Followers

Sunday, 24 February 2013

Separuh Hati Untukmu 23




ANIS mengerut dahi apabila melihat meja setiausaha Thakif kosong. Dia memandang pintu bilik Thakif yang bertutup rapat lantas melangkah masuk ke bilik itu tanpa mengetuk pintu. Sekali lagi dahinya berkerut apabila melihat bilik Thakif turut kosong. “Mana Kif ni?” Tangan kiri sudah dibawa ke pinggang. “Tunggu kat dalam jelah.” Dia menutup pintu dan melangkah ke arah sofa lantas melabuhkan duduk. Matanya diliarkan ke sekeliling bilik yang nampak kemas dan teratur. Hari ini dia datang bersendirian tanpa ditemani oleh Qhafi seperti dulu. Sudah lama dia tak menjejakkan kaki ke sini semenjak Thakif membuat keputusan untuk memilih adiknya. Sebaik saja Qhafi memberitahu yang Thakif sudah sudah pulih dan kembali bekerja, dia bergegas ke sini.
            Dia bangun melangkah ke meja kerja Thakif. Kerusi yang sering diduduki lelaki itu ditarik dan dia melabuhkan duduk. Matanya terhenti pada bingkai gambar yang terletak cantik di atas meja. Bingkai itu dicapai dengan hati yang berbaur. Matanya tak lepas memandang gambar Amanda yang kelihatan ceria di sisi Thakif yang sedang menunjukkan cermin bedak kompak di depan muka gadis itu manakala Amanda pula kelihatan sedang membetulkan snow cap di kepala. Dia mengusap perlahan gambar Amanda sebelum meletakkan kembali bingkai itu di tempat asal. Kemudian dia memusingkan kerusi menghadap ke tingkap dan menyandarkan badan.
            Cinta yang pernah terpadam dek kecacatan sementara Thakif dulu bagaikan kembali mekar apabila mengetahui lelaki itu sudah pulih sepenuhnya. Senyumannya semakin melebar apabila mendengar bunyi pintu terkuak.
            Thakif yang baru habis bermesyuarat dengan ketua bahagian terasa pelik apabila melihat seseorang sedang duduk di kerusinya namun pintu bilik tetap ditutup.
            Perlahan-lahan Anis memusingkan kerusi menghadap Thakif yang masih berdiri.
            “Anis? What a pleasant surprise! Mimpi apa you datang ofis I ni?” Thakif sudah melangkah ke sofa dan melabuhkan duduk.
            Anis turut bangun dan duduk di sebelah Thakif. “Macam tak suka je I datang?” Nadanya seakan berjauh hati. Wajah Thakif yang masih lagi kacak seperti dulu dipandang.
            “Bukan tak suka tapi I pelik you ada kat sini. Sepanjang I cuti sakit baru hari ni you tunjuk muka. Lepas dua bulan I kerja balik pulak tu.” Thakif berganjak sedikit kedudukannya yang agak rapat dengan Anis.
            “I bukan tak nak melawat you masa you sakit tapi I busy jaga ibu.” Anis menayang wajah serba salah.
            Busy jaga ibu ke busy shopping? sindir Thakif di dalam hati.
“Along mesti ada cerita kat you keadaan ibu I macam mana, kan?”
            Thakif mengangguk.
            “Kita orang ikutkan je apa yang ibu nak. Pernah sekali tu ibu nak arwah Manda tapi kita orang terpaksa tipu ibu. Kita orang cakap dia outstation. Berhari-hari jugak ibu menangis nakkan arwah. I tak tahulah bila ibu nak sembuh.” Wajah Anis bertukar sedih.
            Thakif diam mendengar luahan Anis. Dia faham perasaan Puan Sri Anida. Penderitaan yang dilalui wanita itu lebih berat daripadanya. Dia hanya kehilangan tunang, Puan Sri Anida pula kehilangan seorang anak yang sentiasa berada di depan mata. “Sabarlah. I yakin satu hari nanti ibu you pasti sembuh,” pujuknya.
            “I pun harap macam tu.” Anis memandang Thakif. “Jom kita lunch, I laparlah. Lagipun kita dah lama tak lunch sama-sama, kan?” ajaknya. Dia malas mahu memanjangkan lagi topik mengenai ibunya. Lagipun memang tujuannya ke sini mahu mengajak Thakif keluar makan.
            Thakif melihat jam di pergelangan tangan kiri yang sudah menunjukkan pukul 1.10 petang. “Okay, I’ll call my driver suruh dia sediakan kereta.” Dia berdiri.
            “You pakai driver?” Anis pelik.
            “Yup. I dah tak drive.” Thakif melangkah ke meja kerja.
            “Kenapa?”
            “I trauma lepas accident dulu. I dah tak boleh nak drive, rasa macam nak tercabut nyawa.” Ganggang diangkat mahu menghubungi Adnan, pemandu yang sudah dua minggu berkhidmat untuknya.
            Anis sedikit terkejut mendengar jawapan Thakif. “You naik kereta I jelah, biar I yang drive.” Dia menahan Thakif yang sedang menekan-nekan nombor. Dia tak mahu pemandu Thakif menjadi orang ketiga di antaranya dan lelaki itu.
            Thakif meletak kembali ganggang. “Okey tapi kita lunch dekat rumah you eh?” Dia memberi persetujuan.
            Anis mengerut dahi. “Nak buat apa lunch kat rumah I? Kan banyak restoran kat KL ni?”
            “Sambil makan dekat rumah you, I boleh tengok ibu you. Sejak I sembuh I belum berkesempatan tengok ibu you.”
            Yang sibuk-sibuk nak tengok ibu tu kenapa? Ibu elok je kat rumah tu. Kacau betullah! gerutu hati Anis. “Okey, kita lunch kat rumah I.” Senyuman terpaksa dilemparkan. Dia terpaksa bersetuju, tak mahu lelaki itu memikir yang bukan-bukan tentang dirinya.

