Followers

Saturday 5 February 2011

Cerpen: Kerana Sekotak Limau

Edited Version

TELEFON bimbitnya berdering ketika dia sedang memandu pulang ke rumah. Tanpa melihat nama pemanggil, dia mencapai alat bebas tangan lalu menjawab panggilan. “Helo...” Dia bersuara. Matanya masih memandang ke jalan.


“Helo Syaz, nanti singgah kat kedai Uncle John, tolong belikan akak sekotak buah limau,” ujar Suraya, kakak Nurul Syazreen Aqila.
Aik, tak cukup ke limau yang Syaz dan Abang Hasif bawak balik semalam? Rasanya sebijik aje yang akak sentuh, lepas tu cakap tak sedap.” Syazreen pelik dengan permintaan kakaknya.
“Alah, bukan Kak Su yang nak makan, tapi baby dalam perut ni yang nak sangat buah limau Uncle John tu. Please, Syaz...” rayu Suraya.
“Yalah... yalah, nanti Syaz singgah.” Syazreen mengalah. Dia mula memperlahankan keretanya sebaik sahaja lampu isyarat bertukar ke warna kuning dan seterusnya bertukar ke warna merah.
He he he... Kak Su sayang Syaz lebih.” Suara Suraya kedengaran gembira.
“Oh, bila Syaz belikan baru sayang Syaz lebih. Bila tak nak beli, benci Syaz  lebih ya. Pandainya Kak Su ni,” rungut Syazreen. Kakinya sudah bersedia untuk menekan pedal minyak sebaik sahaja lampu isyarat bertukar ke warna hijau.
“Hesy,  ada-ada ajelah Syaz ni. Okeylah, drive carefully dan jangan lupa beli limau. Kat kedai Uncle John tau, tak nak kat tempat lain.” Sekali lagi Suraya mengingatkan.
“Baiklah Puan Suraya, nanti patik singgah ke kedai Uncle John. Bukan setakat limau aje yang patik bawak balik, dengan Uncle John sekali patik angkut. Nanti dapatlah Kak Su makan limau free,” gurau Syazreen. Terkekek-kekek dia ketawa.
“Hesy budak ni, main-main pulak dia. Dahlah, Kak Su nak memasak ni. Assalamualaikum.”
Selepas menjawab salam dan mematikan talian, dia  membelokkan keretanya ke kanan untuk ke kedai Uncle John yang terkenal dengan beraneka jenis buah-buahan tempatan. Sampai sahaja di destinasi yang dituju, dia memakirkan kereta di hadapan kedai. Kemudian dia keluar dari kereta dan melangkah masuk ke kedai Uncle John.
“Helo uncle, business banyak okey nampak?” Syazreen beramah mesra.
“Eh, Nulul... sudah lama talak nampak awak punya muka? Business biasa-biasa saja maa... lezeki raya Cina. Awak mau bili apa buah?” tutur Uncle John, sedikit pelat.
“Saya busy sikitlah uncle. Datang ni pun sebab Kak Suraya mengidam nak makan buah limau uncle. Kedai lain dia tak nak. Ada lagi tak buah limau?” tanya Syazreen sambil melilaukan matanya mencari kedudukan buah limau.
“Ada lagi satu kotak. Awak pigi depan sana, uncle ada letak itu limau di sana. Satu kotak saja lagi tinggal,” ujar Uncle John sambil menundingkan ibu jarinya menunjuk arah limau tersebut diletakkan.
Syazreen melangkah ke tempat yang ditunjukkan. Ketika dia mahu mengangkat kotak limau, tiba-tiba sepasang tangan muncul lalu mengangkat kotak itu. Syazreen terkejut. Ketika lelaki berwajah Cina itu mahu berjalan ke kaunter, Syazreen mula menegur. “Encik, tu limau saya.”
Lelaki itu berhenti lalu berpaling. Kaca mata hitamnya ditarik lalu disangkut ke rambut. “Yang ini ke?” Lelaki itu menunjuk pada kotak limau di tangannya.
Syazreen mengangguk. Dia memanjangkan tangan, mahu mencapai kotak limau di pegangan lelaki itu. Lelaki itu pantas melarikan kotak limau ke atas, agar Syazreen tidak dapat mencapainya.
 Syazreen mendengus. “Saya yang sampai kat kedai ni dulu tau. Mana boleh awak nak rampas macam tu aje!” Syazreen sudah bercekak pinggang.
“Siapa cepat, dia punyalah.” Lelaki itu tersenyum sinis.
Syazreen menjungkitkan kakinya, mahu mencapai kotak limau itu. Makin tinggi dia menjungkit, makin tinggi lagi lelaki itu naikkan tangannya. Hesy, tinggi betullah mamat ni. Sakit leher aku asyik mendongak, gumam hati Syazreen. “Bagilah balik limau tu!” pintanya.
Lelaki itu sudah ketawa melihat wajah cemberut Syazreen. “Tak nak!” Dia menggelengkan kepalanya.
Syazreen mendengus lagi. Tiba-tiba dia tersenyum.
Kenapa pulak minah ni tersenyum? Gila ke apa? kutuk lelaki itu dalam hati. “Aduh!” Lelaki itu mengaduh apabila terasa kakinya sakit akibat disepak oleh Syazreen. Serta-merta kotak limau di rendahkan sedikit. Sebelah tangannya mengurut kaki yang sakit.
Tanpa membuang masa, Syazreen bertindak merampas kotak limau itu. Lelaki itu terkejut lalu bertindak mempertahankan kotak di tangannya. Kaki yang terasa sengal dibiarkan dahulu.
Uncle John memanjangkan leher apabila mendengar bunyi bising di luar. Dia segera melangkah ke arah Syazreen dan lelaki itu. “Haiya, kamu berdua jangan gaduh-gaduh ini macam. Nanti jatuh ini buah, tak ada olang mahu bili lagi.” Uncle John terpaksa meleraikan perebutan di antara Syazreen  dan lelaki itu.
Pergelutan terhenti. Kedua-dua mereka memandang wajah Uncle John. “Saya yang nampak dulu limau tu, uncle. So, saya punyalah limau ni. Lagipun, uncle yang suruh saya ambil limau ni tadi, kan?” ujar Syazreen. Dia sempat menjeling tajam ke wajah lelaki Cina itu.
“Saya yang pegang dulu kotak limau ni, uncle. Tiba-tiba aje minah ni nak rampas kat tangan saya.” Lelaki itu juga nampaknya tidak mahu mengalah.
“Amboi-amboi, sedap aje panggil aku minah.” Syazreen menjegilkan mata.
“Sudah... sudah! Ini kedai uncle punya, ini limau uncle yang punya maa... begini sajalah, memandangkan dalam kotak ni ada 20 biji limau dan hanya tinggal satu kotak saja, uncle cadangkan kamu dua olang bahagi dua. Bayar pun dua. Apa macam, setuju tak?” Uncle John memberi cadangan. Dia memandang wajah Syazreen dan lelaki itu, menanti jawapan.
“Tapi uncle, mana cukup 10 biji,” jawab mereka serentak. Masing-masing berpandangan apabila menyedari ayat yang mereka keluarkan, sama.
“Tak cukup? Kalau begitu, kamu dua olang mali lagi kedai uncle esok. Stok baru akan sampai esok. Nanti uncle kasi simpan untuk kamu dua olang. Okey meyh? Jangan gaduh-gaduh lagi.” Uncle John memberi cadangan.
Mereka berdua berfikir sebentar. Akhirnya mereka setuju. Setelah membayar harga 10 biji limau, masing-masing beredar membawa haluan sendiri.
                                                            *****
“MAMA, mak ngah dah balik!” jerit Atikah. Kemudian dia berlari mendapatkan Syazreen. “Mak ngah beli apa tu?” soal Atikah sambil menjeling plastik yang ada di tangan Syazreen.
“Mak ngah beli limau. Nah, bagi pada mama, mak ngah nak naik atas, mandi.” Syazreen menghulurkan plastik yang berisi limau kepada Atikah.
“Okey.” Atikah menyambut plastik itu lalu berlari ke dapur, mendapatkan mamanya.
Syazreen berlalu ke biliknya untuk membersihkan diri. Setelah selesai membersihkan diri, dia keluar dari bilik dan menuju ke dapur, membantu kakaknya yang sedang hamil dua bulan menyediakan makan malam.
“Kenapa beli sikit sangat limau tu? Kan Kak Su dah pesan suruh beli satu kotak?” soal Suraya, tidak berpuas hati.
“Tadi memang nak beli sekotak, tiba-tiba aje ada sorang mamat Cina ni pergi rampas kotak limau tu.” Syazreen menceritakan semula kejadian tadi kepada Suraya.
Hensem tak mamat Cina tu?” soal Suraya, teruja.
“Apa yang Kak Su melalut ni? Ingat sikit kat Abang Hasif tu, jangan nak menggedik.” Syazreen menyenduk sup ayam ke dalam mangkuk kaca lalu dihidang di atas meja.
“Sekali-sekala nak menggedik takkan tak boleh kut? Ada macam muka pelakon tak?” Suraya menghampiri Syazreen.
“Malaslah Syaz nak layan akak ni, buat air lagi bagus.” Syazreen mengambil jag kosong pula lalu diletakkan di atas meja untuk membancuh air.
“Eleh, tak nak cakap pulak dia. Esok belikan dua kotak limau untuk akak ya?” Suraya melangkah semula ke tepi sinki, membasuh sayur kubis.
“Mak oi, banyaknya! Boleh habis ke?” Syazreen terkejut mendengar permintaan kakaknya.
“Apa tak boleh habis pulak? Rumah kita ni kan ada banyak mulut yang boleh menghabiskan limau-limau tu semua.” jawab Suraya.
Mak, abah, Abang Hasif, Kak Su, Haziq, dan dua orang anak Kak Su, Atikah dan Azim. Semuanya lapan orang, termasuk aku. Cukuplah tu, desis hati Syazreen. “Hmm... yalah, nanti Syaz beli.”
                                                            *****
“10 BIJI aje? Mana cukup! Kan I suruh you beli sekotak!” bentak Jessy, sebaik sahaja menyambut plastik yang berisi limau.
“Alah, tinggal ni aje tadi. Esok I belilah lagi. Uncle tu janji dia akan simpankan untuk I esok.” Zarul Ashraf tidak menceritakan perkara sebenar kepada Jessy. Dia malas mahu memanjangkan cerita. Yang penting, dia tetap dapat membeli limau walaupun bukan satu kotak.
“I dah janji kat officemate yang I nak bagi dia orang buah limau yang paling sedap dan manis tau. Bila dah jadi macam ni, macam mana nak bagi kat dia orang?” bentak Jessy lagi. Wajahnya dimasamkan.
“Kita beli kat kedai lain ajelah ya? Kawan-kawan you bukannya tahu pun kat mana you beli buah tu. Yang penting dapat makan.” Zarul memberi cadangan.
“Tak nak! Itulah you, I dah suruh you beli lunch time, you tak nak. You cakap tak lari ke manalah limau tu. Sekarang ni tengok, sikit aje dapat,” marah Jessy. Kakinya dihentak tanda protes.
Ni semua minah tu punya pasallah. Kalau dia tak berebut dengan aku, mesti Jessy tak tarik muka empat belas, marah Zarul dalam hati. “I janji, I akan beli tiga kotak untuk you esok. Please smile...” pujuk Zarul.
“Betul? Kalau you tipu, siaplah you.”
Zarul hanya menganggukkan kepala sambil mengangkat tangan separas dada.
