Followers

Saturday, 26 January 2013

Separuh Hati Untukmu 18

AUNTIE?” Dia sedikit terkejut apabila melihat Datin Rosnah sebaik saja dia membuka mata. 
            Datin Rosnah yang sedang memerah tuala kecil memandang Rania. Dia melemparkan senyuman. Tuala yang sudah siap diperah dilekapkan ke dahi Rania.
            “Auntie buat apa kat sini?” Rania memandang sekeliling bilik. Manalah tahu dia berada di rumah Thakif ke. Yalah, tiba-tiba saja Datin Rosnah ada di situ. Dan dia mengeluh lega apabila dia masih berada di bilik kolej.
            “Auntie jaga Rania la... Rania kan demam?” Datin Rosnah mengangkat tuala di dahi Rania lantas memerah lagi. Kemudian dia mengelap kepala gadis itu pula.
            Maknanya aku betul-betul demamlah? Tapi siapa perempuan dalam mimpi aku tu? Siapa Yaya? Makin berkerut dahi Rania memikirkan nama yang terasa asing padanya dan juga wanita yang berwajah kabur itu. Dia benar-benar tak tahu bagaimana wanita itu boleh muncul di dalam mimpinya.
            “Sakit kepala ke? Nak auntie picitkan?”
            Rania menggeleng kepala. “Saya tak sakit kepala pun, cuma pelik sikit macam mana auntie boleh tahu saya demam?” Memang itu juga turut berlegar di kepalanya.
            “Pagi tadi Deeba call. Dia minta tolong auntie jaga Rania sekejap sementara dia pergi kelas. Dia cakap Rania tak bangun-bangun dari tadi. Badan pun panas.”
            Rania terkejut. Belum pernah lagi dia demam sampai tak sedarkan diri. Mungkin sebab dah lama aku tak demam kot? Nasib baik aku tak boleh solat. “Sekarang dah pukul berapa, auntie?
            Datin Rosnah melihat jam di tangan kirinya. “Dah pukul 12.50 tengah hari.”
            Terbuntang mata Rania. Dia mengangkat kepala sedikit mahu melihat ke tingkap. Patut pun gelap, langsir bertutup rupanya. Dia bingkas bangun.
            “Nak pergi mana ni?” Datin Rosnah memegang lengan Rania.
            “Nak bersiap. Kelas saya start pukul 1.” Rania mahu berdiri tapi ditahan.
            “Tak payahlah pergi kelas, Rania kan tak sihat? Nanti pengsan pulak kat sana. Duduk sini.” Datin Rosnah menepuk bantal yang sudah ditegakkan di kepala katil.
            Dengan berat hati Rania akur. Perlahan-lahan dia menyandar di kepala katil. Badannya masih terasa lemah.
            “Ni auntie ada masakkan bubur untuk Rania.” Datin Rosnah melangkah ke arah meja belajar dan mencapai tupperware. “Nak pergi mana pulak tu?” tanyanya apabila melihat Rania berdiri.
            “Nak basuh muka kejap, auntie.
            “Nak auntie bawakkan? Takut pengsan pulak kat bilik mandi tu.” Datin Rosnah sudah meletakkan tupperware di meja belajar semula lantas menghampiri Rania. Tangan kanannya sudah memegang lengan gadis itu.
            “Tak apa, auntie... saya boleh pergi sendiri. Badan saya dah sihat sikit ni.” Rania segan dilayan seperti itu. Bukan teruk pun sakitnya, cuma demam saja.
            “Okey, auntie tunggu sini.” Datin Rosnah melepaskan pegangan.
            Rania mencapai peralatan mandian, tuala dan pakaiannya lantas keluar dari bilik. Selesai menukar pakaian, Rania keluar dari bilik mandi.
“Iman, kau tahu tak, Si Ran tu makin mengada-ngada tau sekarang!”
Langkah Rania terhenti di depan pantri. Dia menghampiri pantri dan menjengukkan sedikit kepalanya.
“Kenapa dengan dia? Apa yang dia buat?” tanya Imanina yang sedang menanti giliran untuk menyeterika baju.
