Followers

Monday 18 July 2011

Cerpen: Perigi Cari Timba

Edited Version

SUASANA petang itu mendamaikan dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan cuaca yang redup. Kelihatan ramai pelajar yang bersantai di kawasan taman kampus. Ada yang sedang bergosip, ada yang duduk bersantai, ada juga yang mengulang kaji pelajaran di atas rumput dan di atas meja yang disediakan.
            “Kita rehat 15 minit. kepala aku dah berat nak menghafal segala benda ni,” kata Izzah kepada empat orang kawannya yang turut sama mengulang kaji pelajaran di atas meja.
            “Okey!” jawab Syamira, Nadhia, Idham dan Fadhli serentak.
            Izzah mengeluarkan botol kaca berisi air soya dari dalam beg sandang lalu meneguknya.
            “Bestnya angin petang ni. Tidur pun sedap ni!” Idham mendongakkan kepala ke langit. Kedua-dua belah tangannya didepangkan sambil menarik nafas sedalam-dalamnya.
            “Kau orang, jom kita main satu permainan nak?” Fadhli memandang satu per satu wajah kawannya.
            “Game apa?” tanya Syamira. Buku yang terbuka segera ditutup.
            “Truth or dare!” Fadhli tersengih. Keningnya diangkat berulang kali.
            “Interesting! Dah lama aku tak main game tu. Aku on.” Idham memberikan persetujuan.
            “Kau orang pulak?”
            “Aku no hal. Ringan sikit kepala aku ni.” Izzah menutup kembali botol kaca itu dan meletakkannya di tepi.
            “On!” Nadhia dan Syamira menjawab serentak.
            “Cantiklah! Izzah, kau habiskan air soya kau tu. Guna botol kaca baru best sikit nak pusing-pusing,” arah Fadhli yang dari tadi memerhatikan botol air soya di atas meja.
            Izzah mencapai botol airnya lantas meneguk air soya sehingga habis. Kemudian dia menyerahkan botol kaca yang telah kosong itu kepada Fadhli.
Fadhli membaringkan botol itu di tengah meja dan bersedia untuk memusingkan botol.
            “Chop! Chop!” Izzah menahan.                                        
            “Kenapa?” tanya Fadhli pelik.
 Keempat-empat mereka memandang Izzah.
            “Kau orang tunggu sekejap, aku nak pergi kafe.” Dia bangkit dari bangku dan berjalan laju meninggalkan kawan-kawannya.
            “Cepat sikit tau!” jerit Idham yang sudah tak sabar mahu memulakan permainan.
            “Okey!” Izzah melajukan langkah. Beberapa minit menanti, bayangan Izzah muncul dengan gelas yang berisi air. Dia tersengih sambil menayangkan gelas di tangannya.
            “Air apa pulak tu?” Syamira pelik melihat warna air yang tak serupa air. Keruh semacam aje!
            Izzah hanya menjawab dengan sengihan. “Bagi aku pusing botol tu dulu.”
            Fadhli mengangkat tangannya dari botol kaca itu untuk memberi ruang kepada Izzah memulakan permainan.
Izzah menarik nafas, kemudian dia mula memusingkan botol kaca di depannya. Botol itu berpusing 360 darjah dan berhenti di depan Idham.
            “Truth or dare?” Izzah bertanya kepada Idham.
            “Hmm... dare!” jawab Idham pantas.
            Izzah  tayang sengih jahat. “Aku nak kau habiskan air ni.” Izzah menyerahkan gelas yang dibawanya tadi kepada Idham.
Tanpa banyak soal Idham meneguk rakus air itu.
            Puurrrgggghhhh!!!
Air yang diminum tersembur keluar.
            “Woit, tempiaslah!” marah Fadhli, Syamira dan Nadhia.
Izzah pula, sebaik saja Idham mula meneguk air itu tadi, dia segera menundukkan badan di bawah meja. Dia sudah ketawa terbahak-bahak.
            “Masin gila! Air apa yang kau bagi ni, Izzah? Boleh kena darah tinggi aku macam ni.”
            Izzah menegakkan semula badannya. “Air asam jawa campur garam dua sudu. Kata nak main truth or dare, kan? Kenalah bagi kaw-kaw punya dare!” Dia menjawab selamba.
Yang lain juga turut menghamburkan tawa.
            “Kejamlah kau ni, Izzah!” Wajah Idham sudah masam mencuka.
            “Itu pun dah kira okey aku suruh abang kat kafe tu buat setengah gelas je. Buatnya aku suruh dia buat satu gelas penuh, masak kau nak kena habiskan.” Izzah gelak lagi.
            Idham sudah memuncung.
            “Hah muncung! Muncung! Saya ikat mulut awak dengan getah ikat sayur baru tahu. Cepatlah habiskan air tu,” arah Syamira.
            “Mira, sampainya hati awak tengok kekasih hati awak ni minum air masin.” Idham berpura-pura membuat muka sedih.
            “Padanlah muka, siapa suruh awak pilih dare tadi. Cepatlah habiskan, nanti lambat pulak sambung game,” desak Syamira.
            Idham mengangkat semula gelas yang berisi air asam jawa bercampur garam tadi. Dia memicit kuat hidungnya lantas meneguk air itu sehingga habis. Dia terasa nak termuntah sebaik saja berjaya menghabiskan air itu. Kemudian dia mencapai botol air mineral di atas meja lantas meneguknya rakus untuk mencuci tekaknya. Perut yang sedikit kembung kerana terlalu banyak minum air diusap.
            “Turn aku pulak putarkan botol ni.” Idham mula memutarkan botol. Kali ini botol itu terhenti di depan Nadhia.
            “Truth or dare?
            “Truth.
            Idham mengerutkan dahi, berfikir soalan apa yang ingin diberikan. Dia memetik jari apabila sudah mempunyai soalan. “Kau cinta sangat kat Si Li ni, kan? Aku nak kau bagitau kita orang perkara apa yang Li tak suka?”
            Fadhli sudah teruja untuk mendengar jawapan kekasih hatinya. Mahu juga dia tahu sama ada Nadhia peka atau tak dengan apa yang dia suka dan tak suka.
            “Alah, senang je!” Nadhia memetik jari. “Buah hati pengarang jantung aku ni tak suka...” Dia mengalih wajah memandang Fadhli. “... sorry ya, awak...” Dia tersenyum sebelum menjawab. “Dia paling tak suka dengan lipas yang terbang-terbang tu.”
            Aduh, bocor rahsia aku! Wajah Fadhli sudah berubah merah.
Syamira, Izzah dan Idham sudah tergelak sambil menjeling Fadhli.
            “Lepas tu, dia tak suka menunggu. Kalau dah janji pukul 10 mesti tepat-tepat ada kat situ jugak. Dan dia jugak tak suka makan nasi minyak. Cukuplah tu ya? Ikutkan banyak lagi benda yang Li tak suka tapi aku tak sanggup nak tengok muka dia bertambah merah.”
            “Hehehe...” Fadhli hanya tersengih apabila empat pasang mata memandang ke arahnya.
            “Apa kes kau tak makan nasi minyak ni, Li? Kalau kau orang nak kahwin nanti macam mana?” tanya Izzah pelik. Tak pernah dia tahu ada orang yang tak suka makan nasi minyak.
            “Alah, apa susah, nasi putih kan ada? Nad makan nasi minyak, aku makanlah nasi putih. Boleh, kan, Nad?” Fadhli memandang Nadhia.
            “Saya tak kisah pun. Janji dapat kahwin dengan awak...” jawab Nadhia tersipu-sipu.
            “Amboi, gatai sungguh minah sorang ni! Anak siapalah ni ya?” Syamira menyiku lengan Nadhia.
            “Nanti lepas habis belajar, dah cukup kumpul duit, tunggu abang masuk meminang ya, sayang?” Fadhli mengenyit mata nakal.
            “Uwekkk! Nak termuntah aku. Abang konon!!!” Izzah membuat gaya seperti hendak termuntah. Lehernya dipegang.
            “Jealouslah tu. Tahulah kau tu single-mingle lagi. Bila kau dah rasa apa itu cinta, baru kau tahu. Hari-hari asyik terbayang muka dia je. Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena,” kata Fadhli.
            Izzah mencebik bibir. 
            “Okey, next.” Nadhia memusingkan botol kaca itu. Kali ini botol berhenti di depan Syamira. “Truth or dare?
            “Truth!” jawab Syamira pantas.
            “Sebelum kau dengan Idham berpacaran... ececeh! Ayat aku tak boleh blah betul! Hahaha...” Nadhia dan yang lain sudah tergelak. “Pernah tak kau minat kat sesiapa?” sambungnya lagi setelah ketawanya reda.
            Gulp! Syamira menelan liur. Dia memandang wajah Idham yang seperti ingin tahu. Kemudian dia memandang wajah seorang demi seorang kawannya.
            “Cepatlah jawab!” desak Nadhia.
            “Kalau tukar soalan boleh tak?” Syamira sudah membuat muka serba-salah.
            “Tak boleh! Kau kena jawab jugak soalan ni.”
            Syamira mengeluh. Dia menarik nafas panjang. “Pernah...” Dia menjawab senafas sambil menjeling sedikit ke wajah Idham. Matanya dikecilkan untuk melihat reaksi lelaki itu.
            “Siapa?” Ketiga-tiganya bertanya serentak kecuali Idham.
            “Kisah lamalah. Tak payahlah ingat lagi.” Syamira mencapai pen di atas meja lalu dimain-mainkannya.
            “Alah, jawab jelah. Kisah lama pun kita orang sanggup dengar. Id tu pun mesti tak sabar nak tahu jugak kan, Id?” Fadhli menyiku sedikit rusuk Idham.
            Idham mengangguk laju. “Cerita jelah. Saya tak kisah pun. Semua orang ada kisah masing-masing, kan?” Idham cuba memujuk Syamira agar bercerita. Memang dia teringin sangat nak tahu siapa yang ada di dalam hati Syamira sebelum dia.
            “Betul awak tak marah?” Syamira meminta kepastian.
            “Betul...” Idham mengangguk penuh yakin.
            “Okeylah, aku cerita.” Syamira diam sebentar. “Kat sekolah dulu aku pernah minat kat ketua pengwas. Dia handsome... ramai pelajar perempuan yang minat kat dia.” Syamira memandang lagi wajah Idham namun reaksi Idham tak menggambarkan yang lelaki itu cemburu.
            “Kau luahkan kat dia tak?” potong Izzah.
            “Tak...” Syamira menggeleng kepala.
            “Kenapa?” Nadhia menongkat dagu.
            “Kalau aku bagitahu, mesti dia reject aku, sebab masa tu dia dah ada makwe. Aku ni siapalah nak dibandingkan dengan makwe dia yang cun-melecun tu...”
            “Ooo...” Ketiga-tiganya bersuara serentak.
            “Dahlah, lupakan cerita lama tu. Dah basi pun. Cinta monyet je tu. Okey, next...” Syamira memusingkan botol itu. Selepas berpusing beberapa kali akhirnya botol berhenti di depan Fadhli.
            “Truth or dare?
            “Dare!” jawab Fadhli sambil menaikkan kolar bajunya ke atas.
            “Aku nak kau nyanyikan lagu kegemaran Nad.” Pantas saja Syamira memberi arahan.
            Fadhli tersengih. “Id, pinjam gitar kau kejap,” pintanya sambil menoleh ke sebelah.
            Idham mengambil gitar yang diletakkan di sebelahnya lantas menghulurkan kepada Fadhli.
            “Nadhia, dengarlah nyanyian saya yang tak seberapa ini. Saya akan nyanyikan lagu kegemaran awak iaitu...” Dia berfikir seketika. “What Should I Do. Dengar eh...” Fadhli mula memetik gitar. Matanya memandang tepat ke wajah Nadhiah. Dengan penuh perasaan dia menyanyi.
           
