Followers

Sunday, 17 March 2013

Kaulah Pelengkap Hatiku 25



TAN SRI RAZMAN membuka pintu bilik bacaan. Dia lihat Qhafi sudah sedia menunggunya. Dia melangkah dan melabuhkan duduk di hadapan Qhafi. Lama dia merenung wajah anak sulungnya itu. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan. “Sebenarnya Yaya tu kembar Manda. Dia adik bongsu Qhaf dan Anis.”
            “Kenapa Qhaf tak tahu apa-apa langsung pasal Yaya? Kenapa papa dan ibu rahsiakan daripada Qhaf? Mana Yaya pa? Mana adik Qhaf sekarang?” Dia tak menyangka papanya sanggup merahsiakan tentang kewujudan adiknya itu.
            Tan Sri Razman menarik laci meja kerja dan mengeluarkan keratan akhbar yang telah kusam lantas dihulur kepada Qhafi.
            Qhafi membaca tajuk yang tertulis pada keratan akhbar itu. “Tiga rentung, satu parah  bertembung treler.” Dia memandang Tan Sri Razman mahu meminta kepastian.
Tan Sri Razman mengangguk kepala.
Melihat anggukan papanya, dia menyambung pembacaan dengan nada perlahan. “Pemeriksaan awal mendapati dua orang lelaki dewasa yang dikenali berdasarkan jam tangan yang dipakainya dan seorang bayi yang belum dikenal pasti identiti dan jantina rentung dalam satu kemalangan jalan raya apabila kenderaan yang dipercayai sebuah teksi yang mereka naiki telah terbakar manakala seorang wanita yang tercampak keluar dari teksi itu dikenali sebagai Fatimah Ahmad, 53, didapati cedera parah. Salah seorang lelaki dewasa  dipercayai suami kepada wanita tersebut.” Kemudian dia diam membaca keseluruhan artikel itu.
            “Maksud papa bayi yang rentung tu Yaya?” tanya Qhafi setelah selesai membaca keseluruhan artikel itu.
            Tan Sri Razman mengangguk. “Memang Yaya ada dengan Nek Timah dan arwah Tok Aziz masa tu. Lepas je papa tengok berita pasal kemalangan tu, papa dan ibu bergegas ke hospital untuk tuntut jenazah Yaya. Pihak polis masa tu memang menanti waris Yaya.” Dia menyeluk poket seluar mengeluarkan seutas rantai tangan loceng emas yang kecil saiznya. “Ni rantai tangan Yaya. Papa dan ibu beli dua utas rantai tangan ni untuk Manda dan Yaya sebaik saja kami tahu jantina bayi dalam kandungan. Pihak polis jumpa rantai tangan ni di tempat kejadian. Itu yang membuktikan bayi tu Yaya.” Dia memandang sayu rantai tangan yang pernah diberikan kepada Pak Aziz dulu. Rantai tangan itu dihulurkan kepada Qhafi.
            Qhafi merenung rantai tangan kecil di tangannya. Terasa sukar untuk dia percaya. Tak sampai beberapa minit hatinya berbunga apabila mengetahui kewujudan adik bongsunya, detik itu juga perasaan itu kian kuncup apabila membaca artikel tadi. Jauh di sudut hati dia rasa terkilan papanya merahsiakan kewujudan adiknya itu. “Siapa Nek Timah dan Tok Aziz tu pa? Macam mana Yaya boleh ada dengan dia orang?”
            Tan Sri Razman sudah bersedia dengan jawapan. “Sebenarnya Nek Timah dan arwah Tok Aziz ni pembantu rumah dan driver nenek. Dulu Nek Timah yang jaga Qhaf dengan Anis masa ibu mengandungkan Manda dan Yaya. Alahan ibu dulu teruk sangat sampai lembik-lembik badan.”
            “Kenapa Qhaf langsung tak ingat pasal Nek Timah dan arwah Tok Aziz pa?” Qhafi mengerut dahi.
            Tan Sri Razman tersenyum. “Macam mana Qhaf nak ingat, masa tu Qhaf kecik lagi. Kemalangan ni berlaku masa umur Qhaf dua tahun. Manda dengan Yaya pulak baru sebulan.”
            “Tapi pa, bukan ke masa tu Manda dengan Yaya masih menyusu? Macam mana papa dan ibu boleh lepaskan Yaya pulak?
            Tan Sri Razman gugup namun dia berjaya mengawal riak wajahnya. “Sebenarnya Yaya tak berhenti-henti menangis sampai kami dah tak tahu nak buat apa lagi. Arwah Tok Aziz cakap kat kampung dia ada orang yang boleh tolong ubatkan. Sebab tu dia bawak Yaya balik ke kampung dia kat Penang.”
            Qhafi diam mendengar penjelasan Tan Sri Razman. “Manda tahu pasal Yaya?”
            Tan Sri Razman menggeleng. “Papa tak sampai hati nak bagitau Manda. Masa pisahkan dia dengan Yaya dulu pun dia demam rindukan adik dia. Ibu pulak sedih sangat sampai kena kemurungan bila dapat tahu Yaya dah tak ada. Sejak hari itu Manda la jadi penawar bila ibu rindukan Yaya. Dan sejak itu jugak papa dah tak nak ungkit pasal Yaya. Tapi itu tak bermakna papa lupakan dia. Yaya akan sentiasa berada dalam hati papa.” Dia memegang dadanya.
            Kini barulah Qhafi tahu mengapa Puan Sri Anida begitu menyayangi Amanda. Ternyata berat sungguh penderitaan yang ibunya lalui. Kehilangan dua orang anak perempuan walaupun dalam tahun yang berlainan. Maafkan abang, Yaya... baru hari ni abang tahu kewujudan Yaya, rintih hati Qhafi. “Macam mana keadaan Nek Timah sekarang pa? Dalam artikel ni tulis Nek Timah cedera parah.”
            “Nek Timah koma selama 7 tahun. Lepas dia sedar dia langsung tak ingat apa-apa. Doktor cakap dia menghidap amnesia akibat hentakan yang kuat di kepala. Papa ada jugak tanyakan keadaan dia kat anak-anak dia, mereka kata sampai sekarang ingatan Nek Timah belum pulih. Dia cuma ingat arwah suami dia tapi tak ingat langsung pasal kemalangan tu.”
            “Kesiannya Nek Timah.” Qhafi mengeluh perlahan. “Apa nama penuh Yaya pa?”
“Rania Hafiya.”
Qhafi mengangguk. Rania Hafiya... sebutnya dalam hati. Matanya dikerling pada jam yang terdapat di dinding bilik bacaan itu. “Alamak, Qhaf dah lambat!” Dia terjerit kecil apabila jarum jam sudah menginjak ke pukul 3.30 petang.
            “Qhaf nak pergi mana?” tanya Tan Sri Razman yang pelik melihat gelagat anak sulungnya.
            “Qhaf dah janji nak jumpa Kif pukul 3 tadi. Qhaf pergi dulu pa.” Dia meletakkan kembali artikel dan rantai tangan itu di atas meja sebelum bergegas keluar dari bilik bacaan.
*****
SORRY aku lambat. Nan mana? Aku tak nampak pulak kereta kau kat luar tadi,” tanya Qhafi setelah melabuhkan duduk di hadapan Thakif. Matanya diliarkan ke sekeliling restoran mahu mencari kelibat pemandu kawannya itu.
            “Aku suruh Nan balik. Nak balik nanti aku tumpang kau je.” Thakif memegang erat sampul surat yang berada di bawah meja. Sengaja dia memilih tempat duduk di belakang yang jauh sedikit dari orang ramai untuk memudahkannya bercerita. “Minumlah air tu, dah sejuk dah pun. Aku ingatkan kau sampai awal, aku order jelah dulu.” Dia memuncungkan sedikit bibirnya ke arah segelas air teh tarik di depan Qhafi.
