Followers

Thursday, 8 August 2013

Teaser 3 Seiras a.k.a Separuh Hati Untukmu

DIA memandang Rania yang berjalan di depannya bersama Adeeba dan Najwa yang baru dikenali tadi. Dia pula berjalan di belakang bersama Thakif dan Hakimi. Petang-petang begini riuh kedengaran suara penjual di pasar malam yang mejual barang mereka. Sesekali Qhafi meliarkan mata memandang apa yang dijual di pasar malam itu. Langkah kakinya terhenti apabila Thakif singgah di gerai yang menjual murtabak. Matanya memandang Rania, Adeeba dan Najwa yang masih berjalan ke depan.
            “Kakak!”
            Baru saja Qhafi mahu memanggil Rania, Hakimi sudah bersuara dulu.
            Rania, Adeeba dan Najwa berhenti dan menoleh ke belakang melihat Hakimi yang sedang menggamit.
            “Kakak nak beli putu piring kat depan kejap, nanti Kimi datanglah sana.” Rania bersuara tanpa memandang Thakif dan Qhafi yang turut memandangnya. Kemudian dia menarik tangan Adeeba dan Najwa agar mengikutnya.
            Qhafi masih memandang Rania yang semakin hilang dari pandangan mata. Dia mengeluh perlahan. Susah betul mahu membuat Rania bercakap dengannya. Ketika di dalam keretanya tadi pun sepatah ditanya, sepatah yang dijawab. Reaksi Rania masih dingin walaupun wajah gadis itu nampak tenang. Cuma dengan Adeeba saja Rania mahu bercakap. Tengoklah tadi, Rania langsung tak memandangnya. Tapi dia tak akan berputus asa, dia akan terus cuba memancing perbualan dengan Rania. Dia memandang Hakimi dan Thakif yang leka melihat penjual murtabak itu membuat murtabak. “Kimi, kakak suka makan apa?” Buat permulaan biarlah Qhafi selidik apa yang Rania suka makan. Alang-alang sudah berada di pasar malam, boleh dia belikan untuk adiknya itu.
            Hakimi menoleh kepala memandang Qhafi di belakangnya. “Kakak suka makan macam-macam, bang... pendek kata semua jenis makanan yang halal dia suka. Kecuali dua ni je...
            “Apa dia?” Qhafi sabar menunggu.
            Thakif yang baru selesai membuat pembayaran turut memasang telinga. Dia sudah membuka langkah mengikut Hakimi dan Qhafi yang sudah melangkah.
            “Kakak tak suka makan nasi briyani dengan daging kambing.”
            Pandangan Qhafi dan Thakif bertemu. Wajah kedua-duanya beriak sedikit tergamam tapi masing-masing tahu apa maksud pandangan itu. Kedua-dua makanan itu merupakan makanan kegemaran Amanda. Rania dan Amanda mempunyai wajah yang seiras tapi mempunyai selera yang berlainan.
            “Kenapa kakak tak suka makan? Nasi briyani dengan daging kambing kan sedap?” Thakif pula bertanya. Dia ingat lagi, Amanda dulu memang hantu nasi briyani. Tak puas makan sekali, mesti esoknya nak makan lagi.
            “Entahlah... kalau kakak makan je nasi briyani dengan daging kambing, mesti kakak rasa mual. Tu yang sampai sekarang kalau mak masak nasi briyani, mak akan sediakan nasi putih untuk kakak.”
            Dari jauh Qhafi memandang Rania yang sedang menunggu giliran di gerai putu piring. Dia melemparkan senyuman apabila Rania menoleh ke belakang namun senyumannya tak dibalas. “Putu piring kat sini sedap ke? Abang tengok ramai jugak yang beratur.” Dia memulakan perbualan sebaik saja berdiri di belakang Rania.
            Rania hanya mengangguk.
            “Berapa ringgit?” tanya Qhafi apabila plastik putu piring sudah berada di tangan Rania.
            “Lima ringgit...” jawab jurujual.
Belum sempat Rania mengeluarkan duit, ada tangan lain yang membayar harga putu piring itu. Dia terkejut dan pantas memandang Qhafi. Riak tak puas hati ditayang.
            “Tak apa, biar abang belanja. Sekali-sekala tak salah, kan?” Qhafi senyum.
            Rania memejam mata. “Terima kasih,” ucapnya perlahan lantas membuka kembali mata. Terasa berat saja bibirnya mahu mengucapkan perkataan itu. Ikutkan hati, dia mahu membantah tapi dia biarkan saja, malas mahu memprotes di tengah-tengah pasar malam ini.
            “Untunglah ada orang belanja...”
            Baru saja Rania dan yang lain mahu berlalu dari situ, telinganya menangkap bunyi suara sumbang orang di gerai sebelah. Rania memandang Saodah dan Ramlah yang tersenyum sinis kepadanya.
            “Apa yang untungnya, Melah oi... mula-mula tu memanglah belanja makanan, nak tunjuk gentleman kononnya. Esok-esok nanti adalah tu benda lain yang lelaki tu minta sebagai balasan.”
            “Ya tak ya jugak... mana ada benda percuma kat dalam dunia ni kan?” Ramlah menyokong Saodah.
            Najwa memandang Rania yang nampak tenang. Dia pula yang terasa sakit hati dengan mulut dua orang mak cik yang tak ada insuran itu. Matanya kini difokuskan kepada Ramlah dan Saodah yang berada di gerai menjual satey. Nafasnya ditarik perlahan mahu membalas kata dua orang mak cik itu. Kalau Rania tak mahu bersuara, biarlah dia saja yang bersuara membela kawan baiknya itu.
            “Mak Cik Melah dengan Mak Cik Odah ni kenapa eh? Mulut tu kalau tak menyindir sehari tak boleh ke?”
            “Wawa, biarkan jelah.” Rania memegang lengan Najwa. Dia tak mahu Najwa masuk campur. Dia sendiri pun sudah tak kisah apa yang Ramlah dan Saodah mahu cakap mengenai dirinya.
            Najwa tak menghiraukan teguran Rania. Mulutnya masih mahu menjawab. “Bawak-bawaklah bertaubat, mak cik... mak cik tu dah tua. Daripada Mak Cik Odah sibukkan hal orang, baik mak cik tengokkan anak dara mak cik kat rumah tu. Rasanya malam semalam saya nampak Fika bertenggek atas motor dengan jantan mana entah. Baru umur 15 tahun dah pandai keluar malam dengan jantan.”
            “Mulut kamu tu jaga sikit ya, Najwa! Anak aku tu budak baik tau, keluar malam pun tak pernah. Kamu jangan pandai-pandai nak buat cerita!” Saodah menyinga.
            Aik, pandai pulak mak cik ni sentap bila orang tegur pasal anak dia. Cakap pasal anak orang bukan main lagi! Thakif tersenyum sinis.
            Qhafi menggosok belakang tengkuk. Dahinya sedikit berkerut melihat situasi di depan mata. Dia tak sangka pula hanya kerana dia membayarkan harga putu piring untuk Rania, boleh jadi sekecoh ini.
            “Eh, apa barang saya nak buat cerita... saya cakap benda yang betul tau. Saya nampak dengan mata saya sendiri. Kalau tak percaya, Mak Cik Odah pergilah tanya Si Fika tu.”
            “Kamu jangan nak fitnah anak Mak Cik Odah ni, Najwa. Kalau setakat cakap mulut belum cukup membuktikan Fika tu keluar dengan jantan. Aku tengok baik je  budak Fika tu, hormat dekat orang tua. Nak pandang lelaki pun dia tak berani tau.” Ramlah membela Saodah. “Lainlah Si Rania tu, dekat rumah dia je ada dua orang lelaki. Entah-entah tak lama lagi adalah alahannya tu.” Dia menjeling Thakif dan Qhafi yang sedari tadi diam.
            Wajah Saodah kembali berbunga senyum.
            “Mak cik tak tahu apa hubungan saya dengan Rania, mak cik tak boleh cakap macam tu.” Qhafi bersuara tegas. Dia tak tahan melihat Rania disindir begitu.
            “Apasal pulak tak boleh cakap macam tu? Dah memang kamu berdua tinggal kat rumah dia sekarang ni. Kalau mak kandung dia sendiri yang berperangai tak senonoh sampai lahirkan dia, mesti dia pun sama jugak! Kalau dah anak haram tu, anak haram jugak!” cemuh Saodah.
            Astaghfirullahalazim... Rania beristighfar dalam hati. Nafas ditarik perlahan, cuba menenangkan diri.
            “Untuk pengetahuan mak cik dan mak cik... Rania ni adik kandung saya!” Qhafi mengeraskan suaranya. Biar semua orang tahu siapa dirinya yang sebenarnya.
Ramlah dan Saodah tergamam. Kedua-duanya terkebil-kebil cuba mencerna apa yang baru diberitahu Qhafi tadi.
“Saya nak mak cik dengar betul-betul apa yang saya nak cakapkan ni. Rania bukan anak haram seperti yang mak cik cakapkan. Dia anak sah taraf dan anak dari hasil pernikahan papa dan ibu kami. Papa dan ibu kami tak pernah buat kerja terkutuk yang mak cik sebutkan tu. Rasanya tak perlu kot saya nak bagitahu macam mana adik saya ni boleh tinggal dengan keluarga angkat. Tak penting pun.” Qhafi menarik nafas perlahan sebelum menyambung. “Mulai hari ini, detik ini dan saat ini, saya tak nak dengar lagi mak cik atau sesiapa saja panggil adik saya anak haram atau cakap yang bukan-bukan pasal dia! Kalau saya dapat tahu, tahulah apa saya nak buat.”
Rania memandang Qhafi. Hatinya tiba-tiba terasa basah mendengar kata-kata lelaki itu. Wajah merah padam abangnya benar-benar menunjukkan yang Qhafi teramat marah pada Ramlah dan Saodah.