            Hangoru mankum gudelbo nemyon nunmu rina
            Hangoru mankum gudega gamyon tonun murihu lowa
            Sonulpo dodo sonnemi rodo dahul suom nungo suro
            Gudega nunde japjino tago nanulgo manitjo
                                   
            Otokajo otokajo gudegato naga neyo
            Otokajo otokajo naldu goto naga neyo
            Saranghaeyo saranghaeyo mokno habu lobojiman
            Gudendut jimo teyo gasumu roman wechigo isu ni

            Haruon jongil jiwo bojiman toto ola
            Haruon jongil ibyol hajiman toda shito ola
            Sonulpo dodo sonnemi rodo hanul suom nungo suro
            Gudaga jiman japji motago nanulgo manitjo
                                   
            Otokajo otokajo gudegato naga neyo
            Otokajo otokajo naldugoto naga neyo
            Saranghaeyo saranghaeyo mokno habu lobo jiman
            Gudendut jimo teyo gasumu roman wechigo isu ni
                                   
            Otokajo otokajo nanu jiku depu ninde
            Otokajo otokajo gudegato naga neyo
            Otokajo otokajo naldugoto naga neyo
            Saranghaeyo saranghaeyo mokno habu lobo jiman
            Gudendut jimo teyo gasumu roman wechigo isu ni
           
