putih seperti dalam mimpinya.
“Kenapa awak nangis ni? Awak tak boleh bangun eh?” soal Rania lurus.
Thakif diam. Mendengar suara itu membuatkan air matanya makin lebat mengalir.
“Yang aku tanya soalan bodoh ni kenapa? Dah nampak kerusi roda mestilah dia tak boleh bangun!” Rania memarahi dirinya perlahan. Dia menggaru kepalanya yang dilapik tudung, tak tahu mahu berbuat apa. Nak angkat dia ke? Dia kan lelaki? Bukan mahram! Rania bersoal jawab di dalam hati.
Dia memandang pintu bilik Adeeba. Manalah tahu kalau-kalau Adeeba keluar dari bilik, blehlah dia menyuruh Adeeba mengangkat lelaki itu. Dia mengeluh hampa apabila tiada seorang pun yang keluar dari bilik, baik Adeeba mahupun Dato’ Azhar dan Datin Rosnah. Tak apalah, darurat! Takkanlah aku nak biarkan dia tertiarap je kat sini. Rania menundukkan sedikit badannya mahu membantu Thakif bangun.
Belum pun sempat tangan Rania menyentuh bahu Thakif, lelaki itu pantas memegang pergelangan tangan kiri Rania.
“Eh, apa ni?” Rania terkejut. Wajahnya berkerut menahan sakit pada pergelangan tangan kiri. Walaupun pegangan lelaki itu tak sekuat mana tapi kesan bengkak yang masih belum surut menyebabkan pergelangan tangannya sakit apabila dipegang. Dia cuba menarik tangan lelaki itu dengan menggunakan tangan kanan yang masih bebas.
“Manda...” Lirih suara Thakif menyebut nama Amanda.
Terhenti pergerakan tangan Rania. Manda? Macam pernah dengar je nama tu. Fikirannya ligat berfikir di mana dia pernah mendengar nama itu. “Auuu!” jeritnya apabila makin kejap tangannya dipegang oleh lelaki itu.
“Manda...” panggil Thakif lagi.
“Saya bukan Manda. Lepaskan tangan saya.” Tertahan-tahan suara Rania menahan sakit. Tangan kanannya kembali menarik tangan Thakif.
“Manda datang sini sebab nak jumpa abang, kan? Sayang rindu kat abang, kan? Abang pun rindu kat sayang sangat-sangat!” ujar Thakif tanpa mempedulikan kata-kata Rania tadi. Pergelangan tangan Rania dipegang semakin kuat, tak mahu ‘Manda’nya hilang lagi.
Makin berkerut dahi Rania menahan sakit. “Apa yang awak merepek ni? Saya bukan Manda la! Lepaskan tangan saya ni!” Rania menampar tangan lelaki itu.
“Tak! Abang takkan lepaskan Manda! Kalau abang lepaskan mesti Manda pergi lagi dari hidup abang. Manda jangan tinggalkan abang ya?” Thakif merayu.
Rania sudah terduduk di depan lelaki itu. “Pleaselah, awak... lepaskan saya. Tangan saya sakit! Awak salah oranglah, saya bukan Manda!” rayunya bersungguh-sungguh.
Thakif menggeleng kepala.
“Deebaaa!!!” Rania menjerit kuat.
Adeeba terus terbangun apabila terdengar bunyi bising. Dia menggosok matanya perlahan manakala tangan kanan menutup mulutnya yang menguap. Dia memandang ke sisinya. “Eh, mana Kak Ran ni?” Dia mengerut dahi apabila melihat Rania tiada di sebelahnya. Dia menggaru kepalanya yang tak gatal.
“Deebaaa!!!”
Terhenti pergerakan tangan Adeeba. “Tu macam suara Kak Ran je. Kenapa Kak Ran menjerit?” Dia bingkas bangkit dari katil. Ketika mahu keluar dari bilik, dia bertembung dengan papa dan mamanya yang turut keluar dari bilik mereka. Dia ikut berjalan di belakang papa dan mamanya. 
“Ya Allah, kenapa ni, Kif?” tanya Datin Rosnah sebaik saja sampai di depan Thakif dan Rania. Dia memandang Thakif dan Rania silih berganti.
Thakif mendongak ke kanan memandang papa, mama dan adiknya. “Mama, papa, Deeba... Manda datang nak jumpa Kif! Dia takkan tinggalkan Kif lagi,” beritahunya teruja.
