Edited Version
TELEFON bimbitnya berdering ketika dia sedang memandu pulang ke rumah. Tanpa melihat nama pemanggil, dia mencapai alat bebas tangan lalu menjawab panggilan. “Helo...” Dia bersuara. Matanya masih memandang ke jalan.
TELEFON bimbitnya berdering ketika dia sedang memandu pulang ke rumah. Tanpa melihat nama pemanggil, dia mencapai alat bebas tangan lalu menjawab panggilan. “Helo...” Dia bersuara. Matanya masih memandang ke jalan.
“Helo Syaz, nanti singgah kat
kedai Uncle John, tolong belikan akak sekotak buah limau,” ujar Suraya, kakak
Nurul Syazreen Aqila.
“Aik, tak cukup ke limau
yang Syaz dan Abang Hasif bawak balik semalam? Rasanya sebijik aje yang
akak sentuh, lepas tu cakap tak sedap.” Syazreen pelik dengan permintaan
kakaknya.
“Alah, bukan Kak Su yang nak
makan, tapi baby dalam perut ni yang nak sangat buah limau Uncle John
tu. Please, Syaz...” rayu Suraya.
“Yalah... yalah, nanti Syaz
singgah.” Syazreen mengalah. Dia mula memperlahankan keretanya sebaik sahaja
lampu isyarat bertukar ke warna kuning dan seterusnya bertukar ke warna merah.
“He he he... Kak Su
sayang Syaz lebih.” Suara Suraya kedengaran gembira.
“Oh, bila Syaz belikan baru
sayang Syaz lebih. Bila tak nak beli, benci Syaz lebih ya. Pandainya Kak Su ni,” rungut
Syazreen. Kakinya sudah bersedia untuk menekan pedal minyak sebaik sahaja lampu
isyarat bertukar ke warna hijau.
“Hesy, ada-ada ajelah Syaz ni. Okeylah, drive
carefully dan jangan lupa beli limau. Kat kedai Uncle John tau, tak nak kat
tempat lain.” Sekali lagi Suraya mengingatkan.
“Baiklah Puan Suraya, nanti
patik singgah ke kedai Uncle John. Bukan setakat limau aje yang patik bawak balik,
dengan Uncle John sekali patik angkut. Nanti dapatlah Kak Su makan limau free,”
gurau Syazreen. Terkekek-kekek dia ketawa.
“Hesy budak ni, main-main pulak
dia. Dahlah, Kak Su nak memasak ni. Assalamualaikum.”
Selepas menjawab salam dan
mematikan talian, dia membelokkan
keretanya ke kanan untuk ke kedai Uncle John yang terkenal dengan beraneka
jenis buah-buahan tempatan. Sampai sahaja di destinasi yang dituju, dia
memakirkan kereta di hadapan kedai. Kemudian dia keluar dari kereta dan
melangkah masuk ke kedai Uncle John.
“Helo uncle, business
banyak okey nampak?” Syazreen beramah mesra.
“Eh, Nulul... sudah lama talak
nampak awak punya muka? Business biasa-biasa saja maa... lezeki
raya Cina. Awak mau bili apa buah?” tutur Uncle John, sedikit pelat.
“Saya busy sikitlah
uncle. Datang ni pun sebab Kak Suraya mengidam nak makan buah limau uncle.
Kedai lain dia tak nak. Ada lagi tak buah limau?” tanya Syazreen sambil
melilaukan matanya mencari kedudukan buah limau.
“Ada lagi satu kotak. Awak pigi
depan sana, uncle ada letak itu limau di sana. Satu kotak saja lagi tinggal,”
ujar Uncle John sambil menundingkan ibu jarinya menunjuk arah limau tersebut
diletakkan.
Syazreen melangkah ke tempat
yang ditunjukkan. Ketika dia mahu mengangkat kotak limau, tiba-tiba sepasang
tangan muncul lalu mengangkat kotak itu. Syazreen terkejut. Ketika lelaki
berwajah Cina itu mahu berjalan ke kaunter, Syazreen mula menegur. “Encik, tu
limau saya.”
Lelaki itu berhenti lalu
berpaling. Kaca mata hitamnya ditarik lalu disangkut ke rambut. “Yang ini ke?”
Lelaki itu menunjuk pada kotak limau di tangannya.
Syazreen mengangguk. Dia
memanjangkan tangan, mahu mencapai kotak limau di pegangan lelaki itu. Lelaki
itu pantas melarikan kotak limau ke atas, agar Syazreen tidak dapat
mencapainya.
Syazreen mendengus. “Saya yang sampai kat
kedai ni dulu tau. Mana boleh awak nak rampas macam tu aje!” Syazreen sudah
bercekak pinggang.
“Siapa cepat, dia punyalah.”
Lelaki itu tersenyum sinis.
Syazreen menjungkitkan kakinya,
mahu mencapai kotak limau itu. Makin tinggi dia menjungkit, makin tinggi lagi
lelaki itu naikkan tangannya. Hesy, tinggi betullah mamat ni. Sakit
leher aku asyik mendongak, gumam hati Syazreen. “Bagilah balik limau tu!”
pintanya.
Lelaki itu sudah ketawa melihat
wajah cemberut Syazreen. “Tak nak!” Dia menggelengkan kepalanya.
Syazreen mendengus lagi.
Tiba-tiba dia tersenyum.
Kenapa pulak minah ni
tersenyum? Gila ke apa? kutuk lelaki itu dalam hati. “Aduh!” Lelaki itu
mengaduh apabila terasa kakinya sakit akibat disepak oleh Syazreen. Serta-merta
kotak limau di rendahkan sedikit. Sebelah tangannya mengurut kaki yang sakit.
Tanpa membuang masa, Syazreen
bertindak merampas kotak limau itu. Lelaki itu terkejut lalu bertindak
mempertahankan kotak di tangannya. Kaki yang terasa sengal dibiarkan dahulu.
Uncle John memanjangkan leher
apabila mendengar bunyi bising di luar. Dia segera melangkah ke arah Syazreen
dan lelaki itu. “Haiya, kamu berdua jangan gaduh-gaduh ini macam. Nanti
jatuh ini buah, tak ada olang mahu bili lagi.” Uncle John terpaksa meleraikan
perebutan di antara Syazreen dan lelaki
itu.
Pergelutan terhenti. Kedua-dua mereka
memandang wajah Uncle John. “Saya yang nampak dulu limau tu, uncle. So,
saya punyalah limau ni. Lagipun, uncle yang suruh saya ambil limau ni tadi,
kan?” ujar Syazreen. Dia sempat menjeling tajam ke wajah lelaki Cina itu.
“Saya yang pegang dulu kotak
limau ni, uncle. Tiba-tiba aje minah ni nak rampas kat tangan saya.”
Lelaki itu juga nampaknya tidak mahu mengalah.
“Amboi-amboi, sedap aje panggil
aku minah.” Syazreen menjegilkan mata.
“Sudah... sudah! Ini kedai uncle
punya, ini limau uncle yang punya maa... begini sajalah, memandangkan
dalam kotak ni ada 20 biji limau dan hanya tinggal satu kotak saja, uncle
cadangkan kamu dua olang bahagi dua. Bayar pun dua. Apa macam, setuju tak?”
Uncle John memberi cadangan. Dia memandang wajah Syazreen dan lelaki itu,
menanti jawapan.
“Tapi uncle, mana cukup 10
biji,” jawab mereka serentak. Masing-masing berpandangan apabila menyedari ayat
yang mereka keluarkan, sama.
“Tak cukup? Kalau begitu, kamu
dua olang mali lagi kedai uncle esok. Stok baru akan sampai esok. Nanti uncle
kasi simpan untuk kamu dua olang. Okey meyh? Jangan gaduh-gaduh lagi.”
Uncle John memberi cadangan.
Mereka berdua berfikir sebentar.
Akhirnya mereka setuju. Setelah membayar harga 10 biji limau, masing-masing
beredar membawa haluan sendiri.
*****
“MAMA,
mak ngah dah balik!” jerit Atikah. Kemudian dia berlari mendapatkan Syazreen.
“Mak ngah beli apa tu?” soal Atikah sambil menjeling plastik yang ada di tangan
Syazreen.
“Mak ngah beli limau. Nah, bagi
pada mama, mak ngah nak naik atas, mandi.” Syazreen menghulurkan plastik yang
berisi limau kepada Atikah.
“Okey.” Atikah menyambut plastik
itu lalu berlari ke dapur, mendapatkan mamanya.
Syazreen berlalu ke biliknya
untuk membersihkan diri. Setelah selesai membersihkan diri, dia keluar dari
bilik dan menuju ke dapur, membantu kakaknya yang sedang hamil dua bulan
menyediakan makan malam.
“Kenapa beli sikit sangat limau
tu? Kan Kak Su dah pesan suruh beli satu kotak?” soal Suraya, tidak berpuas
hati.
“Tadi memang nak beli sekotak,
tiba-tiba aje ada sorang mamat Cina ni pergi rampas kotak limau tu.”
Syazreen menceritakan semula kejadian tadi kepada Suraya.
“Hensem tak mamat
Cina tu?” soal Suraya, teruja.
“Apa yang Kak Su melalut ni?
Ingat sikit kat Abang Hasif tu, jangan nak menggedik.” Syazreen menyenduk sup
ayam ke dalam mangkuk kaca lalu dihidang di atas meja.
“Sekali-sekala nak menggedik
takkan tak boleh kut? Ada macam muka pelakon tak?” Suraya menghampiri Syazreen.