            Saranghaeyo, Nadhia Natasya!” ucap Fadhli sebaik saja menghabiskan nyanyiannya.
             Nadhia sudah mengalirkan air mata. Dia tak menyangka Fadhli yang tak meminati drama Korea sanggup menghafal lagu kegemarannya.
            “Wallaweyh! First time aku dengar kau nyanyi semerdu ni. Sebelum ni macam katak panggil hujan je.” Izzah menepuk tangan diikuti Syamira dan Idham.
            “Alololo, touching  pulak minah air mata ni. Laplah air mata tu, nanti orang fikir apa pulak tengok kau nangis beria-ia ni.” Syamira mengusap bahu Nadhia.
            Nadhia tersenyum sambil mengelap air matanya. “Thanks, awak… thanks sebab nyanyikan lagu kegemaran saya walaupun suara awak tak semerdu Jang Keun Suk.”
            “Untuk awak, apa pun saya sanggup.” Fadhli mengenyit mata.
            “Jom sambung study balik, dah lebih 15 minit kita break ni.” Izzah membuka buku di depannya.
            “Na... na... na... mana aci kau tak kena lagi. Jangan nak mengelak eh? Aku tahu sangat kau tu.” Fadhli merampas buku di tangan Izzah.
            Izzah menjegilkan mata. Isy, mamat ni kan... tahu je aku nak mengelak! “Okey, fine! Yang pasti aku akan terlepas.” Dengan penuh yakin Izzah menjawab.
            “Bismillahirrahmanirrahim...” Fadhli memusingkan botol itu. Laju botol itu berputar. Semakin lama semakin perlahan, perlahan dan perlahan. Akhirnya muncung botol itu berhenti di depan Izzah.
            Izzah menjatuhkan mukanya di atas meja. Dia mengeluh kuat. Tangannya memukul perlahan permukaan meja.
            “Truth or dare?”
            Izzah mengangkat mukanya semula. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab. “Dare!” Sengaja dia memilih dare. Dia tak mahu menjawab soalan-soalan yang merapu dan agak sukar untuk dijawab.
            Fadhli tersenyum penuh makna. “Aku nak kau lafazkan cinta pada...” Fadhli memandang sekeliling taman. Dia tersenyum apabila matanya terhenti pada suatu objek. “... pokok tu!” Jari dituding pada sebatang pokok besar yang tak berapa jauh dari tempat mereka duduk. Sengaja dia memilih pokok itu kerana hanya pokok itu yang masih kosong dan belum diduduki orang.
            Izzah, Syamira, Idham dan Nadhia mengalihkan pandangan mengikut telunjuk Fadhli.
            “Alah, kacang goreng je tu!” Izzah mula bangkit mahu melangkah ke arah pokok yang ditunjuk  Fadhli tadi.
            “Nanti dulu!” tahan Fadhli apabila Izzah sudah mula melangkah.
            “Apa lagi?” Izzah berpatah semula ke mejanya apabila Fadhli menggamit.
            “Kau kena ikut arahan aku ni. Dengar baik-baik eh? Kau kena berjalan dari sini hingga ke pokok tu dengan menutup mata.” Fadhli menjungkit kening.
            Terbuntang mata Izzah. Tak masuk akal betul!
            “Bila dah sampai kat pokok tu kau kena melutut macam putera raja nak melamar kekasih hatinya.”
            Izzah sudah bercekak pinggang.
            “Lepas tu kau jerit I love you kuat-kuat, barulah kita orang boleh percaya yang kau dah berjaya menyahut cabaran ni!” Fadhli tersengih lagi.
            “Fulamakkk! Boleh tahan jugak dare kau ni eh? Aku langsung tak terfikir nak buat macam tu. Give me five!” Idham dan Fadhli menyatukan tapak tangan mereka.
            Syamira dan Nadhia hanya mampu tersenyum melihat wajah mencuka Izzah.
            “Kau ni kejamlah Li! Dahlah orang ramai kat sini. Kang tak pasal-pasal nanti dia orang cop aku ni mental pulak. Tukar lainlah.” Izzah tak berpuas hati. Dia duduk dengan kasar di bangku yang ditinggalkan tadi.
            “Pandai pulak kau merungut kan? Tadi time aku, kau suruh minum air asam jawa campur garam. Kira kejamlah jugak tu. Hurry up! Hurry up! Lambat kau buat, lambatlah kita sambung study,” paksa Idham.
            “Yalah... yalah... aku buat!” Izzah memusingkan badan dan  melangkah perlahan.
            “Oit,minah... tutup matalah!” Nadhia mengingatkan.
            “Aku nak kira langkah dulu. Kalau main redah je boleh pengsan aku nanti terlanggar batang pokok tu,” jawab Izzah tanpa menoleh. “Satu... dua... tiga... empat... lima... enam... tujuh... lapan... sembilan... sepuluh...” Dia mengira selangkah demi selangkah. Kemudian dia melangkah ke belakang semula dengan kiraan yang sama. Dia meliarkan matanya ke sekeliling taman.
            “Apa yang kau cari tu, Cik Izzah Qhaireena oiii?” soal Syamira pelik.
            “Aku nak cari bunga. Barulah nampak real sikit.” Izzah melangkah ke arah pokok bunga raya lantas memetiknya sekuntum.
            Syamira menepuk dahinya. “Perangai gila-gila dia dah mai dah...”
            “Tadaaa...” Izzah menayangkan bunga yang dipetikya. Kemudian dia memusingkan badannya untuk memulakan cabaran. “Tengok ni, aku pejam mata, okey!” Dia melangkah setapak demi setapak dengan membuat kiraan di dalam hati. Satu... dua... tiga...
            “Izzah!” panggil Nadhia apabila baru setengah jalan Izzah melangkah.
            Izzah berhenti mengejut. Dia menunggu Nadhia menyambung kata. Matanya masih ditutup.
            “Tak payah panggil. Biarkan je,” halang Idham. “Go, Izzah! Go!” Idham menepuk tangan memberi sokongan kepada Izzah.
            Izzah kembali meneruskan langkahnya.
            “Kalau dia marah macam mana?” Nadhia bersuara cemas.
            “Ni barulah nampak real.” Idham tersengih. Mereka berempat menumpukan kembali perhatian kepada Izzah.
            Lapan... sembilan... sepuluh... kiranya dalam hati. Dia mula melutut seperti yang diarah Fadhli. Bunga raya yang dipetik tadi dihalakan ke depan. Matanya masih ditutup dan... “I love youuu!!!” jerit Izzah. Dia tersenyum. “Erk?” Dia pelik apabila terasa ada yang menyambut huluran bunganya.
            Pandai betul pokok ni sambut bunga aku! Dia tersenyum lagi. Wait! Wait! Pokok? Bunga? Eh, pokok mana ada tangan! Takkan pokok ni berhantu kot? Mampus kau, Izzah! Hantu dah sambut cinta kau! Bercinta dengan hantulah kau nampaknya! Dia berteka-teki di dalam hati.
            Tapi... mana ada hantu siang-siang! Hantu selalu keluar waktu malam je. Perlahan-lahan matanya dibuka. Objek pertama yang dia lihat adalah seorang lelaki bercermin mata berbingkai hitam. Rambutnya pula disikat belah tepi. Baju yang dipakainya dibutang hingga ke atas. Wajahnya keanak-anakan dan ada iras-iras Ming Dao. Lesung pipit di kedua-dua belah pipi lelaki itu menyerlahkan lagi kecomelannya. Anak matanya yang berwarna hazel itu membuatkan Izzah terpaku lama. Cantik sangat!
            “Boooooo!!!
            Izzah tersedar apabila mendengar bunyi sorakan pelajar yang masih berada di taman itu. Dia memandang sekeliling. Ada yang berbisik sesama sendiri, ada yang memandang dengan pandangan sinis, ada yang ketawa dan ada juga yang mempamerkan muka seakan-akan kagum dengan keberanian Izzah melafazkan cinta. Wajah Izzah dan lelaki berwajah comel itu sudah bertukar merah.
            “Saya pergi dulu.” Lelaki berwajah comel itu menyimpan bukunya ke dalam beg, kemudian berjalan dengan lemah-gemalai meninggalkan Izzah.
            “Hei, Mr. cute! Siapa nama awak?” Sempat lagi Izzah bertanya.
            Lelaki berwajah comel itu tak mengendahkan soalan Izzah. Dia berlari laju meninggalkan taman yang telah memberikan sejarah yang paling memalukan buat dirinya.
            Izzah menjungkitkan bahunya. Getah ikat sayur di pergelangan tangannya di tarik keluar lantas mengikat rambutnya yang hanya paras bahu.
            “Perempuan ni tak ada taste langsunglah. Dengan lelaki lembut pun dia minat. Eeuwww! Siap confess depan orang ramai lagi tu. Macam perigi cari timba je!
            Izzah bangkit untuk mendapatkan teman-temannya. Dia tak memandang wajah perempuan yang mengatanya. Malas mahu melancarkan pergaduhan.
            “Yang kau orang ni ternganga apesal? Masuk lipas kang baru tahu.” Dia melabuhkan duduk di bangku.
            “Lipas-lipas jangan sebut eh!” Fadhli menjegilkan matanya.
            “Opss! Aku lupa pulak yang kau ni penakut lipas.” Izzah sengaja menekup mulutnya pura-pura tak sengaja.
            “Bukan takutlah, geli je!” Fadhli membetulkan tanggapan Izzah.
            “Kau orang... aku peliklah. Tadi sebelum aku tutup mata tak ada pulak orang kat bawah pokok tu. Ke aku tersalah pokok?” Izzah menayangkan wajah keliru. Dahinya digaru perlahan.
            “Memang tak ada orang pun tadi. Kau dengar tak aku panggil nama kau?” tanya Nadhia.
            Izzah mengangguk laju.
            “Masa tulah budak yang kau panggil Mr. cute tu muncul. Si Id pulak tak bagi aku bagitau kau. Dia cakap nak bagi nampak real.” sambung Nadhia lagi. Dia sudah risau. Takut Izzah mengamuk.
            “Cutelah budak tadi tu.” Izzah sudah menongkat dagu, membayangkan semula wajah comel yang berlesung pipit dan bermata hazel itu.
            Syamira, Nadhia, Idham dan Fadhli sudah ternganga mendengar kata-kata Izzah.
 “Kau tak marah ke?” soal Nadhia ingin tahu.
            “Taklah tapi aku suka. Hehehe... betul-betul cutelah budak tu. Rasa nak cubit-cubit je pipi dia!”
            “Kau tak marah ke tengok orang lain mengumpat kau tadi?” soal Syamira curiga. Selalunya kalau ada yang mengumpatnya, Izzah pasti akan melenting. Sekarang, kerana seorang lelaki berwajah comel, hilang terus kemarahan kawannya ini.
            “Nampaknya tak lama lagi bertambah soranglah ahli dalam group kita ni. Aku dengan Nad... Id dengan Mira... Izzah pulak dengan...” Kata-kata Fadhli terhenti. “... siapa nama budak tu eh?” Dia bertanya kawan-kawannya.
            Izzah, Nadhia dan Syamira menjungkit bahu tanda tak tahu.
            “Harraz...”
            Empat pasang mata memandang Idham.
            “... Harraz Fayyadh...” sambungnya lagi.
            “Harraz Fayyadh.” Izzah tersenyum. “Aku suka nama tu. Maksudnya yang amat warak dan murah hati. Wajah dia pulak putih bersih,” katanya lagi.
            “Tapi Izzah, kau tak nampak ke cara dia jalan? Lembut semacam je. Takkan kau dah jatuh cinta kat dia kot?” Syamira meluahkan kemusykilannya. Setahunya Izzah tak mudah jatuh cinta. Ada yang mencuba nasib untuk memikatnya tapi dia tolak mentah-mentah.
            “Kenapa? Lelaki lembut tak boleh bercinta ke? Lelaki lembut tak boleh kahwin? Cik Nadiatul Syamira, cinta tu buta, okey! Yang penting hati. Aku tak kisah kalau orang nak kata dia lembut ke apa, yang penting aku suka dia!” Izzah meluahkan rasa hatinya. Baginya lelaki lembut juga berhak untuk bercinta.
            “Okey, drop the topic. Sekarang sambung baca buku balik, esok ada kuiz.” Fadhli bersuara. Tak mahu memanjangkan pendebatan.
Masing-masing sudah membuka buku kembali kecuali Izzah. Dia kembali tersenyum mengenangkan Harraz yang disangkanya hantu pokok.
            “Yang kau tersengih lagi tu buat apa? Cepat bukak buku tu!” sergah Idham.
            Izzah tersentak. Dia menjeling tajam ke arah Idham. “Kacau daun betul! Tak boleh tengok orang senang sikit,” ujar Izzah sambil mencapai buku lantas membukanya.
                                                            *****
IZZAH menyambut mangkuk nasi yang dihulurkan ibunya. Dia mencedok dua senduk nasi ke dalam pinggan, kemudian dicapai pula mangkuk yang berisi tomyam. Dia tergamam apabila ternampak wajah Harraz di dalam mangkuk itu. Lama dia merenung mangkuk itu. Tanpa disedari, bibirnya mengukir senyuman.
            “Reen...” panggil Izzati.
            Izzah tersentak. Mati terus senyumannya. Dia memandang wajah ibu dan ayahnya yang memandangnya dengan muka pelik.
            “Kenapa ditenung je tomyam tu? Makanlah.” Khalid bersuara.
            Izzah tersenyum malu. Dia cepat-cepat mencedok tomyam ke dalam pinggan, kemudian menghulurkan mangkuk tomyam itu kepada ayahnya.
            “Reen...”
            Baru tiga suap nasi masuk ke mulutnya, Izzati sudah memanggil. Izzah mengangkat muka. “Ya, ibu?”
            “Hari Ahad nanti kita pergi rumah mak long, ya? Kak Maria kamu nak bersanding.”
            “Kalau ibu dengan ayah je yang pergi boleh tak? Reen malaslah. Nanti ada je yang mak long tu bebelkan. Reen... kamu dah ada pakwe ke belum? Reen... kenapa potong rambut tu pendek sangat? Huh, bosan!” Izzah meniru gaya mak longnya bercakap, siap dengan mimik muka sekali.
            “Mana boleh macam tu. Masa akad nikah pun Reen tak pergi, kan? Nanti kecik hati pulak Kak Maria kamu tu. Sekurang-kurangnya tunjukkanlah muka tu. Pergi ya?” Izzati memujuk.
            Izzah mengeluh. Nasi di pinggan digaul perlahan. Terasa hilang selera mahu makan apabila wajah mak longnya mula terbayang di ruang mata.
            “Reen pergi ya, nak?” pujuk Izzati lagi.
            Izzah mengangguk lemah. Dia mencapai gelas yang berisi air bandung cincau lantas meneguk rakus bagi menjatuhkan nasi yang terasa tersekat di kerongkongnya.
