Followers

Thursday, 31 January 2013

Separuh Hati Untukmu 19


“EHEM... ehem...” Sofi berdeham. Ketika kereta Imanina melangkah masuk ke pagar tadi dia sudah ternampak kelibat lelaki yang dipuja dalam diam. Kemudian cepat-cepat dia menyuruh Imanina memberhentikan kereta.
            Qhafi yang sedang bersandar di pintu kereta bahagian pemandu memanggung kepala memandang Sofi yang memakai seluar ketat berwarna merah jambu dan baju sendat. Dia menundukkan wajahnya kembali.
            Masam mencuka wajah Sofi apabila Qhafi tak mempedulikannya. Sombongnya! Nasib baik kau handsome, kalau tak, tak ingin aku nak tegur! “Dah lama ke you sampai?” Dia cuba memancing perbualan “Tunggu Deeba ke?” Senyuman menggoda dilemparkan.
            Qhafi memanggung kepalanya lagi lantas mengangguk. Pandangan dilemparkan ke jalan raya mahu melihat sama ada kereta Adeeba sudah muncul atau belum.
            Qhafi menjeling jam tangan Tag Heuer di pergelangan tangan kanannya. “Adalah dalam 15 minit.” Dia menjawab acuh tak acuh. Butang baju dipergelangan tangan kiri dibuka lantas menyingsing lengan baju hingga ke paras siku. Kemudian lengan baju sebelah kanan pula disingsing.
            “You ingat I tak?” Sofi menyelitkan rambut ke belakang telinga.
            Qhafi mengangguk. “Ingat. Sofi, kan?” Dia ingat lagi gadis di depannya itu. Adeeba pernah memperkenalkan mereka ketika dia terserempak dengan Adeeba, Sofi dan Imanina yang sedang membeli-belah di pusat beli-belah milik keluarganya dulu.
            Sofi mengangguk laju. Dia gembira apabila Qhafi masih mengingatinya. “Tadi I shopping kat Akasia Mall dengan Iman tapi tak nampak pulak you.” Jarinya bermain-main dengan hujung rambut.
            “Tadi I buat kerja kat ofis, tak ronda pun kat bawah.” Qhafi menyelukkan tangan ke poket seluar.
            “Kalau jumpa you tadi mesti boleh minta diskaun. Banyak jugak I shopping tadi, sampai lenguh tangan I ni.” Sofi memicit-micit lengan kirinya. Wajahnya dikerutkan berpura-pura menahan sakit. Padahal dua beg kertas saja yang dia bawa balik tadi.
            “Bukan dekat Akasia ada sales ke sekarang?” Qhafi pelik. Setahunya sudah dua hari Akasia Mall mengadakan jualan murah.
            Gulp! Sofi menelan liur. Wajahnya berubah merah. Tangan kanannya yang sedang memicit lengan kiri terus terhenti.
            Pin! Pin! Pin!
            Sofi dan Qhafi berpaling apabila mendengar bunyi hon kereta. Dari jauh kelihatan kereta Adeeba yang meluncur ke arah mereka.
            Haish, cepat pulak dia ni sampai! gerutu Sofi dalam hati. “Okeylah, I masuk dulu.”
            “Tak nak tunggu Deeba ke?” tanya Qhafi.
            “Tak apalah, kepala I tiba-tiba pening. Penat sangat berjalan tadi.” Sofi melangkah masuk ke dalam kolej.
            Adeeba menghentikan keretanya di sebelah kereta Qhafi. Matanya memerhatikan Sofi yang sedang berjalan. Tangannya menurunkan cermin kereta di bahagian penumpang. Hatinya mula terdetik rasa cemburu apabila melihat gelagat Sofi dari jauh tadi.
            Qhafi mengerut dahi apabila melihat ke dalam kereta Adeeba.  Tempat duduk di bahagian belakang turut dipandang. Dia menghampiri kereta Adeeba dan menundukkan sedikit badannya. “Mana roommates Deeba? Tadi kata roommates ada sekali?”
            Adeeba kembali memandang Qhafi. “Dia orang nak singgah pasar malam kat Vista tadi. Deeba hantar dia orang kat sana dulu, baru balik kolej,” jawabnya sambil melemparkan senyuman lega. Ketika mahu meninggalkan pekarangan Akademi Pengajian Melayu tadi, Rania meminta dihantarkan ke pasar malam untuk membeli sedikit makanan. Adira juga turut menemani Rania. Apabila dia mahu menunggu, kedua-dua orang gadis itu menyuruhnya pulang saja ke kolej kerana mereka ingin berjalan sebentar di pasar malam sebelum pulang ke kolej dengan menaiki bas.
“Deeba park kereta kat dalam kejap eh?” Sebaik melihat anggukan Qhafi, Adeeba mula memandu keretanya menuju ke tempat parkir di dalam kolej. “Fuh! Nasib baik Kak Ran nak singgah pasar malam. Kalau tak aku tak tahu apa yang bakal berlaku. Mesti kalut je nanti,” gumamnya. Selepas mengunci kereta, dia mendapatkan Qhafi yang sudah menanti di dalam kereta lelaki itu.