“Awak, saya bukan Manda. Dah berapa kali saya cakap yang saya ni bukan Manda! Saya tak kenal siapa Manda. Awak dah salah oranglah!” Air mata Rania tumpah kerana rasa sakit yang teramat sangat pada pergelangan tangannya.
“Abang, dia bukan Kak Manda. Lepaskan tangan dia ya?” Adeeba menunduk cuba merungkai tangan Thakif.
“Tak! Dia Manda! Abang kenal sangat dengan Manda. Abang belum rabun lagi, Deeba.” Makin Adeeba cuba merungkai, makin kuat Thakif memegang pergelangan tangan Rania.
Rania mengetap bibirnya.
“Manda, tolong jangan tinggalkan abang ya? Jangan tinggalkan abang lagi... abang tak boleh hidup tanpa Manda...” rayu Thakif.
Sedih hati Adeeba melihat abangnya begitu. “Ya Allah, bang... dia bukan Kak Manda. Dia kawan Deeba! Nama dia bukan Manda tapi Rania!” katanya sedikit tegas.
Thakif tergamam. Perlahan-lahan pegangannya mula longgar.
Rania pantas berdiri menjauhi Thakif. Pergelangan tangan kirinya dipegang.
Adeeba mendapatkan Rania dan memeluk bahu gadis itu. Dia cuba menenangkan Rania.
Dato’ Azhar mengangkat Thakif lantas didudukkan ke kerusi roda.
“Di... dia bu... bukan Manda?” tanya Thakif tak percaya.
Mendengar soalan yang keluar dari mulut Thakif, Rania pantas menyembunyikan diri di belakang Adeeba. Badannya menggigil ketakutan apabila melihat Thakif memandangnya.
“Bukan, Kif. Dia kawan Deeba.” Datin Rosnah menggosok bahu Thakif perlahan.
“Ta... tapi...” Thakif tak dapat meneruskan kata-katanya. Matanya mencari wajah persis Amanda di belakang badan adiknya.
“Deeba dah bagitahu Rania ke belum?” Mendatar suara Dato’ Azhar sambil memandang Adeeba.
Bagitahu apa? Rania tertanya-tanya di dalam hati.
Erk... belum...” Takut-takut Adeeba memandang wajah papanya.
“Kan papa suruh bagitahu? Dah jadi macam ni kan dah susah!” Dato’ Azhar mengeluh keras. “Deeba bawak Rania masuk bilik sekarang!”
“Jom, Kak Ran...” Adeeba memeluk bahu Rania membawa gadis itu masuk ke bilik.
Rania menundukkan kepalanya, tak berani mahu memandang Thakif.
“Mama, papa, apa semua ni? Kif tak fahamlah.” Thakif bersuara sebaik saja Adeeba dan Rania masuk ke bilik.
“Papa tak tahu macam mana nak cerita kat Kif.” Dato’ Azhar mengeluh perlahan. “Apa yang papa boleh bagitahu, Deeba kata Rania tu roommate dia dan tak ada kena-mengena dengan Manda.”
Thakif diam cuba mencerna apa yang telah papanya katakan.
“Betul, Kif. Tu kawan Deeba, bukan Manda. Manda kan dah meninggal?” Datin Rosnah pula bersuara.
Thakif masih diam. Masih lagi mempamerkan wajah keliru. Berselirat otaknya memikirkan persamaan wajah tunangnya dengan kawan adiknya itu.

“SIAPA Manda?” Rania memandang Adeeba yang sedang gelisah di sebelahnya.
            “Erk...” lidah Adeeba kelu untuk menjawab. Dia menarik nafas untuk menenangkan rasa gemuruh yang tiba-tiba hadir. Tangannya sudah terasa berpeluh. “Sebelum Deeba cerita kat akak, bagi Deeba mandi dulu. Tak selesalah bercerita dalam keadaan Deeba yang baru bangun tidur ni. Kak Ran tunggu sini, jangan pergi mana-mana.” Adeeba bangun mencapai tuala dan melangkah ke bilik mandi. Entah kenapa hatinya berasa tak sedap. Dia dapat merasakan Rania pasti akan marah dengan apa yang bakal dia ceritakan sebentar lagi.
            Rania menyinsing lengan baju hingga ke siku dan membelek pergelangan tangan kirinya. Merah dan berbekas! Dia cuba mengangkat perlahan tangan kirinya. “Au!” Dia mengaduh perlahan. Tangannya itu terasa makin bertambah sakit dari semalam. Lengan bajunya dijatuhkan semula dan dia melemparkan pandangan pada permaidani tebal. Dikuis-kuis perlahan kakinya pada permaidani itu.
