Edited Version
SUASANA petang itu mendamaikan dengan angin yang bertiup
sepoi-sepoi bahasa dan cuaca yang redup. Kelihatan ramai pelajar yang bersantai
di kawasan taman kampus. Ada yang sedang bergosip, ada yang duduk bersantai,
ada juga yang mengulang kaji pelajaran di atas rumput dan di atas meja yang
disediakan.
“Kita
rehat 15 minit. kepala aku dah berat nak menghafal segala benda ni,” kata Izzah
kepada empat orang kawannya yang turut sama mengulang kaji pelajaran di atas
meja.
“Okey!”
jawab Syamira, Nadhia, Idham dan Fadhli serentak.
Izzah
mengeluarkan botol kaca berisi air soya dari dalam beg sandang lalu meneguknya.
“Bestnya
angin petang ni. Tidur pun sedap ni!” Idham mendongakkan kepala ke langit.
Kedua-dua belah tangannya didepangkan sambil menarik nafas sedalam-dalamnya.
“Kau
orang, jom kita main satu permainan nak?” Fadhli memandang satu per satu wajah
kawannya.
“Game
apa?” tanya Syamira. Buku yang terbuka segera ditutup.
“Truth
or dare!” Fadhli tersengih. Keningnya diangkat berulang kali.
“Interesting! Dah lama aku tak main game
tu. Aku on.” Idham memberikan persetujuan.
“Kau
orang pulak?”
“Aku no
hal. Ringan sikit kepala aku ni.” Izzah menutup kembali botol kaca itu dan
meletakkannya di tepi.
“On!”
Nadhia dan Syamira menjawab serentak.
“Cantiklah!
Izzah, kau habiskan air soya kau tu. Guna botol kaca baru best sikit nak
pusing-pusing,” arah Fadhli yang dari tadi memerhatikan botol air soya di atas
meja.
Izzah
mencapai botol airnya lantas meneguk air soya sehingga habis. Kemudian dia
menyerahkan botol kaca yang telah kosong itu kepada Fadhli.
Fadhli membaringkan botol itu di tengah meja dan bersedia
untuk memusingkan botol.
“Chop!
Chop!” Izzah menahan.
“Kenapa?”
tanya Fadhli pelik.
Keempat-empat
mereka memandang Izzah.
“Kau
orang tunggu sekejap, aku nak pergi kafe.” Dia bangkit dari bangku dan berjalan
laju meninggalkan kawan-kawannya.
“Cepat
sikit tau!” jerit Idham yang sudah tak sabar mahu memulakan permainan.
“Okey!”
Izzah melajukan langkah. Beberapa minit menanti, bayangan Izzah muncul dengan
gelas yang berisi air. Dia tersengih sambil menayangkan gelas di tangannya.
“Air apa
pulak tu?” Syamira pelik melihat warna air yang tak serupa air. Keruh
semacam aje!
Izzah
hanya menjawab dengan sengihan. “Bagi aku pusing botol tu dulu.”
Fadhli
mengangkat tangannya dari botol kaca itu untuk memberi ruang kepada Izzah
memulakan permainan.
Izzah menarik nafas, kemudian dia mula memusingkan botol
kaca di depannya. Botol itu berpusing 360 darjah dan berhenti di depan Idham.
“Truth
or dare?” Izzah bertanya kepada
Idham.
“Hmm...
dare!” jawab Idham pantas.
Izzah tayang sengih jahat. “Aku nak kau habiskan
air ni.” Izzah menyerahkan gelas yang dibawanya tadi kepada Idham.
Tanpa banyak soal Idham meneguk rakus air itu.
Puurrrgggghhhh!!!
Air yang diminum tersembur keluar.
“Woit,
tempiaslah!” marah Fadhli, Syamira dan Nadhia.
Izzah pula, sebaik saja Idham mula meneguk air itu tadi,
dia segera menundukkan badan di bawah meja. Dia sudah ketawa terbahak-bahak.
“Masin
gila! Air apa yang kau bagi ni, Izzah? Boleh kena darah tinggi aku macam ni.”
Izzah
menegakkan semula badannya. “Air asam jawa campur garam dua sudu. Kata nak main
truth or dare, kan? Kenalah
bagi kaw-kaw punya dare!” Dia menjawab selamba.
Yang lain juga turut menghamburkan tawa.
“Kejamlah
kau ni, Izzah!” Wajah Idham sudah masam mencuka.
“Itu pun
dah kira okey aku suruh abang kat kafe tu buat setengah gelas je. Buatnya aku suruh dia buat satu
gelas penuh, masak kau nak kena habiskan.” Izzah gelak lagi.
Idham
sudah memuncung.
“Hah
muncung! Muncung! Saya ikat mulut awak dengan getah ikat sayur baru tahu.
Cepatlah habiskan air tu,” arah Syamira.
“Mira,
sampainya hati awak tengok kekasih hati awak ni minum air masin.” Idham
berpura-pura membuat muka sedih.
“Padanlah
muka, siapa suruh awak pilih dare
tadi. Cepatlah habiskan, nanti lambat pulak sambung game,”
desak Syamira.
Idham
mengangkat semula gelas yang berisi air asam jawa bercampur garam tadi. Dia
memicit kuat hidungnya lantas meneguk air itu sehingga habis. Dia terasa nak
termuntah sebaik saja berjaya menghabiskan air itu. Kemudian dia mencapai botol
air mineral di atas meja lantas meneguknya rakus untuk mencuci tekaknya. Perut
yang sedikit kembung kerana terlalu banyak minum air diusap.
“Turn
aku pulak putarkan botol ni.” Idham mula memutarkan botol. Kali ini
botol itu terhenti di depan Nadhia.
“Truth
or dare?”
“Truth.”
Idham
mengerutkan dahi, berfikir soalan apa yang ingin diberikan. Dia memetik jari
apabila sudah mempunyai soalan. “Kau cinta sangat kat Si Li ni, kan? Aku nak
kau bagitau kita orang perkara apa yang Li tak suka?”
Fadhli
sudah teruja untuk mendengar jawapan kekasih hatinya. Mahu juga dia tahu sama
ada Nadhia peka atau tak dengan apa yang dia suka dan tak suka.
“Alah,
senang je!” Nadhia memetik jari.
“Buah hati pengarang jantung aku ni tak suka...” Dia mengalih wajah memandang
Fadhli. “... sorry ya, awak...” Dia tersenyum sebelum menjawab. “Dia
paling tak suka dengan lipas yang terbang-terbang tu.”
Aduh,
bocor rahsia aku! Wajah Fadhli sudah berubah merah.
Syamira, Izzah dan Idham sudah tergelak sambil menjeling
Fadhli.
“Lepas
tu, dia tak suka menunggu. Kalau dah janji pukul 10 mesti tepat-tepat ada kat
situ jugak. Dan dia jugak tak suka makan nasi minyak. Cukuplah tu
ya? Ikutkan banyak lagi benda yang Li tak suka tapi aku tak sanggup nak tengok
muka dia bertambah merah.”
“Hehehe...”
Fadhli hanya tersengih apabila empat pasang mata memandang ke arahnya.
“Apa kes
kau tak makan nasi minyak ni, Li? Kalau kau orang nak kahwin nanti macam mana?”
tanya Izzah pelik. Tak pernah dia tahu ada orang yang tak suka makan nasi
minyak.
“Alah,
apa susah, nasi putih kan ada? Nad makan nasi minyak, aku makanlah nasi putih.
Boleh, kan, Nad?” Fadhli memandang Nadhia.
“Saya
tak kisah pun. Janji dapat kahwin dengan awak...” jawab Nadhia tersipu-sipu.
“Amboi, gatai sungguh minah sorang ni! Anak siapalah ni ya?” Syamira menyiku lengan
Nadhia.
“Nanti
lepas habis belajar, dah cukup kumpul duit, tunggu abang masuk meminang ya,
sayang?” Fadhli mengenyit mata nakal.
“Uwekkk!
Nak termuntah aku. Abang konon!!!” Izzah membuat gaya seperti hendak termuntah.
Lehernya dipegang.
“Jealouslah tu. Tahulah kau tu single-mingle
lagi. Bila kau dah rasa apa itu cinta, baru kau tahu. Hari-hari asyik terbayang
muka dia je. Makan tak kenyang, mandi
tak basah, tidur tak lena,” kata Fadhli.
Izzah
mencebik bibir.
“Okey, next.”
Nadhia memusingkan botol kaca itu. Kali ini botol berhenti di depan Syamira. “Truth
or dare?”
“Truth!”
jawab Syamira pantas.
“Sebelum
kau dengan Idham berpacaran... ececeh!
Ayat aku tak boleh blah betul! Hahaha...” Nadhia dan yang
lain sudah tergelak. “Pernah tak kau minat kat sesiapa?” sambungnya lagi
setelah ketawanya reda.
Gulp!
Syamira menelan liur. Dia memandang wajah Idham yang seperti ingin tahu.
Kemudian dia memandang wajah seorang demi seorang kawannya.
“Cepatlah
jawab!” desak Nadhia.
“Kalau
tukar soalan boleh tak?” Syamira sudah membuat muka serba-salah.
“Tak
boleh! Kau kena jawab jugak soalan ni.”
Syamira
mengeluh. Dia menarik nafas panjang. “Pernah...” Dia menjawab senafas sambil
menjeling sedikit ke wajah Idham. Matanya dikecilkan untuk melihat reaksi
lelaki itu.
“Siapa?”
Ketiga-tiganya bertanya serentak kecuali Idham.
“Kisah
lamalah. Tak payahlah ingat lagi.” Syamira mencapai pen di atas meja lalu
dimain-mainkannya.
“Alah,
jawab jelah. Kisah lama pun kita
orang sanggup dengar. Id tu pun mesti tak sabar nak tahu jugak kan, Id?”
Fadhli menyiku sedikit rusuk Idham.
Idham
mengangguk laju. “Cerita jelah. Saya
tak kisah pun. Semua orang ada kisah masing-masing, kan?” Idham cuba memujuk
Syamira agar bercerita. Memang dia teringin sangat nak tahu siapa yang ada di
dalam hati Syamira sebelum dia.
“Betul
awak tak marah?” Syamira meminta kepastian.
“Betul...”
Idham mengangguk penuh yakin.
“Okeylah,
aku cerita.” Syamira diam sebentar. “Kat sekolah dulu aku pernah minat kat
ketua pengwas. Dia handsome... ramai pelajar perempuan yang minat kat
dia.” Syamira memandang lagi wajah Idham namun reaksi Idham tak menggambarkan
yang lelaki itu cemburu.
“Kau
luahkan kat dia tak?” potong Izzah.
“Tak...”
Syamira menggeleng kepala.
“Kenapa?”
Nadhia menongkat dagu.
“Kalau
aku bagitahu, mesti dia reject aku, sebab masa tu dia dah ada makwe. Aku
ni siapalah nak dibandingkan dengan makwe dia yang cun-melecun tu...”
“Ooo...”
Ketiga-tiganya bersuara serentak.
“Dahlah,
lupakan cerita lama tu. Dah basi pun. Cinta monyet je tu. Okey, next...” Syamira memusingkan botol itu. Selepas
berpusing beberapa kali akhirnya botol berhenti di depan Fadhli.
“Truth
or dare?”
“Dare!”
jawab Fadhli sambil menaikkan kolar bajunya ke atas.
“Aku nak
kau nyanyikan lagu kegemaran Nad.” Pantas saja Syamira memberi arahan.
Fadhli
tersengih. “Id, pinjam gitar kau kejap,” pintanya sambil menoleh ke sebelah.
Idham
mengambil gitar yang diletakkan di sebelahnya lantas menghulurkan kepada
Fadhli.
“Nadhia,
dengarlah nyanyian saya yang tak seberapa ini. Saya akan nyanyikan lagu
kegemaran awak iaitu...” Dia berfikir seketika. “What Should I Do. Dengar
eh...” Fadhli mula memetik gitar. Matanya memandang tepat ke wajah Nadhiah.
Dengan penuh perasaan dia menyanyi.
Hangoru
mankum gudelbo nemyon nunmu rina
Hangoru
mankum gudega gamyon tonun murihu lowa
Sonulpo
dodo sonnemi rodo dahul suom nungo suro
Gudega
nunde japjino tago nanulgo manitjo
Otokajo
otokajo gudegato naga neyo
Otokajo
otokajo naldu goto naga neyo
Saranghaeyo
saranghaeyo mokno habu lobojiman
Gudendut
jimo teyo gasumu roman wechigo isu ni
Haruon
jongil jiwo bojiman toto ola
Haruon
jongil ibyol hajiman toda shito ola
Sonulpo
dodo sonnemi rodo hanul suom nungo suro
Gudaga
jiman japji motago nanulgo manitjo
Otokajo
otokajo gudegato naga neyo
Otokajo
otokajo naldugoto naga neyo
Saranghaeyo
saranghaeyo mokno habu lobo jiman
Gudendut
jimo teyo gasumu roman wechigo isu ni
Otokajo
otokajo nanu jiku depu ninde
Otokajo
otokajo gudegato naga neyo
Otokajo
otokajo naldugoto naga neyo
Saranghaeyo
saranghaeyo mokno habu lobo jiman
Gudendut
jimo teyo gasumu roman wechigo isu ni
“Saranghaeyo, Nadhia Natasya!” ucap Fadhli sebaik saja menghabiskan
nyanyiannya.
