Followers

Sunday, 21 July 2013

Teaser 2 Seiras a.k.a Separuh Hati Untukmu



 “Baiklah bang, Zah reda andai ini yang tersurat buat keluarga kita. Zah rela berkongsi kakak dengan keluarga kandung kakak. Zah tak nak gembira di atas kesedihan orang lain,” putus Azizah.
            “Alhamdulillah...” Qhafi dan Thakif meraup wajah. Kedua-duanya lega apabila segalanya dipermudahkan.
            Rania menjeling tajam pada Thakif di sebelahnya yang nampak sedikit ceria. Kemudian dia membuang pandang ke wajah emak dan abahnya. “Kakak tak setuju, mak... abah... kakak takkan tinggalkan rumah ni.” Dia beralih memandang Qhafi dan tersenyum sinis. “Jangan awak ingat bila mak dan abah saya dah setuju, saya pun akan setuju. Saya tak akan ikut awak dan saya tak sudi nak jejakkan kaki kat rumah tu!”
            “Tapi kakak, ibu kakak sakit. Kakak tak kesiankan ibu kakak ke? Kakak tak teringin ke nak tengok ibu kakak? Kakak sendiri dengar kan ibu kak long rindukan kakak?” ujar Razali.
Rania menggeleng kepala. “Perempuan tu bukan rindukan kak long tapi dia rindukan arwah Manda! Buat apa kak long nak kesian kat dia sedangkan dia tak pernah kesiankan kak long sampai sanggup bagi kakak kat orang lain!”
            “Kakak! Jaga bahasa tu! Abah dengan mak tak pernah ajar kak long cakap macam tu.” Tegas Razali bersuara. Dia tak menyangka Rania akan membahasakan ibu kandungnya begitu. Namun dia tahu Rania tak sengaja nak berkurang ajar. Anaknya itu masih berada dalam keadaan marah. Apabila hati dikuasai rasa marah, macam-macam yang akan keluar dari mulut.
            “Keputusan kak long muktamat, mak... abah... kak long tak kan ikut dia!” Jari telunjuk dituding ke arah Qhafi. “Tolong jangan paksa kak long lagi.” Dia berlari mahu masuk ke dalam rumah. Belum sempat dia sampai ke pintu masuk, adik-adiknya sudah menyerbu ke arahnya.
            “Kakak...” Fazila dan Maisara sudah memeluk Rania.
            Rania membalas pelukan adik-adiknya.