SEBAIK saja Anis memakirkan kereta di garaj, Thakif keluar dari perut kereta dan melangkah ke pintu rumah tanpa menunggu Anis yang sedang terkial-kial membuka tali pinggang keledar. “Assalamualaikum, nek...” Thakif melangkah masuk ke dalam rumah.
            “Waalaikumussalam... eh, Kif!” Hajah Karimah teruja melihat kedatangan Thakif.
            “Nenek apa khabar?” Thakif melabuhkan duduk di sofa di hadapan Hajah Karimah.
            “Alhamdulillah, sihat. Kif pun nenek tengok dah makin sihat.”
            Thakif tersenyum.
            Dengan wajah masam, Anis melabuhkan duduk di sebelah Thakif. Dia bengang lelaki itu meninggalkannya tadi. Tak menyabar betul nak masuk rumah. Macamlah Manda ada kat dalam! “Yati!” panggilnya dengan rasa geram yang masih bersisa. “Yati!” panggilnya lagi sedikit kuat.
            “Apa terjerit-jerit ni, anyah? Tak malu ke depan tetamu terjerit-jerit? Yati ada kat dapur, pergilah ke dapur,” tegur Hajah Karimah tak senang.
            Wajah Anis makin mencuka namun apabila melihat Thakif tersenyum memandangnya  hilang terus wajah masamnya. Baru saja dia berdiri, Haryati sudah muncul di depannya.
            “Ya, Cik Anis?” Takut-takut Haryati memandang Anis.
            “Siapkan makanan, aku dengan Kif lunch kat sini,” arah Anis. Dia melabuhkan duduk kembali.
            “Semuanya dah siap dihidang, cik...” jawab Haryati. Dalam hati dia terasa pelik melihat Anis pulang ke rumah. Selalunya anak majikannya itu tak akan balik untuk makan tengah hari.
            “Kif, nenek... jom kita makan,” ajak Anis.
            “I nak tengok ibu you dulu.”
            Hesy, dia ni tak habis-habis nak tengok ibu! “Kita makanlah dulu, ibu I tak lari ke manalah...” pujuk Anis.
            Thakif akur. Dia mengikut langkah Hajah Karimah dan Anis ke dapur.
            “Yati, kau dah siapkan makanan untuk ibu?” tanya Anis yang sedang menyenduk lauk kari ayam ke dalam pinggannya.
            “Belum, cik. Lepas ni baru saya sediakan,” jawab Haryati yang setia berdiri di sebelah Hajah Karimah.
“Kenapa berdiri je, Yati? Duduklah makan sekali.” Hajah Karimah pelik melihat Haryati berdiri. Selalunya wanita itulah yang menjadi penemannya ketika makan tengah hari.
“Tak apalah, puan... saya tak lapar lagi. Nanti dah lapar saya makan,” tolak Haryati apabila melihat jelingan tajam Anis. Bukan dia tak tahu makna jelingan itu.
Anis tersenyum melihat Thakif makan. Setiap kali lelaki itu menyuap makanan ke mulut, dia turut menyuap. Jika lelaki itu menyisip air, dia turut menyisip air. Perbuatan itu berlarutan sehinggalah nasi di pinggan licin.
“Nek, saya nak tengok ibu kejap eh.” Thakif meminta izin untuk melihat Puan Sri Anida. Tangannya yang basah dilap dengan tisu.
“Pergilah, Yati pun nak bawakkan makanan untuk ibu tu.” Hajah Karimah memberi keizinan.
“Yati, biar aku yang bawak makanan untuk ibu ke atas.” Anis merampas dulang di tangan Haryati.
Haryati tercengang. Tak pernah-pernah Anis menghantarkan makanan buat ibunya tapi hari ini gadis itu sendiri mahu menghantarkan makanan ke bilik. Dia berpaling untuk mengambil ubat Puan Sri Anida di kabinet sebelum mengekori langkah Anis dan Thakif.
“Ibu... bangun, bu... meh makan nasi, anyah bawakkan nasi untuk ibu ni.” Anis yang duduk di birai katil mengejutkan Puan Sri Anida yang sedang tidur dengan memeluk baju Amanda.
Thakif yang berdiri di sisi kiri katil di sebelah Anis terasa sayu melihat keadaan Puan Sri Anida. Dengan badan yang semakin kurus dan lingkaran hitam yang terdapat di bawah mata menunjukkan yang wanita itu begitu menderita kehilangan Amanda.
Perlahan-lahan Puan Sri Anida membuka matanya. “Manda dah balik ke?” tanyanya tanpa mempedulikan Thakif yang turut berada di situ.
Anis memandang Thakif kemudian memandang Puan Sri Anida kembali. “Manda belum balik lagi. Ibu bangun dulu, anyah ada bawakkan nasi ni.” Dia menyerahkan dulang kepada Haryati yang berdiri di sebelah kanan katil. Kemudian dia mendudukkan Puan Sri Anida di kepala katil. Rambut ibunya dibelai.