Nadhia sudah mengalirkan air mata. Dia tak
menyangka Fadhli yang tak meminati drama Korea sanggup menghafal lagu
kegemarannya.
“Wallaweyh!
First time aku dengar kau nyanyi semerdu ni. Sebelum ni macam katak
panggil hujan je.” Izzah menepuk
tangan diikuti Syamira dan Idham.
“Alololo,
touching pulak minah air
mata ni. Laplah air mata tu, nanti orang fikir apa pulak tengok kau
nangis beria-ia ni.” Syamira mengusap bahu Nadhia.
Nadhia
tersenyum sambil mengelap air matanya. “Thanks, awak… thanks
sebab nyanyikan lagu kegemaran saya walaupun suara awak tak semerdu Jang Keun
Suk.”
“Untuk
awak, apa pun saya sanggup.” Fadhli mengenyit mata.
“Jom
sambung study balik, dah lebih 15 minit kita break ni.” Izzah membuka buku di depannya.
“Na...
na... na... mana aci kau tak kena lagi. Jangan nak mengelak eh? Aku tahu
sangat kau tu.” Fadhli merampas buku di tangan Izzah.
Izzah
menjegilkan mata. Isy, mamat ni kan... tahu je aku nak mengelak! “Okey, fine! Yang pasti aku akan
terlepas.” Dengan penuh yakin Izzah menjawab.
“Bismillahirrahmanirrahim...”
Fadhli memusingkan botol itu. Laju botol itu berputar. Semakin lama semakin
perlahan, perlahan dan perlahan. Akhirnya muncung botol itu berhenti di depan
Izzah.
Izzah
menjatuhkan mukanya di atas meja. Dia mengeluh kuat. Tangannya memukul perlahan
permukaan meja.
“Truth
or dare?”
Izzah
mengangkat mukanya semula. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab. “Dare!”
Sengaja dia memilih dare. Dia tak mahu menjawab soalan-soalan yang
merapu dan agak sukar untuk dijawab.
Fadhli
tersenyum penuh makna. “Aku nak kau lafazkan cinta pada...” Fadhli memandang
sekeliling taman. Dia tersenyum apabila matanya terhenti pada suatu objek. “...
pokok tu!” Jari dituding pada sebatang pokok besar yang tak berapa jauh dari
tempat mereka duduk. Sengaja dia memilih pokok itu kerana hanya pokok itu yang
masih kosong dan belum diduduki orang.
Izzah,
Syamira, Idham dan Nadhia mengalihkan pandangan mengikut telunjuk Fadhli.
“Alah,
kacang goreng je tu!” Izzah mula
bangkit mahu melangkah ke arah pokok yang ditunjuk Fadhli tadi.
“Nanti
dulu!” tahan Fadhli apabila Izzah sudah mula melangkah.
“Apa
lagi?” Izzah berpatah semula ke mejanya apabila Fadhli menggamit.
“Kau
kena ikut arahan aku ni. Dengar baik-baik eh? Kau kena berjalan dari sini
hingga ke pokok tu dengan menutup mata.” Fadhli menjungkit kening.
Terbuntang
mata Izzah. Tak masuk akal betul!
“Bila
dah sampai kat pokok tu kau kena melutut macam putera raja nak melamar kekasih
hatinya.”
Izzah
sudah bercekak pinggang.
“Lepas
tu kau jerit I love you kuat-kuat, barulah kita orang boleh percaya yang
kau dah berjaya menyahut cabaran ni!” Fadhli tersengih lagi.
“Fulamakkk! Boleh tahan jugak dare
kau ni eh? Aku langsung tak terfikir nak buat macam tu. Give me five!”
Idham dan Fadhli menyatukan tapak tangan mereka.
Syamira
dan Nadhia hanya mampu tersenyum melihat wajah mencuka Izzah.
“Kau
ni kejamlah Li! Dahlah orang ramai kat sini. Kang tak pasal-pasal nanti dia orang cop aku ni mental pulak.
Tukar lainlah.” Izzah tak berpuas hati. Dia duduk dengan kasar di bangku
yang ditinggalkan tadi.
“Pandai
pulak kau merungut kan? Tadi time aku, kau suruh minum air asam
jawa campur garam. Kira kejamlah jugak tu. Hurry up! Hurry up!
Lambat kau buat, lambatlah kita sambung study,” paksa Idham.
“Yalah...
yalah... aku buat!” Izzah memusingkan badan dan melangkah perlahan.
“Oit,minah...
tutup matalah!” Nadhia mengingatkan.
“Aku
nak kira langkah dulu. Kalau main redah je
boleh pengsan aku nanti terlanggar batang pokok tu,” jawab Izzah tanpa menoleh.
“Satu... dua... tiga... empat... lima... enam... tujuh... lapan... sembilan...
sepuluh...” Dia mengira selangkah demi selangkah. Kemudian dia melangkah ke
belakang semula dengan kiraan yang sama. Dia meliarkan matanya ke sekeliling
taman.
“Apa
yang kau cari tu, Cik Izzah Qhaireena oiii?” soal Syamira pelik.
“Aku
nak cari bunga. Barulah nampak real sikit.” Izzah melangkah ke arah
pokok bunga raya lantas memetiknya sekuntum.
Syamira
menepuk dahinya. “Perangai gila-gila dia dah mai dah...”
“Tadaaa...”
Izzah menayangkan bunga yang dipetikya. Kemudian dia memusingkan badannya untuk
memulakan cabaran. “Tengok ni, aku pejam mata, okey!” Dia melangkah setapak
demi setapak dengan membuat kiraan di dalam hati. Satu... dua... tiga...
“Izzah!”
panggil Nadhia apabila baru setengah jalan Izzah melangkah.
Izzah
berhenti mengejut. Dia menunggu Nadhia menyambung kata. Matanya masih ditutup.
“Tak
payah panggil. Biarkan je,” halang
Idham. “Go, Izzah! Go!”
Idham menepuk tangan memberi sokongan kepada Izzah.
Izzah
kembali meneruskan langkahnya.
“Kalau
dia marah macam mana?” Nadhia bersuara cemas.
“Ni
barulah nampak real.” Idham tersengih. Mereka berempat menumpukan
kembali perhatian kepada Izzah.
Lapan...
sembilan... sepuluh... kiranya dalam hati. Dia mula melutut seperti yang diarah
Fadhli. Bunga raya yang dipetik tadi dihalakan ke depan. Matanya masih ditutup
dan... “I love youuu!!!” jerit Izzah. Dia tersenyum. “Erk?” Dia
pelik apabila terasa ada yang menyambut huluran bunganya.
Pandai
betul pokok ni sambut bunga aku! Dia tersenyum lagi. Wait! Wait! Pokok?
Bunga? Eh, pokok mana ada tangan! Takkan pokok ni berhantu kot? Mampus kau,
Izzah! Hantu dah sambut cinta kau! Bercinta dengan hantulah kau nampaknya! Dia berteka-teki
di dalam hati.
Tapi...
mana ada hantu siang-siang! Hantu selalu keluar waktu malam je. Perlahan-lahan matanya dibuka. Objek
pertama yang dia lihat adalah seorang lelaki bercermin mata berbingkai hitam.
Rambutnya pula disikat belah tepi. Baju yang dipakainya dibutang hingga ke
atas. Wajahnya keanak-anakan dan ada iras-iras Ming Dao. Lesung pipit di
kedua-dua belah pipi lelaki itu menyerlahkan lagi kecomelannya. Anak matanya
yang berwarna hazel itu membuatkan Izzah terpaku lama. Cantik sangat!
“Boooooo!!!”
Izzah
tersedar apabila mendengar bunyi sorakan pelajar yang masih berada di taman
itu. Dia memandang sekeliling. Ada yang berbisik sesama sendiri, ada yang
memandang dengan pandangan sinis, ada yang ketawa dan ada juga yang mempamerkan
muka seakan-akan kagum dengan keberanian Izzah melafazkan cinta. Wajah Izzah
dan lelaki berwajah comel itu sudah bertukar merah.
“Saya
pergi dulu.” Lelaki berwajah comel itu menyimpan bukunya ke dalam beg, kemudian
berjalan dengan lemah-gemalai meninggalkan Izzah.
“Hei,
Mr. cute! Siapa nama awak?” Sempat lagi Izzah bertanya.
Lelaki
berwajah comel itu tak mengendahkan soalan Izzah. Dia berlari laju meninggalkan
taman yang telah memberikan sejarah yang paling memalukan buat dirinya.
Izzah
menjungkitkan bahunya. Getah ikat sayur di pergelangan tangannya di tarik
keluar lantas mengikat rambutnya yang hanya paras bahu.
“Perempuan
ni tak ada taste langsunglah. Dengan lelaki lembut pun dia minat. Eeuwww!
Siap confess depan orang ramai lagi tu. Macam perigi cari timba je!”
Izzah
bangkit untuk mendapatkan teman-temannya. Dia tak memandang wajah perempuan
yang mengatanya. Malas mahu melancarkan pergaduhan.
“Yang
kau orang ni ternganga apesal? Masuk
lipas kang baru tahu.” Dia melabuhkan duduk di bangku.
“Lipas-lipas
jangan sebut eh!” Fadhli menjegilkan matanya.
“Opss!
Aku lupa pulak yang kau ni penakut lipas.” Izzah sengaja menekup
mulutnya pura-pura tak sengaja.
“Bukan
takutlah, geli je!” Fadhli
membetulkan tanggapan Izzah.
“Kau
orang... aku peliklah. Tadi sebelum aku tutup mata tak ada pulak
orang kat bawah pokok tu. Ke aku tersalah pokok?” Izzah menayangkan wajah
keliru. Dahinya digaru perlahan.
“Memang
tak ada orang pun tadi. Kau dengar tak aku panggil nama kau?” tanya Nadhia.
Izzah
mengangguk laju.
“Masa
tulah budak yang kau panggil Mr. cute tu muncul. Si Id pulak tak
bagi aku bagitau kau. Dia cakap nak bagi nampak real.” sambung Nadhia
lagi. Dia sudah risau. Takut Izzah mengamuk.
“Cutelah budak tadi tu.” Izzah sudah
menongkat dagu, membayangkan semula wajah comel yang berlesung pipit dan
bermata hazel itu.
Syamira,
Nadhia, Idham dan Fadhli sudah ternganga mendengar kata-kata Izzah.
“Kau
tak marah ke?” soal Nadhia ingin tahu.
“Taklah
tapi aku suka. Hehehe... betul-betul cutelah budak tu. Rasa nak cubit-cubit je pipi dia!”
“Kau
tak marah ke tengok orang lain mengumpat kau tadi?” soal Syamira curiga.
Selalunya kalau ada yang mengumpatnya, Izzah pasti akan melenting. Sekarang,
kerana seorang lelaki berwajah comel, hilang terus kemarahan kawannya ini.
“Nampaknya
tak lama lagi bertambah soranglah ahli dalam group kita ni. Aku dengan
Nad... Id dengan Mira... Izzah pulak
dengan...” Kata-kata Fadhli terhenti. “... siapa nama budak tu eh?” Dia
bertanya kawan-kawannya.
Izzah,
Nadhia dan Syamira menjungkit bahu tanda tak tahu.
“Harraz...”
Empat
pasang mata memandang Idham.
“...
Harraz Fayyadh...” sambungnya lagi.
“Harraz
Fayyadh.” Izzah tersenyum. “Aku suka nama tu. Maksudnya yang amat warak dan
murah hati. Wajah dia pulak putih bersih,” katanya lagi.
“Tapi
Izzah, kau tak nampak ke cara dia jalan? Lembut semacam je. Takkan kau dah jatuh cinta kat dia kot?” Syamira meluahkan
kemusykilannya. Setahunya Izzah tak mudah jatuh cinta. Ada yang mencuba nasib
untuk memikatnya tapi dia tolak mentah-mentah.
“Kenapa?
Lelaki lembut tak boleh bercinta ke? Lelaki lembut tak boleh kahwin? Cik
Nadiatul Syamira, cinta tu buta, okey! Yang penting hati. Aku tak kisah kalau
orang nak kata dia lembut ke apa, yang penting aku suka dia!” Izzah meluahkan
rasa hatinya. Baginya lelaki lembut juga berhak untuk bercinta.
“Okey,
drop the topic. Sekarang sambung baca buku balik, esok ada kuiz.” Fadhli
bersuara. Tak mahu memanjangkan pendebatan.