                                                            *****
IZZAH cuba memejamkan mata namun tak mahu lelap. Dia mengiring ke kanan, terbayang mata cantik Harraz. Dia berkalih pula ke kiri, terbayang lesung pipit milik lelaki itu. Akhirnya dia bangkit dari pembaringan dan bersandar di kepala katil. Lampu tidur dimain- mainkan. Sekejap buka, sekejap tutup. Sekejap buka lagi dan tutup lagi.
            “Aku betul-betul dah jatuh cinta kat dia ke? Tapi... tak ada pulak jantung aku berdenyut laju macam dalam novel tu.” Izzah membaringkan semula badannya sambil tangan diletak di bawah kepala. Dia merenung siling bilik seolah-olah wajah Harraz berada di situ. “Tapi kan... mata dia cantik sangat! Mata betul ke tipu eh?” Dahinya berkerut. “Isy, apa yang aku merepek ni? Dah sah-sahlah mata betul. Kalau tak, takkan la dia pakai cermin mata!”
            “Reen... cakap dengan siapa tu? Tak tidur lagi ke? Dah pukul 12 ni.” Kedengaran suara Izzati diikuti dengan ketukan pada pintu bilik.
            Izzah tersentak. “Reen tengah bercakap dalam telefon, bu. Kejap lagi Reen tidur...” bohongnya.
            “Jangan tidur lewat sangat.”
            “Baik, ibu. Reen dah nak tidur ni.” Dia menarik selimut hingga ke paras dada. Lampu tidur dimatikan. Matanya dipejam. Malam itu tidurnya bertemankan wajah Harraz.
                                                            *****
“CANTIKNYA, Kak Maria,” puji Izzah ikhlas. Dia meliarkan matanya merenung hiasan di dalam bilik pengantin itu.
            Maria yang sudah siap bersolek hanya tersenyum. “Kenapa tak datang masa akad nikah hari tu?”
            “Reen busy sikitlah, kak. Sorry eh?” bohongnya. Dia mencapai tangan Maria sambil membelek-belek inai yang terlukis cantik di tangan sepupunya itu.
            Maria tersenyum. Diperhatikan saja gelagat Izzah.
            “Kak, selalunya majlis perkahwinan kat KL ni guna katering, kan? Tapi kenapa Reen tengok jiran-jiran akak yang memasak?”
            “Mak malas nak guna katering. Mak cakap nak wujudkan balik budaya Melayu yang dah lama orang bandar tinggalkan. Kalau bergotong-royong dapat rapatkan lagi hubungan kita dengan jiran tetangga.”
            Izzah mengangguk, bersetuju dengan penjelasan itu.
            “Hah, datang pun kamu, Reen! Mak long ingatkan tak datang tadi,” ujar Rohaya yang baru muncul di bilik itu.
            Izzah bangkit menyalami Rohaya.
            “Kamu bila pulak nak kahwin, Reen?”
            Dah mula dah! “Reen muda lagilah, mak long. Belajar pun belum habis lagi,” jawab Izzah sambil melabuhkan duduk di sebelah Maria kembali.
            “Mak long dulu umur 18 tahun dah kahwin tau. Ke kamu belum ada calon?” Rohaya melabuhkan duduk di bangku meja solek.
            “Itu zaman dulu, mak long. Zaman sekarang orang perempuan suka kahwin lambat. Dah kumpul duit banyak-banyak baru boleh kahwin.” Izzah meluahkan pendapatnya.
            “Kalau tak menjawab tak sah kamu ni kan? Kalau lambat sangat kahwin tu tak lakulah gamaknya. Ya tak?” Rohaya bersuara sinis.
            Grrr, geramnya aku! Ni yang malas nak datang ni!
            Maria melekapkan tangannya di atas tangan Izzah, memberi kekuatan. Dia tahu Izzah bengang dengan bicara emaknya. Dia sudah masak benar dengan perangai emaknya yang suka membebel. Bukan dengan Izzah seorang saja yang dibebelkan tapi dengan semua anak saudaranya yang dirasakan tak kena dengan matanya turut terkena tempias bebelannya.
            “Alah, mak ni. Maria pun kahwin umur 27. Lambat jugak tu. Mak jangan risaulah pasal Reen, ada jodoh kahwinlah Reen ni.” Maria menyebelahi Izzah.
            “Kamu lain, Maria. Masa tengah belajar lagi kamu dah ada boyfriend tapi Reen ni jangan kata ada, bayang pun mak tak nampak. Apa lagi yang dicari? Kat universiti tu kan banyak lelaki. Pilih jelah yang mana suka.” Rohaya tetap mempertahankan kata-katanya.
            Izzah hanya menulikan telinga. Mak long ni ingat pilih lelaki macam pilih ikan kat pasar borong ke? Izzah menjawab dalam hati. Kalau dijawabnya depan-depan alamat bertambahlah kemarahan Rohaya.
            “Mak, ayah panggil. Tetamu dah nak sampai,” panggil Nazim di balik langsir bilik.
            Rohaya berlalu meninggalkan bilik itu.
            “Sabar ya, Reen? Mak memang macam tu,” pujuk Maria.
            Izzah hanya tersenyum.
                                                            *****
IZZAH mengangkat kepalanya yang terasa lenguh kerana tunduk terlalu lama. Dia mengurut tengkuknya perlahan sambil meliarkan mata ke sekitar perpustakaan. Matanya terpaku apabila melihat Harraz turut berada di dalam perpustakaa itu.
            Dia menopang dagu sambil merenung Harraz. Jarak di antara meja yang didudukinya dengan meja Harraz membolehkan dia melihat wajah Harraz dengan jelas. Dia tersenyum sendirian melihat pelbagai mimik di wajah lelaki itu. Adakalanya Harraz mengerutkan dahi, adakalanya dia memejamkan mata sambil mulutnya terkumat-kamit dan adakala cermin matanya hampir melurut jatuh dari batang hidung ditarik semula ke atas.
            “Hoi! Apa yang kau senyum sorang-sorang ni?” bisik Syamira ke telinga Izzah sambil menyiku sedikit rusuk gadis itu.
            Izzah tersentak. “Tu...” Dia memuncungkan mulutnya menunjuk ke arah Harraz yang sudah berubah dari duduk menegak bertukar menongkat dagu.
            Syamira menepuk dahi. “Kawan aku yang sorang nilah... betul-betul angau!” Dia menyambung kembali bacaannya, membiarkan Izzah yang masih lagi merenung Harraz.
            Harraz terasa seperti ada mata yang memerhatikannya. Dia mengangkat muka dan meliarkan pandangan ke sekeliling perpustakaan. Terbeliak matanya apabila melihat Izzah sedang merenungnya sambil melambaikan tangan. Wajahnya sudah berubah merah apabila mengingati kejadian yang memalukan itu. Dia menegakkan buku yang dibacanya, mukanya disorokkan di sebalik buku itu. Perlahan-lahan kepalanya diangkat sedikit dari buku untuk mengintai Izzah. Dan dia kembali menunduk apabila Izzah masih lagi merenungnya.
“Kenapa perempuan tu pandang aku? Ada apa-apa yang tak kena dengan muka aku ke?” Dia meraba wajahnya. Jarinya terhenti pada satu benjolan sederhana besar yang terletak betul-betul di atas dahinya. “Alamak! Dia pandang jerawat aku ke? Hesy, tak boleh jadi ni! Balik nanti aku kena beli Oxy!” Dia cuba menumpukan perhatian pada bacaan.
            “Izzah, jom pergi kafe, dia orang dah tunggu kita kat sana.” Syamira memegang bahu Izzah. Sebelah tangan lagi menyimpan telefon pintar di poket jean.
            Izzah mula mengemas buku-bukunya lantas bangkit meninggalkan perpustakaan. Apabila hampir sampai ke pintu keluar dia berpaling ke belakang. Dia lihat Harraz seperti tercari-cari seseorang. Apabila mata mereka bertembung Izzah menggerakkan bibirnya dan berkata ‘see you!’ Kemudian dia melambaikan tangannya tanpa menghiraukan pandangan pelik pelajar lain. Dia berpusing kembali untuk mengejar Syamira yang sudah ke depan.
            Wajah Harraz kembali bertukar merah apabila semua mata memandang ke arahnya. Dia mula mengemas semua buku untuk beredar dari situ.
                                                            *****
“KAK, mee goreng basah satu!” Izzah memesan makanan di kafe. Sambil menanti mee goreng basahnya siap, dia bermain-main dengan jarinya.
            “Hai, Izzah. Aku dengar kau dah popular sekarang.” Nazrul, si buaya darat menegurnya.
            Izzah menoleh ke kanan. “Apa maksud kau ni?” Dahinya dikerutkan. Tak senang dengan kehadiran Nazrul.
            “Kau tak tahu ke yang kau dah dapat gelaran baru kat kampus ni? PERIGI CARI TIMBA!” Nazrul menekankan ayat perigi cari timba. Dia tersenyum sinis.
            “Peduli apa aku!” Dia membuang pandang ke kiri. Malas mahu melihat wajah Nazrul yang seperti mengejeknya.
            “Itulah... dulu aku nak kat kau, kau jual mahal sangat. Sekarang baru nak terhegeh-hegeh cari lelaki. Kalau lelaki yang elok sikit tak apalah jugak. Ini half-half yang kau pilih. Hahaha...” Nazrul ketawa besar.
            Izzah menyambut dulang yang berisi mee goreng basah dan menjeling tajam ke wajah Nazrul Langkah diatur mendapatkan kawan-kawannya.
            “Izzah, kalau kau sudi, aku sanggup jadi timba kau!”
            Izzah menjelirkan lidahnya tanda dia menyampah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Nazrul.
            “Apa hal tu?” tanya Idham yang sedari tadi memerhatikan Izzah dengan Nazrul.
            “Dia gelakkan aku pasal kes minggu lepas tulah.” Izzah mula menyudu mee gorengnya.
            “Kau betul-betul serius ke sukakan Harraz, Izzah?” Idham menyisip air tembikainya.
            “Yup. Kenapa, kau tak percaya ke?” Izzah menarik tisu di dalam poket jean lalu menarik sehelai. Tepi bibirnya yang terkena kuah mee dilap sedikit.
            “Bukan tak percaya tapi aku takut kau tak serius sukakan dia. Manalah tahu bila jumpa lelaki lain kau tinggalkan dia.” Idham menjelaskan keraguannya.
             Izzah menyisip air teh O ais limaunya. Tenang dia memandang wajah Idham.
            “Dulu dia pernah couple dengan sorang budak junior. Dia cinta gila-gila kat perempuan tu. Cinta pertamalah katakan.” Idham bercerita.
            Izzah, Syamira, Nadhia dan Fadhli mendengar tanpa menyampuk.
            “Lepas dua bulan, dia orang putus...” Idham senyap seketika.
            “Kenapa?” Fadhli mengerutkan dahi.
            “Dia tangkap perempuan tu tengah dating dengan lelaki lain. Masa tu jugaklah perempuan tu minta putus dan bagitahu yang dia sebenarnya bukan sukakan Harraz pun tapi dia dicabar oleh kawan-kawan dia. Kalau dia berjaya, dapatlah duit. Kalau gagal, dialah yang kena bagi duit kat kawan-kawan dia. Lepas tu, depan orang ramai dia hina Harraz. Kau orang nak tahu apa perempuan tu kata?”
            Keempat-empat mereka mengangguk serentak.
            “Lelaki lembut macam kau ni tak layak nak bercinta dengan akulah! Cerminlah diri tu sikit. Dengan cara pemakaian kau, dengan cara jalan kau lagi, boleh memalukan aku tahu tak?” Idham mengajuk cara percakapan bekas kekasih Harraz.
            Izzah sudah mengepal penumbuk. Dia tak boleh mendengar ada orang mencaci Harraz.
            “Mana kau tahu pasal cerita ni?” tanya Nadhia.
            “Kawan aku yang cerita. Masa tu dia ada kat restoran tu. Kesian Harraz. Baru nak belajar bercinta, kena mainkan pulak.” Idham mengeluh.
            “Id, kau suruh kawan kau tunjuk sikit minah tu kat aku. Biar aku pelakangkung kepala dia. Suka-suka hati je menghina orang. Apa, dia tu sempurna sangat ke?!” Nafas Izzah turun-naik menahan marah.
            “Tak ada gunanya kau nak pelangkung kepala dia, Izzah. Dia dah pindah pun,” ujar Idham. “Okey, berbalik pada soalan aku tadi. Kau jawab soalan aku betul-betul. Kau ikhlas ke sukakan dia?”
            “Aku tak main-main. Aku betul-betul serius sukakan dia. Kau orang pun tahu aku ni jenis yang susah nak jatuh cinta, kan? Kau orang percayakan aku tak?” Izzah memandang wajah satu per satu kawannya.
            “Kita orang percaya. Apa yang kau nak buat lepas ni, Izzah?” tanya Fadhli.
            “Dia orang gelarkan aku perigi cari timba, kan?”
            Idham, Fadhli, Nadhia dan Syamira mengangguk serentak.
            “Mulai hari ni, aku akan tunjukkan yang aku ni betul-betul perigi cari timba!” Izzah tersenyum penuh makna. Di kepalanya sudah berlegar-legar apa yang ingin dia buat.
            “Kau tak malu ke kalau ada orang kutuk kau?” soal Syamira ragu-ragu.
            “Peduli apa aku? butakan mata, tulikan telinga je. Habis cerita. Kau orang sokong aku tak?”
            Keempat-empat mereka mengangguk kepala.
                                                            *****
IZZAH masuk ke perpustakaan. Dia meliarkan mata mencari kelibat Harraz. Menurut Idham, dia ternampak Harraz menuju ke perpustakaan. Izzah tersenyum apabila sudah terjumpa apa yang dicari. Dia melangkah pantas ke bahagian rak buku. “Hai, Mr. cute...” Izzah menegur Harraz yang sedang memilih buku.
            Harraz berpaling. Wajahnya berubah terkejut. “Apa yang awak buat kat sini?”
            “Cari awaklah...” Izzah tersengih. Jari jemarinya bermain-main dengan buku-buku yang terletak elok di atas rak.
            Harraz kembali mencari buku di rak, tak mempedulikan Izzah di belakangnya. Jantungnya tiba-tiba berdegup laju.
            “Awak...  kita couple nak tak?” Tanpa segan silu Izzah bertanya. Tangannya sudah menarik sebuah buku, diselak-selaknya laju tanpa memandang Harraz.
            Terjatuh buku yang dipegang Harraz. Dia menunduk mengutip buku itu, kemudian diletakkan semula di rak. Dia berpaling ke belakang merenung tajam ke wajah Izzah.
            “Nak tak?” tanya Izzah lagi bersungguh-sungguh. Matanya dikejip-kejipkan beberapa kali.
