Followers

Sunday, 17 February 2013

Separuh Hati Untukmu 22



THAKIF memandang ke sekitar lobi melihat para pekerja menjalankan tugas masing-masing. Apabila berpuas hati, dia melangkah ke tangga untuk turun ke bahagian bawah. Ketika hampir sampai di tangga bawah, dia terdengar seorang pekerja perempuan merungutkan sesuatu sambil menolak troli menuju ke bilik dobi. Dia mengekori pekerjanya itu dari belakang. Sampai di hadapan pintu bilik dobi, dia berdiri di sebalik dinding dan melihat ke dalam bilik itu yang hanya ada seorang pekerja di bahagian dobi dan pekerja yang merungut tadi.
            “Kenapa ni?” tanya Didi.
            “Guest kat bilik 502 tulah... cerewet sangat! Dia ingat saya ni tak ada kerja lain agaknya sampai suruh mandikan anak lelaki dia. Nasib baik anak dia tu baru 3 tahun. Kalau anak dia tu umur 10 tahun, tak sanggup saya nak mandikan. Silap-silap boleh pengsan kot kat situ!” jawab Aida sambil memunggah baju-baju yang perlu dicuci dari dalam troli.
            “Alah biasalah tu. Kau baru dua minggu kerja kat sini. Nanti lama-lama biasalah. Bermacam-macam ragam orang yang kau akan jumpa nanti.” Didi memasukkan cadar-cadar yang kotor ke dalam mesin basuh.
            Thakif masuk sedikit ke dalam bilik dobi dan bersandar pada pintu. Matanya masih memandang kedua-dua pekerja yang membelakanginya.
            Aida duduk di kerusi. “Lepas saya dah siap kemas bilik, dia boleh cakap yang kerja saya ni tak memuaskan. Dia colek meja lampu dengan jari, lepas tu dia kata ada habuk. Bila saya pergi dekat meja lampu tu dan colek sikit dengan jari, tak ada satu habuk pun. Bersih lagi berkilat adalah! Nak tak nak terpaksalah saya lap meja lampu tu balik. Yang paling buat saya rasa tak tahan nak marah, dia campak baju dia dekat muka saya ni!”Jari telunjuk Aida bawa ke mukanya.
            Didi sudah menggeleng kepala. Kalau dia berada di tempat Aida, dia juga tak dapat menahan geram dengan perangai pelanggan yang cerewet itu.
            “Dia suruh saya gosok balik baju dia. Saya tengok sikit je pun kedutnya tapi dia suruh gosok jugak sampai tak nampak kedut. Kalau tak nak nampak kedut, gosok sendirilah!” Aida menalakan matanya pada blouse yang disangkut pada penyangkut ketika dia baru masuk ke bilik dobi itu tadi.
            Didi memusingkan badannya menghadap Aida. Dia tergamam seketika apabila melihat Thakif bersandar di muka pintu. “Erk... Encik Kif...”
            Mendengar nama itu keluar dari mulut Didi, Aida pantas bangun dan berpaling. Kemudian dia menunduk. Matilah aku! Mesti Encik Kif nak marah aku sebab curi tulang ni. Dia gelisah apabila melihat Thakif menghampirinya.
            “Awak baru lagi kerja dekat sini, kan?” tanya Thakif walaupun dia sudah mendengar dari mulut Didi tadi.
            Perlahan-lahan Aida mengangkat muka dan mengangguk. “Baru dua minggu, encik...”
            “Hmmm... baru lagi tu. Saya harap awak dapat bersabar dengan kerenah guest dekat sini. Tak semua guest yang cerewet macam tu. Ada jugak yang bertimbang rasa. Awak ikut je apa yang dia orang suruh. Yang penting awak tahu  awak bekerja untuk mencari duit dan kerja yang awak buat ni halal.”
            Aida mengangguk mendengar nasihat Thakif.
            “Pasal guest suruh awak mandikan anak dia tu... awak anggap je awak tengah praktis mandikan anak sendiri. Nanti bila awak dah ada anak tak adalah kekok nak mandikan anak,” sambung Thakif lagi sambil tersenyum.