“Aku tak tahulah ilmu apa yang dia pakai sampai macam tu sekali Deeba layan dia. Deeba siap panggil mama dia lagi suruh jaga Si Ran tu,” cerita Sofi yang sedang menyeterika baju.
“Kau nampak ke mama Deeba datang? Buatnya salah orang ke?”
“Nampak... aku cam muka mama Deeba tu. Tadi aku terserempak dengan mama dia kat bilik mandi, aku pun tanyalah. Mama dia cakap dia tolong Deeba jaga Ran sebab Ran tu demam.”
“Amboi, bukan main lagi Si Ran tu! Aku pun pernah demam jugak tapi tak ada pun suruh mama aku datang jaga aku.” Imanina menceber.
Rania menggeleng kepala. Budak dua orang ni tak habis-habis nak mengumpat! Dia tak tahu kenapa Sofi dan Imanina seperti tak menyukainya. Pernah dia melemparkan senyuman ketika mereka terserempak dulu, namun kedua-dua orang gadis itu mencemikkan wajah. Akhirnya dia buat tak layan saja. Malas mahu ambil peduli.
“Iman, aku rasa kan, Ran tu saja nak rapat dengan Deeba sebab Deeba tu anak orang berada. Lagi satu, Deeba kan ada abang? Handsome pulak tu! Mestilah dia nak suruh Deeba kenenkan dia dengan abang Deeba tu. Lepas dia dah rapat dengan adik, dia pun buat baiklah tunjuk sopan santun dia dekat famili Deeba pulak. Bila satu famili dah berkenan, dia orang pun satukan Si Ran dengan abang Deeba tu. Lepas tu siapa yang untung? Keluarga Si Ran  jugak kan? Yalah, dapat menantu kaya. Anak Dato’ pulak tu!” Sofi menterbalikkan bajunya untuk menyeterika bahagian belakang.
Rania menyabarkan hatinya. Dia orang ni tak tahu apa-apa, pandai je nak reka cerita! Nasib bukan adik aku. Kalau adik aku, dah lama aku uli-uli mulut dia orang ni jadikan cucur kembung! Tiba-tiba dia terasa badannya semakin sihat mendengar ‘pujian’ Sofi.
“Kau gila ke apa? Tunang abang dia tu nak campak mana?” Imanina mengerut dahi.
“Kau tak tahu ke tunang abang Deeba tu dah mati?” Sofi mencapai penyangkut baju dan menyangkut bajunya. Dia beralih ke belakang memberi laluan kepada Imanina untuk menyeterika baju.
“Bila?” Imanina memandang Sofi.
“Aku pun tak tahu bila tapi aku pernah dengar siapa entah cakap yang tunang abang Deeba dah tak ada.” Sofi membelek bajunya yang sudah siap digosok tadi. “Abang Deeba pun dah lama tak nampak datang sini kan? Dulu ada jugaklah nampak masa dia hantar Deeba balik kolej,” sambungnya lagi.
“Tulah. Aku pun dah lama tak nampak dia. Aku ingat lagi dia senyum kat aku masa aku terserempak dengan dia kat pagar. Pergh! Cair hati aku tengok senyuman dia tu. Bergegar jantung, beb!” Imanina ketawa. Tangannya lincah menggosok baju. “Kau pernah tengok arwah tunang dia? Cantik tak?”
“Manalah aku pernah tengok. Aku bukannya rapat dengan abang Deeba. Apa kes abang dia tu nak bawak tunang datang kolej ni? Bukannya tunang dia study kat sini pun.”
“Ya tak ya jugak...” Imanina mengangguk.
“Daripada Deeba pilih Ran, baik dia pilih kau je jadi bakal kakak ipar dia. Aku rasa kau paling layak untuk abang dia. Rupa ada, anak orang berada jugak. Bukan macam Ran tu, datang dari kampung mana entah!”
Imanina tersengih-sengih. Dia terasa kembang dengan pujian Sofi. “Kau ni puji-puji aku macam ada apa-apa je. Malu aku tau!” Setereka dibiarkan menghempap bajunya. Dia sudah berangan bersanding di atas pelamin dengan Thakif.