            “Are you nuts? Awak ni rabun ke? Takpun buta?!” Dia bersuara keras tapi perlahan. Matanya dijegilkan.
            “Saya tak gila dan saya tak rabun malah tak buta. Saya serius ni. Awak nak tak?” Izzah meletakkan semula buku yang diambilnya tadi.
            Harraz mendengus kuat. Dia berlalu meninggalkan Izzah yang setia menanti jawapan.
            Izzah bercekak pinggang. “Tak apa, banyak lagi masa!” Dia tersenyum sendirian. Dia suka melihat wajah marah Harraz. Nampak bertambah comel!
                                                            *****
USAI makan malam, Harraz melangkah ke gazebo. Dia duduk di situ sambil merenung tasik buatan. Bunyi air yang mencurah di dalam tasik buatan mendamaikan suasana malam. Kejadian petang tadi mula berlegar-legar di mindanya.
            Harraz sedang melayari internet di kafe untuk mencari maklumat berkenaan tugasannya. Sedang dia leka, Nazrul tiba-tiba duduk di depannya.
            “Woi, sotong! Aku nak bagi warning kat kau. Jangan sesekali rapat dengan Izzah. Kalau kau degil, kau tahulah apa akibatnya nanti!” ugut Nazrul sambil meletup-letupkan jari-jemarinya. Nak tunjuk samsenglah tu.
            “Apa yang kau merepek ni, Rul?” Harraz mengerutkan dahi. “Siapa Izzah? Bila masa pulak aku rapat dengan mana-mana perempuan?”
            “Kau jangan nak pura-pura tak tahulah sotong! Kau ingat aku tak tahu Izzah selalu terkejar-kejarkan kau? Apa ilmu yang kau pakai hah sampai Izzah jadi macam tu? Tergila-gila sangat kat kau. Nak kata kau handsome, handsome lagi aku! Hei, cerminlah diri kau tu dulu, sotong!” cemuh Nazrul. Tangannya ditumbuk pada meja.
            Ooo... nama perempuan tu Izzah... Harraz membetulkan cermin mata yang hampir melorot jatuh. Wajahnya tenang. “Aku dah lama cermin diri aku. Aku sedar lelaki lembut macam aku ni tak layak untuk bercinta.”
            “Hah, sedar pun kau! Ingat eh? Aku nampak kau layan Izzah, siap kau aku kerjakan!” Nazrul mengambil air Harraz lantas meneguknya hingga habis. Dia tersenyum sinis sebelum berlalu meninggalkan Harraz yang sudah kecut perut.
            “Angah menungkan apa tu?”
            Berterabur semua kejadian petang tadi. “Bila masa Iqy ada kat sini?” Harraz menyoal Iqbal, adiknya yang duduk di depannya.
            “Dah 10 minit Iqy kat sini. Apa yang angah menungkan tadi? Sharelah dengan Iqy. Sharing is caring, right?” Iqbal cuba memancing bicara Harraz.
            “Ada sorang perempuan kat kampus minat kat angah.”
            “So?” Dari bersandar, Iqbal sudah menukar posisi duduknya ke depan. Kedua-dua belah tangan diletakkan di atas meja.
            “Dia ajak angah couple tapi angah tak layan dia.” Harraz mengeluh perlahan. Di ruang matanya terbayang wajah ceria Izzah yang cuba mengayatnya.
            Mata Iqbal sudah terbuntang. “Kenapa angah tak layan?”
            “Angah takut dia hanya nak mempermainkan angah macam Sally tu. Lagipun mana ada perempuan yang suka dengan lelaki lembut macam angah ni.” Harraz menjelaskan.
            “Angah ni terlampau merendah dirilah. Kat luar tu ada je lelaki lembut yang berkahwin. Angah kena yakin dengan diri sendiri.” Iqbal memberi semangat.
            “Iqy bolehlah cakap macam tu sebab bukan Iqy yang lembut tapi angah! Iqy tak tahu macam mana hancurnya perasaan angah bila Salina bagitahu yang dia hanya menyahut cabaran kawan dia je. Sakit hati angah ni, Iqy. Sakit sangat!” Wajah Harraz bertukar sedih.
            Iqbal sudah kehilangan kata-kata.
             “Dan sejak dari itulah angah tutup pintu hati angah ni untuk mana-mana perempuan,” ujar Harraz lagi. “Hahaha...” Tiba-tiba Harraz ketawa sambil menggelengkan kepala.
            “Kenapa angah ketawa?” Iqbal pelik. “Tadi bukan main sedih, sekarang ketawa pulak?” Dia menggaru kepala yang tak gatal.
            “Lawak je kan angah ni? Nak tutup pintu hati gaya macam ada je perempuan nak kat angah. Padahal dah pernah kena tipu. Hahaha...” Harraz gelak lagi sambil menggosok wajahnya.
            “Apa pulak tak ada orang nak kat angah? Budak perempuan tu kan suka kat angah? Siap ajak couple lagi.”
            Senyuman Harraz mati. “Yang itu pun angah rasa dia nak mempermainkan angah jugak.” Suaranya mengendur.
            “Kenapa pulak?” Iqbal bertambah pelik dengan angahnya.
            “Yalah, baru je jumpa tiba-tiba minta couple. Buang tebiat namanya tu.”
            “Alah, manalah tahu yang angah ni cinta pandang pertama dia ke? Kat dalam dunia ni memang wujud, kan cinta pandang pertama? Sekali pandang terus jatuh cinta.” Iqbal yakin perempuan itu ikhlas mencintai angahnya.
            Harraz kematian kata-kata. “Angah masuk dalam dululah.” Harraz bangkit lalu melangkah ke dalam rumah.
                                                            *****
IZZAH mengeluarkan pengetip kuku di dalam beg sandang. Pisau pengetip kuku ditarik dan dibawa ke batang pokok tempat dia disuruh meluahkan cinta itu. Dia mula mengukir sesuatu pada batang pokok itu. Hampir 15 minit dia berkerja keras mengukir namanya dan nama Harraz. Pandangan orang yang lalu lalang tak dihiraukan. Dia leka dengan dunianya sendiri. Dia tersenyum melihat hasilnya. Jemarinya menyentuh lembut ukiran nama itu.
            “Awak buat apa tu?”
            Izzah tersentak. Dia berpaling dan tersenyum memandang Harraz yang memanjangkan leher untuk melihat apa yang Izzah buat pada batang pokok itu. “Datang pun awak. Saya ingatkan awak tak datang.” Izzah menyimpan pengetip kuku ke dalam beg galas kembali.
            “Sini kan tempat  favourite saya. Kalau awak nak duduk sini saya cari tempat lain jelah.” Harraz mula melangkah.
            “Raz, tunggu!” panggil Izzah.
            Harraz berpaling ke belakang. Pelik dia mendengar nama yang disebut Izzah. Belum pernah namanya dipanggil begitu.
            “Cuba awak tengok apa yang saya ukir kat batang pokok ni,” pinta Izzah. Dia menggamit Harraz mendekatinya.
            Harraz mula mendekatkan diri menghampiri pokok itu. “Reen dan Raz?” Dia memandang Izzah meminta penjelasan.
            “Yup! Reen tu saya, Izzah Qhaireena dan Raz tu awaklah. Harraz Fayyadh!” jawab Izzah selamba. Dia mengukir senyuman manis. “Cantikkan gabungan nama kita?”
            “Kenapa awak buat macam tu?” Harraz menyoal. Padanya perbuatan Izzah merupakan perbuatan yang sia-sia. Membazir masa dan tenaga. Yang penting hatinya langsung tak terbuka untuk menerima Izzah walaupun jantungnya berdegup kencang setiap kali berdepan dengan gadis itu. Dia serik dipermainkan! Tambahan pula dia masih ingat amaran Aiman.
            “Pokok ni jadi saksi saya pernah lafazkan cinta pada awak dan bila saya pandang pokok ni saya teringat kejadian tu. Awak nak couple dengan saya tak?” Izzah masih mencuba sekali lagi. Dia tak akan berputus asa.
            “Saya nak couple dengan awak?” Jarinya ditunjuk pada dirinya dan Izzah. “Heh, memang taklah!” Harraz tersenyum sinis dan beredar dari situ.
            “Habis tu kenapa awak terima bunga saya dulu?” Izzah tak puas hati. Dia sudah bercekak pinggang.
            Langkah Harraz terhenti dan berpaling. “Saya dah buang pun bunga tu,” jawabnya latas meneruskan langkah.
            “Harraz, saya ikhlas sukakan awak. Saya takkan putus asa!” jerit Izzah.
            Harraz berlari laju meninggalkan pekarangan taman. Telinganya ditekup tak mahu mendengar kata-kata Izzah. Baginya Izzah sama seperti Salina.
                                                            *****
“IBU...” Izzah melangkah masuk ke dalam salon milik ibunya. Dia melabuhkan punggung di depan Izzati.
            “Reen... tadi kata tak nak ikut ibu pergi salon. Apa mimpi Reen datang sini?” Izzati yang sedang mengira di kalkulator terkejut melihat kedatangan anak tunggalnya pada petang itu.
            “Bosanlah duduk rumah sorang-sorang. Ayah pulak belum balik lagi dari main golf,” rungutnya Izzah. Dia meletakkan dagunya di atas meja. Jarinya mengetuk-ngetuk meja.
            “Kalau bosan, tolong ibu cucikan rambut customer,” cadang Izzati.
            “Yang mana satu, bu?” Izzah menegakkan badannya. Matanya meliar memandang pelanggan-pelanggan di dalam salon itu.
            “Yang baju hitam tu.” Izzati menuding ibu jarinya ke arah seorang gadis Cina yang sedang leka membaca majalah.
            “Okey, bos!” Izzah bangun dan melangkah ke arah gadis Cina yang ditunjukkan ibunya tadi.
            Izzati menyambung kerjanya semula.
            “Hello, miss. Nak cuci rambut ke?” tanya Izzah sambil tersenyum manis.
            Gadis Cina itu mengangkat muka memandang Izzah dari dalam cermin. Dia mengangguk dan membalas senyuman.
 Izzah mencapai sarung tangan getah lalu menyarung ke tangannya. Kain bersih diambil dan dibalut ke badan pelanggan untuk mengelakkan pakaian pelanggan kotor. Kemudian dia memicit syampu ke tangan dan dibawa ke atas rambut gadis Cina itu. Dia mula mengurut perlahan rambut gadis Cina itu. Kepala dan tengkuk turut diurut untuk melancarkan pengaliran darah.
            Setelah 15 minit bersyampu, dia membuka kain yang dilapik tadi dan membawa gadis Cina itu ke tempat untuk membilas rambut. Paip air dipusing. Dia menunggu air itu sedikit suam barulah dia membilas rambut gadis itu. Setelah selesai membilas, dia mencapai tuala kecil lantas mengelap rambut yang basah itu. Kemudian dia meminta gadis itu duduk semula di tempat yang ditinggalkan tadi.
Izzah membuka sarung tangannya lantas mencapai tuala kecil untuk mengelap tangannya sehingga kering. Suis pengering rambut dihidupkan lantas mengeringkan rambut gadis Cina itu. Setelah selesai, gadis Cina itu bangun dan melangkah ke kaunter untuk membuat pembayaran.
            Izzah mula mendapatkan Ibunya kembali. Dia mengambil tempat di depan ibunya. “Ibu, salah ke kalau perigi cari timba?” Dia menongkat dagu memandang ibunya.
            Izzati menghentikan kerjanya. Wajah anak tunggalnya direnung lembut. “Tak salah pun, sayang... zaman Rasulullah dulu pun Saidatina Khadijah yang melamar Rasulullah. Kenapa ni? Reen ada suka kat seseorang ke?” tanyanya perihatin.
            “Reen ada suka kat sorang lelaki ni tapi dia tolak Reen...” Izzah menceritakan kembali peristiwa dia melafazkan cinta sehinggalah ke peristiwa Harraz menolak cintanya.
            Izzati terkejut mendengar cerita Izzah. “Ibu rasa dia takut pisang berbuah dua kali. Yalah, dengan keadaan diri dia yang macam tu mesti dia tak yakin. Reen cubalah yakinkan dia ya? Jangan putus asa. Suatu hari nanti mesti dia dapat lihat keikhlasan hati Reen,” nasihatnya. Dia tak kisah siapa pun pilihan anaknya yang penting anaknya itu bahagia. Baginya pasti ada keistimewaan pada budak lelaki itu sehingga Izzah boleh tersangkut.
                                                            *****
IZZAH melangkah keluar dari surau dan berjalan ke rak kasut. Dari jauh dia terlihat kelibat Harraz yang turut keluar dari surau. Dia tersenyum sendirian. Cepat-cepat dia menyarungkan kasut dan berjalan laju untuk menyaingi langkah Harraz.
            “Raz!” jerit Izzah apabila sudah menjauh dari kawasan surau.
            Harraz berhenti. Selama ini belum pernah ada orang yang memanggilnya Raz kecuali... dia berpaling. Tepat sekali sangkaannya.
            Izzah tercungap-cungap sebaik saja sampai di depan Harraz. “Awak buat apa kat surau?” Sengaja dia menyoal begitu. Kalau sudah keluar dari surau apa lagi kalau bukan sembahyang?
            “Sembahyanglah. Kenapa? Lelaki lembut macam saya ni tak boleh sembahyang ke?” Harraz menjawab sinis. Buku di tangannya dibawa ke dada dan dikepit.
            Adess, sensitiflah pulak! Izzah tersenyum malu. “Jom temankan saya makan kat kafe? Saya laparlah.” Izzah buat muka comel.
            “Tak naklah. Saya nak balik. Nak siapkan assignment,” tolak Harraz. Dia mula berpusing untuk melangkah.
            Izzah merentap buku dipegangan Harraz dan menyembunyikan di belakang badannya. Dia menjauhkan diri sedikit dari Harraz.
            “Hei, buku saya!” Harraz cuba merampas kembali bukunya namun Izzah sudah berlari ke depan.
            Izzah berpaling. “Temankan saya makan dulu baru saya pulangkan.” Dia melangkah meninggalkan Harraz. Dia yakin lelaki itu akan mengejarnya.
            “Saya nak balik!” Harraz mengetap gigi menahan geram.
            “Awak nak buku ni tak?” Izzah berpusing sambil menayang-nayang buku di tangannya. Senyuman mengejek terukir di wajahnya.
            “Nak...” Dia menghulurkan tangannya. Perlahan-lahan dia menghampiri Izzah.
            “Temankan saya makan dulu!” Izzah mengatur langkah menuju ke kafe.
            “Eee!!!” Harraz kegeraman. Kedua-dua belah tangannya sudah digenggam kuat. Akhirnya langkah diatur juga ke kafe mengikut Izzah. “Okey, saya dah temankan awak. Sekarang pulangkan balik buku saya.” Dia menghulurkan tangannya.