“Malaslah Syaz nak layan akak
ni, buat air lagi bagus.” Syazreen mengambil jag kosong pula lalu diletakkan di
atas meja untuk membancuh air.
“Eleh, tak nak cakap pulak
dia. Esok belikan dua kotak limau untuk akak ya?” Suraya melangkah semula ke
tepi sinki, membasuh sayur kubis.
“Mak oi, banyaknya! Boleh habis
ke?” Syazreen terkejut mendengar permintaan kakaknya.
“Apa tak boleh habis pulak?
Rumah kita ni kan ada banyak mulut yang boleh menghabiskan limau-limau tu
semua.” jawab Suraya.
Mak, abah, Abang Hasif, Kak Su,
Haziq, dan dua orang anak Kak Su, Atikah dan Azim. Semuanya lapan orang, termasuk
aku. Cukuplah tu, desis hati Syazreen. “Hmm... yalah, nanti Syaz beli.”
*****
“10 BIJI
aje? Mana cukup! Kan I suruh you beli sekotak!” bentak Jessy, sebaik sahaja
menyambut plastik yang berisi limau.
“Alah, tinggal ni aje tadi. Esok
I belilah lagi. Uncle tu janji dia akan simpankan untuk I esok.” Zarul Ashraf
tidak menceritakan perkara sebenar kepada Jessy. Dia malas mahu memanjangkan
cerita. Yang penting, dia tetap dapat membeli limau walaupun bukan satu kotak.
“I dah janji kat officemate
yang I nak bagi dia orang buah limau yang paling sedap dan manis tau. Bila dah
jadi macam ni, macam mana nak bagi kat dia orang?” bentak Jessy lagi. Wajahnya
dimasamkan.
“Kita beli kat kedai lain ajelah
ya? Kawan-kawan you bukannya tahu pun kat mana you beli buah tu. Yang penting
dapat makan.” Zarul memberi cadangan.
“Tak nak! Itulah you, I dah
suruh you beli lunch time, you tak nak. You cakap tak lari ke manalah
limau tu. Sekarang ni tengok, sikit aje dapat,” marah Jessy. Kakinya dihentak
tanda protes.
Ni semua minah tu punya
pasallah. Kalau dia tak berebut dengan aku, mesti Jessy tak tarik muka empat
belas, marah Zarul dalam hati. “I janji, I akan beli tiga kotak untuk you esok.
Please smile...” pujuk Zarul.
“Betul? Kalau you tipu, siaplah
you.”
Zarul hanya menganggukkan kepala
sambil mengangkat tangan separas dada.
*****
SEBAIK sahaja
jam menunjukkan pukul 1.00 tengah hari, Zarul bergegas keluar dari pejabat.
Punat lif ditekan. Tidak sampai satu minit, pintu lif terbuka. Dia terus
menekan butang untuk ke tempat parkir kereta. Sampai sahaja di kereta, dia
terus masuk dan memecut laju ke kedai Uncle John. Dia tidak mahu perkara
semalam terjadi lagi. Dia juga tidak mahu melihat muka kelat Jessy seperti
semalam.
Segalanya berpunca dari dia. Dia
yang mendesak Jessy supaya merasa sebiji buah limau yang dibeli di kedai Uncle
John. Jessy yang tertarik dengan kemanisan limau itu terus menyuruhnya membeli
limau di kedai Uncle John, untuk diagih-agihkan kepada kawan-kawan di
pejabatnya, sempena Perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba beberapa hari
sahaja lagi.
Sampai sahaja di kedai Uncle
John, dia terus mencari tauke kedai itu. Uncle John kemudiannya mengambil tiga
kotak buah limau yang disimpan di belakang kedai kemudian diserahkan kepada
Zarul. Selepas duit bertukar tangan, Zarul kemudiannya berlalu keluar dari
kedai. Belum sempat kakinya melangkah masuk ke dalam kereta, namanya dipanggil.
Uncle John menyerahkan sampul surat berwarna merah kepada Zarul.
“Aik, belum raya Cina
lagi uncle da bagi angpau?” soal Zarul, pelik.
“Ini bukan angpau maa...
ini invitation card. Jemput datang ke rumah uncle, raya kedua nanti. Majlis start pukul 8.00 malam,”
terang Uncle John.
“Oh, Okey. Saya mesti datang
punya.” Zarul berjanji. “Uncle, minah semalam tak datang ke?” tanya
Zarul tiba-tiba.
“Kenapa awak tanya? Awak sudah
syok sama dia ya?” serkap Uncle John.
“Eh, bukanlah uncle. Saja aje
tanya. Semalam bukan main lagi nak beli limau ni. Hari ni tak nampak pulak batang
hidung.” Zarul membetulkan tafsiran Uncle John. Tiga kotak buah limau
dimasukkan ke dalam kereta. Kemudian dia menghadap Uncle John semula.
“Petang sikit kut dia mali. Dia
nak sangat buah tu sebab dia punya kakak mengidam. Sebab itu dia berebut sama
awak,” kata Uncle John.
Zarul terdiam. Terbit rasa
bersalah di hatinya kerana tidak mahu mengalah, semalam. Dia mengeluarkan pen
di poket seluar. Dia masuk ke dalam kereta, cuba mencari kertas namun tiada
satu kertas pun di dalam keretanya. Dia keluar semula dan terkejut apabila
melihat Uncle John masih di belakangnya dan sedikit terbongkok melihat
kelakuannya tadi. Dia mengurut dadanya perlahan.
“Cari apa?” Selamba Uncle John
bertanya.
“Erk... nak cari kertas
tapi tak ada pulak. Uncle ada kertas tak?” Zarul tersenyum.
“Ada. Malilah masuk dalam. Cuaca
ini hali sangat panas.” Uncle John melangkah masuk ke dalam kedai diikuti
Zarul. Sampai sahaja di kaunter, Uncle John mengeluarkan sekeping kertas dari
dalam laci lalu menghulurkan pada Zarul.
“Terima kasih uncle. Tumpang
tulis sekejap ya?” pintanya lalu mula menulis sesuatu pada kertas kosong.
Selesai menulis, dia melipat kertas itu lalu dihulurkan pada Uncle John.
“Surat cinta untuk uncle ke?”
Uncle John mengerutkan dahi. Tangannya ringan sahaja mencapai surat itu.
“Bukanlah uncle. Tolong bagi
surat ni pada minah semalam ya?”
Uncle John tersenyum mengusik.
“Chop... chop... uncle,
ni bukan surat cinta tapi surat minta maaf. Jangan lupa bagi, ya Uncle.” jelas
Zarul. Kemudian dia meminta diri. Perutnya yang berbunyi perlu diisi.
“Okey, nanti uncle bagi,” janji
Uncle John lalu mengambil sampul surat kosong dan meletakkan surat yang ditulis
Zarul tadi ke dalam sampul itu.
*****
SEBELAH
petang pula Syzreen sampai di kedai Uncle John. “Uncle, buah limau saya ada
tak?” tanya Syazreen, sebaik sahaja sampai ke kaunter.
“Ada. Nanti
sekejap ya.” Uncle John melangkah ke belakang untuk mengambil sekotak buah
limau.
“Nak dua
kotak tau uncle,” beritahu Syazreen.
“Okey.”
Uncle John keluar sambil menolak troli yang berisi dua kotak limau.
Syazreen
terkejut melihat kotak limau yang dibawa. “Besarnya kotak. Ada berapa biji
dalam ni, uncle?”
“Satu kotak
ada 40 biji,” jawab Uncle John.
“Banyak
sangat ni. Boleh habis ke nanti?” Syazreen bermonolog sendirian.
“Mesti
habis punya. Mau uncle bawak ke kereta ke?” tawar Uncle John.
“Boleh jugak,”
jawab Syazreen selepas membayar.
Selesai memasukkan dua kotak limau ke
dalam kereta, Uncle John menghulurkan dua keping sampul surat yang salah
satunya berisi surat dari Zarul.
Syazreen
menyambut lalu membelek-beleknya di hadapan Uncle John. Sampul surat yang
berwarna merah itu dibukanya dahulu. Dia membaca isi di dalamnya. “Uncle buat open
house ke?” tanya Syazreen.
Uncle John
mengangguk. “Jangan lupa datang tau?”
Syazreen
berasa was-was samada mahu pergi atau tidak. Selama ini dia belum pernah beraya
di rumah kaum Cina. Wajahnya dikerutkan, cuba berfikir.
“Jangan
lisau la Nulul, makanan di rumah uncle dijamin halal maa... sebab uncle
panggil itu cateling dari kedai Melayu. Datang ya? Kita kan satu Malaysia...”
pujuk Uncle John, yang seperti dapat membaca kegusaran Syazreen.
Syazreen hanya menganggukkan
kepalanya kemudian melemparkan senyuman. Sampul surat lagi satu dipegangnya
sahaja. Dia bercadang mahu membuka di rumah. “Saya balik dululah, uncle,”
pintanya lalu memboloskan diri ke dalam kereta.
*****
“SEPERTI
yang I janjikan, I beli tiga kotak limau untuk you. Puas hati?” Zarul Ashraf
membuka pintu kereta lalu terpampang jelas tiga kotak buah limau elok terletak
di situ.
Jessy tersenyum gembira. “Macam
nilah baru boyfriend I. Tolong bawak masuk dalam rumah ya,
beratlah,” pinta Jessy, manja. “Chinese New Year nanti jangan
lupa datang rumah I ya, kita celebrate dengan family I,” pelawa
Jessy.
