JAMILAH merengus keras. Mencerun matanya memandang dua
orang manusia di depannya. “Sampai hati Dir ingkar arahan mak!” Keras nada
suaranya memarahi anak sulungnya, Khidir.
“Maafkan
Dir, mak... Dir bukan nak ingkar arahan mak tapi Dir sayangkan An. Dir tak
boleh nak ikut arahan mak supaya berpisah dengan dia.” Khidir menggenggam kemas
tangan Raihan di sebelahnya. “Lagipun mak jugak
yang nak sangat menantu, kan... sekarang Dir dah bawakkan menantu untuk mak.”
Membara
hati Jamilah mendengarnya. “Memang mak nak menantu tapi mak tak nak dia yang jadi
menantu mak!” Jari telunjuk dituding ke arah Raihan yang sedari tadi menunduk.
“Apa, kurang sangat ke perempuan Melayu kat kampung ni sampai anak Cina mana
entah yang kamu ambil jadi bini kamu?!”
“Memang Raihan anak orang Cina tapi dari kecik dia dibesarkan
oleh orang Melayu. Dia dah lama kenal Islam la, mak.”
“Aku tak
peduli dia dibesarkan oleh orang Melayu ke apa yang penting dia tetap Cina!
Lahir dari keturunan Cina!” Makin meninggi suara Jamilah. Dia kecewa dengan
anak lelakinya yang sanggup berkahwin tanpa restunya. Lagi dia bertambah kecewa
apabila Raihan yang menjadi pilihan Khidir.
Khidir
berdiri. “Apa masalahnya kalau dia lahir dari keturunan Cina? Dia pun manusia jugak macam kita. Darah dalam badan dia
pun merah, bukannya hijau atau kuning!”
“Abang...”
Raihan memegang tangan suaminya. Kepalanya digelengkan, tak mahu suaminya
meninggikan suara pada wanita yang telah melahirkan suaminya.
Khidir duduk kembali. Wajahnya diraup lantas melepaskan
keluhan lemah.
“Kau
tengok! Anak aku tak pernah tinggikan suara pada aku. Bila dia kahwin dengan kau,
dia dah pandai kurang ajar. Langsung tak hormat aku sebagai ibu dia!” Mencerun
mata Jamilah memandang Raihan.
“An
minta maaf, mak... An...”
“Siapa
mak kau?! Jangan berani-berani panggil aku mak ya! Aku tak sudi nak terima kau
sebagai menantu aku! Huh!” pintas Jamilah tanpa sempat Raihan menghabiskan
ayatnya.
Raihan
menunduk.
“Ooo...
kalau Saliza yang jadi menantu mak, mak sukalah ya?”
“Memang
aku suka! Dari dulu lagi aku suka dia. Dia tu baik, pandai hormat orang tua dan
yang paling penting, orang MELAYU!” Sengaja dia menekankan perkataan Melayu. “Kalau
kamu tak tolak lamaran dia dulu, mesti dia takkan lari dari kampung ni. Kamu
ingat senang ke seorang perempuan nak melamar lelaki? Liza tu sanggup tebalkan
muka dia datang melamar kamu sebab dia cinta sangat kat kamu tapi kamu pulak...” Dia mengeluh mengenangkan
wajah sedih Saliza. “Heiii... entah jampi apa yang perempuan tu guna sampai kamu
tergila-gila kat dia!”
“Liza tu
mak kata baik? Heh, depan mak je dia
berlakon baik, suci tapi belakang-belakang buat kerja tak senonoh sampai
buntingkan anak haram. Mak dia hantar ke universiti suruh belajar tapi lain
yang dia buat. Perempuan macam tu ke yang mak nak suruh jadi bini Dir? Nak
suruh Dir jadi pak sanggup?”
Jamilah
tak percaya. Tak mungkin gadis pilihannya berperangai begitu. “Kamu jangan nak
buat ceritalah, Dir. Jangan sebab aku tak nak terima perempuan tu kau fitnah Liza.
Dia tak macam yang kamu kata. Kalau betul dia mengandung, mesti dah heboh satu
kampung.”
“Terpulanglah
mak nak percaya atau tak. Dir pun tak suka nak buka aib orang, bukan dapat apa
pun.” Lama Khidir memandang wajah menyinga Jamilah sebelum dia bangun berlutut
di depan wanita itu. Kedua-dua belah tangan emaknya dipegang. “Mak... Dir
merayu sangat pada mak. Tolonglah terima perkahwinan Dir ni. Cuma An je yang Dir mahu untuk menjadi
pendamping Dir. Tanpa dia, hidup Dir tak sempurna. Tanpa restu mak, masjid yang
Dir bina nampak sumbing. Cacat!”
Jamilah
tersenyum sinis. “Heh, pandai kamu bercakap kan, Dir. Lain kali fikir dulu
sebelum kamu bernikah dengan perempuan tu. Kamu tahu aku ni macam mana kan...
kalau aku tak suka, sampai bila-bila pun aku takkan suka!” Dia berjeda. “Aku
nak kamu ceraikan dia sekarang jugak!
Aku tak nak tengok dia jadi menantu aku. Lepas ceraikan dia, aku nak kamu cari
Liza dan kahwin dengan dia. Hanya dia je yang
layak jadi menantu aku.”
Terlepas
pegangan tangan Khidir. Dia menoleh sekilas pada Raihan yang turut terkejut
dengan permintaan itu. “Sampai hati mak suruh Dir buat perkara yang dibenci
Allah...” Sayu suaranya.
“Kamu
pun sampai hati kahwin dengan anak Cina tu tanpa pengetahuan aku!” balas
Jamilah. “Dan kau, anak Cina! Macam ni ke keluarga angkat kau ajar? Sanggup kau
hancurkan hati seorang ibu semata-mata nak kahwin dengan anak aku! Aku pernah
suruh kau jauhkan diri dari anak aku, kan? Tapi ini yang aku terima.” Anak
matanya ditujah ke wajah Raihan yang sudah teresak-esak. Meluat dia melihatnya.
“Kau ingat bila kau jadi menantu aku, aku akan terima kau ke, perempuan? Jangan
mimpilah!”
“An tak
salah, mak. Dir yang ajak dia kahwin. Mulanya memang dia nak berpisah dengan
Dir tapi Dir yang pujuk dia supaya terima Dir. Kami dah dapat restu keluarga
angkat dia sebelum kami bernikah. Dir takkan sesekali ceraikan An!” Tegas
Khidir bersuara.
Jamilah
mengetap gigi. “Baik! Kalau kamu tak nak ceraikan dia, kamu keluar dari rumah
ni! Aku tak ada anak yang bernama Ahmad Khidir lagi! Keluar sekarang!” Jamilah
menolak badan Khidir yang masih melutut di depannya.
“Mak...
janganlah buat macam ni. Mak tak kesian kat Abang Dir ke? Janganlah halau
abang, mak...” Syakilla yang sedari tadi menjadi pemerhati mula bersuara.
Jamilah menjeling anak bongsunya. “Kalau kamu tak nak
kena halau macam abang kamu ni, baik kamu duduk diam, Killa! Kamu tu baru enam
belas tahun, jangan masuk campur urusan aku! Sekolah pun aku yang tanggung tau,
bukan abang kamu ni!”
“Puan... kalau puan tak sukakan saya pun tak apa, saya
reda. Tapi tolong jangan buang abang. Abang satu-satunya anak lelaki puan.”
Tersedu-sedan suara Raihan. “Kalau puan nak abang ceraikan saya, saya terima
demi membahagiakan hati puan,” sambungnya lagi. Wajahnya jelas menunjukkan yang
dia terpaksa.
“Apa yang An cakap ni? Abang takkan sesekali
ceraikan An la!” Khidir tak senang dengan kata-kata isteri yang baru sehari
dinikahi. Dia bangun dan duduk di sebelah Raihan.
“Tapi,
bang... An tak nak abang hilang keluarga. Abang ikutlah cakap puan. Isteri
boleh dicari, bang tapi emak hanya satu...” pujuk Raihan.
Jamilah
tersenyum sinis melihat drama di depannya. Sikit pun dia tak rasa terharu tapi
dia terasa semakin meluat melihat air mata Raihan yang dirasakan seperti air
mata palsu. “Kamu dengar tu, Dir. Isteri kamu pun dah setuju untuk dilepaskan.
Apa lagi yang kamu tunggu?”
“Tak!
Dir takkan ceraikan An. Dir kahwin dengan dia bukan untuk diceraikan!”
Senyuman
di bibir Jamilah mati. Dia mengetap gigi menahan geram.
“Abang,
dengarlah cakap mak abang. Takkan abang sanggup kehilangan ibu? Berdosa, bang
kalau seorang anak menghancurkan hati ibu. Abang lepaskan An ya?” rayu Raihan
dengan air mata yang makin lebat membasahi pipinya.
“Tak!
Keputusan abang muktamat. Walau apa pun terjadi, abang takkan dan tak mungkin lepaskan An. An tahu kan susah payah abang
cuba yakinkan abah dan ibu An... abang dah janji dengan dia orang yang abang
akan jaga dan tak akan sia-siakan An. Tolong jangan minta abang lepaskan An.”
Khidir mengesat air mata di pipi isterinya. Kemudian dahi isterinya dikucup
tanpa menghiraukan pandangan berapi Jamilah.
“Tapi,
bang... puan tak suka kita bersama. Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu
dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu, bang... macam mana kalau kita
tak bahagia? Puan tak restu pun hubungan kita. Syurga seorang anak terletak
pada telapak kaki ibu. An tak nak abang jadi anak derhaka.”
“An,
dengar sini... tak jatuh berdosa pun kalau abang tak ikut permintaan mak. Tak
ada sebab untuk abang lepaskan An. An masih lagi ikut semua ajaran Islam. An
tahu kan, bergegar tiang Arasy bila seorang isteri meminta dirinya dilepaskan?
Abang tak nak dengar An sebut lagi pasal benda tu. Kalau mak benci An bermakna
mak turut membenci abang. Jom kita balik KL, kat sini dah tak ada apa-apa lagi
untuk kita.” Khidir menarik tangan Raihan agar mengikutnya.
“Tapi,
bang...”
Khidir
memandang Raihan yang masih belum berdiri. “Syurga seorang isteri terletak di
bawah telapak kaki suami kan, Nur Raihan... dengar cakap abang, kita bina hidup
baru kat KL. Insya-Allah, abang akan cuba jadikan keluarga kita keluarga yang
bahagia biarpun tanpa restu mak.”
Raihan
bangun. Dia akur dengan kata-kata suaminya.
“Abang...
janganlah pergi...” Syakilla menarik lengan Khidir yang sudah hampir ke pintu
keluar.
Khidir
berpaling. Rambut adiknya diusap. “Killa jaga mak baik-baik, belajar
rajin-rajin. Nanti bulan-bulan abang akan masukkan duit kat dalam akaun Killa.”
“Tak
payah susah-susah nak masukkan duit dalam akaun anak aku. Aku tak hadap dengan
duit kamu! Duit pencen arwah suami aku pun cukup untuk sara kami dua beranak.
Kamu pahatkan betul-betul kat ingatan kamu apa yang akan aku cakap ni, Ahmad
Khidir... jangan sesekali kamu jejakkan kaki kat rumah ni lagi! Sekali aku
benci, sampai bila-bila pun aku tak akan terima!” Jamilah memberi amaran.
“Killa, tutup pintu tu!”
“Mak...”
Jamilah
tersentak. Hilang terus kenangan tujuh tahun dulu. Dia berpaling melihat
Syakilla di belakangnya.
“Mak
menungkan apa tu?” Syakilla duduk di tangga di sebelah emaknya sambil memandang
ke laman rumah. Cuaca petang itu mendung, semendung wajah emaknya.
Jamilah tak
menjawab. Matanya kembali menyorot ke arah jalan raya yang lenggang.
“Mak
rindukan Abang Dir eh?”
Tiba-tiba
saja air mata Jamilah tumpah apabila mendengar nama Khidir disebut.
Syakilla
kaget. Bahu emaknya dipeluk. “Mak, kenapa mak nangis ni? Mak rindukan Abang Dir
ke?” tanyanya lagi sambil mengesat air mata di pipi emaknya.
Jamilah
masih lagi tak bersuara. Tangisannya mula berubah rentak. Sebelah tangan
menekup ke muka. Khidir... anak yang selalu menyenangkan hatinya tapi kerana
seorang perempuan, sikap anaknya terus berubah. Langsung tak mahu mendengar
katanya.
“Killa
telefon Abang Dir eh, mak?” Syakilla bangun mahu mendapatkan telefon rumah namun
lengannya dipegang.
“Tak
payahlah telefon dia,” halang Jamilah tanpa memandang wajah Syakilla.
“Kenapa,
mak?” Syakilla melabuhkan duduk di sebelah Jamilah semula.
“Tak
payah telefon dia!” Air mata Jamilah kesat dengan lengan baju kurung Kedah.
“Tapi
kenapa? Bukan mak rindu kat Abang Dir ke?” Syakilla tak berpuas hati selagi
Jamilah tak menjawab soalannya.
“Biarlah
dia. Mak tak nak ganggu dia. Lagipun mak tak rindukan dia pun!” Tegas Jamilah
menjawab.
“Tapi
tadi mak...”
“Sudahlah,
Killa... mak tak nak dengar apa-apa lagi. Kalau mak kata tak tu, maknanya
taklah!” bohong Jamilah. Memang dia rindu sangat dengan Khidir tapi dia berasa
malu mahu mengaku setelah apa yang telah dia buat pada anaknya tujuh tahun
dulu. “Dah, jom ke dapur tolong mak masak lauk berbuka.” Dia bangkit
meninggalkan Syakilla.
Syakilla
mengeluh dengan keegoan emaknya. “Mak dengan abang sama je. Sama-sama degil!” Dia menggeleng kepala.
*****
SYAKILLA mengunci pintu rumah sebaik pulang dari terawih.
Telekung di kepala dicabut lantas disidai di penyidai di biliknya. Telefon
pintar di meja solek dicapai lantas menghubungi seseorang. Dia duduk di atas
katil sementara menanti panggilannya bersambut.
“Assalamualaikum...”
Kedengaran suara seorang wanita menyambut panggilan itu.
“Waalaikumussalam,
Kak An. Abang Dir ada?”
“Abang
Dir ada kat luar, tengah layan Dinie main bunga api. Nak cakap dengan abang ke?
Kejap eh, akak bagi phone ni kat
dia.”
“Eh tak
apalah, kak... biarlah Abang Dir layan Dinie. Killa cakap dengan akak je.”
“Ada
apa-apa yang berlaku pada puan ke, Killa?” tanya Raihan risau.
Syakilla
mengeluh mendengar panggilan nama yang disebut oleh Raihan untuk emaknya.
“Sampai bila akak nak panggil mak puan? Akak tak teringin ke nak tukar
panggilan puan tu kepada mak?” Setiap kali dia singgah ke rumah abangnya,
panggilan puan masih tak lekang dari bibir kakak iparnya.
“Memang
akak teringin sangat nak ubah panggilan tu tapi selagi tak dapat keizinan puan,
akak tak akan sesekali mengubahnya.”
Syakilla
menggaru kening, pening memikirkan pendirian kakak iparnya. “Tapi mak bukannya
tahu pun akak tukar nama panggilan tu. Rasa lain macam je telinga Killa ni dengar akak panggil mak puan. Rasa macam bukan
bercakap dengan menantu mak je,”
sungutnya.
“Selagi
puan tak restu akak sebagai menantu, selagi itu akak akan panggil dia puan.
Lagipun akak memang bukan menantu pilihan puan, kan... akak tak akan berhenti
berdoa pada Allah agar bukakan pintu hati puan untuk terima akak sebagai
menantu.”
Sebak
hati Syakillla mendengarnya. Dia tak tahu kenapa emaknya begitu membenci
Raihan. Pada pandangan matanya, tiada apa yang kurang pada diri kakak iparnya
itu. Selama dia tinggal di rumah abangnya, tak pernah dia melihat Raihan
mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, isteri dan ibu walaupun sibuk
menyiapkan baju yang ditempah oleh jiran. Ada ketikanya dia terdengar kakak
iparnya mengaji. Lancar saja sebutannya.
“Puan
sihat ke, Killa?”
Suara
Raihan mengembalikan Syakilla dari lamunan. “Erk... apa dia, kak?”
“Puan
sihat ke?” Raihan mengulang soalan.
“Mak
sihat, cuma...” Syakilla senyap seketika apabila Jamilah melintasi biliknya
yang tak bertutup. Dia bangun dan menutup pintu bilik, tak mahu perbualannya
ditangkap. Tambahan pula petang tadi emaknya melarangnya menghubungi Khidir.
“Cuma apa,
Killa?” tanya Raihan tak sabar. Nadanya sedikit cemas.
“Tadi
mak menangis...” beritahu Syakilla dengan nada perlahan.
“Kenapa
puan nangis?”
“Entahlah,
kak. Killa rasa mak rindukan Abang Dir kot. Bila tanya, mak tak nak jawab. Bila
Killa sebut nama abang, makin teruk mak nangis.”
Kedua-duanya
diam seketika. Yang kedengaran hanya bunyi cicak dan cangkerik.
“Kak...
Killa nak minta tolong boleh?” Syakilla kembali bersuara.
“Tolong
apa, Killa?” Suara Raihan kedengan serak. Mungkin sebak mendengar apa yang
diberitahu oleh Syakilla tadi.
“Boleh
tak akak tolong pujuk Abang Dir? Akak ajaklah abang balik kampung. Dah tujuh
tahun abang tinggalkan kampung. Manalah tahu hati mak dah sejuk dah boleh
terima Abang Dir dengan Kak An balik ke...” Syakilla yakin yang emaknya sudah
dapat menerima abang dan kakak iparnya. Tujuh tahun lalu jika dia menyebut saja
nama abangnya, emaknya pasti akan melenting.
Raihan
mengeluh. “Kenapa bukan Killa sendiri yang pujuk abang?”
“Akak
bukannya tak tahu abang tu sama degil macam mak. Kalau Killa yang pujuk,
gerenti tak jalan punya.” Syakilla mengubah posisi telefon pintar ke telinga
kiri. Kemudian dia bangun membuka tingkap membiarkan angin malam menerobos
masuk ke dalam bilik.
“Nanti
akak cuba. Mudah-mudahan hati Abang Dir lembut la. Killa bila balik KL?” Raihan
mengubah soalan.
“Lusa,
kak. Ingat nak tidur semalam kat rumah sana sebelum balik kolej.”
“Eh,
datanglah. Pintu rumah ni sentiasa terbuka. Killa... ukuran badan puan masih
sama lagi ke?”
“Haah,
masih sama lagi. Tak ada bertambah dan tak ada berkurang. Akak nak buatkan baju
untuk mak lagi ke?” Sejak Syakilla mendapat tawaran belajar di universiti, tiap
tahun hari raya aidilfitri pasti ada saja baju raya untuk emaknya.
“Haah.
Ukuran baju puan yang Killa bagi dulu tu akak masih simpan lagi. Tapi jangan
risau, untuk Killa pun akak akan buatkan.”
“Thanks, Kak An... ni yang sayang akak lebih ni. Untunglah dapat kakak ipar
pandai jahit. Tapi macam biasa eh, kak... Killa punya baju tak nak letak span.
Lagi satu, tahun ni ingat nak suruh Kak An buatkan mini kurung. Nanti Killa
WhatsApp design kat nombor akak.”
“Okey...
boleh je.”
“Raya
tahun lepas mak puji lagi baju tu. Mak kata cantik, jahitan kemas dan selesa
bila pakai.”
“Killa
jangan bagitau puan eh. Kalau puan tahu, mesti dia tak nak pakai baju tu.
Yalah, akak ni bukan menantu pilihan puan. Hanya ini je cara yang akak boleh buat untuk menjalankan tanggungjawab
sebagai menantu.” Sayu suara Raihan.
“Killa
akan cakap macam tahun dulu yang Killa beli kain untuk mak dan suruh kawan
punya mak yang jahitkan.”
“Abang
Dir dah masuk bilik ni. Killa cakap dengan dia ya.”
Syakilla
kembali duduk di atas katil sambil menunggu telefon bertukar tangan.
“Assalamualaikum,
Killa...”
“Waalaikumussalam,
Abang Dir...” jawab Syakilla sebaik saja Khidir memberi salam. “Dah habis layan
Dinie main bunga api ke?”
“Dah.
Penat betul melayan budak kecik tu. Balik je
dari terawih tadi dah ajak main bunga api. Bila bunga api dah habis,
disuruhnya abang beli lagi. Bila abang cakap esok je beli, terus dia merengek. Nasib baik kedai kat hujung rumah tu bukak lagi, kalau tutup terpaksalah
dengar suara nyaring dia.” Ceria nada suara Khidir bercerita.
Syakilla
tersenyum. Senang dia melihat abangnya bahagia. “Budak-budak, bang... biasalah
tu. Dah besar dah Dinie tu kan? Dah enam tahun pun. Sekejap je masa berlalu.”