Haryati berasa terharu melihat layanan Anis. Dia tak menyangka akhirnya Anis melayan Puan Sri Anida dengan lembut begitu. Tiada lagi marah-marah, hanya senyuman manis yang terukir di bibir gadis itu. Dia menghulurkan kembali dulang apabila Anis menghulurkan tangan.
Bukak mulut, ibu...” Sudu sudah dibawa ke depan bibir Puan Sri Anida.
Puan Sri Anida menggeleng. “Ibu nak Manda...” Lirih suaranya.
“Ibu makan dulu. Nanti Manda baliklah.” Anis masih terus memujuk. Tangannya sudah terasa lenguh menanti Puan Sri Anida menerima suapan.
Puan Sri Anida menggeleng kepala. “Tak nak... ibu nak Manda.” Dia menolak perlahan tangan Anis.
Anis geram dengan perangai Puan Sri Anida. Ikutkan hati mahu saja dia memarahi ibunya itu namun dia terpaksa menyabarkan hatinya memandangkan Thakif turut berada di bilik itu. “Ibu, janganlah macam ni. Makan sikit eh? Macam mana nak makan ubat kalau ibu tak makan nasi? Badan ibu pun dah makin susut tau.” Dia menyua kembali sudu ke mulut Puan Sri Anida.
“Kan ibu dah kata tak nak?! Tak faham ke? Ibu nak Manda! Panggilkan Manda, ibu nak Manda yang suapkan ibu! Ibu tak nak anyah yang suapkan.” tengkingnya sambil menepis kasar tangan Anis.
Sudu di tangan Anis terkena pada baju Thakif sebelum tercampak ke lantai. “Ibu, kan dah kotor baju Kif tu,” tegur Anis lembut namun di dalam hati perasaannya bagaikan gunung berapi yang mahu meletus!
“Ibu nak Manda!” jerit Puan Sri Anida tanpa mempedulikan teguran Anis.
Sorry, Kif... tak pasal-pasal baju you kotor.” Anis memandang Thakif.
“Tak apa, sikit je ni. Biar I  pulak cuba bagi ibu makan.” Thakif mencapai pinggan di tangan Anis dan mengambil sudu lain di dalam dulang.
Anis bangun memberi ruang kepada Thakif untuk duduk. Dia bersandar di meja lampu. Nafasnya ditarik perlahan mahu meredakan rasa bengangnya terhadap sikap Puan Sri Anida.
“Ibu, Kif suapkan ibu ya? Ada lauk kari ayam dengan kobis Cina goreng ni. Makan sikit eh? Sedap tau Kak Yati masak,” pujuk Thakif sambil menyuakan sudu ke bibir Puan Sri Anida.
Puan Sri Anida memegang tangan kiri Thakif yang memegang di pinggan. “Kif, ibu nak jumpa Manda. Tolong, Kif... tolong panggil Manda. Ibu rindu kat Manda. Kif call Manda ya?” rayunya.
Ibu ni, asyik Manda je yang ibu ingat! gerutu Anis di dalam hati. Dia menjeling Puan Sri Anida.
Thakif meletak pinggan ke dalam dulang yang dipegang Anis. Kemudian dia mengeluarkan telefon pintarnya dan menekan nama yang tertera di skrin itu. Loudspeaker dibuka supaya Puan Sri Anida mendengarnya.
“Assalamualaikum... saya Nuha Amanda. Maaf, saya tak dapat menjawab panggilan anda sekarang. Sila hubungi saya sebentar lagi. Terima kasih...” Suara Amanda kedengaran di corong telefon pintar.
Puan Sri Anida menangis mendengar suara itu. Dia teramat rindu mahu mendengar suara anaknya. “Manda...” Teresak-esak dia bersuara.
Thakif menyimpan kembali telefon pintarnya. “Kat sana tak ada coveragelah tu. Dah selesai kerja Manda kat sana nanti dia baliklah. Nanti Kif try call Manda lagi, bagitau kat dia yang ibu rindukan dia. Sekarang ibu makan sikit ya? Manda mesti tak senang nak buat kerja kalau tahu ibu tak makan.” Dia mengambil semula pinggan di dalam dulang dan menyua sekali lagi sudu ke bibir Puan Sri Anida. Hatinya terasa lapang apabila wanita itu menerima suapannya. “Hmmm... kalau hari-hari ibu macam ni mesti Manda tak susah hati.” Dia menyudukan lagi nasi ke bibir wanita itu.
Haryati mengesat air matanya yang mengalir. Dia tersenyum lega melihat nasi di pinggan hampir licin. Kemudian dia menghulurkan ubat kepada Thakif.
Selesai Puan Sri Anida memakan ubat, Thakif membaringkan wanita itu. “Ibu rehat dulu ya? Kif dah nak balik ofis ni.” Dia bangun dari katil.
Thanks, Kif. Kalau you tak ada mesti ibu buat perangai tak nak makan lagi.” Anis menyerahkan dulang kepada Haryati.
Thakif tersenyum. Dia membetulkan selimut Puan Sri Anida. “Kalau kena dengan pujukan mesti jalan punya...” bisiknya perlahan tak mahu Puan Sri Anida mendengarnya.