 “Mana ada apa-apa. Aku cakap yang betul ni. Kalau nak dibandingkan kau dengan Ran, macam langit dengan bumi tau! Cuba kau bayangkan kau berdiri kat sebelah abang Deeba. Pergh! Bagai pinang dibelah dua. Kalau dengan Ran... tak sesuai langsung!” Sofi mengembang kempiskan hidungnya apabila terbau sesuatu terbakar. “Iman, baju kau berasap!”
Jeritan Sofi menyedarkan Imanina. Dia menegakkan seterika. Bajunya diangkat tinggi. Jelas kelihatan kesan terbakar dan berlubang di bahagian dada. “Kaulah punya pasal ni, ajak aku bersembang. Tengok, rosak baju aku!” Dia menjeling geram.
“Alah, nanti aku gantilah. Kita shopping kat shopping mall pakwe Deeba tu eh?”
Rania yang mendengar sudah ketawa di dalam hati. Itulah balasan orang yang mengumpat! Dia sudah malas mahu mendengar.
“Kak Ran!”
Baru saja Rania mahu berpusing, ada suara memanggilnya. Bibir bawah digigit perlahan. Dia mahu meninggalkan pantri tanpa meninggalkan jejak. Akhirnya terkantoi juga.
“Kak Ran buat apa kat sini?” tegur Julaili yang mahu masuk ke pantri.
Rania berpusing memandang Julaili sambil tersenyum. Dari ekor mata dia nampak Sofi dan Imanina sudah berdiri tak berapa jauh darinya dan Julaili.
“Kau curi dengar perbualan kita orang ke?” Meninggi suara Imanina.
Rania tak menjawab. Dia hanya menayang muka kayu.
“Kau ni memang tak tahu malu kan? Suka hati je curi dengar!” marah Sofi pula.
Rania memandang Julaili di depannya. “Laili tahu tak, Rasulullah pernah berkata, awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang yang melakukan zina, apabila dia bertaubat Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat!” Sengaja dia berkata begitu mahu memberi peluang kepada Imanina dan Sofi meminta maaf kepadanya.
Julaili menggaru kepala. Tak faham apa yang sedang berlaku di depannya ini.
“Tak payah nak berlagak jadi ustazah kat sini boleh tak? Menyampah aku!” Imanina menceber.
Ek eh, terasa ke? Aku just bagitahu kat Laili, bukan kat kau orang pun. Yang kau orang nak terasa tu apesal? Terlebih makan wasabi eh?” Rania sudah menjungkit kening.
“Kau ni memang kurang ajar kan?! Sedarlah diri tu junior. Baru dua bulan lebih kat sini nak berlagak pulak!” Sofi sudah memeluk tubuh.
“Junior tak junior. Dekat sini aku lebih tua dari kau orang okey! Kalau kau orang kurang ajar dengan aku, aku pun tak akan hormat senior macam kau orang!” jawab Rania perlahan tapi ada ketegasan di situ. Dia tersenyum sinis apabila melihat muka Imanina dan Sofi sudah berapi.
“Kau ni sebenarnya saja buat-buat demam, kan? Sengajalah tu nak tarik perhatian mama Deeba supaya dia kesian kat kau!” tuduh Sofi.
“Kau orang ni sudah-sudahlah tu. Dah terang lagi berspotlght kau orang yang salah, cepatlah minta maaf dekat Kak Ran.” Julaili bersuara apabila sudah dapat menangkap puncanya.
“Eee... tolonglah! Tak ada hati aku minta maaf dengan budak junior ni.” Imanina mencemberutkan wajahnya.
Rania memegang lengan Julaili. “Tak apalah, Laili. Akak tak kisah pun.” Kemudian dia memandang Imanina dan Sofi semula. “Sebut pasal demam kan... aku terlupa pulak bakal mak mertua aku tu tengah tunggu aku kat bilik. Tak rugi aku pura-pura demam hari ni sebab bakal mak mertua aku tu siap masakkan bubur lagi untuk aku tau! Itu maknanya dia sayang lebih kat aku kan?” Sengaja dia berkata begitu. Dia tahu Imanina ada hati pada Thakif berdasarkan apa yang dia dengar tadi.
Wajah Imanina makin berapi.
“Okeylah, aku masuk bilik dulu. Nanti risau pulak bakal mak mertua aku tu.” Rania melemparkan senyuman sinis. Dia menepuk bahu Julaili yang sudah tercengang. “Jangan bagitahu Deeba pasal ni.” Sempat dia berbisik di telinga Julaili.