“Duit
ada lagi tak, Killa? Kalau tak ada, nanti abang bank in.”
“Abang
Dir ni bila Killa call je tanya pasal
duit. Bila Abang Dir call je tanya
pasal duit. Tak ada benda lain ke nak tanya?” Syakilla merungut.
“Hai,
tanya pun salah ke? Manalah tahu kot-kot duit Killa tak cukup ke...”
“Duit
Killa cukuplah, bang. Duit yang abang kasi tu pun ada lagi.”
“Kalau
tak cukup jangan lupa bagitahu abang tau.”
“Baiklah,
Abang Dir... Abang, lusa nanti Killa nak tidur rumah abang. Nanti abang tolong
ambil Killa eh...”
“Boleh je... dekat TBS, kan?”
“Taklah,
kat rumah mak...” Sengaja Syakilla menguji abangnya.
Talian
senyap seketika. Tiada balasan dari Khidir.
Ni
betul-betul terasa hati ni sampai aku sebut rumah mak je terus Abang Dir senyap. “Abang ni, mestilah kat TBS. Dah tahu
lagi mahu tanya!” Syakilla bersuara memecahkan kesenyapan Khidir.
“Nanti
dah nak dekat sampai TBS call abang.”
Suara Khidir sudah tak seceria tadi.
“Baikkk....”
Syakilla angkat tabik. Padahal Khidir bukannya boleh nampak pun. “Abang nak
tahu, Kak Liza dah balik kampung tahun lepas. Dia balik bawak seorang budak lelaki. Tua setahun dari Dinie tau. Dia cerita
kat mak, budak tu anak angkat dia. Mak budak tu meninggal dan suruh dia jaga
budak tu. Mak pulak boleh percaya
bulat-bulat cerita dia.”
“Biarlah dia. Lantaklah dia nak tipu ke apa. Dia tak ada
kena mengena dengan hidup abang. Tak penting pun.”
“Hmmm... okeylah,
bang... nanti peluk cium Dinie untuk Killa eh. Rindu kat anak buah Killa tu.
Assalamualaikum, bang.”
“Yalah,
waalaikumussalam. Lusa nanti bolehlah jumpa Si Dinie tu. Dia asyik sebut nama
mak su dia je.”
*****
RAIHAN menarik
selimut hingga ke paras dada Dinie. Rambut anaknya dielus perlahan. “Dinie suka
tak kalau dapat balik kampung?” tanyanya.
“Kita
ada kampung ke, mama?” Mata Dinie yang mengantuk mula segar.
“Ada... dekat
Alor Gajah, Melaka.
Mata Dinie terbeliak. “Haaa... kat situ ada gajah ke?”
Raihan ketawa. “Mana ada gajah, tu cuma nama tempat jelah. Dinie suka tak kalau dapat jumpa
opah?
“Opah tu
siapa?” Dinie mengerut dahi.
“Opah tu
mak baba. Dinie nak tengok dia tak?”
“Kenapa
opah tak pernah datang sini tengok Dinie?”
Raihan
kematian kata. Dia tak tahu hendak memberi jawapan apa. Seboleh-bolehnya dia
tak mahu menceritakan perkara sebenar kepada Dinie yang masih kecil dan tak
tahu apa-apa. “Erk... opah bukannya
tak nak datang sini. Kalau dia datang sini, siapa nak jaga ayam-ayam dia kat kampung
tu?”
“Bawaklah sekali ayam-ayam tu kat sini.”
Dinie memeluk erat anak patung di sisinya.
“Kalau bawak kat sini, mana ada reban nak letak
ayam-ayam tu...” Tenang Raihan menjawab.
“Peti
ais ada... letak jelah dalam peti
ais,” jawab Dinie polos.
“Ya
Allah budak ni!” Raihan mencubit pipi montel Dinie. Tak dapat dia membayangkan
ayam yang masih hidup diletakkan di dalam peti ais. “Ayam yang hidup mana boleh
letak dalam peti ais, matilah dia nanti.”
“Kalau
ayam tu mati mama masaklah sup. Dinie suka makan sup ayam yang mama masak.
Sedap!” Dinie menaikkan ibu jarinya.
Tergeleg-geleng
kepala Raihan. “Dinie, ayam yang dah mati macam tu dipanggil bangkai tau. Haram
bagi orang Islam makan bangkai. Makanan haram ni akan menimbulkan mudarat dalam
diri kita. Kat akhirat nanti akan dicuci dengan api neraka.” Dia berjeda.
“Kalau kita nak makan ayam, kita kena sembelih dulu ayam tu hidup-hudup. Kalau
kita letak ayam yang masih hidup kat dalam peti ais dengan sengaja, tu namanya
menyeksa haiwan. Berdosa seksa haiwan macam tu. Allah tak suka.”
“Tapi
kalau kita makan ayam tu bukan menyeksa haiwan jugak ke, mama? Allah tak marah ke?” Dinie kembali mengerut dahi.
“Allah
tak marah, sayang... ayam tu merupakan makanan harian kita dan memberi tenaga
pada tubuh badan kita. Hanya ayam yang disembelih je yang halal dimakan. Dinie nak masuk neraka ke makan ayam yang
tak disembelih?”
Dinie
menggeleng kepala laju. “Tak naklah, mama. Takut...” jawabnya pantas.
Raihan
senyum. “Dinie nak balik kampung jumpa opah tak?”
“Nak!
Bila kita nak balik kampung, mama? Tak sabar nak main dengan ayam.” Wajah Dinie
sudah berseri-seri.
“Nanti
mama tanya baba dulu. Kalau baba kata okey, baru boleh beraya kat kampung. Dah,
sekarang Dinie tidur.” Raihan membetulkan kembali selimut di badan Dinie lantas
menepuk perlahan tubuh kecil itu. Apabila melihat anaknya sudah lena, dia
mengucup dahi anaknya dan melangkah keluar dari bilik.
“Dinie
dah tidur?” tanya Khidir sebaik saja Raihan melabuhkan duduk di sebelahnya.
“Dah...”
jawab Raihan sepatah. Lama dia memandang Khidir yang leka membaca. “Abang...”
“Hmmm...” sahut Khidir tanpa mengalihkan
pandangan dari buku di tangan.
“Killa
ada cakap apa-apa kat abang tak?” Manalah tahu kalau-kalau Syakilla sudah
memberitahu suaminya. Melihat reaksi suaminya yang tenang, sudah terjawab
persoalan yang timbul dibenaknya. Tapi dia masih mahu bertanya, mahu mendengar
sendiri jawapan yang keluar dari mulut suaminya.
“Cakap
apa?” Khidir memandang Raihan. Buku di tangan sudah diletakkan di meja lampu.
Tangan isterinya digenggam.
“Pasal
puan...”
Air muka
Khidir berubah. Pegangan tangannya mula longgar. Hanya seorang saja yang
isterinya panggil begitu. Tak lain dan tak bukan, emak kandungnya. Sudah lama
dia tak mendengar nama itu keluar dari bibir isterinya. Dadanya terasa ngilu
apabila mengenang kembali herdikan emaknya.
“Abang...”
Raihan memegang tangan suaminya. “Tahun ni kita beraya kat kampung abang ya?”
Khidir
menggeleng kepala. “Kita akan beraya kat KL. Kat rumah ibu dan abah sayang.”
“Tapi
puan rindukan abang. Lagipun, abang dah lama tak balik kampung.”
“Mana
sayang tahu? Sayang tak ingat ke mak dah halau kita? Mak dah buang abang dari
hidup dia!” Mata Khidir sudah mencerun.
“Killa
cakap puan nangis petang tadi. An tahu yang dia rindukan abang.”
“Tak semestinya mak rindukan abang. Mungkin mak rindukan
arwah ayah ke...”
“Betul, bang... Killa cakap bila dia sebut nama abang,
puan terus nangis.”
“Tak mungkinlah. Abang kenal sangat dengan mak abang tu.
Kalau dia dah marahkan seseorang, sampai bila-bila pun dia takkan maafkan.
Abang ingat lagi masa abang cuti sem dulu, arwah Mak Jemah serang mak kat
rumah. Dia tuduh mak bomohkan laki dia sampai laki dia tu tergila-gila kat mak.
Masa tu baru sebulan arwah ayah meninggal. Sampai arwah Mak Jemah meninggal pun
mak tak maafkan dia. Lepas tu mak langsung tak datang melawat masa arwah tengah
nazak.”
“Tapi abang tak sama dengan arwah Mak Jemah tu. Abang
anak kandung dia. Seorang ibu tak akan pernah membenci anak yang dia sendiri
lahirkan dengan susah payah. Kalaupun dia marah, dia takkan marah lama-lama.
Mesti sekarang hati puan dah sejuk. Nak dekat raya nanti kita balik kampung ya,
bang? Kesian kat puan.”
“Kat
diri sendiri sayang tak kesian ke? Kan dulu mak maki sayang. Tak ingat ke?” Sedikit
meninggi suaranya.
Raihan senyum
hambar. “An ingat, bang. An tak pernah lupa apa yang puan cakap. Tapi An tak
berdendam dengan puan sebab dendam tak boleh dibawak ke mana-mana. Lagipun, dia ibu mentua An. Walaupun dia tak
terima An sebagai menantu, An masih menghormati dia sebagai ibu yang telah
melahirkan abang. Kalau tak ada puan, mesti jodoh An bukan dengan abang.”
Terharu
Khidir mendengar jawapan Raihan. Ternyata dia tak salah memilih pasangan hidup.
Isterinya benar-benar seorang yang berhati mulia.
“An tahu
jauh di sudut hati, abang jugak
rindukan puan. An pernah nampak abang peluk gambar puan kat bilik kerja.”
Wajah
Khidir berubah. Dia tak menyangka perbuatannya pernah dilihat oleh isterinya.
“Semua
ni berpunca dari An. Kenapalah An terima lamaran abang? Kenapalah An sanggup
lukakan hati seorang ibu? An nampak muka kecewa puan bila dapat tahu kita dah
bernikah. Mesti dalam luka kat hati dia tu. Kalaulah kita tak kahwin dulu,
mesti puan takkan buang abang.” Dada Raihan terasa sebak. Perlahan-lahan air
mata menuruni pipinya dan wajahnya ditundukkan.
Khidir
terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut isterinya. Dia mengangkat
dagu isterinya agar memandangnya. “Sayang menyesal ke kahwin dengan
abang?” tanyanya keras. Baru tadi dia
rasa terharu dengan kemuliaan hati isterinya, kini isterinya meluahkan
kata-kata yang mencucuk tangkai hatinya pula.
Raihan
diam. Tangisannya masih berlagu.
“Sayang,
jodoh setiap manusia semuanya ditentukan oleh Allah. Sayang percayakan takdir
Allah, kan?” Nada Khidir kembali lembut.
Raihan
mengangguk.
“Kalau
sayang percaya, kenapa perlu ada rasa menyesal?”
“Sebab
puan bu... buang abang kerana An. An dah han... hancurkan hati mak ab...
abang...” jawab Raihan tersedu-sedan.
“Kalau
dah tertulis kat sana yang jodoh abang dengan sayang, buatlah macam mana pun
jodoh abang tetap jugak dengan sayang.
Abang tak nak dengar lagi sayang salahkan diri sendiri. Semua ni bukan salah
sayang. Dah takdir kita macam ni.” Khidir menarik Raihan ke dalam pelukan.
“Walaupun tak dapat restu dari mak abang, kita masih ada restu ibu dan abah
sayang, kan?”
Raihan
mengangguk lantas membalas pelukan suaminya. “Kalau An minta abang buat sesuatu
boleh?”
Khidir
merungkaikan pelukan. Air mata di pipi Raihan dikesat dengan ibu jari. “Isteri
abang ni nak suruh abang buat apa? Masak untuk sahur esok ke? Boleh je... abang memang pandai masak!” Nada
suaranya diceriakan.
“Kalau
suruh abang masak, alamat makan lauk lori garam terbaliklah nanti.” Raihan
tergelak. Dia ingat lagi ketika dia sibuk menjahit, Khidir menawarkan diri
untuk memasak lauk makan malam. Apabila tiba waktu makan malam, masing-masing
tak boleh menelan kerana lauk sambal ayam yang dimasak oleh Khidir terlalu
pedas dan masin. Sudahnya makan di kedai saja.
“Amboi,
perli nampak!” Membulat mata Khidir. “Habis tu sayang nak suruh abang buat apa,
hmmm?”
Raihan
menarik nafasnya perlahan. “An nak abang telefon puan...” pintanya dengan
pandangan mengharap.
“Nur
Raihan... kan abang dah cakap yang mak tak...”
“Takkan
maafkan abang?” sambung Raihan.
Khidir
mengeluh keras.
“Percayalah, bang. An dapat rasakan yang puan dah maafkan
abang. An jugak seorang ibu.” Raihan
meletakkan tangan ke dada. “An tahu macam mana rasanya perasaan seorang ibu
yang sangat merindui anaknya. Kalau abang tak nak balik kampung, abang telefon
puan pun dah cukup. Puan mesti gembira dapat dengar suara abang. Please, bang... hanya ni je yang
An minta.” Dia menyentuh pipi Khidir.
Khidir
menolak perlahan tangan Raihan. Dia buntu dengan permintaan isterinya. Wajahnya
diraup perlahan lantas mengeluh kuat. “Keputusan abang muktamat! Seperti
permintaan mak dulu, abang takkan sesekali jejakkan kaki ke kampung. An pun
tahu abang ni bukan jenis yang suka mungkir janji, kan? Dan maaf... abang
terpaksa tolak permintaan An.” Walaupun abang teringin sangat nak dengar suara
mak, sambungnya di dalam hati.
Raihan
memejam mata. Dia kecewa dengan keputusan suaminya. Ya Allah, tolonglah
lembutkan hati suami aku, doanya di dalam hati. Dia membuka kembali matanya.
“Kalau puan sendiri yang telefon abang dan suruh abang balik kampung, abang
akan balik tak?” Dia masih mahu mencuba.
“Abang
dah mengantuk, tak nak bincang pasal ni lagi.” Khidir baring membelakangi
Raihan dan memejam mata. Soalan isterinya tadi cuba dibuang jauh-jauh dari
ruang otaknya. Mana mungkin emaknya akan menelefonnya.
Raihan
memicit kepala. Nampaknya dia sudah gagal memujuk suaminya. “An minta maaf,
bang. An tahu abang marah.” Sedih hatinya melihat Khidir tidur membelakanginya,
tak seperti selalu.
“Tak ada
la, mana ada abang marah,” jawab Khidir tanpa membuka mata.
“Kalau
tak marah, kenapa tidur menghadap belah sana? An tahu abang marah sebab An
paksa abang, kan? An minta maaf kalau An dah buat abang marah.” Sayu suara
Raihan.
Khidir
mengeluh, kemudian dia berpusing menghadap Raihan. “Abang tak marah pun dan
abang maafkan sayang. Dah, jangan sedih-sedih lagi, esok nak bangun sahur. Meh, tidur sini.” Tangan kanannya
didepangkan.
Raihan
mengelap air mata dan berbaring di atas lengan Khidir. Tidurnya terasa tak aman
selagi hubungan suami dan ibu mertuanya belum pulih.
*****
“JOM masuk, Killa... panas kat luar ni.” Raihan mengajak
Syakilla masuk ke rumah sebaik saja kereta Khidir meninggalkan kawasan perumahan
itu untuk ke tempat kerja.
“Akak
dah cuba pujuk abang ke?” tanya Syakilla sambil melabuhkan duduk di sofa. Beg
pakaiannya di letakkan di tepi.
“Dah.”
Raihan mengeluh lemah.
“Tak
jalan ke?” tebak Syakilla apabila melihat wajah muram kakak iparnya.
“Abang Killa
tu keras hati sangat. Akak dah tak tahu nak tambah perasa apa untuk lembutkan
hati dia.” Raihan mengeluh lagi mengenangkan peristiwa kelmarin.
“Elsa...
nanti kita nak balik kampung baba tau. Kampung baba kita kat Melaka. Mama cakap
nak bawak kita jumpa opah. Mesti opah
baik macam nenek kan...” Dinie menggoyangkan kepala anak patung di tangannya.
Syakilla
dan Raihan memandang Dinie yang sedang duduk di atas permaidani sambil bermain
dengan anak patung Elsa.
Sayu
hati Raihan apabila melihat wajah teruja Dinie yang betul-betul berharap dapat
berjumpa dengan opahnya. Maafkan mama, sayang... mama tak dapat nak tunaikan
janji untuk beraya kat Melaka.
Syakilla mengerut
dahi cuba memikirkan sesuatu. Kemudian dia tersenyum. “Dinie, sini duduk kat
mak su...” Dia menepuk sofa di sebelahnya. “Dinie betul-betul nak jumpa opah ke?”
tanyanya sebaik saja Dinie duduk di sebelahnya.
Dinie
mengangguk laju. “Opah tu orang dia macam mana, mak su?”
“Opah tu
macam opah Upin Ipin. Baik macam opah dia orang jugak.”
Bersinar-sinar
mata Dinie mendengarnya. Wajah opah drama kartun Upin dan Ipin sudah terbayang
di ruang mindanya. “Opah kenal Dinie tak, mak su?”
Syakilla
menggeleng kepala.
Raihan
hanya mendengar saja perbualan dua orang itu.
Dinie
mengerut dahi. “Kenapa tak kenal pulak?”
Dia menayang muka tak puas hati.
“Kan Dinie tak pernah balik kampung, macam mana opah nak
kenal Dinie.” Syakilla menggosok bahu Dinie perlahan.
“Ooo... nanti Dinie, mama
dengan baba nak balik kampung bolehlah opah kenal Dinie kan, mak su...” ujar
Dinie polos.
Syakilla menggeleng
kepala. “Opah takkan dapat kenal Dinie sampai bila-bila.” Dia berpura-pura
sedih.
Dinie sudah bercekak
pinggang. “Kenapa pulak?”
“Baba Dinie tak nak beraya
kat kampung.”
“Kenapa pulak baba tak nak? Mama kata mama nak
ajak baba kan, mama?” Dinie mengalihkan pandangan pada Raihan.
Raihan terkulat-kulat, tak
tahu mahu menjawab apa.
“Baba busy. Baba Dinie kan doktor... pesakit-pesakit kat hospital
perlukan baba.” Syakilla bermain dengan rambut anak patung Elsa di tangan Dinie.
“Busy? Habis tu pergi rumah atok dengan nenek tak busy pun?” Tak berkelip mata Dinie
memandang Syakilla.
“Rumah atok dekat je... rumah opah jauh sangattt... kena naik kereta.”
“Alaaa... tak bestlah macam tu!” Dinie menyandarkan
badan sambil menyilang tangan ke dada. “Dinie nak jugak kenal dengan opah. Elsa pun nak kenal jugak, kan?” Dia menggoyangkan anak patungnya.
“Kalau Dinie nak balik
kampung, Dinie kena ikut cakap mak su. Boleh?” Syakilla menjungkit kening.
Kemudian dia memandang Raihan dan mengenyit mata tanda umpannya mengena.
Raihan senyum dan
menggeleng kepala.
“Boleh! Apa dia, mak su?”
tanya Dinie tak sabar.
Syakilla membisikkan
sesuatu ke telinga Dinie. “Boleh tak?”
Dinie mengangguk laju.
“Dah, pergi main sana.”
Dia menolak bahu Dinie supaya bermain di bawah.
“Apa yang Killa suruh
Dinie buat?”
“Ada laaa...” Syakilla
sengih.
*****
“ANAK baba buat apa tu?” Khidir melabuhkan duduk di sofa sebelah Dinie yang
sedang leka dengan tablet di tangan.
“Tengok Upin Ipin,” jawab
Dinie tanpa mengangkat muka.
Khidir mengusap rambut
Dinie. Matanya turut dihala pada tablet yang memaparkan Upin dan Ipin sedang
berbual dengan opah. Penat bekerja hilang apabila melihat keletah anaknya yang
comel dan tembam.
Dinie menekan butang pause pada video dan memanggung kepala
memandang babanya. “Baba ada beli bunga api tak?”
Khidir senyum mendengar
pertanyaan Dinie. Anaknya ini tak habis-habis dengan bunga api. Satu hari tak
bermain bunga api memang tak sah! “Ada... lepas terawih nanti kita main. Ajak
mak su sekali ya...”
“Okey...” Lebar sengihan
Dinie. Tak sabar dia mahu bermain bunga api dengan baba dan mak sunya. Ketika
melihat ada budak bermain mercun di masjid, dia pernah terasa ingin bermain
sama tapi babanya tak bagi. Bahaya katanya. Tambahan pula banyak kes orang yang
cedera kerana bermain mercun.
“Jom pergi kat meja makan.
Dah berbuka dah ni,” Ajak Khidir apabila terdengar laungan azan maghrib. Tablet
di tangan Dinie diambil dan diletakkan di meja makan. Kemudian tangan anaknya
ditarik ke meja makan.
