Followers

Thursday, 24 October 2013

Cerpen: Aku Sebuah Telefon Pintar

NAMAKU Blackberry Torch 9800. Aku telah dirasmikan pada 4 Ogos 2010. Aku mempunyai pelbagai fungsi iaitu boleh melayari internet, boleh memuat turun apa saja, mempunyai bateri yang tahan lama dan banyak lagi. Aku dan kawan-kawanku telah ditempatkan di sebuah pusat membeli-belah yang aku sendiri tak tahu namanya.
            Suatu hari ada seorang lelaki merenungku tajam. Mungkin dia suka dengan aku yang berwajah cantik ini dan aku lihat dia menyuruh jurujual mengeluarkan aku dari cermin kaca. Aku tersipu-sipu malu apabila dia membelekku. Selepas membuat tawar-menawar, lelaki itu mengeluarkan duit dan membayar hargaku. Kemudian dia membawa aku keluar dari kedai itu. Sedih hati aku apabila terpaksa meninggalkan kawan-kawan. Tapi aku berjanji kepada diri yang aku akan berusaha berkhidmat dengan baik  untuk tuanku.
                                                                        *****
AKU dibawa ke sebuah rumah mewah. Sebaik saja tuanku melabuhkan duduk di sofa, dia memanggil seseorang yang bernama Laili. Beberapa minit kemudian turun dua orang remaja perempuan mendapatkan tuanku. Tuanku menyerahkan aku kepada remaja perempuan yang bernama Laili dan berkata kepada seorang lagi remaja perempuan yang bernama Laila bahawa dia akan membelikan telefon bimbit untuk Laila apabila tiba hari lahirnya nanti.
            Laila aku lihat berwajah masam apabila melihat kakaknya membelek-belek aku. Sebelum tuanku yang sebenar mahu melangkah ke atas, ayah tuanku sempat berpesan agar tidak membawa aku ke sekolah, belajar bersungguh-sungguh dan tidak leka bermain dengan aku.
                                                                        *****
KEESOKAN harinya, tuan aku mengingkari arahan ayahnya. Dia telah curi-curi membawa aku ke sekolah. Apabila tiada guru yang masuk mengajar, dia mengeluarkan aku dari poket baju kurungnya dan menayang aku kepada rakan sekelasnya. Tuanku memberitahu rakan sekelasnya yang aku dibeli sempena hari lahirnya yang ke tujuh belas tahun.
            Semua rakan-rakannya mengelilingi tuanku untuk melihat aku. Tuanku mula menunjukkan betapa canggihnya aku. Dia mula membuka laman sosial facebook. Tuanku mula mengemaskini statusnya.

Hari kedua bersama blackberry torch...