                                                            *****
SEBAIK sahaja jam menunjukkan pukul 1.00 tengah hari, Zarul bergegas keluar dari pejabat. Punat lif ditekan. Tidak sampai satu minit, pintu lif terbuka. Dia terus menekan butang untuk ke tempat parkir kereta. Sampai sahaja di kereta, dia terus masuk dan memecut laju ke kedai Uncle John. Dia tidak mahu perkara semalam terjadi lagi. Dia juga tidak mahu melihat muka kelat Jessy seperti semalam.
Segalanya berpunca dari dia. Dia yang mendesak Jessy supaya merasa sebiji buah limau yang dibeli di kedai Uncle John. Jessy yang tertarik dengan kemanisan limau itu terus menyuruhnya membeli limau di kedai Uncle John, untuk diagih-agihkan kepada kawan-kawan di pejabatnya, sempena Perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi.
Sampai sahaja di kedai Uncle John, dia terus mencari tauke kedai itu. Uncle John kemudiannya mengambil tiga kotak buah limau yang disimpan di belakang kedai kemudian diserahkan kepada Zarul. Selepas duit bertukar tangan, Zarul kemudiannya berlalu keluar dari kedai. Belum sempat kakinya melangkah masuk ke dalam kereta, namanya dipanggil. Uncle John menyerahkan sampul surat berwarna merah kepada Zarul.
Aik, belum raya Cina lagi uncle da bagi angpau?” soal Zarul, pelik.
“Ini bukan angpau maa... ini invitation card. Jemput datang ke rumah uncle, raya kedua  nanti. Majlis start pukul 8.00 malam,” terang Uncle John.
“Oh, Okey. Saya mesti datang punya.” Zarul berjanji. “Uncle, minah semalam tak datang ke?” tanya Zarul tiba-tiba.
“Kenapa awak tanya? Awak sudah syok sama dia ya?” serkap Uncle John.
“Eh, bukanlah uncle. Saja aje tanya. Semalam bukan main lagi nak beli limau ni. Hari ni tak nampak pulak batang hidung.” Zarul membetulkan tafsiran Uncle John. Tiga kotak buah limau dimasukkan ke dalam kereta. Kemudian dia menghadap Uncle John semula.
“Petang sikit kut dia mali. Dia nak sangat buah tu sebab dia punya kakak mengidam. Sebab itu dia berebut sama awak,” kata Uncle John.
Zarul terdiam. Terbit rasa bersalah di hatinya kerana tidak mahu mengalah, semalam. Dia mengeluarkan pen di poket seluar. Dia masuk ke dalam kereta, cuba mencari kertas namun tiada satu kertas pun di dalam keretanya. Dia keluar semula dan terkejut apabila melihat Uncle John masih di belakangnya dan sedikit terbongkok melihat kelakuannya tadi. Dia mengurut dadanya perlahan.
“Cari apa?” Selamba Uncle John bertanya.
Erk... nak cari kertas tapi tak ada pulak. Uncle ada kertas tak?” Zarul tersenyum.
“Ada. Malilah masuk dalam. Cuaca ini hali sangat panas.” Uncle John melangkah masuk ke dalam kedai diikuti Zarul. Sampai sahaja di kaunter, Uncle John mengeluarkan sekeping kertas dari dalam laci lalu menghulurkan pada Zarul.
“Terima kasih uncle. Tumpang tulis sekejap ya?” pintanya lalu mula menulis sesuatu pada kertas kosong. Selesai menulis, dia melipat kertas itu lalu dihulurkan pada Uncle John.
“Surat cinta untuk uncle ke?” Uncle John mengerutkan dahi. Tangannya ringan sahaja mencapai surat itu.
“Bukanlah uncle. Tolong bagi surat ni pada minah semalam ya?”
Uncle John tersenyum mengusik.
Chop... chop... uncle, ni bukan surat cinta tapi surat minta maaf. Jangan lupa bagi, ya Uncle.” jelas Zarul. Kemudian dia meminta diri. Perutnya yang berbunyi perlu diisi.
“Okey, nanti uncle bagi,” janji Uncle John lalu mengambil sampul surat kosong dan meletakkan surat yang ditulis Zarul tadi ke dalam sampul itu.
                                                            *****
SEBELAH petang pula Syzreen sampai di kedai Uncle John. “Uncle, buah limau saya ada tak?” tanya Syazreen, sebaik sahaja sampai ke kaunter.
            “Ada. Nanti sekejap ya.” Uncle John melangkah ke belakang untuk mengambil sekotak buah limau.
            “Nak dua kotak tau uncle,” beritahu Syazreen.
            “Okey.” Uncle John keluar sambil menolak troli yang berisi dua kotak limau.
            Syazreen terkejut melihat kotak limau yang dibawa. “Besarnya kotak. Ada berapa biji dalam ni, uncle?”
            “Satu kotak ada 40 biji,” jawab Uncle John.
            “Banyak sangat ni. Boleh habis ke nanti?” Syazreen bermonolog sendirian.
            “Mesti habis punya. Mau uncle bawak ke kereta ke?” tawar Uncle John.
            “Boleh jugak,” jawab Syazreen selepas membayar.
             Selesai memasukkan dua kotak limau ke dalam kereta, Uncle John menghulurkan dua keping sampul surat yang salah satunya berisi surat dari Zarul.
            Syazreen menyambut lalu membelek-beleknya di hadapan Uncle John. Sampul surat yang berwarna merah itu dibukanya dahulu. Dia membaca isi di dalamnya. “Uncle buat open house ke?” tanya Syazreen.
            Uncle John mengangguk. “Jangan lupa datang tau?”
            Syazreen berasa was-was samada mahu pergi atau tidak. Selama ini dia belum pernah beraya di rumah kaum Cina. Wajahnya dikerutkan, cuba berfikir.
            “Jangan lisau la Nulul, makanan di rumah uncle dijamin halal maa... sebab uncle panggil itu cateling dari kedai Melayu. Datang ya? Kita kan satu Malaysia...” pujuk Uncle John, yang seperti dapat membaca kegusaran Syazreen.
Syazreen hanya menganggukkan kepalanya kemudian melemparkan senyuman. Sampul surat lagi satu dipegangnya sahaja. Dia bercadang mahu membuka di rumah. “Saya balik dululah, uncle,” pintanya lalu memboloskan diri ke dalam kereta.
                                                            *****
“SEPERTI yang I janjikan, I beli tiga kotak limau untuk you. Puas hati?” Zarul Ashraf membuka pintu kereta lalu terpampang jelas tiga kotak buah limau elok terletak di situ.
Jessy tersenyum gembira. “Macam nilah baru boyfriend I. Tolong bawak masuk dalam rumah ya, beratlah,” pinta Jessy, manja. Chinese New Year nanti jangan lupa datang rumah I ya, kita celebrate dengan family I,” pelawa Jessy.
Maybe raya kedua baru I datang rumah you sebab sehari sebelum raya, my family and I nak balik Melaka,” jelas Zarul. Kotak limau itu mula diangkat, mahu diletakkan ke dalam rumah Jessy. Sampai sahaja di kereta, dia pelik melihat wajah Jessy yang masam mencuka sambil berpeluk tubuh di hadapan keretanya.  “I dah belikan limau pun nak masam lagi ke muka tu?” tegur Zarul.
“Setiap tahun you balik Melaka. Apa salahnya kalau tahun ni you celebrate dengan family I pulak!” bentak Jessy.
“You pun tau kan yang family belah mama I pun Chinese jugak? Kalau I tak balik kampung, kecik hati pulak datuk dan nenek I tu. I ni sorang ajelah cucu dia orang. You kena faham tu. You pun tak pernah celebrate Raya Aidilfitri dengan family I. Bila I ajak, macam-macam alasan yang you bagi.” Zarul mengungkit. Dia kesal dengan Jessy yang seperti tidak mahu berkenalan dengan keluarganya.
“Mengungkit nampak. Dahlah I nak masuk dalam dulu. Anyway, Thank you very much,” ujar Jessy sambil melangkah masuk ke rumah. Pintu rumah dihempas tanda protes.
Haish, susah betul bercinta dengan orang yang berlainan agama ni.” Zarul mengeluh lalu masuk ke dalam kereta.
                                                            *****
“TAHUN ni banjir betul rumah kita dengan limau.” ujar Haziq, satu-satunya adik lelaki yang Syazreen dan Suraya ada.
“Mana tak banjirnya, abang bawa sekotak, Syaz bawa sekotak dari office, dua kotak lagi beli kat kedai Uncle John. Membazir betul Syaz ni. Kalau tak habis, boleh busuk buah tu.” Hasif mula berleter.
“Yang dua kotak tu Syaz beli untuk Kak Su. Dia yang nak sangat makan buah limau Uncle John tu. Dia kata baby yang nak makaan,” terang Syazreen.
“Makan sampai dua kotak? Biar betul Su ni. Yang abang bawa balik hari tu pun dia sentuh sebiji aje. Pelik sungguh citarasa orang perempuan bila mengandung ni.” keluh Hasif.
“Alah Abang Hasif ni, bukan tak habis pun buah tu. Tengok si Atikah dengan Azim tu. Dari tadi tak henti-henti makan buah limau.” Syazreen memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah Atikah dan Azim.
Hasif menggeleng kepala melihat telatah anak-anaknya. Kemudian dia bangkit dan beredar ke biliknya.
                                                            *****
DI DALAM bilik, sekali lagi Hasif menggeleng kepala apabila melihat Suraya masih lagi menghadap buah limau yang dibeli Syazreen petang tadi. Hampir satu kotak dibalunnya. “Anak dengan mak sama aje,” ucap Hasif
“Apa bang?” tanya Suraya apabila dia tidak dapat menangkap apa yang dituturkan oleh suaminya.
“Tak ada apa-apa. Abang cakap, kalau tak cukup limau tu, nanti abang suruh Syaz beli lagi,” dalih Hasif.
“Betul ke? Eh, nak! Nak! Nak...” Suraya teruja.
“Allah...” Hasif dah menepuk dahinya mendengar jawapan Suraya.
“Cukup-cukuplah makan limau tu, Su... tak penat ke mulut tu asyik mengunyah aje dari tadi?” Hasif melabuhkan punggung di sebelah Suraya.
“Tak penat pun. Abang nak?” Suraya menghulurkan sebiji limau kepada suaminya.
Hasif menggelengkan kepalanya, tanda tak mahu.
                                                            *****
SYAZREEN menarik laci meja lampu. Sampul surat berwarna putih yand diberi Uncle John tadi diambil. Dia membelek sebentar sampul surat itu. “Duit raya ke ni?” monolognya sendirian. Perlahan-lahan sampul surat itu dibuka. Dia mengerutkan kening apabila telahannya salah. Surat yang berlipat itu dikeluarkan lalu mula membaca isinya.

