Followers

Monday, 27 August 2012

Separuh Hati Untukmu 15

RANIA membasuh mukanya berkali-kali, mahu menyejukkan hatinya yang masih lagi panas. Tangan kirinya yang sakit tak dihiraukan. Hatinya lagi bertambah sakit dari tangannya. Dia merenung tajam wajahnya di cermin bilik mandi itu. Bagaikan pita rakaman, terbayang semula segala perilaku Adeeba yang cuba merapatinya sejak dua bulan perkenalan mereka.
Bermula dengan Adeeba yang sering menumpangkannya ke kelas jika waktu kelas mereka sama, kemudian Adeeba yang seperti tak mahu berenggang dengannya dan Adira dengan meminta mereka berdua menemaninya keluar makan atau ke pusat beli-belah, sehingga menyebabkan ada sesetengah pelajar mencemburui keakraban mereka. Dan semalam, Adeeba meminjamkannya telefon gara-gara telefon bimbitnya rosak. Mengenangkan itu semua menyebabkan dia terasa dirinya mudah terperdaya dengan kebaikan yang ditunjukkan Adeeba.
Rania memegang kedua belah pipinya. “Sebab muka nilah Deeba mendekati aku, buat baik dengan aku dan buat aku terasa terhutang budi dengan dia,” ujarnya perlahan. “Kenapalah aku ni bodoh sangat? Kenapalah aku tak terfikir langsung ada maksud tersirat di sebalik kebaikan yang Deeba tunjukkan?” Dia memarahi dirinya. “Deeba nak aku gunakan muka aku yang seiras arwah Manda ni untuk pujuk abang dia? Huh, memang mengarut!” Dia menolak rambutnya ke belakang.

Deeba sayang sangat kat Abang Kif. Deeba sebenarnya nak tengok Abang Kif jadi macam dulu bila dia tengok Kak Ran. Deeba bukan nak minta akak ganti tempat arwah, tapi Deeba cuma nak akak pujuk Abang Kif supaya berubat.

Suara Adeeba terngiang-ngiang di telinganya. Tiba-tiba saja hati Rania rasa tersentuh dengan kesungguhan Adeeba yang sanggup melakukan apa saja untuk melihat abangnya kembali seperti dulu. Dia menggeleng kepala laju cuba memadamkan wajah sedih Adeeba di ruang matanya. “Tak! Aku tak boleh cair dengan muka sedih Deeba! Dia cuma nak mempergunakan aku je!” ujar Rania tegas.
Sekali lagi Rania membasuh mukanya. Ketika memejamkan mata, wajah sedih Datin Rosnah dan Dato’ Azhar pula terbayang. Dia pantas membuka mata dan merenung sekali lagi wajahnya di cermin. Kali ini wajah Thakif yang merayu padanya pula terbayang di sebalik cermin diikuti wajah Adeeba, Datin Rosnah dan Dato’ Azhar. Dia meraup wajahnya perlahan dan mengeluh. Dia keliru dengan hatinya. Separuh terasa masih marah dengan perbuatan Adeeba manakala separuh lagi seperti memanggil-manggilnya untuk menolong gadis itu.
Rania mencapai tudung yang disangkut di penyangkut ketika dia masuk ke bilik mandi tadi lantas memakainya. Kemudian dia keluar dari bilik mandi dan mengatur langkah ke balkoni menghampiri Adeeba yang sedang menjatuhkan muka di meja.
Adeeba memanggung kepala apabila terasa ada seseorang berdiri di sisinya. “Kak Ran...” Dia bersuara. Air mata yang mengalir di pipinya dibiarkan. Dia memandang Rania yang sedang merenung tajam padanya. “Kalau Kak Ran rasa nak sembur Deeba pun semburlah, Deeba tak kisah. Kalau akak rasa nak tampar Deeba pun Deeba rela.”
Hmmm... cadangan yang baik! Dah lama kot tangan ni tak makan pipi orang.” Rania senyum sinis.
Gulp! Adeeba menelan liur. Tiba-tiba dia terasa gerun melihat wajah Rania. “Akak be... betul-betul nak tam... tampar Deeba ke?”
“Kenapa, takut ke? Tadi bukan ke Deeba yang rela kalau akak nak tampar?” Tajam matanya menjeling Adeeba.
Erk... tak... memang Deeba rela asalkan dengan cara tu Deeba akan dapat kemaafan akak.” Dalam takut-takut berani Adeeba menjawab.
