Followers

Sunday, 17 March 2013

Separuh Hati Untukmu 25 (Last entry)


TAN SRI RAZMAN membuka pintu bilik bacaan. Dia lihat Qhafi sudah sedia menunggunya. Dia melangkah dan melabuhkan duduk di hadapan Qhafi. Lama dia merenung wajah anak sulungnya itu. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan. “Sebenarnya, Yaya tu kembar arwah Manda. Dia adik bongsu along dengan anyah.”
            “Kenapa along tak tahu apa-apa langsung pasal Yaya? Kenapa papa dengan ibu rahsiakan daripada along dengan anyah? Mana Yaya, pa? Mana adik along sekarang?” Qhafi tak menyangka papanya sanggup merahsiakan tentang kewujudan adiknya itu.
            Tan Sri Razman menarik laci meja kerja dan mengeluarkan keratan akhbar yang telah kusam lantas dihulur kepada Qhafi.
            Qhafi membaca tajuk yang tertulis pada keratan akhbar itu. “Tiga rentung, satu parah  bertembung treler.” Dia memandang Tan Sri Razman mahu meminta kepastian.
Tan Sri Razman mengangguk kepala.
Qhafi menyambung pembacaan dengan nada perlahan. “Pemeriksaan awal mendapati dua orang lelaki dewasa yang dikenali berdasarkan jam tangan yang dipakainya dan seorang bayi yang belum dikenal pasti identiti dan jantina rentung dalam satu kemalangan jalan raya apabila kenderaan yang dipercayai sebuah teksi yang mereka naiki telah terbakar manakala seorang wanita yang tercampak keluar dari teksi itu dikenali sebagai Fatimah Ahmad, 53, didapati cedera parah. Salah seorang lelaki dewasa dipercayai suami kepada wanita tersebut.” Kemudian dia diam membaca keseluruhan artikel itu.
            “Maksud papa bayi yang rentung tu Yaya?” tanya Qhafi setelah selesai membaca keseluruhan artikel.
            Tan Sri Razman mengangguk. “Memang Yaya ada dengan Nek Timah dan arwah Tok Aziz masa tu. Lepas ne...” Dia berjeda sebentar. Kemudian dia menarik nafas dan memejam mata seolah-olah cuba mengingati peristiwa pahit itu. Kedua-dua belah tangannya mencengkam pemegang kerusi sebelum menyambung. “Lepas papa tengok berita pasal kemalangan tu, papa dan ibu bergegas ke hospital untuk tuntut jenazah Yaya. Pihak polis masa tu memang tengah tunggu waris Yaya.” Dia membuka kembali matanya. Poket seluar diseluk dan dia mengeluarkan seutas rantai tangan loceng emas yang kecil saiznya. “Ni bracelet Yaya. Papa dengan ibu beli dua utas bracelet ni untuk Manda dengan Yaya sebaik saja kami tahu jantina bayi dalam kandungan. Pihak polis jumpa bracelet ni di tempat kejadian. Itu yang membuktikan bayi tu Yaya.” Dia memandang sayu rantai tangan yang pernah diberikan kepada Aziz dulu. Rantai tangan itu dihulurkan kepada Qhafi.
            Qhafi merenung rantai tangan kecil di tangannya. Terasa sukar untuk dia percaya. Tak sampai beberapa minit hatinya berbunga apabila mengetahui kewujudan adik bongsunya, detik itu juga perasaan itu kian kuncup apabila membaca artikel tadi. Jauh di sudut hati, dia rasa terkilan papanya merahsiakan kewujudan adiknya itu. “Siapa Nek Timah dengan Tok Aziz tu, pa? Macam mana Yaya boleh ada dengan dia orang?”
            “Sebenarnya, Nek Timah ni pembantu rumah, arwah Tok Aziz pulak driver nenek. Dulu Nek Timah yang jaga along dengan anyah masa ibu mengandungkan Manda dan Yaya. Alahan ibu dulu teruk sangat sampai lembik-lembik badan.”
            “Kenapa along langsung tak ingat pasal Nek Timah dengan arwah Tok Aziz, pa?” Qhafi mengerut dahi.
            Tan Sri Razman tersenyum. “Macam mana nak ingat, masa tu along kecik lagi. Kemalangan ni berlaku masa umur along dua tahun. Manda dengan Yaya pulak baru dua bulan.”
            “Tapi, pa... bukan ke masa tu Manda dengan Yaya masih menyusu? Macam mana papa dengan ibu boleh lepaskan Yaya pulak?
            Tan Sri Razman gugup namun dia berjaya mengawal riak wajahnya. “Sebenarnya, Yaya tak berhenti-henti menangis sampai kami dah tak tahu nak buat apa lagi. Arwah Tok Aziz cakap kat kampung dia ada orang yang boleh tolong ubatkan. Sebab tu dia bawak Yaya balik ke kampung dia kat Penang.”
            Qhafi diam mendengar penjelasan Tan Sri Razman. “Manda tahu pasal Yaya?”
            Tan Sri Razman menggeleng. “Papa tak sampai hati nak bagitahu Manda. Masa pisahkan dia dengan Yaya dulu pun Manda demam rindukan adik dia. Ibu pulak sedih sangat sampai kena kemurungan bila dapat tahu Yaya dah tak ada. Sejak hari itu Manda la jadi penawar bila ibu rindukan Yaya. Dan sejak itu jugak papa dah tak nak ungkit pasal Yaya. Tapi itu tak bermakna papa lupakan dia. Yaya akan sentiasa berada dalam hati papa.” Dia memegang dadanya. Air matanya bergenang mengingatkan Rania.
            Kini barulah Qhafi tahu mengapa Puan Sri Anida begitu menyayangi Amanda. Ternyata berat sungguh penderitaan yang ibunya lalui. Kehilangan dua orang anak perempuan walaupun dalam tahun yang berlainan. “Macam mana keadaan Nek Timah sekarang, pa? Dalam artikel ni tulis Nek Timah cuma cedera parah.”
            “Nek Timah koma selama sepuluh tahun. Lepas dia sedar, dia langsung tak ingat apa-apa. Doktor cakap dia menghidap amnesia akibat hentakan yang kuat di kepala. Papa ada jugak tanyakan keadaan dia dekat anak-anak dia. Mereka kata sampai sekarang ingatan Nek Timah belum pulih. Dia cuma ingat suami dia tapi tak ingat langsung pasal kemalangan tu.”
            “Kesiannya Nek Timah.” Qhafi mengeluh perlahan. “Apa nama penuh Yaya, pa?”
“Rania Hafiya...”
Rania Hafiya... sebut Qhafi dalam hati. Matanya dikerling pada jam yang terdapat di dinding bilik bacaan itu. “Alamak, Qhaf dah lambat!” Dia terjerit kecil apabila jarum jam sudah menginjak ke pukul 3.30 petang.
            “Qhaf nak pergi mana?” tanya Tan Sri Razman yang pelik melihat gelagat anak sulungnya. Matanya digosok perlahan.
            “Qhaf dah janji nak jumpa Kif pukul 3 tadi. Qhaf pergi dulu, pa.” Dia meletakkan kembali artikel dan rantai tangan itu di atas meja dan bergegas keluar dari bilik bacaan.
            Tan Sri Razman memandang Qhafi yang sudah menutup pintu. “Maafkan papa, Qhaf... papa tak dapat nak ceritakan hal yang sebenar. Kalau papa cerita pun tetap tak dapat mengembalikan Yaya. Biarlah Qhaf tak tahu cerita sebenar. Papa dah tak mahu ingat lagi kisah tu.