Assalamualaikum minah limau... sorry kalau awak marah saya panggil awak minah limau sebab saya tak tahu nama awak. Saya nak minta maaf banyak-banyak sebab tak nak mengalah dengan awak semalam. Saya tak tahu yang kakak awak mengidam nak makan buah limau.
Andai kata kalau kita terserempak di mana-mana, saya harap tiada pergaduhan antara kita.
            -mamat limau-                        

            Usai membaca isi surat itu, syazreen melipatnya lalu meletakkan ke dalam sampul surat semula. Laci dibuka lalu menyimpan surat itu di situ. “Melayu rupanya mamat limau tu.”  Syazreen tersenyum apabila terkenang kembali perebutan antara dia dan Zarul. Lampu tidur dimatikan lalu dia membaringkan diri di atas katil.               
                                                            *****
SEHARI sebelum perayaan Tahun Baru Cina, Zarul dan keluarganya pulang ke Melaka, negeri kelahiran mamanya. Mama Zarul merupakan wanita berbangsa Cina yang memeluk agama Islam.
Menurut Puan Marry Ng atau nama Islamnya Mariam, dia menganut agama Islam kerana tertarik mendengar alunan Azan di masjid yang berdekatan dengan rumahnya. Ketika itulah hatinya terbuka untuk mendalami Islam. Tambahan pula dia mempunyai ramai kawan yang beragama Islam, jadi mudah untuk dia belajar adat orang Islam.
Keputusannya untuk memeluk Islam sekaligus berkahwin dengan Encik Zaman mendapat restu daripada kedua orang tuanya yang berbangsa Cina. Setiap kali tiba Tahun Baru Cina, dia, suami dan anaknya tidak pernah lupa untuk menyambut bersama kedua orang tuanya kerana dia merupakan anak tunggal.
Begitulah sebaliknya apabila menjelang Aidilfitri, kedua ibu bapa Puan Mariam pula akan ke Kuala Lumpur untuk menyambut bersama mereka.
Setelah dua hari bermalam di Melaka, Zarul meminta kebenaran untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk beraya ke rumah Jessy dan sebelah malamnya pula beraya ke rumah Uncle John.
                                                            *****
“KAK SU belum siap lagi ke bang?” soal Syazreen sambil merenung ke tangga tingkat atas.
“Belum lagi. Biasalah orang perempuan ni bila bersiap bukan main lama lagi. Pakai compact powderlah, eye shadowlah, mascaralah. Macam-macam!” Hasif membebel.
Syazreen tersenyum mendengar bebelan abang iparnya.
“Dah... dah... tak payah nak membebel macam murai tercabut ekor. Su dah siap ni, jomlah kita gerak, nanti habis pulak limau Uncle John tu,” potong Suraya yang ketika itu sedang menuruni tangga.
“Astaghfirullahalazim... balik-balik limau Uncle John yang dirisaukan.” Hasif beristighfar. Dia mula bangkit lalu melangkah keluar dari rumah.
“Entah Kak Su ni. Tak jemu ke asyik makan limau?” tanya Syazreen pula.
“Mama cakap, bukan mama yang nak makan tapi adik yang kat dalam ni,” sampuk Azim.
Suraya tersenyum mendengar jawapan anak lelakinya. “Pandai anak mama.” Suraya menggosok perlahan kepala Azim.
Hasif menggeleng kepala lalu masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan, cermin pandang belakang dan cermin sisi dibetulkan. Setelah Hasif memastikan semua telah memakai tali pinggang keledar, dia mula mengundurkan kereta.
Bye atuk, bye nenek...” Azim dan Atikah melambaikan tangan kepada Encik Ismail dan Puan Rafidah yang sedang berdiri di pintu pagar.
Bawak kereta baik-baik, ya Hasif.” Puan Rafidah mengingatkan.
“Yalah mak, kami pergi dulu.” Kereta mula meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah.
                                                            *****
SAMBUTAN Tahun Baru Cina di rumah Uncle John, sangat meriah. Lima buah kanopi telah didirikan di laman rumah banglo satu tingkat milik Uncle John dan Auntie Anne. Pelbagai jenis juadah yang disediakan. Ada masakan Melayu, Cina dan India.
Heppy Chinese New Year uncle, auntie...” ucap Hasif, Suraya dan Syazreen serentak.
“Terima kasih sudi datang,” ucap Uncle John dan Auntie Anne. Kemudian Uncle John menghulurkan angpau kepada mereka berlima.
Xin nian kuai le,” ucap Atikah malu-malu bila dia menerima angpau.
“Wah, pandai adik cakap bahasa Cina ya,” ujar Auntie Anne.
Yang lain sudah ketawa mendengar kata-kata Atikah.
“Mana taknya auntie, hari-hari dia teman maknya tengok drama Cina,” jelas Hasif sambil menjeling ke arah Suraya.
“Jemput masuk, makan kenyang-kenyang tau,” pelawa Auntie Anne.
Ketika mereka sedang memilih lauk-pauk, mata Syazreen terpandang ke arah sepasang kekasih yang sedang enak menjamu selera di salah satu kanopi. Nampak mesra pasangan itu. Sama cantik, sama padan.
“Kak Su, tulah mamat limau yang Syaz cerita dulu.” Syazreen memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah kanopi yang diduduki Zarul dan Jessy.
“Wah, gila hensem! Ada iras-iras Nicholas Tse,” puji Suraya.
“Siapa hensem?” soal Hasif. Suaranya berbaur cemburu.
Erk... arnab tu yang hensem,” jawab Suraya sambil menundingkan ibu jarinya ke arah patung arnab yang terdapat di laman.
“Nasib baik puji arnab. Abang ingatkan Su puji lelaki lain tadi. Ingat sikit yang Su tu mak buyung.” Hasif mengingatkan.
“Isy, ke situ pulak abang ni.” Suraya menyambung menceduk lauk-pauk ke dalam pinggannya.
Syazreen, Atikah dan Azim ketawa melihat wajah cemburu Hasif.
                                                            *****
ATIKAH dan Azim sedang bermain kejar-kejar bersama anak-anak jiran Uncle John. Tanpa disedari, ketika Atikah sedang leka berlari, dia telah terlanggar seseorang. Habis terbalik pinggan yang berisi sate dan kuah kacang di atas baju gadis Cina itu. “Oh my god!” Dia menilik pakaiannya.
            Atikah sudah memandang takut-takut ke arah gadis yang dilanggarnya tadi. Dia kaku di situ. Gadis Cina tadi mengangkat wajahnya yang telah berubah garang. Tangannya sudah diangkat tinggi mahu menampar Atikah. Belum sempat tangannya dihayunkan, tangannya telah ditahan Zarul.
            Syazreen bergegas mendapatkan Atikah lalu dibawa ke belakang badannya, melindungi anak kecil itu. Dia dapat merasakan tubuh Atikah menggigil ketakutan. “Maafkan anak buah saya, dia tak sengaja.” Syazreen memohon maaf.
“Macam mana you jaga anak buah you hah?! Menyusahkan orang betul. Habis baju I kotor!” marah Jessy.
“Sudahlah tu, Jessy. Sikit aje ni,” pujuk Zarul. Dia malu apabila ada mata yang merenung ke arah mereka.
“Sikit you kata? Ni baju baru I tahu tak?! Siapa nak ganti ni?” marah Jessy lagi. Matanya mencerlung tajam ke wajah Atikah yang mencuri pandang dari belakang badan Syazreen.
Auntie Anne yang melihat, terus menuju ke arah mereka untuk meredakan keadaan. “Pergi masuk dalam, nanti auntie bagi baju ganti. Jangan kecoh-kecoh, kitakan satu Malaysia.”
Jessy mendengus kasar sambil berlalu masuk ke dalam rumah Auntie Anne untuk menukar baju.
“Sudah, pergi sambung makan,” ujar Auntie Anne kepada Zarul dan Syazreen.
Syazreen mula mengorak langkah.
Excuse me...” panggil Zarul.
Syazreen mula berhenti melangkah. Dia berpaling ke belakang.
“Awak ni minah limau, kan?” tanya Zarul, penuh yakin.
“Hah?” Syazreen berpura-pura terperanjat.
“Limau...” kata Zarul lagi.
Syazreen menggaru kepalanya tanda tak faham..
“Kedai Uncle John, rebut limau. You remember?” Zarul memberi klu. Dia masih ingat wajah gadis yang telah menyepak kakinya.
“Oh ya... baru saya ingat.” Syazreen mengeyakan sambil tersenyum.
“Saya...”
“Okeylah, saya pergi dulu,” potong Syazreen apabila dia melihat Jessy sedang menuju ke arah mereka dengan jelingan tajam.
“Apa yang you all bualkan? Bukan main mesra lagi,” selidik Jessy.
“Tak ada apa-apalah. Dia minta maaf aje pasal tadi,” bohong Zarul.
“Nasib baik ada Auntie Anne tadi. Kalau tak... I tampar-tampar budak kecik tu. Menyusahkan betul!” 
“Dengan budak kecik pun nak bergaduh ke? Sudahlah tu, hal kecik aje ni.”
“Hal kecik you cakap? Malu I tau, semua orang pandang,” marah Jessy.
Semua orang pandang sebab dengar suara you yang macam pontianak menjerit tu, kutuk Zarul dalam hati.
“Jom baliklah, tak ada mood nak sambung makan.” Jessy menarik tangan Zarul agar berlalu dari situ.
“Kerek gila amoi tu,” luah Syazreen kepada Suraya dan Hasif.
“Atikah, Azim... duduk diam-diam. Nanti jadi macam tadi susah kami.” Suraya mengingatkan anak-anaknya.
                                                            *****
EMPAT BULAN KEMUDIAN