“Baba... Melaka tu rumah
siapa?”
Khidir yang sedang
mengunyah buah kurma terasa mahu tercekik mendengar pertanyaan Dinie. Air
bandung soda diteguk rakus.
Raihan memandang Syakilla
yang sudah mengenyit mata. Okey... dia sudah tahu ini rancangan Syakilla. Dia
mula gugup apabila Khidir memandangnya dengan pandangan, mana-Dinie-tahu? Dia
cepat-cepat menggeleng kepala.
Syakilla pula buat-buat
tak nampak apabila abangnya beralih memandangnya. Selamba dia menyudu lauk ke
pinggan bagai orang tak bersalah.
“Kenapa Dinie tanya?” Muka
Khidir serius.
“Tiap kali mak su cuti,
mesti mak su balik Melaka. Semalam pun mak su datang dari Melaka. Kat situ
rumah siapa, baba?” Paha ayam Dinie gigit sambil memandang Khidir yang menyuap
nasi ke mulut.
Lambat-lambat Khidir
mengunyah. Sesuap... dua suap... tiga suap nasi disumbat ke mulut. Berat
mulutnya mahu menjawab. Semalam Raihan ada menyebut pasal emaknya. Malam ini
Dinie pula. Melihat wajah ingin tahu anaknya, terpaksa juga dia menjawab.
“Rumah mak baba. Opah Dinie.” Bagaikan tak terkeluar suaranya.
“Rumah opah ada tak macam
rumah Upin dengan Ipin?” Dinie teruja. Sempat dia mengenyit mata pada Syakilla
yang menaikkan ibu jari kiri.
Khidir mengangguk. Nasi di
pinggan digaul perlahan. Wajah tua emaknya mula terbayang. Entah berbuka apalah
emaknya malam ini.
“Baba... raya nanti kita
raya kat rumah opah nak?”
Khidir mengangkat muka
memandang Dinie. Serentak dengan itu suara emaknya yang menghalaunya
terngiang-ngiang di telinga. “Tak boleh, sayang... kita raya kat rumah atok dan nenek je ya... nanti atok dengan nenek sedih pulak kalau kita tak beraya dengan dia,”
lembut dia menjawab.
“Tak nak... Dinie nak raya
dengan opah jugak. Kawan-kawan kat
tadika semua beraya kat kampung. Dia orang cakap...” Dinie mengerut dahi cuba
mengingati apa yang diajar oleh mak sunya. “Dia orang cakap kat kampung boleh
dapat banyak duit raya. Boleh tengok orang masak dodol dengan lemang. Lepas tu,
raya kat kampung lagi meriah daripada kat sini. Ada baaaanyakkkk pelita!”
“Kat sini pun boleh makan
lemang dengan dodol jugak, sayang.
Duit raya pun dapat. Kalau nak pelita, nanti baba boleh pasang pelita
banyak-banyak kat luar rumah. Sama je...”
Dinie menghempas ayam
goreng ke pinggan. “Tak sama!”
Khidir dan Raihan
terkejut.
Syakilla pula tak berkelip
mata memandang Dinie. Ini macam dah terover
sangat budak Dinie ni berlakon. Rasanya aku tak ada suruh dia tinggikan suara.
Dia menggaru kepala.
“Dinie nak raya dengan
opah kat kampung jugak. Tak nak kat
sini. Kat sini tak best!” Nafas Dinie
sudah turun naik.
Raihan nampak wajah Khidir
sudah berubah merah. Dia mahu menegur anaknya tapi Syakilla menahan. Membuat
isyarat suapaya menunggu.
Mencerlung mata Khidir. “Kenapa degil sangat ni?! Kalau
baba kata kita raya kat sini, kita tetap akan beraya kat sini! Dah, makan nasi
tu. Depan rezeki tak baik buat perangai!”
Dinie terasa mahu menangis
apabila Khidir meninggikan suara. Tapi dia tak akan mengalah selagi tak buat
babanya bersetuju untuk balik ke kampung. Tangan dicelup ke mangkuk basuh
tangan, kemudian dia meninggalkan meja makan.
“Nur Dinie Rahizar... nak
ke mana tu? Habiskan nasi dulu!” Melengking suara Khidir.
“Tak nak! Baba tak nak
balik kampung... Dinie tak nak kawan baba! Baba jahat, baba marah Dinie.”
Dengan suara serak Dinie menahan tangis. Pertama kali kena marah, dia memang
berasa sedih. Dia berlari laju menaiki tangga.
Khidir mengeluh. Dia
menopang tangan kiri ke dahi. “An duduk makan. Biarkan dia nak merajuk ke apa.”
Dia bersuara apabila Raihan mahu berdiri.
Raihan kembali duduk. Dia
risaukan Dinie yang hanya makan dua suap nasi sahaja. Tak pernah-pernah anaknya
merajuk begitu. Dulu kalau anaknya merajuk, nasi tetap dihabiskan. Lagi-lagi
apabila ada ayam goreng, lauk kegemaran anaknya. Memang dua pinggan akan
ditambah.
“Kecik-kecik lagi dah
pandai nak mogok. Haihhhh...” Khidir
menggeleng kepala.
“Dinie tu ikut perangai
Abang Dir la. Dulu masa mak tak bagi abang pergi melastik burung kat hutan
dengan Abang Ejam dengan Abang Manan... bukan Abang Dir pun merajuk sampai tak
nak makan ke?” Syakilla mengecilkan mata.
Raihan tersengih mendengar
cerita Syakilla. “Ya ke, Killa? Abang tak pernah cerita pun.” Sengihannya makin
melebar apabila melihat wajah Khidir bertukar merah menahan malu.
“Haah, Kak An... hari-hari
mak masak lauk kegemaran abang sebab nak pujuk abang tapi langsung tak jalan.
Dia tahan jugak tak nak makan. Tapi
rupa-rupanya tengah-tengah malam dia pergi melantak kat dapur.”
Tersembur ketawa Raihan.
“Sudah... tutup cerita
lama. Makan cepat, kejap lagi nak sembahyang maghrib. Tengok jam tu dah pukul
berapa dah ni.” Khidir menyuap suapan terakhir. Mengenangkan kisah lama
membuatkan dia rindu dengan air tangan emaknya. Mak... Dir rindu kat mak... dia
menarik nafas menahan sebak.
*****
“MAMA... nak dukung. Dinie ngantuklah...” Dinie menenyeh mata yang sudah
layu. Di masjid tadi sempat dia lelap sekejap sementara menanti mamanya
menunaikan terawih.
“Lagi sikit je nak sampai rumah kan... Dinie jalan
sendirilah.” Raihan memimpin tangan Dinie.
“Meh, baba dukung.” Khidir memegang bahu Dinie tapi anaknya menepis.
Khidir mengeluh. Kebiasaannya jika dia berpeluang berterawih dengan isterinya
di masjid, dia yang akan mendukung anaknya hingga sampai ke rumah. Tapi sejak
mogok suara dengannya, Dinie langsung tak mahu bercakap dengannya. “Tadi kata
mengantuk, kan... mehlah baba
dukung.” Lembut dia memujuk.
“Tak nak baba, nak mama!
Nak mama!” Dinie sudah menangis. Rasa mengantuk yang amat sangat membuatkan dia
cengeng.
“Sayang dukunglah Dini.
Beg tu biar abang bawak.” Khidir
mengambil beg yang berisi kain telekung di tangan Raihan. Dia mengusap kepala
Dinie yang sudah terlentok di bahu kiri isterinya.
“Dinie... kejap lagi nak
main bunga api dengan baba tak? Yang kelmarin kita tak main lagi sampai mak su
dah balik kolej dah pun. Tak sempat nak ajak dia main. Dinie suka main bunga
api, kan?” Khidir cuba memancing perhatian Dinie.
“Tak nak! Baba marah Dinie
hari tu. Baba tak nak balik kampung pun. Kawan-kawan Dinie semua cerita pasal
kampung dia orang tapi Dinie tak pernah balik kampung. Dinie tak nak kawan
dengan baba!” Dinie memalingkan muka ke bahu sebelah kanan.
Raihan menggosok perlahan
bahu Khidir. “Sabar ya, bang. Dinie ni budak lagi. Biasalah, suka memberontak
bila tak dapat apa yang dia nak.”
Khidir mengeluh lagi.
Anaknya masih kecil untuk memahami cerita duka dia dan isterinya. Buatnya
apabila dia balik ke kampung nanti emaknya tiba-tiba menghalau mereka macam
mana? Kalau emaknya tak boleh menerima Raihan sebagai menantu, mesti emaknya
tak boleh menerima Dinie sebagai cucu juga.
*****
SEKEJAP lagi shift kerja Khidir
akan tamat. Dia berehat sebentar di bilik rehat usai menjalankan pembedahan ke
atas pesakitnya. Wajahnya diraup. Duduk sendirian begitu membuatkan dia teringat
kembali perbualannya dengan seorang mak cik yang dijumpai di tepi surau
hospital.
Selesai menunaikan solat
zohor, Khidir terpandangkan seorang wanita tua yang lebih kurang sebaya emaknya
sedang menangis di bangku tepi surau. Dia melabuhkan duduk di sebelah wanita
itu. “Mak cik... kenapa menangis ni? Ada ahli keluarga mak cik dimasukkan kat
hospital ni ke?”
Wanita itu memanggung
kepala. Dia teragak-agak mahu menjawab.
“Saya doktor kat hospital
ni. Nama saya Khidir. Nama mak cik siapa?” Khidir tersenyum ramah.
“Nama mak cik Jumaah.
Panggil Cik Ah je, doktor,” jawab
Jumaah. “Anak lelaki Cik Ah dimasukkan kat hospital ni semalam.” Air matanya
bagaikan tak mahu berhenti.
Khidir mengangguk. “Anak
Cik Ah sakit apa?”
“Buah pinggang anak Cik Ah
rosak sebab kena tikam dengan perompak malam semalam. Dia satu-satunya anak
tunggal Cik Ah. Hati ibu mana yang tak sedih bila tengok anak terlantar sakit
macam tu? Walaupun dia pernah buat silap pada Cik Ah tapi Cik Ah tak pernah
sumpah dia. Hari-hari Cik Ah doakan kesejahteraan hidup dia dengan isteri.”
Khidir menghulur sapu
tangan apabila melihat air mata Jumaah mengalir lagi. Kata-kata wanita itu
telah meningkatkan graf ingin tahunya. Teragak-agak dia mahu bertanya. “Erk... boleh saya tahu apa yang anak Cik
Ah dah buat?”
Jumaah diam. Dia kalau
boleh tak mahu membuka aib anak lelakinya. Tapi disebabkan rasa sedih dan
terkilan, dia terlepas cakap pada doktor muda itu.
“Maaflah kalau saya ni
nampak macam menyibuk tapi kalau Cik Ah tak nak cerita pun tak apa, saya tak
paksa.” Khidir tersenyum malu.
Lama Jumaah memandang
Khidir. Rasanya tak salah dia bercerita kepada doktor muda itu.
Sekurang-kurangnya segala rasa sedihnya akan berkurang. Dia menarik nafas
sebelum bercerita. “Sebenarnya Cik Ah datang dari rumah orang-orang tua.”
Khidir tersentak. Dia tak
menyangka ada anak yang sanggup menghantar ibunya ke rumah kebajikan. Duduknya
diselesakan untuk mendengar cerita Jumaah.
“Anak Cik Ah hantar kat
sana sebab isteri dia tak suka Cik Ah.” Jumaah menarik nafas menenangkan rasa
sedih. Mulutnya sudah tercebik-cebik menahan tangis. “Katanya Cik Ah ni
menyusahkan. Suruh basuh pinggan, pinggan pecah. Suruh masak lauk, dikatanya
Cik Ah nak bakar rumah sebab terlupa nak tutup api. Padahal Cik Ah dah pesan
kat menantu suruh tengok-tengokkan lauk kat dapur sebab Cik Ah nak solat. Tapi
anak Cik Ah marah Cik Ah. Dia tak nak dengar langsung alasan Cik Ah.” Dia
berjeda.
“Satu hari tu... Cik Ah
bagi makanan kat kucing kesayangan menantu tapi tiba-tiba kucing tu terlepas
keluar dari sangkar. Cik Ah cuba kejar kucing tu yang keluar dari pagar rumah
tapi Cik Ah terjatuh. Bila anak dengan menantu balik rumah, dia orang marah Cik
Ah. Dia orang langsung tak kesian bila Cik Ah bagitahu yang Cik Ah jatuh.”
Jumaah teresak.. “Hati ibu mana yang tak sedih bila tengok anak sendiri lebih
risaukan isteri yang menangis sebab kucing hilang berbanding emak kandung
sendiri. Cuba doktor cakap, antara emak dengan binatang peliharaan mana lagi
penting?”
Khidir tersentak apabila
disoal begitu. “Emak...” Sebut saja perkataan itu membuatkan dia teringat pada
emaknya. Kemudian teringat pada Raihan dan Dinie yang beria-ia mengajaknya
balik ke kampung. Khabar emaknya pun dia tak tahu. Dia tak pernah bertanya pada
Syakilla walaupun hatinya kuat mahu mengetahui keadaan emaknya.
Jumaah senyum segaris. “Tapi anak
Cik Ah sanggup dengar cakap isteri dia. Isteri dia suruh hantarkan si tua ni
kat rumah orang-orang tua pun dia sanggup. Tak sangka baik sangat anak Cik Ah
tu, doktor. Disebabkan kucing kesayangan isteri hilang, si tua ni...” Tangan
kiri ditepuk-tepuk ke dada. “Si tua ni yang dah jaga dia dari kecik hingga ke
besar ni pun sanggup dibuangnya. Dia kata selagi kucing tu tak balik ke rumah,
selagi tu dia tak akan jemput Cik Ah balik ke rumah dia.” Dia teresak-esak lagi.
“Cik Ah pernah merayu suruh dia hantar ke kampung tapi dia tak nak. Dia takut
orang kampung cakap dia anak yang tak pedulikan ibu.”
Khidir menggeleng kepala.
Rasa kasihannya melimpah apabila mendengar cerita wanita itu. Dia tak menyangka
dia dapat mendengar sendiri kisah anak derhaka versi realiti. Selama ini dia
hanya tengok cerita di televisyen saja.
“Semalam, sebelum keadaan
dia jadi macam sekarang, dia datang jumpa Cik Ah. Masa tu Cik Ah ingatkan dia
datang sebab nak jemput Cik Ah balik tapi rupanya dia suruh Cik Ah tukar nama
tanah kepada nama dia.” Jumaah mengesat air mata. “Bila Cik Ah menolak, dia
marah. Dia kata yang dia tak akan jenguk Cik Ah sampai bila-bila. Kalau Cik Ah
mati nanti, jangan telefon dia. Sedih hati Cik Ah ni, doktor. Pagi tadi menantu Cik Ah datang merayu supaya
Cik Ah selamatkan suami dia sebab buah pinggang dia tak sepadan dengan anak Cik
Ah. Dia minta maaf dengan Cik Ah, dia kata dia menyesal dengan apa yang dia
pernah buat dulu.” Jumaah senyum.
“Kalau menantu Cik Ah tak
merayu pun Cik Ah akan tetap selamatkan anak Cik Ah. Dia anak Cik Ah... tak ada
emak yang bencikan anaknya walaupun macam-macam yang anak dia buat.” Jumaah
berjeda. “Sekarang Cik Ah tengah tunggu keputusan pemeriksaan. Cik Ah harap
sangat yang buah pinggang Cik Ah sesuai dengan dia. Dia muda lagi... ada isteri
yang perlu dia jaga dan mungkin kalau ada rezeki nanti akan ada anak pulak.”
Khidir kembali teringatkan
emaknya.
“Mak doktor masih hidup?”
Jumaah memandang wajah keruh Khidir.
Khidir mengangguk
perlahan.
“Jagalah emak baik-baik. Jangan
guriskan hati dia. Masa emak masih hidup nilah anak-anak kena hargai dia. Emak
hanya seorang, tak boleh ditukar ganti. Lagipun orang tua ni tak harapkan
lebih... cukup sekadar anak-anak ingat pada dia. Kalau dia jauh, selalulah
telefon dia kat kampung. Bukan sekadar masukkan duit bulan-bulan.”
“Tapi kes saya ni lain
sikit, Cik Ah. Mak saya tak restu perkahwinan saya.” Khidir mula menceritakan
krisis yang menimpa keluarganya.
“Cik Ah rasa doktor kena telefon
mak doktor. Dalam tempoh tujuh tahun ni, mesti mak doktor rindukan doktor. Cik
Ah pun pernah rindukan anak dan menantu Cik Ah... mesti mak doktor pun rasa
benda yang sama. Tambahan pulak
doktor dah ada anak, mesti dia tak sabar nak jumpa satu-satunya cucu dia.”
Khidir mengemam bibir.
“Nanti saya cuba fikirkan.” Sedikit sebanyak, kata-kata Jumaah berjaya mencuit
hatinya.
“Jangan fikir-fikir lagi,
doktor. Sekarang bulan Ramadan, bulan untuk menyucikan hati dan bulan untuk
bermaaf-maafan. Baliklah ke kampung. Cuba rendahkan ego. Jernihkan balik apa
yang keruh. Tak salah pun doktor sebagai anak memulakan langkah. Lagi lama
doktor biarkan, sampai ke sudah masalah doktor tak selesai.”
“Dir, kau tak balik lagi
ke?”
Khidir tersentak apabila
Safuan yang melangkah masuk ke bilik rehat itu menegurnya. Hilang terus sesi
luahan rasa antara dia dan Jumaah yang berlegar di fikirannya tadi. Jam tangan
dikerling. Waktu kerjanya sudah tamat. “Nak baliklah ni.” Dia bangun
merenggangkan urat yang terasa lenguh. Dia nekad mahu menghubungi emaknya
sebaik saja balik ke rumah nanti. Tak salah kalau dia mencuba.
*****
RAIHAN pelik melihat Khidir mundar-mandir di ruang tamu. Muka macam orang
ada masalah pun ada! Mata pula sekejap pantang telefon pintar, sekejap menyentuh
skrin telefon dan sekejap mengetuk perlahan telefon itu ke dahi. “Abang kenapa?
Macam orang gelisah je. Ada yang tak
kena dengan pesakit kat hospital ke?” Setahunya Khidir akan berasa sedih jika
dia gagal menyelamatkan pesakitnya. Tapi ketika balik kerja petang tadi tak ada
pula suaminya bercerita pasal mana-mana pesakit.
Langkah Khidir terhenti. Terus
dia memandang Raihan yang sedang berdiri di pintu masuk. Sedari tadi isterinya
memerhatikan anak mereka bermain dengan anak jiran di luar rumah. “Abang nak
telefon mak tapi berdebar pulak,”
jawabnya jujur. Tentang kisah Jumaah tadi langsung tak diceritakan pada
isterinya. Biarlah cerita itu hanya antara dia dan wanita tua itu saja. Dia
menjeling jam di dinding. Baru pukul 10.30 malam.
Raihan menoleh ke luar
rumah. “Dinie, jangan main lama sangat. Kejap lagi masuk tau!”
“Okey, mama,” jawab Dinie yang sedang bermain pop!
Raihan mendapatkan suaminya dengan wajah ceria. Dia
bersyukur hati suaminya telah terbuka. “Syukur alhamdulillah... abang tarik
nafas dan selawat banyak-banyak, lepas tu telefon puan, ya... An nak ke dapur,
minum air.
Sebaik saja kelibat Raihan hilang ke dapur, Khidir
menarik nafas, berselawat di dalam hati dan menghubungi emaknya. Kemudian dia
melabuhkan duduk di sofa.
“Helo, assalamualaikum...”
Mendengar suara itu membuatkan jantung Khidir berdegup
laju. Liurnya ditelan berkali-kali sebelum menjawab salam. “Wa...
waalaikumussalam, ma... makkk...” Tersekat-sekat suaranya. Dadanya disumbat
dengan rasa sebak apabila terdengar suara tersedu-sedan di hujung talian. “Mak
apa khabar?”
Talian masih lagi senyap.
“Mak marahkan Dir lagi, ya?” Makin pedih hati Khidir
apabila emaknya langsung tak menjawab. Dia mengeluh. Tak apalah, maaf kalau Dir
mengganggu mak. Salam ramadan, mak.”
“Dir anak mak...”
Khidir tak jadi mahu mematikan talian. Air matanya turut
mengalir apabila mendengar suara serak emaknya. Selama tujuh tahun, dapat juga
dia mendengar suara wanita yang paling dirindui. “Mak apa khabar? Dir rindu
sangat kat mak.”
Raihan yang mencuri dengar di belakang sofa yang diduduki
Khidir turut mengalirkan air mata.
“Mak sihat, Dir... mak pun rindu Dir. Kenapa Dir tak
pernah telefon mak? Sibuk sangat ke kerja doktor tu sampai langsung tak balik
jenguk mak?”