“Maybe raya kedua baru I
datang rumah you sebab sehari sebelum raya, my family and I nak balik
Melaka,” jelas Zarul. Kotak limau itu mula diangkat, mahu diletakkan ke dalam
rumah Jessy. Sampai sahaja di kereta, dia pelik melihat wajah Jessy yang masam
mencuka sambil berpeluk tubuh di hadapan keretanya. “I dah belikan limau pun nak masam lagi ke
muka tu?” tegur Zarul.
“Setiap tahun you balik Melaka.
Apa salahnya kalau tahun ni you celebrate dengan family I pulak!”
bentak Jessy.
“You pun tau kan yang family
belah mama I pun Chinese jugak? Kalau I tak balik kampung, kecik
hati pulak datuk dan nenek I tu. I ni sorang ajelah cucu dia orang. You
kena faham tu. You pun tak pernah celebrate Raya Aidilfitri dengan family
I. Bila I ajak, macam-macam alasan yang you bagi.” Zarul mengungkit. Dia
kesal dengan Jessy yang seperti tidak mahu berkenalan dengan keluarganya.
“Mengungkit nampak. Dahlah I nak
masuk dalam dulu. Anyway, Thank you very much,” ujar Jessy sambil
melangkah masuk ke rumah. Pintu rumah dihempas tanda protes.
“Haish, susah betul
bercinta dengan orang yang berlainan agama ni.” Zarul mengeluh lalu masuk ke
dalam kereta.
*****
“TAHUN ni banjir betul rumah kita
dengan limau.” ujar Haziq, satu-satunya adik lelaki yang Syazreen dan Suraya
ada.
“Mana tak banjirnya, abang bawa
sekotak, Syaz bawa sekotak dari office, dua kotak lagi beli kat kedai
Uncle John. Membazir betul Syaz ni. Kalau tak habis, boleh busuk buah tu.”
Hasif mula berleter.
“Yang dua kotak tu Syaz beli
untuk Kak Su. Dia yang nak sangat makan buah limau Uncle John tu. Dia kata baby
yang nak makaan,” terang Syazreen.
“Makan sampai dua kotak? Biar
betul Su ni. Yang abang bawa balik hari tu pun dia sentuh sebiji aje. Pelik
sungguh citarasa orang perempuan bila mengandung ni.” keluh Hasif.
“Alah Abang Hasif ni, bukan tak
habis pun buah tu. Tengok si Atikah dengan Azim tu. Dari tadi tak henti-henti makan
buah limau.” Syazreen memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah Atikah dan Azim.
Hasif menggeleng kepala melihat
telatah anak-anaknya. Kemudian dia bangkit dan beredar ke biliknya.
*****
DI DALAM
bilik, sekali lagi Hasif menggeleng kepala apabila melihat Suraya masih lagi
menghadap buah limau yang dibeli Syazreen petang tadi. Hampir satu kotak
dibalunnya. “Anak dengan mak sama aje,” ucap Hasif
“Apa bang?” tanya Suraya apabila
dia tidak dapat menangkap apa yang dituturkan oleh suaminya.
“Tak ada apa-apa. Abang cakap,
kalau tak cukup limau tu, nanti abang suruh Syaz beli lagi,” dalih Hasif.
“Betul ke? Eh, nak! Nak! Nak...”
Suraya teruja.
“Allah...” Hasif dah menepuk
dahinya mendengar jawapan Suraya.
“Cukup-cukuplah makan limau tu,
Su... tak penat ke mulut tu asyik mengunyah aje dari tadi?” Hasif melabuhkan
punggung di sebelah Suraya.
“Tak penat pun. Abang nak?”
Suraya menghulurkan sebiji limau kepada suaminya.
Hasif menggelengkan kepalanya,
tanda tak mahu.
*****
SYAZREEN menarik
laci meja lampu. Sampul surat berwarna putih yand diberi Uncle John tadi
diambil. Dia membelek sebentar sampul surat itu. “Duit raya ke ni?” monolognya
sendirian. Perlahan-lahan sampul surat itu dibuka. Dia mengerutkan kening
apabila telahannya salah. Surat yang berlipat itu dikeluarkan lalu mula membaca
isinya.
Assalamualaikum minah limau...
sorry kalau awak marah saya panggil awak minah limau sebab saya tak tahu nama
awak. Saya nak minta maaf banyak-banyak sebab tak nak mengalah dengan awak
semalam. Saya tak tahu yang kakak awak mengidam nak makan buah limau.
Andai kata kalau kita
terserempak di mana-mana, saya harap tiada pergaduhan antara kita.
-mamat
limau-
Usai
membaca isi surat itu, syazreen melipatnya lalu meletakkan ke dalam sampul
surat semula. Laci dibuka lalu menyimpan surat itu di situ. “Melayu rupanya mamat
limau tu.” Syazreen tersenyum
apabila terkenang kembali perebutan antara dia dan Zarul. Lampu tidur dimatikan
lalu dia membaringkan diri di atas katil.
*****
SEHARI
sebelum perayaan Tahun Baru Cina, Zarul dan keluarganya pulang ke Melaka,
negeri kelahiran mamanya. Mama Zarul merupakan wanita berbangsa Cina yang
memeluk agama Islam.
Menurut Puan Marry Ng atau nama
Islamnya Mariam, dia menganut agama Islam kerana tertarik mendengar alunan Azan
di masjid yang berdekatan dengan rumahnya. Ketika itulah hatinya terbuka untuk
mendalami Islam. Tambahan pula dia mempunyai ramai kawan yang beragama Islam,
jadi mudah untuk dia belajar adat orang Islam.
Keputusannya untuk memeluk Islam
sekaligus berkahwin dengan Encik Zaman mendapat restu daripada kedua orang
tuanya yang berbangsa Cina. Setiap kali tiba Tahun Baru Cina, dia, suami dan
anaknya tidak pernah lupa untuk menyambut bersama kedua orang tuanya kerana dia
merupakan anak tunggal.
Begitulah sebaliknya apabila
menjelang Aidilfitri, kedua ibu bapa Puan Mariam pula akan ke Kuala Lumpur
untuk menyambut bersama mereka.
Setelah dua hari bermalam di
Melaka, Zarul meminta kebenaran untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk beraya ke
rumah Jessy dan sebelah malamnya pula beraya ke rumah Uncle John.
*****
“KAK SU
belum siap lagi ke bang?” soal Syazreen sambil merenung ke tangga tingkat atas.
“Belum lagi. Biasalah orang
perempuan ni bila bersiap bukan main lama lagi. Pakai compact powderlah,
eye shadowlah, mascaralah. Macam-macam!” Hasif membebel.
Syazreen tersenyum mendengar
bebelan abang iparnya.
“Dah... dah... tak payah nak
membebel macam murai tercabut ekor. Su dah siap ni, jomlah kita gerak, nanti
habis pulak limau Uncle John tu,” potong Suraya yang ketika itu sedang menuruni
tangga.
“Astaghfirullahalazim...
balik-balik limau Uncle John yang dirisaukan.” Hasif beristighfar. Dia mula
bangkit lalu melangkah keluar dari rumah.
“Entah Kak Su ni. Tak jemu ke
asyik makan limau?” tanya Syazreen pula.
“Mama cakap, bukan mama yang nak
makan tapi adik yang kat dalam ni,” sampuk Azim.
Suraya tersenyum mendengar
jawapan anak lelakinya. “Pandai anak mama.” Suraya menggosok perlahan kepala
Azim.
Hasif menggeleng kepala lalu
masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan, cermin pandang belakang dan
cermin sisi dibetulkan. Setelah Hasif memastikan semua telah memakai tali
pinggang keledar, dia mula mengundurkan kereta.
“Bye atuk, bye nenek...”
Azim dan Atikah melambaikan tangan kepada Encik Ismail dan Puan Rafidah yang
sedang berdiri di pintu pagar.
“Bawak kereta baik-baik,
ya Hasif.” Puan Rafidah mengingatkan.
“Yalah mak, kami pergi dulu.”
Kereta mula meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah.
*****
SAMBUTAN
Tahun Baru Cina di rumah Uncle John, sangat meriah. Lima buah kanopi telah
didirikan di laman rumah banglo satu tingkat milik Uncle John dan Auntie Anne.
Pelbagai jenis juadah yang disediakan. Ada masakan Melayu, Cina dan India.
“Heppy Chinese New Year
uncle, auntie...” ucap Hasif, Suraya dan Syazreen serentak.
“Terima kasih sudi datang,” ucap
Uncle John dan Auntie Anne. Kemudian Uncle John menghulurkan angpau kepada
mereka berlima.
“Xin nian kuai le,” ucap
Atikah malu-malu bila dia menerima angpau.
“Wah, pandai adik cakap bahasa
Cina ya,” ujar Auntie Anne.
Yang lain sudah ketawa mendengar
kata-kata Atikah.
“Mana taknya auntie, hari-hari
dia teman maknya tengok drama Cina,” jelas Hasif sambil menjeling ke arah
Suraya.
“Jemput masuk, makan
kenyang-kenyang tau,” pelawa Auntie Anne.
Ketika mereka sedang memilih
lauk-pauk, mata Syazreen terpandang ke arah sepasang kekasih yang sedang enak
menjamu selera di salah satu kanopi. Nampak mesra pasangan itu. Sama cantik,
sama padan.