            Izzah menggeleng. “Awak tak order pun makanan awak. Pergi order dulu!” arah Izzah. Dia menopang dagu merenung Harraz yang merah padam menahan geram. Nasi goreng kampungnya diletakkan ditengah dulu menunggu Harraz memesan makanan.
            “Saya dah kenyang. Cepatlah, saya nak balik ni.” Harraz mengerutkan wajahnya. Sesekali matanya mengerling ke sekeliling kafe.
            “Order first!” paksa Izzah. Pinggannya di tarik dekat dengannya. Sudu dan garfu diangkat menggaul nasi goreng kampung di pinggan.
            “Awak ni kan... eee!!! kecik besar, kecik besar je tau saya tengok!” Harraz geram. Dia terasa seperti mahu mencekik leher Izzah. Dia bangkit untuk memesan makanan.
            Izzah hanya menayang gigi.
            “Saya dah order. Bagi balik buku saya,” pinta Harraz sebaik saja dia sampai di meja dengan sepinggan mee goreng dan air bandung. Dia menghulurkan tangan meminta bukunya.
            “Makanlah dulu, tak baik membazir tau!” arah Izzah lantas menyuap nasi goreng kampung ke mulutnya. Perlahan-lahan dia mengunyah.
            Harraz mengetap gigi. Dia mula menyudu mee goreng laju.
            “Makanlah slow-slow. Nanti tercekik saya jugak yang susah.” Suapan Izzah terhenti apabila melihat gaya makan Harraz. Nampak sangat tak sabar nak balik.
            Harraz tak mempedulikan kata-kata Izzah. Bagi dia, cepat dia habiskan mee, cepat dia dapat balik. Selesai menghabiskan mee, dia meneguk pula air bandung sehingga habis. “Saya dah habis makan. Bagi balik buku saya.” Tangan dihulurkan lagi.
            “Tunggulah saya habis makan dulu.” Izzah meneruskan suapannya.
            Harraz mendengus. Dia menongkat dagu menunggu sehingga Izzah menghabiskan makanan. Lama dia merenung gelagat Izzah yang sengaja mengunyah lambat. Dia seakan-akan terpukau melihat gadis di depannya. Tak berkelip dia memandang gadis itu.
Uhuk! Uhuk!” Izzah tersedak.
 Renungan Harraz terhenti. Dia pantas menghulurkan air pada Izzah.
“Terima kasih.” Izzah menyisip airnya. “Risau jugak awak kat saya eh?” ujarnya setelah nasi yang tersekat di tekak sudah jatuh. Dia tersedak pun sebab terkejut tengok Harraz pandang muka dia semacam. Meremang jugak bulu roma dia melihat pandangan yang dia tak pernah lihat sebelum ni. Pandangan itu bukan nampak macam Harraz marahkan dia tapi... nampak macam... romantik! Yup, cara lelaki itu memandangnya nampak romantik. Harraz dah jatuh cinta kat aku ke? Homai... boleh jatuh berkali-kali jantung aku kalau hari-hari dia tenung muka aku macam tu!
“Kalau orang lain tersedak pun saya akan tolong jugak.” Serius nada suara Harraz.
Mati terus senyuman Izzah. Potong mood betul!
Setelah Izzah selesai makan, Harraz menghulurkan lagi tangannya.
Izzah merenung lama wajah comel Harraz dan mengeluh perlahan. Tangannya diselukkan ke dalam beg sandang. Buku Harraz dikeluarkan dan meletakkannya di telapak tangan lelaki itu.
 Tanpa membuang masa, Harraz terus bangun dan berjalan laju meninggalkan Izzah yang sedang tersenyum.
            “Thanks, Raz. Lain kali temankan saya makan lagi eh?” jerit Izzah.
            Harraz memalingkan wajah dan menjeling tajam pada Izzah. Jangan harap! Ini yang pertama dan terakhir! gumamnya dalam hati.
                                                            *****
SYAMIRA berlari laju menuju ke perpustakaan. Sesampai di perpustakaan, dia meliarkan matanya mencari Izzah. Dia melangkah pantas ke tempat yang diduduki Izzah. Wajahnya kelihatan cemas.
            “Izzah, kau kena ikut aku sekarang jugak!” Syamira berbisik di telinga Izzah sambil menarik tangan gadis itu.
            Izzah yang terkejut dengan perlakuan Syamira terus menyambar begnya. “Kita nak pergi mana ni, Mira? Kenapa kau kelam-kabut sangat ni?” tanyanya apabila mereka sudah keluar dari perpustakaan.
            “Kau kena cepat! Nazrul belasah Harraz kat luar kampus!”
            Izzah terkejut lantas mempercepatkan langkahnya. Wajahnya berubah merah apabila melihat muka Harraz lebam dibelasah Nazrul. Dia meluru mendapatkan Harraz yang lemah di dalam pegangan Idham. Kemudian dia berpaling memandang Nazrul yang berada dipegangan Fadhli. Dia merenung tajam ke wajah Nazrul. Perlahan-lahan dia mendekati Nazrul. “Kenapa kau pukul dia?!” marahnya.
            “Itulah akibatnya bila dia tak dengar cakap aku. Lepaskan akulah, Li!” Nazrul meronta minta dilepaskan.
            “Apa yang kau suruh dia buat?” tanya Izzah lagi.
            “Aku suruh dia jangan rapat dengan kau tapi dia ni degil! Dia keluar makan jugak dengan kau semalam!” Nazrul merenung tajam ke wajah Harraz yang takut-takut.
            “Kau tak ada hak nak suruh dia jangan rapat dengan aku dan kau tak ada hak nak pukul dia!” Meninggi suara Izzah.
            “Kenapa kau nak mempertahankan dia sangat hah, Izzah?!” Nazrul turut meninggikan suaranya.
            “Sebab aku cintakan dia!”
            Harraz tergamam.
Pelajar-pelajar lain ada yang berbisik.
            “Apa yang ada pada budak sotong tu sampai kau tergila-gilakan sangat kat dia? Cuba kau tengok aku. Rupa ada, kalau kau nak kata dia kaya, aku pun kaya jugak! Aku lelaki sejati, bukan macam dia. Lembik! Memang padanlah dengan gelaran sotong tu.”Nazrul tersenyum sinis pada Harraz.
            Izzah mengetap gigi. “Kau ingat dia suka ke jadi lembut? Kau ingat dia tak sedih ke kena caci? Cuba kau bayangkan kau berada di tempat dia. Mesti kau  rasa apa yang dia rasa, kan?” Dia berjeda menarik nafas. “Untuk pengetahuan kau, aku suka dia bukan sebab dia kaya tapi sebab hati dia! Walaupun dia lembut, dia tetap taat pada Tuhan. Walaupun dia anak orang kaya, dia tak pernah pun menunjuk-nunjuk kemewahan yang dia ada. Dia bukan macam kau yang kaki disko, kaki enjoy! Cuba kau muhasabah diri. Adakah kau dah cukup baik? Dalam sehari cukup ke kau sembahyang? Ubahlah perangai kau tu sikit. Jadilah anak yang baik dan hamba yang taat. Kalau mama dan papa kau tahu perangai sebenar kau, mesti mereka kecewa. Kau jangan riak dengan kemewahan yang kau miliki sebab bila-bila masa je Allah boleh tarik balik semuanya.” Izzah menarik nafas lagi sesudah menghamburkan rasa hatinya.
            Nazrul menunduk mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Izzah. Dia malu dengan gadis itu.
            “Sudahlah, aku tak nak perkara ni berlaku lagi. Bersurai semua!” Izzah melangkah mendapatkan Harraz. “Jom kita bawak dia pergi klinik.” Dia mendahului kawan-kawannya menuju ke kereta.
            Idham memapah Harraz menuju ke kereta Izzah.
Fadhli pula sudah melepaskan pegangan pada Nazrul dan berlari mendapatkan Izzah.
            “Harraz!” panggil Nazrul ketika Idham mahu memasukkan Harraz ke dalam kereta.
            Izzah, Harraz, Idham, Nadhia, Syamira dan Fadhli berpaling ke belakang.
Nazrul menghampiri Harraz. Dia merenung tajam ke wajah Harraz. Lama. Tiba-tiba dia menghulurkan tangan kanan sambil tersenyum ikhlas.
Teragak-agak Harraz menyambut huluran tangan Nazrul.
            “Aku minta maaf. Kau bertuah memiliki cinta Izzah. Terimalah dia. Dia ikhlas cintakan kau.” Nazrul memandang wajah Izzah pula. “Izzah, aku akan mengundur diri. Aku takkan kacau kau lagi.” Usai berkata-kata, Nazrul melangkah meninggalkan pekarangan kampus.
                                                            *****
SEBAB aku cintakan dia!
            Kata-kata Izzah asyik terngiang-ngiang di telinga Harraz. Dia tersentuh dengan pengakuan itu. Kepalanya terbayang kembali gelagat Izzah yang cuba mendekatinya. Dia tersenyum seorang diri. Telefon pintarnya berbunyi. Dia mencapai telefon pintar yang diletakkan di meja lampu. Tanpa melihat nama pemanggil dia terus menyentuh ikon hijau.
            “Helo...” Harraz bersuara.
            “Helo, angah... kak long ni. Petang ni ambil kak long kat rumah eh? Temankan kak long shopping barang baby.” Julia, kakak sulung Harraz bersuara di hujung talian.
            “Abang long mana?” tanya Harraz pelik.
            “Angah tak tahu ke abang long dengan papa pergi seminar?”
            “Lupa pulak.” Harraz mengetuk dahinya.
            “Malam ni kak long tidur rumah mama. Temankan kak long eh?” pinta Julia.
            “Okey. I'll pick you up around 3 pm.” Usai mematikan talian, Harraz bangkit dari pembaringan lalu melangkah ke bilik mandi.
                                                            *****
“AMBOI, semua warna pink! Dah tahu ke jantina baby?” Harraz membelek-belek pakaian bayi di dalam bakul yang dipegang kakaknya.
            “Sebab dah tahulah kak long ambil. Jom kita pergi kat bahagian botol susu.” Julia mengepit lengan Harraz. Ketika dia sedang membelek botol susu, Harraz mendekatkan telinganya pada perut Julia yang sudah membulat. Terkejut Julia dibuatnya. “Isy, budak ni! Kat sini jugak dia nak buat perangai. Bangunlah, orang pandang tu.” Dia menolak sedikit bahu Harraz.
            “Kejaplah, kak long. Angah nak dengar bunyi baby ni.” Harraz mengusap perut Julia yang sudah memboyot ke depan. Kemudian dia mengangkat kepalanya.
            “Jom pergi bayar? Bawak bakul ni.” Julia menyerahkan bakul yang dipenuhi dengan barangan bayi kepada Harraz, kemudian dia mengepit lengan Harraz kembali. Perutnya yang sudah membesar itu menyukarkan pergerakkannya.
                                                            *****
SUDAH hampir seminggu Harraz tak berjumpa dengan Izzah. Dia sendiri berasa pelik. Selalunya Izzah pasti akan tercari-cari dia. Tak kira dia ada di perpustakaan, di bawah pokok atau di kafe mesti gadis itu akan terpacak di depannya. Dalam diam dia mula merindui gelagat Izzah yang suka memaksanya. Hatinya pula sudah jatuh suka pada gadis itu semenjak gadis itu membuat pengakuan di depan Aiman.
            Harraz bangkit dari duduk. Belakang seluarnya dikibas-kibas. Dia merenung ukiran nama pada batang pokok. Perlahan-lahan dia mengusap ukiran nama itu. Kemudian dia menyeluk poket seluar jean lantas mengeluarkan telefon pintar. Dan dia menangkap gambar ukiran nama itu untuk disimpan sebagai kenangan. Selesai menangkap, dia menjadikan gambar itu sebagai wallpaper di telefon pintar.
“Id,” panggil Harraz ketika Idham dan Syamira lalu di depannya.
            “Ya?” Idham dan Syamira menghentikan langkah.
            “Kau nampak Reen tak?”
            “Aku nampak Izzah kat library tadi,” beritahu Idham
            “Thanks.” Harraz mencapai begnya lantas meninggalkan kawasan taman.
            “Kenapa tiba-tiba je dia cari Izzah?” tanya Syamira pelik.
            “Entah...” Idham menjungkitkan bahu. “Mungkin dia dah bersedia nak bukak pintu hati dia kot?”
            “Kalau betullah apa yang awak agak tu, baguslah. Tak adalah kawan kita yang sorang tu muram lagi.” Syamira dan Idham melabuhkan duduk di bangku.
            “Izzah muram? Kenapa?” Idham tak jadi mahu mengeluarkan buku dari beg sandang.
            “Entahlah. Bila saya tanya dia tak nak cakap. Dia cuma cakap yang dia takkan kacau Harraz lagi. Muka dia pun saya tengok macam nak menangis je bila sebut nama Harraz,” terang Syamira.
            “Mungkin dia dah tak kuat kot nak kejar Harraz lagi. Yalah, setiap kali dia cuba rapat dengan Harraz, Harraz mengelak. Mesti dia dah mula rasa malu sebab dia sorang je yang syok sendiri.” Idham pula membuat andaian.
            “Tapi sekarang dia dah tak payah nak muram-muram lagi sebab Harraz dah boleh terima cinta dia, kan?” Syamira menongkat dagu. “Mesti sweet, kan kalau dia orang couple? Harraz cute, Izzah pulak cantik. Bagai pinang dibelah dua. Sama cantik, sama padan.” Syamira memejamkan mata membayangkan Harraz dan Izzah bersanding di atas pelamin.
            “Sudah-sudahlah tu berangan!” potong Idham. Dia menilik jam di pergelangan tangan. “Mana Li dengan Dhia ni? Dia orang ni pergi makan ke buat makanan?” sungut Idham.
            “Sabarlah. Sekejap lagi sampailah tu,” pujuk Syamira.
                                                            *****
SAMPAI saja di perpustakaan, Harraz mengambil tempat yang agak jauh dari orang ramai. Dia meliarkan mata mencari kelibat Izzah. Dia mengeluh hampa apabila tak menjumpai gadis itu. Buku dikeluarkan darii dalam beg lantas membacanya dengan perasaan yang bercelaru.
            Dari sudut rak buku, Izzah memerhatikan Harraz. Ketika ingin keluar dari perpustakaan tadi dia sudah nampak kelibat Harraz. Cepat-cepat dia bersembunyi di sebalik rak-rak buku. Dia menahan air matanya yang hampir tumpah. “Saya tak akan kacau awak lagi. Semoga awak bahagia.” Air mata yang tumpah dilap dengan jari. Dia beredar dari perpustakaan apabila melihat Harraz leka dengan bacaannya.
            Harraz mengeluarkan telefon pintarnya dan mula menaip mesej.