            Perlahan-lahan Qhafi menghirup air teh tarik yang sudah sejuk. “Kau tak order makan ke?” tanyanya apabila melihat di atas meja itu hanya ada dua gelas air, teh tarik miliknya dan nescafe O Thakif yang sudah tinggal separuh.
            Thakif menggeleng. “Aku kenyang lagi. Kau nak makan orderlah.” Dia mahu mengangkat tangan untuk memanggil pelayan.
            “Biar dululah. Aku pun kenyang lagi.”
            Jawapan Qhafi menghentikan perbuatan Thakif. Dia menjatuhkan tangan kirinya ke meja semula.
            “Deeba tak ikut sekali ke?” tanyanya sambil tersengih. Dia cuba membuang rasa sedihnya dengan mempamerkan wajah ceria di depan Thakif. Gelas sudah diletakkan semula di atas meja.
            “Deeba ada kat rumahlah. Kau ni tak habis-habis dengan Deeba. Hari-hari bergayut kat telefon pun tak puas lagi ke Encik Adam Qhafi oi?” sindir Thakif. Tangan kirinya sudah menongkat dagu.
            Qhafi menggeleng kepala. “Bercakap dalam telefon dengan berjumpa secara berdepan tu lain rasanya Encik Thakif Qarish... kalau dalam telefon dapat dengar suara je. Kalau berjumpa pulak dua-dua dapat. Dapat dengar suara dan tengok muka. Kan berlainan tu...”
            Thakif menjulingkan mata ke atas apabila mendengar penjelasan kawan baiknya itu. Namun di dalam hati dia menyetujui kata-kata kawan baiknya itu. Dia dulu pun begitu ketika Amanda masih hidup.
            “Cerita apa yang kau nak share dengan aku?” Dia sudah menyandarkan badannya.
            Thakif menarik nafas sebelum bersuara. “Pasal kembar arwah Manda...”
            Berubah terus wajah Qhafi. “Macam mana kau tahu arwah Manda ada kembar?”
            Giliran wajah Thakif pula berubah. “Kau memang tahu arwah ada kembar ke?” Soalan berbalas soalan.
            “Aku baru tahu pasal Yaya dari papa aku tadi. Tu yang aku lambat sampai tu.” Wajah Qhafi berubah mendung.
            “Yaya?” tanya Thakif sedikit keliru.
            “Hmmm... Yaya adik kembar Manda. Nama penuh dia Rania Hafiya. Kalau dia masih hidup mesti ibu aku takkan sakit macam ni.” Qhafi menundukkan wajah. Perasaan sedihnya kembali bertamu.
            “Apa maksud kau kalau dia masih hidup?” Takkan Qhaf ingat Rania dah meninggal kot?
            Qhafi memandang Thakif. “Yaya dah lama meninggal. Dia terlibat dalam kemalangan masa ikut pembantu rumah dan driver nenek aku balik kampung. Teksi yang dia orang naik tu meletup. Yaya rentung. Aku dapat bayangkan yang dia rasa sakit sangat. Dia baru sebulan dapat lihat dunia tapi hidup dia tak panjang. Mungkin Allah lebih sayangkan dia,” ceritanya sedikit sebak.
            Thakif tergamam. Ternyata sangkaannya sebentar tadi betul. Ternyata selama ini keluarga kawan baiknya menyangka Rania sudah meninggalkan dunia ini. “Qhaf, sebenarnya Yaya belum meninggal. Dia masih hidup.”
            “Uhuk! Uhuk!” Qhafi yang sedang menyisip air terus tersedak. Tisu di atas meja diambil lantas mengelap mulutnya. Kemudian dia memandang Thakif. “Apa kau kata tadi? Yaya masih hidup?”
Thakif mengangguk.
“Mana kau dapat cerita mengarut ni? Kau jangan main-main boleh tak? Ini pasal adik aku tau! Aku sendiri baca artikel tu tadi. Takkanlah papa aku nak tipu aku plak!” Sedikit meninggi suara Qhafi.
            “Aku tak main-main Qhaf. Apa yang aku cakap ni betul. Yaya pernah datang rumah aku. Kalau kau tak percaya kau boleh tengok ni.” Thakif menghulurkan sampul surat yang dipegangnya sejak tadi.
            Dengan rakus Qhafi membuka sampul surat itu dan mengeluarkan isinya. Ternyata dia terkejut dengan apa yang dilihatnya. Gambar Rania dipandang lama. Sedikit demi sedikit hatinya terasa gembira apabila mendapat tahu adik yang selama ini disangka telah meninggal masih hidup.  Keningnya berkerut memikirkan sesuatu. “Kalau Yaya masih hidup, bayi siapa yang rentung tu? Macam mana bayi tu boleh ada dengan orang gaji nenek aku? Macam mana gelang Yaya boleh ada di tempat kejadian?” Fikirannya kusut memikirkan perkara itu.
            “Itu aku tak tahu. Yang pasti... Yaya masih hidup.”
            “Aku nak jumpa Yaya sekarang! Aku nak bawak dia balik.” Qhafi bangun mahu meninggalkan restoran itu namun lengannya dipegang Thakif. Dia menoleh memandang Thakif.
            “Sabar dulu Qhaf. Takkan kau nak pergi tergesa-gesa macam ni. Lagipun dia mesti tak kenal kau. Lainlah aku ni, dia dah kenal.”
            Qhafi melabuhkan duduk. “Kau teman aku Kif... aku teringin sangat nak jumpa Yaya. Aku teringin sangat nak jumpa adik yang selama ni aku tak tahu kewujudannya. Please...” pintanya penuh berharap.
            “Okey, aku akan temankan kau tapi bukan sekarang.” Thakif bersetuju. Niatnya memang mahu menemani Qhafi ke kampung Rania jika lelaki itu tak mempelawanya sekalipun.
            “Habis tu bila?” Sedikit meninggi suara Qhafi. Kalau boleh sekarang juga dia mahu berjumpa adiknya.
            “Kita pergi hari Jumaat nanti okey?”
            “What, Jumaat?! Aku dah tak boleh tunggu tau! Kau pun tahu kan dah berapa lama dia terpisah dari keluarga kami? Bukan berbulan tapi bertahun!” Qhafi tak puas hati.
“Aku tak nak dia terkejut kalau kita main serbu je rumah dia macam ni. Sabarlah sikit, dia tak lari ke mana. Sekarang ni dia tengah cuti sem, dia ada kat Teluk Intan. Lagipun aku nak settlekan kerja kat ofis dulu sebelum bercuti.”
Qhafi mulai tenang apabila mendengar kata-kata Thakif. “Boleh aku tanya kau sikit?”
“Kau nak tanya banyak pun boleh. Aku sedia menjawabnya,” ujar Thakif. Dia dapat mengagak apa yang ingin ditanya oleh Qhafi.
“Tadi kau ada sebut yang Yaya pernah datang rumah kau, kan?”
Thakif mengangguk.
“Macam mana kau boleh kenal Yaya?” Hati Qhafi membuak-buak ingin tahu.
Thakif tersenyum. “Yaya sebenarnya roommate Deeba. Dia datang ke rumah papa aku pun sebab Deeba nak Yaya pujuk aku jalani rawatan. Pertama kali aku tengok dia, aku ingatkan dia Manda tapi rupa-rupanya bukan. Disebabkan dialah hati aku terbukak untuk jalani rawatan. Lepas aku pulih aku terus upah penyiasat sebab hati aku ni bagaikan diasak-asak nak tahu latar belakang Yaya. Tapi masa tu aku langsung tak tahu yang Yaya ni kembar arwah Manda. Kau sendiri pernah cakap yang adik-beradik kau cuma tiga orang je.
Qhafi terpempan mendengar penjelasan Thakif. Roommate Deeba? Kenapa Deeba tak pernah cerita kat aku pasal Yaya? Selama ni dia tak pernah berahsia kat aku pasal kawan-kawan dia.