Rania sudah menaikkan tangan kanannya separa bahu.
Adeeba memejam mata menunggu hadiah kemaafan dari Rania. Dia redha andai ini dapat memulihkan semula hubungannya dengan Rania yang sudah dianggap seperti kakaknya sendiri.
Rania merenung lama wajah Adeeba. Di ruang matanya kini masih terbayang wajah Datin Rosnah dan Dato’ Azhar. Akhirnya dia menjatuhkan tangan ke bahu Adeeba.
Adeeba pantas membuka matanya. Senyuman Rania terpapar di hadapan matanya. “Kak Ran tak marah lagi ke?”
Rania menarik kerusi di sebelah Adeeba lantas duduk. “Tak... tadi tu akak cuma nak test Deeba je. Tak sangka Deeba betul-betul cuak. Hahaha...” Dia ketawa sambil memandang wajah tersipu-sipu Adeeba. “Mula-mula tu memang akak rasa marah sangat! Akak rasa macam dipergunakan. Akak rasa Deeba tak ikhlas berkawan dengan akak,” sambungnya sebaik saja berhenti ketawa.
“Tak, kak! Deeba ikhlas kawan dengan akak!” Pantas Adeeba memotong. “Memang dari mula nampak akak, Deeba anggap akak ni arwah Kak Manda sebab muka dan suara akak sebijik macam arwah. Tapi bila dah lama kenal, Deeba rasa Kak Ran bukan arwah Kak Manda.” Dia mengesat air mata. “Boleh Deeba tahu apa yang menyebabkan Kak Ran ubah fikiran?” Dia nampak wajah Rania yang penuh dengan kemarahan ketika meninggalkannya bersendirian tadi.
Rania menarik nafas dan melepaskannya perlahan. “Entahlah, Deeba... tiba-tiba je akak terbayang muka sedih Deeba, auntie, uncle dan abang Deeba tu,” jawabnya perlahan. “Bila akak fikirkan balik, mungkin akak akan buat benda yang sama kalau akak berada kat tempat Deeba. Tak ada siapa yang sanggup tengok ahli keluarga dia menderita, kan?”
Adeeba mengangguk perlahan. Dalam hati dia bersyukur Rania berfikir begitu.
“Thakif memang bertuah dapat adik macam Deeba yang sanggup buat apa saja untuk melihat dia jadi macam dulu.” Rania mengalihkan pandangan pada Thakif yang masih tak berganjak dari kolam air terjun. Entah apa yang lelaki itu menungkan, Rania sendiri tak tahu.
So, akak sudi tolong Deeba pujuk Abang Kif ke?” Wajah Adeeba berubah teruja.
Hmmm...” Dia mengerutkan dahi seolah-olah sedang berfikir.
Adeeba sudah berdebar. Air liurnya ditelan berkali-kali.
“Akak tak berani nak janji tapi... akak akan cuba.” Rania senyum memandang Adeeba.
Adeeba memeluk Rania. “Terima kasih, kak... terima kasih banyak-banyak. Hanya Tuhan je yang mampu membalas jasa Kak Ran.”
Rania tergamam dengan tingkah Adeeba yang tak diduga itu  namun dia membalas juga pelukan gadis itu. Dia tersenyum senang tapi di dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana cuaknya dia mahu berdepan dengan Thakif. Dia benar-benar ingin menolong Adeeba tapi dalam masa yang sama dia berasa takut dengan Thakif apabila terkenangkan kejadian tadi. Pergelangan tangan kirinya di pandang buat kesekian kalinya.
Tok! Tok! Tok!
Adeeba melepaskan pelukan apabila terdegar bunyi pintu bilik diketuk.
“Deeba... ooo... Deeba...” panggil Datin Rosnah diselangi dengan ketukan di pintu.
“Ya, mama... kejap.”  Adeeba berjalan laju menghampiri pintu diikuti Rania dari belakang.
“Jom turun breakfast, ajak Rania sekali,” ajak Datin Rosnah sebaik saja Adeeba membuka pintu.
Adeeba dan Rania keluar dari bilik dan mengekori langkah Datin Rosnah menuruni tangga.
Sampai saja di bawah, Datin Rosnah berpaling ke belakang. “Deeba pergi bawak Abang Kif masuk, Rania ikut auntie ke meja makan,” arahnya.
