Followers

Sunday 11 August 2024

Teaser 5 Menanti Pelangi


Kompilasi Trauma


“Ojie, janganlah main cicak tu. Kau ni sama je macam tuan kau, suka bunuh cicak!”

Zidane tersenyum mendengar suara Miliya. Tahulah dia, kucing oren itu membawa hadiah untuk Miliya. Ikon microfon ditekan dan dia mula bersuara.

“Hah, mengumpat saya ke tu?” Zidane senyum lagi apabila nampak Miliya terkejut mendengar suaranya dan memandang sekeliling, mencari cctv.

“Eh, mana ada! Saya cakap Ojie ni hebat macam tuan dia. Awak kan terror bunuh cicak, sekali pijak terus arwah.” Miliya senyum comel pada cctv yang terletak di dinding di atas kepalanya.

“Tersengih-sengih. Dah habis buat kerja ke belum tu?”

“Dah. Semua saya dah bersihkan, tinggal nak main je. Tapi Ojie bawak cicak, macam mana saya nak ajak Ojie dengan Olie main?”

Zidane ketawa melihat wajah berkerut Miliya.

 “Cuba tengok cicak tu dah mati ke belum. Kalau dah mati, pergilah ambil penyapu, buang dalam tong sampah.”

 “Saya ke yang kena buat?” Miliya menggaru kepala yang tak gatal.

 “Habis tu awak nak saya datang sana buang cicak tu ke? Saya okey je, tapi jangan salahkan saya kalau kita kena tangkap basah. Kahwin free kan, siapa tak nak.” Zidane ketawa lagi apabila melihat Miliya cepat-cepat turun dari kerusi dan melangkah ke dapur.

Monday 5 August 2024

Teaser 4 Menanti Pelangi

 


"Terima kasih belikan saya bubur nasi. Sedap jugak bubur ni. Awak beli kat mana?” Miliya mencapai muk dan meneguk air sirap.


“I Love Yoo!” 


Miliya tersedak. Rasa nak tercekik mendengar jawapan lelaki itu. Tisu diambil di dalam dulang lantas mengelap bibir. Dia memandang Zidane yang memandangnya dengan dahi berkerut.


“Awak ni boleh tak jangan main-main?” 


“Main-main apanya? Betullah nama kedai tu I Love Yoo! Kalau tak percaya, tengok tisu kat dalam plastik tu.” 


Miliya mengeluarkan tisu dari plastik dan melihat nama kedai yang tertera. Terasa berbahang wajahnya. 


“Awak ingat saya cakap I love you kat awak ke? Muka dah merah dah tu.” Zidane tersengih mengusik.


Miliya cepat-cepat memegang pipinya.


“Taklah, mana ada! Saya masuk dalam dululah. Tiba-tiba rasa nak migraine balik.” Miliya mengangkat dulang mahu membawa masuk ke dalam rumah.

Friday 26 July 2024

Teaser 3 Menanti Pelangi


Untuk tempahan boleh klik link 👇 

Kompilasi Trauma


“Terima kasih tolong kawan saya tadi. Kalau Encik Zidane tak ada, tak tahulah apa yang akan jadi kat Mili dengan Yana tadi.”

“Kebetulan masa tu Mili tersilap telefon saya. Saya cuma tolong apa yang mampu je. Selebihnya Allah yang tolong lindung dia orang.” Zidane menghirup air membasahkan tekak. Kemudian jam di pergelangan tangan kiri ditilik. Sudah pukul 5 petang.

“Okeylah, saya nak balik dulu. Terima kasih untuk cekodok pisang ni. Dah lama saya tak makan. Banyak jugak saya makan tadi.”

“Kalau encik ada terasa nak makan lagi, bagitaulah saya. Saya boleh buatkan.”

“Tak menyusahkan awak ke?”

“Tak adalah. Lagipun, encik dah banyak tolong saya hari ni.”