SORRY, aku lambat. Nan mana? Aku tak nampak pulak kereta kau kat luar tadi,” tanya Qhafi setelah melabuhkan duduk di hadapan Thakif. Matanya diliarkan ke sekeliling restoran mahu mencari kelibat pemandu kawannya itu.
            “Aku suruh Nan balik. Nak balik nanti aku tumpang kau je.” Thakif memegang erat sampul surat yang berada di bawah meja. Sengaja dia memilih tempat duduk belakang yang jauh sedikit dari orang ramai untuk memudahkannya bercerita. “Minumlah air tu, dah sejuk dah pun. Aku ingatkan kau sampai awal, aku order jelah dulu.” Dia memuncungkan sedikit bibirnya ke arah segelas air teh tarik di depan Qhafi.
            Perlahan-lahan Qhafi menghirup air teh tarik yang sudah sejuk. “Kau tak order makan ke?” tanyanya apabila melihat di atas meja itu hanya ada dua gelas air, teh tarik miliknya dan nescafe O Thakif yang sudah tinggal separuh.
            “Ni aku nak pulangkan baju kau. Anis bagi aku pinjam kelmarin sebab baju aku terkena kuah kari.” Plastik yang berisi baju kemeja yang diletakkan di kerusi sebelah dihulurkan pada Qhafi.
            “Anis ada bagitahu aku hari tu. Eh, Deeba tak ikut sekali ke?” Qhafi tersengih. Dia cuba membuang rasa sedihnya dengan mempamerkan wajah ceria di depan Thakif. Palstik tadi diletak di kerusi di sebelahnya.
            “Deeba ada kat rumahlah. Kau ni tak habis-habis dengan Deeba. Hari-hari bergayut kat telefon pun tak puas lagi ke?” sindir Thakif. Tangan kirinya sudah menongkat dagu.
            Qhafi menggeleng kepala. “Bercakap dalam telefon dengan berjumpa secara berdepan tu lain rasanya tau. Kalau dalam telefon dapat dengar suara je. Kalau berjumpa pulak dua-dua dapat. Dapat dengar suara dan tengok muka. Kan berlainan tu?”
            Thakif menjulingkan mata ke atas apabila mendengar penjelasan kawan baiknya itu. Namun di dalam hati dia menyetujui kata-kata Qhafi. Dia dulu pun begitu ketika Amanda masih hidup.
            “Cerita apa yang kau nak share dengan aku ni?” Qhafi sudah menyandarkan badannya.
            Thakif menarik nafas sebelum bersuara. “Pasal kembar arwah Manda...”
            Berubah terus wajah Qhafi. Dia pun baru hari ni dapat tahu, takkanlah Thakif sudah lama tahu kot. “Macam mana kau tahu arwah Manda ada kembar?”
            Giliran wajah Thakif pula berubah. “Kau memang tahu arwah ada kembar ke?” Soalan berbalas soalan.
            “Aku baru tahu pasal Yaya dari papa aku tadi. Tu yang aku lambat sampai.” Wajah Qhafi berubah mendung.
            “Yaya?” tanya Thakif sedikit keliru.
            “Hmmm... Yaya, adik kembar Manda. Nama penuh dia Rania Hafiya. Kalau dia masih hidup mesti ibu aku takkan sakit macam ni.” Qhafi menundukkan wajah. Perasaan sedihnya kembali bertamu.
            “Apa maksud kau kalau dia masih hidup?” Takkan Qhaf ingat Rania dah meninggal kot?
            Qhafi memandang Thakif. “Yaya dah lama meninggal. Dia terlibat dalam kemalangan masa ikut pembantu rumah dan driver nenek aku balik kampung. Teksi yang dia orang naik tu meletup. Yaya rentung. Aku dapat bayangkan mesti dia rasa sakit sangat. Dia baru dua bulan dapat lihat dunia tapi hidup dia tak panjang. Mungkin Allah lebih sayangkan dia,” ceritanya sedikit sebak.
            Thakif tergamam. Ternyata sangkaannya sebentar tadi betul. Ternyata selama ini keluarga kawan baiknya menyangka Rania sudah meninggalkan dunia ini. “Qhaf... sebenarnya Yaya belum meninggal. Dia masih hidup.”
            “Uhuk! Uhuk!” Qhafi yang sedang menyisip air terus tersedak. Tisu di atas meja diambil lantas mengelap mulutnya. “Apa kau kata tadi? Yaya masih hidup?”
Thakif mengangguk.
“Mana kau dapat cerita mengarut ni? Kau jangan main-main boleh tak? Ini pasal adik aku tau! Aku sendiri baca artikel tu tadi. Takkanlah papa aku nak tipu aku pulak!” Sedikit meninggi suara Qhafi.
            “Aku tak main-main, Qhaf. Apa yang aku cakap ni betul. Yaya pernah datang rumah aku. Kalau kau tak percaya, kau boleh tengok ni.” Thakif menghulurkan sampul surat yang dipegangnya sejak tadi.
            Dengan rakus Qhafi mengeluarkan isi di dalam sampul surat. Ternyata dia terkejut dengan apa yang dilihatnya. Gambar Rania dipandang lama. Sedikit demi sedikit hatinya terasa gembira apabila mendapat tahu adik yang selama ini disangka telah meninggal masih hidup.  Dahinya berkerut memikirkan sesuatu. “Kalau Yaya masih hidup, bayi siapa yang rentung tu? Macam mana bayi tu boleh ada dengan orang gaji nenek aku? Macam mana bracelet Yaya boleh ada kat tempat kejadian?” Fikirannya kusut memikirkan perkara itu.
            “Itu aku tak tahu. Yang pasti... Yaya masih hidup.”
            “Aku nak jumpa Yaya sekarang! Aku nak bawak dia balik.” Qhafi bangun mahu meninggalkan restoran itu.
            “Sabar dulu, Qhaf.”
            Langkah Qhafi berhenti. Dia berpaling memandang Qhafi.
“Takkan kau nak pergi tergesa-gesa macam ni. Lagipun dia mesti tak kenal kau. Lainlah aku ni, dia dah kenal.”
            Qhafi melabuhkan duduk. “Kau teman aku, Kif? Aku teringin sangat nak jumpa Yaya. Aku teringin sangat nak jumpa adik yang selama ni aku tak tahu kewujudannya. Please...
            “Okey, aku akan temankan kau tapi bukan sekarang.” Thakif bersetuju. Niatnya memang mahu menemani Qhafi ke kampung Rania jika lelaki itu tak mempelawanya sekalipun.
            “Habis tu bila?” Sedikit meninggi suara Qhafi. Kalau boleh sekarang juga dia mahu berjumpa adiknya.
            “Kita pergi hari Jumaat nanti, okey?”
            “What? Jumaat? Aku dah tak boleh tunggu tau! Kau pun tahu kan dah berapa lama dia terpisah dari keluarga kami? Bukan berbulan tapi bertahun! Bertahun kau tahu tak?” Qhafi tak puas hati.
“Ye, aku tahu... tapi aku tak nak dia terkejut kalau kita main serbu je rumah dia macam ni. Sabarlah sikit, dia tak lari ke mana. Sekarang ni dia tengah cuti sem, dia ada dekat Teluk Intan. Lagipun aku nak settlekan kerja kat ofis dulu sebelum bercuti.”
Qhafi mulai tenang. “Tadi kau ada sebut Yaya pernah datang rumah kau, kan?” Dia mula mencorak soalan.
Thakif mengangguk.
“Macam mana kau boleh kenal Yaya?” Hati Qhafi membuak-buak ingin tahu.
Thakif tersenyum membayangkan wajah Rania. “Yaya sebenarnya roommate Deeba. Dia datang rumah papa aku pun sebab Deeba nak dia pujuk aku jalani rawatan. Pertama kali aku tengok dia, aku ingatkan dia Manda tapi rupa-rupanya bukan. Disebabkan dialah hati aku terbukak nak jalani rawatan. Lepas aku sembuh, aku terus upah penyiasat sebab hati aku ni bagaikan diasak-asak nak tahu latar belakang dia. Tapi masa tu aku langsung tak tahu dia kembar arwah Manda. Kau sendiri pernah cakap yang adik-beradik kau cuma tiga orang je.
Qhafi terpempan mendengar penjelasan Thakif. Roommate Deeba? Kenapa Deeba tak pernah cerita kat aku pasal Yaya? Selama ni dia tak pernah berahsia dengan aku pasal kawan-kawan dia, desisnya dalam hati.