“Kak Su, tulah mamat
limau yang Syaz cerita dulu.” Syazreen memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah kanopi
yang diduduki Zarul dan Jessy.
“Wah, gila hensem! Ada
iras-iras Nicholas Tse,” puji Suraya.
“Siapa hensem?” soal
Hasif. Suaranya berbaur cemburu.
“Erk... arnab tu yang hensem,”
jawab Suraya sambil menundingkan ibu jarinya ke arah patung arnab yang terdapat
di laman.
“Nasib baik puji arnab. Abang
ingatkan Su puji lelaki lain tadi. Ingat sikit yang Su tu mak buyung.” Hasif
mengingatkan.
“Isy, ke situ pulak abang
ni.” Suraya menyambung menceduk lauk-pauk ke dalam pinggannya.
Syazreen, Atikah dan Azim ketawa
melihat wajah cemburu Hasif.
*****
ATIKAH
dan Azim sedang bermain kejar-kejar bersama anak-anak jiran Uncle John. Tanpa
disedari, ketika Atikah sedang leka berlari, dia telah terlanggar seseorang.
Habis terbalik pinggan yang berisi sate dan kuah kacang di atas baju gadis Cina
itu. “Oh my god!” Dia menilik pakaiannya.
Atikah
sudah memandang takut-takut ke arah gadis yang dilanggarnya tadi. Dia kaku di
situ. Gadis Cina tadi mengangkat wajahnya yang telah berubah garang. Tangannya
sudah diangkat tinggi mahu menampar Atikah. Belum sempat tangannya dihayunkan,
tangannya telah ditahan Zarul.
Syazreen
bergegas mendapatkan Atikah lalu dibawa ke belakang badannya, melindungi anak
kecil itu. Dia dapat merasakan tubuh Atikah menggigil ketakutan. “Maafkan anak
buah saya, dia tak sengaja.” Syazreen memohon maaf.
“Macam mana you jaga anak buah
you hah?! Menyusahkan orang betul. Habis baju I kotor!” marah Jessy.
“Sudahlah tu, Jessy. Sikit aje
ni,” pujuk Zarul. Dia malu apabila ada mata yang merenung ke arah mereka.
“Sikit you kata? Ni baju baru I
tahu tak?! Siapa nak ganti ni?” marah Jessy lagi. Matanya mencerlung tajam ke
wajah Atikah yang mencuri pandang dari belakang badan Syazreen.
Auntie Anne yang melihat, terus
menuju ke arah mereka untuk meredakan keadaan. “Pergi masuk dalam, nanti auntie
bagi baju ganti. Jangan kecoh-kecoh, kitakan satu Malaysia.”
Jessy mendengus kasar sambil
berlalu masuk ke dalam rumah Auntie Anne untuk menukar baju.
“Sudah, pergi sambung makan,”
ujar Auntie Anne kepada Zarul dan Syazreen.
Syazreen mula mengorak langkah.
“Excuse me...” panggil
Zarul.
Syazreen mula berhenti
melangkah. Dia berpaling ke belakang.
“Awak ni minah limau,
kan?” tanya Zarul, penuh yakin.
“Hah?” Syazreen berpura-pura
terperanjat.
“Limau...” kata Zarul lagi.
Syazreen menggaru kepalanya
tanda tak faham..
“Kedai Uncle John, rebut limau. You
remember?” Zarul memberi klu. Dia masih ingat wajah gadis yang telah
menyepak kakinya.
“Oh ya... baru saya ingat.”
Syazreen mengeyakan sambil tersenyum.
“Saya...”
“Okeylah, saya pergi dulu,”
potong Syazreen apabila dia melihat Jessy sedang menuju ke arah mereka dengan
jelingan tajam.
“Apa yang you all
bualkan? Bukan main mesra lagi,” selidik Jessy.
“Tak ada apa-apalah. Dia minta
maaf aje pasal tadi,” bohong Zarul.
“Nasib baik ada Auntie Anne
tadi. Kalau tak... I tampar-tampar budak kecik tu. Menyusahkan betul!”
“Dengan budak kecik pun nak
bergaduh ke? Sudahlah tu, hal kecik aje ni.”
“Hal kecik you cakap? Malu I
tau, semua orang pandang,” marah Jessy.
Semua orang pandang sebab dengar
suara you yang macam pontianak menjerit tu, kutuk Zarul dalam hati.
“Jom baliklah, tak ada mood
nak sambung makan.” Jessy menarik tangan Zarul agar berlalu dari situ.
“Kerek gila amoi tu,” luah
Syazreen kepada Suraya dan Hasif.
“Atikah, Azim... duduk diam-diam.
Nanti jadi macam tadi susah kami.” Suraya mengingatkan anak-anaknya.
*****
EMPAT
BULAN KEMUDIAN
KERETA
dipandu laju tanpa arah tujuan. Syazreen hanya mengikut sahaja kata hatinya.Dia
memandu dan terus memandu. Hati yang bercelaru harus di tenangkan. Setelah dua
jam setengah memandu, dia memberhentikan keretanya di Pantai Morib.
Dia duduk di atas tembok batu
yang jauh daripada orang ramai. “Aaarrrggghhh!!!” jeritnya sekuat hati,
melepaskan kekecewaan yang melanda hati.
Tiba-tiba sebiji limau dihulurkan
kepadanya. Dia yang terkejut menoleh ke arah pemberi limau. “mamat
limau?!” ucap Syazreen, terkejut.
Zarul menyuakan sekali lagi buah
limau itu kepada Syazreen. Kali ini gadis itu menyambutnya.
Macam mana awak boleh ada kat
sini? Tadi saya tak nampak awak pun?” tanya Syazreen.
“Sini memang tempat lepak saya
untuk tenangkan fikiran sambil makan ini.”
Zarul menunjukkan sekotak limau yang berada di sebelahnya.
“Macam mana awak nak perasan
saya kalau muka awak macam tempoyak basi? Datang-datang aje terus menjerit.
Nasib baik tak pekak telinga saya.” Sempat Zarul menyindir gadis itu.
Menyindir nampak, gumam hati
Syazreen.
“Awak macam ada masalah aje? You
can share with me if you dont mindlah,” ujar Zarul.
Nak cerita ke tak? Nak cerita ke
tak? Nak cerita ke tak? Ah, cerita ajelah, nanti kurang sikit serabut kat
kepala aku ni, detik hati Syazreen.
“Sebenarnya... saya baru aje
putus dengan teman lelaki saya.” Syazreen mula bercerita dan mengimbas kembali
pertemuan di antara dia dan Razif beberapa jam yang lalu.
Suasana di restoran riuh sekali
dengan kerenah pelanggan yang bermacam ragam. Mungkin kerana hari ni merupakan
hari mingggu. Tambahan pula menu yang disediakan boleh membangkitkan selera.
“I nak minta maaf pada you,”
ucap Razif setelah lama mendiamkan diri.
“Minta maaf pasal apa pulak
ni? You ada buat salah kat I ke?” Syazreen sudah pelik.
“Erk... Erk...” Razif
sudah tergagap-gagap.
“Perangai you nampak peliklah
hari ni,” luah Syazreen. Dia dapat melihat air muka Razif yang seperti
teragak-agak.
“I nak bagi tahu you yang I akan
berkahwin bulan depan.”
“Apa? Cuba you ulang sekali
lagi?” tanya Syazreen, kurang jelas.
Razif menarik nafas. “I akan
berkahwin bulan depan tapi bukan dengan you.” ulang Razif.
“You tipu I, kan?You bergurau
aje, kan Zif?” Syazreen mahukan kepastian.
“I tak bergurau. Memang betul I
akan berkahwin.”
“Habis tu I ni siapa bagi you?”
Syazreen mula menangis. Sungguh dia tidak menyangka lelaki yang amat dia cintai
sanggup mahu memutuskan hubungan.
“I nak minta maaf. Sebenarnya I
hanya mempergunakan you untuk buat kekasih I, merangkap bakal isteri I cemburu.
I cuma nak sedarkan sikap dia yang ego. Itu aje. Sebab itulah I buat keputusan
untuk mempergunakan you,” jelas Razif tanpa rasa bersalah.
Hancur luluh hati Syazreen bila
mendengar penjelasan Razif. “Sampai hati you buat I macam ni. You ingat I ni
apa hah?! Lelaki tak guna!”
Panggg!!!
Syazreen melayangkan penampar ke
wajah Razif.
Lelaki itu tergamam seketika. “Apa ni Syaz?”
soalnya sambil tangan kanan memegang pipi yang terasa pijar.
“Ini sebab kau tipu aku!”
Kemudian Syazreen mencapai air tembikai yang belum sempat disentuhnya lalu
menyimbah ke wajah Razif.” Dan ini sebab kau menghancurkan hati aku!” Syazreen
melangkah laju meninggalkan restoren itu. Pandangan orang ramai terhadap
tindakannya tadi tidak dihiraukan. Hatinya yang sakit perlu dirawat segera. Dia
sangat malu. Dia tidak menyangka cinta itu benar-benar menyakitkan.
“Macam
itulah ceritanya.” Syazreen menyudahkan ceritanya. Setelah bercerita, kepalanya
terasa sedikit ringan. Wajah Razif cuba dibuang bersama-sama ombak yang memukul
pantai. Biar wajah itu ditenggelami ombak yang mengganas.
Zarul menhulurkan sebiji lagi
buah limau kepada Syazreen.
