Followers

Sunday, 3 March 2013

Separuh Hati Untukmu 24


HARYATI keluar dari dapur dengan menatang dulang untuk ke bilik Puan Sri Anida. Ketika mahu menaiki tangga, dia bertembung dengan Anis yang sedang menuruni tangga. “Cik Anis tak nak sarapan dulu ke?” sapanya ketika langkah Anis sudah menghala ke pintu.
            “Tak apalah, Yati, nanti Anis breakfast kat luar je,” jawab Anis lembut sambil senyum.
            “Erm... Cik Anis tak nak suapkan Puan Sri ke? Puan Sri mesti suka kalau Cik Anis yang hantarkan sarapan,” tanya Haryati apabila melihat angin Anis begitu baik dan tak marah-marah seperti selalu.
            Langkah Anis terhenti. Dia berpaling menghadap Haryati dengan wajah yang berubah berang. “Kau dah gila ke nak suruh aku suap ibu? Nak suruh ibu tumpahkan makanan kat baju aku pulak ke?”
            Haryati terkejut mendengar kata ganti nama yang digunakan Anis. Nampaknya dia benar-benar tersalah meneka keadaan cuaca di hati Anis. “Tapi... bukan ke hari tu Cik Anis...”
            “Suapkan ibu?” potong Anis tanpa sempat Haryati menghabiskan ayatnya.
            Haryati mengangguk laju.
            Anis tersenyum sinis. “Heh... kau ni memang bodohlah, Yati! Takkanlah aku nak tunjuk perangai aku kat depan Kif kot? Dahlah, pergi bawak naik dulang tu. Mesti ibu tak sabar nak tunggu kau suap!”
            Astaghfirullahalazim... kesian Puan Sri ada anak berperangai macam ni. “Tapi Cik Anis, kalau Cik Anis yang suapkan mesti Puan Sri lagi berselera nak makan.” Dia masih cuba memancing nasib. “Saya ni orang luar, Cik Anis pulak anak Puan Sri. Lain rasanya kalau terima suapan dari anak sendiri. Lagipun Cik Anis la satu-satunya anak perempuan yang Puan Sri ada lepas arwah Manda meninggal. Kalau Cik Anis layan Puan Sri dengan baik dan ikhlas, pahala berbentuk syurgalah ganjarannya nanti.” Dia memaniskan wajah.
            Anis menghempas kasut tumit tinggi yang dikeluarkan dari almari kasut. Dia merenung tajam ke wajah Haryati yang sudah pucat lesi. Mungkin terkejut dengan reaksinya tadi. “Siapa orang gaji kat dalam rumah ni? Kau ke aku?!” tengking Anis.
            “Sa... saya, Cik Anis.” Tergagap-gagap Haryati bersuara.
            “Haaa... kalau dah tahu diri tu orang gaji, buatlah cara orang gaji. Tak payah nak mengajar aku pulak!” tengking Anis lagi. Dia geram dengan Haryati yang telah merosakkan moodnya pagi itu.
            “Apa yang bising-bising ni?” tanya Tan Sri Razman yang berdiri di tangga atas. Dia memandang Haryati dan Anis silih berganti.
            Anis memakai kasutnya tanpa menjawab soalan Tan Sri Razman.
            “Nak ke mana tu, anyah?”
            “Nak keluar kejap. Bosanlah duduk rumah,” jawabnya tanpa memandang wajah Tan Sri Razman. Semalam dia ada mengajak Thakif keluar tapi lelaki itu menolak. Pagi ini Jennifer menjadi mangsa untuk menemaninya setelah Maria turut menolak ajakannya kerana mahu menghabiskan masa cuti dengan keluarga tunangnya.
            “Tak boleh nak lekat dekat rumah langsung. Asyik nak berjalan je kerjanya! Papa ikat kaki tu kat tiang baru tahu. Biar tak dapat pergi mana-mana dah,” bebel Tan Sri Razman.
            “Papa, anyah bukan budak-budak lagi tau sampai nak kena ikat kat tiang. Masa kecik dulu bolehlah papa ugut macam tu. Sekarang anyah dah besar, dah tak takut dengan ugutan macam tu. anyah keluar dulu, pa. Nak release tension.” Sempat dia menjeling tajam ke wajah Haryati.
            “Budak ni, kalau tak menjawab tak sah!” Tan Sri Razman menggeleng melihat Anis hingga hilang dari pandangan mata. “Bagi sini dulang tu, saya nak makan dengan Nida kat bilik.” Dia menghulur tangan mahu mengambil dulang di tangan Haryati.
            “Tapi ni ada sepinggan je pulut kuning, Tan Sri... kejap saya ambil sepinggan lagi untuk Tan Sri.” Haryati menuruni tangga setelah menyerahkan dulang kepada Tan Sri Razman.
            “Tak payahlah, Yati... saya kongsi dengan Nida je.
            Langkah Haryati terhenti. Dia berpaling memandang Tan Sri Razman. “Baiklah, Tan Sri...” Kemudian dia menuruni tangga dengan hati yang kagum terhadap majikannya yang sangat mencintai Puan Sri Anida walaupun usia semakin meningkat dan dengan keadaan Puan Sri Anida yang masih begitu.