Yang sorang tu kan, muka dia macam muka K...

Tiba-tiba Qhafi teringat kata-kata Adeeba dulu. Maknanya masa tu Deeba nak cakap yang muka salah seorang roommates dia seiras dengan arwah Manda?
“Qhaf, kau okey tak?” Thakif pelik melihat muka Qhafi yang asyik berkerut.
Qhafi tersentak. Belakang tengkuknya diurut perlahan. “Kenapa baru sekarang kau nak bagitahu aku pasal Yaya? Kenapa tak bagitahu masa Yaya ada kat rumah kau je? Kau boleh call aku masa tu, kan? Dan aku pulak boleh jumpa Yaya. Tak perlu nak tunggu sampai berbulan-bulan macam ni!” Dia tak puas hati.
“Deeba yang tak benarkan aku bagitahu kau,” jawab Thakif dengan sedikit rasa serba salah.
“Tapi kenapa Deeba tak nak aku tahu?” Qhafi mengerut dahi.
“Sebab Deeba tak nak Yaya rasa dipergunakan,” jawab Thakif tenang.
“Dipergunakan? Apa maksud Deeba dengan dipergunakan tu?” Qhafi menyilang tangan ke dada. Matanya masih memandang wajah tenang Thakif.
Thakif menyisip sedikit air kopi O. Dia dapat lihat riak tak puas hati di wajah Qhafi. “Mungkin Deeba takut kau akan suruh Yaya gantikan tempat arwah Manda. Macam yang aku cakap tadi, masa tu memang kami tak tahu Yaya ada kena-mengena dengan arwah. Aku cuma percayakan kata-kata Deeba je masa tu. Iyalah, kau pun mesti percaya yang dalam dunia ni memang ada tujuh orang yang berwajah seiras, kan?”
Qhafi tersenyum senget. Senyumannya itu nampak sangat tak ikhlas. Hatinya terasa panas tapi cuba disabarkan.
“Aku bagitahu kau sekarang pun sebab aku rasa kau patut tahu pasal Yaya,” sambung Thakif.
“Deeba dah tahu yang Yaya ni adik aku?” Bergetar suaranya apabila menyebut nama Adeeba.
Thakif menggeleng. “Kau orang pertama yang aku bagitahu...”
Qhafi terdiam lama. “Jom aku hantar kau balik, aku nak jumpa Deeba.” Dia bangun. Kertas yang bertulis harga minuman diambil lantas melangkah ke kaunter pembayaran.

BMW X6 berwarna biru gelap milik Qhafi berhenti di depan pagar rumah Dato’ Azhar. Sepanjang perjalanan tadi Qhafi hanya diam. Kepalanya berserabut memikirkan tentang tingkah laku Adeeba sebelum ini. Sungguh dia tak dapat menerima yang Adeeba merahsiakan tentang Rania daripadanya.
            “Hari Jumaat ni confirm, kan?” Thakif sekadar bertanya.
            Qhafi mengangguk. “Apa-apa hal aku roger kau. By the way, thanks sebab bagitahu aku pasal Yaya. Aku terhutang budi pada kau.” Dia menepuk perlahan bahu Thakif.
            “Kecik punya hal. Lagipun tu memang tanggungjawab aku. Mujurlah Allah gerakkan hati aku untuk siasat background Yaya. Kalau tak, sampai bila-bila pun famili kau masih fikir dia dah tak ada. Kau nak aku panggilkan Deeba ke?” Thakif sudah menanggalkan tali pinggang keledar.
            “Tak apa, I’ll text to her later.
            “Okey...” Thakif melangkah keluar dari kereta.
            Sebaik melihat Thakif sudah melepasi pintu pagar, Qhafi mencapai telefon pintarnya dan mula menaip mesej.