Masing-masing sudah membuka buku kembali
kecuali Izzah. Dia kembali tersenyum mengenangkan Harraz yang disangkanya hantu
pokok.
“Yang
kau tersengih lagi tu buat apa? Cepat bukak buku tu!” sergah Idham.
Izzah
tersentak. Dia menjeling tajam ke arah Idham. “Kacau daun betul! Tak boleh
tengok orang senang sikit,” ujar Izzah sambil mencapai buku lantas membukanya.
*****
IZZAH menyambut mangkuk nasi yang dihulurkan
ibunya. Dia mencedok dua senduk nasi ke dalam pinggan, kemudian dicapai pula
mangkuk yang berisi tomyam. Dia tergamam apabila ternampak wajah Harraz di
dalam mangkuk itu. Lama dia merenung mangkuk itu. Tanpa disedari, bibirnya
mengukir senyuman.
“Reen...”
panggil Izzati.
Izzah
tersentak. Mati terus senyumannya. Dia memandang wajah ibu dan ayahnya yang
memandangnya dengan muka pelik.
“Kenapa
ditenung je tomyam tu? Makanlah.”
Khalid bersuara.
Izzah
tersenyum malu. Dia cepat-cepat mencedok tomyam ke dalam pinggan, kemudian
menghulurkan mangkuk tomyam itu kepada ayahnya.
“Reen...”
Baru
tiga suap nasi masuk ke mulutnya, Izzati sudah memanggil. Izzah mengangkat muka.
“Ya, ibu?”
“Hari
Ahad nanti kita pergi rumah mak long, ya? Kak Maria kamu nak bersanding.”
“Kalau
ibu dengan ayah je yang pergi boleh
tak? Reen malaslah. Nanti ada je yang
mak long tu bebelkan. Reen... kamu dah ada pakwe ke belum? Reen... kenapa
potong rambut tu pendek sangat? Huh, bosan!” Izzah meniru gaya mak longnya
bercakap, siap dengan mimik muka sekali.
“Mana
boleh macam tu. Masa akad nikah pun Reen tak pergi, kan? Nanti kecik hati pulak
Kak Maria kamu tu. Sekurang-kurangnya tunjukkanlah muka tu. Pergi ya?” Izzati
memujuk.
Izzah
mengeluh. Nasi di pinggan digaul perlahan. Terasa hilang selera mahu makan
apabila wajah mak longnya mula terbayang di ruang mata.
“Reen
pergi ya, nak?” pujuk Izzati lagi.
Izzah
mengangguk lemah. Dia mencapai gelas yang berisi air bandung cincau lantas
meneguk rakus bagi menjatuhkan nasi yang terasa tersekat di kerongkongnya.
*****
IZZAH cuba memejamkan mata namun tak mahu lelap.
Dia mengiring ke kanan, terbayang mata cantik Harraz. Dia berkalih pula ke
kiri, terbayang lesung pipit milik lelaki itu. Akhirnya dia bangkit dari
pembaringan dan bersandar di kepala katil. Lampu tidur dimain- mainkan. Sekejap
buka, sekejap tutup. Sekejap buka lagi dan tutup lagi.
“Aku
betul-betul dah jatuh cinta kat dia ke? Tapi... tak ada pulak jantung
aku berdenyut laju macam dalam novel tu.” Izzah membaringkan semula badannya
sambil tangan diletak di bawah kepala. Dia merenung siling bilik seolah-olah
wajah Harraz berada di situ. “Tapi kan... mata dia cantik sangat! Mata betul ke
tipu eh?” Dahinya berkerut. “Isy, apa yang aku merepek ni? Dah sah-sahlah mata
betul. Kalau tak, takkan la dia pakai cermin mata!”
“Reen...
cakap dengan siapa tu? Tak tidur lagi ke? Dah pukul 12 ni.” Kedengaran suara
Izzati diikuti dengan ketukan pada pintu bilik.
Izzah
tersentak. “Reen tengah bercakap dalam telefon, bu. Kejap lagi Reen tidur...”
bohongnya.
“Jangan
tidur lewat sangat.”
“Baik,
ibu. Reen dah nak tidur ni.” Dia menarik selimut hingga ke paras dada. Lampu
tidur dimatikan. Matanya dipejam. Malam itu tidurnya bertemankan wajah Harraz.
*****
“CANTIKNYA,
Kak Maria,” puji Izzah ikhlas. Dia meliarkan matanya merenung hiasan di dalam
bilik pengantin itu.
Maria
yang sudah siap bersolek hanya tersenyum. “Kenapa tak datang masa akad nikah
hari tu?”
“Reen
busy sikitlah, kak. Sorry eh?” bohongnya. Dia mencapai tangan
Maria sambil membelek-belek inai yang terlukis cantik di tangan sepupunya itu.
Maria
tersenyum. Diperhatikan saja gelagat Izzah.
“Kak,
selalunya majlis perkahwinan kat KL ni guna katering, kan? Tapi kenapa Reen
tengok jiran-jiran akak yang memasak?”
“Mak
malas nak guna katering. Mak cakap nak wujudkan balik budaya Melayu yang dah
lama orang bandar tinggalkan. Kalau bergotong-royong dapat rapatkan lagi
hubungan kita dengan jiran tetangga.”
Izzah
mengangguk, bersetuju dengan penjelasan itu.
“Hah,
datang pun kamu, Reen! Mak long ingatkan tak datang tadi,” ujar Rohaya yang
baru muncul di bilik itu.
Izzah
bangkit menyalami Rohaya.
“Kamu
bila pulak nak kahwin, Reen?”
Dah
mula dah! “Reen muda lagilah, mak long. Belajar pun belum habis lagi,” jawab Izzah
sambil melabuhkan duduk di sebelah Maria kembali.
“Mak
long dulu umur 18 tahun dah kahwin tau. Ke kamu belum ada calon?” Rohaya
melabuhkan duduk di bangku meja solek.
“Itu
zaman dulu, mak long. Zaman sekarang orang perempuan suka kahwin lambat. Dah
kumpul duit banyak-banyak baru boleh kahwin.” Izzah meluahkan pendapatnya.
“Kalau
tak menjawab tak sah kamu ni kan? Kalau lambat sangat kahwin tu tak lakulah
gamaknya. Ya tak?” Rohaya bersuara sinis.
Grrr,
geramnya aku! Ni yang malas nak datang ni!
Maria
melekapkan tangannya di atas tangan Izzah, memberi kekuatan. Dia tahu Izzah
bengang dengan bicara emaknya. Dia sudah masak benar dengan perangai emaknya
yang suka membebel. Bukan dengan Izzah seorang saja yang dibebelkan tapi dengan
semua anak saudaranya yang dirasakan tak kena dengan matanya turut terkena
tempias bebelannya.
“Alah,
mak ni. Maria pun kahwin umur 27. Lambat jugak tu. Mak jangan risaulah
pasal Reen, ada jodoh kahwinlah Reen ni.” Maria menyebelahi Izzah.
“Kamu
lain, Maria. Masa tengah belajar lagi kamu dah ada boyfriend tapi Reen
ni jangan kata ada, bayang pun mak tak nampak. Apa lagi yang dicari? Kat universiti
tu kan banyak lelaki. Pilih jelah
yang mana suka.” Rohaya tetap mempertahankan kata-katanya.
Izzah
hanya menulikan telinga. Mak long ni ingat pilih lelaki macam pilih ikan kat
pasar borong ke? Izzah menjawab dalam hati. Kalau dijawabnya depan-depan alamat
bertambahlah kemarahan Rohaya.
“Mak,
ayah panggil. Tetamu dah nak sampai,” panggil Nazim di balik langsir bilik.
Rohaya
berlalu meninggalkan bilik itu.
“Sabar
ya, Reen? Mak memang macam tu,” pujuk Maria.
Izzah
hanya tersenyum.
*****
IZZAH mengangkat kepalanya yang terasa lenguh
kerana tunduk terlalu lama. Dia mengurut tengkuknya perlahan sambil meliarkan
mata ke sekitar perpustakaan. Matanya terpaku apabila melihat Harraz turut
berada di dalam perpustakaa itu.
Dia
menopang dagu sambil merenung Harraz. Jarak di antara meja yang didudukinya
dengan meja Harraz membolehkan dia melihat wajah Harraz dengan jelas. Dia
tersenyum sendirian melihat pelbagai mimik di wajah lelaki itu. Adakalanya
Harraz mengerutkan dahi, adakalanya dia memejamkan mata sambil mulutnya
terkumat-kamit dan adakala cermin matanya hampir melurut jatuh dari batang
hidung ditarik semula ke atas.
“Hoi!
Apa yang kau senyum sorang-sorang ni?” bisik Syamira ke telinga Izzah sambil
menyiku sedikit rusuk gadis itu.
Izzah
tersentak. “Tu...” Dia memuncungkan mulutnya menunjuk ke arah Harraz yang sudah
berubah dari duduk menegak bertukar menongkat dagu.
Syamira
menepuk dahi. “Kawan aku yang sorang nilah... betul-betul angau!” Dia
menyambung kembali bacaannya, membiarkan Izzah yang masih lagi merenung Harraz.
Harraz
terasa seperti ada mata yang memerhatikannya. Dia mengangkat muka dan meliarkan
pandangan ke sekeliling perpustakaan. Terbeliak matanya apabila melihat Izzah
sedang merenungnya sambil melambaikan tangan. Wajahnya sudah berubah merah
apabila mengingati kejadian yang memalukan itu. Dia menegakkan buku yang
dibacanya, mukanya disorokkan di sebalik buku itu. Perlahan-lahan kepalanya
diangkat sedikit dari buku untuk mengintai Izzah. Dan dia kembali menunduk
apabila Izzah masih lagi merenungnya.
“Kenapa perempuan tu pandang aku? Ada apa-apa
yang tak kena dengan muka aku ke?” Dia meraba wajahnya. Jarinya terhenti pada
satu benjolan sederhana besar yang terletak betul-betul di atas dahinya.
“Alamak! Dia pandang jerawat aku ke? Hesy, tak boleh jadi ni! Balik nanti aku
kena beli Oxy!” Dia cuba menumpukan perhatian pada bacaan.
“Izzah,
jom pergi kafe, dia orang dah tunggu kita kat sana.” Syamira memegang bahu
Izzah. Sebelah tangan lagi menyimpan telefon pintar di poket jean.
Izzah
mula mengemas buku-bukunya lantas bangkit meninggalkan perpustakaan. Apabila
hampir sampai ke pintu keluar dia berpaling ke belakang. Dia lihat Harraz
seperti tercari-cari seseorang. Apabila mata mereka bertembung Izzah
menggerakkan bibirnya dan berkata ‘see you!’ Kemudian dia melambaikan
tangannya tanpa menghiraukan pandangan pelik pelajar lain. Dia berpusing
kembali untuk mengejar Syamira yang sudah ke depan.
Wajah
Harraz kembali bertukar merah apabila semua mata memandang ke arahnya. Dia mula
mengemas semua buku untuk beredar dari situ.
*****
“KAK,
mee goreng basah satu!” Izzah memesan makanan di kafe. Sambil menanti mee
goreng basahnya siap, dia bermain-main dengan jarinya.
“Hai,
Izzah. Aku dengar kau dah popular sekarang.” Nazrul, si buaya darat menegurnya.
Izzah
menoleh ke kanan. “Apa maksud kau ni?” Dahinya dikerutkan. Tak senang dengan
kehadiran Nazrul.
“Kau
tak tahu ke yang kau dah dapat gelaran baru kat kampus ni? PERIGI CARI TIMBA!” Nazrul menekankan ayat perigi cari timba. Dia tersenyum sinis.
“Peduli
apa aku!” Dia membuang pandang ke kiri. Malas mahu melihat wajah Nazrul yang
seperti mengejeknya.
“Itulah...
dulu aku nak kat kau, kau jual mahal sangat. Sekarang baru nak terhegeh-hegeh
cari lelaki. Kalau lelaki yang elok sikit tak apalah jugak. Ini half-half
yang kau pilih. Hahaha...” Nazrul ketawa besar.
Izzah
menyambut dulang yang berisi mee goreng basah dan menjeling tajam ke wajah Nazrul Langkah diatur mendapatkan kawan-kawannya.
“Izzah,
kalau kau sudi, aku sanggup jadi timba kau!”
Izzah
menjelirkan lidahnya tanda dia menyampah mendengar kata-kata yang keluar dari
mulut Nazrul.
“Apa
hal tu?” tanya Idham yang sedari tadi memerhatikan Izzah dengan Nazrul.
“Dia
gelakkan aku pasal kes minggu lepas tulah.” Izzah mula menyudu mee gorengnya.
“Kau
betul-betul serius ke sukakan Harraz, Izzah?” Idham menyisip air tembikainya.
“Yup.