“I pergi bilik Qhaf kejap ambil baju. Takkan you nak masuk ofis dengan baju kotor macam tu. Lepas tu I hantar you balik ofis,” ujar Anis.

THAKIF mencapai telefon pintar sebaik saja Audi Q7 yang dipandu oleh Adnan berhenti di luar pagar kolej 8. Selepas Anis menghantarnya ke pejabat tadi, Adeeba menghubunginya dan meminta menjemput di kolej kerana cuti semester sudah bermula. Kereta gadis itu pula tiba-tiba saja meragam. Thakif yang ketika itu masih belum naik ke pejabatnya terus menghubungi Adnan untuk ke kolej 8.
            Nombor Adeeba mula didail dan telefon pintarnya dilekapkan ke telinga. “Abang dah ada dekat luar pagar ni. Cepatlah turun.” Dia bersuara sebaik saja taliannya bersambut.
            “Okey, kejap lagi Deeba turun,” jawab Adeeba di hujung talian.
            “Barang-barang boleh bawak tak?”
            “Boleh... Kak Ran tolong angkat sikit ni. Lagipun barang Deeba tak banyak mana.”
            Mendengar nama Rania disebut membuatkan hati Thakif terasa lain macam. Bukan kerana dia sudah jatuh cinta pada gadis itu tapi hatinya disapa angin rindu untuk menatap wajah yang seiras tunangnya itu. Thakif lantas mematikan talian. Dia keluar dari perut kereta dan melangkah ke bahagian pemandu. Badannya disandarkan di badan kereta. Pandangan dihala ke pintu pagar menanti Adeeba tapi cik hati lebih meronta-ronta mahu melihat Rania apabila adiknya memberitahu yang gadis itu akan turun sama.
            Adnan yang pelik melihat Thakif berjemur di luar segera menurunkan tingkap kereta. “Encik Kif tak nak tunggu kat dalam ke? Panas kat luar tu.”
            “Tak apa, kejap lagi Deeba turun.” Thakif membetulkan Rayban di batang hidungnya. Kemudian dia mendongak memandang ke langit. Cuaca yang agak terik itu sedikit pun tak terasa berbahang. Kalkulator hatinya rancak mengira detik langkah kaki Adeeba untuk sampai ke sini.
            “Abang kif!”
            Kepala Thakif pantas dialih ke arah suara yang memanggilnya. Matanya difokuskan ke wajah gadis di belakang Adeeba yang baru berjalan keluar dari pagar. Thakif terpanar. Dia seakan-akan ternampak bayangan Amanda dalam diri Rania apabila melihat gadis itu melemparkan senyuman ke arahnya. Matanya masih lagi merenung Rania sehinggakan tak sedar yang adiknya sudah begitu hampir dengannya.
            “Abang tolong angkat beg kat Kak Ran tu,” arah Adeeba yang sudah membuka pintu di bahagian belakang pemandu.
            Thakif tersedar dari lamunannya apabila mendengar suara Adeeba. Hilang sudah bayangan Amanda. Yang ada di depannya kini hanya Rania, kawan baik adiknya. Bukan tunang yang dicintainya itu. Nasib baik dia memakai cermin mata hitam. Kalau tak, pasti Rania akan menayang wajah tak selesa jika gadis itu tahu dirinya sedang direnung. “Astaghfirullahalazim...” Dia beristighfar. Dia akui memang payah untuk melupakan tunang yang telah lama bertakhta di hatinya ini. Tambahan pula apabila terpandangkan wajah Rania. Sekelip mata saja angin rindu terhadap tunangnya itu menyapa hati.