Beberapa saat kemudian ramai rakan yang menyukai status tuanku itu dan ada juga yang memberi ulasan.
            Selepas itu, tuanku memuat turun lagu yang diminta rakan sekelasnya. Bermacam-macam lagu dan video yang boleh dimuat turun kerana aku mempunyai memori yang besar untuk menyimpan segala jenis lagu dan video. Apabila loceng rehat dibunyikan, tuanku mahu menyimpan aku semula untuk mengisi perut di kantin sekolah tapi rakan lelaki tuanku yang bernama Fahmi menghalang. Dia meminta izin untuk meminjam aku sebentar. Tanpa berfikir panjang, tuanku menyerahkan aku kepada Fahmi dan memintanya agar menjaga aku.
            Sebaik saja tuanku keluar dari kelas, Fahmi dan dua orang lagi rakannya mengelilingiku. Mereka kemudiannya ketawa sebelum membuka laman youtube. Aku menyangka mereka hanya ingin menonton video klip lagu-lagu tapi aku mula berasa marah apabila mereka mengambil kesempatan ke atas kecanggihan aku dengan menonton video porno. Memang aku bangga dengan kecanggihanku tapi aku tak suka jika aku disalahgunakan seperti yang dibuat oleh Fahmi!
Tujuan aku dicipta adalah untuk memudahkan sesiapa yang menggunaku, bukan untuk merosakkan akhlak pengguna! Sekiranya aku mempunyai tangan seperti manusia, mahu saja aku memulas telinga ketiga-tiga rakan sekelas tuanku ini.
“Awak bertiga buat apa tu?”
            Fahmi dan dua orang lagi rakannya terkejut apabila mendengar sergahan satu suara. Rupa-rupanya guru disiplin sedang meronda di kawasan kelas untuk memastikan semua pelajar turun ke kantin. Fahmi kelam-kabut menyimpan aku di bawah meja tanpa sempat mematikan video yang dia lihat tadi.
            Guru disiplin itu menghampiri meja yang diduduki Fahmi dan dua orang rakannya. Kemudian dia menyelukkan tangan ke bawah meja untuk melihat apa yang cuba disembunyikan oleh Fahmi. Terbeliak mata guru itu apabila melihat apa yang sedang Fahmi dan dua orang rakannya tonton tadi. Kemudian guru itu memarahi Fahmi dan dua orang rakannya kerana telah melakukan dua kesalahan iaitu membawa benda terlarang ke sekolah dan menonton video yang tak sepatutnya.
            Fahmi dan dua orang rakannya meminta maaf dan menjelaskan bahawa aku ialah milik tuanku, Laili.
            Guru itu meminta Fahmi menyampaikan kepada tuanku, sekiranya tuanku ingin mendapatkan aku kembali, dia diminta membawa ibu atau bapanya. Kemudian aku dibawa ke sebuah bilik yang paling digeruni pelajar, iaitu bilik disiplin, di mana pelajar yang melakukan kesalahan akan didenda. Aku dibungkus di dalam kertas surat khabar sebelum disimpan di sebuah tempat yang aku sendiri tak tahu kerana keadaan aku yang berbungkus menyukarkan aku untuk mengecamnya.
                                                                        *****
AKU terasa badanku diangkat lalu diletakkan di atas benda keras. Kertas surat khabar yang membaluti tubuhku dibuka. Pandangan aku mula cerah kembali. Kemudian aku diserahkan kepada ayah tuanku. Aku gembira apabila dapat kembali semula kepada tuanku.
Sebelum tuanku masuk ke kelas, Ayah tuanku sempat memarahinya kerana telah mengingkari arahan. Dia juga sempat memberi amaran sekiranya tuanku masih lagi membawa aku ke sekolah, dia tak akan menyerahkan aku kepada tuanku lagi.