Tuesday, 9 July 2013

Teaser 1 Seiras a.k.a Separuh Hati Untukmu


BALIK dari sembahyang Jumaat, Thakif, Razali, Qhafi dan Hakimi duduk di ruang tamu sementara menanti makanan dihidang.
            Thakif menanggalkan songkoknya dan meletakkannya di meja kopi. Hidungnya menangkap bau wangi ikan masin yang sedang digoreng di dapur. Bau wangi ikan masin itu membuatkan perutnya berbunyi kelaparan. Maklumlah ketika dalam perjalanan ke sini tadi Qhafi langsung tak mahu singgah ke R&R kerana tak sabar mahu berjumpa Rania.
            “Abang Kif lapar ke?” tanya Hakimi yang terdengar perut Thakif berbunyi.
            Alamak, kantoilah pulak! Thakif tersenyum malu. “Taklah Kimi... perut abang ni memang macam ni.” Dia memberi jawapan bodoh. Konon-konon nak tutup rasa malu.
            “Kejap, Kimi pergi dapur nak tengok mak dengan kak long dah siap masak ke belum.” Hakimi menundukkan sedikit badannya ketika melintasi Thakif dan Qhafi. Kemudian dia melangkah ke dapur. “Mak, dah siap masak ke? Abang Kif dah lapar.”
            Alamak aiihhh... apesal Kimi petik nama aku ni? Malu aku! Thakif menggosok tengkuknya dan tersengih malu pada Razali dan Qhafi yang memandangnya.
            “Dah nak siap dah ni. Pergilah panggil abah dengan abang-abang tu datang dapur. Panggil kak ngah dengan adik sekali kat bilik.”
            Hakimi melangkah semula ke ruang tamu. “Abah, Abang Kif, Abang Qhaf... mak panggil makan kat dapur.” Kemudian dia melangkah ke atas mahu memanggil Fazila dan Maisara.
            “Jomlah kita makan. Pak cik pun dah lapar ni.” Razali bangun mendahului Thakif dan Qhafi.
            Duduk saja di meja makan, pecah liur Qhafi melihat lauk yang terhidang. Ada masak lemak pucuk ubi, ikan keli goreng berlada, ulam-ulam, sambal belacan, telur dadar dan ikan masin goreng yang semerbak bau wanginya. Walaupun lauknya tak banyak tapi mampu membangkitkan seleranya apabila melihat lauk kegemarannya turut terhidang.
            Rania mencapai satu lagi kerusi dan diletakkan di meja makan. Memandangkan meja itu hanya muat untuk lapan orang, Fazila dan Maisara terpaksa duduk menyempit sedikit di kepala meja bahagian hujung.
            “Makanlah, lauk kampung je ni.” Azizah mempelawa sebaik saja selesai mengaminkan doa.
            “Lauk kampung pun sedap, mak cik... nak-nak lagi ada sambal belacan ni. Pecah liur saya dibuatnya. Lepas tu makan pulak ikan masin ni, gerenti berselera tekak saya,” ujar Thakif ramah sambil ibu jari dituding ke pinggan berisi ikan masin di depannya. “Bau ikan masin ni pun wangi je. Apa nama ikan masin ni, mak cik?” Dia memandang Azizah yang duduk di sebelah kanan Rania.
            “Nama ikan masin ni ikan kena dera...” cantas Rania sebelum sempat emaknya menjawab.
            Terlepas terus ikan masin yang Thakif pegang ke dalam pinggan.
            Suara ketawa Hakimi, Fazila, Maisara dan Adeeba memcahkan suasana dapur.
            “Kakak ni, tak baik kenakan Kif macam tu. Sampai tak jadi dia nak ambil ikan masin tu,” tegur Azizah.
            Rania geli hati melihat muka terkejut Thakif. Dia mengembungkan pipinya cuba menahan ketawa dari pecah.
            “Ambil ikan masin tu, Kif... jangan dengar cakap Rania tu. Ikan masin ni namanya ikan kedera masin. Budak-budak ni suka sangat panggil ikan masin tu macam tu sebab kedera dengan kena dera tu nak dekat sama sebutannya,” jelas Azizah sambil mencedok sambal belacan dan diletakkan ke pinggannya.
            Thakif mengambil kembali ikan masin tu. Dia memandang Rania yang duduk bertentangan dengannya. Nakal pulak Yaya ni. Pandai nak kenakan aku. Tapi... apesal aku tengok dia nampak comel eh bila dia buat muka macam tu? Thakif masih lagi memandang Rania yang sedaya upaya cuba menahan ketawa. Sudah, Kif... jangan nak puji-puji anak dara orang! Makan nasi ni, tadi beria-ia sangat perut ni lapar. Thakif mencubit sedikit isi ikan kedera masin lantas di suap ke mulut bersama nasi. Memang sedap. Wangi pun wangi, sedap pun sedap!