“Okey, mama...” Adeeba membawa langkah ke pintu keluar menghampiri Thakif. “Eh,  abang ni macam tahu-tahu je yang Deeba nak panggil abang masuk,” kata Adeeba apabila melihat Thakif sudah memusingkan kerusi rodanya. Adeeba berdiri di belakang Thakif lantas menolak kerusi roda itu.
“Deeba, abang nak tanya sesuatu boleh. Kita duduk kat gazebo kejap,” pinta Thakif apabila kerusi roda yang ditolak oleh Adeeba sudah menghampiri pintu masuk.
Adeeba memusingkan kerusi roda dan menghala ke arah gazebo. Kemudian dia duduk menghadap Thakif. “Apa yang abang nak tanya?” Adeeba sudah bersedia untuk menjawab soalan Thakif.
“Dari tadi abang fikir pasal ni tapi langsung tak ada jawapan. Kepala abang ni rasa macam nak pecah je asyik fikir.” Thakif meletakkan jari telunjuk ke kepala.
“Apa yang abang fikir?” Adeeba dapat mengagak apa yang difikirkan oleh abangnya.
“Pasal kawan Deeba. Siapa nama dia tadi?” Dia memejam mata cuba mengingat sebaris nama yang disebut oleh Dato’ Azhar tadi.
“Nama dia Kak Rania Hafiya, tinggal kat Teluk Intan.” Laju Adeeba menjawab.
“Kenapa panggil dia kakak?” Thakif mengerut dahi.
“Sebab dia tua tiga tahun dari Deeba.”
“Umur dia 24 tahun ke?” Thakif masih lagi pelik.
Adeeba mengangguk laju.
Makin berkerut dahi Thakif. Takkanlah umur pun boleh sama kot? “Kenapa muka dia sama dengan arwah Manda? Umur pun sama.” Dia meluahkan kepelikannya.
Kalaulah Abang Kif tahu nama abah Kak Ran mesti dia lagi bertambah pelik. Tapi tak penting kot nak bagitahu. Bukan Uncle Man sorang je yang guna nama Razman! gumam Adeeba di dalam hati. “Abang, kat dalam dunia ni kan memang ada tujuh wajah yang serupa? So, Kak Ran tu salah seorang daripada tujuh orang yang muka seiras arwah Kak Manda la,” jelasnya. “Kak Ran tu memang tak ada kena mengena dengan arwah Kak Manda sebab abang sendiri pernah kata yang arwah Kak Manda tu anak bongsu, kan?” sambungnya.
Ingatan Thakif terimbas pada hari Adeeba menghubunginya bertanyakan tentang Amanda. Ooo... patutlah Deeba soal aku macam-macam masa tu. Sampaikan tanda lahir arwah pun dia tanya kat aku. Deeba... Deeba... Thakif tersengih di dalam hati.
“Deeba pernah tanya kat Uncle Google tau pasal tujuh wajah yang seiras ni. Ada sorang tu, dia terkejut beruk tengok muka orang yang sebijik macam dia kat dalam Facebook. Dia siap tunjuk gambar orang yang seiras dia tu kat dalam Blog lagi. Memang seiras, bang!”  Beria-ia Adeeba bercerita.
Thakif hanya diam mendengar.
“Pelakon Malaysia pun ada yang muka seiras, kan?”
“Siapa?”
“Fida Ibrahim dengan Dato’ Siti Nurhaliza...”
Thakif menyekeh kepala Adeeba. “Dato’ Siti dengan Fida kan sepupu? Mestilah sama!” ujarnya geram.
“Adoi, sakitlah bang!” Adeeba mengaduh. Kepalanya digosok perlahan.
“Qhaf tahu pasal Rania?” tanya Thakif.
Adeeba menggeleng kepala. “Abang jangan bagitau Abang Qhaf pasal Kak Ran eh?”
“Kenapa? Deeba boleh ajak Rania datang sini tapi kenapa tak nak kenalkan dia kat Qhaf pulak?” Thakif kembali mengerut dahi.
“Deeba tak nak jadi macam tadi. Lagipun Kak Ran tu bukan arwah Kak Manda.” Dan Deeba tak nak Kak Ran rasa diri dia dipergunakan sekali lagi. Cukuplah sekali Deeba buat dia macam tu, sambungnya dalam hati.
Fikiran Thakif terbayang semula reaksinya ketika melihat Rania tadi.
“Abang janji ya jangan bagitau Abang Qhaf?” Adeeba mengeluarkan jari kelengkingnya mahu membuat pinky promise.