“Eee... menyampahnya aku dengan perempuan tak tahu malu tu!”
Rania tersengih apabila mendengar Imanina meluahkan rasa geramnya. Dia juga dapat mendengar gadis itu membaling sesuatu ke lantai. Mungkin baju yang terbakar tadi. Terasa puas hatinya dapat membalas. Selama ini dia hanya diam saja mendengar mereka mengumpatnya. Ketika dia membuka pintu bilik, dia bertembung dengan Datin Rosnah yang ingin keluar dari bilik.
“Kenapa lama sangat? Risau auntie tau. Auntie ingat Rania pengsan tadi kat bilik mandi.”
Rania tersenyum. “Tadi berborak dengan kawan kejap kat pantri.” Peralatan mandian disimpan dan tuala disidai.
“Duduk sini, makan bubur. Dah sejuk dah bubur ni.” Datin Rosnah menarik kerusi di meja belajar di sebelahnya.
Rania akur. Sebaik membuka penutup tupperware, perutnya terus berbunyi minta diisi. Usai membaca bismillah, dia menyuap bubur ayam ke mulut.
“Tadi Rania mimpi apa?” Datin Rosnah bersuara memecahkan kesunyian.
            “Mimpi?” Rania mengerut dahi.
            Datin Rosnah mengangguk. “Masa Rania tidur tadi kamu meracau. Bila auntie dekatkan telinga, auntie dengar kamu sebut mak. Bila auntie letak tuala basah dekat dahi, kamu terus senyap.”
            Rania mula teringat akan mimpinya. “Ooo... saya mimpikan mak. Saya mimpi mak saya datang picitkan kepala saya,” jawab Rania tanpa memberitahu tentang seorang lagi yang muncul dalam mimpinya.
            “Rindu dekat mak la tu. Biasalah, duduk jauh dari famili mesti rasa lain, kan?”
Rania tersenyum.
Auntie yang kena ucap terima kasih kat Rania sebab dah berjaya pujuk Kif. Dia dah pergi berubat sekarang.”
            “Dia dah pergi berubat?” Rania sedikit terkejut.
            “Haah. Dah sebulan auntie dengan uncle hantar dia berubat. Deeba tak cerita apa-apa ke?” Datin Rosnah mengerut dahi.
            “Tak ada pulak. Mungkin sebab kita orang busy, sebab tu Deeba terlupa nak bagitahu kot?” Rania mencapai botol air mineral lantas meneguknya. Entah-entah Deeba tak bagitahu sebab dia dah tak anggap aku ni arwah Manda lagi kot? Hmmm... baguslah macam tu. Tak adalah aku kena jumpa mamat menggerunkan tu lagi! Dia ketawa dalam hati.
            “Kalau tak ada Rania mesti Kif masih macam tu. Terima kasih ya?” Datin Rosnah memegang tangan kiri Rania yang memegang botol.
            Rania menutup botol air mineral dan meletakkan kembali di atas meja. Tangan Datin Rosnah dicapai dan digenggam. “Auntie tak perlu nak ucap terima kasih pada saya. Saya tak buat apa-apa pun dan bukan sebab saya Kif setuju nak berubat. Dia setuju sebab hati dia telah digerakkan oleh Allah. Kalau tak ada saya pun, lambat-laun hati dia akan tergerak jugak untuk berubat.”
            “Lepas ni kita pergi klinik ya? Boleh ambil MC sekali,” ujarnya Datin Rosnah apabila melihat bubur nasi sudah separuh dimakan.  
            Klinik? Kalau klinik sama dengan ubat! Haiyoo, aku tak nak makan ubat! Matanya sudah terbayang beberapa biji ubat yang bakal ditelannya. “Erk... tak payah pergi kliniklah, auntie... saya dah sihat dah.” Seleranya mati untuk menjamah lagi.
            “Mana boleh macam tu. Kamu kena ambil surat MC sekali, kalau tak dicop ponteng pulak. Lepas Deeba habis kelas kejap lagi kita pergi klinik kat kolej 12.”
            Mahu tak mahu Rania terpaksa akur.

