Followers

Thursday, 10 January 2013

Separuh Hati Untukmu 16


DATO’ AZHAR keluar dari perut lif dengan wajah berseri-seri. Geli hatinya melihat wajah tercengang pekerjanya ketika dia mengucap selamat pagi tadi. Dia berhenti di meja Fariya, setiausahanya. “Good morning, Far...” ucapnya.
            Terus terhenti pergerakan tangan Fariya yang sedang menyusun alat tulis yang berselerak di meja kerjanya. Betul ke apa yang aku dengar ni? Bos ucap good morning? Pelik bin ajaib ni! Tak pernah-pernah lagi bos ucap good morning kat aku. Aku yang ucap dekat bos adalah! Fariya memanggung kepala. Berkerut dahinya melihat raut Dato’ Azhar yang cerianya lain macam. Ini lagilah aku pelik. Muka bos ada senyum! Ni mesti ada good news ni. “Erk... good morning, boss...” jawabnya lambat-lambat.
            “Cantik baju awak hari ni, Far...”
            Terbuntang mata Fariya mendengar pujian Dato’ Azhar. Bos ni nak ngorat aku ke apa?
            “Air saya awak dah buat?” tanya Dato’ Azhar tanpa menghiraukan wajah terkejut beruk setiausahanya.
            Laju Fariya mengangguk kepala.
            “Terima kasih. Saya masuk dalam dulu. Kejap lagi masuk bilik saya.” Dato’ Azhar melangkah ke biliknya.
            Fariya masih terkebil-kebil di tempat duduknya. Dia memandang baju kurung putih berbunga merah jambu beserta tudung berwarna merah jambu yang dipakainya. “Aku rasa dah banyak kali aku pakai baju ni tapi bos tak pernah puji pun. Apesal hari ni bos puji pulak eh? Haila,bos aku ni kena sampuk dengan hantu apa sampai puji-puji bagai ni?” Bingung dia memikirkan perangai Dato’ Azhar yang amat berlainan pagi ini. Dia pantas mengemas alat tulisnya, kemudian dia mencapai buku nota dan melangkah ke bilik Dato’ Azhar.
            Sebaik membuka pintu bilik, Fariya melangkah dan berdiri di depan meja Dato’ Azhar. Buku nota di tangan dibuka. “Dato’, pukul 11 pagi Dato’ ada meeting dengan pelabur kat bilik Delima, pukul 2.30 pulak Dato’ ada interview dengan wartawan dari Majalah Lensa di bilik ni dan hari ni pelancong dari Perancis akan sampai ke hotel kita. Dato’ nak sambut mereka ke?”
            “Hari ni ke pelancong tu datang?” Dato’ Azhar benar-benar terlupa tentang itu. Berita gembira yang disampaikan Thakif ketika bersarapan tadi membuatkan dia terlupa seketika dengan kerja di pejabat.
            “Haah, hari ni. Pemandu pelancong tu kata mungkin dalam pukul 5 petang mereka sampai kat hotel kita.” Fariya sambil membelek buku nota di tangan.
            Dato’ Azhar memegang dagunya. “Okey, saya akan sambut mereka nanti. Tapi nanti awak tolong ingatkan saya balik.”
            Fariya mengangguk kepala lantas menutup buku nota.
            “Persiapan dewan untuk pertunjukan fesyen baju Muslimah macam mana?” tanya Dato’ Azhar apabila teringat tentang pertunjukan fesyen yang akan diadakan di hotelnya pada hujung minggu nanti.
            “Semuanya berjalan lancar, Dato’. Cik Kartini cakap lusa dia akan adakan rehearsal,” jawab Fariya. Buku nota di tangan dipeluk ke dada.
            Dato’ Azhar mengangguk. “Lusa nanti saya tak masuk ofis. Saya nak bawak Kif ke hospital. Kalau ada apa-apa meeting tolong postpone hari lain.” Dia menyandarkan badan ke kerusi.
            “Encik Kif dah setuju nak berubat ke, bos?” Fariya terkejut. Padanlah bos aku happy semacam je hari ni! Tak memasal aku ingat bos nak ngorat aku! Dushhh!
            Dato’ Azhar mengangguk dan tersenyum.
            “Alhamdulillah... akhirnya Allah perkenankan jugak doa bos dan Datin. Bos tak nak try rawatan lokomat ke? Lokomat pun okey tau untuk pesakit macam Encik Kif.”
            “Lokomat?” Dato’ Azhar mengerut dahi. Baru hari ini dia mendengar nama perubatan itu.
            “Haah, lokomat. Lokomat ni sejenis mesin robotik yang memberi peluang kepada pesakit yang menghadapi masalah kelumpuhan atau strok. Mesin tu akan membantu pesakit untuk belajar berjalan semula. Maknanya mesin tu akan menggerakkan kaki dan akan membantu memulihkan semula sistem saraf.” Fariya menerangkan seperti apa yang dia pernah baca di Internet. Rasanya tak salah kalau dia berkongsi info. Untuk kebaikan anak bos dia juga.
            “Mana awak tahu pasal perubatan lokomat tu?” Dato’ Azhar mula teruja mendengar penerangan setiausahanya.
            “Anak jiran saya pernah lumpuh. Lepas tu dia bawak anak dia jalani terapi lokomat dan alhamdulillah, selepas beberapa bulan anak dia boleh berjalan semula. Saya sendiri tengok anak jiran saya tu dah boleh berjalan dan berlari walaupun tak selincah dulu,” cerita Fariya dengan penuh yakin.
            “Hmmm... sound interesting!” gumam Dato’ Azhar. “Awak tahu alamat dia kat mana?”
            Dahi Fariya berkerut cuba mengingati nama tempat yang pernah disebut oleh jirannya. “Nama tempat anak jiran saya terima rawatan tu kalau tak silap saya, Yayasan Kebajikan Sau Seng Lum.”
Dato’ Azhar mengangguk. “Saya rasa saya nak bawak Kif jalani rawatan lokomat. Terima kasih atas cadangan awak tu.”
            “Sama-sama, bos. Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu.”
            Dato’ Azhar mengangguk. Sebaik saja Fariya menutup pintu bilik, dia mula melayari Internet untuk mencari maklumat mengenai terapi lokomat.