            Abang tunggu Deeba kat taman kat kawasan rumah Deeba. Datang sekarang, jangan lambat!


            Selesai menghantar SMS, Qhafi memandu keretanya menuju ke taman yang tak berapa jauh dari rumah itu.
            Dari jauh Adeeba sudah ternampak kelibat Qhafi yang sedang duduk di bangku. Langkahnya dipercepatkan dan dia melabuhkan duduk di sebelah lelaki itu. Dia mengerut dahi apabila lelaki itu langsung tak memandangnya. Wajah lelaki itu nampak serius, tak seperti sebelum ini. Kemudian matanya ikut memandang arah pandangan lelaki itu. Yang kelihatan hanya beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain di taman itu. Dia mengukir senyuman melihat gelagat seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bergaduh berebutkan buaian.
         “Kenapa tak bagitahu abang pasal Rania?”
            Senyuman Adeeba mati. Dadanya terasa berdebar kencang. Perlahan-lahan dia memandang Qhafi yang masih tak memandangnya. “Ma... macam mana Abang Qhaf tahu pasal Kak Ran?” Sedikit tergagap dia bertanya.
            “Kif bagitahu tadi. Kenapa Deeba tak bagitahu abang pasal dia?” Kali ini Qhafi memandang Adeeba dengan pandangan tajam.
            Adeeba tersentak mendengar nama yang keluar dari mulut Qhafi. Pandangan dilarikan ke rumput.
            “Kenapa diam? Jawablah soalan abang!”
            Bahu Adeeba terhenjut sedikit mendengar herdikan Qhafi. “Dee... Deeba tak nak Kak Ran rasa dipergunakan lagi,” jawabnya takut-takut.
            “Ooo... tak nak dia rasa dipergunakan... tapi boleh pulak Deeba perkenalkan dia kat famili Deeba, kan? Sampai suruh dia pujuk Kif berubat. Bagus, Deeba ni. Seorang adik yang saaangattt baik! Untunglah Kif dapat adik macam Deeba.” Qhafi tersenyum sinis.
            Adeeba memejam mata. Hatinya pedih mendengar sindiran tajam Qhafi yang bagaikan anak busur memanah ke hatinya. Terasa perit!
            “Patutlah abang rasa pelik sangat kenapa Deeba macam mengelak bila abang nak jemput kat kolej. Rupa-rupanya Deeba takut abang terserempak dengan dia, kan? Kawan Deeba yang pernah jawab panggilan abang dulu tu Rania, kan? Abang cam suara dia yang sama macam suara arwah Manda. Bila abang tanya, Deeba cakap abang ni terlampau rindukan arwah, sebab tu suara kawan Deeba pun abang dengar macam suara arwah. Tapi kenyataannya orang yang jawab panggilan abang tu muka dia seiras arwah Manda!
Deeba boleh je bagitahu abang masa tu tapi Deeba langsung tak nak cerita! Mungkin masa tu Allah nak abang dengar suara dia, sebab tu Deeba boleh tersilap hantar SMS. Bila abang gali balik ingatan abang ni, baru abang tahu kenapa dulu Deeba beria-ia nak abang maafkan Deeba walaupun abang tak tahu apa kesalahan yang Deeba dah buat. Rupa-rupanya sebab ni.” Qhafi berjeda. “Kalaulah Kif tak bagitahu abang pasal Rania, mesti sampai bila-bila pun abang tak tahu kewujudan dia!” Dia melemparkan pandangan ke tengah taman.
“Abang kecewa sangat dengan Deeba. Orang yang paling abang cinta... paling percaya sanggup tipu abang! Deeba tak rasa bersalah ke tipu abang?”
            “Deeba minta maaf, Abang Qhaf. Deeba tahu Deeba salah tapi Deeba buat macam tu sebab Kak Ran tak ada kena-mengena dengan keluarga abang. Dia hanya memiliki rupa yang seiras dengan arwah Kak Manda je.” jawab Adeeba dengan wajah yang masih menunduk.
            Qhafi mengalih pandangan ke arah Adeeba. “Siapa cakap tak ada kena mengena? Dia adik abang tahu tak? Adik kandung abang!” Nada suaranya yang meninggi itu mengundang banyak mata yang memandang ke arah tempatnya duduk. Suara kanak-kanak yang riuh bermain sudah senyap sunyi. Mungkin terkejut mendengar lantunan suara Qhafi.
Adeeba sudah mengangkat muka memandang Qhafi. “Apa maksud abang?” Dia masih tak dapat memahami apa motif Qhafi mengaku Rania adalah adik lelaki itu.
Yes, Rania tu adik kandung abang. Kembar arwah Manda! Disebabkan Deeba yang suka sangat sorokkan dia dari abang, abang tak dapat jumpa dengan adik abang! Dia adalah adik yang baru abang tahu kewujudannya!” Nada Qhafi masih berbaur kemarahan.
Adeeba menekup tangan kanan ke mulut. Dia tak menyangka Rania adik kepada Qhafi. Memang dia tahu nama ayah gadis itu Razman tapi dia pernah melihat lelaki yang dipanggil Pak Cik Raz itu menjemput Rania di kolej semalam ketika dia mahu mengambil semula keretanya. Lelaki itu bukan Tan Sri Razman tapi orang lain. Maknanya Pak Cik Raz tu ayah angkat Kak Ran la? Haila, kenapalah aku tak pernah tanya latar belakang Kak Ran sebelum ni...
“Abang... Deeba minta maaf. Deeba betul-betul tak tahu Kak Ran tu adik abang. Deeba bukan sengaja nak sorokkan dia.”
Qhafi melemparkan kembali pandangannya ke tengah taman, tak sanggup mahu melihat wajah sedih Adeeba. Dia tak mahu cair! Hatinya masih tak dapat memaafkan gadis itu. “Deeba baliklah. Dah tak ada apa yang abang nak cakap lagi.” Nada suaranya sudah kendur.
“Tapi abang tak cakap pun yang abang dah maafkan Deeba. Maafkan Deeba ya, bang?” Adeeba sudah tersedu-sedu.
“Deeba baliklah dulu...” Qhafi mengeluh keras.