            Didi sudah ketawa.
            Wajah Aida pula sudah memerah. “Encik Kif ni, saya baru 18 tahun kot... tak terfikir nak kahwin lagi.” Dia menggaru kepalanya yang tak gatal.
            “Encik Thakif... Encik Thakif...”
            Baru saja Thakif mahu menyambung kata, walkie talkie di tangannya berbunyi. Dia menekan handfree yang tersangkut di telinganya. “Ya, ada apa?”
            “Boleh tak encik datang kat bilik 704? Ada problem sikit ni.” Suara Khalid, ketua bahagian pembersih bilik kedengaran cemas.
            “Okey, saya datang sekarang.” Thakif memandang Didi dan Aida. “Didi, awak gosok baju guest tadi dulu. Kalau lambat takut dia bising pulak.
            “Baik, Encik Kif.” Didi melangkah ke papan penggosok dan menghidupkan seterika.
            “Awak, Aida... buat kerja awak dan ingat apa yang saya kata tadi. Apa yang penting, awak perlu pandai kawal emosi dan banyakkan bersabar. Customer is always right although they are wrong.
            Aida mengangguk. Kalau semuanya customer is always right, silap hari bulan boleh meletup hati aku ni! desisnya dalam hati.
            Thakif keluar dari bilik dobi dan melangkah ke lif. Sampai saja di tingkat 7, dia menapak ke bilik 704. Dari luar bilik sudah terdengar suara nyaring pelanggan di bilik itu memarahi seseorang.
“Kenapa ni, Khalid?” tanya Thakif. Dia memandang pelanggan wanita berumur dalam pertengahan 30-an yang sedang merenung tajam ke wajah pembersih bilik yang sedang menundukkan kepala.
            “You pengurus besar hotel ni ke?” tanya wanita itu dengan wajah bengis.
            “Ya, saya Thakif. Ada apa-apa masalah ke, Datin?” Thakif menayang wajah tenang.
            “Pekerja you ni dah curi cincin I. You tahu tak, mahal tau I beli cincin tu. Senang-senang je perempuan ni nak ambil!” Mata Datin Zalina kembali merenung tajam ke wajah Azza.
            Azza mengangkat muka memandang Thakif. “Saya tak curi pun, Encik Kif!” Air mata yang mengalir di pipinya dibiarkan.
            Makin mencerun mata Datin Zalina mendengar kata-kata Azza. “Tak curi you kata? Habis kat jari you tu apa? Cincin mainan?” Dia menarik kasar jemari kiri Azza.
            Thakif turut memandang cincin berlian yang tersarung di jari manis Azza. Dia bertenang. Dia tak boleh terburu-buru membuat keputusan.
            “Se... sebenarnya... sa... saya...” Tergagap-gagap Azza bersuara.
            “Saya apa?! Cakap jelah yang you memang ada niat nak curi cincin I tu!” tengking Datin Zalina.
            “Sabar, yang... jangan marah-marah macam ni.” Datuk Jalani menggosok perlahan bahu isterinya.
            “Saya tak boleh bersabar, bang! Abang kan tahu saya tak suka ada orang usik barang saya?!” Makin meninggi suara Datin Zalina.
            “Azza, kalau awak bukan pencuri seperti yang awak cakap tadi, lebih baik awak berterus-terang sekarang. Kalau awak takut-takut macam ni, saya tak boleh nak selesaikan masalah ni!” Thakif bertegas. Bingit telinganya mendengar jeritan Datin itu.