DATIN ROSNAH menghampiri Thakif yang sedang merenung kolam renang di belakang rumah. “Kat sini rupanya Kif...” Dia bersuara lantas melabuhkan duduk di kerusi.
            Thakif  berpaling dan tersenyum. Kerusi rodanya dipusingkan menghampiri mamanya.
            “Kif menungkan apa tadi?”
            “Kif cuma tengok kolam tu je, ma...” Thakif melemparkan pandangan ke air kolam yang membiru. “Dah lama Kif tak berenang. Sebelum accident dulu Kif selalu berenang. Rasa rindu nak berenang.”
            Datin Rosnah tersenyum sambil melemparkan pandangan ke kolam renang. Di ruang matanya terbayang kelincahan Thakif berenang. “Nanti bila Kif dah sembuh bolehlah berenang balik.” Dia mengelus perlahan rambut panjang anak bujangnya.
            Tangan wanita itu Thakif capai dan digenggam perlahan. “Mama doakan Kif ya?”
            “Mama sentiasa doakan anak-anak mama. Tapi Kif pun kena selalu berdoa pada Allah jugak dan kena kuatkan semangat bila jalani rawatan tu nanti. Insya-Allah, Dia akan permudahkan segalanya.”
            “Terima kasih, mama. Kif takkan pernah berhenti berdoa selagi Kif masih bernyawa dan Kif takkan patah semangat selagi mama, papa dan Deeba ada di sisi Kif dan menyokong Kif.” Perlahan-lahan Thakif mengucup tangan mamanya.
            Datin Rosnah tersenyum senang. “Mama nak tanya sikit boleh?”
            “Mama nak tanya lebih pun boleh.” Thakif mengukir senyuman.
            “Apa yang buat Kif ubah fikiran? Maksud mama, macam mana Kif boleh tergerak hati nak berubat?”
            Thakif tersenyum. Wajah Rania terbayang di ruang matanya. “Mulanya memang Kif tak ready lagi nak berubat. Kif takut akan kecewa. Takut masih tak boleh berjalan lepas berubat. Tapi segala-galanya berubah sejak semalam. Hati Kif mula terbuka disebabkan seorang perempuan yang didatangkan oleh Allah ke rumah kita.” Dia merenung jauh ke dasar kolam.
            “Maksud Kif, Rania kawan Deeba tu ke?” Datin Rosnah inginkan kepastian. Pada mulanya dia seperti dapat mengagak Rania punca anaknya bersetuju tapi apabila mengingatkan kedegilan Thakif yang berkeras tak mahu berubat mematikan terus andaiannya.
            Thakif mengangguk perlahan. “Kata-kata dia semalam dah menyedarkan Kif yang Kif tak boleh terus hidup macam ni. Kif masih ada tanggungjawab yang menanti. Tanggungjawab sebagai seorang anak, tanggungjawab pada kerja dan juga tanggungjawab sebagai seorang abang yang melindungi adiknya. Bila Kif fikir balik, ada betulnya apa yang dia kata tu, ma. Kif tak nak menyusahkan papa yang asyik kena angkat Kif kalau Kif nak duduk kat bawah. Dan Kif tak nak mama jatuh sakit sebab kena uruskan Kif. Sekarang dah tiba masanya untuk Kif gembirakan hati semua orang.”