“Kita nak makan kat mana?” tanya Qhafi sebaik saja Adeeba memakai tali pinggang keledar.
“Mana-mana pun boleh tapi Deeba nak yang dekat je.
“Kalau macam tu kita pergi Bangsar, makan kat Syed Bistro,” putus Qhafi. Matanya ditumpukan ke jalan raya.
“Okey, Deeba tak kisah.” Adeeba bersetuju. “Sofi nak apa dekat-dekat dengan abang tadi?” tanyanya apabila mula teringat pada Sofi.
“Saja je dia tegur.”
“Habis tu abang melayanlah?” Nada Adeeba berbaur cemburu. Dia tahu Sofi ada hati pada Qhafi. Melihat cara Sofi memandang Qhafi pun dia sudah boleh tahu. Tambahan pula ketika mereka menjadi teman sebilik dulu, gadis itu asyik bertanyakan Qhafi saja. Mujurlah sekarang dia sudah tak sebilik dengan Sofi. Kalau tak pasti gadis itu akan sibuk mengorek itu dan ini.
“Abang layan macam gitu jelah. Kenapa? Jealous eh?” Qhafi memandang sekilas ke arah Adeeba sambil tersenyum nakal.
“Mestilah. Berbulu je mata Deeba ni tengok dia tergedik-gedik dekat abang tau.” Adeeba geram. “Apa yang dia cakap kat abang tadi?”
“Dia cakap dia shopping kat Akasia Mall dengan Iman tadi. Kalau ternampak abang tadi boleh minta diskaun. Lepas tu dia cakap tangan dia lenguh bawak banyak barang,” jawab Qhafi jujur. Dia tak pernah merahsiakan apa-apa daripada Adeeba.
See... dah boleh nampak yang dia tu syok kat abang. Siap nak minta diskaun lagi... Deeba pun tak pernah minta diskaun dekat abang tau. Entah-entah dia pergi sana sebab nak tengok abang, bukan nak shopping sangat pun.” Adeeba menarik nafas cuba menenangkan diri.
“Deeba dengan dia gaduh ke? Rasanya dulu Deeba rapat jugak dengan dia, kan?” Qhafi memandang Adeeba sekilas sebelum melemparkan pandangan ke depan.
“Mana ada kita orang gaduh. Kawan biasa-biasa je. Malaslah nak rapat sangat dengan dia orang. Sosial sangat. Lepas tu pantang nampak lelaki handsome, mulalah nak menggedik. Tukar lelaki macam tukar baju. Tak tahulah bila nak berubah.” Adeeba menggeleng kepala.
“Habis tu sekarang Deeba rapat dengan siapa?” Dulu ada juga Adeeba bercerita tentang kawan-kawannya. Tak ketinggalan juga rungutan gadis itu terhadap sikap Sofi yang sering membuat sepah di bilik sehingga dia terpaksa mengemasnya semula. Sejak masuk tahun kedua, gadis itu sudah jarang bercerita tentang kawan-kawannya kepada Qhafi.
Hati Adeeba berdebar apabila Qhafi bertanya tentang itu. “Erk... Deeba rapat dengan roommates baharu. Dua-dua budak junior.” Hanya itu saja yang dia jawab.
“Dia orang okey? Tak ada sepah-sepahkan bilik?”
“Dia orang okey sangat. Baik dengan Deeba. Bilik pun sentiasa bersih dan kemas. Best je mata ni tengok. Tak adalah nampak macam tongkang pecah. Kita orang bertiga ni dah macam adik-beradik tau. Pergi mana-mana mesti nak bersama. Makan pun kadang-kadang berkongsi. Yang sorang tu kan, muka dia macam muka K...” Adeeba terhenti apabila mulutnya hampir terlepas cakap. Semuanya gara-gara teruja sangat bercerita tentang Rania dan Adira.
“Macam muka siapa?” Qhafi masih menanti.
Erk...” Lidah Adeeba kelu untuk menjawab. Betullah kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata... aku yang karam! Adess, nak goreng apa ni? Fikir, Deeba... fikir!
“Macam muka siapa?” sergah Qhafi sambil memandang sekilas ke wajah Adeeba.
“Macam muka Kim Tae Hee!” jawab Adeeba pantas. Ah, bantai jelah labu, dah muka pelakon tu tiba-tiba muncul kat kepala aku ni.
Qhafi menggeleng kepala. “Deeba... Deeba... tak habis-habis bandingkan muka orang lain dengan muka pelakon. Dulu kata muka mak cik cleaner kat kolej macam muka Noryati Taib la, muka pensyarah macam muka Johnny Depp la, itulah, inilah. Macam-macam...”
Adeeba tersenyum lega. Fuh! Nasib baik pandai cover.
“Okey, kita dah sampai. Jom...” ajak Qhafi sebaik saja memarkirkan keretanya di hadapan Syed Bistro.
“Kenapa susah sangat nak jumpa Deeba sekarang?” tanya Qhafi sebaik saja pelayan meletakkan makanan yang dipesan.
“Bukan minggu lepas pun kita jumpa ke? Adalah dalam tiga kali jugak kan kita jumpa?” Adeeba menyedut air tembikai.