Khidir mengemam bibir menahan rasa sebak. “Mak yang tak
bagi Dir jejakkan kaki kat kampung. Mak halau Dir, sebab tu Dir tak balik.” Dia
berpaling apabila terasa ada tangan menyentuh bahunya. Dia menggenggam tangan
isterinya lantas dibawa duduk di sebelahnya. Dia hanya membiarkan Raihan
mengesat air matanya. Ikon loud speaker disentuh,
mahu memberi isterinya mendengar sama.
“Memang dulu mak marah sangat tapi lama manalah marah
seorang mak kepada anak? Dulu mak terlampau ikutkan rasa marah sampai sanggup
buang anak sendiri. Tapi bila tak tengok Dir depan mata, mak rasa sunyi... rasa
rindu dengan gurauan Dir. Tiap hari mak akan check telefon rumah, takut kalau telefon tak berfungsi nanti Dir
tak dapat telefon mak.”
Khidir memegang dadanya yang terasa pedih. Dia menyesal
sebab terlalu mengikutkan hati yang merajuk.
“Tiap petang mak akan tunggu depan pintu. Tunggu Dir
balik tapi Dir tetap tak muncul. Mak tahu anak mak ni terasa hati dengan mak.
Mak minta maaf ya, Dir?”
Makin sayu hati Khidir. “Mak tak salah, Dir yang salah.
Kalau dari dulu Dir balik kampung jenguk mak, mesti keadaan kita takkan jadi
lama macam ni.” Dia berjeda. “Tujuh tahun, mak... tujuh tahun Dir keraskan hati
untuk balik ke kampung sebab Dir ingat mak betul-betul bencikan Dir dan buang
Dir dari hidup mak. Tapi percayalah... tak pernah sekalipun Dir lupakan mak.
Tiap hari Dir rindukan masakan dan belaian mak. Dir rindu nak bermanja dengan
mak.”
“Nanti Dir balik beraya dengan mak ya, nak... nanti mak
masakkan makanan kegemaran Dir.”
“Baik, mak... nanti Dir balik. Mak, Dir nak bagitahu ni.
Mak dah jadi opah tau.” Suara Khidir bertukar ceria.
“Ya ke, Dir? Lelaki ke perempuan cucu mak tu? Berapa
orang?”
Raihan tersenyum mendengar suara teruja emak mertuanya.
“Sorang je, mak.
Perempuan... nama dia Nur Dinie Rahizar. Belum ada rezeki nak dapat yang kedua.
Nanti Dir bawak Dinie jumpa mak.”
“Bawaklah, Dir.
Mak tak sabar nak jumpa cucu mak. Boleh bawak
dia pergi bazar ramadan. Mesti muka dia comel macam Dir, kan?”
Khidir ketawa. Hilang sudah rasa sedihnya. “Muka dia iras
An, mak. Kulit putih gebu, pipi tembam. Kerjanya asyik nak main bunga api je.”
Jamilah di hujung talian senyap. “Erk... Dir, mak dah mengantuklah. Nanti Dir balik tau... mak tunggu
Dir. Assalamualaikum...”
“Okey, mak. Waalaikumussalam.” Usai mematikan talian,
Khidir memegang pipi Raihan. “Mak dah terima abang, sayang... mak dah maafkan
abang... mak suruh kita beraya kat kampung.”
Raihan menggenggam erat tangan Khidir yang berada di
pipinya. “Ya, bang... An dengar. Alhamdulillah abang dengan mak abang dah
berbaik. An gembira sangat.” Dia senyum lebar. Malam ini bolehlah dia tidur
lena.
Khidir melepaskan pegangan. “Nanti kita balik kampung ya,
An... lepas ni mesti Dinie dah tak merajuk dengan abang lagi.”
Raihan mengangguk sambil memeluk Khidir. Belakang
suaminya ditepuk perlahan. Jauh di sudut hati dia tetap berasa gelisah. Entah
kenapa dia terasa emak mertuanya masih tak dapat menerima dia sebagai menantu.
Buktinya jelas apabila emaknya terus senyap ketika suaminya menyebut namanya.
Matanya dipejam rapat cuba membuang rasa sedih.
“Mama buat apa tu?”
Raihan dan Khidir cepat-cepat melonggarkan pelukan.
Kedua-duanya memandang Dinie yang berdiri kaku di pintu masuk.
“Meh sini,
sayang...” Khidir menggamit Dinie agar duduk di tengah-tengah antara mereka namun
anaknya tetap beku. Masih merajuk dengannya. “Tadi baba baru lepas bercakap
dengan opah tau...” Dia cuba memancing reaksi anaknya. Ternyata wajah Dinie
berubah. “Baba cakap kat opah yang kita bertiga akan beraya kat kampung!”
“Betul ke, baba?” Dinie terus mendapatkan baba dan
mamanya.
Khidir mengangguk dan tersenyum. Pipi anaknya dicium.
“Baba janji sebelum raya kita balik kampung. Maafkan baba sebab kecewakan
Dinie.” Ubun-ubun anaknya pula dikucup.
“Yeay... boleh
balik kampung!” Dinie mengangkat tangannya tinggi ke atas. Kemudian dia
memandang babanya. “Baba... jom main bunga api...” manja dia mengajak.
Khidir mengerut dahi. “Eh, bukan tadi dah main dengan
jiran sebelah ke kat luar?”
“Tu main pop! Dinie nak main bunga api dengan baba. Main
dengan baba laaagiii best!” Dinie
menaikkan ibu jari ke atas.
Khidir dan Raihan tergelak.
“Kejap, baba pergi ambil kat atas.” Khidir bangun.
“Baba, nak pinjam telefon... nak bagitahu mak su yang
Dinie dah menang!” Dinie mencapai telefon pintar babanya yang tersadai di sofa.
Khidir tak jadi naik tangga. Dia menoleh memandang Dinie
dengan pandangan pelik. “Menang?” Berkerut-kerut dahinya.
“Mak su janji nak bagi seratus ringgit kalau Dinie
berjaya pujuk baba balik kampung raya nanti. Ops!” Dinie menekup mulut apabila dia terbocorkan rahsia.
Khidir sudah bercekak pinggang. Ooo... rupanya perubahan
Dinie dua tiga hari ini sebab Killa la! Dia mengetap gigi. “Kurang asam punya
adik! pandai dia ajar anak buah macam ni. Siap dia nanti!”
*****
RAIHAN duduk di pangkin sambil memandang Khidir, Jamilah dan Dinie yang
pergi sembahyang terawih. Semakin lama kelibat mereka hilang dari pandangan
mata. Sambil memerhatikan kawasan rumah kampung pada waktu malam, fikirannya
mula melayang pada peristiwa tengah hari tadi ketika mereka baru sampai ke
kampung.
Raihan keluar dari kereta
dengan debaran yang menggila. Dia dapat melihat wajah terkejut Jamilah
memandang Khidir di bahagian pemandu. Kemudian emak mertuanya berjalan laju
mendapatkan Khidir.
“Kenapa tak bagitahu nak
balik hari ni?” Badan Khidir yang tinggi itu dipeluk.
“Saja nak buat kejutan.”
Khidir senyum dan mengelap air mata emaknya sebaik saja pelukan dilepaskan.
“Mak sihat?”
“Mak sihat. Lagi bertambah
sihat bila tengok Dir balik.” Jamilah senyum lebar. “Killa pun balik hari ni
tapi bas dia malam.”
“Dia ada bagitahu Dir hari
tu.” Khidir menoleh ke belakang apabila terasa hujung t-shirtnya ditarik. “Dinie, nilah mak baba.” Bahu anaknya dipeluk
dan dibawa menghadap Jamilah.
“Comelnya cucu opah. Mari
dekat opah, sayang.” Jamilah menghulur tangan.
Malu-malu Dinie bersalam dengan Jamilah.
Raihan tersenyum memerhati drama jejak kasih itu. Dia
kemudiannya berdiri di belakang Khidir. Kedua-dua belah tangannya terasa sejuk mahu
bersalam dengan emak mentuanya. Dia dapat merasakan emak mentuanya masih tak
dapat menerimanya apabila melihat Jamilah menjeling nak tak nak saja padanya.
“Umur berapa, cu?” Rambut lurus Dinie diusap lembut.
“Enam tahun. Cantiknya rumah opah. Macam rumah Upin Ipin!”
“Haaa... kalau cantik, nanti kena selalu ajak baba balik
sinilah. Bukan jauh pun Melaka-Kuala Lumpur tu.” Jamilah senyum senang. “Cucu
opah ni puasa tak?”
Dinie mengangguk laju. “Puasa... setengah hari.”
“Eh... kenapa tak puasa penuh satu hari?” Dahi Jamilah
berkerut.
“Mama kata Dinie ni kecik lagi. Nanti dah besar baru
belajar puasa penuh satu hari. Kan, mama?” Dinie menoleh mencari muka Raihan.
Raihan senyum. Dia nampak Jamilah menceber namun tangan
tetap dihulur untuk bersalam. Tapi emak mentuanya hanya menyambut salamnya
dengan hujung jari saja. Hatinya yang sedikit terasa cuba disadokan.
“Cikgu Dinie kan... pernah cakap kat sekolah, kalau nak
bersalam kena salam betul-betul tau, opah.”
Tiga pasang mata serentak memandang Dinie.
“Opah kena salam mama macam ni.” Dinie memegang tangan
Jamilah dan Raihan, kemudian disatukan. “Lepas tu mama cium tangan opah, opah pulak peluk mama macam opah peluk baba dengan Dinie
tadi.” Dia menyilang tangan ke badan sambil memerhati mama dan opahnya.
“Cepatlah peluk mama, opah!”
Raihan dapat melihat wajah terpaksa Jamilah ketika
menariknya ke dalam pelukan. Dadanya terasa sebak. Selama tujuh tahun dia
dambakan pelukan seorang emak mentua. Hari ini kerana anaknya, akhirnya dia
dapat merasakannya walaupun dalam keadaan terpaksa. Badannya sedikit bergetar
cuba menahan tangis. Sengaja dia mengetatkan lagi pelukan apabila emak mentuanya
mahu melepaskan pelukan.
“Tak payah nak terharu sangatlah! Aku buat semua ni sebab
Dinie. Aku tak nak dia fikir aku ni jahat sangat. Dah, lepaskan aku!” bisik
Jamilah keras di telinga Raihan.
Raihan mengelap sisa air mata sebelum melepaskan pelukan.
Kemudian dia mengeluarkan sekotak periuk Noxxa dari boot dan dihulur pada Jamilah. “Saya ada belikan periuk untuk puan.
Macam-macam boleh dimasak dengan periuk ni. Lagi satu, kalau masak apa-apa, dia
cepat masak.” Wajahnya dimaniskan, cuba menunjukkan yang dia ikhlas memberi
hadiah itu.
“Tak payahlah, kat rumah tu banyak dah periuk. Nanti tak
muat pulak nak sumbat kat dapur tu.
Kau simpan jelah kat rumah kau. Tak
pun bagi ibu dengan abah kau tu. Tak payah susah-susah nak bagi aku. Nak
menyemakkan lagi dapur aku tu.”
Raihan menunduk. Pedih hatinya mendengar penolakkan
Jamilah. Periuk itu dibeli dengan duit hasil menjahit. Memang dia mahu
menghadiahkan kepada emak mentuanya apabila Khidir kata emak mentuanya suka
memasak. Untuk ibunya memang sudah lama dibelikan.
“Mak, penat-penat An belikan mak periuk tu tau. Tak baik
tolak.” Khidir memujuk lembut.
“Mak tak minatlah periuk-periuk ni semua, Dir. Bukannya
mak guna. Nanti kalau simpan je boleh
ternak habuk kat dapur tu. Jom, cu ikut opah masuk. Kat luar ni panas. Makin
bertambah panas cuaca ni bila orang suka paksa-paksa.” Jamilah menarik tangan
Dinie melangkah ke rumah.
Raihan memegang tangan Khidir apabila melihat suaminya
mahu menjawab lagi. “Abang kan baru berbaik dengan puan. Please jangan menjawab lagi. An tak nak puan makin benci dengan An
bila abang bela An.”
“Tapi mak buat sayang terasa. Tak boleh ke mak terima je hadiah tu? Abang terkilan sangat.
Abang ingatkan bila mak boleh terima abang dengan Dinie, mak akan terima sayang
sebagai menantu. Tapi macam ni pulak mak
layan sayang. Abang tak fahamlah dengan mak ni.” Khidir menyandar di badan
kereta. Wajahnya kusut.
“An akan cuba bersabar dan hormat dia sebagai wanita yang
telah melahirkan abang. Kalau abang sayang An, An nak abang biarkan je apa yang mak abang buat pada An.
Anggap je abang tak nampak dan tak
dengar apa-apa. An tak nak abang masuk campur. Boleh ya, bang?” Jari kelengking
kanan Raihan hulur pada Khidir.
“Tapi takkan abang nak tengok je isteri abang kena marah dengan mak?” Khidir tak puas hati. Jari
kelengking Raihan langsung tak disambut. “Hati abang tak cukup kuat nak tengok
sayabg bersedih apatah lagi menangis. Kalau mak marahkan An sebab memang betul
An yang salah, bolehlah abang diam. Tapi kalau mak sengaja nak cari salah An
sebab mak tak sukakan An, itu abang tak boleh terima.”
“Tak apa, bang. An sanggup terima semuanya asalkan abang
dengan puan tak bermasam muka lagi. An lagi tak sanggup tengok abang rindukan
puan dari jauh dan An tak nak pisahkan abang dengan mak abang lagi. Lagipun,
puan benarkan An beraya kat sini pun dah cukup bagi An. Janji dengan An yang
abang takkan buat apa-apa ya?” Sekali
lagi Raihan menghulurkan jari kelengking.
Khidir mengeluh kuat. Rambutnya diramas kasar.
“Demi An. Please,
abang...” Dan Raihan tersenyum puas apabila Khidir dengan muka terpaksa
mencangkukkan jari kelengking mereka.
“Assalamualaikum, Kak An. Buat apa duduk kat pangkin
malam-malam ni?”
Menungan Raihan terbarai apabila Syakilla memberi salam.
Dia senyum sebaik saja adik iparnya duduk di sebelahnya. “Waalaikumussalam.
Saja akak ambil angin.”
“Mana yang lain?” Syakilah memanjangkan leher meninjau ke
pintu rumah yang terbuka.
“Yang lain semua dah pergi terawih, akak pulak cuti.”
“Macam mana drama jejak kasih tadi?” Teruja Syakilla
hendak tahu.
Raihan terbayangkan wajah gembira Jamilah. “Puan gembira
bila tengok Abang Dir balik. Sejak dari sampai tadi asyik tak berenggang dengan
Dinie. Maklumlah cucu sulung kan...” Dia tayang senyum bahagia.
Syakilla mengerut dahi mendengar panggilan puan yang
meniti di bibir Raihan. “Mak okey ke dengan Kak An?” Melihat anggukan Raihan
makin menambahkan lagi rasa curiganya. “Kalau dah okey, kenapa Kak An masih
panggil mak puan? Hmmm?”
“Erk...”
Terkulat-kulat Raihan mahu memberi alasan.
“Mak tak boleh terima Kak An lagi, kan?” Syakilla
menggaru dahi. Kalau Raihan hanya diam maknanya betullah sangkaannya. “Killa
tak fahamlah dengan mak ni. Entah apa yang mak tak puas hati lagi dengan akak.”
Raihan senyum. Ayat Syakilla sebijik sangat dengan ayat
suaminya tadi.
“Kak An ni punyalah baik, kenapa mak tak boleh terima
akak sebagai menantu?” sambung Syakilla lagi.
“Tak apalah, Killa... akak okey. Akak yakin satu hari
nanti puan mesti boleh terima akak. Akak kena banyak bersabar dan cuba ambil
hati puan sementara akak masih ada kat kampung ni. Manalah tahu lama-lama nanti
hati puan lembut ke kan...” Raihan mengusap lembut bahu Syakilla, cuba
meredakan kemarahan adik iparnya. “Killa nak minum? Akak buatkan air ya?”
Sengaja dia menukar topik, tak mahu adik iparnya larut dalam emosi.
“Boleh jugak, kak.
Tolong buatkan Killa air sunquick mixed berries eh. Killa nak mandi dulu.
Panas.” Syakilla bangun mengangkat beg namun dia tak jadi melangkah. “Lauk
berbuka tadi ada lagi tak, kak? Lapar balik la pulak. Iftar tadi makan kuey teow tomyam je.” Dia menggosok perut.
“Ada... puan masak asam pedas ikan pari, sambal tempoyak
udang, goreng kobis dengan ayam goreng untuk Dinie.” Pertama kali merasa air
tangan emak mertua memang membangkitkan selera makannya. Masakannya sendiri
memang tak boleh lawan masakan Jamilah yang sedap.
Kecur liur Syakilla mendengarnya. “Uish... semuanya lauk kegemaran Abang Dir! Habislah nanti semua
makanan kegemaran Abang Dir je yang
mak masak ni.”
Raihan ketawa. “Jom kita masuk dalam. Killa mandi, nanti
akak panaskan lauk.”
“Terima kasih, kak.” Syakilla melangkah naik ke rumah
bersama Raihan.
*****
HARI INI buat pertama kali dia memasak juadah berbuka untuk emak mentuanya.
Sejak menjejakkan kaki ke kampung suaminya semalam, dia nekad mahu menjamah
segala mimik muka menyampah yang dihidangkan oleh Jamilah dengan segugus
kesabaran. Dia memandang lauk-pauk yang dimasaknya. Untuk langkah pertama, dia
cuba memasak lauk kegemaran emak mentuanya. Kata Khidir, emak mentuanya suka
makan lauk pajeri nanas tapi disebabkan suaminya termimpi-mimpi makan pajeri
rambutan, maka terhasillah pajeri rambutan.
“Hei, kan aku kata tadi
tak payah masak! Kau ingat aku suka sangat ke nak merasa air tangan kau?”
Raihan terkejut mendengar
suara dingin itu. Dia menoleh memandang Jamilah yang bercekak pinggang di
tangga dapur. Di belakang wanita itu berdiri seorang wanita yang dia sendiri
tak kenal. “Abang Dir teringin nak makan pajeri rambutan, puan.” Tenang dia
menjawab.
Berubah muka Jamilah
mendengar lauk yang disebut Raihan. Dia melangkah mendapatkan meja dan melihat
lauk-pauk yang dihidangkan. Ada pajeri rambutan, kangkung goreng belacan dan ayam
goreng. Pajeri rambutan itu dikacau-kacau. Sedikit sebanyak lauk itu berjaya
menjentik seleranya walaupun bukan nenas yang menjadi menunya. Baru hari ini
dia tahu rambutan boleh dimasak pajeri. “Mana kau belajar buat pajeri rambutan
ni?” Menantunya yang berwajah lembut dipandang.
Raihan senyum. “Malam tadi
abang mimpi tengah makan lauk ni. Tu yang saya masak tu.” Dia perasan wanita di
sebelah Jamilah menceber mendengar jawapannya.
Jamilah mengerut dahi. Dir
mengidam ke? Takkan la perempuan ni mengandung pulak, dia kan tengah datang bulan. Matanya beralih pada pinggan
kangkung goreng belacan. “Yang kau masak kangkung kenapa? Kau nak bagi aku
sakit ke? Tak tahu ke aku tak boleh makan kangkung?”
Raihan terkebil-kebil.
“Maaf, puan. Saya tak tahu puan tak boleh makan kangkung. Saya masakkan lauk
lain untuk puan ya?” Dia menjeling jam. Ada satu jam setengah lagi sebelum berbuka.
Pintu peti ais dibuka.
“Tak payah! Aku boleh
makan geti nara yang Liza bawak ni.”
Ooo... dialah Liza... Baru
hari ni aku dapat tengok orangnya. Raihan menilik Saliza yang berkebaya nyonya
merah dengan rambut disanggul ala-ala pelakon Korea.
“Spaghetti carbonara la,
Cik La.” Saliza membetulkan sambil gelak gedik.
“Haaa... spaghetti
carbonara. Hari ni tekak aku tak selera nak makan lauk ni semua. Lagi-lagi
kalau kau yang masak.” Suka hati Jamilah melihat wajah keruh Raihan. “Apa kau
ingat bila kau masak lauk ni semua aku akan lembut hati terima kau jadi menantu
aku? Heh, jangan harap!” Keras tapi perlahan nadanya, tak mahu Dinie yang
sedang menonton televisyen dengan Zuqni, anak Saliza mendengar suara tingginya.
“Liza hidang spaghetti ni
ya, Cik La...” Saliza meletakkan bekas yang berisi spaghetti carbonara di atas
meja, kemudian dia melangkah ke rak pinggan. Sengaja dia melanggar bahu Raihan
yang berdiri di depan peti ais. Kemudian dia tersenyum sinis.