            Menitis air mata Datin Rosnah mendengarnya. Dia bersyukur sangat yang Rania telah berjaya membuka pintu hati Thakif. Dia berasa terhutang budi pada gadis itu.
            Thakif memandang mamanya. Dahinya berkerut melihat mamanya menangis. “Kenapa mama nangis ni?” tanyanya risau.
            “Mama gembira, Kif. Akhirnya mama dapat jugak tengok Kif berubat sebelum mama menutup mata.” Datin Rosnah tersenyum.
            Thakif mengelap air mata di pipi Datin Rosnah. “Mama ni janganlah cakap macam tu. Kif tak sanggup kehilangan mama. Cukuplah Kif hilang arwah Manda sorang je. Kif nak mama sentiasa ada di sisi Kif dan temankan Kif. Kif nak mama tengok Kif boleh berjalan semula.” Tangannya sudah dijatuhkan ke meja.
            “Kalau Kif dah kahwin nanti mesti Kif dah tak perlukan mama, kan? Yalah, nanti asyik nak berkepit je dengan isteri...” Datin Rosnah menyandarkan badan.
            “Apa mama cakap ni?” Thakif mengerut dahi. Dia tak senang dengan kata-kata Datin Rosnah. “Mama la satu-satunya wanita yang telah melahirkan Kif. Pengorbanan mama terlalu besar pada Kif. Mama yang jaga Kif dari kecik sampailah keadaan Kif macam ni. Walaupun Kif pernah berkurang ajar dengan mama, mama tetap sabar melayan kerenah Kif. Kif takkan sesekali melupakan wanita yang telah banyak berjasa pada Kif!” Pandangan mata Thakif sarat dengan rasa kasih buat mamanya.
Datin Rosnah terharu mendengar kata-kata Thakif. Dia bersyukur dikurniakan anak seperti Thakif.
“Pasal Kahwin pulak, calon pun tak ada nak kahwin macam mana?” Thakif mengangkat sebelah keningnya.
“Anak mama ni kan handsome? Mesti ramai perempuan yang terpikat bila tengok killer smile Kif ni. Lepas tu mesti berduyun-duyun yang hantar borang nak isi jawatan kosong di hati Kif tu.” Datin Rosnah mengaku daya tarikan anak bujangnya itu adalah senyumannya yang menawan. Sebelum Thakif kenal dengan Amanda, ada saja kawan-kawannya yang mahu menjodohkan anak perempuan mereka dengan Thakif. Kata mereka, senyuman anak sulungnya itu ada aura!
“Mama ni ada-ada jelah. Kif ni biasa-biasa je.” Wajah Thakif berubah merah menahan malu dengan pujian mamanya yang melebih itu.
“Betullah apa yang mama cakap ni. Kalau tak takkan arwah Manda boleh terpikat kat Kif, kan?” Sudah lama Datin Rosnah tak melihat wajah anaknya berubah merah seperti itu.
Thakif terdiam apabila nama Amanda disebut. Tiba-tiba saja ingatannya terimbas pada kata-kata Amanda.