“Deeba tak nak balik selagi abang tak maafkan Deeba. Kalau abang nak, Deeba boleh call Kak Ran dan bagitahu dia pasal abang.” Adeeba cuba menawarkan diri untuk membantu. Sedikit sebanyak pertolongannya itu dapat mengurangkan rasa bersalahnya.
“Tak payah! Deeba jangan nak pandai-pandai call dia. Pasal Yaya biar abang settlekan sendiri. Deeba pergilah balik,” bantah Qhafi. Dia tak perlukan apa-apa bantuan daripada Adeeba.
“Tapi, bang...”
“Aku kata balik! Aku tak nak tengok muka kau!” tengking Qhafi. Hatinya makin panas dengan kedegilan Adeeba.
Laju air mata Adeeba mengalir. Selama ini Qhafi tak pernah menengkingnya sebegitu. Hari ini dua kali dirinya ditengking. Tanpa membuang masa, dia berlari laju pulang ke rumahnya. Air mata yang mengalir dibiarkan tanpa dikesat. Sampai saja di rumah, laju kakinya menaiki tangga dan masuk ke biliknya. Papa, mama dan abangnya yang memandang langsung tak dipedulikan.
“Kenapa dengan Deeba tu?” tanya Datin Rosnah yang pelik melihat Adeeba menangis. “Sebelum keluar tadi okey je...  Balik je tiba-tiba hujan lebat pulak.
“Bergaduh dengan Qhaf la tu,” tebak Dato’ Azhar.
Thakif hanya diam. Dia tahu punca Adeeba menangis.
“Ros nak pergi tengok Deeba kejap. Entah apalah yang disedihkan sangat tu.” Datin Rosnah bangun menuju ke bilik Adeeba diikuti Dato’ Azhar dan Thakif dari belakang.
Sebaik pintu bilik yang tak berkunci itu dibuka, terpampang jelas figura Adeeba yang sedang menangis sambil bersandar di kepala katil. Wajahnya menekup ke lutut yang dinaikkan. Datin Rosnah melabuhkan duduk di sisi katil sebelah kanan. Dia memandang Thakif yang melabuhkan duduk di sisi katil sebelah kiri, kemudian dia memandang suaminya yang berdiri di sebelahnya. Melihat anggukan suaminya, dia memandang Adeeba semula. “Deeba, kenapa ni? Gaduh dengan Qhaf ya?” tanyanya lembut.
Adeeba masih lagi tersedu-sedan. Pertanyaan mamanya dibiarkan sepi.
“Deeba, ceritalah kat kami. Kalau Deeba nangis macam ni macam mana papa, mama dengan Abang Kif nak tolong?” pujuk Dato’ Azhar pula.
Adeeba tetap tak bersuara. Wajahnya masih tak diangkat dari lutut.
“Qhaf dah cerita kat Deeba, kan?” Thakif yang sedari tadi diam mula bersuara.
Dato’ Azhar dan Datin Rosnah mengerut dahi. Kedua-duanya memandang Thakif dengan pandangan pelik.
Adeeba mengangkat muka memandang Thakif. “Kenapa abang tak bagitahu Deeba yang Kak Ran tu adik Abang Qhaf?”
Datin Rosnah dan Dato’ Azhar saling berpandangan. Kedua-duanya terkejut mendengar apa yang keluar dari mulut Adeeba.
“Abang rasa Qhaf lebih berhak tahu dulu,” jawab Thakif tenang.
“Kif, betul ke apa yang Deeba cakap tu?” tanya Datin Rosnah ingin tahu.
Dato Azhar sudah mencapai kerusi di meja solek lantas meletakkannya berhampiran dengan Datin Rosnah. Kemudian dia melabuhkan duduk.
“Betul, mama. Rania tu kembar arwah Manda.” Thakif menceritakan semula bagaimana dia mengetahui tentang latar belakang Rania kepada mama, papa dan adiknya.
Sekali lagi Datin Rosnah dan Dato’ Azhar terkejut mendengar cerita Thakif.
“Ya Allah, bang... kawan jenis apa kita ni? Langsung tak tahu apa yang pernah berlaku pada keluarga Nida dulu.” Datin Rosnah mengeluh kesal.
Dato’ Azhar menepuk perlahan bahu Datin Rosnah. “Mungkin Nida tak cerita dekat kita sebab dia tak nak ingat lagi perkara sedih tu. Lagipun, setiap manusia memang tak lepas dari sebarang ujian. Lepas satu ujian, ujian lain pulak datang bertandang. Bukanlah kehidupan namanya kalau tak dilanda ujian sebab hakikat kehidupan kita ni ialah untuk diuji. Kita dulu pun diuji dengan kelumpuhan Kif tapi alhamdulillah, kita dapat mengatasi ujian tu dengan sabar. Kif pun sekarang dah boleh berjalan semula.” Dia berjeda.
“Nida dengan Man pulak  dua kali diuji bukan bermakna Allah tak sayang mereka tapi Dia tahu mereka tabah dan redha. Apa yang dapat kita simpulkan kat sini, mungkin Dia nak kurangkan penderitaan keluarga Nida dengan memulangkan kembali Rania. Dan keluarga kita terpilih untuk menyatukan kembali keluarga mereka. Sekarang kita boleh nampak kan betapa indahnya aturan Dia? Dan setiap ujian yang Dia turunkan ada hikmahnya cuma kita perlu bersabar, redha dan sentiasa ingat pada-Nya je,” sambung Dato’ Azhar.
Datin Rosnah, Thakif dan Adeeba mengangguk kepala menyetujui apa yang dikatakan oleh Dato’ Azhar. Masing-masing diam seketika.
“Lepas ni apa rancangan Qhaf?” Datin Rosnah memecahkan kesunyian.
“Dia ajak Kif teman dia jumpa Yaya dekat Teluk Intan. Nanti Deeba ikut sekali ya?” ajak Thakif. Matanya memandang Adeeba yang sudah nampak tenang.
“Kalau Deeba ikut nanti Abang Qhaf marah pulak. Dia dah tak nak tengok muka Deeba lagi,” adu Adeeba sambil mengesat air mata dengan belakang tangan.
“Deeba jangan risau, dia tak marah punya. Masa tu mungkin hati dia dah sejuk sikit. Abang pilih hari Jumaat pun sebab nak bagi hati dia sejuk dulu. Deeba ikut tau? Kalau abang dengan Qhaf je yang pergi, Yaya fikir apa pulak nanti.” Sejak mengetahui nama panggilan Rania, laju saja bibirnya menyebut nama itu. “Kalau Deeba ikut senang sikit sebab Deeba kawan Yaya.” Sekali lagi nama panggilan itu meluncur laju dari bibirnya.