Raihan memejam mata
mendengar ibu mentuanya bergelak ketawa dengan Saliza. Alangkah indahnya kalau
dia yang berada dalam situasi itu. Malas mahu melayan perasaan, dia mula
membasuh beras.
“Mama, nak minum...”
Raihan yang baru selesai
menghidupkan suiz periuk nasi elektrik menoleh memandang Dinie. Kemudian dia
menuang air suam lantas diberikan kepada anaknya.
“Terima kasih, mama.”
Dinie meneguk laju. Lega, dahaganya hilang. Cuaca yang panas sangat membuatkan
dia cepat dahaga. “Mama, nanti tolong kopekkan rambutan eh, lepas tu simpan
dalam peti ais. Dinie nak makan sejuk-sejuk.” Dia buat muka comel.
Raihan mencubit pipi gebu
Dinie. “Ye... nanti mama kopekkan.”
“Dinie, auntie ada bawak spaghetti carbonara. Nanti berbuka kita makan sama-sama
ya...”
Dinie menoleh memandang
Saliza yang baru dikenali ketika terawih semalam. “Tak naklah, Dinie tak suka
carbonara. Tak sedap! Nak termuntah Dinie makan. Uwekkk...”
Cepat-cepat Raihan menutup
mulut Dinie apabila melihat wajah Saliza sudah berubah kelat.
“Apa pulak tak sedap. Kalau auntie
yang masak, mesti sedap punya! Nanti Dinie cubalah makan dulu, kesian auntie masak penat-penat.” Saliza tayang
muka kesian. Menyesal pula dia masak western
food kalau dia tahu Dinie tak sukakannya.
Dinie diam. Dia memandang
wajah tenang Raihan, kemudian memandang masakan yang terhidang di atas meja dan
kembali memandang Saliza. “Mama laaagiii kesian. Mama pun masak penat-penat jugak. Kalau tak ada siapa yang makan
lauk yang mama masak, mesti mama sedih.”
Raihan senyum senang.
Makin melimpah rasa sayangnya pada Dinie.
Saliza memandang Jamilah
dengan muka minta simpati tapi Jamilah hanya menggeleng kepala. Dalam hati dia
terasa mahu mencubit-cubit saja mulut Dinie yang suka menjawab. Orang dah bawak tu makan jelah. Huh, banyak kerenah pulak
budak kecik ni! Tak tahu langsung jaga air muka orang!
“Mama, nak air lagi.” Muk dihulur pada Raihan.
“Kenapa tak ajar Dinie puasa penuh satu hari, Cik La?”
Saliza mengerut dahi memandang Jamilah. “Si Zuqni tu baru tujuh tahun dah puasa
penuh satu hari tau. Setakat ni belum pernah tinggal lagi.” Dia tayang wajah
bangga sambil menjeling Raihan yang sibuk melayan Dinie.
“Itulah... masa Khidir kecik dulu pun dia tak pernah
puasa setengah hari. Sepatutnya dari sekaranglah kena ajar anak tu puasa penuh.
Ini tidak... diikutkan je apa yang
anak nak. Huh!”
“Bukan saya tak nak ajar Dinie puasa penuh tapi dia kecik
lagi. Cuaca sekarang panas sangat, bukan macam zaman dulu.” Raihan memandang
Dinie yang sudah berlalu. “Kalau paksa jugak
anak puasa penuh, nanti takut dia jatuh sakit pulak.”
Turun naik nafas Jamilah mendengarnya. “Kau jangan nak
mengajar akulah! Aku lebih dulu makan garam tau! Selama ni tak pernah pun
Khidir dengan Killa tu jatuh sakit sebab puasa penuh. Dia orang pun main kat
luar jugak petang-petang macam Dinie
tu!”
“Haah... saja nak sakitkan hati Cik La la tu. Macamlah
Cik La tak pandai jaga anak!” Saliza memanaskan lagi keadaan yang suam-suam
kuku.
“Dahlah, kau pergilah naik atas. Sakit hati aku tengok
muka kau! Tak payah nak buat air tu, biar aku yang buat. Nanti entah apa yang
kau letak dalam air. Silap-silap kau letak julap sebab bengang dengan mulut
aku.”
Raihan menunduk. Perlahan-lahan dia mengorak langkah.
Kalau dia menjawab pun bukannya dapat meredakan keadaan.
“Sedap ke lauk yang dia masak, Cik La?” Panjang leher
Saliza memandang lauk-pauk di atas meja.
“Entah... aku tak pernah pulak merasa air tangan dia. Alah... lauk dia biasa je tu. Kamu punya lagi luar biasa. Tak
pernah lagi aku makan geti nara tu.”
“Spaghetti carbonara...”
“Hmmm... samalah
tu. Susah benau nak menyebutnya. Kamu
datang ke mari ni maknanya kamu setujulah dengan rancangan aku tu ya?” Tangan
Jamilah mencapai teko kaca lantas membancuh air teh O.
Saliza tersipu-sipu. Badannya dipusingkan ke kiri dan ke
kanan ala-ala perempuan gedik nampak lelaki kacak. Kemudian dia mengangguk.
“Eh, tu macam suara Abang Dir je, Cik
La...” Pendengarannya ditajamkan apabila sayup-sayup terdengar suara Khidir di
ruang tamu.
“Dia baru baliklah tu. Tadi katanya nak jalan-jalan
tengok kebun.” Jamilah mengacau air yang sudah dimasukkan gula.
Teruja pula Saliza mahu naik ke atas. Kelam-kabut dia
menarik tangan Jamilah yang sedang mengangkat teko. “Jom, Cik La kita naik. Sekarang nilah kita
kena mulakan misi kita tu.”
“Eh, kamu ni tak reti sabar ke? Tak nampak aku tengah
pegang teko panas ni? Karang jatuh pecah teko ni siapa yang nak kemas?” Jamilah
menjeling geram.
“Sorry...”
Saliza tersenyum malu. Dia tak sabar mahu berjumpa Khidir yang semakin kacak di
matanya. Ketika balik dari terawih
semalam, sekejap sangat dapat jumpa. Kali ini dia nekad takkan mempersiakan
peluang yang dia ada. Anaknya sudah lama mendambakan kasih sayang seorang ayah.
Apabila melihat layanan lelaki itu pada Dinie, dia yakin lelaki itu boleh
menerima Zuqni seperti anak kandung sendiri. Lagipun dia tak kisah bermadu.
Sampai saja di ruang tamu, Saliza dan Jamilah terpaku
melihat wayang di depan mata. Dia dan wanita tua itu saling berpandangan. Takat
didih cemburunya sudah meninggi. Ikutkan hati mahu saja dia menarik rambut
Raihan yang tak menyedari kehadiran mereka. Mana nak perasan kalau kedua-duanya
sibuk sangat membuat kerja! Yang paling buat dia sakit hati apabila melihat
anaknya dan Dinie yang sekejap-sekejap menjeling pasangan itu.
Jamilah pula mengurut dada yang terasa panas. Tajam
matanya memandang Raihan yang duduk di kerusi yang membelakanginya dengan muka
menghadap wajah Khidir yang duduk di lantai. Tangan kiri wanita itu memegang
erat tengkuk anak lelakinya. Dia memejam mata, kemudian menarik nafas. “Ahmad
Khidir! Apa yang kamu buat tu? Tak malu ke buat sup lidah depan budak-budak?
Sekarang ni kan bulan puasa, tak tahu ke benda tu boleh batalkan puasa?!”
“Aduh!” Khidir yang terkejut mendengar jerkahan Jamilah
menekup bibirnya yang terasa pedih.
Saliza terus berlalu ke dapur dengan perasaan kecewa.
Khidir dan Raihan memandang Jamilah yang sudah
menjegilkan mata. Kedua-duanya masih terkejut. Bukan mereka tak tahu maksud apa
yang wanita tua itu maksudkan.
“Apa mak ni? Bila masa pulak Dir dengan An buat sup lidah?” Khidir menjawab dengan tangan
yang masih menekup ke mulut.
“Tadi tu apa? Bini kamu tu siap pegang tengkuk kamu. Bini
kamu tu memang gatal kan? Tengah bulan puasa pun nak goda kamu. Kalau diri
sendiri tu tak boleh puasa, jangan nak membatalkan puasa anak aku pilak! Malulah sikit depan budak-budak.
Jangan nak rosakkan akhlak cucu aku pulak!”
Kecik besar, kecik besar saja Jamilah lihat Raihan. Entah apa malanglah anak
aku dapat isteri macam ni. Kalau kahwin dengan orang Melayu kan senang, tak
adalah buat perangai tak senonoh macam ni. Huh!
Khidir dan Raihan berpandangan. Kedua-duanya sudah
ketawa. Dan ketawa Khidir paling kuat sampai terasa senak perutnya. Perutnya
dipegang.
Jamilah mencekak pinggang. Tak puas hati apabila
kata-katanya tadi bagaikan gurauan kepada Khidir dan Raihan. “Kenapa kamu
ketawa? Soal hukum ni boleh pulak kamu
gelak-gelakkan, ya?”
Raihan menarik nafas usai habis ketawa. “Puan dah salah
faham ni. Sebenarnya...”
“Apa pulak salah
faham?” Jamilah pantas memotong kata-kata Raihan. “Ingat aku ni buta ke? Depan
mata aku tadi aku nampak apa yang kau buat tau!” Jamilah mengetap gigi.
“Mak... tadi tu An cuma sapukan minyak gamat kat tepi
bibir Dir ni hah.” Khidir menunjukkan tepi bibirnya yang sedikit bengkak dan
merah. “Masa kat kebun tadi Dir kena gigit kerengga.”
Merah padam wajah Jamilah. Baru dia perasan kesan bengkak
di tepi bibir anaknya. Malu pula dia menuduh tanpa usul periksa. “Nak sapu
minyak gamat pun sapu jelah, yang
tangan tu pergi pegang tengkuk Dir macam tengah tuttt tu buat apa?” Suaranya sudah mengendur.
“Abang Dir ni asyik elak-elakkan muka dia, tu yang saya
pegang tengkuk dia. Lepas tu bila puan sergah tadi saya terkejut, terus
tertonyoh kat kesan bengkak tu. Tu yang abang menjerit.” Raihan menjawab dengan
senyuman yang bersisa di bibir. Ini lawak yang paling kelakar yang betul-betul
buat dia tak tahan nak ketawa. Gara-gara mahu sapukan minyak di tepi bibir
suaminya, emak mertuanya boleh tersalah sangka yang dia dan suaminya sedang
bercium! Adoilaaa...
“Opah, sup lidah tu apa?”
Makin bertimpa-timpa rasa malu Jamilah apabila mendengar
pertanyaan Dinie. “Kamu budak lagi, jangan masuk campur bila orang tua
bercakap. Tengok tv tu! Karang orang lain berbuka makan nasi, kamu berbuka
makan tv.” Cepat-cepat dia berlalu ke dapur.
Khidir dan Raihan ketawa lagi.
*****
TOK! TOK! TOK!
“Dir, bangun, Dir!
Khidir memisat mata
apabila pintu biliknya diketuk kuat, disusuli suara Jamilah. Gebar diselak,
dengan langkah terhuyung-hayang dia membuka pintu. “hmmm... kenapa, mak?” Matanya terpejam apabila disimbahi cahaya
lampu di luar bilik.
“Kamu tahu tak dah pukul
berapa sekarang? Dah pukul lima dah ni. Satu apa pun tak masak lagi. Apa kita
nak makan untuk sahur ni?”
Terus tercelik mata
Khidir. “Lailahaillallah... mak tak kunci jam ke?”
“Kunci... tapi mak tak
sedar pulak jam bunyi.” Ini semua
gara-gara dia tidur lewat, leka melihat Khidir bermain helikopter kawalan jauh
di laman rumah. Entah pukul berapa dia masuk tidur. “Bini kamu mana?” Dia
memanjangkan leher melihat ke dalam bilik anaknya. Elok saja Raihan tidur
sambil memeluk Dinie di atas katil. “Membongkang lagi? Mentang-mentang dia tak
boleh puasa, sedap je dia tidur ya!
Bagus betul bini kamu tu. Kalau menantu lain tengah sibuk memasak untuk sahur
kat dapur, bini kamu pulak buat tak
kisah je orang dalam rumah ni entah
sahur ke tak.”
Raihan cepat-cepat bangun apabila
mendengar suara emak mentuanya memetir. Telefon pintar dicapai tapi apabila
ditekan-tekan, telefon itu tak mahu hidup. “Maaf, puan. Telefon saya habis
bateri. Tapi semalam memang saya ada kunci jam kat telefon ni.” Takut-takut dia
memandang emak mertuanya. Dinie disebelahnya masih lena. Langsung tak terganggu
dengan suara itu.
“Ah, alasan kau jelah! Takkan tak boleh cas bateri
telefon tu. Ke kau memang malas nak bangun masak?”
“Dir baru teringat semalam
Dinie ada main game kat phone An. Salah Dir jugak, mak sebab tak kunci jam kat phone Dir. Jangan marah An ya, mak...” Khidir memegang bahu Jamilah.
Jamilah merengus. “Ni apa
yang kita nak makan ni? Nasi semalam pun habis. Lauk adalah. Takkan nak makan
lauk je kot! Nak tanak nasi sekarang,
mahunya habis sahur nanti baru masak nasi tu. Haish... ada menantu serupa macam tak ada menantu. Tak boleh
harap!” Dia menjeling Raihan yang tayang muka serba salah.
Syakilla yang keluar dari
bilik kelam kabut mendapatkan emaknya. “Mak, kenapa tak kejutkan Killa sahur?
Tengoklah dah pukul berapa dah ni. Nasib baik Killa tersedar.”
“Haaa... yang ni lagi
sorang tak boleh diharap. Tahunya nak tunggu orang kejut baru nak bangun! Elok
sangatlah perangai tu.” Sinis Jamilah menjeling Syakilla yang menguap.
“Isy, mak ni... pagi-pagi
dah membebel. Dahlah, Killa nak pergi makan. Layan mak membebel nanti tak
sempat sahur.” Berlenggang Syakilla berjalan ke dapur.
“Kamu nak makan apa kat
dapur tu? Batu? Mana ada nasi. Mak terlambat bangun.”
Langkah Syakilla terhenti.
Dia berpaling memandang Jamilah dengan muka tak puas hati.
“Kamu nak pergi mana tu?”
tegur Jamilah apabila melihat Raihan keluar dari bilik sambil membawa periuk
nasi yang pernah ditolak semasa anak dan menantunya sampai ke kampung hari tu.
“Nak pergi masak nasi.”
“Kamu ingat sekarang ni
dah pukul empat ke nak masak nasi? Besarkan sikit mata tu tengok jam. Dah pukul
lima lima minit tau!” Jamilah bercekak pinggang.
“Saya tahu, puan. lima
minit je masak nasi guna periuk noxxa
ni. Insya-Allah sempat nak sahur.” Raihan menggosok perlahan badan periuk
tekanan itu.
Jamilah menceber. “Boleh
percaya ke? Mana ada nasi yang masak lima minit je.”
“Kalau puan tak percaya,
jom ikut saya.” Raihan berlalu ke dapur diikuti Jamilah. Sebaik saja memasukkan
beras dan air, dia menunjukkan cara untuk menggunakan periuk. Kemudian dia
memanaskan lauk semalam yang masih berbaki.
Lima minit kemudian semua
sudah menghadap makanan. Jamilah memandang Raihan yang sedang menyuap nasi ke
mulut Dinie yang nampak mengantuk. Dari tadi menantunya masih belum menjamah
sebutir nasi. “Kenapa kau tak makan sekali? Kejap lagi dah nak habis waktu. Biarlah
Dinie suap sendiri.” tegurnya sambil mencedok pajeri rambutan ke dalam pinggan.
“Saya makan lambat sikit
pun tak apa, puan. Saya cuti puasa lagi. Esok dah boleh puasa kot.” Raihan
senyum.
Jamilah meneguk air masak.
Leka dengan kecanggihan periuk tekanan noxxa itu tadi membuatkan dia terlupa
yang Raihan masih belum boleh puasa. “Mana kau beli periuk tu? Mesti mahal,
kan?” Matanya memandang periuk yang diletakkan di tengah meja makan.
“Kawan saya yang jual.
Harga sebenar nak dekat lapan ratus tapi dengan saya dia jual murah sikit. Enam
ratus je.”
Terbeliak mata Jamilah.
Benda canggih, harga pun boleh tahan canggih! “Mesti guna duit anak aku, kan?”
Sinis dia bertanya. Heh, kalau setakat hadiahkan aku tapi guna duit anak aku,
tu hadiah dari anak aku. Perasan pulak kata
hadiah dari dia. Dan dia terkedu apabila Raihan menggeleng.
“Saya guna duit sendiri.
Duit hasil menja...” Kata-kata Raihan terhenti. Kalau aku kata tu duit hasil
menjahit, mesti puan syak semua baju raya yang Killa bagi tu aku yang jahit. Eh
tak boleh... tak boleh... Dia menarik nafas sebelum menyambung. “... saya beli
periuk tu guna duit hasil kerja saya sendiri. Satu sen pun tak ada guna duit
abang.” Usai Dinie menghabiskan nasi, dia menyenduk nasi untuk dirinya pula.
Sesekali dia memandang Jamilah yang sudah diam tak terkata.
“Raya nanti bolehlah mak
guna periuk tu. Nak buat open house pun
boleh kan, Kak An?” Syakilla yang sedari tadi senyap mula bersuara.
Raihan mengangguk dan
senyum.
Jamilah teruja
mendengarnya. Dia ingatkan hanya boleh memasak nasi saja. “Apa lagi yang boleh
dimasak dengan periuk ni?”
“Macam-macam, puan. Boleh
masak nasi impit, rendang, dodol, nasi briyani, nasi arab, bihun dan banyak
lagilah. Kalau masak guna dapur biasa kena tunggu lama, kan? Dengan noxxa presure coocker ni tak sampai satu
jam dah masak.” Raihan menerangkan ala-ala jurujual yang cuba memujuk pelanggan
untuk membeli periuk.
Terbeliak mata Jamilah
mendengarnya. “Nanti kamu ajar aku cara nak guna periuk tu, ya?” Dia tak sabar
mahu mencuba periuk itu. Apabila pandangannya beralih ke wajah Khidir, dia
pelik melihat anak lelakinya tersenyum-senyum menghadap nasi. “Kamu ni kenapa
tersenyum-senyum, Dir?”
Khidir tersentak apabila
ditegur. Kepalanya dipanggung memandang Jamilah. “Dir senyum sebab mak. Sejuk
hati Dir dengar mak bercakap lembut dengan An. Mak dah boleh terima An, eh?”
Tegang terus muka Jamilah.
Dia langsung tak sedar tentang perubahan dirinya. Nak kata dia sudah boleh
menerima Raihan, rasanya tak. Hatinya masih lagi tak boleh menerima wanita itu.
Melihat wajah Kecinaan wanita itu saja sudah mengembalikan ingatannya pada
kenangan pahitnya. Sejak peristiwa itu dia mula membenci kaum Cina. Mahu
berbual dengan mereka pun dia tak sudi. Dia tak peduli kalau ada yang mengata
yang dia sombong. Cepat-cepat dia meneguk air masak. “Mak naik atas dulu.
Dinie, jom ikut opah naik.” Dia berlalu meninggalkan ruang dapur bersama Dinie.
Khidir masih lagi senyum.
Sebenarnya bukan itu yang menggeletek hatinya. Dia teringatkan kejadian lepas
balik dari terawih semalam. Ketika dia turun ke dapur, dia ternampak emaknya
sedang makan nasi.
“Hai, mak... lapar lagi ke? Tak kenyang ke makan
spaghetti carbonara yang Liza masak tu? Rasanya ada lagi dalam peti ais.”
“Humph... entah apa benda yang Liza tu masak. Tak sedap langsung. Rasa
nak muntah adalah! Tak kena dengan tekak mak ni. Heiii... tak nak mak telan
benda alah tu lagi.”
Khidir ketawa melihat
mimik muka Jamilah yang kelakar. “Aik... tak
sedap? Rasanya dua pinggan mak bantai tadi.”
“Tu saja nak ambil hati
dia je. Kalau tak tambah nanti kecik
hati pulak. Kamu nak makan ke? Nasi
ada sikit lagi ni.”
Khidir menggeleng. “Dir
kenyang.”
“Mak habiskan nasi ni
ya... sedap pulak lauk...”
“Sedap ke opah!” Dinie
menyergah sambil menepuk meja makan kuat.
“Oh, menantu kesayangan
aku masak pajeri rambutan sedap! Nak lagi boleh? Eh... eh...” Jamilah melatah
sambil memegang mangkuk kaca berisi lauk pajeri Rambutan.
Khidir terasa mahu ketawa
namun ditahankan. Di atas tangga dia nampak Raihan turut tersenyum dan berlalu.
“Dinie, tak baik buat opah macam tu. Kalau opah tercekik rambutan tadi macam
mana?” Wajahnya digarangkan.
Dinie menunduk.