KERETA dipandu laju tanpa arah tujuan. Syazreen hanya mengikut sahaja kata hatinya.Dia memandu dan terus memandu. Hati yang bercelaru harus di tenangkan. Setelah dua jam setengah memandu, dia memberhentikan keretanya di Pantai Morib.
Dia duduk di atas tembok batu yang jauh daripada orang ramai. “Aaarrrggghhh!!!” jeritnya sekuat hati, melepaskan kekecewaan yang melanda hati.
Tiba-tiba sebiji limau dihulurkan kepadanya. Dia yang terkejut menoleh ke arah pemberi limau. “mamat limau?!” ucap Syazreen, terkejut.
Zarul menyuakan sekali lagi buah limau itu kepada Syazreen. Kali ini gadis itu menyambutnya.
Macam mana awak boleh ada kat sini? Tadi saya tak nampak awak pun?” tanya Syazreen.
“Sini memang tempat lepak saya untuk tenangkan fikiran sambil makan ini.”  Zarul menunjukkan sekotak limau yang berada di sebelahnya.
“Macam mana awak nak perasan saya kalau muka awak macam tempoyak basi? Datang-datang aje terus menjerit. Nasib baik tak pekak telinga saya.” Sempat Zarul menyindir gadis itu.
Menyindir nampak, gumam hati Syazreen.
“Awak macam ada masalah aje? You can share with me if you dont mindlah,” ujar Zarul.
Nak cerita ke tak? Nak cerita ke tak? Nak cerita ke tak? Ah, cerita ajelah, nanti kurang sikit serabut kat kepala aku ni, detik hati Syazreen.
“Sebenarnya... saya baru aje putus dengan teman lelaki saya.” Syazreen mula bercerita dan mengimbas kembali pertemuan di antara dia dan Razif beberapa jam yang lalu.
Suasana di restoran riuh sekali dengan kerenah pelanggan yang bermacam ragam. Mungkin kerana hari ni merupakan hari mingggu. Tambahan pula menu yang disediakan boleh membangkitkan selera.
“I nak minta maaf pada you,” ucap Razif setelah lama mendiamkan diri.
“Minta maaf pasal apa pulak ni? You ada buat salah kat I ke?” Syazreen sudah pelik.
Erk... Erk...” Razif sudah tergagap-gagap.
“Perangai you nampak peliklah hari ni,” luah Syazreen. Dia dapat melihat air muka Razif yang seperti teragak-agak.
“I nak bagi tahu you yang I akan berkahwin bulan depan.”
“Apa? Cuba you ulang sekali lagi?”  tanya Syazreen, kurang jelas.
Razif menarik nafas. “I akan berkahwin bulan depan tapi bukan dengan you.” ulang Razif.
“You tipu I, kan?You bergurau aje, kan Zif?” Syazreen mahukan kepastian.
“I tak bergurau. Memang betul I akan berkahwin.”
“Habis tu I ni siapa bagi you?” Syazreen mula menangis. Sungguh dia tidak menyangka lelaki yang amat dia cintai sanggup mahu memutuskan hubungan.
“I nak minta maaf. Sebenarnya I hanya mempergunakan you untuk buat kekasih I, merangkap bakal isteri I cemburu. I cuma nak sedarkan sikap dia yang ego. Itu aje. Sebab itulah I buat keputusan untuk mempergunakan you,” jelas Razif tanpa rasa bersalah.
Hancur luluh hati Syazreen bila mendengar penjelasan Razif. “Sampai hati you buat I macam ni. You ingat I ni apa hah?! Lelaki tak guna!”
Panggg!!!
Syazreen melayangkan penampar ke wajah Razif.
 Lelaki itu tergamam seketika. “Apa ni Syaz?” soalnya sambil tangan kanan memegang pipi yang terasa pijar.
“Ini sebab kau tipu aku!” Kemudian Syazreen mencapai air tembikai yang belum sempat disentuhnya lalu menyimbah ke wajah Razif.” Dan ini sebab kau menghancurkan hati aku!” Syazreen melangkah laju meninggalkan restoren itu. Pandangan orang ramai terhadap tindakannya tadi tidak dihiraukan. Hatinya yang sakit perlu dirawat segera. Dia sangat malu. Dia tidak menyangka cinta itu benar-benar menyakitkan.
            “Macam itulah ceritanya.” Syazreen menyudahkan ceritanya. Setelah bercerita, kepalanya terasa sedikit ringan. Wajah Razif cuba dibuang bersama-sama ombak yang memukul pantai. Biar wajah itu ditenggelami ombak yang mengganas.
Zarul menhulurkan sebiji lagi buah limau kepada Syazreen.
“Sabarlah.. Nanti dia akan dapat pembalasan dari Allah atas apa yang telah dia buat terhadap awak,” pujuk Zarul.
“Awak ni baru masuk Islam ke? Tapi, cara percakapan awak tak ada pelat macam Uncle John pun,” soal Syazreen.
Zarul tersenyum dengan pertanyaan Syazreen. “Saya Islam. Papa saya Melayu, mama saya Cina masuk Islam. Nama saya Zarul Ashraf.” Zarul menerangkan salasilah keturunannya.
“Saya Nurul Syazreen Aqila. Mati-mati saya ingat awak ni orang Cina.”
Zarul ketawa mendengar kata-kata Syazreen.
“Cuti-cuti macam ni awak tak keluar dengan makwe awak yang garang tu ke?” tanya Syazreen pula.
“Saya pun macam awak juga. Tapi kami berpisah sebulan yang lepas.” Wajah Zarul bertukar muram sambil mengimbas kembali punca perpisahannya dengan Jessy.
“Helo Jessy, esok I ada conference di Ipoh, tiga hari. So, I tak dapatlah nak jemput dan hantar you pergi kerja nanti,” ucap Zarul Ashraf ketika dia menelefon Jessy.
“Oh, ya ke? Drive carefully ya,” kata Jessy di hujung talian.
“You tu jaga diri tau bila I tak ada kat KL ni. I risaulah biarkan you pergi kerja naik teksi ni.” Zarul meluahkan kerisauan.
“Pasal I, you jangan risau. I kan ramai kawan, pandailah I tumpang dia orang nanti. You tu jangan nakal-nakal pulak kat sana.”
“I ke sana atas urusan syarikatlah. Tak ada masa nak cuci mata. Lagipun siapalah nak kat I ni...”
“You tu kan hensem, mestilah ramai yang minat.”
“Ada-ada ajelah you ni. Okeylah, I nak kemas baju dulu. Bye...” Usai mematikan talian, Zarul bangkit mahu mengemas pakaiannya.
                                                            *****
MESYUARAT di Ipoh selesai tidak sampai tiga hari. Zarul mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur petang itu juga. Tepat pukul 10.00 malam dia sampai di rumah. Dia cuba menghubungi Jessy namun tidak berangkat. Dia kemudiannya membersihkan diri dan menunaikan solat isyak terlebih dahulu.
Selesai Solat, dia cuba menelefon Jessy sekali lagi namun tak berangkat juga. Dia memutuskan untuk tidur sahaja memandangkan dia kepenatan setelah seharian memandu tanpa henti.
                                                            *****
TENGAH HARI itu Zarul menuju ke pusat membeli-belah One Utama. Memandangkan lusa merupakan hari  lahir Jessy, dia berniat untuk membelikan hadiah. Sedang dia leka membelek-belek cincin, telinganya menangkap suara rengekan manja dari hujung tempat dia duduk. Dia menoleh ke arah suara itu. Tersirap darahnya apabila melihat suara rengekan itu milik Jessy.
Dia bangun dan meluru ke arah pasangan yang sedang leka membelek rantai. “Jessy!” panggil Zarul.
Jessy yang mendengar namanya dipanggil terus menoleh ke belakang. Dia terkejut melihat Zarul berada di situ. “Zarul? Apa you buat kat sini? Kata ada conference?” ujar Jessy takut-takut.
“I tak sangka you sanggup curang di belakang I.” Zarul kecewa.
Jessy tersenyum sinis mendengar suara kecewa Zarul. Hilang semua rasa takutnya tadi. “I dah boring dengan you. Semua tak boleh. Pergi disko tak boleh, minum arak tak boleh. I bosan tahu tak? Bosan! Sekarang I dah jumpa lelaki yang sesuai dengan I. Dia tak macam you. Dia tak pernah halang bila I nak minum ke apa. Tapi you memang kolot!” hina Jessy.
“Kita kan dah janji nak kahwin, Jessy?” kata Zarul lagi.
“Pergi mati dengan kahwin you tu! I tak nak masuk Islam. I nak hidup bebas macam kawan-kawan I. Bahagia tanpa perkahwinan. You yang nak sangat kahwin dengan I, kan? Mulai hari ni kita putus! Jom Danny.” Jessy menarik tangan Danny dan beredar dari kedai itu.
Zarul kecewa mendengar kata-kata Jessy. Dia turut melangkah keluar dari kedai emas itu. Langkahnya dibawa ke surau untuk menemui maha Pencipta. Dia mahu menenangkan jiwanya yang sakit. Hanya Dia tempatnya mengadu.
“Tak patut dia cakap macam tu kat awak. Seolah-olah dia menghina Islam,” ujar Syazreen setelah Zarul selesai bercerita. Syazreen mengambil sebiji lagi buah limau yang berada di dalam kotak.
“Apa nak buat, dah memang jodoh kami tiada.” Zarul pasrah. “Saya minta diri dululah. Dah lama saya duduk kat sini. Tak manis pulak orang tengok kita berdua-duaan,” pinta Zarul. Dia bangkit dari duduk. Poket seluar diseluk lalu menarik keluar sekeping kad. Kad itu dihulurkan pada Syazreen. Tanpa teragak-agak Syazreen menyambut. “Saya nak nombor telefon awak boleh?” pinta Zarul.
Syazreen melemparkan senyuman lalu mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia memandang kad nama di tangan lalu mendail nombor itu. “Itu nombor saya,” katanya sebaik sahaja mendengar telefon bimbit Zarul berbunyi. Kemudian dia mematikan talian.
“Terima kasih. Awak tak nak balik ke? Bahaya duduk sorang-sorang kat sini,” kata Zarul sambil melihat sekeliling pantai yang tiada orang.
Syazreen turut bangun. Dia mula melangkah bersama Zarul menuju ke kereta masing-masing.
                                                            *****
TET... tet... tet...
            Telefon bimbit Syazreen berbunyi tanda ada satu mesej diterima. Dia yang sedang membuat kerja, memberhentikan seketika kerjanya untuk melihat mesej.