            “Saya dapat arahan untuk bersihkan bilik ni. Masa saya kemas katil,  saya terjumpa cincin ni dekat bawah katil. Saya tak ada niat pun nak mencuri. Saya cuma nak pakai sekejap je sebelum letakkan balik dekat meja lampu. Bila saya nak tanggalkan, cincin ni tak boleh tanggal. Saya cuba tanggalkan lagi tapi masih tak boleh.” Azza menunjukkan jarinya kepada Thakif. “Bila Datuk dan Datin balik ke bilik, Datin terus tuduh saya curi cincin ni bila Datin nampak cincin ni kat jari saya,” ceritanya sayu. “Saya minta maaf, Encik Kif... saya memang tak ada niat pun nak mencuri.” Dia menundukkan wajahnya.
            Thakif mengeluh lemah dan memejam matanya seketika. Dia kecewa mendengar penjelasan Azza. Pekerjanya itu tak sepatutnya memakai barang milik pelanggan sesuka hati walaupun niat ingin mencuba itu terlalu kuat.
            “You ingat I nak percaya ke dengan cerita rekaan you tu? Entah-entah you takut kena tangkap sebab tu you reka cerita macam tu. Nak bagi orang kesian kat you la kononnya!” cemuh Datin Zalina.
            “Datin, saya percaya dengan cerita pekerja saya. Saya tak rasa pun dia reka cerita.” Thakif memandang Datin Zalina.
            Azza mengangkat muka, terharu dengan kepercayaan Thakif.
What?!” Datin Zalina tak puas hati. “Semudah itu je you percaya? You ni memang bodoh betullah! Tak ada orang yang sekadar nak tengok je kalau jumpa benda mahal kat depan mata! Nak-nak lagi pembersih bilik yang miskin macam dia ni.”
            Thakif menenangkan hatinya. “Datin tengok jari dia ni.” Thakif mencapai tangan kiri Azza lantas ditunjukkan kepada Datin Zalina. “Cuba Datin tengok jari dia. Merah, kan?” Dia memandang Datin Zalina yang sudah menceber. “Ini menunjukkan dia dah berusaha nak tanggalkan cincin ni tapi tak boleh.” Dia menarik nafas seketika. “Bersaksikan Datuk dan Khalid, saya akan cuba tanggalkan cincin ni untuk puaskan hati Datin.” Dia cuba menanggalkan cincin di jari Azza namun cincin itu tersarung ketat. “See... semua dah tengok sendiri kan yang cincin ni tak boleh tanggal?”
            Datin Zalina diam, tak tahu mahu membalas apa lagi.
            “Macam nilah, Datin... sebaik saja cincin ni berjaya ditanggalkan, saya akan pulangkan balik pada Datin,” putus Thakif.
            “Tak payah! I tak suka cincin yang dah jadi bekas orang!” Datin Zalina memalingkan wajah ke arah lain. Benci mahu melihat wajah Azza.
            “Kalau macam tu, saya akan bayar balik harga cincin ni,” ujar Thakif.
            Datin Zalina memandang Thakif. “Okey, I anggap kes ni selesai! You all boleh keluar, I nak berehat,” halaunya. “And you...” Jari telunjuk dituding  ke wajah Azza. “I tak nak you kemas bilik I lagi!”
            Thakif, Azza dan Khalid melangkah keluar dari bilik itu.
            “Encik Kif, terima kasih sebab percayakan saya. Pasal duit cincin, encik boleh potong gaji saya,” ucap Azza ketika berada di hadapan lif.
            “Saya percayakan awak sebab saya tahu awak tak mungkin mencuri. Kalau awak ada niat nak mencuri, dari dulu lagi awak dah buat. Pasal duit cincin tu awak tak payah risau, saya tak akan tolak gaji awak. Saya tahu awak nak pakai banyak duit untuk sara anak-anak awak.” Thakif melangkah ke perut lif apabila lif untuk ke tingkat atas sudah terbuka. “Lain kali jangan buat macam tadi lagi. Kalau terjumpa cincin atau apa barang sekalipun, awak letak kat tempat yang sepatutnya. Kali ni saya boleh maafkan kesalahan awak tu. kalau berlaku lagi, saya terpaksa ambil tindakan!” pesannya tegas kepada balu beranak tiga itu sebelum menekan butang tutup.

