Followers

Friday, 8 February 2013

Separuh Hati Untukmu 21


Tiga bulan kemudian...

PINTU almari dibuka. Dia bercekak pinggang melihat kesemua baju yang tergantung elok di dalam almari. Tangannya mencapai baju kemeja putih lengan panjang lantas disarung ke badan dan membutang satu per satu. Laci yang menempatkan tali leher pula dibuka. Dia melarikan jemarinya pada kesemua tali leher yang tersusun dan mencapai tali leher berwarna merah untuk dipadankan dengan baju kemejanya.
Selesai mengikat tali leher, dia melangkah ke meja solek. Rambutnya yang sudah dipotong pendek disisir rapi. Kemudian jam tangan Tag Heuer dipakaikan di pergelangan tangan kiri dan dia menyarung kot hitam ke badan. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia mengambil briefcase yang diletakkan di atas katil dan melangkah keluar dari bilik.
            “Morning, mama... papa...” Thakif melabuhkan duduk di hadapan Datin Rosnah.
            “Morning, Kif...” jawab Dato’ Azhar dan Datin Rosnah serentak.
            Datin Rosnah menuang air nescafe ke dalam cawan. “Nampak handsome anak mama pakai macam ni,” pujinya sambil meletakkan cawan di hadapan Thakif.
            “Kif dah betul-betul bersedia nak masuk kerja ke hari ni?” Thakif yang sedang menyuap nasi goreng Dato’ Azhar pandang.
            Thakif mengangguk. “Dah setahun Kif berehat, pa. Kaki ni pun dah okey. Bosan pulak kalau berehat lama-lama dekat rumah.”
            “Tak sangka rawatan lokomat tu berkesan kan, bang? Dalam masa tujuh bulan je Kif dah boleh berjalan semula.”
            “Encik Wong pernah cakap, ada jugak yang ambil masa lama nak pulih. Ini pun syukur alhamdulillah la Kif boleh berjalan dalam masa tujuh bulan. Lagipun mesin lokomat tu bukannya mesin magik yang boleh sembuhkan penyakit dalam sekelip mata. Kita kena guna tenaga jugak untuk pulih. Bukan bergantung semata-mata pada robot tu. Kalau langsung tak ada usaha nak gerakkan anggota badan, alamatnya lambatlah nak pulih.” Thakif bercerita berdasarkan pengalamannya dan apa yang didengar dari mulut ahli fisioterapi yang pernah merawatnya itu.
            “Abang tak rasa kita kena bagi sesuatu pada Fariya ke? Yalah, kalau tak ada dia mesti kita tak tahu pasal rawatan lokomat tu.” Datin Rosnah menghirup perlahan air teh O.
            Dato’ Azhar mengunyah perlahan sambil berfikir apa yang mahu diberikan kepada setiausahanya itu.
            “Pasal tu papa dengan mama tak payah risau, Kif dah uruskan. Kalau Kif yang bagi sendiri baru nampak ikhlas sikit. Untuk Rania pun Kif belikan jugak sebab dia pun salah seorang penyumbang terbesar pada hidup Kif hari ni.” Wajah Rania sudah terbayang di ruang mata Thakif.
            “Apa yang Kif nak belikan untuk dia orang?” Datin Rosnah ingin tahu.
            “Kif dah call kedai kek yang berhampiran dengan hotel kita tu dan tempah red velvet cupcakes. Tinggal nak ambil je.” Manda suka makan red velvet cupcake kat kedai tu, sambungnya dalam hati.