“Sabarlah.. Nanti dia akan dapat
pembalasan dari Allah atas apa yang telah dia buat terhadap awak,” pujuk Zarul.
“Awak ni baru masuk Islam ke?
Tapi, cara percakapan awak tak ada pelat macam Uncle John pun,” soal Syazreen.
Zarul tersenyum dengan
pertanyaan Syazreen. “Saya Islam. Papa saya Melayu, mama saya Cina masuk Islam.
Nama saya Zarul Ashraf.” Zarul menerangkan salasilah keturunannya.
“Saya Nurul Syazreen Aqila.
Mati-mati saya ingat awak ni orang Cina.”
Zarul ketawa mendengar kata-kata
Syazreen.
“Cuti-cuti macam ni awak tak
keluar dengan makwe awak yang garang tu ke?” tanya Syazreen pula.
“Saya pun macam awak juga. Tapi
kami berpisah sebulan yang lepas.” Wajah Zarul bertukar muram sambil mengimbas
kembali punca perpisahannya dengan Jessy.
“Helo Jessy, esok I ada conference
di Ipoh, tiga hari. So, I tak dapatlah nak jemput dan hantar you pergi
kerja nanti,” ucap Zarul Ashraf ketika dia menelefon Jessy.
“Oh, ya ke? Drive carefully
ya,” kata Jessy di hujung talian.
“You tu jaga diri tau bila I tak
ada kat KL ni. I risaulah biarkan you pergi kerja naik teksi ni.” Zarul
meluahkan kerisauan.
“Pasal I, you jangan risau. I
kan ramai kawan, pandailah I tumpang dia orang nanti. You tu jangan nakal-nakal
pulak kat sana.”
“I ke sana atas urusan
syarikatlah. Tak ada masa nak cuci mata. Lagipun siapalah nak kat I ni...”
“You tu kan hensem, mestilah
ramai yang minat.”
“Ada-ada ajelah you ni. Okeylah,
I nak kemas baju dulu. Bye...” Usai mematikan talian, Zarul bangkit mahu
mengemas pakaiannya.
*****
MESYUARAT di
Ipoh selesai tidak sampai tiga hari. Zarul mengambil keputusan untuk pulang ke
Kuala Lumpur petang itu juga. Tepat pukul 10.00 malam dia sampai di rumah. Dia
cuba menghubungi Jessy namun tidak berangkat. Dia kemudiannya membersihkan diri
dan menunaikan solat isyak terlebih dahulu.
Selesai Solat, dia cuba
menelefon Jessy sekali lagi namun tak berangkat juga. Dia memutuskan untuk
tidur sahaja memandangkan dia kepenatan setelah seharian memandu tanpa henti.
*****
TENGAH HARI itu Zarul menuju ke pusat membeli-belah One Utama.
Memandangkan lusa merupakan hari lahir
Jessy, dia berniat untuk membelikan hadiah. Sedang dia leka membelek-belek
cincin, telinganya menangkap suara rengekan manja dari hujung tempat dia duduk.
Dia menoleh ke arah suara itu. Tersirap darahnya apabila melihat suara rengekan
itu milik Jessy.
Dia bangun dan meluru ke arah
pasangan yang sedang leka membelek rantai. “Jessy!” panggil Zarul.
Jessy yang mendengar namanya
dipanggil terus menoleh ke belakang. Dia terkejut melihat Zarul berada di situ.
“Zarul? Apa you buat kat sini? Kata ada conference?” ujar Jessy
takut-takut.
“I tak sangka you sanggup curang
di belakang I.” Zarul kecewa.
Jessy tersenyum sinis mendengar
suara kecewa Zarul. Hilang semua rasa takutnya tadi. “I dah boring
dengan you. Semua tak boleh. Pergi disko tak boleh, minum arak tak boleh. I
bosan tahu tak? Bosan! Sekarang I dah jumpa lelaki yang sesuai dengan I. Dia
tak macam you. Dia tak pernah halang bila I nak minum ke apa. Tapi you memang
kolot!” hina Jessy.
“Kita kan dah janji nak kahwin,
Jessy?” kata Zarul lagi.
“Pergi mati dengan kahwin you
tu! I tak nak masuk Islam. I nak hidup bebas macam kawan-kawan I. Bahagia tanpa
perkahwinan. You yang nak sangat kahwin dengan I, kan? Mulai hari ni kita
putus! Jom Danny.” Jessy menarik tangan Danny dan beredar dari kedai itu.
Zarul kecewa mendengar kata-kata
Jessy. Dia turut melangkah keluar dari kedai emas itu. Langkahnya dibawa ke
surau untuk menemui maha Pencipta. Dia mahu menenangkan jiwanya yang sakit.
Hanya Dia tempatnya mengadu.
“Tak patut dia cakap macam tu
kat awak. Seolah-olah dia menghina Islam,” ujar Syazreen setelah Zarul selesai
bercerita. Syazreen mengambil sebiji lagi buah limau yang berada di dalam
kotak.
“Apa nak buat, dah memang jodoh
kami tiada.” Zarul pasrah. “Saya minta diri dululah. Dah lama saya duduk kat
sini. Tak manis pulak orang tengok kita berdua-duaan,” pinta Zarul. Dia
bangkit dari duduk. Poket seluar diseluk lalu menarik keluar sekeping kad. Kad
itu dihulurkan pada Syazreen. Tanpa teragak-agak Syazreen menyambut. “Saya nak
nombor telefon awak boleh?” pinta Zarul.
Syazreen melemparkan senyuman
lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia memandang kad nama di tangan lalu
mendail nombor itu. “Itu nombor saya,” katanya sebaik sahaja mendengar telefon
bimbit Zarul berbunyi. Kemudian dia mematikan talian.
“Terima kasih. Awak tak nak
balik ke? Bahaya duduk sorang-sorang kat sini,” kata Zarul sambil melihat
sekeliling pantai yang tiada orang.
Syazreen turut bangun. Dia mula
melangkah bersama Zarul menuju ke kereta masing-masing.
*****
TET... tet... tet...
Telefon bimbit Syazreen berbunyi
tanda ada satu mesej diterima. Dia yang sedang membuat kerja, memberhentikan
seketika kerjanya untuk melihat mesej.
Assalamualaikum Qila. Hari ni
kita lunch kat Kampung Baru ya?
Syazreen segera membalas mesej
tersebut.
Waalaikumussalam. Okey, saya
tunggu awak kat bawah. Tempat biasa tau.
Telefon bimbitnya berdering
lagi.
Okey dear...
Wajah Syazreen berubah merah
membaca perkataan 'dear.' Jemarinya menggeletar. Fokus untuk menyambung
kerja hilang entah ke mana. Dia berlalu ke pantri untuk membasahkan tekak.
Seteguk... dua teguk air
mengalir ke rengkungnya. Dia kemudiannya menuju ke mejanya semula untuk
menyambung tugasan.
*****
TEPAT
pukul 1.00 tengah hari, Syazreen mula mengemas mejanya. Dia bergegas menuju ke
lif untuk turun ke bawah. Sesampai sahaja di luar bagunan tempat kerjanya,
kelihatan Zarul sedang menunggu di dalam
kereta. Dia segera menuju ke kereta Zarul dan masuk ke dalam. Kemudian kereta
Zarul meluncur laju meninggalkan perkarangan pejabat.
*****
SYAZREEN
dan Zarul senyap ketika menikmati hidangan makan tengah hari. Setelah selesai
makan, mereka memakan buah limau pula sebagai pencuci mulut. Memang telah
menjadi kebiasaan bagi mereka sejak tiga bulan makan bersama, mereka pasti
makan buah limau. Buah limau lambang pertemuan mereka.
“Sedap kan
makan kat sini?” Zarul cuba memecahkan kesunyian.
“Ha'ah. Ini
kali pertama saya makan kat sini,” jawab Syazreen. Kemudian dia menyisip air
bandung.
“Erk...
erk...” Suara Zarul seperti tersekat-sekat.
Syazreen
mengerut dahi. “Awak ada nak cakap apa-apa ke?” tanyanya.
“Tak ada
apa-apalah. Awak dah habis makan ke? Kalau dah habis, jom kita pergi,” ajak
Zarul. Sebaik sahaja Syazreen mengangguk, Zarul melangkah ke kaunter untuk
membayar harga makanan manakala Syazreen pula melangkah ke kereta.
*****
“QILA,
hujung minggu ni awak free tak?” Zarul bersuara ketika mereka dalam
perjalanan pulang ke pejabat Syazreen.
“Kenapa ya?” soal Syazreen.
“Saya ingat nak kenalkan awak
pada keluarga saya,” ujar Zarul.
“Hah?!” Syazreen terkejut. “Nak
buat apa?” soalnya lagi.
“Qila, sebenarnya saya nak jadi
kawan awak.”
“Bukan kita kawan ke sekarang?”
Dahi Syazreen sudah berkerut.
“Saya nak lebih dari seorang
kawan. Sudi tak awak terima?”
Syazreen tergamam. Dia faham
maksud Zarul. “Erk... saya...” Syazreen tergagap-gagap.
“Saya tak nak jawapan hari ni.
Ambillah seberapa banyak masa yang awak mahu, saya sanggup tunggu sampai awak
dah bersedia. Kalau awak setuju, awak mesej saya. Kalau awak tak setuju, kita
masih boleh berkawan macam biasa. Awak fikirlah masak-masak. Saya tak nak awak
terima saya kerana kasihan.” Zarul memberi kata putus. Dia tahu gadis di
sebelahnya memerlukan masa.