Ketika Miliya dan Zidane masih leka berbual, Enisa membuat isyarat tangan pada Ayana, menyuruh kanak-kanak itu diam dan membuat tangan bentuk hati dengan kedua-dua belah tangan. Kemudian, cepat-cepat dia menangkap gambar. Dia senyum melihat hasil gambar itu. Ibu jari tangan kanan diangkat pada Ayana.

Zidan berdiri, dompet di poket belakang seluar dikeluarkan. Sekeping duit RM20 ditarik keluar dan dihulur pada Ayana.

“Duit ni buat belanja sekolah. Belajar rajin-rajin tau, Yana. Abang balik dulu.”

“Terima kasih, abang.” Ayana teruja. Kemudian dia salam dan cium tangan Zidane.

“Mili, cuba kau tengok gambar yang aku hantar kat kau tu.” Enisa bersuara sebaik saja Miliya menutup pintu rumah.

“Gambar apa? Ni mesti ada yang nak dibawangkan.” Miliya melabuhkan duduk di tempat yang Zidane duduk tadi.

“Tengoklah dulu.” Enisa tersengih.

Miliya mencapai telefon pintar di atas meja kopi. Aplikasi WhatsApp dibuka. Membulat matanya melihat gambar dia dan Zidane tersenyum saling berpandangan. Di tengah antara mereka ada Ayana yang sedang membuat tangan bentuk hati. Macam mana dia boleh tak perasan Enisa mencuri tangkap gambar itu?

“Perfect trio! Macam satu keluarga kan?”

“Kau gila ke? Ni kalau Encik Zidane tahu, mati aku.” Enisa yang masih lagi tersengih dipandang geram.

“Kalau kau tak tunjuk tak adalah dia tahu. Diam-diam sudahlah.”


Sunday 21 July 2024

Teaser 2 Menanti Pelangi

 



Scene ni teringat kawan cerita ada orang gila masuk rumah jiran dia. Klik link 👇 untuk pra tempahan 

Kompilasi Trauma


***

Perlahan-lahan Miliya melangkah keluar mendapatkan telefon pintarnya di meja makan yang terletak berhampiran dapur. Sikit lagi tangannya mahu mencapai telefon, lelaki itu tiba-tiba menoleh. Miliya cepat-cepat menunduk ke bawah meja. Diperhatikan gerak-geri lelaki itu dari bawah meja. 

Prakkk!

“Oh mak kau!” Miliya terkejut apabila mendengar bunyi pasu plastik tinggi kesayangan Enisa yang terletak di sisi kabinet televisyen dijatuhkan ke lantai.

Mulut ni pun satu, tak boleh nak bagi kerjasama! Miliya menepuk mulut memarahi diri yang melatah kuat tadi. Kepala dinaikkan sedikit ke atas meja. Apabila nampak lelaki itu berjalan menghampiri meja makan, hatinya sudah bergelodak tak tentu arah. Cepat dia bangun mencapai telefon dan berlari laju ke biliknya. 

Miliya bersandar di belakang pintu sambil menarik nafas, cuba menghilangkan rasa cemas. Namun ketenangannya terganggu apabila tombol pintu dipulas dari luar. Pintu bilik turut diketuk. Miliya memandang Ayana yang sudah menangis ketakutan. Kalau budak itu takut, dia lagilah bertambah takut. Jari telunjuk diangkat ke bibir menyuruh Ayana diam. Kemudian jarinya pantas menaip huruf En di carian kenalan dan menghubungi Enisa.

“Nisa... tolong aku! Ada orang gila masuk rumah kita. Aku tak tahu nak buat apa dah ni. Dia tengah ketuk pintu bilik aku ni!” Miliya bersuara cemas sebaik saja taliannya bersambut.

“Macam mana orang gila boleh masuk rumah awak? Awak okey ke tak tu, Mili?”

Terkejut Miliya mendengar suara lelaki dihujung talian. Dia memandang skrin telefon dan terkejut melihat nama Encik Zidane.