            Id, kau kata Reen ada kat library. Tapi aku tak nampak batang hidung dia pun?

            Beberapa saat kemudian telefon pintarnya bergegar. Dia cepat-cepat membuka peti masuk.

            Tadi dia ada datang kat taman ni. Lepas tu dia cakap nak balik sebab pening kepala.

            “Hah, pening kepala?” Harraz mula risau. Tangannya pantas membalas mesej itu.
           
            Kau boleh bagi aku phone number dia tak?

Sorrylah, Harraz, aku bukan tak nak bagi tapi aku dah janji kat Izzah yang aku takkan bagi phone number dia kat sesiapa, melainkan orang tu yang minta sendiri kat dia.

            Harraz mengeluh kecewa. Dia benar-benar mahukan nombor telefon Izzah. Buku ditutup dan disumbat ke dalam beg sandang. Dia sudah tiada hati untuk membaca. Dengan berhati-hati dia bangkit dari kerusi dan melangkah keluar dari perpustakaan dengan langkah gemalai.
                                                            *****
“KENAPA kau tak nak jumpa dia? Penat dia cari kau kat sana,” tanya Idham pada Izzah yang melentokkan kepada pada meja di taman.
            “Malaslah aku. Dah dia tak sudi buat apa aku nak terhegeh-hegeh lagi? Aku pun ada maruah jugak!” balas Izzah.
            “Tapi dia macam risau je tadi bila aku cakap kau sakit kepala. Mesti dia dah bersedia nak terima kau.” kata Idham lagi.
            “Dah tak ada maknanya lagi. Semuanya dah terlambat.” Izzah menegakkan badannya. “Okeylah, aku nak balik dulu.” Dia bangkit mahu pulang ke rumah. Tiba-tiba saja dia membongkokkan badannya dan masuk ke bawah meja.
            “Kenapa dengan kau ni, Izzah?” tanya Nadhia pelik. Tak pernah-pernah Izzah berperangai begitu.
            “Syhhh... jangan sebut nama aku!” Izzah meletakkan jari telunjuknya ke bibir.
            “Ooo... patutlah menyorok. Ada Harraz rupanya.” Fadhli bersuara apabila nampak kelibat Harraz sedang berjalan. “Harraz, sinilah!” panggil Fadhli.
            Izzah menumbuk kaki Fadhli. “Tak payahlah panggil dia!” Dia bersuara geram.
            “Dah nak balik dah ke?” tanya Fadhli sebaik saja Harraz sampai di meja yang mereka duduki.
            “Haah, dah nak balik. Kenapa panggil aku tadi?” tanya Harraz sambil bermain dengan tali beg sandangnya.
            “Duduklah dulu, kita sembang-sembang ke?” pelawa Nadhia. Wajahnya dikerutkan sedikit apabila terasa Izzah mencubit kakinya.
            “Tak apalah, lain kali je eh? Aku balik dulu.” Harraz mula berpusing dan melangkah meninggalkan mereka.
            “Kau ni saja je, kan? Dah aku suruh senyap tu, lagi mau panggil!” Izzah memarahi kawan-kawannya sebaik saja dia keluar dari bawah meja.
            “Aku saja je nak beramah-mesra dengan dia. Itupun salah ke?” jawab Fadhli.
            “Memang salah! Kalau nak beramah-mesra tu tunggulah bila aku tak ada!” marah Izzah. Dia berlalu dari situ dengan perasaan marah.
            “Itulah kau, buat lagi. Kan Izzah dah marah!” sungut Syamira.
            “Alah, sekejap je marahnya tu. Nanti sejuklah tu. Kau orang jangan risaulah,” ujar Fadhli.
                                                            *****
“ANAK ayah ni tengok tv ke tv yang tengok Izzah?”
            Teguran Khalid mencantas lamunan Izzah. Entah mengapa aksi-aksinya yang cuba merapati Harraz tiba-tiba saja bergentayangan di minda. Dia memarahi dirinya sendiri. Dia sepatutnya cuba melupakan Harraz, bukan mengingati lelaki itu.
            “Termenung lagi ke?” Khalid sudah mengawang-awangkan tangannya di depan muka Izzah.
            Izzah terpingga-pingga. “Mana ada Izzah mengelamun. Izzah tengah tengok tv ni.” Dia cuba menumpukan perhatian pada cerita yang dia sendiri tak tahu tajuknya.
            “Anak ayah ni ada masalah ke?” Kepala Izzah Khalid usap perlahan.
            Izzah menggeleng kepala.
            “Anak kita ni dilamun cinta, bang.” Izzati menyampuk sambil meletakkan tiga cawan kopi panas di atas meja kopi.
            “Ibu...” marah Izzah.
            “Apa yang nak dimalukan? Ceritalah kat ayah siapa budak tu?” Khalid mengorek rahsia.
            Wajah Izzah sudah memerah. Dia mencapai cawan kopi lalu disisip perlahan. Dia meletakkan kembali cawan di atas meja kopi sebelum beralih pandang ke wajah Khalid. “Dia tak macam orang lain.”
Ibunya tak menyampuk, memberi ruang anak-beranak itu berbual mesra setelah seminggu tak berjumpa kerana urusan kerja.
            “Tak macam orang lain?” Khalid mengerut kening. “Anggota badan dia tak cukup ke?”
            “Bukanlah, ayah...” Izzah menyangkal.
            “Habis tu?” Khalid mengurut keningnya.
            “Dia... erk... dia...” Serba salah Izzah hendak menyebutnya. Dia memandang Izzati, meminta bantuan.
            “Dia tu lembut sikit,” ujar Izzati.
            “Baguslah lembut. Izzah ni keras kepala sikit perangainya. Air campur api jawabnya amanlah rumah tangga. Bila dah kahwin nanti, kena pandai bertolak ansur. Sikap keras-keras kepala tu semua kena buang.” Khalid sudah memberi tazkirah.
            Izzati menepuk dahi.
Izzah pula mengerutkan dahi. Sah-sah ayahnya tak memahami apa yang ibunya katakan tadi.
            “Yang awak tepuk dahi tu kenapa, Zati? Tak betul ke apa yang abang cakapkan tu?” tanya Khalid pelik.
            “Memang tak betul. Zati cakap lembut lain, bukan perangai dia lembut.”
            “Lembut lain tu apa pulak kalau bukan perangai?” Khalid pening dengan percakapan isterinya.
            “Dia lelaki lembut tapi dia tetap minat perempuan. Dia bukan gay. Sembahyang tak pernah tinggal. Dia pandai, rajin membaca, comel. Dia anak orang berada tapi dia tak pernah berlagak.” Izzah menerangkan satu per satu perwatakan Harraz yang pernah dia nampak sambil mengukir senyuman.
            “Ooo, I see...” Khalid mengurut dagunya. “Bawaklah dia datang ke rumah nanti. Nak jugak ayah berkenalan dengan dia.” Khalid mencapai air kopi.
            Senyuman Izzah mati. “Dia tak sukakan Izzah. Dia dah serik kena tipu dengan perempuan tapi hari tu...” kata-kata Izzah termati.
            “Hari tu kenapa?” soal Izzati dan Khalid serentak.
            Izzah menggeleng. Air mata yang ingin menitis ditahan seboleh mungkin. “Tak ada apa-apalah. Ibu, ayah, Izzah masuk tidur dulu ya?” Izzah menyalami tangan Khalid dan Izzati sebelum mendaki tangga untuk ke biliknya.
                                                            *****
CUTI semester sudah bermula. Harraz berbaring di atas katilnya sambil berfikir mengapa Izzah sudah tak seperti dulu lagi. Dia dah jumpa dengan lelaki lain ke? Dia dah putus asa ke? gumam hatinya.
            Pintu biliknya diketuk. Iqbal melangkah masuk lalu membaringkan diri di sebelah Harraz. Dia merenung wajah Harraz lama. “Angah ni kenapa? Sejak mula cuti asyik berkurung je dalam bilik? Makan pun sikit je? Angah tak sihat ke?” Dia melekapkan belakang tangannya ke dahi Harraz. “Eh, tak panas pun!”
            “Angah sihat,” jawab Harrza dua patah. Dia mengalihkan tangan Iqbal yang masih melekap di dahinya.
            “Habis tu kenapa muka nampak sedih je? Macam muka orang baru lepas kena tinggal bini.”
            “Iqy ingat tak perempuan yang angah cerita tu?” Harraz bersandar di kepala katil diikuti Iqbal.
            “Ingat. Kenapa dengan dia? Angah dah terima cinta dia ke? Dia ada mempermainkan angah ke?” soal Iqbal tak sabar.
            “Bukan...”
            “Kalau bukan, apa?”
            “Seminggu sebelum cuti dia macam nak mengelak je dari angah. Selalunya dia akan cari angah. Ni langsung tak nampak batang hidung. Mungkin dia dah putus asa kot? Apa yang patut angah buat sekarang?”
            “Angah cintakan dia?”
            Harraz mengangguk. “Tapi dengan keadaan angah yang macam sotong ni, mesti akan buat dia malu bila keluar dengan angah. Angah dah mula sayangkan dia tapi tak nak dia malu,” luahnya. Wajahnya muram. Dia bermain dengan jari-jemarinya.
            “Kalau dia betul-betul ikhlas cintakan angah, dia akan terima keadaan diri angah seadanya,” Iqbal memberi pendapat.
            “Dia memang terima angah seadanya tapi lama-lama mesti dia akan malu bila hari-hari ada orang kutuk dia, kan?” Harraz memandang wajah Iqbal.
            Iqbal mengangguk. Kemudian dia memetik jari. “Iqy rasa dah sampai masanya untuk angah berubah!”
            “Berubah?” Harraz mengerut dahi tak dapat menangkap kata-kata adiknya.
            “Yup, berubah! Sepanjang cuti ni Iqy akan cuba ubah angah supaya jadi keras sikit.” Iqbal tersenyum penuh makna.
            “Macam mana tu?” Harraz mula teruja.
            “Angah tidur dulu, esok ikut Iqy pergi Pertama Kompleks.” Iqbal turun dari katil dan melangkah keluar dari bilik Harraz.
            Harraz memejam matanya. Malam itu buat pertama kali dia dapat tidur dengan lena setelah seminggu asyik memikirkan perubahan Izzah.
                                                            *****
“IQY nak beli apa kat sini?” tanya Harraz sebaik saja dia dan Iqbal melangkah masuk ke dalam Pertama Kompleks.
            Iqbal tak menjawab sebaliknya dia terus berjalan. Apabila dia ternampak kedai yang menjual pakaian seragam, dia melangkah masuk ke dalam kedai itu.
Harraz hanya menurut.
            “Bang, pakaian seragam PKBM kat mana?” tanya Iqbal kepada jurujual.
            Jurujual itu menunjukkan pakaian seragam yang diminta kepada Iqbal dan Harraz, kemudian dia berlalu ke kaunter kerana ada pelanggan yang mahu membuat pembayaran.
            Tanpa membuang masa, Iqbal mula memilih saiznya dan Harraz.
            “Nak buat apa dengan baju ni? Angah bukannya masuk PKBM pun.” tanya Harraz pelik apabila Iqbal menyerahkan pakaian seragam kepadanya.
            “Inilah cara untuk keraskan sikit cara jalan angah yang lembut tu,” jelas Iqbal lantas kembali membelek pakaian seragam itu.
            “Tak fahamlah.” Harraz menggaru kepalanya.
            Iqbal menoleh semula ke belakang. “Macam ni... sepanjang cuti semester ni angah akan berkawad kat laman rumah kita. Buat bangkit tubi dan tekan tubi sekali.” Dia kembali menyambung mencari saiz baju.
            Terbuntang mata Harraz mendengarnya. “Mampuslah angah macam tu! Kalau tak buat boleh tak?” Tak sanggup aku nak buat bangkit tubi dengan tekan tubi. Buat sakit badan je!
            “Tak boleh! Angah cakap tak nak...” Iqbal memetik jarinya. “... siapa nama perempuan tu?”
            “Reen...”
            “Hah, Reen! Angah cakap tak nak Reen malu bila keluar dating dengan angah, kan?”
            Harraz mengangguk laju.
            “So, dengan adanya latihan ni, insya-Allah cara jalan angah yang lemah gemalai tu boleh jadi keras sikit macam Iqy ni.” Iqbal cuba meyakinkan Harraz. Dia mengambil pakaian seragam di tangan Harraz lantas dibawa ke kaunter pembayaran.
                                                            *****
“KIRI, kanan, kiri,” Harraz berkawad di tengah panas.
            “Keras sikit jalan tu, jangan lemah gemalai. Tegakkan badan! Suara tu pun keraskan jangan nak lembut sangat!” jerit Iqbal.
            Peluh sudah memercik di dahi Harraz. Dia tak sangka Iqbal boleh bertukar sebegini garang apabila mengajarnya. Pernah juga dia mahu berputus asa tak mahu berkawad lagi namun demi Izzah, dia kuatkan juga semangatnya.
            “Skuad! Ke belakangggg... pusing!” arah Iqbal.
            “Check in! Satu, dua, tiga, maju! Kiri! kanan! kiri!” Harraz mula berjalan ke arah Iqbal.
            “Skuaddd... tiiii!”
            “Satu, dua!” jerit Harraz.
            “Kita berhenti kawad dulu, lepas ni buat tekan tubi seratus kali,” arah Iqbal.
            Terbeliak mata Harraz mendengarnya.
            “Skuaddd... keluarrrr... baris!”
            “Satu, dua, satu! Kiri! Kanan! Kiri!” Harraz berlari mendapatkan mamanya yang sedang duduk di gazebo. Dia mengambil tempat di sebelah mamanya.