RANIA yang sedang mencuci muka menoleh apabila melihat Sofi dan Imanina melangkah masuk ke bilik air. Dia memandang wajahnya ke cermin semula dan menggosok mukanya yang berbuih.
            Imanina menyiku Sofi dan mengajak gadis itu berdiri di sinki berhampiran Rania. Pintu masuk bilik air ditutup rapat. Kemudian dia memandang ke setiap pintu tandas dan bilik mandi. Kesemua pintu tersebut terbuka menandakan hanya mereka bertiga saja yang berada di dalam bilik air itu. Dia tersenyum sinis memandang Rania yang masih menggosok muka.
            Dari cermin sinki, Rania dapat melihat Sofi dan Imanina memandangnya. Dia orang ni nak mandi pergilah mandi, sibuk je nak jadi model bilik air!
            “Sofi, kau nak tahu tak...  papa dengan mama aku nak hadiahkan kereta baharu sempena birthday aku nanti tau!” Imanina memintal-mintal rambutnya. Sengaja mahu berlagak di depan Rania. Dia mahu gadis itu sedar yang Rania tak setanding dirinya yang merupakan anak orang senang.
            “Wow, bestnya!” Sofi mengalihkan pandangan ke wajah Imanina. “Aku pun nak suruh papa aku belikan kereta baharulah!”
            “Kita ni bertuah dilahirkan dari keluarga yang berada kan, Sofi? Apa yang kita nak semuanya dapat. Tak macam orang tu, asyik menumpang kereta orang je. Nak beli kereta sendiri pun tak mampu...” Imanina menceber.
            Rania tayang muka kayu. Sikit pun dia tak terasa dengan sindiran Sofi dan Imanina. Dia memicit sedikit ubat gigi lantas menggosok giginya.
            “Kalau beli kereta mainan tu mampulah kot! Hahaha...” Sofi ketawa diikuti Imanina.
            Imanina geram apabila melihat Rania tak memberi apa-apa reaksi. “Tengoklah tu, pencuci muka pun pakai yang murah. Nampak sangat dia tak mampu nak pakai macam kita ni.” Sekali lagi dia mahu menyakitkan hati Rania.
            “Jangan kata pencuci muka, barang mekap pun dia tak mampu nak beli. Tengoklah, setiap kali pergi kuliah, muka tak bermekap langsung!” Sofi memeluk tubuh.
            “Aku pakai pencuci murah sebab kulit aku sesuai dengan pencuci ni. Aku sedar aku tak sekaya kau orang dan aku tak nak menyusahkan mak bapak aku semata-mata nak penuhi keinginan sendiri. Aku tak beli barang mekap bukan sebab aku tak mampu tapi aku lebih suka muka aku nampak natural daripada bermuka plastik macam kau orang! Dahlah mekap berinci tebal macam Pontianak Harum Sundal Malam, ingat cantik sangatlah tu!” Tersembur-sembur buih ubat gigi dari mulut Rania.
            Sofi dan Imanina mengetap gigi. Kedua-duanya menjeling tajam ke arah Rania yang sedang berkumur.
            “Tak payah nak jeling-jeling sangatlah! Dari mata tu elok centre, terus jadi juling baru tahu!” Rania mengelap mukanya yang basah dengan tuala kecil.
            “Sofi, kau pergi tadah air dalam baldi.” Imanina berbisik perlahan namun dapat didengar oleh Rania yang sengaja mengirai-ngirai rambutnya.
            “Kau nak buat apa?” tanya Sofi pelik.
            “Nak siram perempuan tak sedar diri ni. Cepatlah sebelum dia keluar! Tak payah penuh sangat,” bisik Imanina lagi.
            Rania tersenyum sinis. Ingat aku takut sangatlah kau nak siram aku? Huh! Rania menjeling baldi yang baru suku diisi melalui cermin. Dia sudah membuka langkah. Sebelum dirinya disimbah, lebih baik dia keluar.
            “Cepatlah!” Imanina memanggil Sofi. Dia tak mahu Rania terlepas. Hanya ini saja caranya untuk dia membalas dendam pada Rania. Rasa sakit hatinya apabila melihat Thakif memberi red velvet cupcakes kepada gadis itu dulu pun masih belum hilang.
            Rania yang sudah sampai di pintu berpaling ke belakang. Dia lihat Sofi sudah bersedia untuk menyimbahnya. Sebelum sempat air itu terkena padanya, dia pantas memulas tombol dan menyorok di belakang pintu. “Phewww!” Dia mengeluh lega apabila air yang disiram oleh Sofi tersasar ke luar pintu.
            “Apa ni?!”
            Rania menjengukkan kepalanya sedikit apabila terdengar suara orang menjerit. Melopong mulutnya apabila melihat Latifah, tukang masak yang menguruskan Dewan Makan merangkap orang yang selalu memeriksa bilik air sudah basah lencun! Dia mengalihkan pandangan pada Sofi dan Imanina yang sudah tergamam. Wajah kedua-duanya sudah berubah pucat. Baldi di tangan Sofi sudah terbaring ke lantai.