            “Ikan keli ni Deeba yang masak.” Saja Rania memberitahu apabila melihat Qhafi seperti mahu mencapai sudu di pinggan ikan keli goreng berlada.
            Qhafi segera mengalihkan tangannya ke sudu masak lemak pucuk ubi. Sempat matanya menjeling Adeeba yang kelihatan muram, sudah tak ceria seperti ketika Rania mengusik Thakif tadi. Dia tahu gadis itu terasa lagi dengan tingkahnya.
            “Deeba yang masak?” Mata Thakif sedikit terbuntang. Melihat anggukan Rania, pandangannya dialihkan ke wajah Adeeba yang duduk di sebelah kiri Rania. “Pandainya Deeba masak. Sedap...” pujinya.
            Adeeba tersenyum tawar. “Mak cik yang ajar tadi...” Nasi disuap dan dikunyah perlahan.
            Rania pelik melihat Qhafi langsung tak menyentuh lauk yang dimasak oleh Adeeba. Ketika dia dan emaknya sedang memasak tadi, Adeeba beria-ia menyuruh emaknya mengajar cara memasak ikan keli goreng berlada apabila mendapat tahu emaknya mahu memasak lauk itu. Pada Rania sempat Adeeba berbisik yang lauk ikan keli goreng berlada adalah lauk kegemaran Qhafi.
Dia orang ni gaduh ke? Lain macam je  muka boyfriend Deeba ni. Rania memandang Adeeba dan Qhafi silih berganti. Riak muka Adeeba nampak muram manakala Qhafi yang duduk di sebelah Thakif pula nampak tegang.
            “Qhaf tak makan ikan keli ke? Pak cik tengok kamu tak sentuh langsung lauk tu,” tanya Razali.
            “Saya memang tak makan ikan keli, pak cik...” bohong Qhafi walaupun hatinya terasa mahu mengambil lauk itu. Dia terasa puas apabila melihat wajah Adeeba semakin muram. Dia memang sengaja mahu mengecewakan hati gadis itu dengan cara begitu.
            Hmmm... sahlah ada yang tak kena ni! Dari tadi terjeling-jeling lauk tu, ambil jelah! Kerana tak tahan melihat Qhafi asyik bermain mata dengan lauk ikan keli goreng berlada, tangan Rania pantas mencedok seekor ikan keli dan diletakkan ke dalam pinggan Qhafi.
            Qhafi dan yang lain tersentak dengan tindakan Rania. Semua mata tertumpu ke arah gadis itu.
            “Cubalah makan dulu, sedap tau. Kalau tak cuba mana nak tahu tekak tu boleh terima ke tak...” Dengan muka tak bersalah Rania bersuara.
“Kakak, kan Qhaf cakap dia tak makan ikan keli? Kenapa letak kat pinggan dia?” tegur Azizah tak senang. Dia menggeleng kepala memandang Rania yang hanya tersengih. Kemudian dia memandang Qhafi dengan wajah serba salah. “Qhaf, asingkan ikan keli tu ke tepi pinggan.”
“Tak apa, mak cik. Saya try dulu. Lagipun betul jugak kata Rania tu.” Qhafi melemparkan senyuman untuk menyedapkan hati emak angkat Rania. Perlahan-lahan dia mencubit isi ikan keli.
“Macam mana? Sedap tak Deeba masak?” Rania sudah menjungkit sebelah kening menanti reaksi Qhafi. Wajahnya ketika itu nampak nakal sekali.
Qhafi mengangguk. Memanglah sedap, ni kan lauk kegemaran along? Lagipun kekasih hati yang masak, mana tak berselera? Haila, Yaya... nasib baiklah kau adik along... kalau tak, memang dah kena jegil dengan along Bikin rosak plan betullah Yaya ni. Tengok, Si Deeba dah tarik senyum. Sukalah tu orang makan lauk yang dia masak!

Rania senang apabila melihat wajah Adeeba sudah berbunga ceria sedikit. Kemudian dia memandang Thakif yang turut tersenyum memandangnya.


p/s:  Buat semua yang rindukan Thakif dan Rania, harap teaser yang tak seberapa ni dapat mengurangkan sikit rindu tu. (Tu pun kalau ada yang rindu la... heh...) Oh ya, manuskrip masih lagi 60% siap...

Esok dah start puasa, kan? Di kesempatan ini WC nak ucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan dan sama-samalah kita menjalani ibadah puasa...