“Sorry, Encik Zidane. Saya kelam-kabut tadi sampai tersilap call encik. Saya nak call housemate saya. Okey bye, encik saya ada hal emergency ni.”

“Nanti dulu!”

Tak jadi Mililya mahu mematikan talian. Telefon dilekap kembali ke telinga.

“Share location awak sekarang.”

“Hah? Encik nak buat apa?”

“Tanya lagi? Kata ada orang gila masuk rumah. Saya nak tolonglah ni. Share sekarang.”


Wednesday 17 July 2024

Teaser 1 Menanti Pelangi

 


Kompilasi Trauma
Teaser 1 Menanti Pelangi
Klik link 👇 untuk menempah 


****

Krekkk!

Miliya tersentak mendengar bunyi sesuatu dipijak dengan kuat. Terus terhenti gerakan tangannya mengacau air.

“Mampus kau! Siapa suruh kacau laluan aku!”

Miliya menelan air liur. Tiba-tiba pantri yang sejuk dengan pendingin hawa terasa panas. Perlahan dia berpusing. Badannya menggigil melihat seorang lelaki sedang memijak sesuatu di lantai pantri. 

“Mampus kau!” 

Kata-kata lelaki tadi terngiang-ngiang di telinga Miliya. Dia bernafas laju. Wajahnya berubah pucat.

Bayangan seorang lelaki menyepak perut seorang wanita di atas lantai mula memenuhi ruang fikiran. Air mata Miliya mengalir laju.

“Kau pembunuh!” Miliya terduduk di atas lantai. Kakinya rasa tak kuat mahu berdiri. Dia tak sanggup melihat darah di atas lantai itu.

“To… tolong... tolong jangan bunuh dia...” Miliya menyusun jari, merayu pada lelaki itu. Matanya dipejam.

“Mili, kau kenapa?”

Miliya terkebil-kebil apabila seseorang menggoncang kuat bahunya. Dia pandang sekeliling. Dia tersedar yang dia kini berada di pantri, bukan di sebuah rumah kampung. Ada tiga orang pekerja lain yang turut berkumpul di pantri. Dia bangun apabila Aida menarik tangannya untuk berdiri. 

“Kenapa awak panggil saya pembunuh? Muka saya ni ada nampak macam pembunuh ke?”

Takut-takut Miliya mengangkat muka memandang bosnya yang berbaju kurta nude dan berseluar slack hitam. Dia menggeleng kepala sambil mengelap air mata. Kali ini wajahnya terasa panas. Malu apabila semua mata tertumpu kepadanya. 

“Mm… maaf, Encik Zidane. Saya tak bermaksud nak panggil encik macam tu. Saya terbawa-bawa cerita yang saya tengok malam tadi. ” Tergagap-gagap Miliya menjawab walaupun itu bukan jawapan yang sebetulnya.

“Tulah, lain kali masa kerja fokus. Jangan nak fikir benda lain. Awak tahu ke saya bunuh apa?” 

Miliya geleng kepala. 

Zidane membongkokkan badan mengambil benda yang dipijak dengan kasutnya tadi.

“Saya bunuh cicak. Bunuh cicak hari Jumaat kan dapat pahala.” Cicak ditangan kiri diangkat tinggi. Habis lembik binatang itu dipijak.

Miliya dan Aida berpandangan. Wajah masing-masing berkerut. Badan sudah menggigil kegelian.

Pre-order Kompilasi Trauma

 



Baby kongsi keempat yang bakal terbit. Pre-order dibuka sehingga 15 Ogos 2024. Untuk menempah boleh klik link 👇


5 cerita dari 5 penulis dalam Kompilasi Trauma

🌹🌹🌹

BAHAGIA TIDAK PERLU SEMPURNA - UMI KALSOM

Alia berpindah ke kampung untuk melupakan episod hitam dalam hidupnya. Namun, siapa sangka... emaknya sendiri sanggup mencanangkan kisah hitamnya di laman sosial. Sehingga dia menjadi bahan umpatan rakan di sekolah. Termasuk dihukum oleh pandangan sinis dan kata-kata pedas Haidar Alfatih.