            “Anak mama penat ya? Nah, minum air ni.” Datin Suhana menghulurkan gelas yang berisi air oren kepada Harraz.
            Harraz menyambutnya lalu meneguk rakus.
            Iqbal menjentik kuat jari kelengking Harraz yang menegak setiap kali meneguk air.
            “Sakitlah!” marah Harraz lantas merapatkan jari kelengkingnya.
            “Dah berapa kali Iqy kata rapatkan jari kelengking tu. Ini tak, asyik terjungkit je!” bebel Iqbal.
            “Tak biasalah...” rengek Harraz.
            “Kalau tak biasa tu kena biasakan. Lama-lama nanti okeylah.”
            Harraz mencebik.
            “Cepatlah minum, kita nak buat tekan tubi pulak ni.” Iqbal sudah mula bangkit.
            “Penat pun tak hilang lagi ni,” sungut Harraz.
            “Angah, lagi sebulan lebih je nak habis cuti tau. Angah kena kerja keras sikit.” Iqbal menarik tangan Harraz.
            “Kejap, nak ambil semangat dulu.” Harraz mencapai telefon pintarnya yang diletakkan di atas meja. Wallpaper telefon pintar direnung lama. Merenung ukiran namanya dan Izzah, sedikit sebanyak dapat mengembalikan semangatnya. “Okey, jom!” Harraz mula bangkit. Badannya ditegakkan lalu berjalan seperti berkawad. Tanpa disedari, dia telah terlanggar batu dan jatuh di atas rumput. “Auuu!” Dia menjerit kesakitan.
            Iqbal menepuk dahinya.
Datin Suhana menggeleng kepala.
            “Boleh ke buat tekan tubi ni? Kalau tak, kita tangguh je dulu.” Iqbal menolong Harraz untuk bangkit.
            “Boleh, angah kuat!” ujar Harraz setelah berdiri dengan stabil. Dia melangkah menuju ke tapak dia berkawad tadi.
                                                            *****
IZZAH duduk termenung di balkoni di biliknya sambil merenung gambar Harraz di telefon pintarnya yang diambil secara senyap. Gambar Harraz yang sedang mengerutkan muka ketika membaca buku direnung lama. “Kenapa aku tak boleh lupakan kau? Aku mesti lupakan kau. Mesti!” nekadnya. Dia terperanjat apabila telefon pintarnya tiba-tiba berbunyi. Nama Syamira tertera di situ. Dengan rasa malas dia menekan menjawab. “Hello.”
            “Kenapa suara kau macam tak sihat je ni?” Kedengaran suara Syamira di hujung talian.
            “Aku okey je. Cuma bosan sikit duduk kat rumah sorang-sorang.” Izzah memintal-mintal rambutnya.
            “Ibu dengan ayah kau mana?”
            “Ibu dengan ayah aku macam biasalah. Ayah kat ofis, ibu kat salon dia. Kau call aku ni ada hal apa?”
            “Petang ni aku dengan yang lain nak main bowling kat Mid Valley. Kau nak ikut tak?”
            Izzah melentokkan kepalanya di kerusi. “Malaslah aku. Duduk rumah lagi bagus.”
            “Kau ni kenapa? Selalunya kalau kita orang ajak pergi mana-mana kau on je. Sekarang pulak malas,” sungut Syamira.
            “Tak ada apa-apa. Cuma tak ada mood je,” sangkal Izzah. Dia sudah bangkit mahu masuk ke dalam bilik. Kemudian dia merebahkan diri di atas katil.
            “Siapa yang rosakkan mood kau ni? Cuba bagitau aku?” desak Syamira.
            “Tak ada siapa-siapalah. Okeylah, aku letak dulu eh? Assalamualaikum.” Pantas Izzah mematikan talian. Dia takut nama lelaki itu meluncur keluar dari mulut Syamira. Dia takut dia akan menangis apabila mendengar nama itu. Sesungguhnya, dia masih belum dapat melupakan Harraz walaupun satu bulan setengah sudah berlalu semenjak kejadian dia melarikan diri daripada lelaki itu. Dia mencapai bantal di sebelahnya lalu ditekupkan ke muka cuba membuang jauh wajah Harraz dari kotak ingatan.
                                                            *****
“ANGAH, bangunlah cepat. Kejap lagi nak mulakan latihan.” Puas Iqbal mengejutkan Harraz namun lelaki itu tetap tak mahu bangun. Dia sudah kematian idea mahu mengejutkan angahnya. Dia berjalan mengelilingi katil. Tiba-tiba dia mendapat satu idea. Perlahan-lahan dia menghampiri Harraz. “Angah, bangun cepat. Izzah ada kat bawah!” jeritnya di telinga Harraz.
            Harraz bingkas bangun. “Izzah datang?” Dia meraba-raba mencari cermin mata di meja lampu. Kelam-kabut dia mencapai tuala dan berlalu ke bilik mandi. “Iqy, suruh Izzah tunggu tau. Angah nak mandi kejap!” jeritnya di bilik mandi.
            Iqbal sudah ketawa di dalam hati. “Parah betul angah aku ni.” Dia menggeleng kepala dan melangkah keluar dari bilik Harraz.
            Siap berpakaian, Harraz melangkah turun dari tangga. “Mana Izzah?” soalnya kepada Iqbal sebaik saja dia sampai di meja makan.
            “Dia tak ada pun. Saja je Iqy guna nama dia nak kejutkan angah. Liat sangat nak bangun.” Iqbal tersengih.
            Harraz mengetap gigi menahan geram. Dia duduk dengan kasar di kerusi. Matanya dijelingkan sedikit ke wajah Iqbal sebelum mencapai roti bakar di atas meja. Perlahan-lahan dia mengunyah roti itu.
            “Kalau Iqy tahu macam ni punya senang nak kejutkan angah, dah lama Iqy guna nama Izzah tu.” Iqbal tersengih lagi.
            Harraz menjegilkan matanya.
            “Sudah... sudah... jangan nak menjeling-jeling. Nanti juling pulak mata tu. Depan rezeki tak baik buat muka masam,” nasihat Datin Suhana.
            Harraz mencapai air teh panas lalu menghirupnya. Wajahnya kembali tenang apabila tekaknya dibasahi air teh.
            “Iqy dah habis makan. Nanti angah datang kat laman tau?” kata Iqbal sebelum berlalu ke luar rumah.
            Harraz hanya menganggukkan kepala dan meneruskan sarapan.
                                                            *****
KERETA diparkirkan ditempat yang disediakan. Cermin mata hitam ditanggalkan dan dibiarkan di dalam kereta. Pintu kereta dibuka. Dia melangkah keluar dari perut kereta dan berjalan dengan penuh bergaya menuju ke dewan kuliah. Dia tersenyum kepada semua yang memandangnya seperti tak pernah melihat orang. Sampai di dewan kuliah, dia mengambil tempat di bahagian belakang sekali. Ketika dia duduk, pelajar perempuan tak habis-habis merenung ke wajah kacaknya.
            Beberapa minit kemudian, pensyarah mula masuk. Mata Doktor Azman meliar memerhatikan ke semua pelajarnya. “Mana Harraz?” tanya Doktor Azman apabila tak melihat kelibat Harraz. Di dalam rekod kehadiran ada tandatangan lelaki itu.
            “Saya, doktor.” Lelaki kacak itu mula berdiri dan tersenyum.
            Semua pelajar sudah ternganga. Mereka tak menyangka lelaki lembut yang sering mereka sindir, sudah berubah menjadi sangat kacak. Jalannya pula sudah tak lemah gemalai lagi.
            “Subhanallah... macam mana awak boleh berubah sampai macam ni sekali, Harraz?” tanya Doktor Azman tak percaya.
            “Semuanya atas kehendak Allah. Kalau kita berusaha, pasti apa yang kita lakukan itu akan membuahkan hasil,” jawab Harraz tenang.
            “Okey, awak boleh duduk,” arah Doktor Azman. Kemudian  sesi pembelajaran bermula.
                                                            *****
SELEPAS tamat kuliah, Harraz bergegas keluar dari dewan kuliah. Tujuannya hanya satu... mahu mencari Izzah. Tempat pertama yang dituju adalah taman. Dia melangkah laju menuju ke pokok yang telah menjadi saksi pertemuannya dan Izzah. Dari jauh dia terlihat kelibat seorang gadis yang sedang berdiri menghadap batang pokok. Dia melajukan lagi langkahnya. “Awak nak buat apa tu?” tegurnya apabila melihat Izzah seperti mahu menoreh nama yang pernah diukir dulu.
            Izzah tersentak apabila mendengar suara yang amat dikenalinya. Dia berpaling ke belakang. “Awak ni siapa?” tanyanya apabila lelaki yang tak dikenali itu menghampirinya.
            “Awak tak kenal saya ke?” Harraz membawa tangannya ke dada.
            Izzah menggeleng laju.
            “Saya Raz... Harraz Fayyadh...”
            Izzah terjelepok sebaik saja mendengar sebaris nama yang ingin dilupakan. “Tak. Saya tak percaya. Awak tipu, kan? Harraz bukan macam ni. Dia lelaki lembut. Rambut dia disisir belah tepi, bukan belah tengah macam awak! Dia pakai cermin mata tapi awak tak.” Dia menerangkan ciri-ciri Harraz.
            Harraz duduk di depan Izzah. Dia mengeluarkan sebuah buku dari beg sandangnya. Buku itu diselak lantas mengeluarkan bunga raya yang telah layu. Bunga itu diserahkan kepada Izzah.
            Izzah menyambutnya dan membelek bunga itu. Dia memandang Harraz. “Betul awak ni Harraz?” soalnya ingin kepastian.
            Harraz mengangguk sambil tersenyum.
            Lesung pipit tu memang milik Harraz. “Kenapa awak berubah?”
            “Sebab saya tak nak awak malu bila keluar dengan saya. Biar saya dihina tapi saya tak sanggup tengok awak dihina disebabkan saya.” Harraz merenung lembut wajah Izzah.
            “Dah terlambat, Raz... dah terlambat...” Izzah bersandar pada batang pokok.
            “Kenapa? Awak dah ada orang lain ke?” Wajah Harraz berubah kecewa.
            “Bukan saya tapi awak! Awak milik orang lain sekarang,” ujar Izzah lemah.
            “Saya milik siapa?” Harraz tak faham apa yang dikatakan oleh Izzah.
            “Awak milik isteri dan anak awaklah!” jawab Izzah sedikit marah.
            Harraz terkejut. “Apa yang awak merepek ni? Bila masa saya kahwin?”
            “Saya nampak awak dengan seorang perempuan mengandung kat shopping complex dulu.” Izzah tundukkan wajah, tak sanggup mendengar pengakuan Harraz.
            “Hahaha...” Harraz ketawa kuat.
            Izzah mengangkat mukanya semula. “Kenapa awak gelak? Kelakar sangat ke bila rahsia awak dah terbongkar? Patutlah selama ni bila  saya ajak couple awak tolak!”
            “Kalau awak nak tahu, perempuan mengandung tu, kak long sayalah.”
            Wajah Izzah mula memerah. “Awak tak tipu?” Dalam hati ada bunga-bunga kegembiraan mula tumbuh.
            “Betul. Kalau awak tak percaya nanti saya bawak awak jumpa kak long saya.”
            Izzah mula tersenyum. “Awak kata awak dah buang bunga ni? Tapi kenapa masih ada pada awak?”
            “Saya tak buang pun. Saya tipu awak sebab nak awak putus asa dan cari lelaki lain yang lebih sesuai dengan awak. Awak nak buat apa dengan nama tu tadi?” soal Harraz apabila teringat perbuatan Izzah ketika dia baru sampai tadi.
            “Saya nak toreh sampai hilang nama tu.”
            “Kenapa?”
            “Sebab saya ingat orang yang saya cinta ni milik orang lain.” Izzah menundukkan muka.
            “Ooo... sebab nilah awak tak cari saya seminggu sebelum cuti tu eh? Patutlah saya tunggu perigi saya tak muncul-muncul...” Harraz mulai faham.
            Izzah tersipu malu.
            “Lepas tiga bulan bercuti akhirnya Encik Timba dah berjumpa semula dengan Cik Perigi yang menghilangkan diri sebab salah faham.” Harraz senyum. Dia menarik nafas. “Izzah Qhaireena, awak nak couple dengan saya tak?”
            Izzah mengangkat wajahnya. Perlahan-lahan dia mengangguk. “Raz...” panggilnya.
            “Ya?”
            “Mana mata awak?”
            “Ni bukan mata saya ke?” Harraz menunjuk ke matanya.
            “Anak mata awak bukan warna hazel ke? Kenapa warna hitam?” Izzah menjungkit keningnya.
            Harraz tergelak mendengar pertanyaan Izzah. Dia menanggalkan kanta lekapnya. “Kalau saya bukak kanta ni saya tak nampak,” adunya, manja.
            “Mana cermin mata awak?” soal Izzah lagi.
            Harraz mengeluarkan cermin mata bingkai hitamnya dari dalam beg lalu memakainya.
            “Ini baru Raz saya. Kalau awak tak berubah pun saya akan tetap terima awak,” ujar Izzah ikhlas.
            “Saya tahu...” Harraz tersenyum.
            “Hah! Kat sini rupanya  Cik Perigi dengan Encik Timba! Jom kita lepak kat kafe. Yang lain dah tunggu tu,” ajak Fadhli yang tiba-tiba muncul. Mana mungkin dia tak mengenali Harraz apabila satu kampus sudah heboh dengan berita perubahan lelaki itu.
            Harraz dan Izzah mula bangkit lalu mengekori langkah Fadhli meninggalkan kawasan taman. Taman yang menjadi saksi bermulanya kisah di antara Cik Perigi dan Encik Timba.


~TAMAT~