            “Hmmm... okey jugak tu. Lagipun ramai yang cakap red velvet cupcake kat situ sedap.” Datin Rosnah mengangguk.
            “Petang ni Kif balik lambat sikit, nak singgah kolej Deeba sebelum balik rumah,” beritahu Thakif. “Kif pergi ofis dululah, pa.. ma...” Usai bersalam dengan Dato’ Azhar dan Datin Rosnah, dia melangkah keluar dari rumah mendapatkan Audi Q7 merah kesayangannya.
Baru saja Thakif mahu membuka pintu kereta, tiba-tiba saja bayangan ketika dia kemalangan bersama Amanda menyinggah di ruang kepala. Bagaikan terngiang-ngiang jeritan Amanda di telinganya. Tangannya terasa menggigil. Dahinya sudah dibasahi peluh. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang dan cuba menarik nafas yang terasa sesak untuk menghilangkan rasa gemuruh. Apabila pernafasannya sudah kembali teratur, dia merapati keretanya semula. Sekali lagi dia cuba membuka pintu kereta namun bayangan itu tetap mengganggu. Darah gemuruhnya kembali bertamu. Dia menarik nafas kembali lantas memejam mata untuk menenangkan diri dan cuba menghilangkan bayangan hitam itu.
            “Kenapa, Kif?”
            Thakif membuka mata apabila mendengar teguran Dato’ Azhar. Dia berpaling menghadap Dato’ Azhar dan Datin Rosnah yang sedang memandangnya pelik. “Kif... Kif tak boleh drive, papa... mama... bila Kif cuba nak bukak pintu kereta, terbayang insiden kemalangan tu. Kif takut nak drive... Kif takut accident lagi. Kif tak boleh, papa... mama... Kif tak boleh nak drive...” Lirih kedengaran suara Thakif. Wajahnya sudah memerah.
            Datin Rosnah dan Dato’ Azhar jatuh kesian melihat Thakif. Mereka tak menyangka anaknya akan mengalami trauma sebegitu. Ternyata kemalangan itu memberikan impak yang besar pada diri anaknya.
            “Tak apalah, hari ni Kif pergi ofis dengan papa. Nanti papa carikan driver untuk Kif. Senang kalau nak gerak ke mana-mana.” Dato’ Azhar menepuk perlahan bahu anak lelakinya. “Jom...” Dia mengajak Thakif ke keretanya.
            Pak Hashim yang sedang memanaskan enjin kereta melangkah keluar apabila melihat kelibat majikannya menghampiri. Pintu di bahagian belakang dibuka untuk majikannya.
            “Kif kata petang ni nak pergi kolej Deeba, kan? Kif nak naik apa pergi sana?” tanya Datin Rosnah yang sudah berdiri di tepi tingkap di bahagian sebelah pemandu.
            “Teksi kan banyak? Kif naik teksi jelah ma...”
            “Tak payah susah-susah naik teksilah. Pak Hashim boleh hantar Kif,” sampuk Pak Hashim yang sedari tadi diam.
            “Pak Hashim kan nak hantar papa? Kif takut Pak Hashim terkejar-kejar je nanti. Mana nak hantar Kif lagi, nak hantar papa lagi.” Thakif memandang Pak Hashim di sebelahnya.
            “Tak apa, lepas Pak Hashim dah hantar papa, dia boleh ambil Kif pulak.” Dato’ Azhar memberi kebenaran.
            “Kalau dah macam tu kata papa, Kif ikut je.