“Kenapa lelaki tu panggil aku Manda? Manda tu dah tinggalkan dia ke?” Makin ligat otak Rania berfikir soalan namun satu jawapan pun tak dapat dia temui.  Dia bangkit dari katil lantas melangkah ke luar balkoni bilik itu. Pandang dibuang ke laman rumah yang tak sempat dia perhatikan ketika sampai semalam. Dapat dia lihat kolam air terjun hiasan yang kelihatan cantik sekali yang terletak berhampiran dengan pintu pagar utama.
            Dia meliarkan matanya lagi dan tiba-tiba matanya terhenti pada susuk tubuh seorang lelaki yang berkerusi roda yang duduk di gazebo. Lama dia merenung lelaki itu yang sekejap menongkat dagu seperti sedang memikirkan sesuatu yang berat. Sesekali lelaki itu memicit kepalanya. Rania menjauhi balkoni apabila dia ternampak lelaki itu memanggung kepala memandang ke balkoni tempat dia berdiri. Beberapa saat kemudian dia menjengah ke balkoni semula dan dia mengeluh lega apabila melihat lelaki itu sedang membawa kerusi roda menghala ke arah kolam air terjun. Dia kembali memerhatikan lelaki itu sehingga tak sedar yang Adeeba sudah berdiri di belakangnya.
            “Kak Ran tengok apa?”
            Terhenjut sedikit bahu Rania dek teguran itu. Dia berpaling ke belakang memandang Adeeba.
            “Sorry kalau Deeba dah buat akak terkejut. Tapi dari tadi Deeba tengok akak khusyuk sangat tengok kat laman tu. Apa yang akak tengok?” Adeeba berdiri di sebelah Rania dan melemparkan pandangan ke laman mahu mencari apa yang ditenung oleh Rania.
            “Siapa lelaki tu?” Rania memuncungkan mulutnya ke arah Thakif.
            “Tu Abang Kif,” jawabnya perlahan tanpa memandang wajah Rania. “Thakif Qarish, satu-satunya abang yang Deeba ada,” jawabnya lagi dengan nada sedikit sebak.
            “Manda pulak siapa?”
            Adeeba melabuhkan duduk di kerusi yang terdapat di situ. Matanya merenung ke meja. “Sebenarnya Kak Manda tu tunang Abang Kif. Dia dah meninggal dunia.”
            Terkejut Rania mendengarnya. “Innalillahiwainnalillahirojiun...” ucapnya perlahan.
            “Dulu Abang Kif tak macam ni. Dia seorang yang periang dan suka buat lawak. Tapi sejak dia kemalangan dengan arwah Kak Manda lima bulan lalu, dia terus berubah. Dia jadi pendiam, pemarah dan langsung tak nak jumpa sesiapapun termasuk kawan baik dia sendiri.” Adeeba melemparkan pandangan pada Thakif. “Abang Kif jugak tak dapat terima kenyataan yang dia dah lumpuh dan arwah Kak Manda dah tak ada. Tapi Alhamdulillah, sekarang dia dah sedar dan dapat terima semuanya dengan redha.” Dia tersenyum.
            Rania turut melemparkan pandangan ke arah Thakif. Terbit rasa kesian di dalam hatinya. Dia dapat melihat kesedihan di dalam mata lelaki itu tadi.
            “Walaupun Abang Kif cuba tunjukkan wajah ceria bila bersama kami tapi Deeba tahu dia masih menderita kehilangan arwah Kak Manda. Deeba tahu dia masih salahkan diri dia. Dia pernah kata kalau dia tak cuai masa memandu mesti arwah Kak Manda hidup lagi.” Air mata mula bergenang di tubir mata Adeeba.
            “Dia tak boleh salahkan diri dia. Kalau dah nak berlaku kemalangan, kita memang tak boleh nak elak sebab kita sendiri tak jangka yang kemalangan akan berlaku.” Rania memandang Adeeba yang sedang mengesat air mata. “Abang Deeba tu sepatutnya bersyukur sebab masih lagi diberi keizinan untuk terus bernafas dan masih mempunyai keluarga yang benar-benar sayangkan dia.” Bukan macam akak ni, hidup hanya menumpang kasih sayang orang lain. Ayat itu hanya disambung di dalam hati. Rania menarik nafas cuba menghilangkan rasa sebak di hatinya. Dia tak mahu mengenangkan kisah silamnya lagi. “Kenapa dia panggil akak Manda?” tanyanya sebaik saja emosinya telah stabil.