Kenapa, kau tak percaya ke?” Izzah menarik tisu di dalam poket jean lalu
menarik sehelai. Tepi bibirnya yang terkena kuah mee dilap sedikit.
“Bukan
tak percaya tapi aku takut kau tak serius sukakan dia. Manalah tahu bila jumpa
lelaki lain kau tinggalkan dia.” Idham menjelaskan keraguannya.
Izzah menyisip air teh O ais limaunya. Tenang
dia memandang wajah Idham.
“Dulu
dia pernah couple dengan sorang budak junior. Dia cinta gila-gila
kat perempuan tu. Cinta pertamalah katakan.” Idham bercerita.
Izzah,
Syamira, Nadhia dan Fadhli mendengar tanpa menyampuk.
“Lepas
dua bulan, dia orang putus...” Idham senyap seketika.
“Kenapa?”
Fadhli mengerutkan dahi.
“Dia
tangkap perempuan tu tengah dating dengan lelaki lain. Masa tu jugaklah perempuan tu minta putus dan
bagitahu yang dia sebenarnya bukan sukakan Harraz pun tapi dia dicabar oleh
kawan-kawan dia. Kalau dia berjaya, dapatlah duit. Kalau gagal, dialah yang
kena bagi duit kat kawan-kawan dia. Lepas tu, depan orang ramai dia hina
Harraz. Kau orang nak tahu apa perempuan tu kata?”
Keempat-empat
mereka mengangguk serentak.
“Lelaki
lembut macam kau ni tak layak nak bercinta dengan akulah! Cerminlah diri tu
sikit. Dengan cara pemakaian kau, dengan cara jalan kau lagi, boleh memalukan
aku tahu tak?” Idham mengajuk cara percakapan bekas kekasih Harraz.
Izzah
sudah mengepal penumbuk. Dia tak boleh mendengar ada orang mencaci Harraz.
“Mana
kau tahu pasal cerita ni?” tanya Nadhia.
“Kawan
aku yang cerita. Masa tu dia
ada kat restoran tu. Kesian Harraz. Baru nak belajar bercinta, kena mainkan pulak.”
Idham mengeluh.
“Id,
kau suruh kawan kau tunjuk sikit minah tu kat aku. Biar aku pelakangkung
kepala dia. Suka-suka hati je
menghina orang. Apa, dia tu sempurna sangat ke?!” Nafas Izzah turun-naik
menahan marah.
“Tak
ada gunanya kau nak pelangkung kepala dia, Izzah. Dia dah pindah pun,” ujar
Idham. “Okey, berbalik pada soalan aku tadi. Kau jawab soalan aku betul-betul.
Kau ikhlas ke sukakan dia?”
“Aku
tak main-main. Aku betul-betul serius sukakan dia. Kau orang pun tahu
aku ni jenis yang susah nak jatuh cinta, kan? Kau orang percayakan aku tak?”
Izzah memandang wajah satu per satu kawannya.
“Kita
orang percaya. Apa yang kau nak buat lepas ni, Izzah?” tanya Fadhli.
“Dia
orang gelarkan aku perigi cari timba, kan?”
Idham,
Fadhli, Nadhia dan Syamira mengangguk serentak.
“Mulai
hari ni, aku akan tunjukkan yang aku ni betul-betul perigi cari timba!” Izzah
tersenyum penuh makna. Di kepalanya sudah berlegar-legar apa yang ingin dia
buat.
“Kau
tak malu ke kalau ada orang kutuk kau?” soal Syamira ragu-ragu.
“Peduli
apa aku? butakan mata, tulikan telinga je.
Habis cerita. Kau orang sokong aku tak?”
Keempat-empat
mereka mengangguk kepala.
*****
IZZAH masuk ke perpustakaan. Dia meliarkan mata
mencari kelibat Harraz. Menurut Idham, dia ternampak Harraz menuju ke
perpustakaan. Izzah tersenyum apabila sudah terjumpa apa yang dicari. Dia
melangkah pantas ke bahagian rak buku. “Hai, Mr. cute...” Izzah menegur
Harraz yang sedang memilih buku.
Harraz
berpaling. Wajahnya berubah terkejut. “Apa yang awak buat kat sini?”
“Cari
awaklah...” Izzah tersengih. Jari jemarinya bermain-main dengan buku-buku yang
terletak elok di atas rak.
Harraz
kembali mencari buku di rak, tak mempedulikan Izzah di belakangnya. Jantungnya
tiba-tiba berdegup laju.
“Awak... kita couple nak tak?” Tanpa segan silu
Izzah bertanya. Tangannya sudah menarik sebuah buku, diselak-selaknya laju
tanpa memandang Harraz.
Terjatuh
buku yang dipegang Harraz. Dia menunduk mengutip buku itu, kemudian diletakkan
semula di rak. Dia berpaling ke belakang merenung tajam ke wajah Izzah.
“Nak
tak?” tanya Izzah lagi bersungguh-sungguh. Matanya dikejip-kejipkan beberapa
kali.
“Are
you nuts? Awak ni rabun ke? Takpun buta?!” Dia bersuara keras tapi
perlahan. Matanya dijegilkan.
“Saya
tak gila dan saya tak rabun malah tak buta. Saya serius ni. Awak nak tak?”
Izzah meletakkan semula buku yang diambilnya tadi.
Harraz
mendengus kuat. Dia berlalu meninggalkan Izzah yang setia menanti jawapan.
Izzah
bercekak pinggang. “Tak apa, banyak lagi masa!” Dia tersenyum sendirian. Dia
suka melihat wajah marah Harraz. Nampak bertambah comel!
*****
USAI makan malam, Harraz melangkah ke gazebo. Dia
duduk di situ sambil merenung tasik buatan. Bunyi air yang mencurah di dalam
tasik buatan mendamaikan suasana malam. Kejadian petang tadi mula
berlegar-legar di mindanya.
Harraz sedang melayari internet di
kafe untuk mencari maklumat berkenaan tugasannya. Sedang dia leka, Nazrul tiba-tiba duduk di depannya.
“Woi,
sotong! Aku nak bagi warning kat kau. Jangan sesekali rapat dengan
Izzah. Kalau kau degil, kau tahulah apa akibatnya nanti!” ugut Nazrul sambil
meletup-letupkan jari-jemarinya. Nak tunjuk samsenglah tu.
“Apa
yang kau merepek ni, Rul?” Harraz mengerutkan dahi. “Siapa Izzah? Bila masa pulak
aku rapat dengan mana-mana perempuan?”
“Kau
jangan nak pura-pura tak tahulah sotong! Kau ingat aku tak tahu Izzah selalu
terkejar-kejarkan kau? Apa ilmu yang kau pakai hah sampai Izzah jadi macam tu?
Tergila-gila sangat kat kau. Nak kata kau handsome, handsome lagi aku!
Hei, cerminlah diri kau tu dulu, sotong!” cemuh Nazrul. Tangannya ditumbuk pada
meja.
Ooo...
nama perempuan tu Izzah... Harraz membetulkan cermin mata yang hampir melorot
jatuh. Wajahnya tenang. “Aku dah lama cermin diri aku. Aku sedar lelaki lembut
macam aku ni tak layak untuk bercinta.”
“Hah,
sedar pun kau! Ingat eh? Aku nampak kau layan Izzah, siap kau aku kerjakan!” Nazrul mengambil air Harraz lantas meneguknya hingga habis. Dia tersenyum sinis
sebelum berlalu meninggalkan Harraz yang sudah kecut perut.
“Angah menungkan apa tu?”
Berterabur
semua kejadian petang tadi. “Bila masa Iqy ada kat sini?” Harraz menyoal Iqbal,
adiknya yang duduk di depannya.
“Dah
10 minit Iqy kat sini. Apa yang angah menungkan tadi? Sharelah dengan Iqy. Sharing is caring,
right?” Iqbal cuba memancing bicara Harraz.
“Ada
sorang perempuan kat kampus minat kat angah.”
“So?”
Dari bersandar, Iqbal sudah menukar posisi duduknya ke depan. Kedua-dua belah
tangan diletakkan di atas meja.
“Dia
ajak angah couple tapi angah tak layan dia.” Harraz mengeluh perlahan.
Di ruang matanya terbayang wajah ceria Izzah yang cuba mengayatnya.
Mata
Iqbal sudah terbuntang. “Kenapa angah tak layan?”
“Angah
takut dia hanya nak mempermainkan angah macam Sally tu. Lagipun mana ada
perempuan yang suka dengan lelaki lembut macam angah ni.” Harraz menjelaskan.
“Angah
ni terlampau merendah dirilah. Kat luar tu ada je lelaki lembut yang berkahwin. Angah kena yakin dengan diri
sendiri.” Iqbal memberi semangat.
“Iqy
bolehlah cakap macam tu sebab bukan Iqy yang lembut tapi angah! Iqy tak tahu
macam mana hancurnya perasaan angah bila Salina bagitahu yang dia hanya
menyahut cabaran kawan dia je. Sakit
hati angah ni, Iqy. Sakit sangat!” Wajah Harraz bertukar sedih.
Iqbal
sudah kehilangan kata-kata.
“Dan sejak dari itulah angah tutup pintu hati
angah ni untuk mana-mana perempuan,” ujar Harraz lagi. “Hahaha...” Tiba-tiba Harraz ketawa sambil menggelengkan kepala.
“Kenapa
angah ketawa?” Iqbal pelik. “Tadi bukan main sedih, sekarang ketawa pulak?”
Dia menggaru kepala yang tak gatal.
“Lawak
je kan angah ni? Nak tutup pintu hati
gaya macam ada je perempuan nak kat
angah. Padahal dah pernah kena tipu. Hahaha...”
Harraz gelak lagi sambil menggosok wajahnya.
“Apa
pulak tak ada orang nak kat angah? Budak perempuan tu kan suka kat
angah? Siap ajak couple lagi.”
Senyuman
Harraz mati. “Yang itu pun angah rasa dia nak mempermainkan angah jugak.” Suaranya mengendur.
“Kenapa
pulak?” Iqbal bertambah pelik dengan angahnya.
“Yalah,
baru je jumpa tiba-tiba minta couple.
Buang tebiat namanya tu.”
“Alah,
manalah tahu yang angah ni cinta pandang pertama dia ke? Kat dalam dunia ni
memang wujud, kan cinta pandang pertama? Sekali pandang terus jatuh cinta.”
Iqbal yakin perempuan itu ikhlas mencintai angahnya.
Harraz
kematian kata-kata. “Angah masuk dalam dululah.” Harraz bangkit lalu melangkah
ke dalam rumah.
*****
IZZAH mengeluarkan pengetip kuku di dalam beg
sandang. Pisau pengetip kuku ditarik dan dibawa ke batang pokok tempat dia
disuruh meluahkan cinta itu. Dia mula mengukir sesuatu pada batang pokok itu.
Hampir 15 minit dia berkerja keras mengukir namanya dan nama Harraz. Pandangan
orang yang lalu lalang tak dihiraukan. Dia leka dengan dunianya sendiri. Dia
tersenyum melihat hasilnya. Jemarinya menyentuh lembut ukiran nama itu.
“Awak
buat apa tu?”
Izzah
tersentak. Dia berpaling dan tersenyum memandang Harraz yang memanjangkan leher
untuk melihat apa yang Izzah buat pada batang pokok itu. “Datang pun awak. Saya
ingatkan awak tak datang.” Izzah menyimpan pengetip kuku ke dalam beg galas
kembali.
“Sini
kan tempat favourite saya. Kalau
awak nak duduk sini saya cari tempat lain jelah.”
Harraz mula melangkah.
“Raz, tunggu!” panggil Izzah.
Harraz
berpaling ke belakang. Pelik dia mendengar nama yang disebut Izzah. Belum
pernah namanya dipanggil begitu.
“Cuba
awak tengok apa yang saya ukir kat batang pokok ni,” pinta Izzah. Dia menggamit
Harraz mendekatinya.
Harraz
mula mendekatkan diri menghampiri pokok itu. “Reen dan Raz?” Dia memandang
Izzah meminta penjelasan.
“Yup!
Reen tu saya, Izzah Qhaireena dan Raz tu awaklah. Harraz Fayyadh!” jawab Izzah
selamba. Dia mengukir senyuman manis. “Cantikkan gabungan nama kita?”
“Kenapa
awak buat macam tu?” Harraz menyoal. Padanya perbuatan Izzah merupakan
perbuatan yang sia-sia. Membazir masa dan tenaga. Yang penting hatinya langsung
tak terbuka untuk menerima Izzah walaupun jantungnya berdegup kencang setiap
kali berdepan dengan gadis itu. Dia serik dipermainkan! Tambahan pula dia masih
ingat amaran Aiman.
“Pokok
ni jadi saksi saya pernah lafazkan cinta pada awak dan bila saya pandang pokok
ni saya teringat kejadian tu. Awak nak couple dengan saya tak?” Izzah
masih mencuba sekali lagi. Dia tak akan berputus asa.