DIA termenung di balkoni biliknya. Sampul surat berwarna coklat di atas meja itu ditenung dalam-dalam sebelum mencapainya. Isinya dikeluarkan dan membaca kembali apa yang tertera di kertas itu. Rania Hafiya binti Razman. Sudah banyak kali dia membaca hasil siasatan itu namun dia bagaikan tak percaya. Kepalanya ditongkat dan mengimbas kembali perbualannya dengan Malik dua hari lalu.
            “Betul ke apa yang aku baca ni Malik?” Thakif menyandarkan badan ke sofa dan memandang Malik dengan wajah yang keliru.
            “Betul, Encik Kif. Arwah tunang encik merupakan kembar Rania. Saya sendiri pergi siasat dekat hospital tempat Rania dilahirkan. Kata kawan saya yang kerja kat situ, Rania dilahirkan kembar. Saya ada jugak tanya jiran-jiran kat rumah keluarga angkat dia, ada yang kata ternampak pasangan suami isteri yang bagi Rania pada Razali dan Azizah. Ada jugak yang cakap Rania ni dibuang keluarga kandung sebab dia anak luar nikah dan anak hasil dirogol oleh perompak.”
            “Siapa yang pandai-pandai cakap macam tu? Dia orang tak tengok ke yang Rania tu berbintikan Razman?” ujar Thakif sedikit geram.
            “Orang kampung memang macam tu, encik. Bercakap ikut sedap mulut. Encik nak saya siasat punca arwah tunang encik terpisah dengan kembar dia ke?”
            “Tak payahlah, yang tu biar aku yang uruskan. Kau dah dapatkan maklumat macam ni pun dah okey.”
            Thakif meletakkan kembali sampul surat di atas meja. Ketika mendapat tahu tentang hal ini, dia tak sampai hati mahu memberitahu Rania. Dia tak mahu fikiran gadis itu terganggu tambahan pula gadis itu masih dalam mood peperiksaan. Matanya dihalakan ke luar balkoni. “Patutlah hati aku macam tak sedap je bila tengok Rania. Patutlah hati aku bagaikan ditarik-tarik nak siasat background dia. Rupa-rupanya Tuhan nak tunjukkan pada aku yang arwah Manda ada kembar yang terpisah sejak dari bayi. Tapi... apa tujuan Dia nak tunjukkan aku pasal ni?” Dia cuba berfikir secara logik. Tiba-tiba wajah Puan Sri Anida muncul di ruang matanya. Dia melangkah masuk ke biliknya dan mencapai telefon pintar yang diletakkan di meja lampu.
“Helo, Qhaf... kau free tak hari ni?” tanya Thakif sebaik saja Qhafi menjawab panggilannya.
            “Aku tak free, aku mahal.”
            Terjegil mata Thakif mendengar jawapan gurauan Qhafi. “Isy, kau ni... aku serius, kau main-main pulak!” Serius saja nada suara Thakif.
            “Hahaha... relakslah, bro... kau nak jumpa ke?”
            “Haah, aku nak jumpa kau kat tempat biasa, pukul 3 kang.
            “Okey set, aku jumpa kau kat sana,” jawab Qhafi di hujung talian.
            Sebaik mematikan talian, Thakif melihat jam di skrin telefon pintarnya. Baru pukul 11 pagi. Ada lagi empat jam sebelum pukul 3 petang. Dia melangkah keluar dari bilik dan menuju ke bilik Adeeba. Sebaik membuka pintu bilik adiknya, dia lihat bilik itu kosong. Kemudian dia melangkah ke bawah mahu melihat kalau-kalau adiknya berada di luar rumah.
            “Eh, sekejapnya kereta siap?” Thakif terkejut melihat Adeeba sedang  mencuci kereta di laman. Dia melabuhkan duduk di kerusi yang berdekatan dengan tempat Adeeba mencuci kereta.
            Adeeba memandang Thakif. “Bateri je yang problem...” bohongnya sambil menyabun kereta.
             “Ooo... Rania dah sampai kampung ke? Hari tu abang tertunggu-tnggu jugak dia call tapi tak call pun. Panggilan rindu pun tak buat.” Wajah Thakif sedikit murung. Memang dia tak lena tidur sejak mengetahui identiti sebenar Rania.