Khidir menghulurkan air
pada Jamilah yang sudah merah wajahnya. Mungkin emaknya malu apabila terlepas
menyebut ‘menantu kesayangan aku.’ “Minta maaf kat opah cepat!” Tajam dia
memandang anaknya.
“Maaf, opah... Dinie tak
sengaja.” Dia menyalam tangan kiri Jamilah.
“Opah maafkan. Lain kali
jangan buat macam tu lagi tau, cu. Opah ni tak boleh kena sergah, nanti terus
melatah.”
“Abang... dah azan subuh
dah.”
Khidir tersentak apabila
Raihan menepuk bahunya. Dia memandang sekeliling dapur. Hanya ada dia dan
isterinya saja di situ. Pinggan yang telah kosong dibawa ke sinki.
*****
DARI jauh Saliza nampak Dinie sedang bermain masak-masak di pangkin bersama
Fatin, anak jiran sebelah. Dia melajukan langkah mendapatkan kanak-kanak yang
leka bermain dengan alatan permainan memasak. “Dinie main apa tu?” Ramah dia
bertanya.
“Main masak-masak.” Dinie
mengacau daun yang sudah lunyai di dalam mangkuk.
“Pandainya Dinie masak.
Masak apa tu? Nampak macam sedap je...”
Sekali lagi dia cuba memancing perhatian budak itu. Bahu budak itu diusap
perlahan.
Dinie mencampak bunga raya
yang dicarik-carik ke dalam kuali mainan. “Ini namanya nasi goreng sardin
resepi mama. Sedap tauuuu... bukan macam spaghetti auntie yang tak sedap tu. Uwekkk!”
Dia buat gaya nak muntah.
Terhenti terus usapan
Saliza. Giginya diketap geram. Pandai pulak
budak ni kutuk masakan aku. Nak je aku ketuk kepala dia. Haish... sabar, Liza... sabar... senyumannya dikoyakkan kembali.
Matanya meliar memandang sekeliling laman. Kereta Khidir tiada di situ. “Opah
dengan yang lain mana?”
“Baba bawak opah pergi bazar ramadan, mak su pergi berbuka dengan kawan,
mama pulak tengah mandi,” jawabnya
tanpa memandang Saliza.
“Nah, auntie minum air ribena yang Atin buat ni.” Fatin meletakkan cawan
mainan di depan Saliza. Kemudian dia menunggu reaksi wanita yang berpura-pura
minum itu. “Sedap tak, auntie?”
“Sedap... pandai Fatin
buat air.” Saliza berpura-pura senyum.
“Eee... auntie Liza tak puasa! Eee...
tak malu, dah besar pun tak puasa.” Dinie menjauhkan duduknya dari Saliza.
Saliza tersentap mendengar
kata-kata Dinie. Tak pasal-pasal dia dicop tak puasa. “Auntie puasalah. Ni kan mainan punya, saja auntie nak main sama Dinie dengan Fatin.” Dalam hati mahu saja dia
cubit-cubit mulut celopar budak kecik itu. Entah manalah budak ni belajar jadi
celopar macam ni. Ugh! Menyakitkan
hati betul!
Dinie kembali menghadap
permainan, tak menghiraukan Saliza. Dia tak sukakan wanita itu sejak Zuqni memberitahu
yang wanita itu sukakan babanya.
Saliza kembali mengukir
senyum. Rasa menyampahnya dibuang jauh-jauh. Dia merapatkan diri pada Dinie.
“Dinie suka main mercun tak? Ni auntie ada
beli mercun mancis untuk Dinie. Kita main nak?” Dia mengeluarkan mercun mancis
dari plastik yang dibawanya. Kata Jamilah, Dinie suka bermain bunga api. Saja
dia membeli mercun mancis untuk mengambil hati budak itu.
Dinie menolak mercun yang
dihulur. “Tak naklah, baba tak bagi main mercun. Bahaya. Nanti baba marah.”
Saliza buat muka monyok.
“Alah... jomlah main dengan auntie.
Kesian auntie tak ada kawan. Kita
main sama-sama ya?” Dia memusing badan Dinie menghadapnya.
Dinie menepis tangan
Saliza di bahunya. Wajahnya dicemberutkan tanda tak suka diganggu. “Tak nak...
Dinie nak main dengan Atin. Auntie pergilah
balik. Dinie tak suka auntie kacau
baba.”
Amboih, menghalau pulak dia.
Tapi mana dia tahu aku suka baba dia? Saliza mengerut dahi memandang Dinie yang
kembali bermain. Alang-alang dia dah tahu, baik aku tanya. “Dinie suka tak
kalau auntie jadi mama Dinie?”
“Tak suka! Dinie tak suka
mak tiri. Mak tiri jahat macam mak tiri Cinderella!” jawab Dinie tanpa
memandang Saliza yang sudah mengetap gigi.
Saliza menarik nafas. “Eh,
tak semua mak tiri jahat macam mak tiri
Cinderella tau. Auntie ni baik... auntie sayang Dinie sama macam auntie sayang Zuqni. Kalau Dinie sayang auntie, jom kita main mercun ni
sama-sama.” Dia mengeluarkan sebatang mercun mancis dari kotaknya. “Bukannya
bahaya pun mercun ni. Tak payah takutlah, auntie
ada.”
“Janganlah... nanti baba
marah. Nanti baba tak bagi Dinie main bunga api lagi!” Dinie merampas mercun
itu lantas dicampak ke tanah. “Auntie pergilah
balik. Sibuk je kacau kita orang.”
Dia menolak badan Saliza.
Saliza terkejut. Mendidih
darahnya dengan sikap biadap Dinie. Sabarnya sudah tak mampu ditahan lagi.
Kecik besar, kecik besar saja dia melihat budak itu. “Kau ni kenapa kurang ajar
sangat hah?! Dari semalam kau sakitkan hati aku kan!” Dia mencubit lengan budak
itu.
“Auuu... sakitlah, auntie. Janganlah cubit Dinie.” Wajahnya
sudah tercebik-cebik menahan tangis.
“Kau ingat aku suka sangat
ke dengan kau hah, budak mulut jahat?!” Bibir Dinie dicubit geram.
“Sakit!!! Mama!!!” jerit
Dinie kuat namun tiada langsung bayang Raihan yang muncul. Mungkin mamanya
belum selesai mandi. Dia sudah menangis.
“Jeritlah panggil mama
kau. Ingat aku takut?” Pipi Dinie pula menjadi mangsa tamparan.
Fatin menarik-narik tangan
Saliza yang nampak bengis. “Auntie, janganlah
pukul Dinie. Dia sakitlah!”
“Kau diamlah, Fatin! Kalau
tak nak kena cubit baik kau duduk diam-diam kat situ!” Matanya dijegilkan pada
Fatin membuatkan budak itu diam ketakutan.
Saliza menarik tangan
Dinie yang mahu lari. Dia masih belum puas melunaskan rasa marahnya. “Mana kau
nak lari hah? Aku belum habis lagi dengan kau!” Dia menunduk mengutip mercun
yang dicampak oleh Dinie tadi. Kemudian dia mengeluarkan kesemua isi mercun.
“Kau sombong sangat tak nak main mercun yang aku beli ni kan... nah, kau makan
ni!” Dengan kasar dia menonyoh mercun itu ke mulut Dinie yang dikatup rapat.
Dinie sedaya upaya
mengelak. Bibirnya yang terkatup rapat terasa sakit apabila Saliza mencengkam
kuat rahangnya. Dalam hati dia berdoa mamanya cepat selamatkannya.
“Aduh!” Pegangan Saliza
terlepas apabila Fatin menggigit kuat lengannya. Lengannya dibelek.
Dinie mengambil kesempatan
melarikan diri masuk ke rumah. Dia mahu mencari mamanya.
“Kurang ajar punya budak!
Berani kau gigit tangan aku ya!” Dia menjegil mata memandang Fatin yang sudah
takut-takut. “Sini kau, aku nak tonyoh mercun ni kat mulut kau pulak.”
Kelam kabut Fatin belari
balik ke rumah apabila Saliza mendekatinya.
Saliza membelek lagi
lengannya yang berbekas gigitan. “Nasib baik tak berdarah. Kemudian dia
menjeling ke pintu rumah Jamilah yang sudah ditutup. “Mesti mengadu kat mama
dialah tu. Budak cengang!” Baru saja dia mahu berlalu dari situ, kereta Khidir
masuk ke laman. Dia menunggu dengan muka yang diceriakan. “Assalamualaikum Cik
La, Abang Dir... dari mana ni?” tegurnya sebaik saja Khidir dan Jamilah keluar
dari kereta.
“Waalaikumussalam. Baru
balik dari bazar ramadan. Kenapa duduk luar ni?” tanya Jamilah yang sudah
berdiri di sebelah Saliza.
Khidir tak menjawab salam,
dia terus melangkah ke boot
mengeluarkan makanan yang dibeli.
“Menantu Cik La tulah.
Disuruhnya Liza duduk kat pangkin ni sampai Cik La balik.” Sengaja Saliza
mereka cerita, mahu menambahkan lagi rasa benci Jamilah pada Raihan.
“Siapa menantu aku?
Tolonglah... dia bukan menantu aku. Aku tak ada menantu yang perangai jahat
macam tu. Langsung tak ada adab biarkan tetamu tunggu kat luar.
Khidir menjeling tajam
pada Saliza. “Mak percaya sangatlah apa yang dia kata tu. An tak pernah buat
macam tu kat tetamu. Dir tak percaya,” ujarnya sambil menghampiri dua wanita
itu. Dia pelik dengan sikap emaknya. Tengah hari tadi bukan main elok saja apabila
Raihan mengajar cara menggunakan periuk noxxa. Petang ini, apabila Saliza buat
cerita, mulalah perangai lama emaknya muncul balik. Pening dia memikirkan cuaca
hati emaknya yang sering bertukar-tukar.
“Haaa... bagus! Bela
sangat bini kamu tu. Kalau betul elok perangainya, kenapa terperap je kat rumah tu? Takkanlah Liza nak buat
cerita pulak.” Bengis wajah Jamilah.
“Saliza!!!”
Tiga pasang mata memandang
ke arah pintu rumah, memandang Raihan yang menghampiri mereka dengan wajah yang
bengis dan merah.
Jamilah dan Khidir
menayang muka pelik. Tak pernah pula Khidir melihat isterinya marah sebegitu. Kepalanya
mula sarat dengan bermacam persoalan.
Wajah Saliza nampak tenang
namun melihat langkah Raihan yang semakin menghampiri, cuak pula hatinya.
Tambahan pula apabila teringat apa yang dibuat pada Dinie tadi.
Panggg!!!
Sebiji tamparan elok
melekat di pipi Saliza hingga jatuh terduduk di pangkin dibuatnya. Turun naik
nafas Raihan memandang muka tak bersalah wanita itu. Wajah Dinie yang menangis
dengan lengan yang lebam dan pipi yang merah bermain di kepalanya. Dia memang
pantang kalau ada orang usik anaknya. Perbuatan wanita itu benar-benar telah
menaikkan suhu kemarahannya. Dia sendiri pun tak pernah memukul anaknya begitu.
Silapnya juga kerana lama sangat berada di dalam bilik air tadi. Kalau tak,
mesti keadaan anaknya tidak begitu.
“Hei, yang kau tampar dia
kenapa?!” Jamilah menolak bahu Raihan. Berangin juga dia apabila tetamunya
dihadiahkan dengan penampar. Nak-nak lagi si pemberi penampar itu menantu bukan
pilihannya.
Mencerun mata Raihan
memandang Jamilah. “Puan tanya sendiri apa yang bakal menantu puan ni dah
buat!” Tanpa sedar dia meninggikan suara.
Kecut juga hati Jamilah
mendengar tengkingan Raihan. Terasa seram sejuk badannya. “Yang kau nak
tengking aku ni kenapa? Ini rumah aku tau, sedar diri tu sikit!” Sengaja dia
berkata begitu, mahu menutup rasa kecut.
Raihan menarik nafas, cuba
menenangkan diri. Wajahnya diraup perlahan.
Khidir meletakkan plastik
berisi makanan di pangkin, kemudian dia memusingkan badan Raihan menghadapnya.
“Sayang... kenapa ni? Apa yang Liza dah buat sampai sayang marah macam ni?”
Risau pula dia melihat isterinya marah-marah.
“Ma... mana a... ada Liza
buat apa-apa. Raihan ni saja nak tuduh-tuduh.” Cepat-cepat Saliza membuka mulut
sebelum sempat Raihan bercerita. Pandangan tajam wanita itu dibalas dengan
pandangan mencerun. “Kalau tak suka aku datang sini pun tak payahlah sampai nak
tampar muka aku!” Dia bangun sambil memegang pipinya yang terasa sakit.
“Dahlah, Cik La... Liza nak balik. Orang tak suka, buat apa nak terhegeh-hegeh,
kan....” Dia melangkah mahu meninggalkan laman rumah Jamilah. Takut kalau
rahsianya pecah.
“Perbuatan kau ni, kalau
aku buat report, silap-silap kau
meringkuk dalam penjara tau!”
Langkah Saliza terhenti
apabila mendengar perkataan penjara. Dadanya sudah berdebar. Cepat-cepat dia
berpusing mendapatkan Raihan. Tangan wanita itu dipegang. “Tolong, Raihan...
tolong jangan buat report. Aku minta
maaf... aku tak sengaja.” Dia merayu. Tak dapat dia bayangkan dia meringkuk
dalam penjara. Sudahlah lagi empat hari nak beraya.
“Eh, kenapa ni? Kenapa nak
merayu-rayu bagai kat perempuan ni pulak,
Liza? Apa yang kau dah buat sebenarnya?” Berkerut dahi Jamilah melihat
Saliza sudah melutut.
Saliza tak menghiraukan
pertanyaan Jamilah. Yang penting baginya sekarang, memujuk Raihan. Dia kembali
memegang tangan wanita itu walau berkali-kali wanita itu menepis tangannya.
“Aku merayu kat kau, An. Tolong kesiankan aku...”
Raihan merengus. “Ooo...
pandai pulak suruh kesiankan kau ya?
Masa kau pukul Dinie, kau tonyoh mulut anak aku dengan mercun mancis tu, kenapa
kau sikit pun tak ada rasa kesian kat dia? Kau ingat mulut anak aku tu api
untuk bakar mercun ke sampai kau tonyoh-tonyoh mulut dia? Manusia jenis apa kau
ni hah, sanggup dera budak macam tu? Tak ada hati perut langsung!” Dia menolak
bahu Saliza yang masih melutut hingga terduduk.
Jamilah mengurut dadanya.
Dia tak menyangka Saliza sanggup mendera cucunya. Padanlah Raihan marah sangat.
Matanya memandang Dinie yang sudah berdiri di sebelah Raihan. Mata budak itu
sedikit bengkak kerana menangis.
“Dinie, auntie minta maaf. Auntie tak sengaja pukul Dinie.” Saliza cuba mencapai tangan Dinie
namun budak itu pantas menyorok di belakang Raihan.
Khidir menarik kasar
lengan Saliza supaya bangun menghadapnya. Berasap hatinya apabila mendengar
anaknya disakiti. Bertambah mendidih darahnya melihat keadaan anaknya. “Berani
kau sentuh anak aku ya! Apa yang dia buat kat kau sampai kau pukul dia macam
tu? Cuba cakap kat aku!”
Jantung Saliza sudah
berdebar. Dia memandang Dinie yang masih menyorok di belakang Raihan. “Erk... Liza... ge... geram dia tak...
tak nak layan Liza.” Tergagap-gagap dia menjawab. “Liza tak sengaja pukul dia,
bang. Liza tak boleh tahan marah bila dia buang mercun yang Liza bagi tu kat
tanah, lepas tu halau Liza balik. Maafkan Liza, bang. Tolong jangan report polis. Kesiankan Zuqni, bang.
Kalau Liza masuk penjara siapa yang nak beraya dengan dia? Dia cuma ada Liza
sorang je.” Dia memegang tangan
Khidir.
“Tak payah nak
pegang-pegang akulah. Aku jijik dengan kau tau!” Khidir menepis kasar
tangannya. “Okey... aku tak akan buat report.
Tapi dengan satu syarat!”
Wajah Saliza sudah
berseri-seri. “Apa syaratnya?”
“Aku tak nak kau jejakkan
kaki kau kat rumah mak aku dan jangan cuba-cuba nak dekati anak aku lagi
faham!”
Perlahan-lahan Saliza
mengangguk.
“An, Dinie, jom masuk!”
Dia mengambil plastik yang diletakkan dipangkin tadi, kemudian menarik tangan
Raihan.
“Kau ni kenapa bodoh
sangat pukul budak kecik?” Jamilah menunjal geram kepala Saliza.
“Sakitlah, Cik La!” Saliza
menggosok kepalanya.
“Tahu pun sakit. Badan
cucu aku tu lagi sakit tau kena pukul dengan kau! Tengok... sekarang Khidir dah
tak bagi kau datang sini. Habis rosak rancangan aku!” Jamilah merengus.
“Pergilah balik! Menyampah pulak aku
tengok muka kau.” Dia berlalu masuk ke rumah. Kalau dia berada di tempat
Raihan, mahu dua biji penampar kot dia bagi ke muka Saliza.
Wajah Saliza bertukar
bengis. Turun naik nafasnya menahan marah. “Kau kata aku ni jijik ya, Khidir?!
Kau tunggu... perempuan jijik ni nantilah yang kau kena kahwin nanti. Ingat aku
nak sangat ke kemaafkan kau tu, Raihan? Sikit pun aku tak hairanlah kalau kau
tak nak maafkan. Aku merayu tadi pun sebab tak nak masuk penjara je! Kau orang berdua tunggu esok apa
yang aku akan buat!”
Saliza mengeluarkan
telefon pintarnya. Sebaik mendail nombor seseorang, dia melekapkan telefon ke
telinga. “Helo... aku nak kita jalankan misi kita esok!” Usai mematikan talian,
dia tersenyum sinis.
*****
TANAH perkuburan itu dihujani dengan air mata. Entah berapa banyak air
matanya keluar sejak anaknya menghembuskan nafas terakhir. Segala ucapan
takziah dan kata-kata semangat diterima dengan perasaan sebak. Dia duduk di
depan kubur anaknya dan menangis lagi. Bagaikan terbayang-bayang keletah
anaknya yang ceria. Dia menyesal membiarkan anaknya tapi semuanya sudah tak
berguna. Mungkin ini balasan untuk dia kerana telah menyakiti hati wanita itu.
“Maafkan mama, sayang.
Semuanya salah mama. Mama menyesal. Mama menyesal sangat!” Tanah yang basah itu
dipegang.
Jamilah pegang bahu wanita
itu. Dia turut berasa sedih dengan apa yang menimpa. “Sudahlah tu, jangan
menangis lagi. Nanti tak tenang dia kat sana.”
Dia mengesat air mata.
“Tenanglah anak mama kat sana. Tunggu mama, ya?”
Jamilah menarik wanita itu
bangun. “Jomlah kita balik, Dir dah lama tunggu kat kereta.”
Wanita itu akur. Sebaik
saja masuk di bahagian penumpang belakang, kereta Khidir meluncur meninggalkan
kawasan tanah perkuburan. Saat ini dia terasa kosong. Raya tahun ini pasti
sudah tak seindah dulu.
Kakinya melangkah keluar sebaik saja kereta berhenti di
depan rumah. “Boleh kita bercakap sekejap?” Matanya memandang wanita yang
berada di dalam kereta. Dia bersandar di badan kereta sementara menanti wanita
itu keluar dari bahagian sebelah pemandu.
Jamilah dan Khidir hanya
menjadi pemerhati dari dalam kereta.
Bibirnya bergetar. Air
matanya kembali merembes keluar. Dia menekup muka dengan tangan kanan, cuba
menahan rasa sedihnya. Angin petang yang bertiup belum cukup untuk
menghilangkan rasa sedihnya.
“Sabarlah... Allah lebih
sayangkan dia.” Raihan menepuk perlahan bahu Saliza. Siapa sangka, Zuqni yang
petah berbicara itu sudah tiada lagi di dunia. Masih terdengar pujian budak
lelaki itu apabila merasa lauk pajeri rambutan yang dimasaknya. Walaupun perangai Saliza menjengkelkan tapi dia tak
pernah membenci budak itu.
Saliza menjatuhkan tangan
memandang wajah tenang Raihan. “Mungkin ni balasan aku. Dia ambil anak aku
sebagai pengganti sebab aku ni jahat sangat.”
Jamilah menurunkan tingkap
kereta, mahu mencuri dengar apa yang dibualkan.
“Tak baik cakap macam tu,
Liza. Tak ada istilah macam tu dalam hukum Allah. Dia ambil anak kau sebab dah
memang ajal Zuqni. Jangan fikir yang bukan-bukan.”
“Tapi aku memang jahat,
An. Cik La suruh aku pura-pura goda Abang Dir sebab nak sakitkan hati kau tapi....”
Saliza berjeda.