THAKIF menekan interkom menghubungi setiausahanya. “Kak Mon, tolong bawakkan penyata kewangan dan semua minit mesyuarat. Saya nak semak.”
“Baik, Encik Kif.”
Thakif bersandar dan mencapai Galaxy Note III di atas meja. Dia mencari nama seseorang dan menekan ikon call. “Helo, Malik. Ni aku.” Dia bersuara apabila taliannya bersambut.
“Aku tu siapa? Setahu saya, saya tak ada customer yang bernama aku.”
“Kau tak payah nak loyar buruk boleh tak? Ni Thakif la.” Thakif bersuara serius.
            “Ooo... Encik Thakif rupanya... saya ingat siapalah tadi. Ada apa, encik?”
“Aku nak kau datang ofis aku sekarang. Aku ada kerja nak bagi kat kau.” 
“Okey, saya datang sekarang.”
            “Ini fail yang Encik Kif minta.” Maimon masuk sebaik saja Thakif mematikan talian. Segala fail yang diminta oleh Thakif diletakkan di atas meja. “Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu.” Dia melangkah ke pintu bilik sebaik saja melihat anggukan Thakif.
            “Kak Mon, kalau ada orang nama Malik datang, terus bawak ke bilik saya,” pesan Thakif ketika Maimon sudah membuka pintu.
            “Baik, Encik Kif...”
            Thakif mencapai satu fail dan mula menelitinya.
Setengah jam berlalu, dia mengurut belakang tengkuknya. Urutannya terhenti apabila pintu biliknya diketuk. “Masuk!” Dia menegakkan duduknya. Dia pasti orang yang ditunggu sudah sampai.
            “Encik Kif, Encik Malik dah sampai.” Maimon mempersilakan Malik masuk.
            “Duduk kat situ.” Thakif menunjuk ke arah sofa. “Kak Mon, tolong bawakkan secawan air kopi,” pinta Thakif.
            Maimon mengangguk dan melangkah keluar.
            Thakif mengeluarkan sampul surat besar berwarna coklat dari briefcase dan menghampiri Malik. Dia melabuhkan duduk di depan lelaki itu. “Aku nak kau siasat orang ni.” Dia meletakkan sampul surat di atas meja dan memandang Malik, penyiasat persendirian yang dikenali sewaktu menemani kawannya ke pejabat lelaki itu suatu ketika dulu.
“Nanti dulu.” Dia menahan Malik daripada membuka sampul surat itu apabila melihat Maimon melangkah masuk bersama dulang berisi secawan kopi.
            “Okey, boleh bukak sekarang,” arahnya sebaik saja Maimon berlalu dari bilik itu.
            “Boleh saya minum dulu tak, encik? Tekak ni haus. Kelam kabut datang ke sini tadi tak sempat nak minum.” Malik tersengih-sengih.
            “Hmmm... minumlah. Air tu memang untuk kau pun.” Thakif menyandarkan badannya.
            Malik meniup air kopi itu sebelum menyisip perlahan. “Lega sikit tekak ni lepas pekena kopi.” Dia meletakkan kembali cawan ke piring. “Biskut tak ada ke, encik? Dapat cecah biskut dengan air kopi lagi best.” Dia tersengih lagi.
            “Kau tengok dulu gambar tu. Nanti aku bagi kau duit, kau nak beli berapa banyak biskut pun kau belilah, aku tak larang.” Serius nada suara Thakif.
            Malik mengambil sampul surat yang diletakkan di sebelahnya lantas mengeluarkan gambar yang telah dicetak oleh Thakif. “Huish... cantiknya!” Terbuntang matanya melihat gambar itu.
            “Aku bukan suruh kau puji gambar tu! Aku nak kau siasat latar belakang dia.” Tegas Thakif. Susah payah dia menyeludup gambar Rania dari telefon pintar Adeeba, kemudian dicetak tanpa pengetahuan adiknya itu.
            Malik menyeluk lagi sampul surat itu dan satu helai kertas lagi dikeluarkan. “Rania Hafiya, Teluk Intan.” Dia membacanya.
            “Itu je yang aku tahu pasal dia.”
            “Kenapa encik nak tahu pasal latar belakang dia? Encik suka kat dia eh?” Malik mengecilkan matanya sambil tersengih.
            “Bukanlah! Muka dia seiras dengan arwah tunang aku.” Thakif menggaru keningnya.
            Malik mengangguk. “Siapa nama arwah tunang encik?”
            “Nuha Amanda Razman. Aku nak jawapannya secepat yang mungkin.” Thakif bangkit melangkah ke meja dan mengeluarkan buku cek dari dalam laci. Setelah menulis jumlah dan menandatanganinya, dia menyerahkan sekeping cek kepada Malik. “Aku bayar banyak ni dulu, bakinya aku bayar lepas tugas kau selesai.”
            “Beres, bos!” Malik menghirup air kopinya sehingga habis. “Saya balik dululah encik. Selesai je kerja, saya datang ofis encik.” Dia sudah berdiri dan bersalaman dengan Thakif.