AZFAREL berjalan laju mendapatkan Rania apabila melihat gadis itu sudah keluar dari foyer Akademi Pengajian Melayu. “Hai, Ran...” tegurnya.
            Langkah Rania terhenti. Dia mengangkat kepala memandang Azfarel. “Hai... tunggu Puan Najiha ke?”
            “Taklah. Saya nak jumpa awak.” Azfarel tersenyum. Tangannya bermain dengan tali beg kertas yang disorok di belakang badan.
            “Kenapa pulak nak jumpa saya?” Rania mengerut dahi. Matanya meliar ke kawasan tempat letak kereta yang tak jauh dari foyer. Dia nampak kereta Adeeba sudah ada di situ menantinya.
            “Dari semalam saya tunggu awak tapi kakak saya cakap awak tak datang. Kenapa awak tak datang?” tanya Azfarel tanpa menjawab soalan Rania.
            “Saya tak sihat sikit semalam.” Dari jauh Rania dapat melihat Adeeba dan Adira memandang ke arahnya dan Azfarel melalui tingkap kereta yang sudah diturunkan.
            “Awak tak sihat? Awak demam ke?” Nada Azfarel kedengaran risau. Tangannya mahu merasa dahi Rania tapi gadis itu mengelak. “Sorry...” Tangannya dijatuhkan semula.
            “It’s okay. Kenapa awak nak jumpa saya ni?”
            “Sebenarnya saya nak bagi ni kat awak.” Azfarel mengeluarkan beg kertas yang disorok tadi lantas menghulur pada Rania.
            “Apa ni?” tanya Rania tanpa menyambut beg kertas itu.
            “Handphone. Sebenarnya saya beli masa kita berlanggar dulu. Bila saya datang balik kat tempat tu, awak dah tak ada. Ambillah.”
            “Tak apalah. Saya dah beli handphone baharu pun.” Rania mengeluarkan telefon Nokia C3 dari poket jean dan menunjukkannya kepada Azfarel. “Handphone tu awak guna jelah. Tak pun buat koleksi. Boleh tukar-tukar pakai, kan?” tolak Rania
            Wajah Azfarel muram. “Ambillah Ran. Saya akan rasa bersalah kalau awak tak ambil.” Dia cuba meletakkan beg kertas itu di tangan Rania tapi gadis itu melarikan tangannya.
            “Saya kata tak nak. Kan saya dah kata yang saya dah beli handphone baharu!”
            “Kalau awak tak nak ambil, saya melutut kat sini.” Azfarel sudah melutut di depan Rania sambil menghulur beg kertas itu. Dia sudah tiada cara lain mahu memaksa gadis itu menerima pemberiannya.
            Wajah Rania berubah. Dia memandang sekeliling. Pelajar-pelajar yang berada di foyer sudah memandang ke arahnya. Dia malu dengan keadaan itu. “Farel, bangunlah. Janganlah buat macam ni. Malulah orang tengok...” Keras suaranya.
            “Saya takkan bangun selagi awak tak terima handphone ni!” Azfarel bersungguh dengan kata-katanya.
            Rania sudah menggaru kepala yang dilapik tudung. “Kan saya dah kata yang saya tak nak?” Matanya menjeling orang yang lalu lalang.
            “Kalau macam tu saya jerit!”
            “Jeritlah kalau awak tak malu!” Rani sudah hilang sabar dengan lelaki di depannya ini.
            “Ooo... awak cabar saya eh? Okey, saya jerit! Raaa....”
            “Okey, saya ambil!” Rania pantas mengambil sebelum sempat Azfarel menghabiskan jeritannya. Dia tak mahu malu berbakul-bakul.
            “Macam tu kan senang! Ini tak, nak kena ugut dulu baru nak ambil.” Azfarel sudah berdiri kembali.
            “Nanti saya bayar handphone ni tapi bukan sekarang. Berapa harga handphone ni?” Wajahnya masam.
            “Saya beli handphone tu bukan nak suruh awak bayar balik. Saya tak nak terima duit awak!” kata Azfarel serius.
            Rania mengeluh. “Saya tak sukalah macam ni. Saya tak selesa! Macam nilah, awak bagi phone number awak, nanti kita bincang.” Telefon bimbitnya diangkat bersedia untuk menyimpan nombor.
            Hmmm... okey jugak idea dia tu! Tak payah aku susah-susah minta phone number dia kat Kak Jiha. Azfarel tersenyum lantas memberitahu nombor telefon bimbitnya.
            “Awak tunggu SMS atau panggilan dari saya nanti.” Pantas Rania melangkah ke kereta Adeeba membiarkan Azfarel berseorangan.
            “Kenapa tu, kak?” tanya Adeeba sebaik saja Rania masuk ke tempat duduk di bahagian belakang. Matanya masih memandang Azfarel yang masih tak berganjak.
            “Tulah mamat yang langgar akak kat Mid Valley dulu. Dia ganti handphone akak yang rosak tu. Akak tak nak, dia paksa jugak suruh ambil. Degil betul dia tu.” Rania menggeleng kepala sambil matanya masih memandang Azfarel yang sudah melangkah pergi.
            “Untunglah Kak Ran dapat handphone baharu.” Adira tersenyum mengusik.
            “Untung apa, dapat malu adalah!” Rania menceber.
            Sebaik saja menghidupkan enjin, telefon pintar Adeeba berbunyi. Dia melihat nama yang tertera dan tersenyum.
            “Helo, Deeba ada kat mana?” Qhafi bersuara di hujung talian.
“Deeba ada dengan roommates ni, on the way  nak balik kolej,” jawab Adeeba.
            “Ooo... abang ingatkan Deeba dah ada kat kolej. Abang ada kat luar pagar kolej ni.”
            “Hah! Abang ada kat luar pagar kolej?” Adeeba terkejut. Dia memandang Adira dan Rania yang turut memandangnya. Dadanya terasa berdebar.
            “Haah. Abang tunggu Deeba kat sini, lepas tu kita pergi makan okey. Assalamualaikum.” Qhafi sudah mematikan talian.
            Waalaikumussalam... jawab Adeeba di dalam hati.
            “Oit, kau kenapa muka pucat je ni?” Adira mencuit lengan Adeeba.
            “Erk... tak ada apa-apa. Boyfriend aku dah ada kat luar pagar kolej, nak ajak aku keluar makan.” Adeeba mula menekan pedal minyak.
“Ooo...” Adira melemparkan pandangan ke depan.