Manda tersangkut kat abang sebab senyuman abang. Cair hati Manda ni bila tengok abang senyum tau! Berdebar-debar je cik hati ni.

Mati terus senyuman Datin Rosnah apabila menyedari ketelanjurannya. “Kif…” Dia menyentuh tangan Thakif.
Thakif tersentak. Dia memandang mamanya yang mempamerkan wajah serba salah.
“Mama minta maaf, Kif. Mama tak sepatutnya cakap pasal arwah...”
Thakif kembali tersenyum. “Kif tak apa-apalah, ma. Kif dah okey.” Dia membalas pegangan mamanya.

SELESAI mendaftar di Yayasan Kebajikan Sau Seng Lum, Thakif dibawa oleh seorang pembantu jurupulih carakerja ke sebuah bilik. Dato’ Azhar dan Datin Rosnah turut mengikut dari belakang.
            “Good Morning...” ucap Wong Dawson, ahli fisioterapi yang akan merawat Thakif.
            “Good morning...” jawab Thakif, Dato’ Azhar dan Datin Rosnah serentak.
            “Encik Thakif Qarish?” Wong meneliti surat daripada doktor yang pernah merawat Thakif dulu.
            “Ya, saya...” sahut Thakif.
            “Macam mana encik boleh lumpuh?” Wong memandang tepat ke wajah Thakif.
            “Saya accident kereta lima bulan lalu. Bila saya sedar dari koma, kaki saya terasa berat bila saya cuba gerakkan,” jawab Thakif tenang.
            Wong mengangguk lantas menulis sesuatu pada laporan di atas meja. “Doktor ada masukkan besi or screw fixation or metal implant tak pada tulang kaki? Kalau ada, rasanya tak sesuai untuk jalani terapi lokomat ni.” 
            “Tak ada, Mr. Wong. Doktor cakap kaki anak saya ni tak patah, cuma mengalami spinal cord injury pada level T11 yang menyebabkan paraplegia.” Datin Rosnah menjawab bagi pihak Thakif.
            Wong mengangguk lagi. “Apa aktiviti harian Encik Thakif sebelum kemalangan? Macam berjoging ke main boling ke...”
            “Saya selalu berenang. Kadang-kadang main ice skating dan pergi gym.
            “Encik Thakif ada buat apa-apa exercise tak kat rumah?”
            Thakif menggeleng kepala. “Tak ada, encik... saya hanya baring, tak pun duduk kat kerusi roda.”
            “Erm... selalunya kalau nak pergi toilet ada orang yang bantu ke atau pergi sendiri?” Wong menjungkitkan sebelah keningnya.
            “Kalau nak mandi atau buang air, mama atau papa saya yang tolong bawak ke toilet. Kalau nak ambil air sembahyang saya pergi sendiri.” Thakif menjawab sambil tersenyum.
            Wong mencatit di dalam laporan. “Encik Thakif pernah mengalami sakit apa-apa tak? Macam kejang otot ke pening-pening atau tak dapat mengawal kencing?” tanyanya sambil mengawangkan tangan.
            Thakif diam sebentar cuba mengingati. “Pening kepala tu tak pernah... tapi kejang otot tu adalah tapi tak kerap. kadang-kadang je.
            “Okey... apa matlamat yang ingin Encik Thakif capai melalui rawatan ini?” Wong menegakkan badannya setelah selesai mencatit apa yang dikatakan Thakif ke dalam laporan.
            “Saya nak berjalan semula, nak bekerja semula, nak pergi ke tandas tanpa bantuan mama dan papa saya, nak lakukan semua aktiviti yang pernah saya buat sebelum accident dan nak kurangkan kekejangan otot,” jawab Thakif lancar sambil membuka satu per satu jarinya.
            “Biar saya check kaki encik dulu.” Wong bertinggung di depan Thakif. Kaki kanan Thakif diketuk menggunakan tangannya. “Ada rasa apa-apa?” Dia memanggung kepala memandang Thakif.