            Sebaik saja Malik meninggalkan biliknya, Thakif melangkah ke meja kerja dan melabuhkan duduk di kerusi. Kerusi itu dipusing menghadap ke tingkap dan dia mula tersenyum, tak sabar menunggu hasil siasatan. Entah kenapa hatinya begitu meronta-ronta mahu menyiasat latar belakang Rania. Bukan dia tak percaya pada kata-kata Adeeba tapi dia sekadar mahu memuaskan hatinya sendiri. Tak salahkan kalau nak puaskan hati sendiri?

ADEEBA menjawab telefonnya apabila nama Thakif tertera di situ.
            “Helo, Deeba ada kat mana sekarang?” tanya Thakif tanpa mahu berlengah.
            “Deeba ada kat bilik. Kenapa, Abang Kif?” tanya Adeeba pelik.
            “Rania ada dekat bilik tak?”
            Dahi Adeeba berkerut. Dia yang sedang menyiapkan assignment di meja belajar menoleh kepala melihat Rania yang sedang berbaring di atas katil. “Ada. Kenapa?” Dia memusingkan kepalanya kembali menghadap komputer riba.
            “Deeba boleh suruh dia turun kejap? Abang nak jumpa dia. Abang ada dekat foyer ni.”
            “Abang ada dekat foyer? Kenapa nak jumpa Kak Ran?” Nada suaranya diperlahankan.
            “Abang nak bagi something dekat dia ni. Suruh dia turun.”
            “Okey, Deeba suruh dia turun sekarang.” Adeeba mematikan talian. Kerusi dipusingkan menghadap Rania. “Kak Ran, Abang Kif nak jumpa. Dia ada dekat foyer.
            Sepantas kilat Rania duduk. “Nak buat apa jumpa akak?” tanyanya terkejut.
            “Dia cakap nak bagi something. Kak Ran turun kejap eh?”
            “Kalau Deeba je yang ambil tak boleh ke? Akak malaslah nak turun,” dalih Rania. Dia malas mahu bersua muka dengan Thakif.
            “Dia cakap dia nak bagi dekat Kak Ran sendiri. Kak Ran turunlah kejap.”
            “Pergi jelah Kak Ran. Kita orang pun nak tengok jugak apa yang Abang Deeba nak bagi.” Adira yang berada di katil atas pula memujuk.
            “Okeylah...” Dengan malas Rania menyarung tudung dan melangkah keluar dari bilik. Dia menarik nafasnya berkali-kali agar tak gugup untuk berhadapan dengan Thakif.
Ketika menghampiri pintu masuk yang memisahkan foyer dan bangunan pentadbiran kolej, Rania lihat ada seorang lelaki berambut pendek sedang duduk di bangku di bahagian sisi foyer itu dengan membelakanginya. “Ehem...” Dia berdeham setelah yakin lelaki di hadapannya itu Thakif, memandangkan hanya lelaki itu seorang saja yang berada di situ.
Thakif yang sedang membetulkan ikatan reben pada kotak red velvet cupcakes terus berpaling memandang Rania. Senyuman dilemparkan buat buat tatapan gadis yang seiras arwah tunangnya.
Rania terpegun melihat wajah Thakif yang sudah bersih tanpa jambang dan berambut pendek. Penampilan lelaki itu pada hari ini nampak lain benar di matanya. Berbeza dengan Thakif yang dilihat tujuh bulan lalu. Ya, sudah tujuh bulan dia tak melihat lelaki itu.
            “Ada rasa dup dap dup dap ke tengok muka abang ni?”
            Usikan Thakif telah menyedarkan Rania yang terleka menatap wajah lelaki itu. Alamak, kantoi pulak tenung anak bujang orang! Wajahnya sudah merona merah. “Erk... Deeba cakap awak ada nak bagi something. Apa dia?” Dia tak mahu berlama-lama di situ.
            “Duduklah dulu.”
Rania menurut. Dia melabuhkan duduk di sebelah Thakif.
Thakif mengambil kotak red velvet cupcakes di sebelahnya lantas menghulurkan pada Rania. “Ini tanda terima kasih abang pada Rania.”
            Rania menelan liur melihat red velvet cupcakes yang bersusun cantik. “Terima kasih untuk apa ya?” Pemberian Thakif tetap disambut. Rezeki jangan ditolak!