            “Kenapa? Ada apa-apa yang tak kena ke dengan saya?” tanya Rania yang terkejut mendengar Thakif beristighfar.
            Thakif tergamam seketika. Dia menyangka dia beristighfar di dalam hati tadi. Tak sangka pula boleh terlepas keluar dari mulutnya. Itu tandanya mulut tak seiring dengan hati tuannya. Tak pasal-pasal telah disalah tafsir.
            Rania pantas meraba tudungnya takut-takut ada anak rambut yang terjuntai keluar.
            “Eh, tak... tudung tu okey je,” jawab Thakif pantas apabila melihat tingkah kalut Rania. Dia mula menggali fikiran untuk menangkis salah faham Rania.
            Pergerakan tangan Rania terhenti. “Habis tu muka saya ada tompokan bedak ke?” Dia menggosok-gosok pula wajahnya, takut kalau tompokan bedak sejuk yang dipakainya tadi masih bersisa di wajah.
            Tiba-tiba pandangan mata Thakif terarah pada beg pakaian di tangan Rania. Spontan idea yang tak berapa kena hadir di kepalanya. Ah, belasah jelah! “Muka pun okey. Yang abang terkejut tengok beg ni hah...” Dia menuding ibu jari ke arah beg pakaian yang dipegang oleh Rania.
            Rania memandang beg pakaian di tangannya. “Kenapa dengan beg ni?” tanyanya pelik.
            “Tak patut betul Deeba suruh Rania bawak beg ni. Dahlah berat. Meh sini beg tu, nanti sakit pulak tangan tu pegang lama-lama.”
            Rania sedikit blur dengan jawapan Thakif. “Beg ni tak berat punlah.” Dia menghulurkan juga beg itu kepada Thakif. Berapa sangatlah beban beratan beg yang tak sebesar mana itu.
            Mak aihhh... ringanlah pulak beg ni. Patutlah dia tayang muka blur je tadi! gumam Thakif di dalam hati sebaik saja menyambut beg itu. Tanpa menunggu lama dia memasukkan beg itu ke dalam kereta. Pandangan pelik Adeeba sedikit pun tak dihiraukan.
            Adeeba sudah ketawa galak di dalam hati melihat tingkah laku abangnya. Tak sia-sia aku tipu kereta aku rosak. Senyuman yang mahu terbit di bibir segera dimatikan. Sengaja dia mahu Thakif berjumpa dengan Rania sebelum gadis itu bercuti panjang.
            “Rania tak balik rumah ke?” tanya Thakif yang sudah kembali berdiri di depan Rania.
            Rania menggeleng kepala. “Esok lepas habis exam baru balik.”
            “Kak Ran hati-hati tau tidur sorang-sorang. Kalau takut, ajak Julaili teman. Dia pun last paper esok.” Adeeba memegang tangan Rania.
            “Rania tinggal sorang ke kat bilik? Roommate Deeba lagi sorang mana?” Thakif sudah menanggalkan cermin mata hitamnya.
            “Dira dah balik pagi tadi,” jawab Adeeba.
            “Kalau macam tu, jom ikut kita orang baliklah. Bahaya tinggal sorang-sorang ni.” Hati Thakif mula diterpa rasa risau. “Exam esok abang hantarlah.”