            Thakif menggeleng kepala. Dia hanya memandang apa yang dibuat oleh ahli fisioterapi itu.
            Kaki sebelah kiri Thakif pula diketuk. “Ada rasa apa-apa?”
            “Tak ada,” jawab Thakif.
            Wong bangkit dan kembali menulis di dalam laporan. “Okey, kita ke bilik rehabilitasi sekarang,” putusnya. “Ain, tolong bawak Encik Thakif ke bilik rehabilitasi,” pintanya kepada pembantu jurupulih carakerja yang membawa Thakif tadi.
            “Baik, Mr. Wong...” Ain menolak kerusi roda Thakif dan dibawa ke bilik rehabilitasi.
            Sampai saja di bilik rehabilitasi, kaki dan badan Thakif diukur oleh Wong untuk menentukan saiz. Kemudian dia mengambil harness. “Tolong tundukkan badan sedikit.” Sebaik saja Thakif menundukkan badan, dia meletakkan harness di bahagian belakang badan lelaki itu. Jarinya menyentuh garisan tulang belakang Thakif agar kedudukan harness setara dengan tulang belakang. Kemudian satu per satu pengancing pada harness dikancingkan dan diketatkan talinya. Dia membawa Thakif ke mesin berlari dan menurunkan alat menampung berat badan lantas menyangkutnya pada harness.
“Saya nak tarik kerusi roda encik, nanti body weight support system ni akan tarik encik ke atas.” Wong menerangkan.
Thakif hanya mengangguk. Sebaik saja kerusi rodanya ditarik, dia terasa badannya di tarik ke atas. Badannya sudah terapung dan tangannya memegang palang besi pada mesin berlari. Berdebar-debar hatinya, takut tali yang dipasang itu tercabut. Wong memasang mesin lokomat pada pinggul Thakif. Selesai mengetatkan mesin lokomat pada pinggul dan kaki, dia menggerakkan kaki lelaki itu untuk melihat sama ada terlalu ketat atau tak. Kemudian dia berdiri di depan skrin lantas mengklik ikon training, strart position dan start pada skrin untuk menggerakkan mesin lokomat.
Perlahan-lahan Thakif terasa kakinya bergerak mengikut mesin lokomat itu. Peluh dingin sudah menunjukkan diri. Wajah papa dan mamanya yang berdiri tak jauh dari situ dipandang. Melihat mamanya mengangguk membuatkan semangatnya kembali berkumpul.
“Relaks ya, Encik Thakif? jangan takut. Biar kaki bergerak mengikut mesin.” Wong menekan sesuatu pada alat kawalan jauh. Sedikit demi sedikit tubuh Thakif turun ke bawah sehingga kakinya berjalan di atas mesin berlari itu. “Kalau encik rasa tak selesa atau kaki terasa bertambah kejang, encik boleh berusaha gerakkan kaki sambil dibantu mesin,” ujarnya lagi.
 Thakif mengangguk. Dia merasakan dirinya bagaikan seorang bayi yang sedang belajar berjalan dan dia berasa teruja dengan pengalaman baharunya itu. Hilang terus rasa cuaknya tadi.
“Ini ialah graf yang akan menunjukkan hasil prestasi encik. Kalau kaki encik yang bergerak sendiri seiring dengan bantuan robot, graf ini akan naik,” terang Wong.
Thakif mengangguk faham. “Encik Wong rasa berapa lama masa yang diambil untuk saya sembuh?” Mata sekejap memandang ke skrin graf dan sekejap memandang Wong.
“Saya tak dapat nak mengagak sebab ia bergantung kepada semangat seseorang itu. Kalau dia kuat semangat, mungkin dalam tujuh atau lapan bulan dia boleh kembali berjalan tanpa menggunakan tongkat,” jawab Wong.