“Saya
nak couple dengan awak?” Jarinya
ditunjuk pada dirinya dan Izzah. “Heh, memang taklah!” Harraz tersenyum sinis
dan beredar dari situ.
“Habis
tu kenapa awak terima bunga saya dulu?” Izzah tak puas hati. Dia sudah bercekak
pinggang.
Langkah
Harraz terhenti dan berpaling. “Saya dah buang pun bunga tu,” jawabnya latas
meneruskan langkah.
“Harraz,
saya ikhlas sukakan awak. Saya takkan putus asa!” jerit Izzah.
Harraz
berlari laju meninggalkan pekarangan taman. Telinganya ditekup tak mahu
mendengar kata-kata Izzah. Baginya Izzah sama seperti Salina.
*****
“IBU...”
Izzah melangkah masuk ke dalam salon milik ibunya. Dia melabuhkan punggung di
depan Izzati.
“Reen...
tadi kata tak nak ikut ibu pergi salon. Apa mimpi Reen datang sini?” Izzati
yang sedang mengira di kalkulator terkejut melihat kedatangan anak tunggalnya
pada petang itu.
“Bosanlah duduk rumah sorang-sorang.
Ayah pulak belum balik lagi dari main golf,” rungutnya Izzah. Dia
meletakkan dagunya di atas meja. Jarinya mengetuk-ngetuk meja.
“Kalau
bosan, tolong ibu cucikan
rambut customer,” cadang Izzati.
“Yang
mana satu, bu?” Izzah menegakkan badannya. Matanya meliar memandang
pelanggan-pelanggan di dalam salon itu.
“Yang
baju hitam tu.” Izzati menuding ibu jarinya ke arah seorang gadis Cina yang
sedang leka membaca majalah.
“Okey,
bos!” Izzah bangun dan melangkah ke arah gadis Cina yang ditunjukkan ibunya
tadi.
Izzati
menyambung kerjanya semula.
“Hello,
miss. Nak cuci rambut ke?” tanya Izzah sambil tersenyum manis.
Gadis
Cina itu mengangkat muka memandang Izzah dari dalam cermin. Dia mengangguk dan
membalas senyuman.
Izzah
mencapai sarung tangan getah lalu menyarung ke tangannya. Kain bersih diambil
dan dibalut ke badan pelanggan untuk mengelakkan pakaian pelanggan kotor.
Kemudian dia memicit syampu ke tangan dan dibawa ke atas rambut gadis Cina itu.
Dia mula mengurut perlahan rambut gadis Cina itu. Kepala dan tengkuk turut
diurut untuk melancarkan pengaliran darah.
Setelah
15 minit bersyampu, dia membuka kain yang dilapik tadi dan membawa gadis Cina
itu ke tempat untuk membilas rambut. Paip air dipusing. Dia menunggu air itu
sedikit suam barulah dia membilas rambut gadis itu. Setelah selesai membilas,
dia mencapai tuala kecil lantas mengelap rambut yang basah itu. Kemudian dia
meminta gadis itu duduk semula di tempat yang ditinggalkan tadi.
Izzah membuka sarung tangannya lantas
mencapai tuala kecil untuk mengelap tangannya sehingga kering. Suis pengering
rambut dihidupkan lantas mengeringkan rambut gadis Cina itu. Setelah selesai,
gadis Cina itu bangun dan melangkah ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Izzah
mula mendapatkan Ibunya kembali. Dia mengambil tempat di depan ibunya. “Ibu,
salah ke kalau perigi cari timba?” Dia menongkat dagu memandang ibunya.
Izzati
menghentikan kerjanya. Wajah anak tunggalnya direnung lembut. “Tak salah pun,
sayang... zaman Rasulullah dulu pun Saidatina Khadijah yang melamar Rasulullah.
Kenapa ni? Reen ada suka kat seseorang ke?” tanyanya perihatin.
“Reen
ada suka kat sorang lelaki ni tapi dia tolak Reen...” Izzah menceritakan
kembali peristiwa dia melafazkan cinta sehinggalah ke peristiwa Harraz menolak
cintanya.
Izzati
terkejut mendengar cerita Izzah. “Ibu rasa dia takut pisang berbuah dua kali.
Yalah, dengan keadaan diri dia yang macam tu mesti dia tak yakin. Reen cubalah
yakinkan dia ya? Jangan putus asa. Suatu hari nanti mesti dia dapat lihat
keikhlasan hati Reen,” nasihatnya. Dia tak kisah siapa pun pilihan anaknya yang
penting anaknya itu bahagia. Baginya pasti ada keistimewaan pada budak lelaki
itu sehingga Izzah boleh tersangkut.
*****
IZZAH melangkah keluar dari surau dan berjalan ke
rak kasut. Dari jauh dia terlihat kelibat Harraz yang turut keluar dari surau.
Dia tersenyum sendirian. Cepat-cepat dia menyarungkan kasut dan berjalan laju
untuk menyaingi langkah Harraz.
“Raz!”
jerit Izzah apabila sudah menjauh dari kawasan surau.
Harraz
berhenti. Selama ini belum pernah ada orang yang memanggilnya Raz kecuali...
dia berpaling. Tepat sekali sangkaannya.
Izzah
tercungap-cungap sebaik saja sampai di depan Harraz. “Awak buat apa kat surau?”
Sengaja dia menyoal begitu. Kalau sudah keluar dari surau apa lagi kalau bukan
sembahyang?
“Sembahyanglah.
Kenapa? Lelaki lembut macam saya ni tak boleh sembahyang ke?” Harraz menjawab
sinis. Buku di tangannya dibawa ke dada dan dikepit.
Adess, sensitiflah pulak! Izzah
tersenyum malu. “Jom temankan saya makan kat kafe? Saya laparlah.” Izzah buat
muka comel.
“Tak
naklah. Saya nak balik. Nak siapkan assignment,” tolak Harraz. Dia mula
berpusing untuk melangkah.
Izzah
merentap buku dipegangan Harraz dan menyembunyikan di belakang badannya. Dia
menjauhkan diri sedikit dari Harraz.
“Hei,
buku saya!” Harraz cuba merampas kembali bukunya namun Izzah sudah berlari ke
depan.
Izzah
berpaling. “Temankan saya makan dulu baru saya pulangkan.” Dia melangkah
meninggalkan Harraz. Dia yakin lelaki itu akan mengejarnya.
“Saya
nak balik!” Harraz mengetap gigi menahan geram.
“Awak
nak buku ni tak?” Izzah berpusing sambil menayang-nayang buku di tangannya.
Senyuman mengejek terukir di wajahnya.
“Nak...”
Dia menghulurkan tangannya. Perlahan-lahan dia menghampiri Izzah.
“Temankan
saya makan dulu!” Izzah mengatur langkah menuju ke kafe.
“Eee!!!”
Harraz kegeraman. Kedua-dua belah tangannya sudah digenggam kuat. Akhirnya
langkah diatur juga ke kafe mengikut Izzah. “Okey, saya dah temankan awak. Sekarang pulangkan balik buku saya.”
Dia menghulurkan tangannya.
Izzah
menggeleng. “Awak tak order pun makanan awak. Pergi order dulu!”
arah Izzah. Dia menopang dagu merenung Harraz yang merah padam menahan geram.
Nasi goreng kampungnya diletakkan ditengah dulu menunggu Harraz memesan
makanan.
“Saya
dah kenyang. Cepatlah, saya nak balik ni.” Harraz mengerutkan wajahnya.
Sesekali matanya mengerling ke sekeliling kafe.
“Order
first!” paksa Izzah. Pinggannya di tarik dekat dengannya. Sudu dan garfu
diangkat menggaul nasi goreng kampung di pinggan.
“Awak
ni kan... eee!!! kecik besar,
kecik besar je tau saya tengok!” Harraz geram. Dia terasa seperti
mahu mencekik leher Izzah. Dia bangkit untuk memesan makanan.
Izzah
hanya menayang gigi.
“Saya
dah order. Bagi balik buku saya,” pinta Harraz sebaik saja dia sampai di
meja dengan sepinggan mee goreng dan air bandung. Dia menghulurkan tangan
meminta bukunya.
“Makanlah
dulu, tak baik membazir tau!” arah Izzah lantas menyuap nasi goreng kampung ke
mulutnya. Perlahan-lahan dia mengunyah.
Harraz
mengetap gigi. Dia mula menyudu mee goreng laju.
“Makanlah
slow-slow. Nanti tercekik saya jugak
yang susah.” Suapan Izzah terhenti apabila melihat gaya makan Harraz.
Nampak sangat tak sabar nak balik.
Harraz
tak mempedulikan kata-kata Izzah. Bagi dia, cepat dia habiskan mee, cepat dia
dapat balik. Selesai menghabiskan mee, dia meneguk pula air bandung sehingga habis.
“Saya dah habis makan. Bagi balik buku saya.” Tangan dihulurkan lagi.
“Tunggulah
saya habis makan dulu.” Izzah meneruskan suapannya.
Harraz
mendengus. Dia menongkat dagu menunggu sehingga Izzah menghabiskan makanan.
Lama dia merenung gelagat Izzah yang sengaja mengunyah lambat. Dia seakan-akan
terpukau melihat gadis di depannya. Tak berkelip dia memandang gadis itu.
“Uhuk!
Uhuk!” Izzah tersedak.
Renungan Harraz terhenti. Dia pantas
menghulurkan air pada Izzah.
“Terima kasih.” Izzah menyisip airnya. “Risau jugak awak kat saya eh?” ujarnya
setelah nasi yang tersekat di tekak sudah jatuh. Dia tersedak pun sebab
terkejut tengok Harraz pandang muka dia semacam. Meremang jugak bulu roma dia melihat pandangan yang dia tak pernah lihat
sebelum ni. Pandangan itu bukan nampak macam Harraz marahkan dia tapi... nampak
macam... romantik! Yup, cara lelaki
itu memandangnya nampak romantik. Harraz dah jatuh cinta kat aku ke? Homai... boleh jatuh berkali-kali
jantung aku kalau hari-hari dia tenung muka aku macam tu!
“Kalau orang lain tersedak pun saya akan
tolong jugak.” Serius nada suara
Harraz.
Mati terus senyuman Izzah. Potong mood betul!
Setelah Izzah selesai makan, Harraz
menghulurkan lagi tangannya.
Izzah merenung lama wajah comel Harraz dan
mengeluh perlahan. Tangannya diselukkan ke dalam beg sandang. Buku Harraz
dikeluarkan dan meletakkannya di telapak tangan lelaki itu.
Tanpa
membuang masa, Harraz terus bangun dan berjalan laju meninggalkan Izzah yang
sedang tersenyum.
“Thanks,
Raz. Lain kali temankan saya makan lagi eh?” jerit Izzah.
Harraz
memalingkan wajah dan menjeling tajam pada Izzah. Jangan harap! Ini yang
pertama dan terakhir! gumamnya dalam hati.
*****
SYAMIRA berlari laju menuju ke perpustakaan.
Sesampai di perpustakaan, dia meliarkan matanya mencari Izzah. Dia melangkah
pantas ke tempat yang diduduki Izzah. Wajahnya kelihatan cemas.
“Izzah,
kau kena ikut aku sekarang jugak!” Syamira berbisik di telinga Izzah
sambil menarik tangan gadis itu.
Izzah
yang terkejut dengan perlakuan Syamira terus menyambar begnya. “Kita nak pergi
mana ni, Mira? Kenapa kau kelam-kabut sangat ni?” tanyanya apabila mereka sudah
keluar dari perpustakaan.
“Kau
kena cepat! Nazrul belasah Harraz kat luar kampus!”
Izzah
terkejut lantas mempercepatkan langkahnya. Wajahnya berubah merah apabila melihat muka Harraz lebam dibelasah Nazrul. Dia meluru mendapatkan Harraz yang lemah di dalam pegangan Idham.
Kemudian dia berpaling memandang Nazrul yang berada dipegangan Fadhli. Dia
merenung tajam ke wajah Nazrul. Perlahan-lahan dia mendekati Nazrul. “Kenapa kau
pukul dia?!” marahnya.
“Itulah
akibatnya bila dia tak dengar cakap aku. Lepaskan akulah, Li!” Nazrul meronta
minta dilepaskan.
“Apa
yang kau suruh dia buat?” tanya Izzah lagi.
“Aku
suruh dia jangan rapat dengan kau tapi dia ni degil! Dia keluar makan jugak
dengan kau semalam!” Nazrul merenung tajam ke wajah Harraz yang takut-takut.
“Kau
tak ada hak nak suruh dia jangan rapat dengan aku dan kau tak ada hak nak pukul
dia!” Meninggi suara Izzah.
“Kenapa
kau nak mempertahankan dia sangat hah, Izzah?!” Nazrul turut meninggikan
suaranya.