“Bukan tu maksud abang... Deeba macam tak nak abang jemput kat kolej. Bila abang nak ambil kat kolej, Deeba cakap tak payah, nak drive sendiri.” Dia mengulang ayat Adeeba. “Macam tak sudi nak naik kereta dengan abang je. Ke Deeba ada sorokkan sesuatu dari abang?” Qhafi menjungkit sebelah kening.
Adess, macam mana Abang Qhaf boleh perasan ni? “Mana ada Deeba sorokkan sesuatu dari abang. Deeba cuma tak nak menyusahkan Abang Qhaf je. Nanti Abang Qhaf penat pulak kena ulang-alik ambil dan hantar Deeba.” Dia memberi alasan. Sebenarnya dia takut Qhafi terserempak dengan Rania jika lelaki itu sering singgah ke kolejnya.
“Abang okey je kena ulang-alik, tak rasa susah pun.” Qhafi menyuap roti canai banjir ke mulut.
“Nanti senanglah Sofi nak menggedik dekat abang, kan?” Adeeba mengecilkan matanya. Sengaja dia berkata begitu mahu menghilangkan syak wasangka Qhafi terhadapnya.
“Ada pulak macam tu. Deeba ni tak habis-habis dengan cemburu. Abang datang kolej nak jumpa Deeba, bukan Sofi. Kalau dia nak menggedik dekat abang pun dia punya pasallah. Abang takkan layan.” Qhafi menyisip air mango lassi. “Okeylah, kalau Deeba tak nak abang datang kolej abang takkan datang dah. Kalau nak jumpa, masing-masing drive sendiri.” Dia mengalah.
Adeeba diam. Cadangan Qhafi membuatkan dia lega. Tapi sampai bila aku nak buat macam ni? Lambat laun Abang Qhaf mesti terserempak jugak dengan Kak Ran. Kalau tak dekat kolej, mungkin dekat tempat lain. KL ni bukannya besar sangat, pusing punya pusing, jumpa jugak, gumam hatinya. “Tak apalah, abang boleh jemput Deeba dekat kolej tapi make sure abang call dulu sebelum datang. Jangan macam tadi, dah sampai baru nak call. Nasib baik tadi Deeba on the way nak balik kolej. Buatnya Deeba ada dekat luar dengan kawan, buat penat je abang datang.” Dia menyudu nasi goreng ayam ke mulut.
“Alah, kalau Deeba keluar dengan kawan-kawan, abang datanglah sana. Nak jugak kenal dengan kawan-kawan baharu Deeba tu.”
Adeeba tersedak. Pantas dia menyisip air menghilangkan nasi yang rasa tersekat. Tak dapat dia bayangkan andai apa yang lelaki itu katakan tadi benar-benar berlaku. Terasa sesak kepalanya memikirkan hal itu.
“Abang gurau jelah. Tu pun nak tersedak. Ni mesti takut kawan-kawan Deeba jatuh hati kat abang, kan?” serkap Qhafi. “Yalah, abang ni kan handsome!” Qhafi menegakkan kolar baju kemeja putihnya yang sudah ditanggalkan tali leher.
Adeeba sudah mengeluh lega.
“Macho...” Qhafi mencuit hidungnya pula. “Dan yang paling penting, renungan abang nampak romantik, kan?” Dia menjungkit keningnya berkali-kali.
“Eee... perasanlah, Abang Qhaf ni!” Adeeba menceber. “Siapa yang cakap renungan mata abang nampak romantik? Habaq mai sat, nak check sikit mata dia tu okey ke tak.” Air disisip lagi.
“Orang yang kat depan abang nilah yang cakap macam tu...” Kening Qhafi dijungkit berkali-kali.
Uhuh! Uhuk! Adeeba tersedak lagi. Dia mencapai tisu dan mengelap mulutnya. “Bila masa Deeba cakap?” Dia berpura-pura tak ingat.
“Ada dulu...” Qhafi senyum nakal.
“Okey, Deeba tarik balik kata-kata Deeba tu. Pandangan mata Abang Qhaf bukan nampak romantik tapi...” Adeeba menongkat dagu menilik wajah Qhafi. Dahinya dikerut-kerutkan seolah-olah sedang berfikir.
Qhafi turut menongkat dagu dan sengaja menghadiahkan renungan romantik buat tatapan Adeeba.
“... macam muka orang orang gatal je Deeba tengok!” sambung Adeeba sambil ketawa.
Mencerun mata Qhafi. “Ada pulak cakap renungan mata abang macam muka orang gatal. Kecik hati abang ni tau.” Dia mengacau-ngacau air mango lassi di dalam gelas.
“Tak payah nak kecik-kecik hati sangatlah. Nanti bertambah kecik mata abang tu. Tulah, siapa suruh perasan sangat. Kan dah kena! Hahaha...” Adeeba ketawa lagi.
Qhafi menceber. “Nasib baik bukan mahram, kalau tak abang tarik mulut Deeba tu, biar dah tak boleh nak ketawa lagi,” ujar Qhafi geram.
“Okey, Deeba dah tak gelak,” ujar Adeeba. Namun bibirnya masih menguntum senyuman. “Tak naklah masyam-masyam lagi, senyumlah sikit. Nanti dah tak nampak handsome muka abang. Bila dah tak nampak handsome, renungan mata pun dah tak nampak romantik,” pujuknya. Ketawanya yang ingin meledak cuba ditahan. Pertama kali dia dapat melihat wajah merajuk Qhafi.
Qhafi tersenyum sesaat.