            “Saya akan report kat penyelia yang bertugas minggu ni!” Latifah bersuara geram dan mahu berlalu dari situ.
            Pelajar-pelajar lain sudah mula mengintai ke bilik air.
            “Erk... Mak Cik DM, sorrylah... kami tak sengaja...” Imanina dan Sofi berkata serentak. Kedua-duanya menahan Latifah daripada berlalu.
            “Apa? Mak Cik DM? Nama saya Latifah, panggil saya Kak Tipah! Saya belum kahwin tau,” marah wanita awal 40-an itu. “Mentang-mentang saya tukang masak dekat sini, suka hati kamu je gelar saya Mak Cik DM ya?!” Mencerun matanya memandang Imanina dan Sofi yang sudah terkulat-kulat apabila dimarahi sebegitu.
            “Kak Tipah tak payah report kat penyelia eh? Benda kecik je ni,” pujuk Sofi. Dia tak sanggup mahu berdepan dengan penyelia yang berwajah garang itu. Mahu membayangkan wajahnya pun dia sudah berasa seram sejuk.
            Latifah sudah menyinga. “Benda kecik kamu kata?! Cuba kalau kamu yang kena siram. Mesti kamu marah, kan?”
            “Please, Kak Tipah... kesianlah kat kita orang. Sebenarnya kita orang bukan nak siram Kak Tipah.” Imanina memaling muka memandang Rania yang masih menjengukkan kepala seperti kura-kura.
            “Dekat saya awak tak kesian pulak?! Saya tak kira, awak sengaja ke tak sengaja ke... saya tetap akan report kat penyelia!” Latifah mahu berlalu tapi sekali lagi dia ditahan.
            “Kak Tipah, please... kita settle kat sini jelah... kami sanggup buat apa saja yang Kak Tipah nak.”
            Imanina mengangguk bersetuju dengan kata-kata Sofi.
            Latifah diam seketika. “Betul ni sanggup buat apa je?
            Imanina dan Sofi mengangguk serentak. Kedua-duanya mengeluh lega apabila Latifah sudi menyelesaikan kes itu di situ.
            “Saya nak awak cuci bilik air ni!”
            “What?!” Imanina dan Sofi menjerit serentak. Kedua-duanya bagaikan tak percaya mendengar apa yang disuruh oleh Latifah.
            “Cuci bilik airlah. Cuci! C.U.C.I.” Rania menyampuk sambil melemparkan senyuman mengejek.
            “Shut up!” tengking Imanina dan Sofi sambil menjeling tajam pada Rania
            Rania mengangkat kedua-dua belah bahunya.
            “Tak naklah cuci bilik air, Kak Tipah... esok cleaner cucilah bilik air ni.” Imanina membantah.
            “Apa kata kalau kita orang bagi Kak Tipah duit? Cakap je berapa Kak Tipah nak. RM300? RM500? RM1000? Name it, kita orang boleh bagi...” Sofi menawar.
            “Duit eh?” Latifah terdiam sekejap.
            Imanina dan Sofi sudah tersenyum. Bukan susah pun mahu mencairkan hati wanita di depan mereka ini. Sebut saja pasal duit, terus cair!
            “Awak berdua jangan pandai-pandai nak merasuah saya ya?” Latifah menjegilkan matanya kembali.
            Hilang terus senyuman di bibir Imanina dan Sofi.
            “Saya denda cuci bilik air ni pun dah cukup baik tau. Kalau awak berdua tak nak buat tak apa, saya report kat penyelia!”
            “Alah... jatuhlah standart kami, Kak Tipah... dahlah mama dan papa kami orang berada, malulah kalau orang lain tengok anak orang berada macam kami ni cuci bilik air!” Sofi menayangkan muka jijik melihat ke dalam bilik air.
            “Saya tak kisah kamu berdua anak orang berada ke apa... denda tetap denda! Cepat cuci. Tadi kata nak settle kat sini!” arah Latifah tegas.
            “Takkan kami berdua je? Dia pun patut kena denda jugak tau, kak!” Imanina menuding jari ke arah Rania.
            Latifah memandang Rania yang terpinga-pinga. “Dia tak ada kena-mengena dalam hal ni. Yang simbah saya tadi awak berdua, bukan dia. Saya kira sampai tiga. Satu...”
            Imanina dan Sofi masih tak berganjak.
            “Dua... ti...”
            “Okey, kami cuci!” Sofia dan Imanina menjawab serentak. Kedua-duanya melangkah masuk ke dalam bilik air. Sempat mereka melanggar bahu Rania yang sudah keluar dari belakang pintu.
            “Mak Cik Iman, Mak Cik Sofi... cuci bersih-bersih tau. Bagi berkilat sikit,” sindir Rania. Dia mendapatkan Adeeba dan Adira yang turut menjadi penonton.