“Sebab
aku cintakan dia!”
Harraz
tergamam.
Pelajar-pelajar lain ada yang berbisik.
“Apa
yang ada pada budak sotong tu sampai kau tergila-gilakan sangat kat dia? Cuba
kau tengok aku. Rupa ada, kalau kau nak kata dia kaya, aku pun kaya jugak! Aku
lelaki sejati, bukan macam dia. Lembik! Memang padanlah dengan gelaran sotong
tu.”Nazrul tersenyum sinis pada Harraz.
Izzah
mengetap gigi. “Kau ingat dia suka ke jadi lembut? Kau ingat dia tak sedih ke
kena caci? Cuba kau bayangkan kau berada di tempat dia. Mesti kau rasa apa yang dia rasa, kan?” Dia berjeda
menarik nafas. “Untuk pengetahuan kau, aku suka dia bukan sebab dia kaya tapi
sebab hati dia! Walaupun dia lembut, dia tetap taat pada Tuhan. Walaupun dia
anak orang kaya, dia tak pernah pun menunjuk-nunjuk kemewahan yang dia ada. Dia
bukan macam kau yang kaki disko, kaki enjoy! Cuba kau muhasabah diri.
Adakah kau dah cukup baik? Dalam sehari cukup ke kau sembahyang? Ubahlah
perangai kau tu sikit. Jadilah anak yang baik dan hamba yang taat. Kalau mama
dan papa kau tahu perangai sebenar kau, mesti mereka kecewa. Kau jangan riak
dengan kemewahan yang kau miliki sebab bila-bila masa je Allah boleh tarik balik semuanya.” Izzah menarik nafas lagi
sesudah menghamburkan rasa hatinya.
Nazrul menunduk mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Izzah. Dia malu dengan
gadis itu.
“Sudahlah,
aku tak nak perkara ni berlaku lagi. Bersurai semua!” Izzah melangkah
mendapatkan Harraz. “Jom kita bawak dia pergi klinik.” Dia mendahului
kawan-kawannya menuju ke kereta.
Idham
memapah Harraz menuju ke kereta Izzah.
Fadhli pula sudah melepaskan pegangan pada Nazrul dan berlari mendapatkan Izzah.
“Harraz!”
panggil Nazrul ketika Idham mahu memasukkan Harraz ke dalam kereta.
Izzah,
Harraz, Idham, Nadhia, Syamira dan Fadhli berpaling ke belakang.
Nazrul menghampiri Harraz. Dia merenung tajam
ke wajah Harraz. Lama. Tiba-tiba dia menghulurkan tangan kanan sambil tersenyum
ikhlas.
Teragak-agak Harraz menyambut huluran tangan Nazrul.
“Aku
minta maaf. Kau bertuah memiliki cinta Izzah. Terimalah dia. Dia ikhlas
cintakan kau.” Nazrul memandang wajah Izzah pula. “Izzah, aku akan mengundur
diri. Aku takkan kacau kau lagi.” Usai berkata-kata, Nazrul melangkah
meninggalkan pekarangan kampus.
*****
“SEBAB
aku cintakan dia!”
Kata-kata
Izzah asyik terngiang-ngiang di telinga Harraz. Dia tersentuh dengan pengakuan
itu. Kepalanya terbayang kembali gelagat Izzah yang cuba mendekatinya. Dia
tersenyum seorang diri. Telefon pintarnya berbunyi. Dia mencapai telefon pintar
yang diletakkan di meja lampu. Tanpa melihat nama pemanggil dia terus menyentuh
ikon hijau.
“Helo...”
Harraz bersuara.
“Helo,
angah... kak long ni. Petang ni ambil kak long kat rumah eh? Temankan kak long shopping
barang baby.” Julia, kakak sulung Harraz bersuara di hujung talian.
“Abang
long mana?” tanya Harraz pelik.
“Angah
tak tahu ke abang long dengan papa pergi seminar?”
“Lupa
pulak.” Harraz mengetuk dahinya.
“Malam
ni kak long tidur rumah mama. Temankan kak long eh?” pinta Julia.
“Okey.
I'll pick you up around 3 pm.” Usai mematikan talian, Harraz bangkit
dari pembaringan lalu melangkah ke bilik mandi.
*****
“AMBOI,
semua warna pink! Dah tahu ke jantina baby?” Harraz
membelek-belek pakaian bayi di dalam bakul yang dipegang kakaknya.
“Sebab
dah tahulah kak long ambil. Jom kita pergi kat bahagian botol susu.” Julia
mengepit lengan Harraz. Ketika dia sedang membelek botol susu, Harraz
mendekatkan telinganya pada perut Julia yang sudah membulat. Terkejut Julia
dibuatnya. “Isy, budak ni! Kat sini jugak dia nak buat perangai.
Bangunlah, orang pandang tu.” Dia menolak sedikit bahu Harraz.
“Kejaplah,
kak long. Angah nak dengar bunyi baby ni.” Harraz mengusap perut Julia
yang sudah memboyot ke depan. Kemudian dia mengangkat kepalanya.
“Jom
pergi bayar? Bawak bakul ni.” Julia menyerahkan bakul yang dipenuhi
dengan barangan bayi kepada Harraz, kemudian dia mengepit lengan Harraz
kembali. Perutnya yang sudah membesar itu menyukarkan pergerakkannya.
*****
SUDAH hampir seminggu Harraz tak berjumpa dengan
Izzah. Dia sendiri berasa pelik. Selalunya Izzah pasti akan tercari-cari dia.
Tak kira dia ada di perpustakaan, di bawah pokok atau di kafe mesti gadis itu
akan terpacak di depannya. Dalam diam dia mula merindui gelagat Izzah yang suka
memaksanya. Hatinya pula sudah jatuh suka pada gadis itu semenjak gadis itu
membuat pengakuan di depan Aiman.
Harraz
bangkit dari duduk. Belakang seluarnya dikibas-kibas. Dia merenung ukiran nama
pada batang pokok. Perlahan-lahan dia mengusap ukiran nama itu. Kemudian dia
menyeluk poket seluar jean lantas mengeluarkan telefon pintar. Dan dia menangkap
gambar ukiran nama itu untuk disimpan sebagai kenangan. Selesai menangkap, dia
menjadikan gambar itu sebagai wallpaper
di telefon pintar.
“Id,” panggil Harraz ketika Idham dan Syamira
lalu di depannya.
“Ya?”
Idham dan Syamira menghentikan langkah.
“Kau
nampak Reen tak?”
“Aku
nampak Izzah kat library tadi,” beritahu Idham
“Thanks.”
Harraz mencapai begnya lantas meninggalkan kawasan taman.
“Kenapa
tiba-tiba je dia cari Izzah?” tanya
Syamira pelik.
“Entah...”
Idham menjungkitkan bahu. “Mungkin dia dah bersedia nak bukak pintu hati
dia kot?”
“Kalau
betullah apa yang awak agak tu, baguslah. Tak adalah kawan kita yang sorang tu
muram lagi.” Syamira dan Idham melabuhkan duduk di bangku.
“Izzah
muram? Kenapa?” Idham tak jadi mahu mengeluarkan buku dari beg sandang.
“Entahlah.
Bila saya tanya dia tak nak cakap. Dia cuma cakap yang dia takkan kacau Harraz
lagi. Muka dia pun saya tengok macam nak menangis je bila sebut nama Harraz,” terang Syamira.
“Mungkin
dia dah tak kuat kot nak kejar Harraz lagi. Yalah, setiap kali dia cuba rapat
dengan Harraz, Harraz mengelak. Mesti dia dah mula rasa malu sebab dia sorang je yang syok sendiri.” Idham pula
membuat andaian.
“Tapi
sekarang dia dah tak payah nak muram-muram lagi sebab Harraz dah boleh terima
cinta dia, kan?” Syamira menongkat dagu. “Mesti sweet, kan kalau dia
orang couple? Harraz cute, Izzah pulak cantik. Bagai
pinang dibelah dua. Sama cantik, sama padan.” Syamira memejamkan mata
membayangkan Harraz dan Izzah bersanding di atas pelamin.
“Sudah-sudahlah
tu berangan!” potong Idham. Dia menilik jam di pergelangan tangan. “Mana Li
dengan Dhia ni? Dia orang ni pergi makan ke buat makanan?” sungut Idham.
“Sabarlah.
Sekejap lagi sampailah tu,” pujuk Syamira.
*****
SAMPAI saja di perpustakaan, Harraz mengambil tempat
yang agak jauh dari orang ramai. Dia meliarkan mata mencari kelibat Izzah. Dia
mengeluh hampa apabila tak menjumpai gadis itu. Buku dikeluarkan darii dalam
beg lantas membacanya dengan perasaan yang bercelaru.
Dari
sudut rak buku, Izzah memerhatikan Harraz. Ketika ingin keluar dari perpustakaan
tadi dia sudah nampak kelibat Harraz. Cepat-cepat dia bersembunyi di sebalik
rak-rak buku. Dia menahan air matanya yang hampir tumpah. “Saya tak akan kacau
awak lagi. Semoga awak bahagia.” Air mata yang tumpah dilap dengan jari. Dia
beredar dari perpustakaan apabila melihat Harraz leka dengan bacaannya.
Harraz
mengeluarkan telefon pintarnya dan mula menaip mesej.
Id,
kau kata Reen ada kat library. Tapi aku tak nampak batang hidung dia pun?
Beberapa
saat kemudian telefon pintarnya bergegar. Dia cepat-cepat membuka peti masuk.
Tadi
dia ada datang kat taman ni. Lepas tu dia cakap nak balik sebab pening kepala.
“Hah, pening kepala?” Harraz mula risau.
Tangannya pantas membalas mesej itu.
Kau
boleh bagi aku phone number dia tak?
Sorrylah, Harraz,
aku bukan tak nak bagi tapi aku dah janji kat Izzah yang aku takkan bagi phone
number dia kat sesiapa, melainkan orang tu yang minta sendiri kat dia.
Harraz
mengeluh kecewa. Dia benar-benar mahukan nombor telefon Izzah. Buku ditutup dan
disumbat ke dalam beg sandang. Dia sudah tiada hati untuk membaca. Dengan
berhati-hati dia bangkit dari kerusi dan melangkah keluar dari perpustakaan
dengan langkah gemalai.
*****
“KENAPA kau tak nak jumpa dia? Penat dia cari kau
kat sana,” tanya Idham pada Izzah yang melentokkan kepada pada meja di taman.
“Malaslah
aku. Dah dia tak sudi buat apa aku nak terhegeh-hegeh lagi? Aku pun ada maruah jugak!”
balas Izzah.
“Tapi
dia macam risau je tadi bila aku
cakap kau sakit kepala. Mesti dia dah bersedia nak terima kau.” kata Idham
lagi.
“Dah
tak ada maknanya lagi. Semuanya dah terlambat.” Izzah menegakkan badannya.
“Okeylah, aku nak balik dulu.” Dia bangkit mahu pulang ke rumah. Tiba-tiba saja
dia membongkokkan badannya dan masuk ke bawah meja.
“Kenapa
dengan kau ni, Izzah?” tanya Nadhia pelik. Tak pernah-pernah Izzah berperangai
begitu.
“Syhhh... jangan sebut nama
aku!” Izzah meletakkan jari telunjuknya ke bibir.
“Ooo...
patutlah menyorok. Ada Harraz rupanya.” Fadhli bersuara apabila nampak kelibat
Harraz sedang berjalan. “Harraz, sinilah!” panggil Fadhli.
Izzah
menumbuk kaki Fadhli. “Tak payahlah panggil dia!” Dia bersuara geram.
“Dah
nak balik dah ke?” tanya Fadhli sebaik saja Harraz sampai di meja yang mereka
duduki.
“Haah,
dah nak balik. Kenapa panggil aku tadi?” tanya Harraz sambil bermain dengan
tali beg sandangnya.
“Duduklah
dulu, kita sembang-sembang ke?” pelawa Nadhia. Wajahnya dikerutkan sedikit
apabila terasa Izzah mencubit kakinya.
“Tak
apalah, lain kali je eh? Aku balik
dulu.” Harraz mula berpusing dan melangkah meninggalkan mereka.
“Kau
ni saja je, kan? Dah aku suruh senyap
tu, lagi mau panggil!” Izzah memarahi kawan-kawannya sebaik saja dia keluar
dari bawah meja.
“Aku
saja je nak beramah-mesra dengan dia.
Itupun salah ke?” jawab Fadhli.
“Memang
salah! Kalau nak beramah-mesra tu tunggulah bila aku tak ada!” marah Izzah. Dia
berlalu dari situ dengan perasaan marah.
“Itulah
kau, buat lagi. Kan Izzah dah marah!” sungut Syamira.
“Alah,
sekejap je marahnya tu. Nanti
sejuklah tu. Kau orang jangan risaulah,” ujar Fadhli.
*****
“ANAK ayah ni tengok tv ke tv yang tengok Izzah?”