            “Kak Ran ada mesej Deeba semalam, dia cakap dah sampai. Abang rindu dia eh?” Adeeba tersenyum nakal.
            “Deeba ni ke situ pulak! Abang cuma risaukan dia tidur sorang-sorang kat kolej tu je. Kalau dia okey, baguslah. Lega sikit hati abang ni. Lepas ni tolong cuci kereta abang pulak.” Thakif tiada rasa mahu bercerita tentang identiti sebenar Rania pada adiknya. Dia mahu Qhafi tahu dulu kerana lelaki itu lebih berhak untuk tahu.
            “Boleh... tapi kena bagi upah!” Adeeba tersengih.
            “Berkira betullah Deeba ni. Cubalah tolong dengan ikhlas sikit... ni sikit-sikit minta upah!” Thakif berpura-pura merungut.
            “Mestilah kena berkira. Nak masuk tandas pun kena bayar tau!”
            “Yalah, nanti abang bagi upah.” Thakif bangun mencapai hos getah lantas menjirus ke kereta Adeeba yang bersabun.
            “Haaa... macam ni barulah boleh jadi abang kesayangan Deeba!”
            Thakif mencebik. “Kalau bagi upah, abang kesayangan. Kalau tak bagi upah pulak abang apa?” Dia memandang Adeeba yang sedang menyabun belakang kereta.
            “Kalau tak bagi upah, abang tangkai jering la! Hahaha...” Adeeba ketawa.
            Thakif menghalakan muncung hos getah ke arah Adeeba dan menembaknya.
            “Abang Kif, apa ni? Basahlah!” Adeeba mengelak. Dia mengibas-ngibas percikan air yang terkena baju T- shirt kuning yang dipakainya.
            Thakif ketawa. Dia menghalakan lagi muncung hos getah ke arah Adeeba.
            Adeeba pantas berlari ke sebelah kanan pula. “Dahlah, bang... nanti Deeba tak nak cuci kereta abang kang baru tahu!” Dia sudah memuncung.
            “Tak nak cuci sudah, abang boleh cuci sendiri. Nah, amek ni!!!” Sekali lagi dia menembak Adeeba.
            Adeeba menutup muka dengan kedua-dua belah tangan. “Ni dah lebih ni!!!” Dia mencapai baldi yang berisi air sabun lantas menyimbah ke badan Thakif yang tak bersedia. Kemudian dia ketawa melihat baju abangnya yang dihujani air sabun.
            “Deeba, habislah baju abang! Abang tembak dengan air bersih je, Deeba siram dengan air sabun pulak!” ujar Thakif geram. Hos getah di tangan dihalakan ke badannya, membersihkan sisa sabun.
            Padan muka! Siapa suruh abang mula dulu.” Adeeba mencapai satu lagi hos getah dan turut membersihkan baju Thakif.
            “Kif, kenapa mandi kat luar ni? Bilik air kat dalam rumah ni tak best ke sampai nak mandi kat luar?” tanya Datin Rosnah yang meninjau bunyi bising di laman rumah.
            “Abang Kif cakap dia mengidam nak mandi kat luar, ma...” Adeeba gelak.
            Thakif meluku kepala Adeeba. “Pandai-pandai je budak ni.” Dia memandang mamanya pula. “Deeba siram Kif dengan air sabun, ma. Habis bersabun baju Kif ni,” adunya.
            Hos getah sudah Adeeba campakkan ke bawah dan dia mula bercekak pinggang memandang Thakif. “Ewah-ewah... suka jiwa je menuduh. Abang yang siram Deeba dulu tau!”
            “Deeba la mula dulu panggil abang tangkai jering.” Thakif menyiram kepala Adeeba.
            “Mama, tengoklah abang ni!” Adeeba  menepis hos getah di tangan Thakif.
            “Mama, tengoklah Deeba ni!” Thakif mengajuk cara percakapan Adeeba yang manja.
            Adeeba menyiku pinggang Thakif.
            “Auuuu!” Thakif terjerit kecil. Pinggang yang terasa sengal digosok perlahan.
            Datin Rosnah menggeleng kepala. Apabila datang perangai gila-gila, macam inilah keadaan anak-anaknya. Namun di dalam hati dia berasa bahagia. “Malas mama nak layan kamu berdua ni. Tunggu situ, mama masuk ambil tuala.”