            “Terima kasih untuk kata-kata Rania dulu. Disebabkan kata-kata tulah pintu hati abang terbuka untuk jalani rawatan. Kalau tak, mungkin sampai sekarang abang masih duduk kat kerusi roda.”
            “Ooo... kecik punya hallah. Saya cuma tolong Deeba je. Kalau tak ada apa-apa lagi saya balik bilik dululah, ada assignment nak kena siapkan,” bohong Rania. Dia sudah berdiri.
Thakif juga turut berdiri.
By the way, tahniah sebab dah boleh berjalan semula and you look so handsome dengan gaya baru.” Rania tergamam sebaik saja menuturkan ayat terakhir. Aku puji dia ke tadi? Ya Allah, malunya! Dia terasa segan mahu memandang wajah Thakif yang sudah tersengih lebar. “Erk... saya pergi dulu.” Kelam-kabut Rania berjalan menuju ke pintu masuk. Sempat dia mendengar ketawa Thakif. Sukalah tu orang puji dia handsome! Dia menoleh kepalanya dan dia lihat lelaki itu sudah menuruni tangga.
Baru beberapa langkah melepasi pintu masuk, dia bertembung dengan Imanina dan Sofi yang sudah menjeling tajam. Ni lagi sorang... renung bukan main tajam! Ni mesti kes nampak aku dengan Kif tadi la ni. Tiba-tiba saja Rania mendapat idea mahu menyakitkan hati Imanina. “Kau tahu tak siapa yang bagi red velvet cupcakes ni?” Rania menunjuk kotak red velvet cupcakes di tangannya. “Abang Kif yang bagi tau!” Dia membelai-belai kotak itu dan memandang muka Imanina yang sudah berapi. “Abang Kif kata... kalau aku makan red velvet ni aku akan terbaaayanggg muka dia yang handsome tu! Lepas tu kan, dia kata lagi bila aising ni cair kat dalam mulut, sama macam hati dia yang cair bila tengok aku tau! Romantik kan, Abang Kif tu? Kau Ada?” Sengaja dia melunak dan menguatkan suaranya.
            “Yes I am!
            Rania tergamam. Erk... tadi bukan dia dah turun ke? Dia menelan liur dan memandang Imanina dan Sofi yang berlalu dengan perasaan geram. Berdetup-detap bunyi kasut tumit tinggi mereka. Perlahan-lahan Rania memalingkan wajahnya menghadap Thakif yang berdiri di belakangnya. Dia menggaru kepala yang dilapik tudung. “Erk... pasal tadi tu jangan salah faham eh,” ujarnya teragak-agak.
            “Pasal yang mana satu? Kalau makan red velvet tu akan terbaaayanggg muka abang yang handsome ni ke atau kalau aising tu cair kat dalam mulut sama macam hati abang yang cair bila tengok Rania?” Thakif tersenyum nakal.
            Wajah Rania sudah semakin merah. Dia tak sanggup mahu memandang wajah Thakif. Hari ini sudah dua kali dia membuat perkara yang memalukan di depan lelaki itu. “Dua-dua pun bukan! Sebenarnya saya saja je cakap macam tu sebab nak sakitkan hati Iman,” jelasnya.
            “Ooo ya?” Thakif menyilang tangan ke dada.
            “Betul... Iman tu sebenarnya ada hati pada awak. Saya cakap macam tu sebab dia selalu mengutuk saya. Dia kata saya ni anak orang kampung tak sedar dirilah, saya ni menumpang kesenangan oranglah. Yalah, saya kan kadang-kadang tumpang kereta Deeba? Itulah, inilah, macam-macam dia mengata saya tapi saya sabar je.” Tanpa Rania sedar, dalam cuba menjelaskan, dia turut mengadu pada Thakif.
            Thakif sudah tergamam. Cara percakapan gadis itu yang sedikit manja mengingatkan dia pada Amanda. Amanda juga suka mengadu begitu padanya jika ada sedikit perselisihan faham dengan Anis.
            “Bila Iman nampak awak bagi red velvet ni dekat saya tadi, saya pun cakaplah macam tu untuk balas balik perbuatan dia. Awak sendiri nampak kan tadi muka dia geram je bila dengar saya cakap macam tu?” sambung Rania lagi.
            Thakif mengangguk. Dia cuba membuang jauh perasaannya yang menganggap gadis di hadapannya itu sebagai Amanda.
            “Awak dah tak salah faham, kan?” Rania menggigit bibir bawah.