Assalamualaikum Qila. Hari ni kita lunch kat Kampung Baru ya?

Syazreen segera membalas mesej tersebut.

Waalaikumussalam. Okey, saya tunggu awak kat bawah. Tempat biasa tau.

Telefon bimbitnya berdering lagi.

Okey dear...

Wajah Syazreen berubah merah membaca perkataan 'dear.' Jemarinya menggeletar. Fokus untuk menyambung kerja hilang entah ke mana. Dia berlalu ke pantri untuk membasahkan tekak.
Seteguk... dua teguk air mengalir ke rengkungnya. Dia kemudiannya menuju ke mejanya semula untuk menyambung tugasan.
                                                            *****
TEPAT pukul 1.00 tengah hari, Syazreen mula mengemas mejanya. Dia bergegas menuju ke lif untuk turun ke bawah. Sesampai sahaja di luar bagunan tempat kerjanya, kelihatan Zarul  sedang menunggu di dalam kereta. Dia segera menuju ke kereta Zarul dan masuk ke dalam. Kemudian kereta Zarul meluncur laju meninggalkan perkarangan pejabat.
                                                            *****
SYAZREEN dan Zarul senyap ketika menikmati hidangan makan tengah hari. Setelah selesai makan, mereka memakan buah limau pula sebagai pencuci mulut. Memang telah menjadi kebiasaan bagi mereka sejak tiga bulan makan bersama, mereka pasti makan buah limau. Buah limau lambang pertemuan mereka.
            “Sedap kan makan kat sini?” Zarul cuba memecahkan kesunyian.
            “Ha'ah. Ini kali pertama saya makan kat sini,” jawab Syazreen. Kemudian dia menyisip air bandung.
            “Erk... erk...” Suara Zarul seperti tersekat-sekat.
            Syazreen mengerut dahi. “Awak ada nak cakap apa-apa ke?” tanyanya.
            “Tak ada apa-apalah. Awak dah habis makan ke? Kalau dah habis, jom kita pergi,” ajak Zarul. Sebaik sahaja Syazreen mengangguk, Zarul melangkah ke kaunter untuk membayar harga makanan manakala Syazreen pula melangkah ke kereta.
                                                            *****
“QILA, hujung minggu ni awak free tak?” Zarul bersuara ketika mereka dalam perjalanan pulang ke pejabat Syazreen.
“Kenapa ya?” soal Syazreen.
“Saya ingat nak kenalkan awak pada keluarga saya,” ujar Zarul.
“Hah?!” Syazreen terkejut. “Nak buat apa?” soalnya lagi.
“Qila, sebenarnya saya nak jadi kawan awak.”
“Bukan kita kawan ke sekarang?” Dahi Syazreen sudah berkerut.
“Saya nak lebih dari seorang kawan. Sudi tak awak terima?”
Syazreen tergamam. Dia faham maksud Zarul. “Erk... saya...” Syazreen tergagap-gagap.
“Saya tak nak jawapan hari ni. Ambillah seberapa banyak masa yang awak mahu, saya sanggup tunggu sampai awak dah bersedia. Kalau awak setuju, awak mesej saya. Kalau awak tak setuju, kita masih boleh berkawan macam biasa. Awak fikirlah masak-masak. Saya tak nak awak terima saya kerana kasihan.” Zarul memberi kata putus. Dia tahu gadis di sebelahnya memerlukan masa.
Syazreen menunduk. Dia tidak tahu apa perasaan dia pada Zarul. Tetapi dia berasa senang berkawan dengan Zarul.
                                                            *****
SYAZREEN bagaikan cacing kepanasan. Semua kerja yang dia lakukan pada hari itu serba tidak kena. Ketika mahu membancuh air teh O, tanpa disedari dia telah memasukkan satu sudu garam ke dalam mug. Apabila dia menyisip sedikit, terus tersembur keluar air itu. Dia menggeleng kepala dengan kecuaiannya lalu membuang air itu ke dalam sinki dan memcuci mug.
            Dia melangkah pula ke peti sejuk lalu mengeluarkan sebotol air mineral dan menuangnya ke dalam mug. Kemudian dia melangkah ke meja kerjanya kembali. Telefon bimbit ditilik. Takut-takut telefon bimbitnya itu rosak. Dia mula tidak sedap hati. Masuk hari ini, sudah lima hari Zarul tidak menghubunginya.
            “Sakit ke dia?” Syazreen bertanya dirinya sendiri.
“Kau ni kenapa? Macam kucing hilang anak aje?” tegur Iffa.
“Tak ada apa-apalah,” bohong Syazreen. Fail di atas meja segera ditarik rapat. Dia menyelak satu-persatu.
“Habis tu dari tadi aku tengok kau asyik jeling aje telefon tu kenapa? Tunggu abang Hong Kong kau call? Kalau dia tak call, kau calllah dia,” serkap Iffa.
“Kau tak ada kerja ya? Kalau tak ada kerja, meh aku bagi kau kerja.” Syazreen mengelat.
“Nak mengelatlah tu. Dahlah, aku nak buat kerja aku. Kau tu jangan asyik nak tilik handphone aje, nanti bos nampak, habis kau.” Iffa mengingatkan.
                                                            *****
SELEPAS makan malam, Syazreen berkurung di bilik. Setelah puas berfikir, dia mencapai telefon bimbitnya dan menghantar mesej kepada Zarul. Beberapa minit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Syazreen menarik nafas sebelum menekan butang hijau.
“Assalamualaikum Qila...” Kedengaran suara Zarul Ashraf di hujung talian.
“Waalaikumussalam,” jawab Syazreen, perlahan.
Thanks, awak. Saya gembira dengan jawapan awak. Awak apa khabar?”
“Baru hari ni awak nak tanya?” Nada suara Syazreen berubah. Kedengaran seperti merajuk.
“Saya bukan tak nak call atau mesej awak. Saya nak bagi awak ruang untuk berfikir. Tak sangka pulak awak terasa hati dengan saya. Sorry ya?” pujuk Zarul Ashraf.
“Okey.” Wajah Syazreen sudah berubah ceria.
“Awak, esok saya ambil awak kat rumah ya? Saya nak bawak awak jumpa keluarga saya. Mama dan papa saya pun dah tak sabar nak jumpa awak,”
Erk, esok ke? Saya takutlah awak...” Syazreen meluahkan rasa hatinya. Memang dia berasa takut. Dia takut mama dan papa Zarul tidak dapat menerimanya kerana dia bukan anak orang berada seperti Zarul.
“Mama dan papa saya makan nasilah. Bukan nak makan awak pun.”
“Yalah, saya tunggu awak esok,” putus Syazreen.
“Macam tulah... okeylah awak, saya dah mengantuk ni. Assalamualaikum...”
“Waalaikumusalam...” jawab Syazreen. Dia meletakkan telefon bimbitnya di meja lampu.
                                                            *****
ZARUL sedang rancak berbual dengan keluarga Syazreen sementara menanti gadis itu bersiap. Kedua ibu bapa Syazreen sangat menyenangi tingkah laku Zarul.
“Zarul betul-betul ikhlas ke dengan anak pak cik?” soal Encik Ismail.
Zarul tergamam mendengarnya. Kemudian dia tersenyum. “Memang saya ikhlas dengan Qila, pak cik. Kami dah kenal tiga bulan. Tempoh tu dah cukup bagi kami untuk mengenal hati budi masing-masing,” jawab Zarul, jujur.
Beberapa minit kemudian Syazreen menghampiri ahli keluarganya. Dia menyalami abah dan emaknya. “Syaz pergi dulu mak, abah.”
Encik Ismail dan Puan Rafidah menghantar Syazreen dan Zarul ke muka pintu. Sebaik sahaja kereta Zarul hilang dari pandangan mata, Puan Rafidah mula mengunci pintu pagar. “Baik budaknya, kan bang? Berkenan pulak saya,” kata Puan Rafidah sambil melabuhkan punggung di sofa.
“Ha'ah. Sopan-santun, hormat orang tua. Agak-agaknya dia orang tu jadi kahwin ke?” Encik Ismail mencapai alat kawalan jauh television lalu mencari siaran.
Ek... eh abang ni ke situ pulak. Dia orang kan baru tiga bulan kenal. Takkan dah fikir nak menikah kut?” kata Puan Rafidah.
“Kalau dah bawak jumpa keluarga, bukan serius ke namanya tu?” Encik Ismail tetap dengan andaiannya.
Puan Rafidah sudah kematian kata-kata untuk menjawab. Dalam hati dia mengeyakan kebenaran kata-kata suaminya.
                                                            *****
“MANIS orangnya,” puji nenek Zarul. Ketika itu mereka sedang duduk di ruang tamu.
Syazreen tersipu-sipu malu apabila dipuji begitu. Beberapa minit kemudian Puan Mariam mengajak mereka ke ruang makan untuk menikmati makan tengah hari. Setelah selesai makan mereka ke laman rumah sambil menikmati buah limau.
“Berkenan betul mama dengan pilihan Zarul kali ni,” ucap Puan Mariam sambil tersenyum.
“Yang sebelum ni mama tak berkenan ke?” usik Zarul.
“Si Jessy tu? Langsung mama tak berkenan. Jumpa kita pun tak nak,” ujar Puan Mariam lagi.
Tiba-tiba telefon bimbit Syazreen berbunyi. Nama Haziq tertera di situ. Dia meminta diri sebentar untuk menjawab panggilan. Dia mula bangkit, berjalan jauh sedikit dari gazebo lalu menekan butang hijau.
“Helo Kak Syaz, cepat datang ke hospital!” Suara Haziq kedengaran cemas.
“Kenapa ni Ziq? Siapa yang masuk hospital” tanya Syazreen. Hatinya rasa tidak sedap.