Adeeba rungsing memikirkan kedatangan Qhafi yang mengejut itu. Dia melihat Rania melalui cermin pandang belakang, kemudian  memandang ke depan kembali. Ya Allah, apa aku nak buat ni? Dia menarik nafas perlahan dan memandang Rania lagi melalui cermin pandang belakang. Adakah ini masanya? Jantungnya makin laju berdegup.

~BERSAMBUNG~

8 comments:

  1. tak sabar nak tau bgaimna reaksi qhafi bila liat rania...sambg cepat2 ye

    ReplyDelete
  2. uit...uit... apa jadi???
    Rania dengan Qhafi akan berjumpa ke?? Alahai, berdebar saya tunggu. hehee.
    Terima kasih kak WC. :)

    *geram dgn Sofi dan Imanina. grr...

    ReplyDelete
  3. Omg!!! Omg!!! Xsabarnyaaaaaaaaa

    ReplyDelete
  4. aduh.. suspen... ape jadi ek... bila rania nqhafi berjumpe.... x sabaq nk tggu next n3... hehehehe...

    ReplyDelete
  5. Best..... #^_^
    Can't wait for the next entry..... #^_^

    ReplyDelete
  6. lambat lg ke nk update new n3 ni..huhuhuhu..yana

    ReplyDelete
  7. oh my...tk sabar nyer menanti n3 pasnih dek....

    ReplyDelete
  8. To all: jeng... jeng... jeng... apalah yang jadi lepas ni en... hahaha... Thank u for reading n dropping by... bab seterusnye akan diupload xlama je lagi n_n

    ReplyDelete