Yang sorang tu kan, muka dia macam muka K...

Tiba-tiba dia teringat kata-kata Adeeba dulu. Maknanya masa tu Deeba nak cakap yang muka salah seorang roommates dia seiras dengan arwah Manda?
“Qhaf, kau okey tak?”
Qhafi tersentak dengan panggilan Thakif. Belakang tengkuknya diurut perlahan. “Kenapa baru sekarang kau nak bagitau aku pasal Yaya? Kenapa tak bagitau masa Yaya ada kat rumah kau je? Kau boleh call aku masa tu, kan? Dan aku pulak boleh jumpa Yaya. Tak perlu nak tunggu sampai berbulan-bulan macam ni!” Dia tak puas hati.
“Deeba yang tak benarkan aku bagitau kau,” jawab Thakif dengan sedikit rasa serba salah.
“Tapi kenapa Deeba tak nak aku tahu?” Qhafi mengerut dahi.
“Sebab Deeba tak nak Yaya rasa dipergunakan,” jawab Thakif tenang.
“Dipergunakan? Apa maksud Deeba dengan dipergunakan tu?” Qhafi menyilang tangan ke dada. Matanya masih memandang wajah tenang Thakif.
Thakif mengambil gelas lantas menyisip sedikit air nescafe O. Dia dapat lihat riak tak puas hati di wajah Qhafi. “Mungkin Deeba takut kau suruh Yaya gantikan tempat arwah Manda. Macam yang aku cakap tadi, masa tu memang kami tak tahu yang Yaya ada kena-mengena dengan arwah. Aku cuma percayakan kata-kata Deeba je masa tu. Iyalah, kau pun mesti percaya yang dalam dunia ni memang ada tujuh orang yang berwajah seiras, kan?”
Qhafi tersenyum senget. Senyumannya itu nampak sangat tak ikhlas. Hatinya terasa panas tapi cuba disabarkan.
“Aku bagitau kau sekarang pun sebab aku rasa kau patut tahu pasal Yaya,” sambung Thakif.
“Deeba dah tahu yang Yaya ni adik aku?” Bergetar suaranya apabila menyebut nama Adeeba.
Thakif menggeleng. “Kau orang pertama yang aku bagitau.”
Qhafi terdiam lama. “Jom aku hantar kau balik, aku nak jumpa Deeba.” Dia bangun. Kertas yang bertulis harga minuman itu diambil lantas melangkah ke kaunter pembayaran.
*****
BMW X6 berwarna biru gelap milik Qhafi berhenti di hadapan pagar rumah Dato’ Azhar. Sepanjang perjalanan tadi Qhafi hanya diam. Kepalanya berserabut memikirkan tentang tingkah laku Adeeba sebelum ini. Sungguh dia tak dapat menerima yang Adeeba merahsiakan tentang Rania daripadanya.
            “Hari Jumaat ni jadi kan?” Thakif sekadar bertanya.
            Qhafi mengangguk. “Apa-apa hal aku roger kau. By the way, thanks sebab bagitau aku pasal Yaya. Aku terhutang budi pada kau.” Dia menepuk perlahan bahu Thakif.
            “Kecik punya hal. Itu memang tanggungjawab aku. Mujurlah Allah gerakkan hati aku untuk siasat latar belakang Yaya, kalau tak, sampai bila-bila pun family kau fikir yang Yaya dah tak ada.”
            Qhafi tersenyum mendengar kata-kata Thakif.
            “Kau nak aku panggilkan Deeba ke?” Thakif sudah menanggalkan tali pinggang keledar.
            “Tak apa, I’ll text to her later.
            “Okey...” Thakif melangkah keluar dari kereta.
            Sebaik melihat Thakif sudah melepasi pintu pagar, Qhafi mencapai telefon pintarnya dan mula menaip mesej.

            Abang tunggu Deeba kat taman kat kawasan rumah Deeba. Datang sekarang, jangan lambat!