“Okey...” Thakif mencangkukkan jari kelengkingnya pada jari kelengking Adeeba lantas menggeselkan ibu jari mereka.
“Astaghfirullahalazim... Deeba ni, mama suruh bawak Abang Kif tu masuk, bukan join sekaki melepak kat situ!” Datin Rosnah sudah tercegat di muka pintu sambil bercekak pinggang.
Thakif dan Adeeba membuang pandang ke arah pintu sambil tersengih.
Meh masuk, breakfast dulu. Lepas tu nak melepak ke apa ke buatlah,” ajak Datin Rosnah.
Adeeba bangkit menolak kerusi roda Thakif. Sampai di meja makan, dia meletakkan Thakif di sebelah mamanya dan dia mengambil tempat di sebelah Rania.
“Makanlah, Rania. Pilih je nak makan nasi goreng ke roti bakar,” pelawa Datin Rosnah sambil menyapu jem pada roti bakar.
Rania mengangguk. Tangan kanan dipanjangkan mahu mencapai senduk nasi goreng. Dalam masa yang sama tangan Thakif turut memegang senduk itu. Tangan Rania berada di atas tangan lelaki itu. Kedua-duanya tergamam dan saling memandang antara satu sama lain. Jantung Rania mula berdegup laju. Entah kuasa apa yang merasuk, dia seakan-akan terpukau dengan renungan lelaki di depannya.
“Ehem... ehem...” Adeeba berdeham mahu menyedarkan dua orang manusia yang masih leka merenung.
Rania pantas menarik tangannya lantas menundukkan wajah. Mukanya terasa panas ketika ini. Hesy, macam mana boleh terleka ni? Buat malu aku je!
Thakif pula selamba mencedok dua senduk nasi goreng ke dalam pinggan lantas dihulurkan kepada Rania.
Rania mengangkat wajahnya semula dan tergamam melihat huluran Thakif. Wajahnya sekali lagi bertukar merah apabila melihat Datin Rosnah, Adeeba dan Dato’ Azhar masih memandang ke arahnya dan Thakif. Teragak-agak dia menyambut huluran Thakif dan menyerahkan pinggan miliknya kepada lelaki itu. “Terima kasih.” Bagaikan tak terkeluar suaranya.
Adeeba tersenyum di dalam hati. Dia mula menyudu nasi goreng dengan senang hati.
Dato’ Azhar dan Datin Rosnah turut menyambung makan.
Setelah menyendukkan nasi goreng untuk dirinya, Thakif tak terus menyuap tapi dia ralit merenung wajah yang sedang menyuap nasi goreng di hadapannya. Dia cuba mencari persamaan di antara gadis itu dengan Amanda. Pandangannya jatuh ke mata Rania yang sesekali menjeling ke arahnya. Kemudian jatuh pula ke hidung mancung gadis itu. Semuanya sama! Susah nak beza. Cuma dia ni nampak macam kecik sikit daripada Amanda.
Isy, dia ni! Makanlah nasi tu! Yang tenung aku tu kenapa? Macamlah boleh kenyang dengan pandang muka aku ni! dengus Rania tak senang. Seleranya mati untuk makan tapi dia tetap menyumbat juga nasi goreng itu ke dalam mulut.
“Kif, makanlah nasi tu. Jangan ditenung anak dara orang macam tu. Rania tu bukannya nasi goreng pun yang boleh buat perut kamu kenyang,” tegur Dato’ Azhar. Naik kesian dia melihat Rania yang seperti susah mahu makan dek renungan anak bujangnya.
Thakif tersengih memandang papanya yang duduk di kepala meja lantas menyudu nasi goreng ke mulut.
Rania pula sudah tersedak. Dia menekup mulutnya dan terbatuk. Terasa perit tekaknya apabila nasi goreng yang belum hancur dikunyah tersekat di kerongkong. Aisey... macam mana ayat aku dengan uncle boleh sama ni? sempat dia bermonolog di dalam hati. Dia menyambut air yang dihulurkan Adeeba lantas meneguk mahu menghilangkan perit di tekak.
“Abang ni, ada ke tegur macam tu. Tengok, dah tersedak budak tu,” tegur Datin Rosnah tak senang.
Sorry, Rania. Uncle bukan sengaja nak buat kamu tersedak,” ucap Dato’ Azhar.