Syazreen menunduk. Dia tidak
tahu apa perasaan dia pada Zarul. Tetapi dia berasa senang berkawan dengan
Zarul.
*****
SYAZREEN bagaikan
cacing kepanasan. Semua kerja yang dia lakukan pada hari itu serba tidak kena.
Ketika mahu membancuh air teh O, tanpa disedari dia telah memasukkan satu sudu
garam ke dalam mug. Apabila dia menyisip sedikit, terus tersembur keluar air
itu. Dia menggeleng kepala dengan kecuaiannya lalu membuang air itu ke dalam
sinki dan memcuci mug.
Dia
melangkah pula ke peti sejuk lalu mengeluarkan sebotol air mineral dan
menuangnya ke dalam mug. Kemudian dia melangkah ke meja kerjanya kembali.
Telefon bimbit ditilik. Takut-takut telefon bimbitnya itu rosak. Dia mula tidak
sedap hati. Masuk hari ini, sudah lima hari Zarul tidak menghubunginya.
“Sakit ke
dia?” Syazreen bertanya dirinya sendiri.
“Kau ni kenapa? Macam kucing
hilang anak aje?” tegur Iffa.
“Tak ada apa-apalah,” bohong
Syazreen. Fail di atas meja segera ditarik rapat. Dia menyelak satu-persatu.
“Habis tu dari tadi aku tengok
kau asyik jeling aje telefon tu kenapa? Tunggu abang Hong Kong kau call?
Kalau dia tak call, kau calllah dia,” serkap Iffa.
“Kau tak ada kerja ya? Kalau tak
ada kerja, meh aku bagi kau kerja.” Syazreen mengelat.
“Nak mengelatlah tu. Dahlah, aku
nak buat kerja aku. Kau tu jangan asyik nak tilik handphone aje, nanti
bos nampak, habis kau.” Iffa mengingatkan.
*****
SELEPAS
makan malam, Syazreen berkurung di bilik. Setelah puas berfikir, dia mencapai
telefon bimbitnya dan menghantar mesej kepada Zarul. Beberapa minit kemudian,
telefon bimbitnya berbunyi. Syazreen menarik nafas sebelum menekan butang
hijau.
“Assalamualaikum Qila...”
Kedengaran suara Zarul Ashraf di hujung talian.
“Waalaikumussalam,” jawab
Syazreen, perlahan.
“Thanks, awak. Saya
gembira dengan jawapan awak. Awak apa khabar?”
“Baru hari ni awak nak tanya?”
Nada suara Syazreen berubah. Kedengaran seperti merajuk.
“Saya bukan tak nak call
atau mesej awak. Saya nak bagi awak ruang untuk berfikir. Tak sangka pulak awak
terasa hati dengan saya. Sorry ya?” pujuk Zarul Ashraf.
“Okey.” Wajah Syazreen sudah
berubah ceria.
“Awak, esok saya ambil awak kat
rumah ya? Saya nak bawak awak jumpa keluarga saya. Mama dan papa saya
pun dah tak sabar nak jumpa awak,”
“Erk, esok ke? Saya
takutlah awak...” Syazreen meluahkan rasa hatinya. Memang dia berasa takut. Dia
takut mama dan papa Zarul tidak dapat menerimanya kerana dia bukan anak orang
berada seperti Zarul.
“Mama dan papa saya makan
nasilah. Bukan nak makan awak pun.”
“Yalah, saya tunggu awak esok,”
putus Syazreen.
“Macam tulah... okeylah awak,
saya dah mengantuk ni. Assalamualaikum...”
“Waalaikumusalam...” jawab
Syazreen. Dia meletakkan telefon bimbitnya di meja lampu.
*****
ZARUL
sedang rancak berbual dengan keluarga Syazreen sementara menanti gadis itu
bersiap. Kedua ibu bapa Syazreen sangat menyenangi tingkah laku Zarul.
“Zarul betul-betul ikhlas ke
dengan anak pak cik?” soal Encik Ismail.
Zarul tergamam mendengarnya.
Kemudian dia tersenyum. “Memang saya ikhlas dengan Qila, pak cik. Kami dah
kenal tiga bulan. Tempoh tu dah cukup bagi kami untuk mengenal hati budi
masing-masing,” jawab Zarul, jujur.
Beberapa minit kemudian Syazreen
menghampiri ahli keluarganya. Dia menyalami abah dan emaknya. “Syaz pergi dulu
mak, abah.”
Encik Ismail dan Puan Rafidah
menghantar Syazreen dan Zarul ke muka pintu. Sebaik sahaja kereta Zarul hilang
dari pandangan mata, Puan Rafidah mula mengunci pintu pagar. “Baik budaknya,
kan bang? Berkenan pulak saya,” kata Puan Rafidah sambil melabuhkan
punggung di sofa.
“Ha'ah. Sopan-santun, hormat
orang tua. Agak-agaknya dia orang tu jadi kahwin ke?” Encik Ismail mencapai
alat kawalan jauh television lalu mencari siaran.
“Ek... eh abang ni ke
situ pulak. Dia orang kan baru tiga bulan kenal. Takkan dah fikir nak
menikah kut?” kata Puan Rafidah.
“Kalau dah bawak jumpa
keluarga, bukan serius ke namanya tu?” Encik Ismail tetap dengan andaiannya.
Puan Rafidah sudah kematian
kata-kata untuk menjawab. Dalam hati dia mengeyakan kebenaran kata-kata
suaminya.
*****
“MANIS orangnya,”
puji nenek Zarul. Ketika itu mereka sedang duduk di ruang tamu.
Syazreen tersipu-sipu malu
apabila dipuji begitu. Beberapa minit kemudian Puan Mariam mengajak mereka ke
ruang makan untuk menikmati makan tengah hari. Setelah selesai makan mereka ke
laman rumah sambil menikmati buah limau.
“Berkenan betul mama dengan
pilihan Zarul kali ni,” ucap Puan Mariam sambil tersenyum.
“Yang sebelum ni mama tak
berkenan ke?” usik Zarul.
“Si Jessy tu? Langsung mama tak
berkenan. Jumpa kita pun tak nak,” ujar Puan Mariam lagi.
Tiba-tiba telefon bimbit
Syazreen berbunyi. Nama Haziq tertera di situ. Dia meminta diri sebentar untuk
menjawab panggilan. Dia mula bangkit, berjalan jauh sedikit dari gazebo lalu
menekan butang hijau.
“Helo Kak Syaz, cepat datang ke
hospital!” Suara Haziq kedengaran cemas.
“Kenapa ni Ziq? Siapa yang masuk
hospital” tanya Syazreen. Hatinya rasa tidak sedap.
“Kak Su dah nak bersalin ni.
Datang tau.”
“Baiklah, akak datang sekarang.”
Selepas mematikan talian, Syazreen mendapatkan ahli keluarga Zarul semula.
“Maaf auntie, uncle, atuk, nenek, saya terpaksa balik sekarang,” pinta
Syazreen.
“Siapa yang masuk hospital?”
tanya Zarul yang sempat mencuri dengar perbualan Syazreen tadi.
“Kak Su. Dia dah nak bersalin,”
beritahu Syazreen.
“Jomlah saya hantar awak ke
hospital.” Zarul sudah bangkit dan menyalami ahli keluarganya diikuti Syazreen.
*****
SAMPAI
sahaja di hospital, Syazreen bergegas mendapatkan ayahnya. “Macam mana dengan
Kak Su, abah?”
“Alhamdulillah,
semuanya selamat. Kak Su dapat anak lelaki. Abang Hasif kamu tengah azankan
dia.” Jawapan Encik Ismail itu melegakan hati Syazreen.
“Tahniah,
abang,” ucap Zarul sebaik sahaja Hasif tiba.
“Terima
kasih. Zarul bila pulak nak merasa dapat anak sendiri?” gurau Hasif
sambil menjeling Syazreen yang sudah terlopong.
“Abang
Hasif, apa ni? Mentang-mentang dapat satu lagi hero, nak kenakan orang pulak,”
Syazreen menjegil geram kepada abang iparnya.
Zarul pula
hanya tersenyum. “Coming soon,” jawab Zarul, bersahaja.
Wajah
Syazreen sudah berona merah. Dia tahu Zarul hanya bergurau dengan kata-katanya
tadi. “Awak ni Zarul, nak masuk group Abang Hasif pulak, ya. Saya
merajuk nanti baru tahu,” ugut Syazreen.
“Merajuk
pun merajuklah, nanti Abang Zarul boleh pujuk,” sampuk Haziq pula.
“Abah,
tengoklah dia orang ni!” sedikit terjerit suara Syazreen.
“Ssshhh,
sila jangan bising, ya,” tegur seorang jururawat yang tiba-tiba lalu di situ.
“Opps!”
Syazreen menekup mulutnya. “Tulah Abang Hasif ni, usik Syaz lagi. Kan dah kena
marah.” Syazreen bersuara perlahan.
Yang lain
hanya tersenyum sahaja. Sudah tidak berani untuk ketawa-kuat-kuat, takut
jururawat yang bertahi lalat besar di hidung itu muncul lagi.
*****
“PUKUL berapa
Zarul janji nak datang ambil?” tanya Puan Rafidah ketika Syazreen sedang
menonton televisyen di ruang tamu.
Syazreen
menoleh ke wajah Puan Rafidah. “Katanya pukul 8.00 karang dia datang,”
jawabnya. Kemudian dia bangkit dari sofa lalu duduk bersila di atas permaidani.