“Kak Su dah nak bersalin ni. Datang tau.”
“Baiklah, akak datang sekarang.” Selepas mematikan talian, Syazreen mendapatkan ahli keluarga Zarul semula. “Maaf auntie, uncle, atuk, nenek, saya terpaksa balik sekarang,” pinta Syazreen.
“Siapa yang masuk hospital?” tanya Zarul yang sempat mencuri dengar perbualan Syazreen tadi.
“Kak Su. Dia dah nak bersalin,” beritahu Syazreen.
“Jomlah saya hantar awak ke hospital.” Zarul sudah bangkit dan menyalami ahli keluarganya diikuti Syazreen.
                                                            *****
SAMPAI sahaja di hospital, Syazreen bergegas mendapatkan ayahnya. “Macam mana dengan Kak Su, abah?”
            “Alhamdulillah, semuanya selamat. Kak Su dapat anak lelaki. Abang Hasif kamu tengah azankan dia.” Jawapan Encik Ismail itu melegakan hati Syazreen.
            “Tahniah, abang,” ucap Zarul sebaik sahaja Hasif tiba.
            “Terima kasih. Zarul bila pulak nak merasa dapat anak sendiri?” gurau Hasif sambil menjeling Syazreen yang sudah terlopong.
            “Abang Hasif, apa ni? Mentang-mentang dapat satu lagi hero, nak kenakan orang pulak,” Syazreen menjegil geram kepada abang iparnya.
            Zarul pula hanya tersenyum. “Coming soon,” jawab Zarul, bersahaja.
            Wajah Syazreen sudah berona merah. Dia tahu Zarul hanya bergurau dengan kata-katanya tadi. “Awak ni Zarul, nak masuk group Abang Hasif pulak, ya. Saya merajuk nanti baru tahu,” ugut Syazreen.
            “Merajuk pun merajuklah, nanti Abang Zarul boleh pujuk,” sampuk Haziq pula.
            “Abah, tengoklah dia orang ni!” sedikit terjerit suara Syazreen.
            “Ssshhh, sila jangan bising, ya,” tegur seorang jururawat yang tiba-tiba lalu di situ.
            “Opps!” Syazreen menekup mulutnya. “Tulah Abang Hasif ni, usik Syaz lagi. Kan dah kena marah.” Syazreen bersuara perlahan.
            Yang lain hanya tersenyum sahaja. Sudah tidak berani untuk ketawa-kuat-kuat, takut jururawat yang bertahi lalat besar di hidung itu muncul lagi.
                                                            *****
“PUKUL berapa Zarul janji nak datang ambil?” tanya Puan Rafidah ketika Syazreen sedang menonton televisyen di ruang tamu.
            Syazreen menoleh ke wajah Puan Rafidah. “Katanya pukul 8.00 karang dia datang,” jawabnya. Kemudian dia bangkit dari sofa lalu duduk bersila di atas permaidani. Tubuh kecil Muhammad Iman Qaayeed yang sedang berbaring di atas tilam kecil mula diangkat. Syazreen mencium semahunya pipi gebu itu. Qaayed yang sudah berusia dua bulan itu mengekek ketawa.
            “Bila nak siap? Sekarang dah 6.30. Tahu ajelah orang perempuan mesti ambil masa yang lama untuk bersiap.” Abang Hasif yang sedari tadi menonton televisyen mula menyampuk.
            “Abang, Syaz bukan macam Kak Su tau. Mekap sana, mekap sini. Syaz ni setakat pakai bedak dan pelembap bibir aje, tak lama mana pun,” jawabnya sambil meletakkan semula Qaayeed di atas tilam. Kemudian dia menepuk perlahan tubuh kecil itu. Sesekali dia bermain dengan tangan comel itu. Dia suka apabila jemarinya digenggam kuat oleh Qaayeed.
            “Amboi, sedap aje mengata orang.” Tiba-tiba Suraya keluar dari dapur.
            “Opps, Kak Su terasa ke? Sorry, Syaz memang sengaja nak cakap. Ha ha ha...” Syazreen mengekek ketawa apabila Suraya menayang wajah cemberut. Dia menganjak ke tepi sedikit apabila Suraya melabuhkan punggung di sebelahnya.
            Suraya mula mendukung anaknya. “Qaayeed, tengok Mak Ngah tu ada ke cakap mama ni mekap berjam-jam? Jahat kan, Mak Ngah tu?” Suraya berkata-kata pada anaknya. Qaayeed hanya memandang Suraya dengan mata bulatnya.
            Syazreen memanjangkan tangan, membelai-belai rambut lebat Qaayeed. “Memang pun berjam-jam. Masa nak pergi beraya kat rumah Uncle John tu jenuh kami menunggu, kan Abang Hasif?” Syazreen cub meminta sokongan Hasif.
            “Ha'ah punyalah lama. Bila dah siap bersolek aje, dia boleh pulak risaukan buah limau Uncle John. Su... Su...” Hasif menyokong.
            Puan Rafidah sudah menggeleng.
            “Habislah kalau papa dengan Mak Ngah dah mula bergabung nak kenakan mama ni. Jomlah Qaayeed kita naik bilik. Kat sini bising.” Suraya mula bangkit mahu membawa anaknya ke dalam bilik.
            “Hah, nak cover malulah tu.” Sempat lagi Hasif menegur.
            “Tengok tv kat dalam bilik lagi best,” jawab Suraya.
            Syazreen dan Hasif berpandangan. Kemudian sama-sama melepaskan tawa.
                                                            *****
SYAZREEN menilik kebaya labuh yang tersarung di badannya. Sebentar sahaja lagi Zarul akan menjemputnya untuk dibawa ke majlis ulangtahun syarikat keluarga lelaki itu. Alhamdulillah, kedua-dua belah keluarga merestui perhubungan mereka. Tiada lagi rasa ragu-ragu di dalam diri Syazreen kini.
Tepat pukul 8.00 malam Zarul sampai di halaman rumah. Syazreen meminta diri untuk keluar. Seperti biasa, Encik Ismail dan Puan Rafidah menghantar Syazreen di pagar rumah. “Jaga Syaz elok-elok, ya Zarul,” pesan Encik Ismail sambil menepuk perlahan bahu Zarul yang menyalami tangannya.
“Baiklah pak cik. Saya akan menghantar Qila dengan selamat sepertimana saya ambil dia,” janji Zarul.
                                                            *****
SAMPAI sahaja di majlis, Zarul terus memperkenalkan Syazreen kepada rakan sekerjanya.
“Kau ni Rul, diam-diam berisi ya,” usik Fahmi.
“Aku saja nak buat kejutan kat kau orang semua. Menjadi tak kejutan aku?” Zarul ketawa sambil menjeling Syazreen yang kelihatan malu-malu.
“Buat perhabis air liur aku aje bagi nasihat kat kau supaya cari pengganti Jessy dulu. Tengok-tengok dah ada pengganti. Memanglah kau ni.” Zaki menepuk kuat bahu Zarul.
“Bila kau orang nak kahwin?” soal Salina pula.
Coming soon...
Jawapan Zarul membuatkan Syazreen tergamam. Masuk hari ini, kali kedua dia mendengar Zarul menyebut perkataan itu. Dia memandang wajah Zarul. Dia lihat wajah Zarul serius ketika memberikan jawapan. Adakah dia bergurau lagi? detik hati Syazreen.
“Kalau dah tahu tarikh, jangan lupa jemput kita orang tau.” Marina pula bersuara.
“Insya-Allah. Kalau tak ada aral, dalam tahun ni jugak.” Zarul tersenyum.
Kepala Syazreen terasa berdenyut mendengar jawapan itu. Dia mengukir senyuman terpaksa apabila kawan-kawan Zarul mengucapkan tahniah kepadanya.
                                                            *****
“ZARUL, kenapa awak cakap macam tu kat kawan awak tadi?” tanya Syazreen ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
            “Cakap apa?” Zarul tidak dapat menangkap soalan Syazreen.
            “Erk...” Syazreen malu untuk menyebut semula jawapan yang Zarul berikan kepada kawan-kawannya tadi. Wajahnya berubah merah.
            “Cakap apa?” ulang Zarul lagi apabila Syazreen masih teragak-agak mahu bercakap.
            “Yang tadilah...” Syazreen masih tidak mampu untuk teruskan.
            “Yang tadi? Apa yang saya cakap?” desak Zarul. Dalam hati dia sudah dapat menangkap apa yang ingin katakan. Sengaja mahu melihat gadis itu malu-malu.
            Syazreen geram. “Tadi kan awak cakap dengan kawan-kawan awak yang kita akan berkahwin tahun ni!” Terlepas juga ayat itu dari mulutnya.
            “Ya betul. Ada masalah ke dengan jawapan saya tu?” Zarul menekan pedal brek apabila lampu isyarat bertukar ke warna merah.
            “Kita tak pernah bincang pun hal ni. Kenapa awak pandai-pandai?” Kali ini tiada lagi rasa malu bersarang di hati Syazreen.
            “Awak tak suka ke saya ajak awak kahwin?” Lampu Isyarat sudah bertukar ke warna hijau. Kaki Zarul pantas memijak pedak minyak.
            “Suka tapi tak terlalu awal sangat ke kita nak kahwin? Kita kenal baru aje lima bulan kan?” Syazreen meluahkan kemusykilannya.
            “Itu ke yang awak risaukan? Pada saya lima bulan tu hanya angka. Kita dah saling kenal hati budi masing-masing. Keluarga kita pun restui hubungan kita. Rasanya tak salah kalau kita mula rancang perhubungan kita. Saya dah tak sabar nak jadi macam Abang Hasif,” ujar Zarul perlahan.