            Giliran Adeeba pula menarik nafas. “Sebenarnya muka Kak Ran sama sangat dengan arwah Kak Manda.”
            Terbuntang mata Rania mendengarnya. Jantungnya berdegup kencang. “Aa... apa Deeba kata? Muka akak sama dengan arwah Manda?” Peluh terasa memercik di dahi.
            Adeeba mengangguk laju.
Rania menggeleng kepala. “Akak tak percayalah. Tak mungkinlah muka arwah Manda tu sama macam akak.” Tak logik langsung ada orang yang seiras dia. Tang mana yang seiras dia pun tak tahu.
            Adeeba mengeluarkan sekeping gambar dari poket seluar dan diletak di atas meja. Terserlah gambar Amanda yang sedang disarungkan cincin tunang.
            Terketar-ketar tangan Rania menyambutnya. Sekali lagi mata Rania terbuntang melihat wajah gadis yang mirip dengannya. Wajahnya berubah pucat. “Ta... tak mungkin.” Susah untuk dia percaya dengan apa yang dilihatnya. Semuanya sama.
            “Betul, Kak Ran. Nilah Kak Manda. Nuha Amanda.” Adeeba cuba meyakinkan. “Akak ingat tak masa Deeba pengsan dulu? Masa tu Deeba terkejut sangat bila tengok muka akak.”
            Fikiran Rania mula terbayang pada hari Adeeba sedar dari pengsan dan melihat wajahnya seperti ternampak hantu. Kemudian fikirannya melayang pada Datin Rosnah, Dato’ Azhar dan Mak Pah yang tak berkelip melihatnya semalam. Hatinya mula terasa sesuatu. Sesuatu yang bakal mendatangkan kemarahannya. Jadi selama ni Deeba berkawan dengan aku sebab muka aku mirip arwah Manda? Dia memandang Adeeba dengan wajah yang cuba ditenangkan walaupun hatinya sudah menggelegak dengan andaian yang dia buat.
            “Deeba nak minta maaf dengan akak. Sebenarnya Deeba memang sengaja nak bawak akak datang sini dan kenalkan dengan Abang Kif. Tapi lain pulak yang jadi. Abang Kif dah nampak akak dulu sebelum Deeba perkenalkan. Tapi semalam memang Deeba sakit perut. Deeba tak pura-pura.” Dia menarik nafas perlahan sebelum menyambung. “Deeba sayang sangat kat Abang Kif. Deeba sebenarnya nak tengok Abang Kif jadi macam dulu bila dia tengok Kak Ran. Deeba bukan nak minta akak ganti tempat arwah tapi Deeba cuma nak akak pujuk Abang Kif supaya berubat. Entah macam mana Deeba boleh terfikir yang Abang Kif akan setuju untuk berubat bila dia tengok muka akak yang seiras arwah Kak Manda.”
Makin menggelegak hati Rania. Wajahnya terasa panas. Bukan kerana menahan malu tapi menahan kemarahan yang teramat sangat. Dia tak boleh terima apa yang diperkatakan oleh Adeeba. Dia terasa dirinya hanya dijadikan sebagai alat untuk Thakif keluar dari kepompongnya.
“Deeba tahu apa yang Deeba buat ni keterlaluan dan Deeba jugak tahu yang Deeba ni terlalu pentingkan diri sendiri sebab tak fikirkan perasaan Kak Ran sebelum buat plan ni. Deeba pernah cuba nak bagitahu akak tapi Deeba takut akak marah...” Adeeba menundukkan wajahnya menanti kata-kata yang berupa kemarahan yang bakal keluar dari mulut Rania.
Jadi, kalau Deeba tak bagitahu akak, Deeba fikir akak takkan marahlah? Kata-kata itu hanya dituturkan di dalam hati. Matanya merenung tajam wajah Adeeba yang menunduk.
Adeeba mengangkat mukanya kembali. “Kak Ran, please say something. Kalau akak rasa nak marah Deeba pun marahlah tapi jangan diam macam ni,” rayu Adeeba dengan air mata yang sudah bertakung. Tak sanggup dia melihat Rania diam begitu. Terseksa rasa hatinya.
Rania tetap membisu. Nafasnya turun naik menahan marah. Giginya diketap kuat.
“Kak Ran, please jangan diam. Deeba tahu Deeba salah. Kak Ran maafkan Deeba ya?”

Rania bangun dan melangkah masuk ke bilik meninggalkan Adeeba dengan perasaan yang bersalah.
~BERSAMBUNG~

0 Pembakar Semangat:

Post a Comment