“Ooo...” Mulut Thakif sudah membentuk huruf O. Dia memandang kakinya yang bergerak. Di dalam hati dia nekad mahu berusaha sehingga kakinya boleh bergerak kembali.


~BERSAMBUNG~

p/s: Hari ni 10 Januari genap 2 tahun WC berada dalam bidang penulisan ni. Tak sangka sekejap je dah dua tahun... WC nak mohon maaf sebab 4 bulan biarkan cerita ni tak bersambung coz WC buat research sikit pasal lokomat ni.

Terima kasih sebab sudi tunggu, membaca dan memberi komen untuk cerita yang tak seberapa ni. WC terharu sangat-sangat...

Untuk melihat macam mana rawatan lokomat yang Thakif jalani tu boleh KLIK DI SINI

19 comments:

  1. terharu... huhu. alhamdullilah sebab Thakif dah setuju untuk berubat. suka sangat entry ni. ada banyak pengajaran dan pengetahuan baru.
    terima kasih kak WC.

    p/s : semoga kak WC lebih maju dan berjaya dalam dunia penulisan :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thnx Ifa coz suka... Ifa pon sama jugak, semoga dapat hasilkan banyak karya yg best-best =)

      Delete
  2. akakkkkkkkkkkk...x sbar nk tggu smbungan dye :)

    ReplyDelete
  3. Lama dah tggu smbgnya....baru ada...
    Suka sgt...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thnx sudi tunggu cerita ni... lama sebab WC buat research sikit pasal lokomat...

      Delete
  4. lma dh tggu akhirny ad jga smbngn... x sbar nk bca sterusny..

    ReplyDelete
    Replies
    1. thnx... terharu sangat masih ada yang sudi tunggu sambungan cerita ni...

      Delete
  5. sebab mulut laser damia akhir nyerr....terbukak gak ati thakif menginsafi diri utk g ke dr agar jd insan yg pulih sprt sedia kala...hope thakif cepat sembuh n jd semula jejaka idaman gadis2...kalu leh ngan damia lg akk suker sngt dek....hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. a'a... akhirnya termakan jugak thakif dengan nasihat rania kan kak... xlama je lagi dia akan sembuh ;)

      Delete
  6. Akhirnya terbuka juga hati Thaqif untuk berubat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye.... sebab dia dah sedar tanggungjawab dia masih banyak =)

      Delete
  7. smbil bca dpt thu psl lokomat..tambah ilmu pengetahuan saya...hehe..tq for the entry

    ReplyDelete
    Replies
    1. thnx jgak sebab baca... WC dulu pun tgh fikir nak buat rawatan apa untuk pulihkan kaki thkif tu... masa tengah cari pasal refleksiologi tetiba je terjumpa pasal lokomat...

      Delete
  8. akhirnya, Thaqif mahu berubat....pastinya Rania berjaya kerana kata2 nya menyedarkan Thaqif...
    Lokomat, tak pernah tahu sebelum ni.... thankz WC berkongsi pengetahuan....

    ReplyDelete
    Replies
    1. WC pon heppy jugak sebab dapat kongsi ilmu ni coz rasanya ramai yang xtahu pasal lokomat ni... kalau ada yang senasib dengan thakif ni bolehlah try buat rawatan ni...

      Delete
  9. sebenarnya spinal cord injury boleh diberi lebih detail seperti Lumbar Injury - L1, L2; Thoracic Injury - T5, T6, yang akan menjelaskan tahap kelumpuhan yang dialami.

    ReplyDelete
    Replies
    1. thnx kak coz sudi bagi komen pasal spinal cord injury ni coz ni first time WC tulis pasal perubatan...

      Delete
    2. cari jer kt Mr Google. Any time sentiasa bersedia membantu, to get more, go to mr Youtube. :)

      Delete