            Sekali lagi Adeeba cuba menahan tawa. Dia memandang wajah Thakif yang jelas kelihatan riak risau.
            Rania pula sudah terkebil-kebil mendengar pelawaan Thakif. “Eh, tak apa. Ada lagi yang belum balik. Sehari hari je pun saya kena bermalam kat sini. Esok dah nak balik dah. Lagipun saya dah biasa tinggal sorang-sorang kat bilik. Tak ada masalah pun...” tolaknya. Dia tak mahu menyusahkan keluarga Adeeba.
            “Kalau ada apa-apa hal call Deeba tau,” pesan Adeeba.
            “Okey... Deeba jangan risaulah, akak okey je.” Rania menggenggam tangan Adeeba.
            “Kalau call Deeba tak dapat-dapat, Rania boleh call abang.” Thakif mengeluarkan kad namanya lantas dihulur kepada Rania.
            Dengan dahi yang sedikit berkerut Rania mengambil juga huluran kad itu. Dia tak mahu Thakif malu di depan Adeeba dan pemandu lelaki itu jika dia tak menyambut kad nama itu. Kad nama itu dipandang sekilas sebelum disimpan ke poket jean.
            “Ek eh, Abang Kif ni... Kak Ran cakap dia okey, abang pulak yang over risau. Deeba tak pernah langsung offkan handphone okey!” Adeeba sengaja mengecilkan mata mahu mengusik abangnya.
            “Mana abang tak risau, Rania tinggal sorang-sorang kat bilik. Abang dah anggap dia macam adik abang. Kalau Deeba yang tinggal sorang pun abang risau jugak.” Thakif membetulkan tanggapan Adeeba apabila melihat adiknya itu menayang wajah macam-ada-something-je-ni.
            Eleh, anggap macam adiklah konon... muka tak nampak macam seorang abang tengah risaukan adik pun! Lepas tu siap offer diri nak hantar Kak Ran lagi, gumam Adeeba di dalam hati. Takkan nak cakap terang-terang pula, nanti matilah dia kena dengan Rania.
            “Kereta Deeba macam mana?” tanya Thakif apabila teringat kereta Adeeba masih ada di dalam kolej.
            “Kereta biar sini dulu, nanti Deeba settlekan sendiri,” jawab Adeeba.
            “Okeylah Rania, kita orang balik dulu. Take care. Ingat pesan abang tadi, apa-apa hal call. Jangan hilangkan name card tu pulak,” pesan Thakif. “Kalau takut kredit habis, buat panggilan rindu pun tak apa. Nanti abang calllah balik.”
Rania sedikit blur. Panggilan rindu? Apakah?
“Panggilan rindu?” Adeeba menjungkit kening. Dia tahu maksud abangnya tapi sengaja mahu mengusik.
Missed calllah, Deeba. Tu pun tak tahu ke? Budak-budak sekarang kan suka sebut macam tu?” terang Thakif sambil tersenyum sedikit. Geli hati melihat muka blur Rania.
Bibir Rania sudah membentuk huruf O. Adoiii la Kif ni, nak suruh aku buat panggilan rindulah pulak. Pandailah aku jaga diri. Aku bukannya budak-budak lagi. Nak tak nak Rania mengangguk saja.
            Adeeba bersalaman dengan Rania buat kali terakhir. “Kita jumpa lagi sem depan eh, kak? Nanti kita pilih bilik yang sama.”
            “Okey... selamat bercuti.” Rania menepuk perlahan pipi Adeeba.