                                                                        *****
HARI demi hari, tuanku semakin leka bermain dengan aku sehingga menyebabkan markah peperiksaannya merosot. Keadaan ini menyebabkan kedua-dua orang tua tuanku memarahinya. Aku dirampas oleh ayah tuanku dan dia telah membuat keputusan mahu menyerahkanku kembali kepada tuanku apabila markah peperiksaannya meningkat semula. Kemudian aku dibawa keluar dari bilik tuanku lalu diletakkan di dalam almari perhiasan di ruang tamu. Kemudian ayah tuanku berlalu ke biliknya.
            Laila yang melihat ayahnya meletakkan aku di situ, segera bangun dan menghampiri almari perhiasan. Almari itu dibuka lalu aku dikeluarkan. Senyuman lebar tersungging dibibirnya. Dia mula berlari menaiki tangga lalu masuk ke biliknya. Laila memasukkan kad simnya ke dalam badan aku, kemudian dia memperagakan dirinya di hadapan cermin sambil memegang aku.
                                                                        *****
PETANG itu, Laila membawaku keluar tanpa pengetahuan tuanku dan ibu bapanya. Aku dibawa ke pusat beli-belah. Di situ dia dan rakan-rakannya menonton wayang. Selesai menonton wayang, Laila menggunakan aku untuk menangkap gambar untuk diletakkan di facebook. Kemudian Laila dan kawan-kawannya membawaku masuk ke pusat bowling.
            Ketika sedang asyik bermain, tiba-tiba perut Laila memulas dan dia meminta rakannya menemaninya ke tandas. Setelah selesai membuang hajat, belum sempat Laila menekan pam tandas, aku telah menggelongsor dari poket baju sejuknya lalu masuk ke dalam lubang tandas. Wajah Laila sudah bertukar cemas. Dia membuka pintu tandas lalu memanggil rakannya untuk mengambilku.
            Rakannya menayang muka kegelian sambil menutup hidung kemudian dia keluar dari tandas itu. Apabila dia terpandang tukang cuci yang baru saja memasuki tandas, dia meminta tukang cuci itu mengambilku dari lubang tandas.
            Dengan memakai sarung tangan dan tanpa rasa jijik, tukang cuci tandas itu mengambil aku. Kemudian dia mengambil tisu yang tergantung lalu mengelap badan aku. Setelah membersihkan aku, dia menyerahkan aku kepada Laila namum Laila tak mahu menyambut aku.
            Laila meminta tukang cuci itu memasukkan aku ke dalam plastik supaya mudah untuk dia membawa aku pulang kerumah.
                                                                        *****
DI RUMAH, teruk Laila dimarahi oleh kedua-dua ibu bapanya kerana mencuri aku tanpa pengetahuannya. Tuanku pula kelihatan sedih apabila melihat keadaan aku yang busuk dan sudah rosak. Ayah tuanku berjanji akan membaiki aku tapi tuanku tak mahu dan dia memberontak mahukan telefon yang baharu. Akhirnya wajah tuanku bertukar ceria semula apabila ayahnya bersetuju dengan permintaannya. Kali ini ayahnya berjanji akan membelikan Laila sekali kerana tak mahu perkara yang sama berulang lagi.
            Tuanku mula mencapai aku yang berada di tangan Laila lalu membawa aku ke bilik stor. Aku diletakkan di bilik stor yang gelap lagi penuh dengan barang-barang lama.  Aku sedih kerana tuanku sudah tak sayangkan aku lagi. Tetapi aku tetap gembira apabila tuanku tak membuang aku jauh darinya.