p/s: Sori sangat-sangat lambat post coz WC buat research sikit pasal mangsa rentung. Kalau ada yang rasa macam tak logik ke apa ke, jangan segan-segan untuk komen dan WC akan tukar balik...

Seperti yang pernah WC bagitau kat teaser bab 25 kat page minggu lepas, ini merupakan bab terakhir di belog. Lepas ni WC akan cuba siapkan manuskrip penuh. Insya-Allah kalau ada rezeki dapatlah kita jumpa Kif dan Yaya dalam versi cetak =)

Doakan semuanya berjalan lancar eh... Harap sangat dapat habiskan dalam tahun ni jugak sebab dah nak masuk 2 tahun cerita ni asyik tak siap-siap je...

Sunday, 3 March 2013

Separuh Hati Untukmu 24


HARYATI keluar dari dapur dengan menatang dulang untuk ke bilik Puan Sri Anida. Ketika mahu menaiki tangga, dia bertembung dengan Anis yang sedang menuruni tangga. “Cik Anis tak nak sarapan dulu ke?” sapanya ketika langkah Anis sudah menghala ke pintu.
            “Tak apalah, Yati, nanti Anis breakfast kat luar je,” jawab Anis lembut sambil senyum.
            “Erm... Cik Anis tak nak suapkan Puan Sri ke? Puan Sri mesti suka kalau Cik Anis yang hantarkan sarapan,” tanya Haryati apabila melihat angin Anis begitu baik dan tak marah-marah seperti selalu.
            Langkah Anis terhenti. Dia berpaling menghadap Haryati dengan wajah yang berubah berang. “Kau dah gila ke nak suruh aku suap ibu? Nak suruh ibu tumpahkan makanan kat baju aku pulak ke?”
            Haryati terkejut mendengar kata ganti nama yang digunakan Anis. Nampaknya dia benar-benar tersalah meneka keadaan cuaca di hati Anis. “Tapi... bukan ke hari tu Cik Anis...”
            “Suapkan ibu?” potong Anis tanpa sempat Haryati menghabiskan ayatnya.
            Haryati mengangguk laju.
            Anis tersenyum sinis. “Heh... kau ni memang bodohlah, Yati! Takkanlah aku nak tunjuk perangai aku kat depan Kif kot? Dahlah, pergi bawak naik dulang tu. Mesti ibu tak sabar nak tunggu kau suap!”
            Astaghfirullahalazim... kesian Puan Sri ada anak berperangai macam ni. “Tapi Cik Anis, kalau Cik Anis yang suapkan mesti Puan Sri lagi berselera nak makan.” Dia masih cuba memancing nasib. “Saya ni orang luar, Cik Anis pulak anak Puan Sri. Lain rasanya kalau terima suapan dari anak sendiri. Lagipun Cik Anis la satu-satunya anak perempuan yang Puan Sri ada lepas arwah Manda meninggal. Kalau Cik Anis layan Puan Sri dengan baik dan ikhlas, pahala berbentuk syurgalah ganjarannya nanti.” Dia memaniskan wajah.
            Anis menghempas kasut tumit tinggi yang dikeluarkan dari almari kasut. Dia merenung tajam ke wajah Haryati yang sudah pucat lesi. Mungkin terkejut dengan reaksinya tadi. “Siapa orang gaji kat dalam rumah ni? Kau ke aku?!” tengking Anis.
            “Sa... saya, Cik Anis.” Tergagap-gagap Haryati bersuara.
            “Haaa... kalau dah tahu diri tu orang gaji, buatlah cara orang gaji. Tak payah nak mengajar aku pulak!” tengking Anis lagi. Dia geram dengan Haryati yang telah merosakkan moodnya pagi itu.
            “Apa yang bising-bising ni?” tanya Tan Sri Razman yang berdiri di tangga atas. Dia memandang Haryati dan Anis silih berganti.
            Anis memakai kasutnya tanpa menjawab soalan Tan Sri Razman.
            “Nak ke mana tu, anyah?”
            “Nak keluar kejap. Bosanlah duduk rumah,” jawabnya tanpa memandang wajah Tan Sri Razman. Semalam dia ada mengajak Thakif keluar tapi lelaki itu menolak. Pagi ini Jennifer menjadi mangsa untuk menemaninya setelah Maria turut menolak ajakannya kerana mahu menghabiskan masa cuti dengan keluarga tunangnya.
            “Tak boleh nak lekat dekat rumah langsung. Asyik nak berjalan je kerjanya! Papa ikat kaki tu kat tiang baru tahu. Biar tak dapat pergi mana-mana dah,” bebel Tan Sri Razman.
            “Papa, anyah bukan budak-budak lagi tau sampai nak kena ikat kat tiang. Masa kecik dulu bolehlah papa ugut macam tu. Sekarang anyah dah besar, dah tak takut dengan ugutan macam tu. anyah keluar dulu, pa. Nak release tension.” Sempat dia menjeling tajam ke wajah Haryati.
            “Budak ni, kalau tak menjawab tak sah!” Tan Sri Razman menggeleng melihat Anis hingga hilang dari pandangan mata. “Bagi sini dulang tu, saya nak makan dengan Nida kat bilik.” Dia menghulur tangan mahu mengambil dulang di tangan Haryati.
            “Tapi ni ada sepinggan je pulut kuning, Tan Sri... kejap saya ambil sepinggan lagi untuk Tan Sri.” Haryati menuruni tangga setelah menyerahkan dulang kepada Tan Sri Razman.
            “Tak payahlah, Yati... saya kongsi dengan Nida je.
            Langkah Haryati terhenti. Dia berpaling memandang Tan Sri Razman. “Baiklah, Tan Sri...” Kemudian dia menuruni tangga dengan hati yang kagum terhadap majikannya yang sangat mencintai Puan Sri Anida walaupun usia semakin meningkat dan dengan keadaan Puan Sri Anida yang masih begitu.