“ABANG KIF nak dengar cerita tak?” tanya Adeeba yang sedang duduk bersantai di gazebo bersama Thakif.
            “Cerita apa? Pasal kolej?” Dari menongkat dagu pada meja, Thakif menukar posisinya dengan menyandarkan badan.
Adeeba mengangguk. “Abang ingat tak Iman dengan Sofi?”
“Iman? Sofi?” Wajah dua orang gadis ketika dia datang ke kolej untuk berjumpa dengan Rania sebulan yang lalu terbayang di ruang ingatannya. “Kenapa dengan dia orang?”
“Tiga hari lepas, dia orang kena denda cuci bilik air. Dia orang nak siram air kat Kak Ran tapi terkena kat Mak Cik DM.”
“Kenapa pulak dia orang nak simbah Rania?” Takkan pasal red velvet cupcakes tu kot? tebak Thakif di dalam hati.
Adeeba mula bercerita tentang kejadian yang berlaku di dalam bilik air yang diceritakan oleh Rania.
“Hahaha...” Thakif tergelak kuat usai Adeeba menyudahkan cerita. Tiba-tiba saja kata-kata rekaan Rania kepada Imanina dan Sofi terngiang-ngiang di telinganya. 

Abang Kif kata, kalau aku makan red velvet ni aku akan terbaaayanggg muka dia yang handsome tu! Lepas tu kan, dia kata lagi bila aising ni cair kat dalam mulut, sama macam hati dia yang cair bila tengok aku tau! Romantik kan, Abang Kif tu?