USAI menghantar Adeeba ke rumah, Thakif kembali ke pejabat. Jam tangan dikerling sekilas. Pukul 4.30 petang. Hari ini dia bercadang mahu bermalam di hotel untuk membuat rondaan mengejut pada waktu malam. Kebiasaannya ada sesetengah pekerja yang bekerja syif malam suka benar menuang kerja.
“Encik kif, Encik Malik ada kat dalam,” beritahu Maimon apabila Thakif mahu memulas tombol pintu.
            Thakif tak jadi mahu memulas tombol pintu bilik. Dia berpusing memandang Maimon. “Dah lama ke dia sampai, Kak Mon?” tanyanya tak sabar. Penantiannya bakal berakhir setelah dua bulan menanti Malik menyelesaikan tugasannya.
            “Adalah dalam dua jam.” Maimon memandang baju yang dipakai Thakif. Aik, pagi tadi pakai baju lain, sekarang pakai baju lain pulak?
            Thakif perasan akan pandangan mata Maimon. “Masa lunch tadi kuah kari tertumpah kat baju saya, tu yang saya tukar baju,” jawabnya tanpa ditanya. “Saya masuk dulu.”  Dia memulas tombol dan melangkah masuk. Dia lihat Malik sedang enak tidur di sofa. Dia melangkah ke sofa dan mengejutkan Malik. “Malik, bangun.”
            Badan Malik bergerak sedikit dan dia berpusing membelakangi Thakif.
            “Ek eh, dia ni... sedap-sedap je tidur kat ofis aku!” getus Thakif. “Malik, bangunlah.” Dia menepuk perlahan bahu Malik.
            “Jangan kacaulah, aku ngantuk ni. Kalau customer call, kau jawab jelah.” Malik menjawab tanpa membuka mata.
            Ewah, dia ni! “Hoi Malik, bangunlah!” jerit Thakif di telinga Malik.
            Mendengar sergahan itu Malik segera duduk. Terkelip-kelip matanya memandang Thakif yang sudah bercekak pinggang. “Encik Kif rupanya. Saya ingatkan kawan saya tadi.” Dia tersengih-sengih sambil menenyeh matanya yang terasa pedih.
            “Dah selesai ke tugas yang aku bagi tu?” Thakif mengambil tempat di hadapan Malik.
            Malik mengangguk. “Dah... ni hasilnya.” Dia mengambil sampul surat yang ditindihnya ketika tidur tadi lantas dihulur kepada Thakif.
            “Habis konyot sampul surat ni kau tindih.” Thakif menggeleng kepala.
            “Sampul surat konyot tak penting, encik... yang penting hasil siasatan kat dalam tu. Saya tunggu encik lama sangat, tu yang ngantuk tu,” jawab Malik sambil menguap luas tanpa menutup mulut.