QHAFI sudah bersiap-siap untuk berjumpa Thakif. Setelah membetulkan T- shirt berkolar berwarna biru muda yang dipakai, dia terus melangkah keluar dari bilik. Ketika mahu menuruni tangga, matanya terpandang bilik yang berhampiran dengan bilik Amanda  yang terbuka sedikit. Perlahan-lahan kaki dibawa ke arah bilik yang terbuka itu. Semakin hampir ke bilik itu dadanya terasa berdebar. Tambahan pula apabila mendengar suara tangisan ibunya, lagilah hatinya terasa tak keruan.
            Tangan kanan menolak sedikit pintu bilik itu. Matanya diliarkan memandang sekeliling bilik yang dicat dengan warna hijau muda. Bilik itu nampak kemas tanpa sebarang habuk. Di sebelah katil bersaiz queen terdapat sebuah baby cot yang elok terletak. Kemudian dia memandang Puan Sri Anida yang sedang mengusap bingkai gambar yang tergantung di dinding di atas kepala katil. Dia mengerut dahi. “Tu bukan gambar Manda ke?” bisiknya perlahan. “Tapi... kenapa ada sorang lagi muka macam Manda?” Dia pelik melihat gambar dua orang bayi yang sedang tidur di dalam baby cot.
            Puan Sri Anida mencapai baju bayi yang berwarna pink di dalam baby cot. Dia mencium baju itu dan memeluknya erat. “Yaya...”
            Qhafi terkejut mendengar nama yang keluar dari mulut Puan Sri Anida.
            “Yaya...” Puan Sri Anida teresak-esak.
            “Siapa Yaya?” bisik Qhafi perlahan. Matanya bersilih ganti memandang Puan Sri Anida dan gambar yang tergantung di dinding itu.
            Puan Sri Anida memanggung kepala memandang gambar itu lagi. “Manda... Yaya... ibu rindu... ibu rindu kamu berdua... bila Manda nak balik? Kenapa tinggalkan ibu lama-lama? Manda tak sayangkan ibu ke?”
            Qhafi terasa mahu pitam. “Manda ada kembar ke? Kenapa selama ni aku tak tahu pun?” Dia menarik nafas cuba menenangkan hatinya. Dia perlu bertanya kepada ibunya untuk menghilangkan tanda tanya di dalam kepala. Baru saja dia mahu menghampiri Puan Sri Anida, ada tangan yang memegang bahunya. Dia pantas berpaling.
            “Along buat apa kat sini?” tanya Tan Sri Razman yang berada di luar pintu bilik.
            “Papa, siapa Yaya?” tanya Qhafi. Peluang sudah ada di depan mata, dia tak akan sekali-kali melepaskan.
            Wajah Tan Sri Razman berubah. “Macam mana along tahu?” Dia pelik apabila melihat Qhafi berdiri di depan pintu bilik itu tadi. Hatinya tertanya-tanya bagaimana anak sulungnya itu mendapat kunci bilik itu. Bilik yang dia sendiri tidak membenarkan anak-anaknya menerokai isi di dalamnya. Setahunya hanya dia dan isterinya saja yang mempunyai kunci bilik itu. Setiap seminggu sekali dia akan menyerahkan kunci bilik itu kepada Haryati untuk proses pembersihan tanpa pengetahuan anak-anaknya. Takkanlah Yati terlupa nak kunci bilik kot?
            “Yaya...”
            Suara Puan Sri Anida telah menjawab segala persoalan yang berlegar di benak Tan Sri Razman. Dia melangkah masuk ke bilik itu tanpa menjawab soalan anak sulungnya. Langkah kakinya terhenti apabila Qhafi memegang lengannya. Matanya di halakan ke wajah isterinya tanpa berpaling memandang Qhafi.
            “Siapa Yaya, pa? Kenapa ibu menangis? Kenapa ada sorang lagi baby yang muka macam Manda dalam gambar tu? Dia adik along ke, pa? Mana dia sekarang?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Qhafi.
            Tan Sri Razman menarik nafas perlahan. Dia melepaskan pegangan Qhafi di lengannya lantas mendapatkan Puan Sri Anida yang masih menangis di atas katil.
            “Papa!” Suara Qhafi sedikit meninggi. Dadanya terasa bagai nak pecah apabila Tan Sri Razman tak menjawab semua soalannya.
            “Nida, jom kita balik bilik.” Tan Sri Razman mengambil baju dipelukan isterinya lantas diletakkan semula di dalam baby cot. Dari ekor mata, dia dapat melihat wajah satu-satunya anak lelakinya itu sudah sedikit bengang.
            “Abang, Nida rindu anak-anak kita. Nida rindu kat Manda...  rindu kat Yaya jugak,” rintih Puan Sri Anida.
            Sedikit sebanyak rasa bengang Qhafi surut apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ibunya. Tapi itu tak bermakna dia tak akan menuntut jawapan daripada papanya.
            “Abang tahu... abang pun rindukan mereka jugak. Kita balik bilik kita ya?” Tan Sri Razman memegang bahu Puan Sri Anida dan membangunkannya. Dia memandang Qhafi yang masih setia berdiri di muka pintu. Sudah sampai masanya untuk dia membuka rahsia yang telah lama disimpan. “Betul along nak tahu siapa Yaya?”
            Qhafi mengangguk laju.