Thakif ketawa lagi apabila mengingati kejadian itu. Kini dia dapat merasakan perbezaan di antara Rania dan Amanda. Rania seorang yang akan menjawab kembali sekiranya dia tak boleh menahan sabar manakala arwah tunangnya itu lebih suka beralah dan lebih penyabar.
“Amboi, bukan main meriah lagi ketawa!”
Sergahan itu menghentikan ketawa Thakif dan Adeeba. Kedua-duanya memandang ke arah Qhafi dan Maria yang berdiri di pintu pagar utama yang memang tak ditutup.
“Kau orang berdua ni nak datang bukan nak bagitahu.” Teruja Thakif melihat kedua-dua orang kawan baiknya. Matanya meliar mencari kelibat Anis namun tiada.
Hati Adeeba terasa berbaur melihat Maria dan Qafi berjalan beriringan ke arah gazebo. Kata anggap kawan tapi kenapa datang sama-sama pulak? Dia menjeling tajam wajah Maria dan Qhafi yang sudah duduk di depannya. Mulutnya terasa berat mahu beramah mesra dengan Maria.
“Kau orang ni datang sama-sama ke?” Thakif dapat merasakan bahang cemburu di wajah Adeeba yang duduk di sebelahnya.
“Tak adalah, kita orang terserempak dekat luar pagar tadi. Tak sangka pulak Qhaf pun datang sini.” Maria tersenyum. Entah kenapa dia berasa tak selesa dengan pandangan Adeeba.
Adeeba kembali memaniskan wajah. Hatinya berasa lega mendengar jawapan Maria.
“Senyap je rumah kau. Auntie dengan uncle mana?” Maria memandang ke pintu rumah.
“Mama dan papa aku keluar.” Thakif memandang Adeeba yang sudah kembali tersenyum memandang Qhafi. “Anak dara sorang ni, tersenyum-senyum... tak reti-reti nak pergi buat air ke? Cubalah tunjuk rajin sikit depan bakal suami!” giatnya.
Wajah Adeeba sudah memerah. Dia geram dengan Thakif yang sudah memalukannya di depan Qhafi dan Maria. Dia pantas masuk ke dalam rumah.
Maria pula tergamam. Dia sudah dapat meneka punca Adeeba menayang muka tak puas hati tadi. “Kau bercinta dengan adik Kif ke, Qhaf?” Dia memandang Qhafi.
Qhafi mengangguk dan tersengih.
“Padanlah Deeba tayang muka tak puas hati kat aku tadi, kes cemburu rupanya. Lain kali bagitau awal-awal. Tak memasal Deeba tersalah anggap tadi.” Maria menggeleng kepala. “Sekarang dah terbalik pulak kan? Dulu Kif bercinta dengan arwah adik kau, sekarang kau pulak dengan adik Kif. Sejak bila mula bercinta ni? Cuba cerita sikit.” Dia mula mengorek rahsia.
“Dah dua tahun kita orang bercinta. Kita orang declare lepas setahun Kif dengan arwah Manda bercinta. Masa tu aku teman Manda keluar dating. Kif pulak bawak Deeba temankan dia. Kita orang sempat bertukar nombor handphone masa Kif dengan Manda sibuk beratur beli tiket wayang. Lepas dah kenal hati budi masing-masing barulah kita orang declare.
Mulut Thakif sedikit terlopong. “Ooo... pandai kau orang simpan rahsia eh? Senyap-senyap je bercinta kat belakang aku. Aku ingatkan kau dengan Deeba baru lagi bercinta.”
Qhafi tersengih. “Masa tu kan kau sibuk bercinta dengan adik aku? Malaslah aku nak kacau. Lagipun Deeba sendiri yang tak nak heboh.”
Maria hanya tersenyum. Dia tumpang gembira melihat Qhafi bahagia dengan pilihan sendiri. Dia juga gembira persahabatanya dengan Qhafi tak tercalar disebabkan perpisahan mereka dulu. Dan dia pula kini bahagia dengan tunangnya yang juga seorang anggota polis.