Tubuh kecil Muhammad Iman Qaayeed yang sedang berbaring di atas tilam kecil
mula diangkat. Syazreen mencium semahunya pipi gebu itu. Qaayed yang sudah
berusia dua bulan itu mengekek ketawa.
“Bila nak
siap? Sekarang dah 6.30. Tahu ajelah orang perempuan mesti ambil masa yang lama
untuk bersiap.” Abang Hasif yang sedari tadi menonton televisyen mula
menyampuk.
“Abang,
Syaz bukan macam Kak Su tau. Mekap sana, mekap sini. Syaz ni setakat pakai
bedak dan pelembap bibir aje, tak lama mana pun,” jawabnya sambil meletakkan
semula Qaayeed di atas tilam. Kemudian dia menepuk perlahan tubuh kecil itu.
Sesekali dia bermain dengan tangan comel itu. Dia suka apabila jemarinya
digenggam kuat oleh Qaayeed.
“Amboi,
sedap aje mengata orang.” Tiba-tiba Suraya keluar dari dapur.
“Opps,
Kak Su terasa ke? Sorry, Syaz memang sengaja nak cakap. Ha ha ha...”
Syazreen mengekek ketawa apabila Suraya menayang wajah cemberut. Dia menganjak
ke tepi sedikit apabila Suraya melabuhkan punggung di sebelahnya.
Suraya mula
mendukung anaknya. “Qaayeed, tengok Mak Ngah tu ada ke cakap mama ni mekap
berjam-jam? Jahat kan, Mak Ngah tu?” Suraya berkata-kata pada anaknya. Qaayeed
hanya memandang Suraya dengan mata bulatnya.
Syazreen
memanjangkan tangan, membelai-belai rambut lebat Qaayeed. “Memang pun
berjam-jam. Masa nak pergi beraya kat rumah Uncle John tu jenuh kami menunggu,
kan Abang Hasif?” Syazreen cub meminta sokongan Hasif.
“Ha'ah
punyalah lama. Bila dah siap bersolek aje, dia boleh pulak risaukan buah
limau Uncle John. Su... Su...” Hasif menyokong.
Puan
Rafidah sudah menggeleng.
“Habislah
kalau papa dengan Mak Ngah dah mula bergabung nak kenakan mama ni. Jomlah
Qaayeed kita naik bilik. Kat sini bising.” Suraya mula bangkit mahu membawa
anaknya ke dalam bilik.
“Hah, nak cover
malulah tu.” Sempat lagi Hasif menegur.
“Tengok tv
kat dalam bilik lagi best,” jawab Suraya.
Syazreen
dan Hasif berpandangan. Kemudian sama-sama melepaskan tawa.
*****
SYAZREEN menilik
kebaya labuh yang tersarung di badannya. Sebentar sahaja lagi Zarul akan
menjemputnya untuk dibawa ke majlis ulangtahun syarikat keluarga lelaki itu.
Alhamdulillah, kedua-dua belah keluarga merestui perhubungan mereka. Tiada lagi
rasa ragu-ragu di dalam diri Syazreen kini.
Tepat pukul 8.00 malam Zarul
sampai di halaman rumah. Syazreen meminta diri untuk keluar. Seperti biasa,
Encik Ismail dan Puan Rafidah menghantar Syazreen di pagar rumah. “Jaga Syaz
elok-elok, ya Zarul,” pesan Encik Ismail sambil menepuk perlahan bahu Zarul
yang menyalami tangannya.
“Baiklah pak cik. Saya akan
menghantar Qila dengan selamat sepertimana saya ambil dia,” janji Zarul.
*****
SAMPAI
sahaja di majlis, Zarul terus memperkenalkan Syazreen kepada rakan sekerjanya.
“Kau ni Rul, diam-diam berisi
ya,” usik Fahmi.
“Aku saja nak buat kejutan kat
kau orang semua. Menjadi tak kejutan aku?” Zarul ketawa sambil menjeling
Syazreen yang kelihatan malu-malu.
“Buat perhabis air liur aku aje
bagi nasihat kat kau supaya cari pengganti Jessy dulu. Tengok-tengok dah ada pengganti.
Memanglah kau ni.” Zaki menepuk kuat bahu Zarul.
“Bila kau orang nak kahwin?”
soal Salina pula.
“Coming soon...”
Jawapan Zarul membuatkan
Syazreen tergamam. Masuk hari ini, kali kedua dia mendengar Zarul menyebut
perkataan itu. Dia memandang wajah Zarul. Dia lihat wajah Zarul serius ketika
memberikan jawapan. Adakah dia bergurau lagi? detik hati Syazreen.
“Kalau dah tahu tarikh, jangan
lupa jemput kita orang tau.” Marina pula bersuara.
“Insya-Allah. Kalau tak ada
aral, dalam tahun ni jugak.” Zarul tersenyum.
Kepala Syazreen terasa berdenyut
mendengar jawapan itu. Dia mengukir senyuman terpaksa apabila kawan-kawan Zarul
mengucapkan tahniah kepadanya.
*****
“ZARUL, kenapa awak cakap macam tu kat kawan awak
tadi?” tanya Syazreen ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Cakap
apa?” Zarul tidak dapat menangkap soalan Syazreen.
“Erk...”
Syazreen malu untuk menyebut semula jawapan yang Zarul berikan kepada
kawan-kawannya tadi. Wajahnya berubah merah.
“Cakap
apa?” ulang Zarul lagi apabila Syazreen masih teragak-agak mahu bercakap.
“Yang
tadilah...” Syazreen masih tidak mampu untuk teruskan.
“Yang
tadi? Apa yang saya cakap?” desak Zarul. Dalam hati dia sudah dapat menangkap
apa yang ingin katakan. Sengaja mahu melihat gadis itu malu-malu.
Syazreen
geram. “Tadi kan awak cakap dengan kawan-kawan awak yang kita akan berkahwin
tahun ni!” Terlepas juga ayat itu dari mulutnya.
“Ya
betul. Ada masalah ke dengan jawapan saya tu?” Zarul menekan pedal brek apabila
lampu isyarat bertukar ke warna merah.
“Kita
tak pernah bincang pun hal ni. Kenapa awak pandai-pandai?” Kali ini tiada lagi
rasa malu bersarang di hati Syazreen.
“Awak
tak suka ke saya ajak awak kahwin?” Lampu Isyarat sudah bertukar ke warna
hijau. Kaki Zarul pantas memijak pedak minyak.
“Suka
tapi tak terlalu awal sangat ke kita nak kahwin? Kita kenal baru aje lima bulan
kan?” Syazreen meluahkan kemusykilannya.
“Itu
ke yang awak risaukan? Pada saya lima bulan tu hanya angka. Kita dah saling
kenal hati budi masing-masing. Keluarga kita pun restui hubungan kita. Rasanya
tak salah kalau kita mula rancang perhubungan kita. Saya dah tak sabar nak jadi
macam Abang Hasif,” ujar Zarul perlahan.
Wajah
Syazreen berubah merah apabila mendengar kata-kata terakhir Zarul. “Awak ni ke
situ pulak!” Syazreen menundukkan wajahnya ke bawah. Beg tangannya
menjadi sasaran matanya. Dia malu mahu memandang wajah Zarul. Terasa lambat
pula perjalan ke rumahnya.
“Awak,
saya ada kat sebelah awak ni, bukan kat bawah tu. Handbag awak tu lagi hensem
ke dari wajah saya?” usik Zarul.
Spontan
jemari Syazreen mencubit lengan sasa Zarul. “Awak ni mengada-ngada tau.
Menyampah saya!”
“Aduh,
sakitlah awak...” Zarul mengaduh kesakitan. “Awak okey kan kalau kita kahwin
tahun ni? Cuba awak fikir, umur
awak dah 29, umur saya pulak dah 32. Dah sesuai sangatlah tu.” Nada suara Zarul
kembali serius. “Kalau awak setuju, mama dan papa saya nak masuk meminang awak
bulan depan,” sambungnya lagi.
Syazreen terkejut. “Cepatnya!
Tak payah bertunang dulu ke?”
“Kita buat serentaklah. Bertunang
dulu lepas tu baru akad nikah.” Zarul memberi cadangan.
“Nanti saya bincang dengan abah
dan mak saya dulu ya?”
Zarul mengangguk dan tersenyum.
Dia yakin Encik Ismail dan Puan Rafidah akan bersetuju.
*****
“MAK, abah...
keluarga Zarul nak datang meminang bulan depan,” ujar Syazreen.
“Eh, baguslah tu. Kamu berdua
pun dah lima bulan kenal,” ujar Encik Ismail.
“Tapi dia cakap nak buat majlis
bertunang dan nikah serentak. Tak nak membazir katanya.”
“Okey apa buat majlis bertunang
dan nikah serentak. Mak dengan abah dulu pun macam tu jugak,” sokong
Puan Rafidah.
“Mak tak pernah cerita pun kat
Syaz?” soal Syazreen penuh minat.
“Cerita lama-lama, malas nak
cerita.” Puan Rafidah tersenyum sambil memandang suaminya.
“Kiranya mak dengan abah
setujulah ni ya?” Syazreen inginkan kepastian.
Puan Rafidah dan Encik Ismail
mengangguk serentak.
“Syaz masuk bilik dululah ya
mak, abah... nak beritahu Abang Zarul.” Sengaja Syazreen bersuara sedikit
gedik. Dia mula mendaki tangga untuk ke bilik.