            “Tunggu papa kat bilik bacaan. I will tell you everything.” Tan Sri Razman membawa Puan Sri Anida keluar dari bilik itu. “Tolong kunci pintu bilik ni,” pesannya.

~BERSAMBUNG~

p/s: Semua tanda tanya dah terjawab kan...

22 comments:

  1. oohhhh.. cm 2..tp npe dorg serahkn kembar manda kt org lain... xsbr2..huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. A'a Rania ni kembar Manda... yang tu kena tunggu next...

      Delete
  2. smbg cepat2 ye...makin tak sabar nie...best

    ReplyDelete
  3. eits... belum sempat thakif mau kasi tau, papa si qhafi ni pulak yang mau masuk daun.. bah, jangan di kasi lama ya.. tak sabar mau tau cerita si yaya ni.. heheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tu la... nmpknye Qhafi tau dulu dr ayah dia... Insya-Allah WC cuba tapi xjanji dpt post cepat coz nak balik kampung kejap...

      Delete
  4. Omg omg manda ngn rania tu kembar laaaa....whoaaaaaaa x sabarrrrrr~~~

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha... terkejut eh... bab 25 nanti akan menjadi bab terakhir di blog...

      Delete
  5. issh,isshh,iiissssh...cik WC buat cliff hanger la pulak...cepat smbng!!!!

    ReplyDelete
  6. Wah... Mcm dh leh agk dah...tp cuma nk tunggu ran dengan thakif ke x eh hehehe

    ReplyDelete
  7. Best..... #^_^
    Cant wait for the next entry ....

    ReplyDelete
  8. Replies
    1. Insya-Allah... nantikan bab terakhir eh...

      Delete
  9. uittt... best sangat!!
    Nampaknya Qhafi akan tahu daripada papa dia dululah. Nanti boleh bincang dengan Thakif. hehee.
    Best sangat kak WC. terima kasih. 1 bab lagikan. huhu. good job kak. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. a'a qhafi tau dulu dr papa dia... ape la yg papa dia nak bagitau tu en... akak da balik kl... lps ni blh sambung balik bab 25 =)

      Delete
  10. bila n3 last ni?? mcm sdih pula bla ckp n3 last...

    ReplyDelete
    Replies
    1. last n3 mgkin lambat sikit coz bz sket... nnti da xbz WC post eh... WC pon sedih jugak coz nak KPH da nk abes kat blog...

      Delete