“Dah, jom kita balik!” Qhafi berjalan mendahului yang lain, meninggalkan Ramlah dan Saodah yang sudah berubah merah wajahnya.



Hari ini bermulanya satu syawal... WC ingin mengucapkan Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin... maaf sebab WC sering tak menepati janji... kata nak siapkan cerpen Jodohku Di Parking tapi sampai sekarang cerpen tu tergantung. Dan banyak lagilah cerpen lain yang WC janji nak siapkan tapi masih jugak tergantung...

WC jugak nak ucapkan terima kasih sebab masih ada yang sudi membaca karya picisan ini. Semoga syawal kali ini membawa keberkatan kepada semua dan mengukuhkan silaturrahim yang terbina.

12 comments:

  1. salam Aidilfitri...bila agaknya nvl ni nk diterbitkan ye? xsbr nk baca...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Aidilfitri jugak =D
      manuskrip dia xsiap lagi... bila da siap nanti WC akan bagitau eh...

      Delete
  2. best!!


    - aKIF

    ReplyDelete
  3. Padan muka makcik2 tu !

    ReplyDelete
  4. Waa... Baru sempat nak baca dan drop komen. Best sangat kak! Huhu. Macam tak puas pula. Haha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Ifa... teaser 4 mungkin lambat sikit kot

      Delete
  5. Best best! Habiskan cite akk ni dlm masa sehari. Heeee cpt2 terbit!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Laju betol KhadijahZ bace... thnx sudi bace =)

      Delete