            Selesai menghantar mesej Qhafi memandu keretanya menuju ke taman yang tak berapa jauh dari rumah itu.
            Adeeba berlari keluar dari biliknya. Dia tak mahu terlewat sampai ke taman. Daripada mesej yang diterimanya, dia tahu yang Qhafi tak mahu dia lambat.
            “Deeba, apa yang lari-lari ni? Tak boleh berjalan slow-slow ke?” tegur Datin Rosnah yang sedang menonton televisyen di ruang tamu tingkat atas.
            Adeeba berhenti di anak tangga kedua lantas memandang Datin Rosnah dan Dato’ Azhar. “Sorry mama, Abang Qhaf dah tunggu Deeba kat taman. Deeba jumpa dia kejap eh...”
            “Hmmm... pergilah tapi jangan balik lambat, dah petang ni.” Dato’ Azhar memberi keizinan.
            Thakif yang ketika itu sedang menaiki tangga memandang wajah ceria Adeeba yang tersenyum ke arahnya. Entah kenapa dia dapat merasakan wajah ceria itu tak akan bertahan lama. Dia mendapatkan mama dan papanya sebaik saja kelibat Adeeba hilang dari pandangan mata.
            Dari jauh Adeeba sudah ternampak kelibat Qhafi yang sedang duduk di bangku. Langkahnya dipercepatkan dan dia melabuhkan duduk di sebelah lelaki itu. Dia mengerut dahi apabila lelaki itu langsung tak memandangnya. Wajah lelaki itu nampak serius, tak seperti sebelum ini. Kemudian matanya ikut memandang arah pandangan lelaki itu. Yang kelihatan hanya beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain di taman itu. Dia mengukir senyuman melihat gelagat seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bergaduh berebutkan buaian.
            “Kenapa tak bagitau abang pasal Rania?”
            Senyuman Adeeba mati. Dadanya terasa berdebar kencang. Perlahan-lahan dia memandang Qhafi yang masih tak memandangnya. “Ma... macam mana Abang Qhaf tahu pasal Kak Ran?” Sedikit tergagap dia bertanya.
            “Kif bagitau abang tadi. Kenapa Deeba tak bagitau abang pasal dia?” Kali ini Qhafi memandang Adeeba dengan pandangan tajam.
            Adeeba tersentak mendengar nama yang keluar dari mulut Qhafi. Pandangan dilarikan ke rumput. Ya Allah, kenapa Abang Kif bagitau? Abang dah janji takkan bagitau...
            “Kenapa diam? Jawablah soalan abang!”
            Bahu Adeeba terhenjut sedikit mendengar sergahan Qhafi. “Dee... Deeba tak nak Kak Ran rasa dipergunakan lagi,” jawabnya takut-takut.
            “Ooo... tak nak dia rasa dipergunakan... tapi boleh pulak Deeba perkenalkan dia kat family Deeba kan? Sampai suruh dia pujuk Kif berubat. Bagus Deeba ni. Seorang adik yang saaangattt baik! Untung Kif dapat adik macam Deeba.” Qhafi tersenyum sinis.
            Adeeba memejam mata. Hatinya pedih mendengar sindiran tajam Qhafi yang bagaikan anak busur memanah ke hatinya.
            “Patutlah abang rasa pelik sangat kenapa Deeba macam mengelak bila abang nak jemput kat kolej. Rupa-rupanya Deeba takut abang terserempak dengan dia, kan? Kawan Deeba yang pernah jawab panggilan abang dulu tu Rania, kan? Abang cam suara dia yang sama macam suara arwah Manda. Bila abang tanya, Deeba cakap abang ni terlampau rindukan arwah, sebab tu suara kawan Deeba pun abang dengar macam suara arwah. Tapi kenyataannya orang yang jawab panggilan abang tu muka dia seiras arwah Manda!
Deeba boleh bagitau abang masa tu tapi Deeba langsung tak nak cerita. Mungkin masa tu Allah nak abang dengar suara dia, sebab tu Deeba boleh tersilap hantar mesej. Bila abang gali balik ingatan abang ni, baru abang tahu kenapa dulu Deeba beria-ia nak abang maafkan Deeba walaupun abang tak tahu apa kesalahan Deeba pada abang. Rupa-rupanya sebab ni! Kalaulah Kif tak bagitau abang pasal Yaya mesti sampai bila-bila pun abang tak tahu kewujudan dia!” Qhafi berjeda seketika. Dia melemparkan pandangan ke tengah taman. “Deeba tak rasa bersalah ke tipu abang?”
            “Deeba minta maaf bang. Deeba tahu Deeba salah tapi Deeba buat macam tu sebab Kak Ran tak ada kena-mengena dengan keluarga abang. Dia hanya memiliki rupa yang seiras dengan arwah Kak Manda je,” jawabnya dengan wajah yang masih menunduk.
            Qhafi mengalihkan pandangan ke arah Adeeba. “Siapa cakap tak ada kena mengena? Dia adik abang tahu tak? Adik kandung abang!” Nada suaranya yang meninggi itu mengundang banyak mata yang memandang ke arah tempatnya duduk. Suara kanak-kanak yang riuh bermain sudah senyap sunyi. Mungkin terkejut mendengar lantunan suara Qhafi.
Adeeba pula sudah mengangkat muka memandang Qhafi. “Apa maksud abang?” Dia masih tak dapat memahami apa motif Qhafi mengaku Rania adalah adiknya.
Yes, Rania tu adik kandung abang. Kembar arwah Manda! Disebabkan Deeba yang suka sangat sorokkan dia dari abang, abang tak dapat jumpa dengan adik abang!” Nada Qhafi masih berbaur kemarahan.
Adeeba menekup tangan kanan ke mulut. Dia tak menyangka yang Rania adik kepada Qhafi. Memang dia tahu nama ayah Rania Razman tapi dia pernah melihat lelaki yang dipanggil Pak Cik Raz itu menjemput Rania di kolej semalam ketika dia mahu mengambil semula keretanya. Lelaki itu bukan Tan Sri Razman tapi orang lain. Maknanya Pak Cik Raz tu ayah angkat Kak Ran la? Haila, kenapalah aku tak pernah tanya latar belakang Kak Ran sebelum ni...
“Abang, Deeba minta maaf. Deeba betul-betul tak tahu yang Kak Ran tu adik abang. Deeba bukan sengaja nak sorokkan dia.”
Qhafi melemparkan kembali pandangannya ke tengah taman, tak sanggup mahu melihat wajah sedih Adeeba. Dia tak mahu cair! Hatinya masih tak dapat memaafkan gadis itu. “Deeba baliklah. Dah tak ada apa yang abang nak cakap lagi.” Nada suaranya sudah kendur.
“Tapi abang tak cakap pun yang abang dah maafkan Deeba. Maafkan Deeba ya bang?” Adeeba sudah tersedu-sedu.
“Deeba baliklah dulu...”
“Deeba tak nak balik selagi abang tak maafkan Deeba. Kalau abang nak, Deeba boleh call Kak Ran dan bagitahu dia pasal abang.” Adeeba cuba menawarkan diri untuk membantu. Sedikit sebanyak pertolongannya itu dapat mengurangkan rasa bersalahnya.
“Tak payah! Deeba jangan nak pandai-pandai call dia. Pasal Yaya biar abang settlekan sendiri. Deeba pergilah balik,” bantah Qhafi. Dia tak perlukan apa-apa bantuan daripada Adeeba.
“Tapi bang...”
“Abang kata balik! Abang tak nak tengok muka Deeba!” tengking Qhafi. Hatinya makin panas dengan kedegilan Adeeba.
Laju air mata Adeeba mengalir keluar. Selama ini Qhafi tak pernah menengkingnya sebegitu. Hari ini dua kali dirinya ditengking. Tanpa membuang masa dia berlari laju untuk pulang ke rumahnya. Air mata yang mengalir dibiarkan tanpa dikesat. Sampai saja di rumah, laju kakinya menaiki tangga dan masuk ke biliknya. Papa, mama dan abangnya yang memandang langsung tak dipedulikan.
“Kenapa dengan Deeba tu?” tanya Datin Rosnah yang pelik melihat Adeeba menangis. “Sebelum keluar tadi okey je, balik je tiba-tiba hujan pulak.
“Bergaduh dengan Qhaf la tu,” tebak Dato’ Azhar.
Thakif hanya diam. Dia tahu punca Adeeba menangis.
“Ros nak pergi tengok Deeba kejap. Entah apalah yang disedihkan sangat tu.” Datin Rosnah bangun menuju ke bilik Adeeba diikuti Dato’ Azhar dan Thakif dari belakang.
Sebaik pintu bilik yang tak berkunci itu dibuka, terpampang jelas figura Adeeba yang sedang menangis sambil bersandar di kepala katil. Wajahnya dijatuhkan ke lutut yang dinaikkan. Datin Rosnah melabuhkan duduk di sisi katil sebelah kanan. Dia memandang Thakif yang melabuhkan duduk di sisi katil sebelah kiri dan memandang suaminya yang berdiri di sebelahnya. Melihat anggukan suaminya, dia memandang Adeeba semula. “Deeba, kenapa ni? Gaduh dengan Qhaf ya?” tanya Datin Rosnah lembut.
Adeeba masih lagi tersedu-sedan. Pertanyaan mamanya dibiarkan sepi.
“Deeba, ceritalah kat kami. Kalau Deeba nangis macam ni macam mana papa, mama dan Abang Kif nak tolong?” pujuk Dato’ Azhar pula.
Adeeba tetap tak bersuara. Wajahnya masih tak diangkat dari lutut.
“Qhaf dah cerita kat Deeba, kan?” Thakif yang sedari tadi diam mula bersuara.
Dato’ Azhar dan Datin Rosnah mengerut dahi. Kedua-duanya memandang Thakif dengan pandangan pelik.
Adeeba mengangkat muka memandang Thakif. “Kenapa abang tak bagitau Deeba yang Kak Ran tu adik Abang Qhaf?”
Datin Rosnah dan Dato’ Azhar saling berpandangan. Kedua-duanya terkejut mendengar apa yang keluar dari mulut Adeeba.
“Abang rasa Qhaf lebih berhak tahu dulu,” jawab Thakif tenang.
“Kif, betul ke apa yang Deeba cakap tu?” tanya Datin Rosnah ingin tahu.
Dato Azhar sudah mencapai kerusi di meja solek lantas meletakkannya berhampiran dengan Datin Rosnah. Kemudian dia melabuhkan duduk.
“Betul mama. Rania tu kembar arwah Manda.” Thakif menceritakan semula bagaimana dia mengetahui tentang latar belakang Rania kepada mama, papa dan adiknya.
Sekali lagi Datin Rosnah dan Dato’ Azhar terkejut mendengar cerita Thakif.
“Ya Allah bang... berat sungguh ujian yang Allah turunkan pada keluarga Man dan Nida. Kawan jenis apa kita ni? Langsung tak tahu apa yang pernah berlaku pada keluarga Nida dan Man dulu.” Datin Rosnah mengeluh kesal. Dulu, sebaik saja tamat pengajian, masing-masing membawa haluan sendiri kerana ada tanggungjawab yang lebih besar sedang menanti. Tambahan pula dia dan Puan Sri Anida berkahwin ketika masih belajar. Sejak dari itu dia langsung tak mendengar sebarang khabar berita tentang kawan baiknya itu sehinggalah Thakif memperkenalkan Qhafi dan Anis kepadanya dan Dato’ Azhar.
Dato’ Azhar menepuk perlahan bahu Datin Rosnah. “Mungkin Man dengan Nida tak cerita kat kita sebab tak nak ingat lagi perkara sedih tu. Lagipun setiap manusia memang tak lepas dari sebarang ujian. Lepas satu ujian, ujian lain pulak datang bertandang. Bukanlah kehidupan namanya kalau tak dilanda ujian sebab hakikat kehidupan kita ni ialah untuk diuji. Kita dulu pun diuji dengan kelumpuhan Kif tapi Alhamdulillah kita dapat mengatasi ujian tu dengan sabar. Kif pun sekarang dah boleh berjalan semula.” Dia berjeda seketika. “Nida dengan Man pulak  dua kali diuji bukan bermakna Allah tak sayang mereka tapi Dia tahu yang mereka tabah dan reda. Apa yang dapat kita simpulkan kat sini, mungkin Dia nak kurangkan penderitaan keluarga Nida dan Man dengan memulangkan kembali Rania dan keluarga kita terpilih untuk menyatukan kembali keluarga mereka. Sekarang kita boleh nampak kan betapa indahnya aturan Dia? Dan setiap ujian yang Dia turunkan ada hikmahnya. Cuma kita perlu bersabar, reda dan sentiasa ingat pada-Nya je.
Datin Rosnah, Thakif dan Adeeba mengangguk kepala menyetujui apa yang dikatakan oleh Dato’ Azhar. Masing-masing diam seketika.
“Lepas ni apa rancangan Qhaf?” Datin Rosnah memecahkan kesunyian.
“Dia ajak Kif teman dia jumpa Yaya kat Teluk Intan. Nanti Deeba ikut sekali ya,” ajak Thakif. Matanya memandang Adeeba yang sudah nampak tenang.
“Kalau Deeba ikut nanti Abang Qhaf marah pulak. Dia dah tak nak tengok muka Deeba lagi,” adu Adeeba sambil mengesat air mata dengan belakang tangan.
“Deeba jangan risau, dia tak marah punya. Masa tu mungkin hati dia dah sejuk sikit. Abang pilih hari Jumaat pun sebab nak bagi hati dia sejuk dulu. Deeba ikut tau. Kalau abang dengan Qhaf je yang pergi, Yaya fikir apa pulak nanti,” pujuk Thakif lagi. Sejak mengetahui nama panggilan Rania, laju saja bibirnya menyebut nama itu. “Kalau Deeba ikut senang sikit sebab Deeba kawan Yaya.” Sekali lagi nama panggilan itu meluncur laju dari bibirnya.


p/s: Sori sangat-sangat lambat post coz WC buat research sikit pasal mangsa rentung. Kalau ada yang rasa macam tak logik ke apa ke, jangan segan-segan untuk komen dan WC akan tukar balik...