“Tak apa, uncle...” jawab Rania sambil berdeham beberapa kali mahu membetulkan suaranya yang serak.
“Deeba balik petang sikit, kan?” tanya Datin Rosnah sambil memandang Adeeba di hadapannya.
“Haah. Kenapa, ma?” jawab Adeeba tanpa memandang mamanya. Nasi goreng disuap ke mulut.
“Baguslah kalau balik petang. Kejap lagi mama nak urut lagi tangan Rania tu.” Kali ini Datin Rosnah memandang Rania.
Thakif memandang Datin Rosnah. “Tangan dia kenapa, ma?”
“Hari Jumaat tu Rania jatuh. Tangan kiri dia terseliuh. Semalam mama dah urut tapi hari ni nak tuam dengan ais nak bagi bengkak tu cepat surut,” jawab Datin Rosnah.
Rania hanya diam. Tak berani dia mahu mengangkat muka.
Thakif pula terpempan. Bagaikan terngiang-ngiang di telinganya suara rayuan Rania agar melepaskan tangannya itu. Perasaan bersalah mula terbit di hatinya. Sungguh! Dia tak tahu yang tangan gadis itu sakit. Kalau dia tahu dia tak akan memegang tangan itu.

ADEEBA memandang Rania yang sudah terlelap di sofa di sebelahnya setelah Datin Rosnah mengurut dan menuam pergelangan tangan gadis itu dengan ais tadi. Dia jatuh kesian melihat Rania yang tidur dalam posisi duduk begitu. Mahu dikejutkan, dia tak sampai hati apabila melihat wajah letih gadis itu. Perlahan-lahan dia membaringkan Rania. Bantal kecil di belakang badannya diambil dan dijadikan alas kepala gadis itu. Kemudian suara televisyen diperlahankan agar tak mengganggu lena gadis itu. Perutnya tiba-tiba terasa memulas dan dia berjalan laju mahu ke bilik mandi di biliknya.
            “Kenapa ni?” tanya Thakif yang baru keluar dari biliknya.
            “Nak pergi jumpa mister tan sekejap,” jawabnya sambil tergesa-gesa membuka pintu bilik.
            Thakif menggeleng melihat telatah adiknya. Dia membawa kerusi rodanya ke ruang tamu. Matanya terpaku pada susuk tubuh seseorang yang sedang terbaring di atas sofa berangkai tiga. Dia mula mendekati Rania mahu memohon maaf. Dia mengeluh hampa apabila melihat mata gadis itu tertutup rapat. Tangan kiri gadis itu dipandang. Perasaan bersalahnya makin menggebu apabila mendengar jeritan kecil gadis itu ketika mamanya mengurut tadi. Dia nampak dengan jelas wajah berkerut gadis itu menahan sakit ketika dia mengintai dari jauh. Dan dia mendengar dengan jelas mamanya berkata yang tangan gadis itu makin bengkak. Mungkin disebabkan dia memegang tangan gadis itu terlalu kuat pagi tadi.
            Mata Thakif beralih pula ke wajah Rania mahu mencari lagi perbezaan di wajah itu. Ketika bersarapan tadi dia tak dapat melihat dengan jelas kerana gadis itu asyik menunduk. Dia mendekatkan wajahnya lantas menilik wajah yang lena tidur itu. Sesekali dia menoleh ke belakang takut perbuatannya ditangkap oleh adik atau mamanya yang bila-bila masa saja boleh muncul di ruang tamu atas itu.
 Matanya terpaku pada tahi lalat kecil di bawah bibir Rania. Perlahan-lahan tangannya menyentuh lembut tahi lalat itu, tak mahu mengejutkan lena si gadis. Hanya tahi lalat ini yang membezakan gadis itu dengan arwah tunangnya. Entah kenapa dia suka melihat wajah gadis itu dihiasi tahi lalat kecil di bawah bibir. Nampak comel!
            Rania membuka mata apabila terasa seperti ada sesuatu yang merayap di bawah bibirnya. Terbuntang matanya melihat wajah Thakif yang terlalu hampir dengannya. Dia pantas bangun dan mengesot ke hujung sofa menjauhi Thakif. Tangannya pantas menekup bibirnya. Jantungnya mula berdegup kencang. Apa yang dia nak buat kat aku tadi? Fikirannya mula berfikir yang Thakif cuba mengambil kesempatan ke atasnya. Deeba mana? Kenapa dia tinggalkan aku dengan abang dia? Macam mana aku boleh terbaring kat sofa? Bukan tadi aku tengok tv dengan Deeba ke? Otaknya mula bersoal jawab. Matanya diliarkan mahu mencari Adeeba.