            Thakif mengangguk lagi.
            “Phewww...” Rania mengeluh lega melihat anggukan Thakif. “Tadi bukan awak dah turun ke? Macam mana awak boleh naik balik?” Dia memang nampak lelaki itu turun tadi.
            “Abang ertinggal handphone dekat bangku tadi.” Thakif menunjuk Galaxy Note III di tangan. Dia memang sudah turun tadi. Ketika dia berpatah balik mahu mengambil telefon pintarnya yang tertinggal di bangku, dia  ternampak Rania berada di pintu masuk dengan badan membelakanginya. Setelah mengambil kembali telefon pintarnya, dia tak jadi untuk turun apabila terdengar sesuatu yang dia sendiri tak menyangka akan keluar dari mulut Rania.
            “Ooo...” Rania mengangguk. “Kenapa awak suka bahasakan diri awak abang dekat saya? Awak anggap saya ni arwah Manda ke?” Rania mengerut dahi. Dari tadi lagi dia mahu bertanya tapi dia segan. Alang-alang sudah termalu dua kali, lebih baik dia bertanya.
Thakif tersenyum. “Memang muka Rania sebijik macam arwah Manda tapi abang tak pernah anggap Rania ni dia. Abang sedar Manda dah tak ada dan abang dah anggap Rania macam adik abang sendiri,” jawabnya jujur. Dia sudah biasa membahasakan dirinya abang ketika Amanda masih hidup dan dia terasa kekok mahu mengubahnya apabila berhadapan dengan Rania. Lagipun tiada salahnya dia membahasakan dirinya begitu kerana Rania muda dua tahun daripadanya.
“Tapi saya tak ada abang!”
“Kalau macam tu abang boleh jadi abang Rania. Rania boleh anggap abang ni macam abang Rania,” tawar Thakif ikhlas.
Tak berkelip Rania memandang Thakif. “Tak apalah. Saya rasa tak payahlah kot nak berabang-abang ni. Bahasakan nama pun dah okey,” tolaknya tak selesa.
Thakif mengangkat kedua-dua belah bahunya, tak mahu memaksa. Tak sudi tak apa...
“Terima kasih untuk red velvet ni.” Usai berkata, Rania terus berlalu.
            “Wow! Apa tu?” Adira sudah turun dari tangga katil sebaik saja melihat Rania melangkah masuk.
            “Red velvet cupcakes. Nanti kita makan-sama-sama eh?” Rania meletakkan kotak berisi red velvet cupcakes itu di atas meja belajar.
            “Kak Ran dengan abang Deeba ni ada apa-apa ke?” Adira sudah tersenyum mengusik.
            Adeeba turut menanti jawapan Rania. Tangannya sudah membelek kotak itu. Melihat pada bungkusan kotak itu, dia tahu di mana Thakif membelinya.
            “Mana ada apa-apa! Kif bagi red velvet ni sebagai tanda terima kasih sebab akak dah bukak pintu hati dia untuk jalani rawatan je,” jelas Rania. Reben yang menghiasi kotak ditarik perlahan.
            “Kalau pintu hati dia terbukak untuk Kak Ran pulak mesti dia bagi bunga, kan? Mesti sweet kalau Kak Ran dapat bunga daripada abang Deeba!”
            Adeeba ketawa mendengar usikan Adira.
“Hei, jangan nak merepek eh? Akak tak ada apa-apa perasaanlah dekat Kif tu.” Pantas Rania meningkah.
            “Ke Kak Ran dah ada buah hati? Entah-entah mamat yang bagi HTC One X tu kot pakwe Kak Ran?” Adeeba juga mahu tahu isi hati Rania.
            “Tu kawan jelah, tak lebih dari tu!” pangkas Rania lagi.
“Kalau kawan, takkanlah dia selalu SMS akak je? Tu macam lebih dari kawan je...” Adira masih mahu mengorek rahsia Rania.
Excuse me, bukan selalu eh, kadang-kadang je tau. Dia cuma tanya khabar dan luahkan masalah dekat akak je. Takkan tak boleh kot? Lagipun dia tak ada kawan perempuan. Akak ni satu-satunya kawan perempuan yang dia ada.” Kotak mula dibuka.
“Kak Ran tak rasa pelik ke kenapa dia nak berkawan dengan akak? Ni tak lain tak bukan mesti kes jatuh cinta dengan Kak Ran punyalah!”
Adeeba mengangguk, menyokong kata-kata Adira.