AZFAREL mengeluarkan telefon pintar dari poket seluar pendek paras lututnya. Dia mengeluh apabila telefon pintar itu masih sunyi daripada sebarang SMS mahupun panggilan. Sudah seminggu dia menanti SMS daripada Rania namun gadis itu masih menyepi. Mahu berjumpa gadis itu di Universiti Malaya, dia takut disalahertikan pula. Dia bukannya nak sangat duit daripada Rania tapi dia hanya mahu mengenali gadis itu dengan lebih dekat. Hatinya kian hari kian resah menanti.
            Sekali lagi dia mengeluarkan telefon pintarnya. Bateri dibuka dan dipasang semula mahu melihat sama ada telefon itu berfungsi dengan baik atau tak. Rancangan di televisyen yang ditonton bersama keluarganya sudah tak dihiraukan lagi. Fikri yang sedari tadi asyik menjeling ke arahnya juga tak dipedulikan.
            “Kalau dia tak call, Farel call jellah dia. Mana tau dia busy ke...” Fikri bersuara.
            Azfarel pantas menyimpan kembali telefon pintarnya.
            “Kenapa?” tanya Najiha.
            “Farel ni macam tengah tunggu panggilan seseorang. Dari tadi nampak resah je,” beritahu Faried.
            Najiha yang turut duduk di sofa berangkai tiga itu terus menoleh ke arah Azfarel yang duduk di sebelah suaminya. Matanya dikecilkan sengaja mahu mengusik.
            “Farel tengah tunggu Rizal calllah.” Pantas Azfarel menjawab.
            “Kalau tunggu Rizal call takkan resah sampai cabut bateri handphone tu?” Fikri mengerut dahi.
Azfarel tergamam. Ketara sangat ke muka aku?
“Farel tengah tunggu perempuan call eh?” serkap Najiha sambil tersenyum mengusik.
“Siapa tunggu perempuan call?” tanya Mazni. Wajah anak dan menantunya yang duduk di sofa berangkai tiga dipandang satu per satu.
“Farel ni, mummy... dia dah ada buah hatilah tu, asyik resah semacam je. Makan tadi pun macam tak lalu.”
Terbuntang mata Azfarel mendengar kata-kata kakaknya.
“Betul ke Farel dah ada buah hati? Siapa nama dia? Orang mana? Bila nak bawak jumpa mummy?
Azfarel sudah memicit kepala. Pening dengan soalan bertubi-tubi Mazni. “Mummy jangan percaya dengan apa yang Kak Jiha cakap tu. Farel mana ada buah hati lagi. Kalau ada dah lama Farel bawak jumpa mummy. Farel betul tengah tunggu Rizal call ni. Dia janji nak call lepas isteri dia selamat bersalin. Farel tak sabar nak tahu dia dapat anak lelaki ke perempuan...” bohongnya.
Aik? isteri orang lain yang nak bersalin, kamu pulak yang tak sabar? Macam isteri kamu pulak yang nak bersalin.” Azmir menggeleng kepala.
Azfarel tersengih mendengar kata-kata daddynya.
“Daripada kamu risaukan isteri kawan kamu tu, ada baiknya kamu cari bakal menantu untuk mummy ni!” kata Mazni.
Azfarel sudah tak tahu mahu menjawab apa. Telefon pintarnya yang bergetar telah menyelamatkan dirinya. Dia menarik keluar telefon pintar itu dari poket seluar. Hatinya berbunga apabila melihat nombor yang tak dikenali tertera di skrin. Dia pasti itu Rania. “Farel naik bilik dululah, Rizal dah call ni.” Dia menapak ke tangga. Sebaik tangannya menyentuh ikon hijau, dia melekapkan telefon pintar ke telinga. Sengaja dia diam mahu mendengar suara di hujung talian.
“Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam... Ran ke?” tanya Azfarel mahu memastikan yang tekaannya tepat.