            “Deeba ada kat toilet,” beritahu Thakif seperti tahu apa yang dicari oleh Rania.
            Rania bangun mahu ke bilik Adeeba. Dia tak betah berada di situ dengan Thakif setelah dia nampak apa yang lelaki itu cuba buat padanya.
            “Duduk kejap, abang ada benda nak cakap.” Thakif menahan.
            Langkah Rania terhenti. Abang? Euwww! Dia ingat aku ni arwah Manda ke nak berabang-abang? Rania kembali meneruskan langkah, tak mempedulikan arahan Thakif. Yang dia tahu sekarang ini dia amat takut dengan lelaki itu.
            “Duduk dulu, Rania Hafiya!” Thakif bersuara sedikit kuat. Serius nadanya.
            Sekali lagi langkah Rania terhenti. Gulp! Air liurnya ditelan perlahan. Dia tahu nama penuh aku? Ni mesti Deeba yang bagitahu. Perlahan-lahan dia berpaling dan duduk kembali. Dengan wajah yang takut-takut dia memandang Thakif. Dia sedar yang badannya sedang menggigil sekarang.
            “Jangan takut, abang bukannya harimau yang boleh baham orang. Lagipun abang tak boleh berjalan, tak boleh nak buat apa-apa pun kat Rania.” Thakif tersengih nakal. Sengaja dia berkata begitu. Bukannya dia tak tahu apa yang Rania fikirkan tentang dirinya sebaik saja gadis itu membuka mata tadi. Dia mesti fikir aku nak kiss dia tadi.
            Rania cuak. Wajahnya bertukar pucat mendengar ayat terakhir Thakif.
            Thakif terasa ingin ketawa melihat wajah menggelabah gadis itu. “Abang sebenarnya nak minta maaf pasal kes pagi tadi. Abang tak tahu tangan Rania sakit,” ujarnya lembut. Wajahnya yang kelihatan nakal tadi digantikan dengan wajah serba salah.
            Rania menghela nafas lega. “Tak apa, saya tahu awak tak sengaja,” jawabnya. Dia tak biasa mahu memanggil Thakif abang. Lelaki itu bukan abangnya!
            “Tapi abang dah buat tangan Rania bertambah sakit, kan? Kejap lagi ajaklah Deeba pergi klinik, check tangan tu.”
            “Tadi auntie dah tuam dengan ais, rasanya macam dah okey sikit.” Rania cuba mengukirkan senyuman namun senyumannya nampak kaku. Hatinya masih tak dapat melupakan perbuatan lelaki itu. Dia tak suka dirinya disentuh oleh orang yang tiada pertalian dengannya. Kes pagi tadi dia boleh memaafkan. Dia tahu lelaki itu tak sengaja.
            Thakif diam merenung wajah Rania. Kenapa aku rasa seolah-olah aku sedang bercakap dengan arwah Manda? Dia bukan arwah Manda dan tak ada kena mengena dengan arwah. Tapi aku terasa dekat dengan arwah bila tengok dia. Ya Allah, apa yang Engkau cuba tunjukkan? Setelah Engkau ambil Manda, Engkau datangkan pula orang yang wajah seiras Manda dalam hidup aku, desis Thakif di dalam hati.
            Rania berasa tak selesa dengan pandangan Thakif. “Erk... Deeba ada cerita pasal arwah Manda pada saya. Saya bersimpati dengan apa yang menimpa awak dan arwah.” Dia bersuara mahu mematikan renungan Thakif.
            “Dah memang takdir abang macam ni. Abang terima dengan redha.” Thakif tersenyum.
            “Tapi awak tak boleh macam ni. Awak kena teruskan hidup. Sampai bila awak nak duduk kat kerusi roda tu sedangkan awak ada peluang untuk berjalan semula?” Rania mengambil peluang untuk menasihati Thakif walaupun dia tak yakin dengan kebolehannya untuk memujuk lelaki itu. “Awak mesti ada impian, kan? Awak tak nak tengok ke impian awak tercapai?”
            “Memang abang ada impian. Impian abang hanya nak sehidup semati dengan orang yang abang cinta. Tapi semua impian abang musnah bila Manda dah meninggal. Abang tak salahkan takdir sebab memang dah tertulis yang arwah akan pergi awal. Sekarang abang masih cuba belajar untuk menerima pemergian dia.” Lirih Thakif bersuara.