“Adik-adikku sekalian... akak datang ke sini nak belajar, bukan nak bercinta tau. Akak tak fikir pun dia tu suka kat akak. Dia ada rupa dan boleh cari yang setaraf dengan diri dia. Lagipun akak ni jenis yang tak memilih kawan. Akak berkawan dengan sesiapa je yang sudi nak berkawan dengan akak.” Rania malas mahu mengusutkan fikirannya. “Dahlah, makan red velvet ni lagi best dari cakap pasal pakwe.” Rania mencapai sebiji cupcakes lantas melangkah ke katil. Dia tersenyum apabila teringat kata-katanya pada Imanina dan sofi tadi. Gila betullah aku ni. Boleh pulak keluarkan ayat yang menggelikan tu. Dah tu nak makan red velvet ni pun aku dah terbayang muka Kif. Adoiii la... memang tak boleh blah! Belum lagi makan aising ni.

~BERSAMBUNG~

14 comments:

  1. nape nia...terkedu ker nengok abg thakif.heehee encom kn bila dh kemas cam tuh..rase2 nyer leh tk terjatuh ati kat abg thakif...iya lh tk nk abg thakif anggap nia cam adek..dalam hati ade taman kot..heeheeee...best dek

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha... dia dah cair sikit la kot tengok muka thakif...

      Delete
  2. Hehehehe yeye....thakif dh suka rania ke? Xsabar tgu diorg bercinta

    ReplyDelete
  3. WAH3X... akhirnya dorang jumpa jugak.. rasanya bunga2 cinta tu belum ada kat dalam hati rania kot.. hehehe..
    thanks writer sebab dah update.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ur welcome... entah bila la bunga-bunga cinta ni nak ada dalam hati dorg en =)

      Delete
  4. wah.. akhirnya dorang bertemu jgk... best2... sweet jer... x sabaq nk next n3... hehehehe...

    ReplyDelete
    Replies
    1. sweet eh... bila WC bce balek ape yg rania cakap kat Iman tu, rasa macam geli la plk coz 1st time wat ayat mcm tu... hahaha...

      Delete
  5. tersangatlah best!!!
    Happy sesangat sebab Rania dah jumpa dengan Thakif versi dah sembuh. I like... haha.
    Thank kak WC. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha... thnx ifa coz sudi baca n komen...

      Delete
  6. next n3 plez..heheheh..yana

    ReplyDelete
    Replies
    1. bile da siap edit nanti baru WC post eh...

      Delete