Seperti yang pernah WC bagitau kat teaser bab 25 kat page minggu lepas, ini merupakan bab terakhir di belog. Lepas ni WC akan cuba siapkan manuskrip penuh. Insya-Allah kalau ada rezeki dapatlah kita jumpa Kif dan Yaya dalam versi cetak =)

Doakan semuanya berjalan lancar eh... Harap sangat dapat habiskan dalam tahun ni jugak sebab dah nak masuk 2 tahun cerita ni asyik tak siap-siap je...

Sunday, 3 March 2013

Kaulah Pelengkap Hatiku 24


HARYATI keluar dari dapur dengan menatang dulang untuk ke bilik Puan Sri Anida. Ketika mahu menaiki tangga, dia bertembung dengan Anis yang sedang menuruni tangga. “Cik Anis tak nak sarapan dulu ke?” sapanya ketika langkah Anis sudah menghala ke pintu.

            “Tak apalah Yati, nanti Anis breakfast kat luar je,” jawab Anis lembut.
            “Erm... Cik Anis tak nak suapkan Puan Sri ke? Puan Sri mesti suka kalau Cik Anis yang hantarkan sarapan,” tanya Haryati apabila melihat angin Anis begitu baik dan tak marah-marah seperti selalu.
            Langkah Anis terhenti. Dia berpaling menghadap Haryati dengan wajah yang berubah berang. “Kau dah gila ke nak suruh aku suap ibu? Nak suruh ibu tumpahkan makanan kat baju aku pulak ke?”
            Haryati terkejut mendengar kata ganti nama yang digunakan Anis. Nampaknya dia benar-benar tersalah meneka keadaan cuaca di hati Anis. “Tapi... bukan ke hari tu Cik Anis...”
            “Suapkan ibu?” potong Anis tanpa sempat Haryati menghabiskan ayatnya.
            Haryati mengangguk laju.
            Anis tersenyum sinis. “Kau ni memang bodohlah Yati! Takkanlah aku nak tunjuk perangai aku kat depan Kif kot? Dahlah, pergi bawak naik dulang tu. Mesti ibu tak sabar nak tunggu kau suap!”
            Astaghfirullahalazim... kesian Puan Sri ada anak berperangai macam ni. “Tapi Cik Anis, kalau Cik Anis yang suapkan mesti Puan Sri lagi berselera nak makan.” Dia masih cuba memancing nasib. “Saya ni orang luar, Cik Anis pulak anak Puan Sri. Lain rasanya kalau terima suapan dari anak sendiri. Lagipun Cik Anis la satu-satunya anak perempuan yang Puan Sri ada lepas arwah Manda meninggal. Kalau Cik Anis layan Puan Sri dengan baik dan ikhlas, pahala berbentuk syurgalah ganjarannya nanti.” Dia memaniskan wajahnya. Dalam hati dia berdoa agar Anis termakan umpannya.
            Anis menghempas kasut tumit tinggi yang dikeluarkan dari almari kasut. Dia merenung tajam ke wajah Haryati yang sudah pucat lesi. Mungkin terkejut dengan reaksinya tadi. “Siapa orang gaji kat dalam rumah ni? Kau ke aku?!” tengking Anis.
            “Sa... saya Cik Anis.” Tergagap-gagap Haryati bersuara.
            “Haaa... kalau dah tahu diri tu orang gaji, buatlah cara orang gaji. Tak payah nak mengajar aku pulak!” tengking Anis lagi. Dia geram dengan Haryati yang telah merosakkan moodnya pagi itu.
            “Apa yang bising-bising ni?” tanya Tan Sri Razman yang berdiri di tangga atas. Dia memandang Haryati dan Anis silih berganti.
            Anis memakai kasutnya tanpa menjawab soalan Tan Sri Razman.
            “Nak ke mana tu Anis?”
            “Nak keluar kejap. Bosanlah duduk rumah,” jawabnya tanpa memandang wajah Tan Sri Razman. Semalam dia ada mengajak Thakif keluar tapi lelaki itu menolak. Pagi ini Jennifer menjadi mangsa untuk menemaninya keluar setelah Maria turut menolak pelawaannya. Alasan Maria, dia mahu keluar bersama tunang. Yalah, cuti umum begini mesti mahu menghabiskan masa dengan tunang kan?
            “Balik-balik jawapan sama yang Anis bagi. Tak boleh nak lekat kat rumah langsung. Asyik nak berjalan je kerjanya! Papa ikat kaki tu kat tiang baru tahu. Biar tak dapat pergi mana-mana dah,” bebel Tan Sri Razman.
            “Papa, Anis bukan budak-budak lagi tau sampai nak kena ikat kat tiang. Masa kecik dulu bolehlah papa ugut macam tu. Sekarang Anis dah besar, dah tak takut dengan ugutan macam tu. Anis keluar dulu pa, nak release tension.” Sempat dia menjeling tajam ke wajah Haryati.
            “Budak ni kalau tak menjawab tak sah!” Tan Sri Razman menggeleng melihat Anis hingga hilang dari pandangan mata. “Bagi sini dulang tu, saya nak makan dengan Nida kat bilik.” Dia menghulurkan tangan mahu mengambil dulang di tangan Haryati.
            “Tapi ni ada sepinggan je pulut kuning Tan Sri... kejap saya ambil sepinggan lagi untuk Tan Sri ya...” Haryati menuruni tangga setelah menyerahkan dulang kepada Tan Sri Razman.
            “Tak payahlah Yati, saya kongsi dengan Nida je.
            Langkah Haryati terhenti. Dia berpaling memandang Tan Sri Razman. “Baiklah Tan Sri...” Kemudian dia menuruni tangga dengan hati yang kagum terhadap majikannya yang sangat mencintai Puan Sri Anida walaupun usia semakin meningkat. “Kan bagus kalau aku pun dapat suami yang romantik macam Tan Sri. Hai, bilalah bakal suami aku nak muncul ni? Umur dah nak masuk 36 tapi tak ada sorang pun bertanyakan aku kat mak. Nampak sangat aku ni tak laku,” bebelnya seorang diri di dapur. Tangannya mencapai senduk dan mencucinya.
            “Haaa, bebelkan apa tu?!”
            Senduk di tangan Haryati terlepas ke dalam sinki apabila mendengar sergahan itu. Dia menoleh ke belakang dan melihat Qhafi yang tersengih di sisi meja makan. “Qhaf ni kalau sehari tak buat akak terkejut tak sah kan! Nasib baik akak tak ada penyakit melatah, kalau tak dengan senduk-senduk ni melayang kat kepala Qhaf.” Dia bersuara geram. Kemudian menyambung kerjanya membasuh peralatan yang digunakan ketika memasak tadi.
            “Alah, janganlah marah kak... Qhaf suka tengok muka Kak Yati bila terkejut. Comel macam Syanie.”
            “Siapa yang macam Syanie?” sampuk Puan Karimah yang sudah melangkah masuk ke dapur. Dia mengambil tempat di hadapan Qhafi.
            “Siapa lagi, Kak Yati la nek... tengok kulit Kak Yati tu putih gebu je,” usik Qhafi sambil menyenduk pulut kuning ke dalam pinggan neneknya.
            “Qhaf ni ada-ada jelah... saja la tu nak bagi badan Kak Yati kembang lagi.” Haryati meletakkan rendang daging di atas meja.
            “Tengok nek, muka Kak Yati dah merah dah tu. Ala tomey-tomey...
            “Sudah Qhaf, tak payah nak mengusik Yati tu. Nenek kahwinkan kamu dengan dia baru tahu.” Puan Karimah bersuara.
            “Eh, boleh je nek... nanti Qhaf dapat anak kulit putih gebu macam Kak Yati.” Qhafi tersengih.
            Puan Karimah menggeleng kepala melihat telatah Qhafi.
            “Qhaf ni tak habis-habis nak merepek. Nanti akak bagitau Deeba kang...” ugut Haryati.
            “Eh, jangan bagitau dia! Angin cemburu dia tu lain macam sikit.” Qhafi sudah mula cuak.
            “Tahu takut... tapi kalau dengan akak mesti dia tak cemburu punyalah.” Haryati menuang air ke dalam cawan.
            “Eh, Kak Yati jangan tak tahu, Deeba tu lain sikit. Kalau nampak Qhaf dengan perempuan lain, mulalah angin cemburu dia datang,” terang Qhafi. Di ruang matanya sudah terbayang wajah cemburu Adeeba.