Encik Ismail menggeleng melihat
telatah anak perempuannya. “Bertambah sorang lagilah menantu kita ya.” Encik
Ismail memandang wajah isterinya.
“Ha'ah. Lepas tu cucu pulak
bertambah.” Puan Rafidah tersenyum.
“Kak Su mengandung lagi ke mak?”
Tanpa memberi salam, Haziq melangkah masuk ke dalam rumah.
Encik Ismail dan Puan Rafidah
terperanjat dengan sergahan itu. “Kamu ni tak reti nak beri salam ke Ziq?”
marah Encik Ismail.
Haziq tersenyum malu. Dia
mendapatkan Encik Ismail dan Puan Rafidah lalu menyalami tangan kedua-duanya.
Kemudian dia melabuhkan punggung di sofa, berhadapan dengan kedua orang tuanya.
“Betul ke Qaayeed nak dapat adik?” tanyanya lagi.
“Apa yang kamu merepek ni, Ziq?
Kak Su kamu baru aje habis pantang,” kata Encik Ismail.
“Dah tu kata nak dapat cucu,
siapa lagi kalau bukan Kak Su yang mengandung?” Haziq tidak berpuas hati selagi
soalannya tidak dijawab.
“Kak Syaz kamu. Keluarga Zarul
nak masuk meminang bulan depan. Nak buat majlis bertunang dan nikah serentak,”
jelas Puan Rafidah.
“Alhamdulillah... bertambah lagi
ahli keluarga kita.” Haziq meraup tangan ke muka, tanda kesyukuran. “Mak,
abah... Ziq naik atas dululah. Nak mandi.” Haziq meminta izin.
“Jangan selalu sangat mandi
malam-malam, tak baik untuk kesihatan,” tegur Encik Ismail.
*****
KATA sepakat
telah dibuat oleh kedua-dua belah keluarga. Mereka masih ada lagi sebulan untuk
membuat persiapan perkahwinan. Dalam tempoh itu, Syazreen dan Zarul tidak
dibenarkan berjumpa antara satu sama lain. Darah manislah katakan.
Mereka hanya dibenarkan berjumpa
ketika ingin membeli barang untuk dibuat hantaran. Itu pun ditemani oleh mama
Zarul dan Suraya. Ketika puan Mariam sedang memilih bunga telur, Zarul pantas
menghalangnya. Bunga telur yang berada ditangan Puan Mariam diambil dan
diletakkan semula ke tempatnya.
“Mama, tak payahlah beli bunga
telur.”
“Kenapa pulak? Masa
majlis bersanding nanti kan kena bagi bunga telur kat tetamu. Nanti apa pulak
dia orang kata.” Puan Mariam pelik.
“Zarul ingat nak gantikan bunga
telur dengan buah limau.” Zarul tersenyum.
“Budak ni... tak pernah dibuat
orang tau bagi buah limau masa kenduri kahwin.” Menggeleng kepala Puan Mariam
mendengar jawapan Zarul. “Tahu tak apa makna bunga telur dalam adat Melayu?
Kalau kita bagi bunga telur, ia melambangkan kesuburan dan kekayaan pengantin
tau. Penerima bunga telur tu pula akan mendoakan pasangan pengantin bahagia
hingga ke anak cucu,” jelas Puan Mariam.
“Tak apa, mama ambil aje bunga
telur tu tapi jangan isi telur. Zarul nak mama isi limau,” putus Zarul.
“Ikut suka hati Zarullah. Nanti
mama suruh papa cari buah limau.” Puan Mariam mengalah.
“Eh, tak payah...”
“Kenapa pulak? Kata tadi
nak letak limau?” soal puan Mariam lagi.
“Uncle John cakap dia yang akan sponsor
limau nanti.”
Puan Mariam hanya menggelengkan
kepalanya.
*****
HARI
yang di nantikan tiba jua. Syazreen sedang duduk dibirai katil sementara
menunggu dirinya dipanggil untuk ke masjid yang berhampiran dengan rumahnya.
“Boleh Kak Su masuk?” pinta
Suraya yang sedang berdiri di muka pintu bilik Syazreen.
“Sejak bila pulak nak
masuk bilik Syaz kena mintak izin ni? Masuk ajelah,” pelawa Syazreen.
“Sejak tengok bilik ni lawa
sangat. Takut nak masuk nanti rosak pulak bila tangan gatal Kak Su ni
mula pegang sana sini,” gurau Suraya sambil melabuhkan punggung di sebelah
Syazreen.
“Ada-ada aje kak Su ni.”
“Banyak betul ya limau yang
Uncle John sponsor...” ucap Suraya lagi.
“Aik, takkan mengidam
lagi kut?” usik Syazreen sambil matanya memandang pelik ke perut kempis Suraya.
“Hesy budak ni, ke situ pulak
yang difikirnya.” Spontan Suraya meluku kepala Syazreen.
“Kak Su ni... dah senget tudung
ni tau.” Syazreen membetulkan letak tudungnya yang sudah sedikit senget.
“Siapa suruh mengarut!”
“Dah cara Kak Su bercakap tu
sama macam masa tengah mengandungkan
Qaayeed, mana Syaz tak pelik?” jawab Syazreen.
“Tanya sikit pun cakap orang
mengidam. Malaslah nak tanya lagi.” Suraya berpura-pura merajuk.
“Kelakarlah muka Kak Su ni bila
merajuk. Macam muka tenuk aje,” ucap Syazreen sambil berlari mengelilingi katil
pengantin yang telah berhias cantik.
Suraya turut mengejar adiknya.
Geram apabila Syazreen menggelarnya tenuk.
Haziq yang baru sahaja masuk ke
bilik Syazreen tergamam sekejap dengan pemandangan bilik itu. Dia menggeleng
kepala. “Wahai kakak-kakakku sekalian... berhentilah berperangai macam
budak-budak. Sorang dah jadi mak orang, sorang lagi dah nak jadi isteri orang.
Jomlah pergi masjid sekarang, majlis dah nak mula lagi beberapa minit
aje.”
Kata-kata Haziq telah
menghentikan aksi kejar-mengejar di antara Syazreen dan Suraya. Suraya segera
mencapai tisu untuk mengelap peluh yang mengalir di dahi adiknya akibat aksi
aci kejar mereka tadi.
Kemudian, kesemua yang ada di
dalam rumah keluarga Syazreen bergegas keluar untuk ke masjid.
*****
MAJLIS
pertunangan telah selesai dilaksanakan. Sekarang cuma menunggu tok kadi
melafazkan akad nikah sahaja.
“Sah?”
“Sah!”
“Sah!”
Kedengaran suara tok kadi dan
beberapa orang saksi mengesahkan akad yang dilafazkan Zarul. Kemudian Zarul
mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat nikah.
Setelah selesai solat sunat
nikah, Zarul menghampiri Syazreen untuk melaksanakan proses pembatalan air
sembahyang. Kemudian, kedua-dua mempelai diarak keluar dari masjid menuju ke
pelamin yang megah didirikan di laman rumah Encik Ismail dan Puan Rafidah.
Ketika para tetamu sedang
menjamu selera, mereka telah diberikan buah limau yang diletakkan di dalam
sarung bunga telur sebagai cenderahati bagi pihak pengantin. Ramai yang sudah
berbisi-bisik sebaik sahaja mendapat cenderahati itu.
“Eh, buah limau ke? Ingatkan
telur,” komen salah seorang tetamu. Dia kemudiannya membelek-belek bunga telur
yang dijadi limau itu lalu membuka kad yang turut diselitkan. Ayat yang tertera
pada kad itu dibaca perlahan-lahan.
Maaf kalau ada yang terasa pelik
dengan pemberian kami. Kami menggantikan telur kepada buah limau kerana limau
merupakan tanda pertemuan kami. Jika bukan kerana limau, mungkin kami tidak
akan berjumpa. Kami harap tuan, puan,
adik, kakak dan abang sudi menerimanya dengan seikhlas hati dan sudilah kiranya
mendoakan kami kekal hingga ke akhir hayat.
Ikhlas dari,
-Zarul Ashraf & Nurul
Syazreen Aqila-
“Oh, patutlah bagi buah limau.
Ada makna tersendiri rupanya. Tak kisahlah, janji ada cenderahati,” kata
seorang lagi tetamu.
Majlis
persandingan Syazreen dan Zarul berjalan lancar. Kedua orang tua mereka gembira
bila melihat pasangan pengantin itu gembira dan bahagia.
Kerana
sekotak limau telah mencetuskan perebutan,
Kerana sekotak limau telah
menemukan mereka kembali,
-TAMAT-
p/s: Sori kalau cerpen ni kureng n boring sikit...
p/s: Sori kalau cerpen ni kureng n boring sikit...
kureng pe nye...sangat best lah!! sweet sgt2...
ReplyDeletelimau punya pasal,, semua boleh jadi ma...
Sakura Putih: Betol tu... sebab limau, dorg berjumpa.. Thnks ek..
ReplyDeleteAssalamu'alaikum kak WC: =) Boleh jadi duta buah limau kedai Uncle John dah diorang berdua ni hehe *saya terbayang ala2 artis jadi duta produk. Ada poster diorang pegang&backgprund byk buah limau. Promote kat fb/ig. Merepek je kan fikir camtu hehe* (^_^)
ReplyDeleteWaalaikumusalam Dhia...
DeleteWakaka... melampau bebenau imaginasi Dhia tu