Wajah Jamilah berubah
merah. Dari ekor mata dia nampak Khidir memandangnya. Dalam hati sudah
berdebar, takut anaknya marah apabila rahsianya terbongkar. Tapi anaknya itu
biasa saja.
“... tapi aku sengaja nak
ambil kesempatan nak rampas abang Dir dari kau. Sepatutnya malam karang aku
rancang kena tangkap khalwat dengan dia. Bila dah kena tangkap nanti, mesti Cik
La akan paksa Abang Dir khawin dengan aku sebab tak nak malu. Dan kau pulak mesti minta cerai sebab kecewa dan
tak sanggup bermadu. Tapi... lain yang aku rancang, lain pulak yang jadi. Heh!” Dia ketawa dalam tangis.
Wajah Raihan berubah
terkejut. Tipulah kalau dia tak marah tapi melihat wajah kesal Saliza, sedikit
demi sedikit rasa marah itu mencair. Lagipun rancangan wanita itu belum
dijalankan dan telah dibatalkan pun.
“Belum sempat aku nak
jalankan rancangan aku, Tuhan dah ambil orang yang aku sayang.” Saliza merenung
jauh ke depan. Terbayang wajah Zuqni yang meninggal disebabkan stroke haba.
Puas anaknya merayu mahu minum air tapi dia tak melayan. Dia suruh bertahan
sampai waktu berbuka. Akibatnya, anaknya tidur buat selama-lamanya.
Dada Jamilah sudah
berombak. Dia melangkah keluar dari kereta dan menolak Saliza hingga jatuh ke
tanah. Dia mahu menampar wanita itu tapi Raihan menahan badannya. “Tak guna
punya perempuan! Berani kau nak perangkap anak aku, ya?! Lepaskan aku, aku nak
ajar sikit perempuan tak guna ni!” Dia meronta namun makin kuat menantunya
memeluknya dari belakang.
“Sabar, puan. Dia baru
kehilangan anak. Janganlah buat macam ni.”
Khidir cepat melangkah
keluar usai mematikan talian telefon. Dia langsung tak dengar apa yang
dikatakan Saliza apabila mendapat panggilan telefon dari hospital tempatnya
bekerja. “Kenapa kecoh-kecoh ni, mak?”
“Eee... lepaslah!” Pelukan Raihan terus terlerai dari belakangnya.
“Kamu tahu, Dir... perempuan ni nak perangkap kamu. Malam nanti dia nak guna
cara kotor untuk paksa kamu kahwin dengan dia. Hesy... mak pun tak tahulah
macam mana selama ni mak boleh berkenan kat perempuan macam ni. Harap muka je nampak baik tapi perangai tak
semenggah! Agaknya betullah apa yang Dir pernah bagitahu mak tujuh tahun dulu.
Si Zuqni tu memang...”
“Mak... tak baik bukak aib orang yang dah tak ada.”
Khidir mencantas kata-kata emaknya. Di bulan yang mulia ini dia tak mahu
memanjangkan cerita tambahan pula orang di dalam rumah Saliza sudah menjenguk
keluar. Ada yang sudah mula berbisik.
Saliza mengesot memeluk
kaki Jamilah. “Liza minta maaf, Cik La... memang dulu Liza lamar Abang Dir
sebab Liza mengandung. Bila Abang Dir tolak lamaran tu, Liza lari dari kampung
sebab tak nak mak dapat malu bila perut Liza dah membesar nanti. Sebab tu Liza
cakap kat mak yang Zuqni ni anak angkat tapi akhirnya mak Liza tahu jugak status Zuqni bila dia terjumpa
surat beranak Zuqni. Mak meninggal sebab terkejut.” Wajah emaknya yang kecewa
terbayang.
Jamilah menepis kakinya. Tak
sudi tangan Saliza yang kotor menyentuhnya.
“Liza minta maaf, Cik La.
Liza janji tak akan ganggu rumah tangga Abang Dir dengan An lagi.” Saliza
memaut lagi kaki Jamilah. Dia sedia terima segala makian wanita itu.
Jamilah menolak lagi badan
Saliza. “Pergi jahanam dengan maaf kau tu. Kau ingat senang ke aku nak maafkan
kau? Nasib baik anak aku tolak lamaran kau. Kalau tak, sia-sia je anak aku jadi pak sanggup.” Jijik dia
mahu memandang muka wanita itu.
“Puan, tak baik berdendam.
Liza dah betul-betul menyesal dengan perbuatan dia. Maafkanlah dia.”
Tajam Jamilah memandang
Raihan. “Kau jangan nak pujuk-pujuk akulah! Kalau anak aku tak kahwin dengan kau,
tak adalah aku nak pujuk dia suruh berlakon suka kat anak aku. Sampai sekarang
aku masih tak anggap kau sebagai menantu. Nak tahu sebab apa?”
Raihan menelan liur yang
terasa kesat.
“Sebab kau anak Cina!”
Jamilah terus berjalan kaki balik ke rumah. Tak mahu dia naik satu kereta
dengan Raihan.
Khidir meraup rambut ke
belakang. “Sayang dengar apa yang mak cakap tadi, kan? Macam ni ke sayang nak
suruh abang diam? Abang kecewa dengan mak. Sikit pun dia tak pernah berubah.”
Bayangan emaknya yang semakin hilang dipandang dengan wajah kecewa.
“Hati An lagi kecewa,
bang. Tapi An tak boleh mengalah lagi. An akan cuba sampai puan benarkan An
panggil dia mak.” Air mata Raihan tumpah. Memang perit menjadi seorang Raihan
tapi lagi perit jika dia menghentikan perjuangannya. Dia yakin ada pelangi yang
tersembunyi di sebalik keperitan itu.
“Malam ni kita balik KL. Abang
dapat call dari hospital tadi. Dr.
Pui Yee yang cover kerja abang
terpaksa ambil emergancy leave. Nenek
dia meninggal.”
Raihan geleng kepala.
“Jangan degil boleh tak?
Abang tak yakin mak akan berubah.”
“Abang baliklah seorang.
An tetap dengan keputusan An. An dengan Dinie akan tunggu abang kat sini.
Tunggu sampai abang selesaikan kerja. Lagipun abang dah janji dengan puan nak
beraya kat sini. Lagi tiga hari je nak
raya.”
Khidir mengeluh.
Kadang-kadang Raihan punya degil pun boleh tahan. Mahu tak mahu dia terpaksa
akur. “Jomlah kita balik rumah, dah petang ni.” Dia melangkah masuk ke dalam
kereta.
“Aku balik dulu, Liza...”
Raihan hulur salam tapi Saliza menariknya ke dalam pelukan.
“Terima kasih, An...
terima kasih sebab maafkan aku. Kau memang seorang yang baik. Sesuai sangat
dengan Abang Dir. Memang kau orang berdua diciptakan untuk bersama. Aku doakan
hati Cik La lembut untuk terima kau.”
Raihan senyum dan membalas
pelukan.
*****
JAMILAH menanggalkan telekung sebaik pulang dari terawih. Ketika mahu masuk
ke biliknya, telinganya menangkap bunyi orang muntah di bilik air di dapur. Dia
menyidai telekung dan melangkah turun ke dapur.
“Dari tadi tak habis lagi
ke dia muntah?” Jamilah memandang Syakilla yang duduk menunggu di meja makan.
Syakilla mengangguk. “Tadi
Killa masakkan bubur nasi untuk Kak An makan tapi baru dua tiga suap dia muntah
balik. Tak tahu nak buat apa dah ni, mak.” Dia memicit kepala.
“Mama dah okey ke?” Dinie
mendapatkan Raihan yang baru keluar dari bilik air. Wajah pucat mamanya
dipandang dengan penuh risau.
“Okey sikit.” Perlahan
Raihan melangkah dan duduk di kerusi meja makan. Badan yang lemah disandarkan.
Sejak pukul lapan tadi dia asyik muntah. Apa yang cuba disumbat ke dalam mulut
pun dimuntahkan semula.
“Kamu ni mengandung ke?”
Jamilah menilik Raihan. Kalau dah muntah-muntah tu kan petanda orang
mengandung. Lagipun, menantunya masih muda, tak mustahil menantunya sedang
mengandung.
Mata Syakilla sudah
terbuntang. Dia menepuk dahi. “Ha ahlah... tak terfikir pulak Killa. Maknanya Dinie dah nak jadi kak long la.” Dia
tersenyum suka.
“Betul ke Dinie nak dapat
adik, ma? Yeay... seronoknya! Tak
sabar nak main dengan adik.” Dia mengusap perut kempis Raihan.
Wajah Raihan tak ceria.
Dia tahu dia tak mengandung dan bukan itu punca dia muntah. “Saya tak mengandung,
puan. Saya kan baru habis datang bulan.” Siapa yang tak nak mengandung lagi?
Mungkin belum rezeki dia untuk mengandung. Dia menekup mulut dan menuju ke
bilik air. Segala isi perut diluahkan. Matanya berair.
“Kita bawak Kak An pergi hospital la, mak. Teruk sangat dah ni.” Syakilla
memimpin Raihan yang terhuyung-hayang.
“Dah malam dah ni, nak suruh
siapa bawak? Lainlah kalau Abang Dir
kamu ada.” Jamilah turut menunjukkan wajah risau. Rasa mengantuknya tadi terus
hilang.
“Tak apa, puan. Saya nak
baring je. Kejap lagi okeylah kot.”
Raihan bersuara lemah. Dia sudah tiada tenaga. “Killa, tolong bawak akak naik bilik.”
Syakilla akur. Sebaik saja
membaringkan Raihan, telefon rumah berbunyi. Dia berlalu keluar dan mengangkat
ganggang telefon. “Helo, assalamualaikum...”
“Haaa, Killa. Mana Kak An?
Abang telefon dia banyak kali tak berangkat.” Suara Khidir di hujung talian
kedengaran risau.
“Kak An ada kat bilik. Dia
tak sihat. Dari tadi asyik muntah-muntah.”
“Muntah?! Dia makan apa
sampai muntah-muntah?” Meninggi suara Khidir.
“Tak ada makan benda pelik
pun. Tadi masa berbuka Kak An makan nasi lauk sup tulang, lepas tu kita orang
makan sikit kuih raya yang mak beli.” Memang itu yang Raihan makan tadi.
Tiba-tiba saja kakak iparnya berlari ke bilik air dan muntah.
“Dia tak boleh makan kuih
raya la! Kenapa bagi dia?!”
Terangkat sedikit bahu
Syakilla apabila Khidir menjerkah. “Mana Killa tahu Kak An tak boleh makan kuih
raya. Dia tak cakap pun. Abang ni nak
marah-marah orang pulak!” Syakilla
geram.
Kedengaran Khidir
mengeluh. “Sorry... Kak An tu memang
tak boleh makan kuih raya. Bila dia makan, mulalah dia muntah-muntah. Keracunan
makanan.”
“Nak bawak dia pergi hospital ke sekarang ni?” Syakilla sudah
menggelabah. Kalau dia tahu, dia tak akan bagi Raihan menyentuh kuih raya.
“Tak payah. Sekarang Killa
pergi dapur, ambil air sejuk dalam peti ais, lepas tu campur garam dengan gula.
Bagi Kak An minum. Lepas tu bagi air 100 plus, tak pun vitagen. Air tu untuk
kembalikan balik tenaga dia yang dah hilang tadi. Pergi sekarang, abang ada
kerja lagi ni.”
Usai mematikan talian,
Syakilla terkocoh-kocoh berlari ke dapur. “Mak, tolong buatkan air sejuk campur
garam dengan gula. Abang Dir cakap tu ubat untuk keracunan makanan. Kak An
muntah sebab makan kuih raya tadi.”
“Eh, mak makan kuih raya
elok je, tak ada muntah pun. Kamu
dengan Dinie pun okey je.” Jamilah
mengerut dahi.
“Abang Dir cakap Kak An
memang tak boleh makan kuih raya. Dahlah, mak pergilah buat air tu, lepas tu
bagi Kak An minum. Killa nak pergi kedai
kejap. Jom, Dinie... ikut mak su.” Syakilla menarik tangan Dinie.
“Kamu nak pergi kedai
malam-malam ni nak buat apa? Kamulah pergi bagi dia minum air. Apa pulak mak?” Jamilah tak puas hati.
“Abang Dir suruh beli air
100 plus, bagi Kak An minum. Mak tolonglah bagi Kak An minum air garam tu
dulu.” Syakilla terus naik ke atas bersama Dinie.
Mahu tak mahu terpaksalah
Jamilah membuat air itu. Kemudian dia melangkah ke bilik Raihan. “Bangun...
minum air ni.” Dingin suaranya mengejutkan menantunya yang sudah memejam mata.
Apabila melihat menantunya susah hendak bangun, dia membantu mendudukkan wanita
itu di kepala katil. “Dir suruh aku bagi kau minum air ni. Minumlah.”
Terharu Raihan menyambut
muk itu. Air disisip perlahan dan mukanya berkerut menahan rasa masin.
“Jangan nak kerut-kerut
muka tu. Minum sampai habis supaya rasa mual tu hilang.”
“Tak sedappp...” Raihan
mengerut lagi mukanya. Tekaknya tak boleh terima air itu.
“Dah nama pun ubat,
mestilah tak sedap! Habiskan, lepas tu boleh tidur.” Ini kali pertama dia tahu
yang air garam mampu memulihkan keracunan makanan. Nasib baik mereka belum
pergi ke hospital lagi. Selesai minum, dia membaringkan Raihan. Tiger balm
dicapai di meja lampu dan dilumur pada leher dan dahi menantunya. Kemudian
kepala wanita itu dipicit perlahan. “Dah tahu tak boleh makan kuih raya kenapa
makan jugak? Sekarang tengok, siapa
yang sakit?” Dia membebel.
“Saya teringin.
Sebenarnya, dari umur tiga tahun saya tak boleh makan kuih raya. Tiap kali
makan, mesti pergi hospital sebab keracunan. Bila dah umur dua puluh lapan ni
saya ingatkan dah boleh makan tapi muntah jugak.”
Mata Raihan sudah layu.
“Hmmm... kembang jarak kembang jagung, badan sakit sendiri
tanggung!”
Raihan ketawa mendengar
pantun Jamilah. Memang sekarang dia sendiri yang menanggung sakit. Tapi dalam
keadaan begini, dapat juga dia merasa urutan emak mentuanya. Ada hikmah rupanya
dia jatuh sakit malam ini.
“Ada rasa nak muntah lagi
ke?” tanya Jamilah perihatin. Suara pun kedengaran lembut.
Raihan menggeleng.
Penangan air garam itu betul-betul berkesan.
“Tidurlah. Killa balik
dari beli air 100 plus untuk kau minum nanti aku kejutkan.” Jamilah membetulkan
selimut di badan Raihan. Tangannya kembali lincah memicit kepala menantunya.
Makin lama dia memandang Raihan, makin hatinya jatuh sayang. Tapi dia sengaja
berpura-pura marah, sengaja mahu menguji tahan kesabaran menantunya melayan
kerenahnya. Dia rasa belum masanya lagi untuk dia mengaku yang dia sudah
menerima menantunya.
Tanpa disedari, Syakilla
dan Dinie mengintai di sebalik pintu bilik. Sempat dia merakam, mahu menghantar
video itu ke WhatsApp abangnya. “Dinie, malam ni tidur dengan mak su jelah. Biar opah jaga mama ya?” Rasanya
air 100 plus itu sudah tak diperlukan lagi.
Dinie mengangguk dan
mengikut Syakilla masuk ke bilik.
*****
RAIHAN tersedar apabila bahunya terasa lenguh. Dia menoleh ke kiri dan
terkejut melihat Jamilah tertidur sambil kepala menindih bahunya. Kesian pula
dia melihat emak mentuanya tidur duduk begitu. Jam di dinding dipandang, sudah
pukul empat pagi.
Raihan menggoncang
perlahan bahu Jamilah. “Puan... bangun, puan...”
Jamilah memisat matanya.
Tengkuk yang terasa lenguh digosok perlahan. Entah sejak bila dia tertidur, dia
langsung tak sedar. “Kenapa, nak muntah ke? Jom mak bawak ke bilik air.” Tanpa sedar dia terlepas membahasakan dirinya
mak.
Raihan terharu. Air
matanya terasa mahu mengalir. Dia senyum.
“Yang kau tersenyum ni dah
kenapa? Jomlah aku bawak pergi bilik
air!” Bengang pula Jamilah melihat Raihan tersenyum-senyum. Entah apa yang
menantunya fikirkan, dia pun tak tahu.
“Saya tak ada rasa nak
muntah, puan. Saya dah sihat.” Raihan tak berani mahu memanggil mak. Dia tahu
wanita itu tak sedar. Mungkin mamai sebab dikejutkan dari tidur.
“Kalau tak nak muntah kau
nak apa?” Jamilah sudah bercekak pinggang.
“Saya cuma kejutkan puan.
Sekarang dah pukul empat.”
“Ooo... nak kena masak
untuk sahur ni.” Jamilah melangkah keluar dari bilik namun langkahnya terhenti
apabila Raihan memanggil. Dia tak menoleh.
“Terima kasih sebab jaga
saya sepanjang malam.”
Jamilah senyum. “Jangan
nak fikir yang bukan-bukan. Aku jaga kau bukan sebab risaukan kau. Aku takut
Khidir salahkan aku pulak kalau
apa-apa berlaku kat kau.”
Raihan memandang langkah
Jamilah dengan senyuman lebar. Dia tak kisah dengan jawapan emak mentuanya.
Yang penting hatinya terasa cukup tenang pagi itu. “Kalau macam ni, hari-hari
jatuh sakit pun aku tak kisah!” Dia ketawa perlahan. Masih terasa urutan lembut
Jamilah di kepalanya.
*****
“OPAH buat apa tu?” tanya Dinie yang masuk ke bilik Jamilah yang tak
berkunci.
“Opah tengah cuba baju raya ni hah. Mak su hadiahkan.
Cantik tak baju raya opah?” Jamilah memusing badannya menayang baju kurung biru
di depan Dinie yang sudah duduk di atas katil.
Tiap kali raya aidilfitri menjelang, pasti Syakilla akan
membelikannya baju. Sepasang baju kurung, sehelai lagi jubah. Tak sangka,
pandai betul anaknya mengambil hatinya. Pernah dia mahu memberi duit tempahan
tapi anaknya tak mahu terima. Bukannya apa, dia takut anaknya tak cukup duit
belanja. Tambahan pula bukannya murah upah menjahit sekarang.
“Cantik! Opah Dinie cantik
sangat. Tapi macam pernah nampak je baju
tu.” Dinie mengerut dahi cuba mengingat. Dagunya digaru perlahan.
Membuntang mata Jamilah.
“Pernah tengok kat mana? Ke Dinie pernah nampak orang kat luar yang pakai?
Yalah, kat kedai kan banyak kain corak macam ni.” Dia memandang cermin, menilik
dirinya. Selepas ini dia mahu mencuba jubah kuning cair pula. Senyuman
tersungging di bibir.
“Haaa... baju nilah yang
Dinie nampak kat rumah. Mama yang jahit baju kurung tu dengan jubah.”
Mati terus senyuman Jamilah.
Dia berpaling memandang Dinie. “Mama Dinie pandai menjahit ke?” Dahinya
berkerut tak percaya.
Dinie mengangguk laju.
“Ramai orang datang rumah suruh mama jahitkan baju. Baju pengantin pun mama
pandai jahit tau, opah.” Bangga dia bercerita tanpa sedar muka Jamilah sudah
bertukar bengis.
“Dinie... Dinie...”
Suara Fatin kedengaran di
luar rumah. “Dinie nak pergi main dululah, opah. Atin dah panggil. Bye, opah.” Cepat dia keluar, tak sabar
mahu bermain.
Hati Jamilah sudah
membengkak. Tak sangka selama tiga tahun ini Syakilla menipunya. Baju kurung
itu ditanggalkan dengan kasar dan disumbat ke dalam plastik. Empat pasang baju
raya yang lepas-lepas juga turut disumbatkan. Kemudian dia keluar dari bilik
mendapatkan Syakilla dan Raihan yang sedang mengemas rumah di ruang tamu.
Plastik tadi dicampak kasar.
Terkejut Raihan dan
Syakilla. Kedua-duanya memandang Jamilah dan beg plastik yang berisi baju di
atas lantai.
“Kenapa ni, mak? Mak tak
suka ke baju yang Killa bagi tu?” tanya Syakilla pelik.
“Kamu tak payah nak menipu
lagilah, Killa. Aku dah tahu semuanya!” Mencerlung matanya memandang Raihan dan
Syakilla yang nampak gugup.
“Tahu apa ni, mak? Killa
tak fahamlah.” Takkanlah mak tahu yang baju tu Kak An yang jahit kot? Syakilla
telan liur.