~TAMAT~

 p/s: Dari tahun 2012 buat cerpen ni dan dapat 5 mukasurat. Bila buat cerpen ni tiba-tiba teringat zaman sekolah rendah dulu... dah lama tak buat karangan autobiografi ni... hehehe... Daripada biarkan belog bersawang, WC tepek karangan ni kat sini... 
Enjoy reading dan selamat mengenang kenangan zaman sekolah rendah...

Saturday, 5 October 2013

Teaser 4 Seiras a.k.a Separuh Hati Untukmu


“Ingat tak dulu Yaya pernah nasihatkan abang pasal tanggungjawab abang? Sekarang, abang nak Yaya fikir tanggungjawab Yaya pada ibu bapa kandung Yaya pulak.
Rania diam. Pandangannya dilemparkan ke tempat duduk di sebelah kanan Thakif yang kosong.
“Yaya tahu tak, dalam Islam antara ibu bapa angkat dengan ibu bapa kandung, Yaya kena dahulukan ibu bapa kandung walaupun bukan dia orang yang menjaga Yaya dari kecik. Walaupun ibu bapa angkat menjaga Yaya bagai menatang minyak yang penuh, itu masih tak dapat menandingi pengorbanan dan kelebihan ibu bapa kandung sebab ibu Yaya mengandungkan Yaya selama sembilan bulan sepuluh hari. Perut ibu Yaya tu bukannya boleh ditukar-tukar. Bila rasa penat je, cabut kejap perut tu dan tempek kat perut orang lain. Pernah ke Yaya tengok orang mengandung buat macam tu? Tak pernah, kan?”
Rania menggeleng perlahan. Mata masih tak memandang Thakif. Ketawa yang mahu meletus gara-gara lawak spontan lelaki itu cuba ditahan daripada pecah.
Ek eh, boleh pulak dia nak gelak. Ingat aku tak nampak muka cover gelak dia tu. Yaya... Yaya... “Ehem...” Thakif berdeham membetulkan suara. “So, selama sembilan bulan sepuluh hari tulah ibu Yaya usung perut ke hulu, ke hilir. Nak makan pun dia usung, nak mandi dan nak tidur pun dia usung. Tu belum lagi masuk bab loya masa awal mengandung. Betis bengkaklah, tidur terganggulah bila anak dalam perut dah pandai main tendang-tendang. Dengan lenguh pinggangnya lagi. Semuanya ibu terpaksa harung. Lepas tu masa nak melahirkan pulak, ibu terpaksa menahan sakit nak beranak. Masa tu bila-bila masa je nyawa ibu boleh melayang semasa melahirkan. Walaupun tenaga dah banyak hilang, seorang ibu tetap bertahan dan bertahan sebab kesakitan yang dia alami akan hilang bila dapat tengok muka anak yang dia kandung selama ni. Malah seorang ibu tak kisah kalau nyawa dia terkorban, asalkan anak dia lahir dengan selamat dan dapat lihat dunia ciptaan Allah.”
            Tiba-tiba rasa sebak mula menjengah. Rania menarik nafas cuba menghilangkan rasa itu namun ia tetap melekat kukuh di relung hatinya.
“Ayah kandung pulak, bila start ibu mengandung terpaksa berjaga malam, urut kaki isteri, urut belakang isteri yang muntah-muntah, layankan isteri yang mengidam itu ini, sediakan barang keperluan bersalin lagi. Ada satu kes tu, suami yang kena morning sickness. Yang ni abang yakin Yaya pun tahu. Bila dah kena morning sickness, jenuhlah si suami ni nak ulang-alik ke bilik air sebab asyik nak muntah je. Nak buat kerja pun payah sebab badan rasa lembik tapi dia tak kisah, asalkan isteri dia okey. Bak kata orang, kalau suami yang kena morning sickness ni dia sangat sayangkan isteri dia. Macam tu jugaklah apa yang ibu dan papa Yaya pernah rasa. Kalau Yaya dah kahwin nanti, Yaya pun akan melalui perkara yang sama. Sekarang Yaya dah boleh nampak betapa besarnya pengorbanan ibu bapa kandung, kan?” Thakif memandang wajah Rania yang sudah berubah mendung.
Rania mengangguk perlahan. Tubir matanya sudah memberat menahan air mata yang bila-bila saja boleh tumpah.
“Sebab tulah Islam menyuruh anak mendahulukan ibu bapa kandung daripada ibu bapa angkat. Tapi abang tak bermaksud nak suruh Yaya abaikan ibu bapa angkat. Abang tahu ibu bapa angkat Yaya banyak berjasa pada Yaya. Dia orang yang memelihara dan mendidik Yaya dari kecik sampailah sekarang. Since abah dan mak Yaya dah benarkan Yaya ikut kita orang, rasanya tak salah kalau Yaya curahkan sedikit kasih sayang pada ibu dan papa. Yaya pun tahu, kan tanggungjawab seorang anak adalah membahagiakan ibu bapa? Kalau bukan sebab ibu dan papa Yaya, Yaya mungkin takkan ada dalam dunia ni. Cuba gali hati Yaya betul-betul dan cari balik rasa yang pernah hilang dulu.”