            “Eloklah tu dia cemburu. Tu maknanya dia sayang Qhaf lebih.” Haryati meletakkan semula teko kaca di atas meja.
            “Tu yang Qhaf paling suka tu.” Qhafi tersenyum.
            “Duduklah Yati, sarapan sekali.” Puan Karimah menepuk kerusi di sebelahnya menyuruh Haryati duduk.
            Haryati melabuhkan duduk di sebelah Puan Karimah. Dia selesa bekerja di rumah itu. Sejak dia mula bekerja di situ tiga tahun yang lalu, dirinya dilayan bagaikan keluarga sendiri kecuali Anis. Anak kedua Tan Sri Razman dan Puan Sri Anida itu sangat dingin dengannya.
*****
DIA termenung di balkoni biliknya. Sampul surat berwarna coklat di atas meja itu ditenung dalam-dalam sebelum mencapainya. Dia mengeluarkan isinya dan membaca kembali apa yang tertera di kertas itu. Rania Hafiya binti Razman. Sudah banyak kali dia membaca hasil siasatan itu namun dia bagaikan tak percaya. Kepalanya dipegang dan mengimbas kembali perbualannya dengan Malik dua hari lalu.
            “Betul ke apa yang aku baca ni Malik?” tanya Thakif sebaik saja dia selesai membaca hasil siasatan di tangan. Dia menyandarkan badan ke sofa dan memandang Malik dengan wajah yang keliru.
            “Betul Encik Kif. Arwah tunang encik merupakan kembar Rania. Saya sendiri pergi siasat kat hospital tempat Rania dilahirkan. Kata kawan saya yang bekerja kat situ, Rania dilahirkan kembar. Saya ada jugak tanya jiran-jiran kat rumah keluarga angkat dia, ada yang kata ternampak pasangan suami isteri yang bagi Rania kat Razali dan Azizah. Ada jugak yang cakap Rania ni dibuang keluarga kandung sebab dia anak luar nikah dan anak hasil dirogol oleh perompak.”
            “Siapa yang pandai-pandai cakap macam tu? Dia orang tak tengok ke yang Rania tu berbintikan Razman?” ujar Thakif sedikit geram.
            “Sabar Encik Kif... sabar...” Malik mengangkat kedua-dua belah tangannya ke paras dada cuba menenangkan Thakif. “Orang kampung memang macam tu. Bercakap ikut sedap mulut. Encik nak saya siasat punca arwah tunang encik terpisah dengan kembar dia ke?” tanyanya lagi.
            “Tak payahlah, yang tu biar aku yang uruskan. Kau dah dapatkan maklumat macam ni pun dah okey.”
            “Okey, bos...”
            Thakif meletakkan kembali sampul surat di atas meja. Ketika mendapat tahu tentang hal ini, dia tak sampai hati mahu memberitahu Rania. Dia tak mahu fikiran gadis itu terganggu tambahan pula gadis itu masih dalam mood peperiksaan. Matanya dihalakan ke luar balkoni. “Patutlah hati aku macam tak sedap je bila tengok Rania. Patutlah hati aku bagaikan ditarik-tarik untuk siasat background dia. Rupa-rupanya Tuhan nak tunjukkan pada aku yang arwah Manda ada kembar yang terpisah sejak dari bayi. Tapi... apa tujuan Dia nak tunjukkan aku pasal ni?” Dia cuba berfikir secara logik. Tiba-tiba wajah Puan Sri Anida muncul di ruang matanya.
            Dia memetik jarinya apabila sudah mendapat jawapan pada persoalan yang berlegar di hatinya. “Mesti Dia nak aku satukan balik keluarga Qhaf! Hmmm... betullah tu, bila ibu jumpa Rania nanti mesti ibu pulih!” Dia mengangguk kepala. “Tapi... macam mana arwah dengan Rania boleh terpisah? Tak mungkinlah Rania tu anak haram sebab ibu sangat sayangkan arwah Manda. Lagipun Qhaf dengan Anis pun kembar.” Dia memikir lagi. “Ah, yang tu letak tepi dulu, yang penting sekarang temukan ibu dengan Rania dulu.” Dia melangkah masuk ke biliknya dan mencapai telefon pintar yang diletakkan di meja lampu.
            “Helo Qhaf, kau free tak hari ni?” tanya Thakif sebaik saja Qhafi menjawab panggilannya.
            “Aku tak free, aku mahal.”
            Terjegil mata Thakif mendengar jawapan gurauan Qhafi. “Isy kau ni, aku serius, kau main-main pulak!” Serius saja nada suara Thakif.
            “Hahaha... relakslah bro... kau nak jumpa ke?”
            “Haah, aku nak jumpa kau kat tempat biasa, pukul 3 kang.
            “Okey set, aku jumpa kau kat sana,” jawab Qhafi di hujung talian.
            Sebaik mematikan talian, Thakif melihat jam di skrin telefon pintarnya. Baru pukul 11 pagi. Ada lagi empat jam sebelum pukul 3 petang. Dia melangkah keluar dari bilik dan menuju ke bilik Adeeba. Sebaik membuka pintu bilik adiknya, dia lihat bilik itu kosong. Kemudian dia melangkah ke bawah mahu melihat kalau-kalau adiknya berada di luar rumah.
            “Eh, sekejapnya kereta siap?” Thakif terkejut melihat Adeeba sedang  mencuci kereta di laman. Dia melabuhkan duduk di kerusi yang berdekatan dengan tempat Adeeba mencuci kereta.
            Adeeba memandang Thakif. “Bateri je yang problem...” bohongnya sambil menyabun kereta.
             “Ooo... Rania dah sampai kampung ke? Hari tu abang tertunggu-tnggu jugak dia call tapi tak call pun. Panggilan rindu pun tak buat.” Wajah Thakif sedikit murung. Memang dia tak lena tidur sejak mengetahui identiti sebenar Rania.
            “Kak Ran ada mesej Deeba semalam,dia cakap dah sampai. Abang rindu dia eh?” Adeeba tersenyum nakal.
            “Deeba ni ke situ pulak! Abang cuma risaukan dia pasal tidur sorang-sorang kat kolej tu je. Kalau dia okey, baguslah. Lega sikit hati abang ni. Dah, cuci kereta tu. Lepas ni tolong cuci kereta abang pulak.” Thakif tiada rasa mahu bercerita tentang identiti sebenar Rania pada adiknya. Dia mahu Qhafi tahu dulu kerana lelaki itu lebih berhak untuk tahu.
            “Boleh, tapi kena bagi upah!” Adeeba tersengih.
            “Berkira betullah Deeba ni. Cubalah tolong dengan ikhlas sikit... ni sikit-sikit minta upah!” Thakif berpura-pura merungut. Dia sebenarnya tak kisah untuk memberikan upah pada Adeeba.
            “Mestilah kena berkira. Nak masuk tandas pun kena bayar tau!”
            “Yalah, nanti abang bagi upah.” Thakif bangun mencapai hos getah lantas menjirus ke kereta Adeeba yang bersabun.
            “Haaa... macam ni barulah boleh jadi abang kesayangan Deeba!”
            Thakif mencebik. “Kalau bagi upah, abang kesayangan, kalau tak bagi upah pulak abang apa?” Dia memandang Adeeba yang sedang menyabun belakang kereta.
            “Kalau tak bagi upah, abang tangkai jering la! Hahaha...” Adeeba ketawa.
            Thakif menghalakan muncung hos getah ke arah Adeeba dan menembaknya.
            “Abang Kif, apa ni? Basahlah!” Adeeba mengelak. Dia mengibas-ngibas percikan air yang terkena baju T- shirt kuning yang dipakainya.
            Thakif ketawa. Dia menghalakan lagi muncung hos getah ke arah Adeeba dan menembaknya.
            Adeeba pantas berlari ke sebelah kanan pula. “Dahlah bang... nanti Deeba tak nak cuci kereta abang kang baru tahu!” ugutnya. Dia membuka ikatan rambutnya yang sudah basah.
            “Tak nak cuci sudah, abang boleh cuci sendiri. Nah, amek ni!!!” Sekali lagi dia menembak Adeeba.