            Wajah Syazreen berubah merah apabila mendengar kata-kata terakhir Zarul. “Awak ni ke situ pulak!” Syazreen menundukkan wajahnya ke bawah. Beg tangannya menjadi sasaran matanya. Dia malu mahu memandang wajah Zarul. Terasa lambat pula perjalan ke rumahnya.
            “Awak, saya ada kat sebelah awak ni, bukan kat bawah tu. Handbag awak tu lagi hensem ke dari wajah saya?” usik Zarul.
            Spontan jemari Syazreen mencubit lengan sasa Zarul. “Awak ni mengada-ngada tau. Menyampah saya!”
            “Aduh, sakitlah awak...” Zarul mengaduh kesakitan. “Awak okey kan kalau kita kahwin tahun ni? Cuba awak fikir, umur awak dah 29, umur saya pulak dah 32. Dah sesuai sangatlah tu.” Nada suara Zarul kembali serius. “Kalau awak setuju, mama dan papa saya nak masuk meminang awak bulan depan,” sambungnya lagi.
Syazreen terkejut. “Cepatnya! Tak payah bertunang dulu ke?”
“Kita buat serentaklah. Bertunang dulu lepas tu baru akad nikah.” Zarul memberi cadangan.
“Nanti saya bincang dengan abah dan mak saya dulu ya?”
Zarul mengangguk dan tersenyum. Dia yakin Encik Ismail dan Puan Rafidah akan bersetuju.
                                                            *****
“MAK, abah... keluarga Zarul nak datang meminang bulan depan,” ujar Syazreen.
“Eh, baguslah tu. Kamu berdua pun dah lima bulan kenal,” ujar Encik Ismail.
“Tapi dia cakap nak buat majlis bertunang dan nikah serentak. Tak nak membazir katanya.”
“Okey apa buat majlis bertunang dan nikah serentak. Mak dengan abah dulu pun macam tu jugak,” sokong Puan Rafidah.
“Mak tak pernah cerita pun kat Syaz?” soal Syazreen penuh minat.
“Cerita lama-lama, malas nak cerita.” Puan Rafidah tersenyum sambil memandang suaminya.
“Kiranya mak dengan abah setujulah ni ya?” Syazreen inginkan kepastian.
Puan Rafidah dan Encik Ismail mengangguk serentak.
“Syaz masuk bilik dululah ya mak, abah... nak beritahu Abang Zarul.” Sengaja Syazreen bersuara sedikit gedik. Dia mula mendaki tangga untuk ke bilik.
Encik Ismail menggeleng melihat telatah anak perempuannya. “Bertambah sorang lagilah menantu kita ya.” Encik Ismail memandang wajah isterinya.
“Ha'ah. Lepas tu cucu pulak bertambah.” Puan Rafidah tersenyum.
“Kak Su mengandung lagi ke mak?” Tanpa memberi salam, Haziq melangkah masuk ke dalam rumah.
Encik Ismail dan Puan Rafidah terperanjat dengan sergahan itu. “Kamu ni tak reti nak beri salam ke Ziq?” marah Encik Ismail.
Haziq tersenyum malu. Dia mendapatkan Encik Ismail dan Puan Rafidah lalu menyalami tangan kedua-duanya. Kemudian dia melabuhkan punggung di sofa, berhadapan dengan kedua orang tuanya. “Betul ke Qaayeed nak dapat adik?” tanyanya lagi.
“Apa yang kamu merepek ni, Ziq? Kak Su kamu baru aje habis pantang,” kata Encik Ismail.
“Dah tu kata nak dapat cucu, siapa lagi kalau bukan Kak Su yang mengandung?” Haziq tidak berpuas hati selagi soalannya tidak dijawab.
“Kak Syaz kamu. Keluarga Zarul nak masuk meminang bulan depan. Nak buat majlis bertunang dan nikah serentak,” jelas Puan Rafidah.
“Alhamdulillah... bertambah lagi ahli keluarga kita.” Haziq meraup tangan ke muka, tanda kesyukuran. “Mak, abah... Ziq naik atas dululah. Nak mandi.” Haziq meminta izin.
“Jangan selalu sangat mandi malam-malam, tak baik untuk kesihatan,” tegur Encik Ismail.
                                                            *****
KATA sepakat telah dibuat oleh kedua-dua belah keluarga. Mereka masih ada lagi sebulan untuk membuat persiapan perkahwinan. Dalam tempoh itu, Syazreen dan Zarul tidak dibenarkan berjumpa antara satu sama lain. Darah manislah katakan.
Mereka hanya dibenarkan berjumpa ketika ingin membeli barang untuk dibuat hantaran. Itu pun ditemani oleh mama Zarul dan Suraya. Ketika puan Mariam sedang memilih bunga telur, Zarul pantas menghalangnya. Bunga telur yang berada ditangan Puan Mariam diambil dan diletakkan semula ke tempatnya.
“Mama, tak payahlah beli bunga telur.”
“Kenapa pulak? Masa majlis bersanding nanti kan kena bagi bunga telur kat tetamu. Nanti apa pulak dia orang kata.” Puan Mariam pelik.
“Zarul ingat nak gantikan bunga telur dengan buah limau.” Zarul tersenyum.
“Budak ni... tak pernah dibuat orang tau bagi buah limau masa kenduri kahwin.” Menggeleng kepala Puan Mariam mendengar jawapan Zarul. “Tahu tak apa makna bunga telur dalam adat Melayu? Kalau kita bagi bunga telur, ia melambangkan kesuburan dan kekayaan pengantin tau. Penerima bunga telur tu pula akan mendoakan pasangan pengantin bahagia hingga ke anak cucu,” jelas Puan Mariam.
“Tak apa, mama ambil aje bunga telur tu tapi jangan isi telur. Zarul nak mama isi limau,” putus Zarul.
“Ikut suka hati Zarullah. Nanti mama suruh papa cari buah limau.” Puan Mariam mengalah.
“Eh, tak payah...”
“Kenapa pulak? Kata tadi nak letak limau?” soal puan Mariam lagi.
“Uncle John cakap dia yang akan sponsor limau nanti.”
Puan Mariam hanya menggelengkan kepalanya.
                                                            *****
HARI yang di nantikan tiba jua. Syazreen sedang duduk dibirai katil sementara menunggu dirinya dipanggil untuk ke masjid yang berhampiran dengan rumahnya.
“Boleh Kak Su masuk?” pinta Suraya yang sedang berdiri di muka pintu bilik Syazreen.
“Sejak bila pulak nak masuk bilik Syaz kena mintak izin ni? Masuk ajelah,” pelawa Syazreen.
“Sejak tengok bilik ni lawa sangat. Takut nak masuk nanti rosak pulak bila tangan gatal Kak Su ni mula pegang sana sini,” gurau Suraya sambil melabuhkan punggung di sebelah Syazreen.
“Ada-ada aje kak Su ni.”
“Banyak betul ya limau yang Uncle John sponsor...” ucap Suraya lagi.
Aik, takkan mengidam lagi kut?” usik Syazreen sambil matanya memandang pelik ke perut kempis Suraya.
“Hesy budak ni, ke situ pulak yang difikirnya.” Spontan Suraya meluku kepala Syazreen.
“Kak Su ni... dah senget tudung ni tau.” Syazreen membetulkan letak tudungnya yang sudah sedikit senget.
“Siapa suruh mengarut!”
“Dah cara Kak Su bercakap tu sama macam  masa tengah mengandungkan Qaayeed, mana Syaz tak pelik?” jawab Syazreen.
“Tanya sikit pun cakap orang mengidam. Malaslah nak tanya lagi.” Suraya berpura-pura merajuk.
“Kelakarlah muka Kak Su ni bila merajuk. Macam muka tenuk aje,” ucap Syazreen sambil berlari mengelilingi katil pengantin yang telah berhias cantik.
Suraya turut mengejar adiknya. Geram apabila Syazreen menggelarnya tenuk.
Haziq yang baru sahaja masuk ke bilik Syazreen tergamam sekejap dengan pemandangan bilik itu. Dia menggeleng kepala. “Wahai kakak-kakakku sekalian... berhentilah berperangai macam budak-budak. Sorang dah jadi mak orang, sorang lagi dah nak jadi isteri orang. Jomlah pergi masjid sekarang, majlis dah nak mula lagi beberapa minit aje.” 
Kata-kata Haziq telah menghentikan aksi kejar-mengejar di antara Syazreen dan Suraya. Suraya segera mencapai tisu untuk mengelap peluh yang mengalir di dahi adiknya akibat aksi aci kejar mereka tadi.
Kemudian, kesemua yang ada di dalam rumah keluarga Syazreen bergegas keluar untuk ke masjid.
                                                            *****
MAJLIS pertunangan telah selesai dilaksanakan. Sekarang cuma menunggu tok kadi melafazkan akad nikah sahaja.
“Sah?”
“Sah!”
“Sah!”
Kedengaran suara tok kadi dan beberapa orang saksi mengesahkan akad yang dilafazkan Zarul. Kemudian Zarul mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat nikah.
Setelah selesai solat sunat nikah, Zarul menghampiri Syazreen untuk melaksanakan proses pembatalan air sembahyang. Kemudian, kedua-dua mempelai diarak keluar dari masjid menuju ke pelamin yang megah didirikan di laman rumah Encik Ismail dan Puan Rafidah.
Ketika para tetamu sedang menjamu selera, mereka telah diberikan buah limau yang diletakkan di dalam sarung bunga telur sebagai cenderahati bagi pihak pengantin. Ramai yang sudah berbisi-bisik sebaik sahaja mendapat cenderahati itu.
“Eh, buah limau ke? Ingatkan telur,” komen salah seorang tetamu. Dia kemudiannya membelek-belek bunga telur yang dijadi limau itu lalu membuka kad yang turut diselitkan. Ayat yang tertera pada kad itu dibaca perlahan-lahan.