Teguran
Khalid mencantas lamunan Izzah. Entah mengapa aksi-aksinya yang cuba merapati
Harraz tiba-tiba saja bergentayangan di minda. Dia memarahi dirinya sendiri.
Dia sepatutnya cuba melupakan Harraz, bukan mengingati lelaki itu.
“Termenung
lagi ke?” Khalid sudah mengawang-awangkan tangannya di depan muka Izzah.
Izzah
terpingga-pingga. “Mana ada Izzah mengelamun. Izzah tengah tengok tv ni.” Dia
cuba menumpukan perhatian pada cerita yang dia sendiri tak tahu tajuknya.
“Anak
ayah ni ada masalah ke?” Kepala Izzah Khalid usap perlahan.
Izzah
menggeleng kepala.
“Anak
kita ni dilamun cinta, bang.” Izzati menyampuk sambil meletakkan tiga cawan
kopi panas di atas meja kopi.
“Ibu...”
marah Izzah.
“Apa
yang nak dimalukan? Ceritalah kat ayah siapa budak tu?” Khalid mengorek rahsia.
Wajah
Izzah sudah memerah. Dia mencapai cawan kopi lalu disisip perlahan. Dia
meletakkan kembali cawan di atas meja kopi sebelum beralih pandang ke wajah
Khalid. “Dia tak macam orang lain.”
Ibunya tak menyampuk, memberi ruang
anak-beranak itu berbual mesra setelah seminggu tak berjumpa kerana urusan
kerja.
“Tak
macam orang lain?” Khalid mengerut kening. “Anggota badan dia tak cukup ke?”
“Bukanlah,
ayah...” Izzah menyangkal.
“Habis
tu?” Khalid mengurut keningnya.
“Dia...
erk... dia...” Serba salah Izzah hendak menyebutnya. Dia memandang
Izzati, meminta bantuan.
“Dia
tu lembut sikit,” ujar Izzati.
“Baguslah
lembut. Izzah ni keras kepala sikit perangainya. Air campur api jawabnya
amanlah rumah tangga. Bila dah kahwin nanti, kena pandai bertolak ansur. Sikap
keras-keras kepala tu semua kena buang.” Khalid sudah memberi tazkirah.
Izzati
menepuk dahi.
Izzah pula mengerutkan dahi. Sah-sah ayahnya
tak memahami apa yang ibunya katakan tadi.
“Yang
awak tepuk dahi tu kenapa, Zati? Tak betul ke apa yang abang cakapkan tu?”
tanya Khalid pelik.
“Memang
tak betul. Zati cakap lembut lain, bukan perangai dia lembut.”
“Lembut
lain tu apa pulak kalau bukan perangai?” Khalid pening dengan percakapan
isterinya.
“Dia
lelaki lembut tapi dia tetap minat perempuan. Dia bukan gay. Sembahyang tak
pernah tinggal. Dia pandai, rajin membaca, comel. Dia anak orang berada tapi
dia tak pernah berlagak.” Izzah menerangkan satu per satu perwatakan Harraz
yang pernah dia nampak sambil mengukir senyuman.
“Ooo,
I see...” Khalid mengurut dagunya. “Bawaklah dia datang ke rumah nanti. Nak jugak ayah berkenalan
dengan dia.” Khalid mencapai air kopi.
Senyuman
Izzah mati. “Dia tak sukakan Izzah. Dia dah serik kena tipu dengan perempuan
tapi hari tu...” kata-kata Izzah termati.
“Hari
tu kenapa?” soal Izzati dan Khalid serentak.
Izzah
menggeleng. Air mata yang ingin menitis ditahan seboleh mungkin. “Tak ada
apa-apalah. Ibu, ayah, Izzah masuk tidur dulu ya?” Izzah menyalami tangan
Khalid dan Izzati sebelum mendaki tangga untuk ke biliknya.
*****
CUTI semester sudah bermula. Harraz berbaring di
atas katilnya sambil berfikir mengapa Izzah sudah tak seperti dulu lagi. Dia
dah jumpa dengan lelaki lain ke? Dia dah putus asa ke? gumam hatinya.
Pintu biliknya diketuk. Iqbal
melangkah masuk lalu membaringkan diri di sebelah Harraz. Dia merenung wajah
Harraz lama. “Angah ni kenapa? Sejak mula cuti asyik berkurung je dalam bilik? Makan pun sikit je? Angah tak sihat ke?” Dia melekapkan
belakang tangannya ke dahi Harraz. “Eh,
tak panas pun!”
“Angah
sihat,” jawab Harrza dua patah. Dia mengalihkan tangan Iqbal yang masih melekap
di dahinya.
“Habis
tu kenapa muka nampak sedih je? Macam
muka orang baru lepas kena tinggal bini.”
“Iqy
ingat tak perempuan yang angah cerita tu?” Harraz bersandar di kepala katil
diikuti Iqbal.
“Ingat.
Kenapa dengan dia? Angah dah terima cinta dia ke? Dia ada mempermainkan angah
ke?” soal Iqbal tak sabar.
“Bukan...”
“Kalau
bukan, apa?”
“Seminggu
sebelum cuti dia macam nak mengelak je
dari angah. Selalunya dia akan cari angah. Ni langsung tak nampak batang
hidung. Mungkin dia dah putus asa kot? Apa yang patut angah buat sekarang?”
“Angah
cintakan dia?”
Harraz
mengangguk. “Tapi dengan keadaan angah yang macam sotong ni, mesti akan buat
dia malu bila keluar dengan angah. Angah dah mula sayangkan dia tapi tak nak
dia malu,” luahnya. Wajahnya muram. Dia bermain dengan jari-jemarinya.
“Kalau
dia betul-betul ikhlas cintakan angah, dia akan terima keadaan diri angah
seadanya,” Iqbal memberi pendapat.
“Dia
memang terima angah seadanya tapi lama-lama mesti dia akan malu bila hari-hari
ada orang kutuk dia, kan?” Harraz memandang wajah Iqbal.
Iqbal
mengangguk. Kemudian dia memetik jari. “Iqy rasa dah sampai masanya untuk angah
berubah!”
“Berubah?”
Harraz mengerut dahi tak dapat menangkap kata-kata adiknya.
“Yup,
berubah! Sepanjang cuti ni Iqy akan cuba ubah angah supaya jadi keras sikit.”
Iqbal tersenyum penuh makna.
“Macam
mana tu?” Harraz mula teruja.
“Angah
tidur dulu, esok ikut Iqy pergi Pertama Kompleks.” Iqbal turun dari katil dan
melangkah keluar dari bilik Harraz.
Harraz
memejam matanya. Malam itu buat pertama kali dia dapat tidur dengan lena
setelah seminggu asyik memikirkan perubahan Izzah.
*****
“IQY
nak beli apa kat sini?” tanya Harraz sebaik saja dia dan Iqbal melangkah masuk
ke dalam Pertama Kompleks.
Iqbal
tak menjawab sebaliknya dia terus berjalan. Apabila dia ternampak kedai yang
menjual pakaian seragam, dia melangkah masuk ke dalam kedai itu.
Harraz hanya menurut.
“Bang,
pakaian seragam PKBM kat mana?” tanya Iqbal kepada jurujual.
Jurujual
itu menunjukkan pakaian seragam yang diminta kepada Iqbal dan Harraz, kemudian
dia berlalu ke kaunter kerana ada pelanggan yang mahu membuat pembayaran.
Tanpa
membuang masa, Iqbal mula memilih saiznya dan Harraz.
“Nak
buat apa dengan baju ni? Angah bukannya masuk PKBM pun.” tanya Harraz pelik
apabila Iqbal menyerahkan pakaian seragam kepadanya.
“Inilah
cara untuk keraskan sikit cara jalan angah yang lembut tu,” jelas Iqbal lantas
kembali membelek pakaian seragam itu.
“Tak
fahamlah.” Harraz menggaru kepalanya.
Iqbal
menoleh semula ke belakang. “Macam ni... sepanjang cuti semester ni angah akan
berkawad kat laman rumah kita. Buat bangkit tubi dan tekan tubi sekali.” Dia kembali
menyambung mencari saiz baju.
Terbuntang
mata Harraz mendengarnya. “Mampuslah angah macam tu! Kalau tak buat boleh tak?”
Tak sanggup aku nak buat bangkit tubi dengan tekan tubi. Buat sakit badan je!
“Tak
boleh! Angah cakap tak nak...” Iqbal memetik jarinya. “... siapa nama perempuan
tu?”
“Reen...”
“Hah,
Reen! Angah cakap tak nak Reen malu bila keluar dating dengan angah,
kan?”
Harraz
mengangguk laju.
“So,
dengan adanya latihan ni, insya-Allah cara jalan angah yang lemah gemalai tu
boleh jadi keras sikit macam Iqy ni.” Iqbal cuba meyakinkan Harraz. Dia
mengambil pakaian seragam di tangan Harraz lantas dibawa ke kaunter pembayaran.
*****
“KIRI,
kanan, kiri,” Harraz berkawad di tengah panas.
“Keras
sikit jalan tu, jangan lemah gemalai. Tegakkan badan! Suara tu pun keraskan
jangan nak lembut sangat!” jerit Iqbal.
Peluh
sudah memercik di dahi Harraz. Dia tak sangka Iqbal boleh bertukar sebegini
garang apabila mengajarnya. Pernah juga dia mahu berputus asa tak mahu berkawad
lagi namun demi Izzah, dia kuatkan juga semangatnya.
“Skuad!
Ke belakangggg... pusing!” arah Iqbal.
“Check
in! Satu, dua, tiga, maju! Kiri! kanan! kiri!” Harraz mula berjalan ke arah
Iqbal.
“Skuaddd...
tiiii!”
“Satu,
dua!” jerit Harraz.
“Kita
berhenti kawad dulu, lepas ni buat tekan tubi seratus kali,” arah Iqbal.
Terbeliak
mata Harraz mendengarnya.
“Skuaddd...
keluarrrr... baris!”
“Satu,
dua, satu! Kiri! Kanan! Kiri!” Harraz berlari mendapatkan mamanya yang sedang
duduk di gazebo. Dia mengambil tempat di sebelah mamanya.
“Anak
mama penat ya? Nah, minum air ni.” Datin Suhana menghulurkan gelas yang berisi
air oren kepada Harraz.
Harraz
menyambutnya lalu meneguk rakus.
Iqbal
menjentik kuat jari kelengking Harraz yang menegak setiap kali meneguk air.
“Sakitlah!”
marah Harraz lantas merapatkan jari kelengkingnya.
“Dah
berapa kali Iqy kata rapatkan jari kelengking tu. Ini tak, asyik terjungkit je!” bebel Iqbal.
“Tak
biasalah...” rengek Harraz.
“Kalau
tak biasa tu kena biasakan. Lama-lama nanti okeylah.”
Harraz
mencebik.
“Cepatlah
minum, kita nak buat tekan tubi pulak ni.” Iqbal sudah mula bangkit.
“Penat
pun tak hilang lagi ni,” sungut Harraz.
“Angah,
lagi sebulan lebih je nak habis cuti
tau. Angah kena kerja keras sikit.” Iqbal menarik tangan Harraz.
“Kejap,
nak ambil semangat dulu.” Harraz mencapai telefon pintarnya yang diletakkan di
atas meja. Wallpaper telefon pintar
direnung lama. Merenung ukiran namanya dan Izzah, sedikit sebanyak dapat mengembalikan
semangatnya. “Okey, jom!” Harraz mula bangkit. Badannya ditegakkan lalu
berjalan seperti berkawad. Tanpa disedari, dia telah terlanggar batu dan jatuh
di atas rumput. “Auuu!” Dia menjerit kesakitan.
Iqbal
menepuk dahinya.
Datin Suhana menggeleng kepala.
“Boleh
ke buat tekan tubi ni? Kalau tak, kita tangguh je dulu.” Iqbal menolong Harraz untuk bangkit.
“Boleh,
angah kuat!” ujar Harraz setelah berdiri dengan stabil. Dia melangkah menuju ke
tapak dia berkawad tadi.
*****
IZZAH duduk termenung di balkoni di biliknya
sambil merenung gambar Harraz di telefon pintarnya yang diambil secara senyap.
Gambar Harraz yang sedang mengerutkan muka ketika membaca buku direnung lama.
“Kenapa aku tak boleh lupakan kau? Aku mesti lupakan kau. Mesti!” nekadnya. Dia
terperanjat apabila telefon pintarnya tiba-tiba berbunyi. Nama Syamira tertera
di situ. Dengan rasa malas dia menekan menjawab. “Hello.”
“Kenapa
suara kau macam tak sihat je ni?”
Kedengaran suara Syamira di hujung talian.
“Aku
okey je. Cuma bosan sikit duduk kat rumah sorang-sorang.” Izzah
memintal-mintal rambutnya.