DIA termenung di balkoni biliknya. Sampul surat berwarna coklat di atas meja itu ditenung dalam-dalam sebelum mencapainya. Isinya dikeluarkan dan membaca kembali apa yang tertera di kertas itu. Rania Hafiya binti Razman. Sudah banyak kali dia membaca hasil siasatan itu namun dia bagaikan tak percaya. Kepalanya ditongkat dan mengimbas kembali perbualannya dengan Malik dua hari lalu.
            “Betul ke apa yang aku baca ni Malik?” Thakif menyandarkan badan ke sofa dan memandang Malik dengan wajah yang keliru.
            “Betul, Encik Kif. Arwah tunang encik merupakan kembar Rania. Saya sendiri pergi siasat dekat hospital tempat Rania dilahirkan. Kata kawan saya yang kerja kat situ, Rania dilahirkan kembar. Saya ada jugak tanya jiran-jiran kat rumah keluarga angkat dia, ada yang kata ternampak pasangan suami isteri yang bagi Rania pada Razali dan Azizah. Ada jugak yang cakap Rania ni dibuang keluarga kandung sebab dia anak luar nikah dan anak hasil dirogol oleh perompak.”
            “Siapa yang pandai-pandai cakap macam tu? Dia orang tak tengok ke yang Rania tu berbintikan Razman?” ujar Thakif sedikit geram.
            “Orang kampung memang macam tu, encik. Bercakap ikut sedap mulut. Encik nak saya siasat punca arwah tunang encik terpisah dengan kembar dia ke?”
            “Tak payahlah, yang tu biar aku yang uruskan. Kau dah dapatkan maklumat macam ni pun dah okey.”
            Thakif meletakkan kembali sampul surat di atas meja. Ketika mendapat tahu tentang hal ini, dia tak sampai hati mahu memberitahu Rania. Dia tak mahu fikiran gadis itu terganggu tambahan pula gadis itu masih dalam mood peperiksaan. Matanya dihalakan ke luar balkoni. “Patutlah hati aku macam tak sedap je bila tengok Rania. Patutlah hati aku bagaikan ditarik-tarik nak siasat background dia. Rupa-rupanya Tuhan nak tunjukkan pada aku yang arwah Manda ada kembar yang terpisah sejak dari bayi. Tapi... apa tujuan Dia nak tunjukkan aku pasal ni?” Dia cuba berfikir secara logik. Tiba-tiba wajah Puan Sri Anida muncul di ruang matanya. Dia melangkah masuk ke biliknya dan mencapai telefon pintar yang diletakkan di meja lampu.
“Helo, Qhaf... kau free tak hari ni?” tanya Thakif sebaik saja Qhafi menjawab panggilannya.
            “Aku tak free, aku mahal.”
            Terjegil mata Thakif mendengar jawapan gurauan Qhafi. “Isy, kau ni... aku serius, kau main-main pulak!” Serius saja nada suara Thakif.
            “Hahaha... relakslah, bro... kau nak jumpa ke?”
            “Haah, aku nak jumpa kau kat tempat biasa, pukul 3 kang.
            “Okey set, aku jumpa kau kat sana,” jawab Qhafi di hujung talian.
            Sebaik mematikan talian, Thakif melihat jam di skrin telefon pintarnya. Baru pukul 11 pagi. Ada lagi empat jam sebelum pukul 3 petang. Dia melangkah keluar dari bilik dan menuju ke bilik Adeeba. Sebaik membuka pintu bilik adiknya, dia lihat bilik itu kosong. Kemudian dia melangkah ke bawah mahu melihat kalau-kalau adiknya berada di luar rumah.
            “Eh, sekejapnya kereta siap?” Thakif terkejut melihat Adeeba sedang  mencuci kereta di laman. Dia melabuhkan duduk di kerusi yang berdekatan dengan tempat Adeeba mencuci kereta.
            Adeeba memandang Thakif. “Bateri je yang problem...” bohongnya sambil menyabun kereta.
             “Ooo... Rania dah sampai kampung ke? Hari tu abang tertunggu-tnggu jugak dia call tapi tak call pun. Panggilan rindu pun tak buat.” Wajah Thakif sedikit murung. Memang dia tak lena tidur sejak mengetahui identiti sebenar Rania.
            “Kak Ran ada mesej Deeba semalam, dia cakap dah sampai. Abang rindu dia eh?” Adeeba tersenyum nakal.
            “Deeba ni ke situ pulak! Abang cuma risaukan dia tidur sorang-sorang kat kolej tu je. Kalau dia okey, baguslah. Lega sikit hati abang ni. Lepas ni tolong cuci kereta abang pulak.” Thakif tiada rasa mahu bercerita tentang identiti sebenar Rania pada adiknya. Dia mahu Qhafi tahu dulu kerana lelaki itu lebih berhak untuk tahu.
            “Boleh... tapi kena bagi upah!” Adeeba tersengih.
            “Berkira betullah Deeba ni. Cubalah tolong dengan ikhlas sikit... ni sikit-sikit minta upah!” Thakif berpura-pura merungut.
            “Mestilah kena berkira. Nak masuk tandas pun kena bayar tau!”
            “Yalah, nanti abang bagi upah.” Thakif bangun mencapai hos getah lantas menjirus ke kereta Adeeba yang bersabun.
            “Haaa... macam ni barulah boleh jadi abang kesayangan Deeba!”
            Thakif mencebik. “Kalau bagi upah, abang kesayangan. Kalau tak bagi upah pulak abang apa?” Dia memandang Adeeba yang sedang menyabun belakang kereta.
            “Kalau tak bagi upah, abang tangkai jering la! Hahaha...” Adeeba ketawa.
            Thakif menghalakan muncung hos getah ke arah Adeeba dan menembaknya.
            “Abang Kif, apa ni? Basahlah!” Adeeba mengelak. Dia mengibas-ngibas percikan air yang terkena baju T- shirt kuning yang dipakainya.
            Thakif ketawa. Dia menghalakan lagi muncung hos getah ke arah Adeeba.
            Adeeba pantas berlari ke sebelah kanan pula. “Dahlah, bang... nanti Deeba tak nak cuci kereta abang kang baru tahu!” Dia sudah memuncung.
            “Tak nak cuci sudah, abang boleh cuci sendiri. Nah, amek ni!!!” Sekali lagi dia menembak Adeeba.
            Adeeba menutup muka dengan kedua-dua belah tangan. “Ni dah lebih ni!!!” Dia mencapai baldi yang berisi air sabun lantas menyimbah ke badan Thakif yang tak bersedia. Kemudian dia ketawa melihat baju abangnya yang dihujani air sabun.
            “Deeba, habislah baju abang! Abang tembak dengan air bersih je, Deeba siram dengan air sabun pulak!” ujar Thakif geram. Hos getah di tangan dihalakan ke badannya, membersihkan sisa sabun.
            Padan muka! Siapa suruh abang mula dulu.” Adeeba mencapai satu lagi hos getah dan turut membersihkan baju Thakif.
            “Kif, kenapa mandi kat luar ni? Bilik air kat dalam rumah ni tak best ke sampai nak mandi kat luar?” tanya Datin Rosnah yang meninjau bunyi bising di laman rumah.
            “Abang Kif cakap dia mengidam nak mandi kat luar, ma...” Adeeba gelak.
            Thakif meluku kepala Adeeba. “Pandai-pandai je budak ni.” Dia memandang mamanya pula. “Deeba siram Kif dengan air sabun, ma. Habis bersabun baju Kif ni,” adunya.
            Hos getah sudah Adeeba campakkan ke bawah dan dia mula bercekak pinggang memandang Thakif. “Ewah-ewah... suka jiwa je menuduh. Abang yang siram Deeba dulu tau!”
            “Deeba la mula dulu panggil abang tangkai jering.” Thakif menyiram kepala Adeeba.
            “Mama, tengoklah abang ni!” Adeeba  menepis hos getah di tangan Thakif.
            “Mama, tengoklah Deeba ni!” Thakif mengajuk cara percakapan Adeeba yang manja.
            Adeeba menyiku pinggang Thakif.
            “Auuuu!” Thakif terjerit kecil. Pinggang yang terasa sengal digosok perlahan.
            Datin Rosnah menggeleng kepala. Apabila datang perangai gila-gila, macam inilah keadaan anak-anaknya. Namun di dalam hati dia berasa bahagia. “Malas mama nak layan kamu berdua ni. Tunggu situ, mama masuk ambil tuala.”