“Ya, saya Ran. Sorry dah seminggu baru saya nak contact awak. Lately ni busy sikit,” ujar Rania.
“Tak apa, saya faham.” Azfarel menegakkan bantal di kepala katil lantas menyandarkan badannya.
“Saya nak tanya pasal handphone yang awak bagi kat saya minggu lepas. Berapa yang saya kena bayar?” Rania terus ke topik asal.
Azfarel mengeluh apabila soal telefon pintar dibangkitkan. “Ran, sebenarnya saya tak nak awak bayar handphone tu. Saya ikhlas nak ganti balik handphone awak yang dah rosak tu.”
“Tapi... saya ikhlas nak bayar balik. Saya tak suka terhutang budi. Lagi-lagi dengan orang yang saya tak kenal,” ujar Rania di hujung talian.
Azfarel menggaru kepala yang tak gatal. “Erm... macam ni jelah Ran... kalau awak nak bayar sangat awak bayar separuh je,” putusnya. Dia sudah tak tahu bagaimana lagi mahu memujuk gadis itu agar menerima saja pemberiannya.
“Kenapa pulak kena bayar separuh?”
“Sebab handphone tu secondhand!”                                                     
“Tipulah. Handphone ni nampak baru, takkanlah secondhand!” kata Rania seakan-akan tak percaya.
“Memang saya beli yang baru tapi bila sampai kat tangan awak jadilah secondhand sebab awak orang kedua yang pegang handphone tu,” jelas Azfarel. “So, kalau awak nak bayar, awak bayar separuh je kalau tak saya tak nak ambil duit awak,” sambungnya lagi.
Rania senyap di hujung talian. Mungkin sedang berfikir tentang penjelasan Azfarel tadi. Erm... okeylah. Awak bagitahu berapa yang saya kena bayar dan bagi account number.
“Saya tak nak bagi account number dan saya tak nak awak bank in.
“Habis tu macam mana saya nak bayar?” Sedikit meninggi suara Rania.
“Saya nak kita keluar makan esok dan awak boleh bayar time tu.” Azfarel menarik bantal peluk lantas diletakkan ke ribanya. Dalam diam dia cuba membuat temu janji dengan Rania.
“Okeylah, berapa yang saya kena bayar dan dekat mana kita nak jumpa?”
“Awak bayar dalam lima ratus ringgit je.
“Kenapa lima ratus? Saya rasa harga handphone ni mahal.”
 “Tak apa, kita kan kawan? Saya kira murah je. Lagipun awak belajar lagi. Banyak nak pakai duit.” Azfarel menukar telefon pintarnya ke telinga sebelah kiri.
“Kalau macam tu saya bayar lapan ratus.”
“Eh, banyak sangat tu. Lima ratus jelah.”                                                                             
“Apa pulak banyak, sepatutnya lebih lagi saya kena bayar tau sebab banyak duit awak yang keluar untuk beli handphone ni,” balas Rania yang tak puas hati dengan tawaran harga.
“Tak apa, lima ratus je. Saya dah kerja, awak tu belajar lagi. Nanti tak cukup pulak duit untuk belanja.” 
“Pasal tu awak tak payah risau, saya ada simpanan. Saya bayar lapan ratus, okey?”
“Lima ratus...”
“Lapan...”
“Lima...” Azfarel masih tak mahu mengalah.
“Lapan... kalau awak tak setuju jugak, nanti saya bagi handphone ni dekat kakak awak dan suruh dia pulangkan kat awak.”
“Okey... okey... lapan.” Azfarel mengalah. Kang kalau tak mengalah, langsung tak dapat jumpa dia. “Awak tinggal kat kolej berapa?”
“Tak apa, biar saya pergi sendiri. Dekat mana kita nak jumpa?” 
“Kalau macam tu awak tetapkan tempat. Saya ikut je,” putus Azfarel.
Erm... kita jumpa dekat The Chicken Rice Shope Bangsar South la. Dekat sikit.”