Serta-merta air mata Rania tumpah. Kata-kata Thakif tadi benar-benar menyentuh hatinya. Dia sedar pengorbanan seorang ibu terlalu besar, tapi disebabkan rasa marah yang menguasai hati, dia kuburkan keinginannya untuk mencari keluarga kandung. Diajar hatinya membenci dan dikeraskan hatinya agar tak cair dengan pujukan abangnya. Tangisannya mula kedengaran tersedu-sedan.
Sayu hati Thakif melihat Rania menangis begitu. Dia terasa mahu menenangkan gadis itu namun ditahankan. Dia masih tahu batas antara mereka. Tanpa sebarang alarm, satu perasaan halus mula meresap di relung hatinya. Dia sendiri tak tahu apa yang membuatkan hatinya terbuka luas untuk Rania. Nak kata dia suka Rania sebab wajah gadis itu mirip tunangnya, tak mungkin. Sebab ketika dia berjumpa dengan Rania buat kali kedua dulu, hatinya masih lagi tertutup rapat. Mungkin detik ini Allah nak tunjukkan yang Rania adalah jodohnya. Dan malam ini, tanpa teragak-agak, dia mula yakin Rania Hafiya la pelengkap ruang hati Thakif Qarish yang selama ini dikhaskan untuk Nuha Amanda. Sedikit demi sedikit bayangan Amanda digantikan dengan wajah Rania.
Tanpa mereka sedari, ada seseorang yang mengintai di sebalik langsir tingkap bersebelahan buaian. Razali tersenyum dan melangkah ke biliknya.
“Sudahlah Yaya, jangan nangis lagi. Nanti orang kat dalam rumah ni terjaga, dia orang ingat abang buat yang bukan-bukan pulak kat Yaya. Kang tak pasal-pasal abah Yaya sumbat mulut abang dengan durian. Dahlah abang tak makan durian.”
Suara tangisan Rania bertukar kepada ketawa apabila membayangkan mulut Thakif disumbat dengan isi durian. Dia memangangkat muka memandang lelaki itu. “Merepek jelah abang ni!” Ops! Alamak, macam mana boleh terlepas cakap ni? Wajahnya terasa kebas. Bibirnya digigit perlahan. Matanya dilarikan ke arah lain, tak sanggup mahu melihat muka terkejut lelaki itu.
“Apa Yaya panggil tadi?” tanya Thakif dengan muka teruja. Kali ini hatinya terasa lebih kembang apabila sudah mengetahui perasaannya yang sebenar terhadap gadis itu. Tak kisahlah Rania terlepas cakap pun, janji hati dia suka, suka dan suka!
Erk... mana ada apa-apa. Minumlah air tu, dah sejuk kot. Tadi awak cakap dahaga.” Rania mengesat sisa air matanya.
Thakif tersenyum memandang wajah Rania yang masih belum surut lagi warna merahnya. Perlahan-lahan dia menghirup air milo buatan gadis itu. “Sedap... pandai Yaya buat air.” Dia menaikkan ibu jari kanannya.
“Biasa jelah. Budak darjah dua pun pandai buat air milo three in one. Okeylah, saya nak masuk tidur.” Rania sudah bangun namun dia terduduk kembali apabila Thakif sengaja menghayun buaian berkembar empat itu. Berkeriut bunyi besi. Mencerun matanya memandang lelaki itu yang sudah tersengih nakal.
“Nantilah dulu, air tak habis lagi ni.” Thakif menunjuk mug di tangan sambil mengenyit mata. Saja nak menguji gadis di depannya ini.
Rania tergamam namun cepat-cepat dia meneutral graf hatinya yang tiba-tiba tak stabil. “Sakit mata ke? Kalau nak ubat mata, kat dapur tu ada eye mo.”
“Abang tak perlukan eye mo atau ubat mata lain sebab Yaya la ubat mata abang.” Senyuman masih tak lekang dibibir Thakif dan sekali lagi dia mengenyit mata.
Gulp! Rania menelan liur. “Eee... gilalah awak ni. Entah hantu miang manalah yang dah masuk kat dalam badan awak ni. Siku kang, pengsan terus awak kat sini.” Dia membuat gaya nak menyiku lelaki itu.
“Demi Yaya, abang sanggup kena siku. Suruh tidur kat buaian ni pun abang rela.” Thakif menghirup lagi air milo.
Apesal dia ni makin lain macam ni? Sebelum ni okey je. Memang kena sampuk hantu ke apa? Dahlah tengah malam ni. Daripada aku berlama kat luar ni baik aku masuk. Naik seram je aku tengok muka dia yang macam lelaki gatal ni. “Awak minumlah sorang-sorang, malas saya nak layan awak.” Kelam-kabut dia bangun dari buaian dan berlari masuk ke rumah. Sempat dia mendengar suara ketawa Thakif.