            Adeeba menutup muka dengan kedua-dua belah tangan. “Ni dah lebih ni!!!” Dia mencapai baldi yang berisi air sabun lantas menyimbah ke badan Thakif yang tak bersedia. Kemudian dia ketawa melihat baju abangnya yang dihujani air sabun.
            “Deeba, habislah baju abang! Abang tembak dengan air bersih je, Deeba siram dengan air sabun pulak!” ujar Thakif geram. Hos getah di tangan dihalakan ke badannya, membersihkan sisa sabun.
            “Padan muka! Siapa suruh abang mula dulu.” Adeeba mencapai satu lagi hos getah dan turut membersihkan baju Thakif.
            “Kif, kenapa mandi kat luar ni? Bilik air kat dalam rumah ni tak best ke sampai nak mandi kat luar?” tanya Datin Rosnah yang meninjau bunyi bising di laman rumah.
            Thakif dan Adeeba menoleh ke arah Datin Rosnah yang sedang berdiri di pintu masuk. Kemudian kedua-duanya berpandangan dan ketawa.
            “Abang Kif cakap dia mengidam nak mandi kat luar ma...”
            Thakif yang geram dengan jawapan Adeeba pantas meluku kepala adiknya. “Pandai-pandai je budak ni.” Dia memandang mamanya pula. “Deeba siram Kif dengan air sabun ma. Habis bersabun baju Kif ni,” adunya.
            “Ewah-ewah... suka jiwa je menuduh. Abang yang siram Deeba dulu tau!” Hos getah sudah dicampakkan ke bawah dan dia mula bercekak pinggang memandang Thakif.
            “Deeba la mula dulu panggil abang tangkai jering.” Thakif menyiram kepala Adeeba.
            “Mama, tengoklah abang ni!” jerit Adeeba manja. Dia menepis hos getah di tangan Thakif.
            “Mama, tengoklah Deeba ni!” Thakif mengajuk cara percakapan Adeeba.
            Adeeba menyiku pinggang Thakif.
            “Auuuu!” Thakif terjerit kecil. Pinggang yang terasa sengal digosok perlahan.
            Datin Rosnah menggeleng kepala. Apabila datang perangai gila-gila, macam inilah keadaan anak-anaknya. Namun di dalam hati dia berasa bahagia. “Malas mama nak layan kamu berdua ni. Tunggu situ, mama masuk ambil tuala. Lain kali kalau dah tahu nak mandi kat luar, ajaklah mama sekali.”
            Thakif dan Adeeba berpandangan mendengar kata-kata mama mereka. Kedua-duanya ketawa.
                                                            *****
RANIA menjenguk ke dapur apabila terdengar bunyi bising. Dia menghampiri Maisara yang sedang mengacau sesuatu di atas meja. Eh, isi durian? Nak buat tempoyak ke? Takkanlah nak buat tempoyak pakai lempeng kot? gumam hatinya apabila terpandangkan lempeng berwarna kuning dan merah yang berlapis-lapis tersusun di dalam pinggan. Dia memalingkan kepalanya memandang Puan Azizah yang tekun memerhati mesin pengadun yang sedang berputar di atas kabinet. Dia melangkah mendapatkan emaknya. “Mak nak buat kek durian ke?” tanyanya apabila melihat ada krim yang hampir menjadi kental di dalam mesin pengadun itu.
            “Taklah, nak buat durian crepe.” Puan Azizah mematikan suis mesin pemutar apabila krim sudah kental.
            “Hah, mak pandai buat durian crepe ke?” tanya Rania bagaikan tak percaya.
            “Sekarang kan dah canggih. Taip je resipi apa yang kita nak kat Pak Cik Google tu terus dapat. Apa orang cakap, segalanya mudah hanya di hujung jari.” Puan Azizah membawa krim putar yang sudah kental itu ke meja. Kemudian dia melabuhkan duduk di hadapan Maisara.
            “Wah, mak ni sejak bila pulak pandai sebut Pak Cik Google ni? Ni mesti adik yang ajar ni.” Rania mengambil tempat di sebelah Maisara dan memandang adiknya itu.
            “Tahu tak apa,” jawab Puan Azizah selamba.
            Maisara sudah menjungkit-jungkit keningnya sambil menayang wajah bangga. Telinga kirinya pula sengaja digerak-gerakkan.
            “Humph! Tak habis-habis nak tayang telinga bergerak dia tu.” Rania mencebik. “Banyak jugak durian crepe yang mak nak buat. Boleh habis ke ni?” Matanya difokus kembali pada lempeng di dalam pinggan.
            “Semua ni ada orang tempahlah kak long.”
            Tak berkelip mata Rania mendengar apa yang dijawab oleh Maisara. “Sejak bila mak ambil tempahan buat durian crepe ni? Tak bagitau kak long pun.” Dia memandang Puan Azizah.
            “Baru dua minggu mak ambil tempahan ni. Tu pun lepas mak jamu Kak Biah masa dia singgah sini. Kebetulan masa tu durian crepe yang mak buat tu ada lagi dalam peti ais, mak pun jamulah dia. Lepas tu dia suruh mak buat dan hantar kat kedai roti dia. Alhamdulillah, ramai yang suka. Kali ni Kak Biah suruh mak buat strawberi crepe sekali,” cerita Puan Azizah.
            “Ooo, patutlah ada buah strawberi sekali.” Mata Rania jatuh pula pada buah strawberi yang telah dipotong dadu dan filling strawberi di dalam mangkuk. “Kak ngah dengan achik balik esok ke mak?” tanyanya apabila teringat Fazila dan Hakimi yang menyertai kem motivasi di sekolah.
“Haah, petang esok dia orang baliklah,” jawab Puan Azizah sambil meletakkan isi durian ke tengah lempeng.
Rania mengangguk. Dia memerhatikan cara emak dan adiknya membalut durian crepe, kemudian dia turut membantu. Sekeping lempeng berwarna kuning diambil. Dia meletakkan satu sudu krim putar di tengah lempeng, kemudian isi durian pula diletakkan di atas krim dan dia meletakkan sekali lagi krim putar di atas isi durian. Lempeng itu kemudiannya dilipat seperti bantal dan dimasukkan ke dalam bekas cupcake. Dia terkebil-kebil sebentar membandingkan hasil tangannya dengan yang dibuat oleh emak dan adiknya.
“Hahaha...” Maisara sudah tergelak besar melihat hasil tangan Rania. Nampak besar dan sedikit penyek.
“Isy, gelak pulak adik ni. Nak berlagaklah tu yang dia buat comel.” Rania menyiku lengan Maisara.
“Haruslah berlagak! Selalu asyik kak long je yang nak menang.” Sekali lagi Maisara menayang muka bangga.
Rania menjulingkan mata ke atas. Sekeping lempeng lagi diambil. Kali ini dia mahu memastikan saiz yang dia buat sama seperti yang dibuat oleh emak dan adiknya.
Whipped cream dengan isi durian tu jangan letak banyak sangat, tu yang susah nak lipat tu. Masa nak lipat pulak jangan tekan benda tu. Lipat macam biasa je. Tadi mak nampak kak long tekan-tekan benda tu.” Puan Azizah memberi tunjuk ajar.
“Ooo... macam tu ke. Kenapa tak cakap awal-awal?” Rania cuba membuat seperti yang diajar oleh emaknya.
Dua jam kemudian, siap juga durian dan strawberi crepe. Rania menggeliat merenggangkan urat-urat belakang badannya yang terasa lenguh kerana terlalu lama duduk.
“Lepas ni kak long dengan adik tolong masukkan kat dalam peti ais eh, mak nak angkat baju kat luar.” Puan Azizah melangkah ke sinki untuk membasuh tangan. Kemudian dia berlalu keluar dari dapur.
Maisara mencolek krim putar yang berbaki sedikit lantas disapu ke pipi Rania yang sudah berdiri mahu menyimpan durian dan strawberi crepe yang telah siap diletakkan di dalam bekas.
“Adik!!!” jerit Rania yang terkejut dengan perbuatan Maisara. Dia meletakkan semula durian crepe di atas meja lantas mengejar Maisara yang sudah berlari keluar dari dapur.