“Anis tak datang ke?” Thakif memandang wajah Qhafi dan Maria silih-berganti. “Dari aku tak boleh berjalan sampailah aku dah boleh berjalan Anis langsung tak tunjuk muka. Jenny adalah jugak jenguk aku masa aku baru mulakan rawatan dulu.”
Maria tak tahu mahu menjawab apa. Dulu pernah juga dia mengajak Anis melawat Thakif tapi gadis itu menolak. Setiap kali dia bercerita mengenai Thakif, Anis terus menukar topik perbualan. “Dia busy kot. Nanti free dia datanglah,” bohongnya tak mahu Thakif terasa.
“Haah, dia busy sangattt... busy dengan shopping sana, shopping sini!” jawab Qhafi geram.
Maria menyiku lengan Qhafi. Dia tak menyenangi jawapan lelaki itu.
“Betullah apa yang aku cakap ni. Kembar aku tu langsung tak pernah lekat dekat rumah. Suruh jaga ibu, dia mengelak. Banyak betul alasan dia.” Qhafi menarik nafas cuba menenangkan hatinya yang panas dek sikap kembarnya yang masih tak berubah. Dah kena penampar pun macam tu juga.
Suasana di gazebo senyap seketika. Hanya deruan angin petang yang memecahkan kesunyian itu. Thakif dan Maria pula bagaikan kehilangan kata-kata apabila melihat mood Qhafi yang sudah berubah.
“Abang Kif, Kak Maria, Abang Qhaf... jom masuk, makan bihun.”
Kedatangan Adeeba meredakan kemarahan Qhafi. Senyuman sudah kembali memekar di bibirnya. “Siapa yang masak? Kalau Deeba yang masak baru abang nak makan.”
“Mestilah Mak Pah yang masak! Aku tak pernah tengok pun Deeba memasak,” potong Thakif.
Adeeba sudah bercekak pinggang. “Amboi... amboi, Abang Kif... kutuk nampak! Memang Deeba yang masak pun. Tak percaya tanya Mak Pah.”
“Abang percaya!” Qhafi mengangkat tangan paras bahu. “Jom masuk, tak sabar nak merasa air tangan Deeba.” Qhafi bangkit dan melangkah masuk diikuti Thakif.
“Deeba...” panggil Maria.
“Ya, kak?” Adeeba tersenyum.
“Akak tahu Deeba cemburukan akak dengan Qhaf. Kami memang tak ada apa-apa hubungan. Kami hanya kawan je. Deeba percaya, kan?”

Adeeba mengangguk. “Jom masuk, kak...” Dia mencapai tangan Maria lantas melangkah masuk ke dalam rumah.

~BERSAMBUNG~

p/s: Tajuk Seiras telah ditukar kepada Kaulah Pelengkap Hatiku... 



10 comments:

  1. mereka tak berjumpa.. huhu.. xpa, mybe next time.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. A'a dorang xbjumpa utk n3 yg ni... sepatutnya utk bab 23 nnti xde scene rania bjumpa ngn thakif... tp WC akan perah idea utk tmbah scene rania jumpa thakif =)

      Delete
  2. ohhh dh tukar...igat cite br td...

    ReplyDelete
  3. always best! terima kasih kak WC. next bab banyakkan part Rania ngan Thakif boleh? hehee... gurau aje. apapun memang best! :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thnx Iffa... part Rania ngn Thakif insya-Allah akak akan cuba selitkan sikit...

      Delete
  4. owh.. ingat cite bru... tukar tajuk eh... klu ada part thakif n rania kn best.. hehehehe... next n3... hehehe...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha... mula2 tu tengok tajuk seiras ni macam biasa sangat... coz tu tukar... tp rase tajuk baru ni macam jiwang sangat la plk... hakhakhak

      Delete