QHAFI sudah bersiap-siap untuk berjumpa Thakif. Setelah membetulkan T- shirt berkolar berwarna biru muda yang dipakai, dia terus melangkah keluar dari bilik. Ketika mahu menuruni tangga, matanya terpandang bilik yang berhampiran dengan bilik Amanda  yang terbuka sedikit. Perlahan-lahan kaki dibawa ke arah bilik yang terbuka itu. Semakin hampir ke bilik itu dadanya terasa berdebar. Tambahan pula apabila mendengar suara tangisan ibunya, lagilah hatinya terasa tak keruan.
            Tangan kanan menolak sedikit pintu bilik itu. Matanya diliarkan memandang sekeliling bilik yang dicat dengan warna hijau muda. Bilik itu nampak kemas tanpa sebarang habuk. Di sebelah katil bersaiz queen terdapat sebuah baby cot yang elok terletak. Kemudian dia memandang Puan Sri Anida yang sedang mengusap bingkai gambar yang tergantung di dinding di atas kepala katil. Dia mengerut dahi. “Tu bukan gambar Manda ke?” bisiknya perlahan. “Tapi... kenapa ada sorang lagi muka macam Manda?” Dia pelik melihat gambar dua orang bayi yang sedang tidur di dalam baby cot.
            Puan Sri Anida mencapai baju bayi yang berwarna pink di dalam baby cot. Dia mencium baju itu dan memeluknya erat. “Yaya...”
            Qhafi terkejut mendengar nama yang keluar dari mulut Puan Sri Anida.
            “Yaya...” Puan Sri Anida teresak-esak.
            “Siapa Yaya?” bisik Qhafi perlahan. Matanya bersilih ganti memandang Puan Sri Anida dan gambar yang tergantung di dinding itu.
            Puan Sri Anida memanggung kepala memandang gambar itu lagi. “Manda... Yaya... ibu rindu... ibu rindu kamu berdua... bila Manda nak balik? Kenapa tinggalkan ibu lama-lama? Manda tak sayangkan ibu ke?”
            Qhafi terasa mahu pitam. “Manda ada kembar ke? Kenapa selama ni aku tak tahu pun?” Dia menarik nafas cuba menenangkan hatinya. Dia perlu bertanya kepada ibunya untuk menghilangkan tanda tanya di dalam kepala. Baru saja dia mahu menghampiri Puan Sri Anida, ada tangan yang memegang bahunya. Dia pantas berpaling.
            “Along buat apa kat sini?” tanya Tan Sri Razman yang berada di luar pintu bilik.
            “Papa, siapa Yaya?” tanya Qhafi. Peluang sudah ada di depan mata, dia tak akan sekali-kali melepaskan.
            Wajah Tan Sri Razman berubah. “Macam mana along tahu?” Dia pelik apabila melihat Qhafi berdiri di depan pintu bilik itu tadi. Hatinya tertanya-tanya bagaimana anak sulungnya itu mendapat kunci bilik itu. Bilik yang dia sendiri tidak membenarkan anak-anaknya menerokai isi di dalamnya. Setahunya hanya dia dan isterinya saja yang mempunyai kunci bilik itu. Setiap seminggu sekali dia akan menyerahkan kunci bilik itu kepada Haryati untuk proses pembersihan tanpa pengetahuan anak-anaknya. Takkanlah Yati terlupa nak kunci bilik kot?
            “Yaya...”
            Suara Puan Sri Anida telah menjawab segala persoalan yang berlegar di benak Tan Sri Razman. Dia melangkah masuk ke bilik itu tanpa menjawab soalan anak sulungnya. Langkah kakinya terhenti apabila Qhafi memegang lengannya. Matanya di halakan ke wajah isterinya tanpa berpaling memandang Qhafi.
            “Siapa Yaya, pa? Kenapa ibu menangis? Kenapa ada sorang lagi baby yang muka macam Manda dalam gambar tu? Dia adik along ke, pa? Mana dia sekarang?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Qhafi.
            Tan Sri Razman menarik nafas perlahan. Dia melepaskan pegangan Qhafi di lengannya lantas mendapatkan Puan Sri Anida yang masih menangis di atas katil.
            “Papa!” Suara Qhafi sedikit meninggi. Dadanya terasa bagai nak pecah apabila Tan Sri Razman tak menjawab semua soalannya.
            “Nida, jom kita balik bilik.” Tan Sri Razman mengambil baju dipelukan isterinya lantas diletakkan semula di dalam baby cot. Dari ekor mata, dia dapat melihat wajah satu-satunya anak lelakinya itu sudah sedikit bengang.
            “Abang, Nida rindu anak-anak kita. Nida rindu kat Manda...  rindu kat Yaya jugak,” rintih Puan Sri Anida.
            Sedikit sebanyak rasa bengang Qhafi surut apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ibunya. Tapi itu tak bermakna dia tak akan menuntut jawapan daripada papanya.
            “Abang tahu... abang pun rindukan mereka jugak. Kita balik bilik kita ya?” Tan Sri Razman memegang bahu Puan Sri Anida dan membangunkannya. Dia memandang Qhafi yang masih setia berdiri di muka pintu. Sudah sampai masanya untuk dia membuka rahsia yang telah lama disimpan. “Betul along nak tahu siapa Yaya?”
            Qhafi mengangguk laju.

            “Tunggu papa kat bilik bacaan. I will tell you everything.” Tan Sri Razman membawa Puan Sri Anida keluar dari bilik itu. “Tolong kunci pintu bilik ni,” pesannya.

~BERSAMBUNG~

p/s: Semua tanda tanya dah terjawab kan...