“Okey, see you tomorrow at 2 PM.” Sebaik saja mematikan talian, Azfarel berguling-guling di atas katil. Dia tak sabar mahu berjumpa dengan Rania esok.

~BERSAMBUNG~

p/s: Sori kalau ada yang kecewa sikit dengan entri ni... Belum masanya lagi Rania jumpa dengan Qhafi...

21 comments:

  1. lama lg kah..nak jumpa ni???

    ReplyDelete
  2. Rania ni kembar manda....kenapa deeba x suka qhafi jumpa rania? Confuse sikit....

    ReplyDelete
    Replies
    1. deeba bukan xsuka qhafi jumpa rania tp dia xnk rania rasa dipergunakan sekali lagi. Setahu adeeba adik-beradik qhafi ni cuma 3 orang je... Dia xrasa rania ni de kaitan dengan manda sebab dalam dunia ni de 7 orang muka yang seiras...
      thnx eh kak coz sudi komen n sori sebab buat akak konpius n_n

      Delete
  3. pendeknyr..ngee~~~ :D yana

    ReplyDelete
    Replies
    1. pendek ke??? utk bab yg ni WC buat 11 page...

      Delete
  4. cam ner ek kalu azfarel dh tangkap cintan habis ngan rania...kalu kena reject..cian gak kat azfarel...hati rania akn di miliki olih sape lh kn?

    ReplyDelete
    Replies
    1. tu la kak... kesian kt dia kalo kene reject...

      Delete
  5. Alaaaa bila rania nk bercinta ngn thaqif ni? Hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak Rania dgn Thakif ke? dgn Farel xnk? hahaha

      Delete
    2. Takmo la farel...nk ranks ngn thakif...hehe

      Delete
    3. Kite tengok dulu macam mane eh...
      hahaha...

      Delete
  6. dah baca balik dari n3 1 smpai yg ni.. tak bosan pun walau dah pernah baca.. hehehe.. hari ni ada n3 baru lagi tak?? adakan lah yer.. hehehe.. rindu nan thakif...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thnx sudi baca dari mula balik...
      malam ni xde n3... mungkin malam esok WC update...
      bab 20 nanti de pasal thakif =)

      Delete
    2. xpa.. sy stia mnanti.. hehe :)

      Delete
    3. hmm, skrg dah pun mlam.. jam brapakah gerangannya akn ada n3 bru??

      Delete
    4. Sori lmbat update bab 20... kejap je lagi WC update eh... penat p pesta buku 1 Malaysia td blom hilang lagi... thnx sudi tunggu =)

      Delete
  7. best! Ingatkan Rania akan jumpa dengan Qhafi dalam bab ni. hehehe... apapun tetap best. Romantiklah Deeba dengan Qhafi. suka baca.

    Dan tak sabar nak tengok Thakif dan Rania. dah rindu. hehe.
    Terima kasih kak WC :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha memang xjumpe lagi...
      bab 20 nnti de thakif, rania n azfarel =)

      Delete
  8. wah farel pun berkenan dgn si ran ni. sy suka....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ha ah Farel pon berkenan kat dia... terima kasih sebab sudi bace cerita ni =)

      Delete