Maaf kalau ada yang terasa pelik dengan pemberian kami. Kami menggantikan telur kepada buah limau kerana limau merupakan tanda pertemuan kami. Jika bukan kerana limau, mungkin kami tidak akan berjumpa.  Kami harap tuan, puan, adik, kakak dan abang sudi menerimanya dengan seikhlas hati dan sudilah kiranya mendoakan kami kekal hingga ke akhir hayat.
Ikhlas dari,
-Zarul Ashraf & Nurul Syazreen Aqila-

“Oh, patutlah bagi buah limau. Ada makna tersendiri rupanya. Tak kisahlah, janji ada cenderahati,” kata seorang lagi tetamu.
            Majlis persandingan Syazreen dan Zarul berjalan lancar. Kedua orang tua mereka gembira bila melihat pasangan pengantin itu gembira dan bahagia.
           
            Kerana sekotak limau telah mencetuskan perebutan,
Kerana sekotak limau telah menemukan mereka kembali,
Kerana sekotak limau juga telah menyatukan mereka hingga ke jenjang pelamin.
                          
                                  -TAMAT-

p/s: Sori kalau cerpen ni kureng n boring sikit...

4 comments:

  1. kureng pe nye...sangat best lah!! sweet sgt2...

    limau punya pasal,, semua boleh jadi ma...

    ReplyDelete
  2. Sakura Putih: Betol tu... sebab limau, dorg berjumpa.. Thnks ek..

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum kak WC: =) Boleh jadi duta buah limau kedai Uncle John dah diorang berdua ni hehe *saya terbayang ala2 artis jadi duta produk. Ada poster diorang pegang&backgprund byk buah limau. Promote kat fb/ig. Merepek je kan fikir camtu hehe* (^_^)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumusalam Dhia...
      Wakaka... melampau bebenau imaginasi Dhia tu

      Delete