            Thakif membuka sampul surat itu dan mengeluarkan isinya. Matanya terbuntang. Jantungnya berdegup pantas tatkala membaca hasil siasatan itu.

~BERSAMBUNG~

26 comments:

  1. smbng lgi.. hasil siasatan? hehe

    ReplyDelete
  2. nak lg...cepat smbg ye..tak suka gan anis..hipokrit betul..qif gan rania je

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha... Anis tu memang hipokrit...

      Delete
  3. Best..... #^_^
    Tak sabar nak tau hasil siasatan Rania.....

    ReplyDelete
  4. Nak lagi.. X sabar nk tau hasil siasatan Rania....
    Jeng..jeng..jenggg....

    ReplyDelete
  5. apakah??? nak lagi... dah excited sangat baca cerita ni. Terima kasih kak WC. best sangat :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa la yang membuatkan Thakif sampai terkejut tu en... sama- sama Iffa...

      Delete
  6. yeah suka2. Cepat sambung ;)

    ReplyDelete
  7. uiksssss.....bersambung pulak...WC kebenaran manda dgn rania kah?!!!..xsabar..xsabar...en3 baru bila lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. a'a bersambung... yup thakif terkejut bila dapat tau siapa rania tu =)

      Delete
  8. Omg omg mesti rania tu Ada kaitan ngn amanda kn.sambung lagi. . !

    ReplyDelete
  9. jeng jere jeng jeng jeng.... tungguuuuuuuuu..... ;)

    ReplyDelete
  10. mungkinkah rania n amanda kembar seiras yg terpisah... WC, ceciter.......

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lagi sekali jeng jeng jeg... muehehehe... kita nantikan KPH bab 24 eh...

      Delete
  11. suke2... ad part rania n thakif... apakah kptsn siasatan rania tu??? berdebar nk tau... hehehehe.... next...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ramai yg nak scene Thakif ngn Rania coz tu WC buat =)

      Delete
  12. suspen btl....apa la yg gempk ngat dgn siasatn tu...x sbr nk tugu entry baru...cpt smbng..

    ara

    ReplyDelete
    Replies
    1. kita tunggu apakah hasil siasatan tu...

      Delete