Biarpun begitu, kehadiran Haidar sentiasa menyelamatkan Alia daripada segala 'bencana'. Tanpa Alia sedar, Haidar berjaya membungakan senyuman di wajahnya. Namun, layakkah dia untuk lelaki itu? Dia yang tak sempurna dan tercela maruahnya.

🌹🌹🌹

MENANTI PELANGI - WAISYA CARISSA

Miliya Irisa. Namanya bermaksud pelangi, tapi hidupnya tak seindah pelangi. Ada memori hitam yang terselit di sebalik lipatan kisah hidupnya.

“Tolong jangan tinggalkan Mili... tolong maafkan Mili...” – Miliya Irisa
“Kenapa ni? Awak mimpi apa?” – Ahmad Zidane

Kehadiran Zidane sedikit sebanyak mula mewarnai hidup Miliya. Tapi, adakah pelangi sebenar yang ditunggu akan muncul?

🌹🌹🌹

ZAYNE UNTUK DAHLIA - NAURAH HAZWANY

Dilahirkan di dunia sepatutnya disayangi, namun apa yang dihadapi oleh Dahlia Yasmeen adalah disebaliknya. Iskandar, ayah kepada Dahlia membencinya atas kematian isteri tercinta, Darina. Dahlia yang membesar tanpa kasih sayang ibu bapa, menjalani hidup dalam kesukaran. Kerana latar belakangnya, dia turut menjadi mangsa buli.

“Aku benci kau! Aku benci! Kenapa bukan kau yang mati? Berambus kau dari sini!” – Encik Iskandar

Segalanya berubah apabila Dahlia dipertemukan semula dengan Zayne. Lelaki yang berjanji ingin membawa dia pergi, memulakan hidup yang baru sebagai isterinya di luar negara.

“Dahlia, saya setia menunggu panggilan awak. Jangan bimbang, saya tak nak paksa dan saya akan terima jua segala jawapan yang awak berikan,” – Zayne Aariz

Dahlia yang sengsara selama ini, disatukan dengan Zayne atas satu sebab. Berjayakah kebahagiaan yang dikejar oleh Dahlia, tercapai? Adakah Zayne mampu memulihkan luka dan trauma Dahlia?

🌹🌹🌹

VENUSTRAPHOBIA - AMYDORRY

Daneen Azra terpaksa menggantikan rakan baiknya, Sabrina sebagai pembantu peribadi kepada Adri Zahran. Disebabkan Adri Zahran mempunyai fobia terhadap wanita cantik, Daneen terpaksa menghias wajahnya agar kelihatan hodoh.

Namun, tanpa dia sangka Adri Zahran telah terpikat dengan dirinya tanpa lelaki itu tahu bahawa wajah sebenarnya. Adakah hubungan Daneen dan Adri musnah setelah Adri mengetahui wajah sebenar Daneen? Mampukah Adri menerima Daneen sebagai pasangan hidupnya?

🌹🌹🌹

TRAUMA YANG MELUKAKAN - NURIFFA

Bagi Wirdad, dia cuma inginkan sebuah kehidupan yang tenang dan bahagia. Namun, pertemuan dengan Izamil seorang rakan sekelas ketika di zaman sekolah menengah telah membuka kembali lipatan kenangan hitam yang cuba dia lupakan. Wirdad mengelak, tetapi Izamil tetap muncul di hadapannya.

“Kenapa awak larikan diri? Tak suka jumpa saya?” – Izamil

“Pertemuan ini menyakitkan dan membuat saya ingat semula apa yang berlaku 15 tahun dulu.” – Wirdad.

Izamil tidak tahu apa yang dimaksudkan gadis itu sehinggalah dia mendapat jawapan.