“Ibu
dengan ayah kau mana?”
“Ibu
dengan ayah aku macam biasalah. Ayah kat ofis,
ibu kat salon dia. Kau call aku ni
ada hal apa?”
“Petang
ni aku dengan yang lain nak main bowling kat Mid Valley. Kau nak ikut
tak?”
Izzah
melentokkan kepalanya di kerusi. “Malaslah aku. Duduk rumah lagi bagus.”
“Kau
ni kenapa? Selalunya kalau kita orang ajak pergi mana-mana kau on je. Sekarang pulak malas,” sungut
Syamira.
“Tak
ada apa-apa. Cuma tak ada mood je,”
sangkal Izzah. Dia sudah bangkit mahu masuk ke dalam bilik. Kemudian dia
merebahkan diri di atas katil.
“Siapa
yang rosakkan mood kau ni? Cuba bagitau aku?” desak Syamira.
“Tak
ada siapa-siapalah. Okeylah, aku letak dulu eh? Assalamualaikum.” Pantas Izzah
mematikan talian. Dia takut nama lelaki itu meluncur keluar dari mulut Syamira.
Dia takut dia akan menangis apabila mendengar nama itu. Sesungguhnya, dia masih
belum dapat melupakan Harraz walaupun satu bulan setengah sudah berlalu
semenjak kejadian dia melarikan diri daripada lelaki itu. Dia mencapai bantal
di sebelahnya lalu ditekupkan ke muka cuba membuang jauh wajah Harraz dari
kotak ingatan.
*****
“ANGAH, bangunlah cepat. Kejap lagi nak mulakan
latihan.” Puas Iqbal mengejutkan Harraz namun lelaki itu tetap tak mahu bangun.
Dia sudah kematian idea mahu mengejutkan angahnya. Dia berjalan mengelilingi
katil. Tiba-tiba dia mendapat satu idea. Perlahan-lahan dia menghampiri Harraz.
“Angah, bangun cepat. Izzah ada kat bawah!” jeritnya di telinga Harraz.
Harraz
bingkas bangun. “Izzah datang?” Dia meraba-raba mencari cermin mata di meja
lampu. Kelam-kabut dia mencapai tuala dan berlalu ke bilik mandi. “Iqy, suruh
Izzah tunggu tau. Angah nak mandi kejap!” jeritnya di bilik mandi.
Iqbal
sudah ketawa di dalam hati. “Parah betul angah aku ni.” Dia menggeleng kepala
dan melangkah keluar dari bilik Harraz.
Siap
berpakaian, Harraz melangkah turun dari tangga. “Mana Izzah?” soalnya kepada
Iqbal sebaik saja dia sampai di meja makan.
“Dia
tak ada pun. Saja je Iqy guna nama dia
nak kejutkan angah. Liat sangat nak bangun.” Iqbal tersengih.
Harraz
mengetap gigi menahan geram. Dia duduk dengan kasar di kerusi. Matanya
dijelingkan sedikit ke wajah Iqbal sebelum mencapai roti bakar di atas meja.
Perlahan-lahan dia mengunyah roti itu.
“Kalau
Iqy tahu macam ni punya senang nak kejutkan angah, dah lama Iqy guna nama Izzah
tu.” Iqbal tersengih lagi.
Harraz
menjegilkan matanya.
“Sudah...
sudah... jangan nak menjeling-jeling. Nanti juling pulak mata tu. Depan
rezeki tak baik buat muka masam,” nasihat Datin Suhana.
Harraz
mencapai air teh panas lalu menghirupnya. Wajahnya kembali tenang apabila
tekaknya dibasahi air teh.
“Iqy
dah habis makan. Nanti angah datang kat laman tau?” kata Iqbal sebelum berlalu
ke luar rumah.
Harraz
hanya menganggukkan kepala dan meneruskan sarapan.
*****
KERETA diparkirkan ditempat yang disediakan. Cermin
mata hitam ditanggalkan dan dibiarkan di dalam kereta. Pintu kereta dibuka. Dia
melangkah keluar dari perut kereta dan berjalan dengan penuh bergaya menuju ke
dewan kuliah. Dia tersenyum kepada semua yang memandangnya seperti tak pernah
melihat orang. Sampai di dewan kuliah, dia mengambil tempat di bahagian
belakang sekali. Ketika dia duduk, pelajar perempuan tak habis-habis merenung
ke wajah kacaknya.
Beberapa
minit kemudian, pensyarah mula masuk. Mata Doktor Azman meliar memerhatikan ke
semua pelajarnya. “Mana Harraz?” tanya Doktor Azman apabila tak melihat kelibat
Harraz. Di dalam rekod kehadiran ada tandatangan lelaki itu.
“Saya,
doktor.” Lelaki kacak itu mula berdiri dan tersenyum.
Semua
pelajar sudah ternganga. Mereka tak menyangka lelaki lembut yang sering mereka
sindir, sudah berubah menjadi sangat kacak. Jalannya pula sudah tak lemah
gemalai lagi.
“Subhanallah...
macam mana awak boleh berubah sampai macam ni sekali, Harraz?” tanya Doktor Azman
tak percaya.
“Semuanya
atas kehendak Allah. Kalau kita berusaha, pasti apa yang kita lakukan itu akan
membuahkan hasil,” jawab Harraz tenang.
“Okey,
awak boleh duduk,” arah Doktor Azman. Kemudian
sesi pembelajaran bermula.
*****
SELEPAS tamat kuliah, Harraz bergegas keluar dari
dewan kuliah. Tujuannya hanya satu... mahu mencari Izzah. Tempat pertama yang
dituju adalah taman. Dia melangkah laju menuju ke pokok yang telah menjadi
saksi pertemuannya dan Izzah. Dari jauh dia terlihat kelibat seorang gadis yang
sedang berdiri menghadap batang pokok. Dia melajukan lagi langkahnya. “Awak nak
buat apa tu?” tegurnya apabila melihat Izzah seperti mahu menoreh nama yang
pernah diukir dulu.
Izzah
tersentak apabila mendengar suara yang amat dikenalinya. Dia berpaling ke
belakang. “Awak ni siapa?” tanyanya apabila lelaki yang tak dikenali itu
menghampirinya.
“Awak
tak kenal saya ke?” Harraz membawa tangannya ke dada.
Izzah
menggeleng laju.
“Saya
Raz... Harraz Fayyadh...”
Izzah
terjelepok sebaik saja mendengar sebaris nama yang ingin dilupakan. “Tak. Saya
tak percaya. Awak tipu, kan? Harraz bukan macam ni. Dia lelaki lembut. Rambut
dia disisir belah tepi, bukan belah tengah macam awak! Dia pakai cermin mata
tapi awak tak.” Dia menerangkan ciri-ciri Harraz.
Harraz
duduk di depan Izzah. Dia mengeluarkan sebuah buku dari beg sandangnya. Buku
itu diselak lantas mengeluarkan bunga raya yang telah layu. Bunga itu
diserahkan kepada Izzah.
Izzah
menyambutnya dan membelek bunga itu. Dia memandang Harraz. “Betul awak ni
Harraz?” soalnya ingin kepastian.
Harraz
mengangguk sambil tersenyum.
Lesung
pipit tu memang milik Harraz. “Kenapa awak berubah?”
“Sebab
saya tak nak awak malu bila keluar dengan saya. Biar saya dihina tapi saya tak
sanggup tengok awak dihina disebabkan saya.” Harraz merenung lembut wajah
Izzah.
“Dah
terlambat, Raz... dah terlambat...” Izzah bersandar pada batang pokok.
“Kenapa?
Awak dah ada orang lain ke?” Wajah Harraz berubah kecewa.
“Bukan
saya tapi awak! Awak milik orang lain sekarang,” ujar Izzah lemah.
“Saya
milik siapa?” Harraz tak faham apa yang dikatakan oleh Izzah.
“Awak
milik isteri dan anak awaklah!” jawab Izzah sedikit marah.
Harraz
terkejut. “Apa yang awak merepek ni? Bila masa saya kahwin?”
“Saya
nampak awak dengan seorang perempuan mengandung kat shopping complex
dulu.” Izzah tundukkan wajah, tak sanggup mendengar pengakuan Harraz.
“Hahaha...”
Harraz ketawa kuat.
Izzah
mengangkat mukanya semula. “Kenapa awak gelak? Kelakar sangat ke bila rahsia
awak dah terbongkar? Patutlah selama ni bila
saya ajak couple awak tolak!”
“Kalau
awak nak tahu, perempuan mengandung tu, kak long sayalah.”
Wajah
Izzah mula memerah. “Awak tak tipu?” Dalam hati ada bunga-bunga kegembiraan
mula tumbuh.
“Betul.
Kalau awak tak percaya nanti saya bawak awak jumpa kak long saya.”
Izzah
mula tersenyum. “Awak kata awak dah buang bunga ni? Tapi kenapa masih ada pada
awak?”
“Saya
tak buang pun. Saya tipu awak sebab nak awak putus asa dan cari lelaki lain
yang lebih sesuai dengan awak. Awak nak buat apa dengan nama tu tadi?” soal
Harraz apabila teringat perbuatan Izzah ketika dia baru sampai tadi.
“Saya
nak toreh sampai hilang nama tu.”
“Kenapa?”
“Sebab
saya ingat orang yang saya cinta ni milik orang lain.” Izzah menundukkan muka.
“Ooo...
sebab nilah awak tak cari saya seminggu sebelum cuti tu eh? Patutlah saya
tunggu perigi saya tak muncul-muncul...” Harraz mulai faham.
Izzah
tersipu malu.
“Lepas
tiga bulan bercuti akhirnya Encik Timba dah berjumpa semula dengan Cik Perigi
yang menghilangkan diri sebab salah faham.” Harraz senyum. Dia menarik nafas.
“Izzah Qhaireena, awak nak couple dengan saya tak?”
Izzah
mengangkat wajahnya. Perlahan-lahan dia mengangguk. “Raz...” panggilnya.
“Ya?”
“Mana
mata awak?”
“Ni
bukan mata saya ke?” Harraz menunjuk ke matanya.
“Anak
mata awak bukan warna hazel ke? Kenapa warna hitam?” Izzah menjungkit
keningnya.
Harraz
tergelak mendengar pertanyaan Izzah. Dia menanggalkan kanta lekapnya. “Kalau
saya bukak kanta ni saya tak nampak,” adunya, manja.
“Mana
cermin mata awak?” soal Izzah lagi.
Harraz
mengeluarkan cermin mata bingkai hitamnya dari dalam beg lalu memakainya.
“Ini
baru Raz saya. Kalau awak tak berubah pun saya akan tetap terima awak,” ujar
Izzah ikhlas.
“Saya
tahu...” Harraz tersenyum.
“Hah!
Kat sini rupanya Cik Perigi dengan Encik
Timba! Jom kita lepak kat kafe. Yang lain dah tunggu tu,” ajak Fadhli yang
tiba-tiba muncul. Mana mungkin dia tak mengenali Harraz apabila satu kampus
sudah heboh dengan berita perubahan lelaki itu.
Harraz
dan Izzah mula bangkit lalu mengekori langkah Fadhli meninggalkan kawasan
taman. Taman yang menjadi saksi bermulanya kisah di antara Cik Perigi dan Encik
Timba.
~TAMAT~
laa.. awak yang buat critanih~~ orang baca gelak2 sorang... entah bila lahkan? eheh.. tak ingat dah. orang rekemen dkt kawan, dia orangpun cakap lawak~ hehe
ReplyDeleteChasiani: thnks sudi promote cerpen ni kt kengkawan.. ^-^
ReplyDeleteoh menarik gila cerita ni..
ReplyDeletesaya pun ada kawan aww aww jugak...
memang semua org kutuk dia lah sebab dia ni boleh tahan lazer ya ampun!
tp Alhamdulillah kami sekolah agama,, x de la kes kena pukul ke hapa ke hanya sebab dia lembut....
Sakura Putih: Thanks sudi bace...
ReplyDeleteBest sgt2..
ReplyDeleteTerima kasih sudi singgah dan baca cerita yang dah berhabuk ni
DeleteSangat best. suka sangat cerita ni. so sweet. nanti buat cerpen lagi ya. ikhlas dari aina.
ReplyDeleteTerima kasih Aina. Saya tengah siapkan cerpen raya. Insya-Allah kalau siap saya letak kat belog 1 syawal nanti
DeleteHahaha lawak lahh masa dia kawad. Pandai pulak adik dia ajar kawad . Hihi
ReplyDeleteHahaha. Dulu tak terfikir nak tulis adik dia ajak pergi gym ke. Baru sado sikit badan kannn. Insya-Allah saya nak buat versi novel. Boleh tukar apa yang patut
DeleteBest lah cerpen awak. .
ReplyDeleteTerima kasih sudi baca 😊😊😊
DeleteRespect and I have a keen offer you: House Renovation interior home remodeling
ReplyDelete