Jamilah menuding jari pada
plastik itu. “Tu... baju tu semua perempuan tu yang jahit, kan?” Jari
telunjuknya beralih ke muka Raihan. “Dinie bagitahu aku tadi yang perempuan tu
tukang jahit! Baju yang kamu bagi tadi perempuan tu yang jahit. Kenapa kamu
tipu mak?”
Syakilla melabuhkan duduk
di kerusi. “Kalau Killa bagitahu, mesti mak tak nak terima. Mak kan tak suka
Kak An. Apa-apa yang datang daripada dia semua mak tak nak terima. Sebab tu Kak
An suruh Killa cakap yang baju tu semua Killa yang bagi.” Dia pandang Raihan
yang menunduk. “Kak An cakap, hanya dengan cara ni je dia dapat jalankan tanggungjawab sebagai menantu mak. Hati dia
senang bila tengok gambar mak pakai baju-baju yang dia jahit.”
Dada Jamilah terasa ketat.
Sebak mendengar jawapan Syakilla. Memang dulu dia tak sukakan Raihan tapi kini
hatinya sudah berubah. Kalau menantunya sendiri yang memberi sendiri baju itu,
sudah tentu dia akan terima. Tapi kini, egonya melarang dia mengambil baju itu.
Sudah dicampak, malulah kalau diambil balik. “Aku tak nak baju ni semua. Aku
tak suka! Lagi-lagi bila dapat tahu perempuan tu yang jahit.” Plastik itu
dicapai dan dia berlalu ke dapur. Air mata yang hampir gugur dikesat perlahan.
“Raya nanti nak pakai baju
apa kalau mak buang baju tu? Lagi dua hari nak raya ni mana ada orang yang
ambil tempahan dah.” tanya Syakilla yang turut mengekor Jamilah ke dapur.
“Tak ada baju raya pun aku
tak kisahlah! Baju lama ada, aku boleh pakai.” Plastik yang sudah diikat kemas
dicampak di tepi tong sampah.
“Puan...”
Lamunan Jamilah tentang
kisah semalam terbang melayang. Dia pandang Raihan yang berdiri di sebelahnya.
“Haaa... nak apa?!” Garang dia bertanya, mahu menutup rasa malu apabila
ditangkap ketika mengelamun.
“Tu... nasi impit dah
masak.” Raihan memuncungkan mulut ke arah periuk noxxa. Dari tadi dia perasan
Jamilah asyik termenung. Tak tahu apa yang mengganggu fikiran emak mentuanya.
Dia berlalu ke meja makan, menyambung mengupas bawang.
Jamilah meletakkan nasi
impit ke dalam penapis besar lantas diletakkan di atas meja makan. Kemudian dia
mengambil kelapa yang sudah digoreng, mahu menumbuk untuk dijadikan kerisik.
Sambil menumbuk, matanya memandang plastik yang dicampak semalam. Masih tak ada
siapa yang usik.
“Puan... nanti boleh tak
masakkan nasi impit goreng untuk saya?”
Tangan Jamilah yang laju
menumbuk kelapa terus terhenti. Dia memusing kepala memandang Raihan yang masih
leka dengan bawang.
“Abang Dir cakap, puan
masak nasi impit goreng sedap. Teringin pulak
saya nak merasa. Selama ni saya tak pernah tahu pun pasal masakan tu.” Nasi
impit di atas meja dipandang. Ada lagi lima jam sebelum berbuka. Dia berharap
Jamilah menunaikan keinginannya.
“Kau ingat kau tu anak
raja ke nak suruh aku masakkan untuk kau?” Jamilah terus menumbuk kelapa.
Sekali lagi egonya menghalang dia bersetuju dengan keinginan Raihan. “Nak
bermanja dengan aku konon... pergilah bermanja dengan mak angkat kau kat KL tu.
Suruh dia masakkan untuk kau. Jangan nak menyusahkan aku pulak! Elok aku sihat sebab esok nak raya, terus jatuh sakit sebab
melayan kerenah kau!”
Tak semena-mena air mata
Raihan mengalir. Entah kenapa dia berasa sangat sensitif hari ini. Terasa pedih
mendengar kata-kata Jamilah. Dia sedar siapa dirinya. Memang dia bukan menantu
pilihan. Kerana menikahinya, Khidir dihalau dari rumah tujuh tahun dulu. Dia
sudah tak tahu macam mana lagi mahu mengambil hati emak mertuanya. Mungkin dia
sudah gagal.
Jamilah nampak Raihan
mengelap air mata. Sengaja dia mengeraskan hatinya. Memandangkan esok sudah
raya, dia berniat mahu memohon maaf esok saja. Raya tahun ini dia terasa mahu
makan rendang air tangan menantunya tapi mulutnya berat mahu meminta.
“Mak ni, bukannya berat
pun permintaan Kak An. Suruh masakkan nasi impit goreng je pun. Tak adanya mak nak jatuh sakit.” Syakilla menyampuk. Dia
bukan sengaja mahu mencuri dengar, tapi dia terdengar ketika mahu turun ke
dapur tadi.
Batu lesung dihentak
kasar. “Kalau kamu kesian sangat kat dia, kamu jelah yang masakkan untuk dia!”
Jamilah menjegil memandang Syakilla yang berdiri di sebelahnya.
Kehadiran anaknya itu tepat pada masanya. “Tak ada mood aku nak memasak. Kamu berdua masaklah sendiri. Aku nak pergi
buang sampah. Semak mata aku ni tengok plastik baju tu tak berbuang!” Dia
melangkah mendapatkan tong sampah.
“Ek eh... mak ni nak marah-marah pulak.
Esok nak raya, tak baik marah-marah. Nanti Pak Cik Sudin kedai runcit tu takut
nak masuk meminang.” Syakilla ketawa. Sengaja dia mahu menceriakan suasana
dapur yang muram. Bukan dia tak tahu Pak Cik Sudin sukakan emaknya. Tiap kali
dia pergi kedai asyik bertanyakan emaknya.
“Aku tonyoh mulut kamu
dengan sampah ni kang... cakaplah merapu lagi!” Jamilah tak suka dikenenkan
dengan sesiapa. Dia selesa dengan hidupnya sekarang. “Si Sudin pekak tu nak
dikenankan dengan kita? Hesy, tak kuasa aku dah tua-tua ni nak naik pelamin.
Rumah kata pergi, kubur kata mari.” Dia berlalu dari dapur.
Raihan turut ketawa.
Terubat sikit rasa kecewanya mendengar lawak Syakilla. Sayu matanya memandang
plastik yang berisi baju di tangan kiri Jamilah.
“Kak An jangan sedih-sedih
eh, nanti Killa masakkan nasi impit goreng untuk akak.” Syakilla mengusap bahu
Raihan.
“Tak apalah, Killa. Akak
dah tak terasa nak makan.” Yang tekak dia mahu hanya air tangan emak mentuanya,
bukan orang lain. Entahlah, tekaknya makin mengada-ngada pula sekarang.
“Abang Dir jadi ke balik
esok?” Syakilla menukar topik. Dia menyambung tugasan yang emaknya tinggalkan
tadi.
“Jadi... lepas subuh dia
geraklah balik sini.”
Masing-masing terus larut
dengan kerja memasak.
*****
JAMILAH menarik keluar helikopter kawalan jauh yang Khidir simpan di atas
kabinet dapur. Kemudian dia membawa ke laman rumah. Apabila mendapat mimpi yang
dia sedang bermain helikopter mainan dengan seorang kanak-kanak lelaki, terus
dia terasa mahu bermain helikopter kawalan jauh lewat malam itu juga.
Memandangkan semua penghuni di dalam rumah sudah nyenyak tidur, bolehlah dia
bermain dengan aman.
Dia berdiri agak jauh
sedikit dari pangkin, berhampiran dengan jalan raya. Helikopter itu mula
dimainkan seperti yang diajar oleh Khidir. Makin suka hatinya apabila melihat
helikopternya makin naik ke udara. Leka dia bermain sampai tak sedar Raihan
sedang memerhati di pangkin.
Raihan senyum. Ketika mahu
masuk ke bilik sebaik saja minum air di dapur tadi, dia pelik melihat pintu
rumah ternganga. Manalah tahu ada perompak ke yang masuk. Musim raya ni memang
banyak kes pecah rumah. Sudahlah perempuan saja yang ada dalam rumah itu.
Apabila dia meninjau ke luar, dia nampak Jamilah sedang mendongak ke langit.
Ingatkan apalah yang emak mentuanya sedang buat, rupanya sedang bermain
helikopter kawalan jauh. Memandangkan rasa mengantuknya sudah hilang, dia
memilih untuk duduk di pangkin, melihat emak mentuanya bermain.
Pom! Pom! Pom!
“Ooo... cantik
berseri-seri... tua dan muda berpakaian serba baru... ooo... sungguh
meriahnya... miskin kaya pun turut bergembira. Menjelang hari raya, berakhirnya
puasa...” Alat kawalan jauh jatuh terhempas ke tanah sewaktu Jamilah melatah
sambil menyanyi lagu raya. Siap dengan pakej berjoget sekali apabila terdengar
bunyi mercun yang kuat.
Raihan yang melihat sudah
ketawa tapi dikawal nada ketawanya supaya Jamilah tak sedar kehadirannya di
situ. Latahan emak mertuanya kali ini memang menggeletek urat perutnya.
“Yang aku nyanyi lagu raya
ni dah kenapa?” Jamilah menggaru kepala. “Tak guna betul budak-budak ni. Tengah
malam pun sibuk nak main mercun. Terkejut aku dibuatnya. Nasib baik tak ada
orang nampak aku berjoget!” Alat kawalan jauh dicapai, dia mendongak ke langit
mencari helikopternya. Tapi dia pelik apabila helikopter itu terbang menuju ke
arahnya.
Alat kawalan jauh ditekan.
Dia belum puas bermain lagi tapi banyak kali dicuba pun alat kawalan jauh itu
seperti tak berfungsi. Helikopter itu pula masih terbang menuju ke arahnya.
Makin lama makin hampir. Dia yang sudah cuak mula membuka langkah. Nak mampus
kalau berdiri lagi kat situ? Silap-silap dia boleh mati!
Lariannya cuba dilajukan lagi mahu menuju ke rumah.
Sekejap-sekejap dia pandang ke belakang. Peluhnya pula makin melimpah. Dia pernah
terbaca ada seorang kanak-kanak mati terkena bilah helikopter kawalan jauh. Dia
tak mahu mati lagi sebelum meminta maaf pada Raihan. Dia mahu mendengar sendiri
menantunya mengatakan yang dia sudah memaafkannya.
Bayangan Raihan mula berpusu-pusu
masuk ke laman minda. Ternampak kembali muka sedih menantunya apabila dia tak
mahu memasakkan nasi impit goreng. “Maafkan mak, An... ya Allah, selamatkanlah
aku,” ucapnya perlahan. Dia memejam mata apabila helikopter hampir merempuh
kepalanya. Sempat dia mengucap dalam hati. Tiba-tiba dia terasa lengannya
ditarik ke kanan dan dia jatuh mengiring ke tanah.
Jamilah membuka mata. Dia
bersyukur yang dia masih diberikan peluang untuk bernafas. Dia nampak
helikopter itu hancur terhempas ke tangga rumahnya. Kemudian dia memandang
orang yang telah menyelamatkannya.
Raihan!
Muka Raihan berkerut.
Ari-arinya tiba-tiba terasa sakit. Mungkin kerana terjatuh ke tanah. “Puan tak
apa-apa? Suaranya tertahan. Dia lega apabila melihat gelengan Jamilah. “Arghhh!” Perutnya dipegang. Rasa sakit
itu terasa mencucuk.
“Kenapa ni?” Jamilah
risau.
“Sakit, puan...” Air mata
Raihan mengalir keluar. Pandangannya mulai kabur dan dia sudah tak ingat
apa-apa lagi.
“Ya Allah, darah!” Jamilah
cuak apabila terpandangkan darah yang mengalir di celah kaki Raihan yang
berbaju kelawar lengan panjang.
*****
RAIHAN membuka mata. Wajah pertama yang dia nampak adalah Khidir.
“Abang...” Dia bersuara lemah. Dia cuba
untuk bangun tapi ari-arinya terasa sakit. Wajahnya berkerut.
“Jangan bayak bergerak,
sayang. Badan sayang tak kuat.” Khidir mendudukkan Raihan di kepala katil. Dahi
isterinya dikucup lama.
“Bila abang sampai?” tanya
Raihan sebaik saja menyalami tangan Khidir.
“Pukul lapan pagi tadi.
Rasa macam nak tercabut nyawa abang bila Killa bagitahu sayang masuk hospital.”
“Maknanya hari ni hari
raya la?”
Khidir mengangguk.
“Puan macam mana?” Matanya
tercari-cari kelibat Jamilah namun hanya ada dia dan Khidir saja di wad itu.
“Mak okey. Kejap lagi mak
sampailah tu. Terima kasih, sayang.” Tangan kanan Raihan diraih dan dikucup.
“Terima kasih sebab selamatkan mak abang. Dan terima kasih sebab sudi bagi
Dinie adik.”
Raihan mengerut dahi, tak
faham maksud ucapan terima kasih yang kedua itu. “Maksud abang?”
“Our little caliph is here.” Khidir menyentuh perut Raihan.
“Membuntang mata Raihan.
“Betul ke, bang? Tapi tiap bulan An datang bulan cuma beberapa bulan ni datang
sekejap je. Dalam empat hari macam
tu. Takkan la An mengandung pulak?”
“Bunting pelanduk,
sayang... doktor kata sayang mengandung empat bulan. Kandungan sayang selamat
sebab tumpah darah sikit je. Nasib
baik mak cepat bawak sayang pergi
hospital.”
Air mata Raihan mengalir.
Terima kasih, ya Allah... terima kasih sebab selamatkan kandunganku, doanya
dalam hati. Tangannya mengusap perut perlahan. Anak mama...
“Patutlah abang mengidam
nak makan pajeri rambutan, rupa-rupanya sayang mengandung.”
“Mak pulak dapat mimpi main helikopter dengan budak lelaki. Agaknya anak
kedua Dir tu lelaki tak...” Jamilah menyampuk sambil melangkah masuk ke wad
diikuti Syakilla dan Dinie.
Raihan terpaku melihat
Jamilah memakai jubah yang dijahitnya. “Bukan ke baju tu puan...”
“Mak tak buang pun. Mak
simpan balik masa nak buang sampah semalam.” Jamilah melabuhkan duduk di sisi
katil.
Raihan terharu mendengar
perkataan mak yang keluar dari mulut Jamilah. “Terima kasih, puan sebab sudi
pakai jubah yang saya jahit.”
Jamilah menutup mulut
Raihan. “Bukan puan... tapi mak. Jangan panggil mak puan lagi. Mak sebenarnya
dah lama terima An tapi ego mak yang halang mak dari minta maaf. Di hari raya
yang mulia ni, mak susun sepuluh jari mohon ampun pada An. Terima kasih sebab
selamatkan mak. Kalau An tak ada masa tu, mesti mak tak boleh sambut raya
dengan anak, menantu dan cucu mak hari ni.” Air mata Jamilah mengalir. Dia
menggenggam erat tangan menantunya.
Syakilla dan Khidir
tersenyum sebak melihat drama itu.
Raihan mendepakan tangan
dan memeluk Jamilah kejap. “Mak...” Dia tersedu-sedan. “Dah lama An nak sebut
panggilan tu. Akhirnya, hari ni mak bagi An peluang. Terima kasih, mak sebab
sudi terima An. An tahu An bukan menantu pilihan mak.”
Jamilah melepaskan
pelukan.
“An tahu An ni jahat sebab
dah hancurkan hati mak. An jahat sebab pisahkan mak dengan abang. An jahat
sebab...”
Jamilah menutup lagi mulut
Raihan. Dia menggeleng kepala. “Dah, sayang... An tak bersalah. Mak yang salah.
Mak memang tak pandai menilai. An sebenarnya baik sangat. An menantu yang baik.
Selalu ikut apa yang mak cakap. Silap mak terlalu bencikan kaum Cina sampai An
pun kena tempiasnya.” Dia menarik nafas. Sudah tiba masanya dia membongkar
kisah silamnya.
Raihan mengerut dahi.
“Dulu mak ada seorang kawan
Cina perempuan. Nama dia Ah Teng. Satu hari dia ajak mak teman dia pergi
hospital sebab ayah dia sakit tapi tempat lain yang dia bawak.”
“Dia bawak mak
kat mana?” Syakilla menyampuk.
“Dia bawak mak
kat rumah lintah darat dan dia jual mak sebab abang dia tak dapat bayar hutang
Ah Long tu. Lepas tu ketua lintah darat tu nak rogol mak tapi mak sempat ketuk
kepala dia dengan kayu dan lari keluar. Nasib baik anak-anak buah dia tengah
tidur masa tu. Kalau tak, tak tahu apa yang jadi pada mak. Masa tu mak lari
sekuat hati bila nampak anak-anak buah dia dah mula kejar. Nasib mak baik sebab
terserempak dengan kereta peronda polis. Polis tu terus tangkap lintah darat tu
dan hantar mak balik rumah.” Jamilah berjeda. “Sejak tulah mak tak suka dengan
orang Cina. Bila Dir bawak An datang ke
rumah dulu, mak terus teringat balik kejadian tu. Kawan baik sendiri sanggup
jual mak demi kepentingan sendiri.”
Raihan terkejut. Dia tak menyangka Jamilah mempuanyai
kisah silam seperti itu. Patutlah emak mentuanya membencinya. “Dahlah, mak...
tak payah ingat balik kisah tu. Mak dah terima An pun An dah cukup bersyukur.
Kita bukak buku baru ya, mak? Selamat
hari raya.” Dia mencium tangan Jamilah, kemudian pipinya dicium oleh emak mentuanya.
Jamilah mengesat air mata. “Ni mak ada masakkan nasi
impit goreng. Semalam cucu mak ni mengidam nak makan, kan?” Dia mengusap perut
Raihan. Bekas makanan dibuka lantas menyuap nasi impit goreng ke mulut Raihan.
Terpejam mata Raihan saat makanan itu masuk ke mulutnya.
“Hmmm... sedapnya mak... terima kasih
sebab masakkan untuk An.”
“Dir mak tak nak suapkan ke? Dir pun mengidam jugak ni. Dah tujuh tahun tak makan nasi
impit goreng mak ni tau!” Khidir berpura-pura merajuk.
“Alah... buruk benau
bapak budak ni merajuk. Nah, mak suapkan.” Jamilah ketawa. Nasi impit goreng
turut disuap ke mulut Khidir.
“Eee... baba
tak malu... dah besar pun nak suruh opah suap.” Dinie mengejek.
“Biarlah... opah sayang baba. Kan, opah?” Khidir memeluk
bahu Jamilah. Dagu disangkut pada kepala emaknya. “Kenapa mak masak sikit
sangat? Mana puas nak makan,” rungutnya manja.
Jamilah menepuk perlahan lengan Khidir. “Ni mak buat
untuk orang mengandung. Orang tak mengandung balik nanti makanlah puas-puas.
Nak makan sambil terlentang ke apa, ikut suka kamulah. Dinie nak sikit?” Dinie
yang sedang ketawa itu dipandang.
“Nakkk!” Luas dia nganga menanti suapan daripada opahnya.
Habis saja mengunyah, dia mengusap perut Raihan. “Adik, sedap kan opah masak...
keluar cepat-cepat tau, adik... nanti boleh main dengan kakak.” Perut mamanya
dikucup. “Hmmm... sayang adik kakak
ni.”
Raihan senyum. Penerimaan emak mentuanya adalah hadiah
paling bermakna dalam hidupnya. Dia bersyukur segala yang keruh berjaya
dijernihkan. Baginya, raya tahun ini merupakan raya paling indah. Dan dia
bersyukur masih diberi peluang untuk mengandung lagi. Moga keluarganya
dilimpahi kasih sayang yang melimpah ruah.
~TAMAT~
14082012-12082015
17:10
M.A.A.F.
Nampak mudah tapi sukar untuk melafazkannya
Jika tak diruntuhkan ego, tali perhubungan itu akan makin reput dimamah
hari
Mohon maaf bukan menunjukkan kita lemah tapi menonjolkan keberanian kita
Dinding-dinding keberanian perlu dibina untuk mengait semua tali
perhubungan itu
Sempena aidilfitri yang mulia ini, sama-samalah kita bermaaf-maafan
Buang yang keruh, ambil yang jernih
Kosong-kosong
Inikan raya! =P
~Waisya Carissa~
p/s: Akhirnya siap jugak cerpen raya yang dah 3 tahun digantung tak
bertali. Terima kasih kepada yang sudi membaca cerpen yang mengarut ini. Maaf
kalau ada yang rasa cerita ni bosan sangat. Dah 3 tahun tak menulis, otak
terasa tumpul. Maka terhasillah cerita yang serba kekurangan ini.
Di kesempatan ini... walaupun esok last raya... WC nak ucapkan Selamat Hari
Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin. Belog ni dah lama bersawang. Tak tahulah
ada yang baca ke tak.