Maisara memusing kepalanya dan menjelirkan lidah pada Rania yang masih mengejarnya. “Cantik pipi kak long. Hahaha...” Dia berlari menaiki tangga dan menuju ke biliknya yang dikongsi bersama Fazila.
“Siaplah adik. Kalau kak long dapat, kak long uli cukup-cukup!” ujar Rania geram. Dia turut menaiki tangga. Apabila melihat Maisara mahu menutup pintu bilik, dia pantas merempuh. Dia menangkap kaki adiknya yang sudah memanjat ke katil. Kemudian dia menggeletek pinggang Maisara. Dia tahu di situlah kelemahan adiknya selain di belakang tengkuk.
Terjerit-jerit Maisara menahan geli di pinggang. “Kak long, dahlah. Gelilah...” rayunya.
“Lain kali nak buat lagi tak?” Rania masih lagi menggeletek pinggang Maisara.
“Okey, adik dah tak buat lagi. Dahlah kak long, sakit pinggang orang.” rayu Maisara lagi. Sakit perutnya asyik ketawa.
“Lap balik pipi kak long ni.” Rania sudah duduk di atas katil dan menyuakan pipinya yang dicemari krim putar.
Maisara mencapai sehelai tisu dari meja lampu lantas mengelap pipi Rania.
“Astaghfirullahalazim... bertuah punya anak dara! Aku suruh masukkan benda tu dalam peti ais, dia orang lari pulak. Kak long, adik... ke mari kamu!” Suara Puan Azizah sudah memetir di bawah.
Terhenti seketika sesi mengelap pipi Rania apabila mendengar jeritan Puan Azizah yang kuat itu.
“Adik la punya pasal ni, letak whipped cream kat muka kak long sampai terbantut kak long nak masukkan durian dengan strawberi crepe tu kat peti ais.”
“Apa pulak adik? Siapa suruh kak long kejar adik!” Maisara tak mahu mengalah.
“Rania Hafiya! Nur Maisara!”
“Ya mak!!!” kedua-duanya bersuara serentak apabila Puan Azizah sudah menyebut nama penuh mereka. Kemudian kedua-duanya terkocoh-kocoh keluar dari bilik.
*****
QHAFI sudah bersiap-siap untuk berjumpa Thakif. Setelah membetulkan T- shirt berkolar berwarna biru muda yang dipakai, dia terus melangkah keluar dari bilik. Ketika mahu menuruni tangga, matanya terpandang bilik yang berhampiran dengan bilik Amanda  yang terbuka sedikit. Perlahan-lahan kakinya dibawa ke arah bilik yang terbuka itu. Semakin hampir ke bilik itu dadanya semakin berdebar. Tambahan pula apabila mendengar suara tangisan ibunya, lagilah hatinya terasa tak keruan.
            Tangan kanan menolak sedikit pintu bilik itu. Matanya diliarkan memandang sekeliling bilik yang dicat dengan warna hijau muda. Bilik itu nampak kemas tanpa sebarang habuk. Di sebelah katil bersaiz queen terdapat sebuah baby cot yang elok terletak. Kemudian dia memandang Puan Sri Anida yang sedang mengusap bingkai gambar yang tergantung di dinding di atas kepala katil. Dia mengerut dahi. “Tu bukan gambar Manda ke?” bisiknya perlahan. “Tapi... kenapa ada sorang lagi muka macam Manda?” Dia pelik melihat gambar dua orang bayi yang sedang tidur di dalam baby cot.
            Puan Sri Anida mencapai baju bayi yang berwarna pink di dalam baby cot. Dia mencium baju itu dan memeluknya erat. “Yaya...”
            Qhafi terkejut mendengar nama yang keluar dari mulut Puan Sri Anida.
            “Yaya...” Puan Sri Anida teresak-esak.
            “Siapa Yaya?” bisik Qhafi perlahan. Matanya bersilih ganti memandang Puan Sri Anida dan gambar yang tergantung di dinding itu.
            Puan Sri Anida memanggung kepala memandang gambar itu lagi. “Manda... Yaya... ibu rindu... ibu rindu kamu berdua... bila Manda nak balik? Kenapa tinggalkan ibu lama-lama? Manda tak sayangkan ibu ke?”
            Qhafi terasa mahu pitam. Manda ada kembar ke? Kenapa selama ni aku tak tahu pun? Dia menarik nafas cuba menenangkan hatinya. Dia perlu bertanya kepada ibunya untuk menghilangkan tanda tanya di dalam kepala. Baru saja dia mahu menghampiri Puan Sri Anida, ada tangan yang memegang bahunya. Dia pantas berpaling.
            “Qhaf buat apa kat sini?” tanya Tan Sri Razman yang berada di luar pintu bilik.
            “Papa, siapa Yaya?” tanya Qhafi. Peluang sudah ada di depan mata, dia tak akan sekali-kali melepaskan.
            Wajah Tan Sri Razman sedikit berubah. “Macam mana Qhaf tahu?” Dia pelik apabila melihat Qhafi berdiri di depan pintu bilik itu tadi. Hatinya tertanya-tanya bagaimana anak sulungnya itu mendapat kunci bilik itu. Bilik yang dia sendiri tidak membenarkan anak-anaknya menerokai isi di dalamnya. Setahunya hanya dia dan isterinya saja yang mempunyai kunci bilik itu. Setiap seminggu sekali dia akan menyerahkan kunci bilik itu kepada Haryati untuk proses pembersihan tanpa pengetahuan anak-anaknya. Takkanlah Yati terlupa nak kunci bilik kot?
            “Yaya...”
            Suara Puan Sri Anida telah menjawab segala persoalan yang berlegar di benak Tan Sri Razman. Dia melangkah masuk ke bilik itu tanpa menjawab soalan anak sulungnya yang masih setia menunggu jawapan. Langkah kakinya terhenti apabila Qhafi memegang lengannya. Matanya di halakan ke wajah isterinya tanpa berpaling memandang Qhafi.
            “Papa tak jawab pun soalan Qhaf. Siapa Yaya pa? Kenapa ibu menangis? Kenapa ada sorang lagi baby yang muka macam Manda dalam gambar tu? Dia adik Qhaf ke pa? Mana dia sekarang?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Qhafi.
            Tan Sri Razman menarik nafas perlahan. Dia melepaskan pegangan Qhafi di lengannya lantas mendapatkan Puan Sri Anida yang masih menangis di atas katil.
            “Papa!” Suara Qhafi sedikit meninggi. Dadanya terasa bagai nak pecah apabila Tan Sri Razman tak menjawab semua soalannya.
            “Nida, jom kita balik bilik.” Tan Sri Razman mengambil baju dipelukan isterinya lantas diletakkan semula di dalam baby cot. Soalan Qhafi tadi langsung tak dipedulikan. Dari ekor mata, dia dapat melihat wajah satu-satunya anak lelakinya itu sudah sedikit bengang.
            “Abang, Nida rindu anak-anak kita. Nida rindu kat Manda...  rindu kat Yaya jugak,” rintih Puan Sri Anida.
            Sedikit sebanyak rasa bengang Qhafi surut apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ibunya. Tapi itu tak bermakna dia tak akan menuntut jawapan daripada papanya.
            “Abang tahu... abang pun rindukan mereka jugak. Kita balik bilik kita ya?” Tan Sri Razman memegang bahu Puan Sri Anida dan membangunkannya. Dia memandang Qhafi yang masih setia berdiri di muka pintu. Sudah sampai masanya untuk dia membuka rahsia yang telah lama disimpan. “Betul Qhaf nak tahu siapa Yaya?”
            Qhafi mengangguk laju.
            “Qhaf tunggu papa kat bilik bacaan. I will tell you everything.” Tan Sri Razman membawa Puan Sri Anida keluar dari bilik itu. “Tolong kunci pintu bilik ni,” pesannya.
            Qhafi menghantar Tan Sri Razman dan Puan Sri Anida dengan pandangan mata. Sebaik saja kedua-dua orang tuanya hilang dari pandangan mata, dia mula mengunci bilik itu. Kunci itu diramas perlahan sebelum turun ke bawah.

~BERSAMBUNG~

p/s: Semua tanda tanya dah terjawab kan...