            Rania mengeluh perlahan. “Bukan arwah Manda sorang je perempuan dalam dunia ni. Ada banyak lagi perempuan kat luar sana. Dalam ramai-ramai perempuan, saya yakin Allah telah menetapkan seseorang untuk awak. Cepat atau lambat, awak pasti akan berjumpa dengan dia. Mungkin dia lebih baik dari arwah Manda. Tapi saya tak cakap yang arwah jahat eh?” Tanpa Rania sedar, perasaan takutnya pada Thakif beransur-ansur hilang. Badannya tidak lagi menggigil.
            “Perempuan-perempuan kat luar tu termasuk Rania ke?” seloroh Thakif. Dia kembali mempamerkan senyuman nakal.
            Rania tergamam. “Saya tak termasuk!” jawabnya pantas. Tak naklah aku dengan dia. Silap-silap dia bayangkan aku ni arwah Manda pulak, desis hatinya.
            Thakif tak terasa hati dengan kata-kata itu. Dia belum bersedia mahu menghilangkan Amanda dari hatinya. Baginya tiada siapa yang boleh menggantikan Amanda walaupun datang beribu-ribu orang yang berwajah seiras Amanda. Cintanya masih kuat pada arwah tunangnya itu dan dia akan pastikan cintanya itu tidak melebihi cintanya pada Maha Pencipta. Dia sedar yang pagi tadi dia sedikit tersasar apabila melihat wajah Rania. Entah kenapa hatinya ketika itu yakin yang gadis itu adalah Amanda. Mungkin kerana wajah mereka yang seiras yang membuatkan dia hilang arah.
            “Awak tak nak ke tengok keluarga awak happy macam dulu? Bukan saya nak cakap yang keluarga awak sekarang tak happy tapi saya tahu macam mana perasaan dia orang yang nak sangat tengok awak sihat macam dulu. Awak satu-satunya anak sulung lelaki dalam rumah ni dan awak satu-satunya harapan papa awak untuk menguruskan syarikat keluarga. Takkan awak nak biarkan papa awak uruskan syarikat sorang-sorang? Nak harapkan Deeba? Kalau Deeba dah kahwin mesti dia ikut suami dia, kan?” Rania berjeda.
“Awak sangat beruntung sebab doktor dah sahkan yang boleh berjalan semula. Kat luar sana ada yang disahkan lumpuh seumur hidup tapi dia orang tak putus asa mencuba pelbagai jenis rawatan sebab dia orang nak berjalan semula dan dia orang sedar masih ada banyak tanggungjawab yang sedang menanti. Tapi sayangnya, awak langsung tak nak berubat. Awak tak fikirkan langsung tanggungjawab awak pada auntie, uncle dan Deeba. Takkan awak nak berkerusi roda seumur hidup awak? Sekarang mama dan papa awak sihat lagi, bolehlah dia orang jaga awak. Kalau mama dan papa awak sakit, siapa yang nak jaga awak? Dan siapa yang nak jaga dia orang?” Bertubi-tubi kata-kata yang keluar dari mulutnya.
            Wajah Thakif bertukar keruh.
            Rania sudah tak tahu mahu berkata apa lagi apabila melihat Thakif diam. “Saya harap awak fikirlah semasak-masaknya. Kalau awak rasa awak sayangkan keluarga awak, awak berubatlah. Saya masuk bilik dulu, assalamualaikum.” Rania bangun sebaik saja dia habis bercakap. Hanya itu saja yang dia mampu buat untuk menolong Adeeba.
            “Waalaikumussalam...” jawab Thakif perlahan. Dia masih memikirkan kata-kata Rania.
~BERSAMBUNG~

5 comments:

  1. bila siap bab 16 seiras ne?taksbar lah nak tau apa reaksi thakif selanjutnya he he...salam raya ya minal aidil wal faizin....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thnks sebab sudi mengikuti cerita ni. Bab 16 lambt sikit sebab WC nak buat research sikit... Selamat hari raya juga...

      Delete
  2. suke... nk lagi!! cerite nie unik skit dr yg lain2..

    ReplyDelete
  3. hah amek kau thakif,siap kena sound ngan rania g!!!tapi ...andai itu menuju kabaikan terima lah kif..

    ReplyDelete